Home » » ManMa Trading bukti kejayaan Muslim di Dublin

ManMa Trading bukti kejayaan Muslim di Dublin

Written By kall on Friday, 14 September 2007 | 09:35



BERNIAGA di negara sendiri sudah menanti pelbagai cabaran dan rintangan apatah lagi jika mengusahakannya jauh di negara orang. Bak kata pepatah, ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri’.

Namun pepatah juga mengatakan, ‘jika tidak dipecahkan ruyung bagaimana mahu mendapatkan sagunya’, patut disahut dan dibuktikan.

Menyahut saranan kerajaan agar individu berani menempuh cabaran walau di mana juga langit di junjung telah mendorong seorang anak tempatan yang berasal dari Kampung Batu 3, Segari, Setiawan, Perak membuka sebuah kedai bertaraf pasar raya di Lucan, 20 kilometer dari Dublin, ibu negara Ireland.

Wartawan RAHANA MD menghubungi Kamarulzaman Abdul Manan anak muda berjiwa kental ini untuk berkongsi pengalamannya berniaga di rantau orang.

Bagaimana penghijrahan berlaku sehingga membuat keputusan berniaga di Dublin, Ireland?

KAMARULZAMAN: Merantau ke negara asing merupakan suatu pengalaman yang amat berharga bagi semua orang yang inginkan cabaran dalam kehidupan. Kehidupan di dunia asing seperti Ireland tentu tidak menjanjikan sesuatu yang mudah.

Saya merantau ke Ireland sejak tahun 1997 dan berkahwin dengan isteri Dr. Norma Mohamad dan kami menetap di Dublin, Ireland.

Hibiscus Asian Store Ltd., merupakan milik penuh bumiputera yang saya tubuhkan di bawah syarikat ManMa untuk memberi tumpuan menjual produk makanan buatan negara Asia seperti Malaysia, Pakistan, India, Bangladesh, China dan juga Filipina.

Bilakah beroperasi dan di mana kedudukannya di Dublin?

Pasar raya ini beroperasi pada 8 Jun 2007 dan ia terletak di kawasan perniagaan dan perumahan yang semakin berkembang di Lucan.

Lucan terletak 20 kilometer dari pusat bandar Dublin merupakan kawasan perumahan tumpuan masyarakat Malaysia yang berkeluarga. Hibiscus semakin menjadi tumpuan orang ramai berikutan kedai ini menyediakan pelbagai makanan dari negara-negara Asia.

Apa yang mendorong membuka kedai di sana?

Saya memberanikan diri membuka kedai di Lucan, setelah mengenal pasti pasaran dan permintaan yang semakin berkembang terhadap barangan Asia. Selepas mengemudi syarikat ManMa, saya teruskan usaha mengimport dan mengedar produk-produk Malaysia ke rantau Eropah.

Saya amat berbesar hati dan bangga kerana pada 26 Julai 2007 majlis perasmian pasar raya dilakukan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Khamsiyah Yeop.

Bagaimana dengan persaingan?

Persaingan di mana-mana pun ada tetapi Hibiscus mempunyai identiti tersendiri dan kebanyakan barangan adalah buatan Malaysia.

Kedai kami turut menawarkan produk dari negara lain seperti Thailand, India, Pakistan, Filipina dan Timur Tengah.

Sebagai pasar raya yang menawarkan produk berunsur etnik khususnya Asia kami bersaing dengan kedai-kedai dari negara Asia sendiri yang lain dan sekarang jumlahnya semakin bertambah.

Pasar raya tempatan juga memberi saingan yang turut menjual barangan dari Asia.

Untuk memastikan Hibiscus menembusi pelanggan jarak jauh dan tidak berkenderaan atau masa yang terhad, kami menawarkan khidmat penghantaran ke depan pintu dengan cara membeli belah secara online, www.manma trading.com kepada hibiscus e-store. Perkhidmatan ini dirasmikan oleh Khamsiyah tempoh hari.

Apakah jenis barangan yang dijual di kedai?

Konsep kedai kami adalah 100 peratus barangan halal sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah dengan menyediakan pelbagai barangan dapur termasuk daging segar halal, barangan beku laut, barangan beku halal yang lain seperti burger sosej, nuget ayam dan lain-lain.

Hisbiscus turut menawarkan mee kering, makanan segera, minuman, sayur-sayuran, beras, rempah ratus, sos dan banyak lagi.

Di samping itu kami juga menjual kad telefon prabayar untuk panggilan antarabangsa.

Bagaimana dengan sumbangan memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat di sana?

Antara tujuan kedai kami ditubuhkan bukan sahaja untuk mempromosikan barangan produk Malaysia tetapi juga menonjolkan negara ini sebagai pusat pelancongan.

Mengikut perancangan jika ada bantuan daripada Tourism Malaysia, kami akan terus menerus mempromosi Malaysia dalam bentuk iklan.

Cadangannya kami akan menggunakan televisyen plasma di kedai untuk menunjukkan iklan promosi Malaysia manakala dinding kedai akan dihiasi santapan makanan dan buah-buahan Malaysia.

Bagaimana sokongan isteri dan keluarga?

Ada nostalgia sebenarnya, syarikat ManMa adalah gabungan antara nama saya (Man) dan isteri (Norma). Isteri saya yang memberi idea untuk membuka kedai dan memasarkan produk dari Malaysia kerana peluang perniagaan cerah, bilangan penduduk yang bertambah dan nilai mata wang yang tinggi.

Peringkat permulaan saya hanya bertindak sebagai pengedar tetapi peniaga asing kurang memahami apakah kelebihan dan kehendak masyarakat Asia. Lantaran itu, saya dan isteri sepakat mencari tapak untuk berniaga sendiri.

Walaupun dalam keadaan isteri yang sarat mengandung, saya menjelajah ke serata Dublin mencari kawasan yang sesuai dan pelbagai dugaan ditempuh kerana sebagai orang luar dan asing, kami diuji pelbagai rintangan.

Akhirnya Hibiscus berjaya dibuka dan paling tidak dapat dilupakan apabila isteri saya hampir bersalin di dalam kedai kerana kesibukan kami menyusun dan mengemas barang.

Apakah makanan Malaysia yang paling dirindui (makanan) tetapi tidak boleh dibawa masuk ke sana?

Banyak barangan makanan Malaysia yang tidak dapat kami pasarkan lagi di sini terutama yang diperbuat daripada haiwan seperti ikan dan hidupan laut.

Ini termasuk belacan, budu, cencaluk, sotong, keropok, ikan bilis sedangkan ia sering mendapat pertanyaan di sini.

Apa langkah yang perlu diambil jika ada usahawan yang berminat untuk memasarkan produk ke Ireland?

Kami amat mengalu-alukan jika ada usahawan Malaysia yang ingin memasarkan barangan ke sini. Maklumat boleh diperoleh di laman web www.manmatrading.com.

0 comments: