Home » » Rahsia Warong Soto

Rahsia Warong Soto

Written By kall on Saturday, 3 December 2011 | 06:27

Resipi rahsia Warong Soto Berlada


Kualiti dan kebersihan hidangan amat dijaga di Warong Soto Berlada.


ADUNAN rempah ratus yang disebatikan dengan ramuan tersendiri akhirnya menjadikan soto menu istimewa di Warong Soto Berlada.

Malah, tidak lengkap sekiranya soto tidak disajikan dengan bahan-bahan sampingan seperti isi ayam, begedil dan juga sambal cili kicap.

Sajian tradisional tersebut bukan sahaja mampu membuat anda terliur malah tidak sah sekiranya tidak mencuba barang sepinggan.

Warung terletak di Jalan AU 1A/2, Bengkel Mara, Taman Keramat, Selangor. Menurut Pengurusnya, Mohamad Ramadan, 31, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun.

Katanya, perniagaan tersebut pada asalnya diusahakan oleh arwah bapanya, Ahmad Safari Yunus bersama ibunya, pelakon veteran, Ruminah Sidek, yang dikenali dengan panggilan Mak Mah.

Tetapi kini ia diusahakan oleh adik-beradiknya yang lain dalam usaha mengingati usaha ibu bapa mereka itu.

"Jika hendak berbicara tentang perniagaan ini panjang ceritanya. Ia sememangnya diusahakan oleh arwah bapa dan juga ibu pada awal 70-an.

"Mereka mula berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kuala Lumpur dan juga di gerai di Dataran Merdeka yang ketika itu terkenal dengan gerai hidangan sate dan mi Jawa.

"Kemudian ia terhenti lebih kurang lima tahun selepas arwah ayah meninggal dunia sebelum ia beroperasi semula di Jalan Enggang dan diusahakan oleh kakak dan abang," ujarnya ketika ditemui di warung sotonya, baru-baru ini.

Tambahnya, selepas beroperasi selama tiga tahun di situ, gerai tersebut telah berpindah ke lokasi hari ini.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, mereka mempertaruhkan menu-menu berasaskan kuah dan sup. Sememangnya kesemua masakan yang disediakan di Warong Soto Berlada boleh diberikan pujian lima bintang.

Cukup sekadar menyajikan hidangan seperti soto, mi Jawa, mi kari, laksa, nasi ayam, nasi lemak dan rojak buah. Ia sudah memadai bagi peminat-peminat hidangan berkuah seperti itu.

Jelas Ramadan lagi, keistimewaan soto, mi Jawa dan mi karinya terletak pada kuahnya.

"Kesemua kuah yang dihasilkan sememangnya resipi asli turun temurun daripada ayah cuma kami olah sedikit untuk menyedapkannya lagi.

"Bahan-bahan yang digunakan sudah pasti yang segar dan berkualiti agar para pelanggan datang lagi pada masa akan datang.

"Alhamdulillah setakat ini pelanggan-pelanggan yang datang tidak hanya yang tinggal di sekitar Lembah Klang malah boleh dikatakan dari seluruh negara termasuk pelancong-pelancong luar," katanya.

Turut menjadi tempat persinggahan bagi selebriti-selebriti tanah air, Warong Soto Berlada memberi pelbagai pilihan soto kepada pelanggan seperti soto biasa, soto special dan juga soto taukeh.

Begitu juga dengan mi Jawa di mana anda boleh memilih sama ada mahukan yang biasa ataupun yang special.

Bagi hidangan nasi lemak pula, selain dibungkus dalam daun pisang, ia juga lebih sedap sekiranya dinikmati bersama paru goreng.

Kesemua hidangan yang terdapat di warung tersebut ditawarkan pada harga serendah RM1.20 sehingga RM9.

Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang menikmati karamel sebagai pencuci.

Tambah Ramadan, selain menerima tempahan, mereka kini dalam perancangan untuk menambah menu seperti sate dan juga pecal untuk memberikan kelebihan menu buat pelanggan.

0 comments: