Home » » Tarawih lapan rakaat tak ikut sunnah?

Tarawih lapan rakaat tak ikut sunnah?

Written By kall on Thursday, 26 July 2012 | 07:18


Sering kita lihat dua keadaan yang berbeza dalam pelaksanaan solat tarawih iaitu dari sudut bilangan rakaatnya. Ada yang melaksanakan lapan rakaat dan ada yang 20 rakaat. 

Pada masa sama, sebahagian masjid atau surau di negara kita, ada pula yang mengadakan tazkirah atau ceramah selepas lapan rakaat itu.

Kedapatan sebahagian makmum yang mempertikaikan kenapa perlu tazkirah, sedangkan Ramadan hanya sekali, sebaiknya diisi dengan menunaikan solat tarawih sehingga 20 rakaat. Tazkirah atau ceramah boleh diadakan pada waktu yang lain. 
Sebelum menjawab isu ini, sebaiknya kita melihat dalil mengenai bilangan rakaat solat tarawih sama ada ia ditunaikan lapan rakaat atau 20 rakaat.

Dalil solat tarawih lapan rakaat:

Saidatina Aisyah ditanya mengenai solat nabi SAW pada bulan Ramadan, beliau menjawab: Baginda tidak pernah solat pada malam Ramadan atau malam bulan lain melebihi 11 rakaat. Baginda bersembahyang empat rakaat, jangan ditanya tentang kesempurnaan dan panjangnya solat baginda, kemudian baginda bersembahyang lagi empat rakaat, jangan ditanya mengenai kesempurnaan dan panjangnya solat baginda, lalu Baginda sembahyang pula tiga rakaat (witir). Hadis Riwayat Bukhari (1909), Muslim (738).

Imam Sayuti menulis bahawa tiada dalil yang menunjukkan bahawa Nabi SAW menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat, sebaliknya riwayat yang kukuh hanya menyebut baginda menunaikan solat tarawih tanpa menyebut bilangan rakaatnya. 
Imam Ibn Hajar al Haithami pula menyatakan bahawa hadis: Baginda bersembahyang (tarawih) 20 rakaat adalah sangat daif. (Ensiklopedia Fekah 27/142)

Dalil solat tarawih 20 rakaat:

Rasulullah SAW ditanya mengenai solat sunat pada malam hari, Baginda menjawab: Sembahyang malam dua rakaat, dua rakaat, jika kamu bimbang hampir waktu Subuh, akhirilah dengan solat witir satu rakaat ( Hadis Riwayat Bukhari (946), Muslim (749).

Hadis ini tidak menetapkan bilangan rakaat, asal saja ditunaikan secara dua rakaat satu salam. Berdasarkan kedua-dua hadis di atas yang berstatus sahih, menunaikan solat tarawih sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat sudah menepati sunnah. 

Sesiapapun tidak sepatutnya mempertikaikan golongan yang melaksanakan lapan rakaat atau 20 rakaat. Cuma pada zaman Rasulullah, baginda melaksanakan solat lapan rakaat dengan bacaan yang begitu panjang sehingga diriwayatkan ada yang menghampiri waktu Subuh. 

Jika solat tarawih ditunaikan dengan begitu panjang, mungkin makmum tidak mampu untuk menghabiskan solat tarawih tersebut, sedangkan menyelesaikan solat bersama imam juga adalah satu tuntutan. Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga beliau beredar (setelah selesai solat), maka ditulis baginya Qiamullail sepanjang malam. (Riwayat Tirmizi)

Mengambil kira pelbagai situasi seperti ketidakmampuan makmum dan sebagainya, ulama menyarankan agar dipendekkan bacaan tetapi ditambah bilangan rakaatnya. Berdasarkan amalan sahabat yang menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat, maka amalan itu telah diterima daripada generasi ke generasi. Pada zaman Imam Malik, solat tarawih dikerjakan sebanyak 36 rakaat. 

Menurut pandangan Imam Nawawi pula dalam kitab Majmuk: Solat tarawih adalah sunnah dengan ijmak ulama, mengikut mazhab kita (Shafie), ia ditunaikan 20 rakaat dengan 10 kali salam, dan boleh ditunaikan secara berseorangan dan berjemaah. (Majmuk 4/31)

Sebagai Kesimpulan, boleh dipertikai jika solat tarawih ditunaikan kurang daripada lapan rakaat. Jika sudah dilaksanakan lapan rakaat, terserah sama ada untuk mengadakan ceramah, tazkirah atau apa saja yang boleh memberi manfaat bersama kepada jemaah, terutama jika itu yang diminta oleh pihak jemaah di satu-satu tempat. 

Jika imam menunaikan tarawih sebanyak 20 rakaat, maka adalah lebih afdal bagi makmum mengikut imam sehingga selesai solat dan tidak keluar ketika lapan rakaat seperti maksud hadis Tirmizi di atas. Jika ingin menunaikan lapan rakaat, sebaiknya berjemaah bersama imam yang menunaikan tarawih lapan rakaat juga. 

Namun oleh kerana Ramadan adalah bulan beribadat yang mana pahala digandakan, sebaiknya tarawih ditunaikan 20 rakaat atau lapan rakaat tetapi dengan bacaan yang panjang.

0 comments: