Sinonim dengan Roha Collection
PADA usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka.
Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan.
Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya.
Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa.
Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006.
“Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari.
“Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing,” ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor baru-baru ini.
Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan.
“Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang,” jelas wanita yang berusia 32 tahun itu.
Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun.
Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000.
Banyak rintangan
Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha.
“Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia.
“Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur,” tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.
|
|
Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan.
Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya.
“Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini,” tuturnya.
Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya.
Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya
Bawa staf bercuti
Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan.
Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara.
“Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami.
“Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia,” ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20.
Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang.
“Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih.
“Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih,” kata Roha mengakhiri bicara.
0 comments:
Post a Comment