Home » » Program motivasi teras D’Siswa Jaya

Program motivasi teras D’Siswa Jaya

Written By kall on Friday 2 November 2007 | 10:14


D’Siswa adalah syarikat yang diwujudkan oleh usahawan muda secara perkongsian. Ia bertujuan mengerakkan program-program yang lebih berbentuk motivasi. Secara dasarnya tidak banyak syarikat terutamanya usahawan bumiputera yang menyahut cabaran dan menceburkan diri dalam sektor berbentuk perkhidmatan.

Atas dasar tersebut, D’Siswa melangkah ke hadapan bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan malah ia juga menceburi industri perbekalan yang kini mempunyai perolehan sebanyak RM1 juta.

Wartawan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI menemubual Pengarah Urusannya, Md. Nor Yusri Zakaria mengenai perniagaan berbentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh D’Siswa.

MEGA: Bolehkah saudara berikan nama syarikat anda dan mengapakah nama itu dipilih untuk perniagaan?

MD. NOR YUSRI: D’Siswa Jaya ditubuhkan pada 14 Oktober 2005 di Shah Alam, Selangor. Sebelum ini aktiviti-aktiviti syarikat digerakkan melalui syarikat-syarikat motivasi dan perkhidmatan yang lain sejak tahun 2000.

D’Siswa Jaya Enterprise merupakan perniagaan milik perkongsian. Ia diasaskan oleh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Aktiviti utama syarikat lebih tertumpu kepada menjalankan kursus-kursus bimbingan motivasi, kepimpinan dan seminar kepada para pelajar universiti. Di samping itu, kami juga menjalankan khidmat perundingan majlis dan acara serta pembekalan kepada organisasi dan badan-badan kerajaan.

Penggunaan nama D’Siswa Jaya adalah mencerminkan perniagaan yang diusahakan oleh mahasiswa dan mensasarkan mahasiswa sebagai sasaran utama perniagaan.

D’Siswa Jaya Enterprise telah mengendalikan banyak kursus dan khidmat rundingan serta membekalkan produk kami untuk agensi-agensi kerajaan dan swasta. Antaranya ialah latihan dan perundingan, perkhidmatan dan pembekalan

Apakah faktor utama saudara tertarik menjalankan perniagaan dan juga mengusahakan perniagaan ini?

MD. NOR YUSRI: Saya telah dididik sejak kecil oleh ayah saya untuk menjadi sebagai seorang ahli perniagaan. Saya amat tertarik dengan kaedah rundingan perniagaan yang dilakukan oleh ayah saya. Bagi saya menceburkan diri dalam perniagaan adalah fardu kifayah dan 9/10 rezeki itu dari perniagaan.

Sepanjang hidup saya, sama ada semasa bersekolah dan di universiti saya banyak menjalankan pelbagai program berbentuk kursus, majlis dan ekspo melalui persatuan dan kelab di universiti mahupun badan bukan kerajaan (NGO). Menjadikan hobi sebagai perniagaan cukup memberikan kepuasan kepada saya.

Apakah moto dan inspirasi syarikat anda dalam merangka perniagaan yang bercirikan keislaman?

MD. NOR YUSRI: Penciptaan manusia yang unik dan tertinggi martabatnya dari segala makhluk Allah menjadi inspirasi kami. Selaras dengan moto syarikat iaitu ‘Bersama Memacu Kecemerlangan’ maka fokus kami ialah membantu dan membimbing dengan menggunakan kekuatan dan kehebatan sendiri ke arah kecemerlangan.

Kami mahu menggilap potensi yang sedia ada pada setiap individu serta organisasi dan mendorong mereka menjadi berjaya di dunia dan di akhirat.

Peranan D’Siswa sebagai agen pendorong dan pelengkap kepada organisasi seperti badan kerajaan dan swasta amat penting. Konsep outsourcing iaitu bantuan pihak luar dalam menjayakan misi organisasi semakin hari semakin berkembang. Organisasi mempunyai agenda yang hendak dicapai dan sumber kewangan bagi menjalankan program. Tugas kami memberi khidmat rundingan dan membantu menjayakan program tersebut.

Sebagai entiti perniagaan sudah pasti kami akan melakukan yang terbaik justeru itu tiada program yang dijalankan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sirah Nabi Muhammad s.a.w banyak menjadi panduan saya. Baginda melibatkan diri dalam perniagaan. Sifat beliau yang jujur dan kemahiran berniaga telah mendatangkan keuntungan yang besar kepada majikan baginda. Penglibatan Rasulullah dalam perniagaan menunjukkan kita bagaimana Islam menggalakkan umatnya untuk berniaga dan mengharamkan amalan riba.

Ini juga memberitahu kita agar kita mengambil segala apa yang dilakukan oleh baginda s.a.w semasa berniaga dengan merujuk kitab-kitab ekonomi yang berdasarkan ekonomi Islam.

Setakat ini bagaimanakah sambutan dan permintaan terhadap produk anda?

