KADANG-KADANG kita terfikir, adakah orang yang kita pilih sebagai wakil rakyat kawasan kita tersalah pilih. Sistem demokrasi memberikan orang ramai peluang memilih orang yang mewakili kepentingan mereka. Malangnya kita lihat setiap hari pelbagai jenis masalah rakyat yang timbul yang wakil rakyat yang dipilih tak tahu atau tak ambil tahu. Lihat saja program Aduan Rakyat dan Expose yang mendedahkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Kadang-kadang kita terfikir apakah rakyat tahu latar belakang orang yang mereka pilih untuk mewakili mereka. Kebanyakannya orang ramai terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat oleh orang politik semasa berkempen. Selepas pilihan raya ramai wakil rakyat ini ghaib entah ke mana.
Kalau kawasan mereka di kampung, itu hanyalah untuk mendapatkan kawasan. Dia tinggal di bandar raya dan sekali sekala saja menjenguk kawasan mereka. Tetapi bila hendak pilihan raya, setiap minggu pun boleh nampak muka. Asyik tertipu sajalah orang ramai!
Ada juga wakil rakyat yang melantik wakilnya pula untuk mewakili mereka. Jadi wakil ini kadang-kadang lebih pula lagaknya daripada orang yang jadi wakil rakyat. Kata pepatah 'besar sudu daripada senduk.' Mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat memang tidak ramai. Ramai yang bertujuan berkhidmat untuk diri sendiri. Jadi tidak hairanlah tuduhan menjadi wakil rakyat untuk mendapatkan kontrak dan projek.
Kalau kita perhatikan arus perdana media kita setiap hari tidak lekang daripada cerita politik. Semakin hari semakin hangat. Akhir-akhir ini macam-macam cerita belakang tabir muncul dan lebih lakulah surat khabar. Saman menyaman di kalangan ahli politik sudah menjadi kebiasaan sekarang.
Parlimen kita hampir sama dengan Ringling Barnum Brothers. Hampir sama dengan Parlimen India. Di sana kerusi pun melayang, di sini ajak bertumbuk sudah biasa kita dengar. Saya rasa ada baiknya mereka yang bergaduh mulut ini menyelesaikan pertengkaran mereka dengan bertumbuk. Adalah peluang orang ramai untuk mempertaruhkan siapa yang boleh menang. Selalunya orang yang menyalak kuat ini, gigit mereka tidaklah sehebat salak mereka.
Kalau orang luar macam pelabur asing baca surat khabar, setiap hari mereka terhibur dengan tindak tanduk ahli politik kita. Ada yang lompat parti, ada yang berhenti lepas itu tarik balik. Ada yang berhujah beria-ia mengatakan mereka lompat parti tidak bermoral, lepas itu beria-ia pula menyokong tindakan mereka yang melompat parti kerana hendak rampas kuasa.
Rakyat harus sedar supaya jangan lagi diperbodohkan dengan janji-janji dan kata-kata manis, walaupun yang diselang-selikan dengan tafsir dan hadis. Jarang-jarang sekali mereka yang menggunakan tafsir dan hadis ini ikhlas tujuan mereka untuk menyedarkan masyarakat.
Kini apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 seolah-olah suatu kebangkitan di kalangan mereka yang merasakan diri mereka selama hari ini sudah tertindas. Hakikatnya mereka yang sebenarnya tertindas mungkin tidak sedar atau tidak mahu sedar yang mereka yang tertindas.
Dari segi ekonomi mereka ketinggalan jauh di belakang kecuali beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan pihak yang berkuasa. Jadi jurang antara yang kaya dengan yang miskin semakin jauh. Lepas itu mereka tidak sedar yang golongan peniaga yang terdiri golongan bukan sesama kaum dengan mereka, menaikkan harga barangan sesuka hati menyebabkan kos sara hidup meningkat.
Rantaian bekalan apa jua barangan pun dikuasai oleh golongan ini. Malangnya golongan yang ketinggalan ini tidak bersatu. Orang lain banyak suara minta ini, minta itu dan suruh kerajaan jangan lagi bantu mana-mana golongan supaya persekitaran sama dengan hidup di hutan, yang kuat berkuasa.
Kita pula jenis segan nak bersuara. Kepada mereka yang kita letakkan harapan untuk memperjuangkan hak kita sudah termakan cerita orang yang kononnya selama ini mereka tertindas. Jadi kepada siapa yang kita harus mengadu.
Kalau sejarah menunjukkan kita boleh bersatu atas sesuatu tujuan seperti tentangan pembentukan Malayan Union, kenapa sekarang atas desakan semasa ini kita tidak boleh bersatu. Biarkan orang politik ini bercakaran sesama mereka kerana menyangka mereka yang tahu segala-galanya, orang lain semuanya bodoh dan boleh diperbodohkan.
Politik wujud untuk membantu rakyat bukan untuk menyusahkan rakyat. Tetapi terlalu banyak contoh yang menunjukkan bagaimana politik menyusahkan rakyat. Pada waktu yang sama kita lihat negara-negara yang keadaan mereka aman damai, siapa yang memimpin negara tersebut pun tidak tahu.
Kalau tidak ada pembangkang nanti dikatakan tidak ada demokrasi dalam negara tersebut. Di Amerika Syarikat sendiri ada benda yang bagus hendak diperkenalkan oleh kerajaan pun dibantah oleh pembangkang. Sudah hancur lebur sistem kewangan apabila hendak diperkenalkan langkah-langkah yang memperketatkan undang-undang, pembangkang membantah juga.
Bila kita lihat negara-negara yang tidak ada pembangkang, negara mereka berkembang maju juga, lebih maju daripada negara yang kononnya demokrasi. Lihat saja negara China yang akan mengambil alih selaku ekonomi terbesar di dunia sebelum 2015.
Mengambil sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini, ia satu-satunya badan bukan kerajaan yang berani bersuara, yang berani menuntut apa yang sepatutnya, badan yang wajar diberikan sokongan oleh orang Melayu. Kalau nak kirakan rasis, orang putih di Amerika lagi rasis terhadap orang kulit hitam.
Orang putih di Australia lagi rasis terhadap orang Asia. Di negeri China sendiri kaum Uigher dianiaya. Itu sesama bangsa. Di United Kingdom sendiri sikap rasis begitu hidup dan segar.
Orang Melayu tidak perlu minta maaf menuntut apa yang sepatutnya hak mereka dalam negara mereka sendiri. Kalau kita diam saja, kadok akan naik junjung.
Orang muda kita yang berpelajaran tinggi menganggap semangat nasionalisme sudah berkubur kerana mereka melihat yang menerima faedah daripada kerajaan adalah mereka yang terpilih sahaja dan persaingan itu tidak adil. Semangat mereka hendak jadi usahawan misalnya dengan ilmu yang mereka ada, tidak bermakna langsung kepada institusi kewangan membuatkan pembiayaan projek mereka terhalang.
Selain daripada itu, mereka melihat rasuah bermaharajalela. Ada yang belum faham bahasa rasuah akan mendapati diri mereka ternanti-nanti seminggu jadi sebulan, sebulan jadi setahun. Kalau dapat pembiayaan pun, sikit demi sikit sahaja. Jumlah yang diberikan tidak cukup untuk berbuat apa-apa.
Jadi janganlah kita berdiam diri lagi demi masa depan anak cucu cicit kita. Fikirkan dengan rasional apa yang wajar kita lakukan sekarang. Tanpa penguasaan ekonomi, kita tidak ada kuasa kerana politik sudah boleh dibeli kalau ada kuasa ekonomi.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
0 comments:
Post a Comment