Home » » The Little Khalifah Shop pusat aktiviti Islamik

The Little Khalifah Shop pusat aktiviti Islamik

Written By kall on Friday, 24 August 2007 | 10:31


TENTU ramai yang tidak sanggup meninggalkan kerusi empuk, bilik berhawa dingin dan gaji lumayan, hanya kerana ingin menceburi satu bidang yang diakui mencabar dan berisiko tinggi iaitu dunia perniagaan.

Namun, tidak bagi pemilik tunggal The Little Khalifah Shop, Roslinah Daud yang mengambil keputusan muktamad berhenti kerja dan melepaskan segala keistimewaan bergelar pengurus operasi sebuah syarikat kewangan pada November 2006 demi menguruskan perniagaannya secara sepenuh masa, sekali gus merealisasikan impian mewujudkan generasi perubah (transforming generation) seiring dengan landasan Islam.

Wawancara wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto NOOR AZLINA JAAFAR dengan Roslinah, 36, di The Little Khalifah Shop yang terletak di 2750A, Mezzanine Floor, Jalan Changkat Permata, Taman Permata, Ulu Klang, Kuala Lumpur cuba berkongsi iltizamnya dalam memenuhi peranan setiap manusia sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimanakah The Little Khalifah Shop bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan?

ROSLINAH: The Little Khalifah Shop telah ditubuhkan pada November 2003 sebagai kedai buku agama kanak-kanak siber. Kemudian, ia telah dibuka secara fizikal pada Mei 2004 atas permintaan yang tinggi dan juga sambutan yang baik. Pada Julai 2006, kami telah berpindah dari Wangsa Maju ke lokasi sekarang iaitu di Taman Permata, Ulu Klang.

The Little Khalifah Shop ialah sebuah kedai yang menyediakan platform dan bahan-bahan untuk kanak-kanak Islam yang mana dapat membantu ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi seorang Muslim yang sebaiknya serta memenuhi tanggungjawab mereka sebagai Khalifah Allah. Jadi, kesemua bahan yang terdapat di sini adalah berlandaskan Islam atau nilai moral yang baik, sama ada buku, beg, pin, permainan atau pun pakaian.

Alhamdulillah, kini ia telah berkembang di mana aktiviti-aktiviti kanak-kanak Islam juga diadakan. Antaranya; Sesi Bercerita Islamik (Islamic Story Telling), Seni Kraftangan (Art Attack Style) yang berlandaskan cerita Islamik, Kelas Memasak Kanak-kanak, Kelas Menjahit Kanak-kanak, Kelas Solat, Bengkel Sains dan sebagainya.

Terkini, kami juga telah membuka sebuah butik untuk kanak-kanak serta ibu Muslimah yang menyediakan pakaian-pakaian menutup aurat seperti baju mandi Muslimah, baju kanak-kanak yang lengkap dengan tudung serta kemeja T labuh untuk ibu serta kanak-kanak perempuan.

Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?

ROSLINAH: semuanya bermula selepas berjumpa dengan seorang pakar psikologi kanak-kanak terkenal, Allahyarham Professor Muhammad Al-Mahdi. Beliau telah mencetuskan idea-idea pembentukan keperibadian cemerlang di dalam diri anak melalui Projek Khalifah.

Beliau telah meyakinkan kami bahawa keadaan masyarakat sekarang yang semakin merosot dari segi pembangunan sosial dan akhlaknya dapat dipulihkan dengan membekalkan mereka dua perkara asas iaitu; pandangan dunia yang betul dan tepat yang berlandaskan al-Quran dan sunah serta pengetahuan mengenai Hukum Pembelajaran, iaitu bagaimana pemikiran dan keperibadian seseorang insan itu terbentuk.

Rentetan dari situ maka kami telah mengasaskan The Little Khalifah Shop untuk mengembangkan Projek Khalifah dengan tujuan untuk merealisasikan idea ini dengan lebih cepat dan efektif serta mewujudkan generasi per ubah (transforming generation). Kami yakin dengan penubuhan The Little Khalifah Shop, ia dapat menyediakan platform bagi ibu bapa dan kanak-kanak secara terus dan dengan kaedah yang menyeronokkan. Kami juga merasakan ini adalah tuntutan fardu kifayah untuk membuka kedai yang menjual barangan untuk kanak-kanak Islam kerana belum ada lagi kedai seumpama itu sebelum ini.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?

ROSLINAH: The Little Khalifah Shop ditubuhkan atas dasar kasih sayang ke atas semua kanak-kanak serta atas dasar ingin memberi sesuatu yang cantik dan baik kepada anak-anak Muslim. Ia merupakan satu sumbangan kecil kami kepada ummah dan kami berharap ibu bapa akan terus memberikan sokongan di atas usaha dan aktiviti kami supaya kami dapat mengembangkan lagi kedai kami untuk menjadi sebuah pusat sehenti (one-stop-center) bagi ibu bapa mendapatkan bahan-bahan untuk anak-anak mereka supaya mereka boleh membesar menjadi seorang Khalifah Allah yang baik.

Sejajar dengan matlamat kami, The Little Khalifah Shop kini telah dibahagikan kepada 6 divisyen:

*Kedai Buku Little Khalifah

*Butik Little Khalifah

*Kedai Alat Tulis Little Khalifah

*Kedai Audio/Video Little Khalifah

*Kedai Mainan Little Khalifah

*Pusat Aktiviti Little Khalifah

Pada 9 Ogos lalu, kami juga telah mencapai satu lagi kejayaan di mana kami telah menyediakan perkhidmatan secara online untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat datang ke kedai kami. Orang ramai boleh mengunjungi gedung membeli belah keluarga yang diwujudkan secara maya di laman web kami www.littlekhalifahshop.com untuk membeli bahan-bahan dari kedai kami.

Pada masa akan datang pula, kami juga bercadang membuka Kafe Little Khalifah di mana kami berharap dapat menyediakan makanan yang enak dan berkhasiat untuk anak-anak.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana anda mengatasinya?

ROSLINAH: Cabaran yang dihadapi dalam bidang ini adalah menyebarkan maklumat mengenai The Little Khalifah Shop kepada ibu bapa agar mereka dapat menggunakan fasiliti atau bahan yang telah kami sediakan di dalam proses pembangunan insan anak-anak mereka.

Bagi mengatasi cabaran ini, kami sentiasa mencari peluang-peluang atau saluran-saluran yang baru untuk menyampaikan mesej baik ini. Buat masa ini, kami menyebarkan maklumat melalui e-mel, laman web kami di www.littlekhalifahshop.com, keahlian percuma The Little Khalifah Club, SMS dan juga sebaran mulut ke mulut.

Kepuasan bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

ROSLINAH: Kepuasan yang diperoleh di sini merangkumi segala aspek daripada keluarga, kawan-kawan, masyarakat dan juga ekonomi. Di sini, saya dapat melihat impak hasil kerja kami secara langsung kepada kanak-kanak tersebut di dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai Khalifah Allah dan juga kepuasan apabila mengetahui bahawa kami telah menyumbang sedikit usaha sebagai permulaan arus perubahan merealisasikan generasi perubah (transforming generation). Insya-Allah.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan anda mengenai saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan. Ulaskan?

ROSLINAH: Saranan ini sangat bertepatan dengan kajian dan konsep tentang ekonomi Islam berbanding dengan ekonomi konvensional. Asas ekonomi Islam adalah perniagaan (Bai') berbanding dengan ekonomi konvensional ia itu penabungan. Oleh itu, galakan berniaga adalah tunggak bagi menjayakan ekonomi Islam yang mana ia dapat menjanjikan keadilan kewangan kepada masyarakat.

Alhamdulillah dengan kejayaan yang dicapai, bagaimana pula sumbangan anda kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling?

ROSLINAH: Saya berharap dengan memulakan riak-riak kecil arus perubahan minda kepada ibu bapa dan anak-anak amnya, orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling juga akan merasa dan mengikuti arus per ubahan minda yang menjurus ke arah kebaikan.

Hakikatnya, semua orang mampu melakukan perubahan dan sekiranya masyarakat bersatu dan menyumbang sedikit tenaga dan usaha, insya-Allah, ia mampu membentuk gelombang yang lebih besar yang dapat merealisasikan usaha menjadikan dunia ini lebih baik pada masa akan datang.
dicopypaste dari:www.utusan.com.my

0 comments: