Home » » Ramly Burger tidak pernah bertukar tangan

Ramly Burger tidak pernah bertukar tangan

Written By kall on Wednesday 12 May 2010 | 01:52

Ramly Burger tidak pernah bertukar tangan


Siti Hayu Ramly menunjukkan pek baru burger keluaran Ramly Food Processing Sdn. Bhd.


KUALA LUMPUR 9 Mei - Ramly Food Processing Sdn. Bhd. yang terkenal dengan jenama Ramly Burger menafikan bahawa kepentingan syarikat itu telah dijual kepada syarikat bukan bumiputera.

Pengurus Kanan Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Siti Hayu Ramly berkata, tidak pernah pada bila-bila masa pegangan syarikat itu dijual dan perniagaan yang berusia 30 tahun itu kekal di tangan pengasasnya, Datuk Ramly Mokni.

Siti Hayu yang merupakan generasi kedua pengasas perniagaan itu terpaksa tampil untuk menjelaskan perkara berkenaan memandangkan pelbagai spekulasi tersebar sejak kebelakangan ini.

''Banyak kenyataan di Internet menyebarkan kononnya Kumpulan Ramly telah dijual dan ia adalah satu dakwaan yang tidak benar dan kami menafikan sekeras-kerasnya.

''Satu lagi perkara yang ingin saya tekankan bahawa semua produk kami adalah halal dan mematuhi setiap aspek dan prosedur Syariah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Siti Hayu berkata, pihak syarikat tidak tahu menahu punca dan faktor yang menyebabkan dakwaan tersebut tersebar di Internet.

Cuma, tambahnya, jika ada pengguna yang masih was-was dengan kenyataannya, mereka boleh mendapatkan pengesahan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau bagaimanapun berkata, khabar angin itu sedikit pun tidak menjejaskan perniagaan Kumpulan Ramly, sebaliknya permintaan bagi produk-produknya terus meningkat.

Malah, katanya, pada tahun lalu jumlah permintaan adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding pengeluaran.

Pada tahun ini, kata Siti Hayu, Kumpulan Ramly telah meningkatkan kapasiti untuk memastikan bekalan seiring dengan permintaan yang semakin menggalakkan.

Kumpulan Ramly kini memasarkan 40 produk dan burger Ramly masih kekal sebagai produk terlaris dengan sumbangan sebanyak 50 peratus kepada perniagaannya.

Ditanya mengenai penerokaan pasaran luar negara, Siti Hayu tidak menafikan produknya telah lama mendapat permintaan tetapi ia tidak dapat dilakukan disebabkan kapasiti pengeluaran yang terhad.

''Kini kami sudah sedia, cuma belum bergerak ke arah itu, Kumpulan Ramly perlu membuat kajian terperinci untuk memastikan kami berupaya bersaing di luar,'' tambahnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan memasarkan produknya di pasaran serantau dan Thailand dijangka menjadi destinasi pertama Kumpulan Ramly.

Dalam pada itu, Siti Hayu berkata, Kumpulan Ramly kini memperkenalkan pek baru bagi produk burger ayam dan dagingnya.

Katanya, pembungkusan dalam bentuk bantal itu mengandungi enam keping burger ayam dan daging diperkenalkan untuk mengekalkan kesegaran dan kualitinya.

1 comments:

Anonymous said...

salam....

boleh saya tahu,,,kes ni berlaku pada tahun berapa? 2010 ke 2012?