HARI ini kita sihat walafiat, esok lusa belum pasti. Justeru, membuat tabungan perlindungan diri atau insurans sememangnya dituntut sebelum menempuh detik sukar.
Malang pula kesedaran masyarakat kita, terutama kaum Melayu, terhadap polisi insurans agak tipis sebelum era 1990-an.
Lain ulu lain parang, lain dulu, lain sekarang. Persekitaran hidup yang kian kompleks kini tanpa disedari menyuntik kesedaran tinggi pada masyarakat kita terhadap insurans.
Selaku Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd, Laila Johari sukar menidakkan saban hari kian ramai masyarakat kita menabung dengan mengambil polisi insurans untuk keluarga, anak pula dalam pendidikan atau insurans simpanan masa depan.
“Ingin saya pesan, jangan ketepikan insurans, sebaliknya dengar dulu penerangan apabila dihubungi ejen insurans. Kita kena ubah tanggapan negatif kerana dulu, jika ada ejen insurans menghubungi seseorang, jawapan diterima seperti belum bersedia, tidak berminat dan sebagainya.
PEMBABITAN di bidang insurans bukan hanya dinilai pada jumlah wang diperoleh daripada ejen, sebaliknya ‘mengekalkan’ pendapatan tahunan 10 tahun berturut-turut dengan kuota yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.
Laila sukar menidakkan betapa bangganya apabila usahanya diiktiraf di peringkat dunia dengan menjadi ahli Million Dollar Round Table (MDRT).
Menurutnya, untuk menjadi ahli seumur hidup dalam MDRT yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, seseorang itu harus memenuhi syarat ditetapkan iaitu mencapai jumlah ratusan ribu. Kini MDRT mempunyai penyertaan 5,000 ahli ejen insurans dan pengurus kewangan seluruh dunia.
“Lebih membanggakan, kami muncul sebagai pasangan suami isteri pertama di Malaysia mencapai tahap ahli MDRT. Saya menjadi ahli selama 21 tahun, manakala suami 15 tahun terbabit sebagai ahli.
“Sehingga kini, kami mengadakan banyak seminar, motivasi dan berganding bahu dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (MII) untuk menarik masyarakat umum supaya celik insurans baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.
Bercerita mengenai pengurusan masa, Laila mengakui pada awal perkahwinan dan ketika anak masih kecil adalah fasa sukar bagi kebanyakan wanita berkerjaya membahagikan masa berkualiti untuk muncul sebagai pekerja berwibawa, isteri hebat serta ibu berdedikasi.
Namun, katanya, perubahan masa seiring kematangan usia membuatkan dia bijak mengendalikan urusan kerjaya dan keluarga dengan penuh disiplin untuk muncul sebagai wanita hebat.
“Tidak dinafikan setahun selepas perkahwinan kami (1983), saya dianugerahkan anak pertama, Sharina, sedangkan ketika itu saya bergelar ejen insurans.
“Sebaik saja Shaliza dan Shazwina lahir, tanggungjawab semakin berat tetapi saya habiskan kerja secepat mungkin untuk berada di rumah bersama anak.
“Pada saya, sehebat mana pun seorang ibu, keluarga adalah segala-galanya. Tanggungjawab memastikan kemajuan pendidikannya sangat kami titik beratkan dan ternyata berbaloi apabila anak berjaya di bidang masing-masing.
“Suami pula penyayang serta bertanggungjawab membantu saya dalam banyak perkara. Misalnya jika saya terpaksa ke luar daerah, dia memastikan rutin anak ke sekolah berjalan lancar. Di bidang insurans, dialah sifu mengajar selok-belok mengenai bidang yang saya minati itu,” katanya.“Memandangkan hari ini ada banyak syarikat insurans, suka saya sarankan, pilih yang profesional demi masa depan anda.
“Walaupun urusan begini nampak remeh, sebaik menandatangani atau membuat bayaran untuk skim perlindungan diri atau simpanan pembelajaran, anda harus meminta nombor polisi selepas dua minggu membuat bayaran. Ia penting demi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Berpengalaman 22 tahun dalam bidang insurans, Laila berkata, ejen insurans harus bertanggungjawab sepenuhnya kepada pelanggan bagi menepis tohmahan negatif masyarakat terhadap mereka, misalnya sukar dihubungi, susah berurusan dan mendapatkan semula simpanan serta pelbagai masalah.
“Sebenarnya, kita tidak hanya menjual insurans semata-mata, sebaliknya perkhidmatan yang didasarkan atas rasa tanggungjawab dan kemanusiaan kerana menjaga sesuatu yang diamanahkan.
“Kita harus prihatin jika pelanggan berdepan situasi gawat atau ditimpa musibah dan berusaha sedaya mungkin untuk menghulurkan bantuan.
“Saya pernah mengendalikan pelanggan dengan sejumlah RM500,000 diinsuranskan bagi menyelenggarakan penyakit jantungnya yang kronik. Ternyata, dengan jumlah itu dia dirawat sepenuhnya tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan.
“Bahkan, untuk rawatan susulan dan keperluan lain selepas itu semuanya ditanggung oleh insurans sehingga dia kini pulih sepenuhnya,” katanya.
Pengalaman tidak mungkin dilupakan Laila sepanjang pembabitannya di bidang insurans, apabila berdepan pemegang polisi insurans yang meninggal dunia. Menurut Laila, hari lelaki itu meninggal dunia sebenarnya adalah hari persaraannya.
Dia meneliti insurans milik lelaki itu dan mendapati insuransnya masih aktif lalu berusaha mendapatkan sejumlah wang tabungannya bagi meringankan beban dia sekeluarga.
“Bayangkan jumlah insurans lelaki itu hanya RM10,000 manakala isteri adalah suri rumah sepenuh masa dan mereka mempunyai empat anak yang masih kecil serta hidup susah.
“Dengan rasa terharu, balunya menerima jumlah wang itu dan berkat sikapnya berjimat-cermat membesarkan anak, dia juga berjualan secara kecil-kecilan.
“Berkat kebijaksanaan memanfaatkan jumlah polisi itu walaupun kecil tetapi berhemah, kini semua anaknya berjaya. Yang ingin saya katakan, insurans ini tidak kira kecil atau besar tetapi yang terpenting adalah ‘beringat’ pada waktu senang supaya meraih kesenangan ketika menempuh zaman sukar,” katanya.
Mengenai amalan berjimat-cermat, Laila yang berdarah campuran Melayu-Portugis berkata, Islam menyarankan umatnya sentiasa berhemah dalam berbelanja dan sikap membazir perlu dielak.
Dalam hidup seharian, dia turut menasihati orang ramai supaya bijak mengurus kewangan di samping menghakis sikap boros seperti memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran mewah selain mengawal sikap terlalu obses menggunakan kad kredit.
“Memandangkan harga barang semakin naik, masyarakat harus menabung supaya tidak timbul masalah di kemudian hari demi meningkatkan keharmonian keluarga,” katanya yang juga penceramah motivasi yang mengembangkan pengalaman di Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Jerman dan Dubai.
Menurut Laila, selain kerja kuat dan fokus terhadap kerja, aspek yang tidak kurang pentingnya adalah minat mendalam di bidang diceburi.
Dia akur walaupun latar belakang akademiknya sekadar SPM, sikapnya yang tidak pernah jemu mencedok ilmu dalam pelbagai bidang membuatkan dia berada di puncak dengan menapak dari bawah sebagai ejen biasa sebelum meraih kedudukan sekarang.
“Nama saya mula dikenali ketika bergelar pengacara program masakan iaitu ‘Kuali’ terbitan TV3 sekitar awal 1990-an dan selama lapan tahun mengendalikan program terbitan Sheila Veriah itu, saya akui program masakan itu popular.
“Ia juga sekali gus melonjakkan nama besar dalam bidang masakan seperti Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), Florence Tan, Agnes Chang, Zaidah Mohd Noor dan ramai lagi.
“Pada masa sama, nama besar seperti Datin Seri Habibah Yusof (Bib), Wan Zaleha Radzi dan Ras Adiba Radzi antara pembaca berita yang hebat dan menjadi sebutan ketika itu.
“Namun sebagai pengacara di bidang masakan, pengalaman itu adalah kenangan terindah dalam perjalanan hidup saya. Walaupun terbabit secara sambilan, ia sungguh menyeronokkan,” katanya.
PROFIL:
NAMA: Laila Johari
LAHIR: 1 Mac 1960
ASAL: Jasin, Melaka
ADIK-BERADIK: Sulung daripada empat beradik
JAWATAN: Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd
AKADEMIK: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
SUAMI: Mohamad Manmohan Abdullah
ANAK: Sharina Manmohan (26), Shaliza Manmohan (22), Shazwina Manmohan (17)
1 comments:
zzzzz2018.8.3
pandora charms
canada goose jackets
polo lacoste
soccer shoes
adidas nmd
polo ralph lauren
nike shoes for men
christian louboutin outlet
coach outlet store online
ugg boots uk
Post a Comment