Home » » Tambah pendapatan dengan oleh2 majlis kahwin

Tambah pendapatan dengan oleh2 majlis kahwin

Written By kall on Thursday, 9 February 2012 | 14:04

Oleh-oleh istimewa majlis kahwin



CAKAR ayam merupakan salah satu kuih tradisional yang enak dijadikan snek minum petang yang dihidangkan bersama teh. Bentuknya bulat dan berwarna coklat. Kuih tradisional ini diperbuat daripada ubi keledek.

Kepada yang belum pernah merasanya, kuih cakar ayam mempunyai tekstur yang rangup dan manis. Snek ringan ini selain dihidangkan kepada tetamu, ia juga dijadikan buah tangan istimewa kepada tetamu pada majlis perkahwinan menggantikan bunga telur.

Bahkan, ada yang menjadikan kuih cakar ayam berbentuk sarang burung sebagai pengganti bekas telur.

Ia bukan sahaja unik malah menjimatkan kerana anda bukan sahaja dapat menikmati telur bahkan bekasnya juga boleh dimakan.

Norini Mohamad, 55, merupakan salah seorang pengusaha kuih cakar ayam di Parit Punggur Darat, Jalan Seri Tanjung, Muar, Johor. Pada satu pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini, Norini kelihatan begitu sibuk menyagat keledek dengan mesin sagat dari Taiwan yang sangat berjasa kepadanya.

Ubi keledek

Keledek-keledek yang dikupas disagat halus-halus menjadi bentuk seperti mi. Sebelum mempunyai mesin sagat, Norini melakukan proses menyagat keledek dengan tangan. "Dengan menggunakan mesin sagat ini, kerja-kerja menyagat menjadi mudah, senang dan pantas," ujarnya.

Jelas Norini, kuih cakar ayamnya menggunakan ubi keledek. Dia pernah cuba menggunakan keledek kuning, namun hasilnya tidak banyak. Begitu juga ubi kayu, ia menyebabkan proses membuat snek tersebut semakin sukar kerana kandungan kanji yang terdapat dalam ubi kayu tersebut.

Memulakan perniagaan cakar ayam ini sejak 15 tahun lalu, ibu kepada Mohamad Norasif Anuar, 29, dan Mohamad Norhalim Anuar, 21, belajar membuat cakar ayam daripada ibunya.

Sebelum ini dia hanya menjalankan bisnes snek tersebut secara kecil-kecilan. Namun, seiring peredaran masa, cara pembuatan snek itu juga berubah. Cerita Norini, bagi meningkatkan kualiti cakar ayamnya, dia kerap melakukan eksperimen. Semua itu dilakukan untuk memastikan cakar ayamnya lebih enak dan tahan lama.

Menurut Norini, idea untuk menghasilkan kuih cakar ayam berbentuk sarang burung diperoleh sejak lima tahun lalu. Sejak itu, permintaan terhadap cakar ayam sarang burung semakin bertambah.


NORINI menggunakan mesin untuk menyagat ubi keledek.


"Ketika itu adik saya mahu bertunang, jadi saya terfikir bagaimana untuk menggantikan bekas telur yang lazimnya dibuang.

"Jadi, saya terfikir untuk membentuk kuih cakar ayam. Saya menggunakan bekas untuk menghasilkan bentuk sarang burung kerana terfikir burung bertelur dalam sarang," katanya yang mencuba lebih 10 kali untuk mendapatkan bentuk sarang burung yang sempurna.

Jelas Norini, proses membuat cakar ayam ini bermula dengan membasuh keledek sebelum ia dikupas.

Dia yang mengusahakan makanan ringan lain seperti kerepek pisang, tepung jejari udang, rempeyek tumpi dan kacang menjelaskan, keledek itu kemudiannya disagat.

Selepas proses menyagat, ubi keledek yang disagat itu digoreng hingga rangup.

Gula tebu

Kemudian, air gula dimasukkan dan adunan dikacau tanpa henti hingga gorengan sebati dengan gula sebelum diangkat serta ditoskan minyaknya.

