Tembikai ILDAS muncul ketika Ramadan, Syawal
KETIKA mula-mula sampai ke ladang tembikai susu madu yang dipanggil ILDAS kerana ditanam di berhampiran Institut Latihan dan Dakwah Selangor di Sabak Bernam, penulis tidak menyangka terdapat ladang tembikai susu di kawasan yang dipenuhi dengan semak-samun.
Kerana lokasi ladangnya itu, maka tembikai susu yang dihasilkan itu diberi gelaran tembikai susu madu ILDAS.
Semasa tiba di ladang berkenaan, kelihatan pekerja-pekerja ladang sedang memetik buah tembikai susu madu ILDAS yang tersembunyi di sebalik semak.
Apa yang lebih menarik tembikai susu madu ILDAS hanya ditanam sejak enam tahun lalu bagi pasaran di bulan Ramadan dan Syawal.
Diusahakan oleh usahawan tani Mahiddin Mohd. Yusuf, 38 yang mempunyai latar belakang sebagai seorang kontraktor.
Yang istimewanya tembikai susu madu ILDAS ini memang menepati namanya.
Selepas merasai hirisan yang dibekalkan penulis merasai tembikai susu madu bagaikan dicelup air gula.
"Kalau memang ada penyakit diabetes, tolong hati-hati sebab tembikai susu madu ILDAS amat manis.
"Jika sehiris untuk merasa mungkin boleh tetapi hati-hati jangan makan sehingga habis sebiji," katanya semasa ditemui di ladangnya bersebelahan bangunan ILDAS, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.
Ditanya mengapa terbabit dalam bidang pertanian setelah berjaya sebagai kontraktor binaan, dengan pantas dia menjawab:
"Saya menceburi bidang pertanian sebagai menyahut seruan kerajaan bagi menjadikan pertanian adalah perniagaan."
Mahiddin memulakan tanaman tembikai susu madu ILDAS dengan menyewa tanah terbiar seluas 39 hektar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selama 25 tahun.
Pada mulanya tanah berkenaan mahu ditanam dengan kelapa sawit.
"Bagaimanapun kami mendapati tanah di sini iaitu tanah liat masin yang hampir dengan laut sangat sesuai ditanam dengan tembikai susu madu ILDAS," katanya yang juga mempunyai ladang ternakan lembu di Taman Agrotek Sungai Panjang, Sabak Bernam.
Di atas tanah yang sama juga, Mahiddin menanam kelapa sawit yang diselang seli dengan pisang dan tembikai susu madu ILDAS.
Beliau yang membeli benih tembikai susu madu ILDAS itu dapat menuai hasilnya hanya selepas 65 hari ditanam.
"Pokok tembikai susu madu ILDAS amat mudah ditanam kerana tidak memerlukan junjung dan hanya menjalar di atas tanah.
"Malah penjagaannya tidak terlalu sukar. Hanya memerlukan baja dan semburan racun perosak apabila diperlukan," katanya.
Kini Mahiddin menanam tembikai itu atas tanah seluas 27 hektar ekar dua bulan sebelum Ramadan secara berperingkat-peringkat.
Menurutnya tembikai susu madu itu amat unik kerana hanya ditanam untuk pasaran semasa Ramadan dan Syawal dan tidak pada bulan-bulan lain.
Diminta berkongsi apakah faktor dia tidak menanamnya sepanjang tahun, Mahiddin menjawab, tanah perlu 'direhatkan' beberapa waktu sebelum ditanam semula.
"Saya perlu menjaga kualiti tembikai susu madu ILDAS dan jika saya menanam sepanjang tahun akan membiakkan dan merebakkan pelbagai jenis penyakit," katanya.
Sebiji buah tembikai susu madu ILDAS yang rasanya amat manis beratnya kira-kira 1.5 kilogram (kg) dengan harga RM2 hingga RM2.50 di ladang.
Dalam sehari ladangnya boleh mengeluarkan empat hingga lima tan tembikai susu madu ILDAS.
Buat masa ini ramai pembeli sekitar Sabak Bernam datang sendiri selain dibeli oleh peraih serta dijual sendiri di rumahnya di Sungai Besar.
Mahiddin berkata, permintaan terhadap tembikai susu madu amat menggalakkan sehinggakan pihaknya tidak dapat memenuhi semua permintaan.
Apa yang lebih membanggakan ladang tembikai susu madu ILDAS kini menjadi tempat pembelajaran belia-belia sekitar Sabak Bernam yang berminat untuk mendalami kaedah menanam tembikai susu madu ILDAS.
"Kini belia yang bekerja dengan saya sudah boleh menanam tembikai susu madu ILDAS sendiri dan mendapatkan pendapatan sendiri," katanya.
Perkara berkenaan disokong oleh Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Sabak Bernam, Budiman Mohd. Zohdi bahawa kejayaan Mahiddin mengusahakan tanah terbiar itu mampu dijadikan contoh terutama oleh belia.
"Dia bukan sahaja berbudi kepada tanah tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada para belia di kawasan setempat," katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan akan datang, Mahiddin berkata, selepas tembikai susu madu itu habis dituai, beliau melepaskan itik telur sebagai agen kawalan perosak biologi di ladang sawitnya.
"Itik telur akan memakan segala serangga perosak seperti kumbang yang biasanya menyerang pokok-pokok sawit.
"Dalam masa yang sama, itik akan menghasilkan telur sementara sawit mengeluarkan hasil.
"Jadi saya akan mendapatkan dua pendapatan pada satu bidang tanah yang diusahakan," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan terus menanam tembikai susu madu itu di masa akan datang, Mahidin menjawab, dia akan berbuat demikian jika ada permintaan.
"Jika ada kawasan yang sesuai untuk tanaman tembikai susu madu ILDAS saya akan terus menanam untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah setiap kali Ramadan dan Syawal," katanya.
0 comments:
Post a Comment