Home » » Dr Muhaiya Contoh terbaik- Mata dunia Dr Muhaya

Dr Muhaiya Contoh terbaik- Mata dunia Dr Muhaya

Written By kall on Monday, 23 May 2011 | 05:11



KENANGAN...keluarga doktor yang bahagia.

PENGALAMAN melakukan pembedahan mata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiga tahun lalu adalah kenangan terindah sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai pakar mata. Berpeluang merawat mata pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu sehingga kesannya dapat dirasakan hingga ke hari ini terutama kemesraan, lawak bersahaja, kerendahan hati menjadi pemangkin untuk terus berbakti kepada masyarakat menerusi kepakarannya.

Paling tidak dilupakan apabila Tun Hasmah Mohd Ali mengirim kad ucapan terima kasihnya menjadikan memori indah itu membayangi hidup Prof Dr Muhaya Mohamad kerana tingginya budi bahasa negarawan itu.


“Pengalaman merawat Tun adalah anugerah berharga. Menerusi matanya yang istimewa, bekerja kuat untuk membina negara selama menjadi pemimpin terunggul serta sentiasa berfikiran positif adalah kebanggaan semua. Bangganya saya kerana berpeluang ‘mendekati’ dan berpeluang merawat matanya,” katanya apabila ditanya mengenai pengalaman menjalankan pembedahan kepada beberapa pemimpin termasuk VVIP.

Ditanya pengalaman lain yang tidak kurang menariknya, dia akui membedah mata milik lelaki ulama beberapa tahun lalu dan mendapati matanya amat jernih amat menakjubkan. Padanya, mungkin kerana mata digunakan lelaki itu untuk jalan Allah lalu ‘hikmah’ diberikan menerusi pembedahan yang dijalaninya dipermudahkan.

“Ketika melihat retina dalam 20 saat, mulakan dengan bacaan Bismillah serta zikir tidak lekang di bibir. Syukur kerana Allah meluangkan rahmat-Nya yang amat menakjubkan kepada si pesakit dan menerusi matanya, saya menyampaikan pesanan, doa agar mendapat sesuatu yang bermakna daripada pembedahan itu. “Jika melakukan pembedahan kepada yang bukan Islam pula, minta pesakit berdoa mengikut caranya agar dia dapat melakukan kebaikan menerusi pancaindera itu. Sehingga kini, hubungan dengan orang yang pernah dirawat amat akrab sehingga menjadi kenalan lebih rapat,” katanya yang semakin dikenali menerusi teknik Vismax Femtosecond atau lasik serta menjadi orang pertama di Asia Tenggara memperkenalkan kaedah termoden memanfaatkan teknik pembedahan tanpa pisau sepenuhnya.


Negara juga berbangga kerana beliau adalah anak Malaysia terunggul yang pakar dalam bidang Uveitis dan dianggap terapi ‘immunosuppressive’ untuk penyakit mata autoimun di negara ini selain menjadi rujukan dalam bidang pengurusan penyakit itu di samping turut memberi latihan doktor pakar oftalmologi tempatan khususnya dalam bidang berkenaan.


Wanita yang menginjak usia 52 tahun ini juga semakin popular di Astro menerusi program bual bicara Mata ke Hati dan dikatakan mencapai rating agak tinggi sejak diperkenalkan awal tahun lalu.

Rutin harian pakar mata ini semakin sibuk kerana untuk siri bual bicara seterusnya namun sikapnya mudah mesra menyenangkan orang ramai.

Baginya, untuk menjadi doktor yang baik dan pesakitnya pula mendapat rahmat-Nya, diri sendiri harus bersih terutama rohani dan jasmani barulah mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

“Tugas sebagai doktor tidak pernah terbatas dalam soal sentimen bangsa, agama mahupun status sosial seseorang waima jika perompak sekalipun, doktor perlu merawatnya tanpa sebarang rasa prejudis tetapi atas dasar tanggungjawab sosial serta etika sebagai panduan kerjaya.


“Memandangkan kerjaya ini mulia, berjasa kepada pesakit bahkan jika orang yang dirawat itu tiada duit, kita dapat membantu dan biarlah pahalanya ditentukan Allah. Benar kata orang, kerjaya doktor senang dapat pahala jika ikhlas dalam segalanya,” katanya.

INDAH...pernah merawat mata Tun Dr Mahathir antara kebanggaannya.

Mengimbau pengalaman masa kecilnya, Dr Muhaya mengakui antara elemen penting menentukan kejayaannya hari ini disebabkan ketegasan dan disiplin tinggi diterapkan bapa, Mohamad Busu seorang pegawai tentera. Katanya, sejak kanak-kanak dia tidak dibenarkan menonton televisyen mahupun mendengar radio kecuali program berkaitan akademik atau sains saja akan diberi kelonggaran hingga terselit rasa cemburu melihat anak jiran berpeluang berbuat begitu sedangkan dia tidak.


Kebetulan rumahnya di belakang Hospital Kuala Terengganu, antara harapan besar diterap bapanya adalah mahukan dia menjadi seorang doktor suatu hari nanti sehinggalah dia terpilih menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bahru, impian menjadi doktor semakin tertanam di jiwa.


Setelah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang kedoktoran, seterusnya menyambung sarjana di universiti sama sebelum ke Edinburg dan menjadi doktor pakar serta mendapat fellowship di United Kingdom hingga kerjayanya terus mantap dia merasakan lengkaplah impiannya bergelar doktor yang berjaya.


“Saya tidak pernah kesal dengan ketegasan arwah ayah sepanjang mendidik saya. Sebenarnya, cita-cita asal ingin bergelar pakar jantung namun ketika seorang pensyarah memberitahu bidang mata tidak banyak diceburi membuka pintu hati. Setelah bergelar pakar runding mata, terbuka segala ‘mata hati’ ini bahawa daripada matalah mengenalkan kita pada dunia dan bersyukur dengan ciptaan Allah serta nikmat yang diberi,” katanya.

TIADA istilah kesal bagi Dr Muhaya Mohamad walaupun perkahwinannya dulu dalam usia terlalu muda. Ketika usia menginjak 22 tahun dia membuat keputusan mendirikan rumah tangga bersama Dr Azmi Jamion kerana merasakan itu lebih baik untuk masa depannya.

Pertemuan berlangsung di Pertandingan Piala Perdana Menteri dan ketika itu dia menuntut di Sekolah Menengah Tun Fatimah membibitkan cinta monyet pada kedua-duanya. Ketika itu, lelaki itu mendatanginya dan bertanyakan apa cita-citanya dan apabila diluahkan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran kedua-duanya berazam merealisasikan cinta dan impian mereka suatu hari nanti.


Ketika Dr Azmi meneruskan pengajian di UKM dan dia bergelar pelajar perubatan di universiti yang sama pada 1978, pada tahun kedua mereka mendirikan rumah tangga. Sesuatu yang membanggakan, walaupun berkahwin dia tetap muncul sebagai pelajar terbaik di universiti pada tahun itu.

Baginya, walaupun bergelar pelajar dan dalam masa sama mendirikan rumah tangga masing-masing memasang matlamat untuk berjaya sehingga kedua-duanya menamatkan pengajian dan meraih kedudukan terbaik dalam bidang perubatan.


Sejujurnya dia mengakui, pertemuan pertama dengan lelaki yang menjadi ‘cinta pertamanya’ itu tetap subur kasih sayang mereka hingga kini biarpun sudah 32 tahun mendirikan mahligai bahagia.


Dianugerahkan tiga cahayamata iaitu dua perempuan Noor Aniah dan Noor Atiyah dan kedua-duanya mengikuti jejak ibu bapanya turut bergelar doktor, manakala anak tunggal lelakinya Mohd Hilman, meninggal dunia secara tiba-tiba tahun 2000.

“Pada saya, kahwin muda tiada masalah jika dibekalkan dengan ilmu dunia dan akhirat sebaiknya kerana ia penting dalam menjamin kebahagiaan hidup. Saya bangga berkahwin muda bahkan masih belajar lagi ketika itu tetapi mampu mengendalikan rumah tangga dengan baik hasil bimbingan, dorongan serta kasih sayang suami.


“Selebihnya, saya bersyukur justeru anak-anak turut mengikut jejak langkah kami bergelar doktor walaupun dalam pengkhususan yang berbeza. Walaupun tidak pernah meletakkan syarat yang mereka mesti ikut acuan, tetapi mereka menunjukkan minat mendalam dalam bidang perubatan membuatkan saya dan suami memberi dorongan terbaik buat mereka.

“Sekurang-kurangnya saya bangga kerana bergelar ‘keluarga doktor’ yang berjaya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat’ sekali gus mencari rahmat Allah untuk kebaikan dunia dan bekalan di akhirat kelak,” katanya.



>PROFIL
NAMA: Prof Dr Muhaya Mohamad
JAWATAN: Perunding Pakar Bedah Mata, Ketua Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court; Profesor Oftalmologi di Universiti Kebangsaan Malaysia serta Profesor Ajung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)
PENDIDIKAN: M.D (UKM), MSurgery (Ophth) (UKM), M.Med (Spore), FRCS (Edin), Fellowship in Uveitis (UK), Ph.D (Occular Immunology) United Kingdom
STATUS: Kahwin
SUAMI: Dr Azmi Jamion
ANAK-ANAK: Dr Noor Aniah, 26 dan Dr Noor Atiyah 25.