BERBALOI...kehidupan mewah Abib hasil kerja gigihnya selama ini.
PENGALAMAN merempat bersama ibu dan dua adiknya yang masih kecil di kota besar dan terpisah dengan adik-beradik lain di kampung antara kenangan sedih yang sukar dilupakan.
Bagi Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee atau mesra dipanggil Abib, meninggalkan bangku sekolah seawal usia 17 tahun dan mengikuti ibu mencari rezeki dalam usia remaja selepas ibu bercerai dengan arwah bapanya memberi pengalaman bermakna.
Oleh kerana mahu memberi laluan kepada adiknya belajar, dia melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara hidup bersama ibu dan dua adiknya di Kuala Lumpur dalam keadaan serba payah.
Antara kenangan menyedihkan, dia menyaksikan ibu mengutip nasi hampir basi sebagai sarapan daripada tong sampah di tepi jalan, namun kesengsaraan itu mengajarnya untuk lebih tabah dan berusaha gigih.
Antara kenangan menyedihkan, dia menyaksikan ibu mengutip nasi hampir basi sebagai sarapan daripada tong sampah di tepi jalan, namun kesengsaraan itu mengajarnya untuk lebih tabah dan berusaha gigih.
Mengimbau bagaimana dia mula menceburi perniagaan, Abib berkata, segala-galanya bermula seawal 2004 apabila dia bersama ibu berniaga jamu yang diilhamkan daripada neneknya, Dara Latiff. Mereka menjual dengan mengikatnya dalam kain kecil untuk dijaja kepada kenalan.
Sementara si ibu menjual jamu, dia bekerja di kedai menjual cadar kerana pada waktu itu mereka menumpang di kaki lima di sekitar Lorong Haji Hussein (kawasan Jalan Chow Kit) dengan hanya beralas kotak sebagai tilam.
“Setiap hari ibu mengumpul akar dan daun kayu serta rempah ratus. Melalui pertolongan seorang mamak di kedai berdekatan, ibu tumpang mengisar bahan
itu dengan mesin pengisar lama yang memerlukan tenaga luar biasa.
“Oleh kerana terlalu penat, ibu pernah sakit teruk dan hanya mampu berbaring.
Untuk ke klinik, wang tidak mencukupi kerana ibu terpaksa mengagih-agihkan untuk membeli makanan.
“Melihat ibu terlantar, saya terfikir untuk mengumpul wang sebanyak mungkin, sekali gus mampu menyewa rumah kerana tidak sanggup melihat ibu dan adik merempat.
“Daripada situ, saya merangka teknik melelong cadar dan tidak menduga mencapai jualan tertinggi sehingga mendapat pujian majikan.
“Bertolak daripada situ, kami dapat menyewa sebuah rumah di Sentul hasil komisyen yang diperoleh dalam jumlah banyak,” katanya.
Selain bekerja, Abib mencadangkan ibunya menjalankan perniagaan berasaskan makanan, namun ia tidak berjalan lancar hingga modal habis begitu saja.
Keadaan semakin parah selepas itu apabila dia bersama ibunya menjalankan katering tetapi ditipu RM12,000 kerana perkhidmatan tidak dibayar, namun mereka reda dengan apa yang berlaku.
Baginya, tiada istilah putus asa, apatah lagi melihat ibu terus membungkus jamu dan kemudian diolah dengan lebih menarik dengan harapan akan muncul sebagai pengusaha jamu terkenal satu hari nanti.
Dia tidak menduga jamu dihasilkan habis dijual dan menerima bayaran lumayan.
Bertitik tolak daripada situ, dia menyimpan wang sebagai modal perniagaan dan terus memacu langkah berani menjadikan perniagaan itu sebagai sandaran hidup.
Semakin lama, katanya, jamu diusahakan ibunya mendapat perhatian dan dia mula memikirkan untuk menceburi perniagaan itu sepenuh masa. Dia yakin kekuatan usaha bersama ibu tercinta akan membuahkan hasil memberangsangkan.
Natijahnya, hingga ke hari ini ramai mengenali Jamu Mak Dara (JMD) sebagai satu-satunya jamu tradisional yang mempunyai ratusan rangkaian di seluruh negara. Malah, jamu tradisional itu mula dikenali hingga ke Sabah, Sarawak, Singapura serta Brunei.
