Nilai klasik katil kayu tradisional
KEHENINGAN pagi itu tiba-tiba bertukar bingit. Seorang lelaki sebelum itu dilihat bangun menjinjing sebuah mesin pemotong kayu menuju ke tepi belukar untuk menebang pokok. Bunyi bising saat mata mesin mengena batang pokok cengal menyebabkan mungkin ada yang menyangka, Ismail Yunus seorang pembalak.
Jika itu tekaan anda, ternyata ia meleset sama sekali. Dalam zaman serba moden ini, pada saat mungkin kebanyakan anak muda mungkin lebih mengenali katil IKEA, siapa sangka katil tradisional masih mempunyai peminatnya.
Ismail adalah di antara sebilangan pembuat katil tradisional yang masih berusaha mengekalkan kesinambungan nafas seni kraf tangan yang hakikatnya kini sedang bergelut untuk meneruskan survivalnya.
Menjelang tengah hari, Ismail kembali ke rumah usang yang dihuni bersama tujuh ahli keluarganya. Beberapa keping kayu yang telah siap dipotong disusun rapi mengikut saiz. Di satu sudut, kelihatan beberapa bilah pahat yang diasah tajam bagi tujuan ukiran. Beberapa jam kemudian, lelaki berusia 48 tahun itu mula menjalankan kerja hakikinya sebagai seorang pembuat katil tradisional.
Dibantu dua anak lelaki yang berusia 16 tahun dan 13 tahun, Ismail yang berusia 48 tahun mula menggerak-gerakkan jarinya bagi mencari lakaran terbaik. Sejam kemudian, lakaran berbentuk dedaun berbaru mulai kelihatan. Agak menakjubkan, kerana dia langsung tidak menggunakan sebarang panduan atau alat untuk membentuk lakaran yang tepat itu.
"Semua lakaran yang saya inginkan ada dalam kepala. Saya tidak perlukan kertas jauh sekali untuk menggunakan komputer. Setiap pergerakan jari-jemari saya adalah atas naluri dan pengalaman,'' jelas bapa kepada enam anak itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Kerengga, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Sambil tangannya tangkas mencapai pahat, lelaki itu mula membuka bicara.
"Saya perlu melakukan 10 proses wajib dalam pembuatan satu-satu katil tradisional. Langkah pertama adalah mencari kayu sama ada dibeli atau dicari di dalam hutan dengan kayu jenis cengal dan seraya menjadi pilihan.
"Kayu ini perlu diketam bagi mencari corak yang menarik selain membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu kepala dan ekor katil. Selepas itu, saya akan mengukir bunga dan memotongnya menggunakan mesin.
"Langkah paling penting adalah memahat menggunakan tangan kerana di sinilah seni sesebuah katil itu dicari. Hasil yang dipahat itu perlu dihalusi dengan kertas pasir buat kali pertama," katanya.
Proses seterusnya adalah memasang empat komponen katil merangkumi kepala, ekor, rasuk dan lantai. Selepas itu katil akan dicat dengan cat varnis dan dibiarkan kering selama 24 jam.
Kerja-kerja menghalus buat kali kedua akan dilakukan menggunakan kertas pasir sebelum proses terakhir yang juga kerja-kerja menghalus.
"Kerja menghalus sangat penting bagi memastikan corak pada kayu itu kekal dan tidak hilang sampai bila-bila," jelasnya.
Corak awan larat
Menceritakan lanjut mengenai pembuatan katil tradisional, ketelitian dalam penghasilan katil termasuk untuk mengukir menyebabkan dia memerlukan masa seminggu menyiapkan sesebuah katil termasuk dengan mengecat dan pemasangan.
"Nilai ukiran dan pembuatan katil tradisional ini cukup tinggi. Ia adalah satu kepuasan kepada saya sebagai pembuatnya. Dalam sebulan saya boleh siapkan empat buah katil kalau ada permintaan. Ia merangkumi katil satu tilam, jenis queen dan king. Semuanya bergantung atas permintaan daripada pelanggan," tambahnya.
Ujar beliau, dalam pembuatan katil tradisional ada empat rangka wajib yang perlu dihasilkan mengikut ukuran yang tepat. Pertamanya adalah kepala katil yang akan menghimpunkan ukiran pilihan pelanggan sama ada bercorakkan awam larat, bunga-bungaan atau pun geometri.
Selepas itu ada juga ekor katil yang mana hiasannya banyak mengikut ciri-ciri kepala katil. Dua lagi rangka wajib adalah rasuk katil dan lantai katil.
Jujur katanya, pembuatan kepala katil adalah yang paling sukar kerana ia menjadi penanda aras kepada kualiti dan nilai eksklusif sesebuah katil tradisional.
Selain nilai eksklusif dan klasik setiap katil yang dihasilkannya, Ismail lantang memberi jaminan katil rekaannya mampu bertahan beratus tahun lamanya berbanding katil moden biasa.
Bukan ingin bercakap besar, sebaliknya keyakinan Ismail itu adalah bersandarkan kepada corak pemilihan kayu yang dibuat selain. cara pemasangan yang tidak bergantung penuh kepada paku.
"Pelbagai jenis kayu seperti tembusu, cengal dan seraya kebanyakannya saya peroleh daripada hutan,'' jelasnya.
Terpaksa runding harga
Sesekali bercakap mengenai keuntungan, Ismail lebih suka membisu. Ternyata dalam wajah yang lesu Ismail menyimpan bukan sedikit kisah duka. Ini kerana dia sedar pendapatannya sebagai pembuat katil tradisional bukanlah semewah yang mungkin disangka oleh semua orang.
Malah akuinya, demi kecintaannya terhadap kerjaya itu dan demi sesuap nasi acap kali, dia perlu bertolak ansur dengan pelanggannya bahkan sesekali mengalah dari segi harga.
"Harga biasanya saya letakkan mengikut kualiti ukiran dan saiz iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk sebuah katil. Namun, bila pelanggan minta harga yang lebih murah, biasanya saya hanya mampu membuat jualan sekitar RM1,500 untuk sebuah.
"Saya tidak boleh berkeras pada harga kerana permintaan ke atas katil tradisional bukanlah tinggi. Jadi, jika ada pelanggan tawaran maka, saya akan terima asalkan saya mendapat duit," katanya.
Di sini, tiada sudah nilai keuntungan kerana inilah hakikat yang saya perlu terima. Selagi ada orang yang sudi membeli, selagi itu saya akan menjualnya walaupun saya tahu ia satu kerugian di atas kesungguhan dan penat lelah saya.
Namun, Ismail tetap gembira dengan apa yang dilakukannya kini. Dengan bermodalkan sewa rumah sebanyak RM100 sebulan, dia senang dengan apa yang diperoleh.
Mengakui ramai rakan-rakannya sudah mengecapi kehidupan mewah, dia sebaliknya lebih suka bersandarkan kepada rezeki termasuklah menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan memotong, memahat, mengukir dan mengecat katil tradisional.
"Susah macam mana sekali pun, saya tidak akan meninggalkan kerjaya ini. Dunia saya adalah di sini dan inilah kehidupan saya," katanya yang pernah menolak tawaran menjadi tenaga pengajar di Sabah kerana terlalu jauh dari Terengganu.
Sementara itu, anak sulung Ismail, Mohd. Hafizan mengakui, masa remajanya kini lebih banyak dihabiskan di bengkel untuk membantu ayahnya selepas berhenti daripada sekolah.
Katanya, apa yang dilakukannya ketika ini termasuk berhenti sekolah bukanlah satu pilihan tetapi, demi menjaga keluarganya yang bergantung penuh kepada rezeki katil tradisional.
"Bapa ada tanya adakah saya mahu menyambung sekolah tetapi, saya rasa inilah kehidupan yang perlu saya hadapi. Saya sudah jauh tertinggal dan rasa agak malu untuk kembali ke sekolah.
"Biarlah saya di sini untuk melihat kemahiran bapa. Mungkin suatu hari nanti saya mampu meneruskan tradisi keluarga dengan cara yang berbeza," jelasnya yang mula berjinak-jinak dalam aspek ukiran dan lakaran.
2 comments:
hope he will be success..
zzzzz2018.8.3
off white shoes
pandora charms outlet
kate spade outlet
pandora
supreme clothing
issey miyake
mulberry handbags
pandora charms
canada goose outlet
moncler online outlet
Post a Comment