"Ia kemudian dibentuk menjadi sarang burung dengan acuan plastik. Bahagian tengahnya ditekan dengan kayu yang dibentuk seperti anak lesung untuk menghasilkan lubang," katanya proses tersebut dilakukan ketika adunan masih panas.

Menurut Norini, untuk mendapatkan cakar ayam yang enak rasanya, dia menggunakan campuran gula tebu dan gula biasa. Gula tebu menurutnya, memberikan rasa lemak dan enak walaupun gula tebu sukar diurus kerana mengandungi banyak bendasing seperti hampas tebu dan pasir.


KELEDEK perlu disagat halus seperti mi sebelum ia digoreng hingga ranggup.


Memandangkan proses mengurus gula tebu ini agak rumit dan leceh, ia menyebabkan tidak ramai pengusaha mahu menggunakan bahan tersebut. Namun, dia mempunyai kaedah tersendiri untuk mengasingkannya.

"Gula tebu dimasak dengan api yang kuat sehingga berbuih. Buihnya kemudian dibuang kerana segala bendasing yang ringan akan terapung bersama-sama buih," ujarnya.

Setelah gula tebu dimasak, lapisan tengah sahaja diambil dan ditapis dengan kain. Lapisan paling bawah dibuang kerana terdapat mendapan batu dan pasir.

Norini memberitahu, campuran gula dan keledek juga perlu seimbang, jika tidak cakar ayam akan berderai dan tidak melekat.

"Biasanya 300 gram keledek menggunakan satu senduk besar air gula. Apa yang penting, gula dan keledek perlu seimbang. Kalau guna gula pasir, cakar ayam akan membentuk tetapi kalau kena panas ia akan lembik.

"Jika terlebih gula, cakar ayam akan keras. Jika cakar ayam liat maknanya keledek tidak digoreng rangup," katanya berkongsi tip.

Cuti sekolah

Kini, banyak tempahan cakar ayam sarang burung yang perlu dipenuhinya. Setiap hari Norini dibantu empat orang wanita dalam kalangan penduduk setempat. "Tempahan paling banyak diterima pada musim cuti sekolah. Selain tempahan biasa, ada juga pemborong yang mahu membelinya tetapi saya tidak dapat penuhi permintaan mereka kerana perlu terikat dengan tempahan," katanya jika ada mesin untuk membentuk cakar ayam, dia mampu meningkatkan pengeluarannya.

Saiz lubang pada bahagian tengah cakar ayam sarang burung mesti sama saiznya dengan sebiji telur ayam.

Sebiji cakar ayam sarang burung dijual pada harga 80 sen. Kata Norini, dia mengambil masa empat jam untuk memproses 40 kilogram ubi keledek menjadi cakar ayam sarang burung. Biasanya, dia akan memproses cakar ayam satu kuali besar yang menghasilkan 700 cakar ayam sarang burung sehari.

Bagi mendapatkan 1,000 cakar ayam sarang burung sehari, Norini dibantu oleh suami dan anak-anaknya.




Ditanya mengenai kelainan cakar ayam hasil air tangannya berbanding cakar ayam yang lain, Norini memberitahu perbezaan dapat dilihat dari segi rasa dan teksturnya. Penggunaan gula tebu menjadikan cakar ayamnya lebih sedap, lemak dan harum.

Kuih buatan Norini juga tahan lama dan hayatnya selama tiga bulan. Dia pernah menerima tempahan sehingga 3,000 biji cakar ayam sarang burung.

Norini juga berkongsi pengalamannya memenuhi jemputan kenduri kahwin. Jelasnya, ada kalangan tetamu yang menyangka cakar ayam sarang burung itu adalah bekas telur kaca hingga melarang anak-anak mereka memakannya.

Dalam pada itu, suaminya, Mohd. Anuar Ahmad, 62, turut membantu Norini mengupas kulit keledek.

"Kami ada juga cuba untuk menanam sendiri ubi keledek, tetapi ia gagal kerana monyet-monyet liar merosakkan tanaman," ujarnya.