Sepanjang menjalankan perniagaan, Abib berkata, prinsip diamalkannya adalah kerja kuat tanpa mengenal jemu dan sentiasa memperbaiki kualiti produk.
Impiannya kini untuk muncul sebagai pengusaha produk jamu terunggul di negara ini dan ke luar negara akan dapat direalisasikan.
Untuk itu, bersama ibu tercinta, Halimah Shuib, 67, lelaki bujang berusia 39 tahun itu sentiasa berusaha mencari pelbagai kaedah terbaik kerana sepanjang menjalankan perniagaan, banyak cabaran terpaksa dihadapi.
Namun, katanya, rangsangan daripada ibu supaya bekerja kuat mental dan fizikal menjadi pendorong semangatnya untuk terus merintis laluan hebat sebagai usahawan berjaya.
Kini, selain mengembangkan jamu, dia memiliki pusat rawatan untuk wanita bersalin dan urutan atau spa, di samping menjalankan katering dan kedai kek serta roti dengan menyediakan khidmat penghantaran kepada pelanggan menerusi talian.
Terbaru, dia mengorak langkah dan mencuba nasib di bidang pelancongan dalam dan luar negara dengan mempertaruhkan kerja keras dan membuktikan kemiskinan lalu adalah penanda aras kepadanya untuk terus berjaya.
Yang menarik, Abib akui kesukaran hidup yang dilalui membuatkan dia tidak pernah lupa golongan miskin. Antara usaha dilakukan, dia menyusun program bulanan dengan memberi bantuan di samping membina atau membaiki kediaman golongan miskin supaya hidup lebih selesa apabila rumah lebih sempurna.
“Bermula Januari lalu, kami memulakan langkah pertama dengan membaiki rumah golongan miskin di sekitar Lembah Klang seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Selebihnya, kami ke Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis supaya bersifat menyeluruh dengan kemampuan yang kami ada.
“Sepanjang menjalankan program, didorong rasa insaf yang mendalam kerana pengalaman hidup susah dulu mengajar diri supaya prihatin dengan nasib golongan susah dan ia memberi kesedaran untuk membantu mereka yang memerlukan. Dalam erti kata lain, saya juga ingin mencari saham untuk akhirat,” katanya.
Menurutnya, antara pengalaman tidak mungkin dilupakan ialah ketika berkunjung ke beberapa rumah yang daif, manakala pengalaman di sebuah rumah di Shah Alam baru-baru ini sungguh mengejutkan.
Katanya, ini kerana sebaik memasuki rumah itu, seorang ahli keluarga menjerit ke arahnya supaya jangan memijak bahagian lantai kerana ia patah dan membahayakan.
Sebenarnya, kata Abib, seluruh bahagian lantai rumah itu tidak boleh dipijak kerana reput dan patah hinggakan keluarga malang itu terpaksa tidur antara lantai dan takungan air akibat atap bocor.
Selain itu, banyak lagi kediaman dikunjungi berada dalam keadaan menyedihkan sehingga mengundang rasa simpati dan terus terpanggil untuk membantu golongan berkenaan.
Kesusahan hidupnya pernah diolah menerusi persembahan Teater Mak Dara Nyonya pada Julai 2011 di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang dengan garapan mesej dan pengajaran tersendiri.
Antara tetamu kehormat yang menyaksikan teater itu adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Menurut Abib, selepas menonton, Siti Hasmah bertemu ibunya dan menyatakan seolah-olah tidak percaya pengalaman hidup yang pernah dilalui, selain memberi kata-kata perangsang.
Kini, walaupun sibuk merencanakan perniagaan, dia meneruskan pelajaran dari peringkat bawah hingga berjaya ke Universiti Malaya untuk membuktikan pembelajaran sepanjang hayat sangat penting dalam hidup seseorang.
“Sebenarnya, pengalaman sangat berharga dalam hidup. Kerjaya dan perniagaan mematangkan hidup saya. Apabila ada sijil atau ijazah, ia bagai menyempurnakan lagi impian yang terhalang satu ketika dulu.
“Apapun, saya bersyukur dengan apa dikecapi sekarang dan ia berkat kesabaran, kegigihan dan pengorbanan selain doa yang tidak pernah putus kepada Allah,” katanya.
PROFIL:
NAMA: Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee
TARIKH LAHIR: 12 November 1972
ASAL: Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd
ADIK-BERADIK: Anak kesembilan daripada 11 beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaya
0 comments:
Post a Comment