BERKUNJUNG ke bumi Vietnam bagi orang Islam, bermakna bermulalah kesukaran untuk mendapatkan makanan halal. Ini diakui sendiri oleh seorang saudara yang bekerja di Kedutaan Malaysia di Hanoi, ibu negara itu sejak beberapa tahun lalu.
Malah ketika hendak pulang semula ke Vietnam selepas mengahwinkan anaknya baru-baru ini di Kuala Lumpur, beliau sanggup membawa berkotak-kotak makanan dari Malaysia.
Begitulah sukarnya hendak 'mengisi perut' di Vietnam meskipun diakui ada kedai-kedai tertentu yang menjual makanan halal.
Namun ketika berkunjung ke Ho Chi Minh, bandar di selatan Vietnam baru-baru ini, penulis terkejut dengan kehadiran seorang wanita yang menyewa salah satu lot kedai di sebuah pusat beli- belah terkenal bagi menjual masakan Melayu.
Premis tersebut satu-satunya yang menjual masakan Melayu di bandar itu. Jika ada pun makanan halal, hanya menjual makanan India seperti capati dan roti canai.
Atas faktor itulah telah mendorong Hazel Yusof, 39, membuka gerai yang dikenali sebagai D'Anjung Malaysia di negara tersebut.
Perniagaan berasaskan makanan bukan terlalu asing memandangkan keluarganya juga memiliki restoran di Ara Damansara, di Kuala Lumpur.
Begitupun katanya, cabaran berniaga makanan di negara orang cukup besar terutama bagi mendapatkan bahan mentah untuk masakan Melayu.
"Sebagai contoh untuk seekor ayam yang disembelih mengikut cara Islam berharga RM35 seekor. Ia diambil daripada pembekal dari perkampungan Islam di Phu Nuan.
"Itu belum lagi ditambah dengan rempah ratus, belacan dan cili kering yang terpaksa dibawa dari Malaysia. Saya terpaksa pulang ke tanah air setiap bulan," ujarnya tersenyum memulakan perbualan.
Maka sebab itulah harga setiap masakan dijual dengan harga yang sedikit tinggi berbanding di gerai-gerai di Malaysia. Sebagai contoh, setiap lauk dijual pada harga sekitar RM6.
Bagi setiap hidangan lengkap pula, pelanggan hanya perlu membayar RM10 sehingga RM15. Jumlah yang berbaloi sekiranya berada di luar negara.
Terdapat juga hidangan nasi lemak, mi goreng, roti bakar serta tidak ketinggalan minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik yang dijual secara kombo.
Lain-lain lauk seperti asam pedas, masak lemak, pelbagai jenis sambal, laksa dan kuih muih tradisi seperti cucur udang.
Hazel kini boleh berbangga apabila premisnya mendapat tumpuan pelancong dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Semakin ramai pelanggan di kalangan penduduk tempatan kini menjadi pelanggan tetapnya terutama bagi mereka yang ingin mencuba kelainan atau pernah bekerja di Malaysia.
"Boleh dikatakan tidak menang tangan untuk menguruskan perniagaan ini. Sentiasa sibuk dari mula dibuka 10 pagi sehingga 10 malam.
"Sekali-sekala, ada juga tempahan dari syarikat-syarikat untuk membekalkan makanan tengah hari atau pagi termasuk di tempat suami bekerja," ujarnya yang berkahwin dengan seorang jejaka berasal dari Denmark.
Ibu kepada lima anak ini terpaksa mengambil 11 pekerja untuk menguruskan premisnya dan membantu memasak lauk pauk yang dilakukan di rumahnya.
Beliau yang sebelum ini pernah menetap di Eropah, nyata gembira kerana dapat memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di bumi asing.
Baginya, dirinya tidak ubah seperti 'duta' secara tidak rasmi apabila memperkenalkan makanan tradisi Malaysia kepada negara luar.
"Apatah lagi apabila orang asing memuji tentang rasa masakan saya yang sedap dan enak. Pasti bangga," katanya sambil memberitahu ia terbukti apabila premisnya pernah keluar di Youtube.
0 comments:
Post a Comment