MD. NOR YUSRI: Alhamdulillah. Kami banyak menerima tawaran menguruskan program-program dan kursus-kursus dari agensi kerajaan dan swasta. Peningkatan permintaan ini disebabkan oleh pengalaman kejayaan kami menguruskan sesuatu acara atau program sebelum ini.

Agensi kerajaan dan swasta juga sedar bahawa melalui konsep outsourcing keberkesanan sesuatu program itu akan lebih efektif dan efisien. Ini akan memberi impak positif kepada organisasi mereka.

Selain mengendalikan produk apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat ini?

MD. NOR YUSRI: Selain menguruskan program kami juga menawarkan khidmat rundingan pengurusan majlis secara percuma. Kami akan membantu penganjur menjadikan program mereka lebih hebat dan berkesan dengan banyak yang cukup minimum.

Setakat ini maklum balas pelanggan amat positif dan mereka banyak berterima kasih kepada kami.

Kami juga merupakan pusat sehenti kepada penganjur-penganjur program. Ini kerana kami membekalkan segala keperluan program sama ada makanan, barangan promosi (kain rentang & risalah), peralatan pameran (PA System dan promosi ruang niaga).

Apakah rahsia kejayaan perniagaan saudara sehingga ke tahap sekarang dan apakah pendekatan yang diamalkan?

MD. NOR YUSRI: Saya melihat ilmu pengetahuan merupakan faktor utama. Apabila seseorang yang lama berniaga sudah pasti ada ilmu pengetahuan terhadap perniagaannya.

Islam mengajar kita bahawa menuntut ilmu itu wajib. Saya percaya dalam perniagaan pun perlu menuntut ilmu. Kepada mereka yang pernah gagal dalam perniagaan, saudara saudari bukan gagal tetapi belum berjaya. Jadikan kejayaan dan kegagalan itu sebagai proses menuntut ilmu.

Syarat ini perlu dipenuhi oleh setiap individu yang bergelar ahli perniagaan, segala tindak-tanduk dan corak kepemimpinan mestilah bersandarkan ilmu. Ayat al- Quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) berkait-rapat dengan ilmu dan pengajian:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia daripada seketul darah beku. Bacalah dengan nama tuhan-Mu yang amat pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘Alaq: 1-5)

Syarat ini amat wajar dipenuhi kerana ahli perniagaan bertanggungjawab mengurus dan memimpin institusi atau organisasi. Sungguh aneh andainya sebagai seorang pemimpin atau pengurus sesuatu institusi, lebih-lebih lagi institusi perniagaan, ia tidak menghayati budaya ilmu. Pemimpin perlu menunjuk contoh kepada orang-orang di bawah pimpinannya.

Dalam membangunkan perniagaan Islam, apakah matlamat syarikat terutama dalam menitikberatkan kebajikan umat?

MD. NOR YUSRI: Fungsi sesebuah syarikat haruslah holistik. Ini kerana perniagaan tidak seharusnya melibatkan keuntungan wang semata-mata, kejayaan ini haruslah meliputi keuntungan untuk dunia dan akhirat.

Kewujudan D’Siswa Jaya Enterprise tepat pada waktunya ketika pelbagai masalah sosial perlu ditangani secara bijak dan pendekatan berhikmah. Isu pembangunan insan dan mewujudkan pemikiran kelas pertama yang kian hangat diperkatakan memberi peluang kepada kami untuk menyumbang dalam usaha tersebut.

Kami yakin jika anda cintakan kecemerlangan maka D’Siswa Jaya Enterprise sememangnya untuk anda.

Ini sesuai dengan firman Allah, Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raaf: 179)

Di dalam aktiviti perniagaan, niat kami adalah untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami akan memberikan yang terbaik untuk pelanggan kami. Tidak akan wujud penindasan.

Apakah perancangan seterusnya syarikat dalam memastikan perniagaan ini terus kekal dalam pasaran?

MD. NOR YUSRI: Ada tiga kategori manusia :-

Berjaya: Hari ini lebih baik daripada semalam.

Terpedaya: Hari ini sama seperti semalam.

Celaka: Hari ini lebih teruk daripada semalam.

Pada tahun ini, sasaran D’Siswa ialah mencatat keuntungan RM1 juta. Pada tahun hadapan sasarannya ialah RM1.5 juta.

D’Siswa akan terus berkembang dan perkembangan ini haruslah seiring dengan kemampuan. Untuk itu fokus kami pada tahun hadapan ialah mewujudkan lebih banyak jalinan dan perjanjian dengan agensi kerajaan dan swasta untuk menganjurkan program-program mereka.

Kami tidak akan mengenepikan agenda akhirat. Ini kerana apabila kita kejar dunia, dunia akan lari; tetapi apabila kita kejar akhirat, dunia akan mengejar kita.

Untuk itu kami telah bersetuju untuk menjadikan sebuah rumah anak yatim hafiz di Bukit Beruntung sebagai anak angkat syarikat.

Sebarang persoalan sila hubungi:

D’Siswa Jaya Enterprise, No. 5A-2, Jalan Seri Muka 36/4, Taman Connaught, Seksyen 36, 40470 Shah Alam, Selangor.

Tel: 03-3373 5733 Faks: 03-3373 6733

0 comments: