Home » » Rezeki dari komputer terbuang

Rezeki dari komputer terbuang

Written By kall on Friday, 11 May 2007 | 08:57

KEJAYAAN yang dikecapi selepas melalui pelbagai cabaran dan kegagalan adalah lebih bermakna. Malah kepuasan yang dirasai hasil jerit perih dan kesabaran itu lebih manis dan berharga.

Namun, kegembiraan ini tidak akan diperoleh jika seseorang usahawan itu sekadar mempertaruhkan modal dan nasib semata-mata. Ilmu berkaitan perniagaan serta sentiasa menitikberatkan konsep serta urusniaga mengikut syariat Islam itu lebih bertahan lama sekali gus mendapat reda Allah.

Anak muda yang memiliki ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Warwick University, UK dan sarjana Teknologi Maklumat (IT) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut membawa kami melawat kilang yang terletak di Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor.

MEGA: Nampaknya saudara mula berkecimpung dalam dunia keusahawan pada usia muda. Boleh saudara ceritakan bagaimanakah semuanya bermula sehingga membawa kepada penubuhan SCT?

ABDUL HADDIS: Sebelum serius mengusahakan SCT, saya bersama seorang teman pernah membuka perniagaan menjual komputer baru iaitu pada 2001. Selepas itu, saya menjual pula komputer terpakai tetapi ia bertahan kira-kira setahun sahaja.

Saya akui persaingan yang dihadapi oleh peniaga kecil-kecilan seperti kami amat hebat. Lantas saya cuba beralih angin dengan menceburi dunia pendidikan sebagai pensyarah di Kolej Inpens memandangkan mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat (IT). Sayangnya, ia bertahan antara dua hingga tiga tahun sahaja.

Kebetulan pada masa yang sama, saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak supaya kita berfikir di luar daripada kotak mencetuskan idea kepada saya supaya lebih berpandangan ke depan dan lebih kreatif.

Sekali lagi menyedari betapa perlunya kepada usaha mengitar semula komputer dan produk-produk elektronik yang semakin berkembang maju di negara ini, ditambah pula negara-negara maju amat memerlukan negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia di mana kos buruhnya masih murah.

Jadilah inilah bisnes yang berpotensi cerah dan belum ramai dimainkan oleh bumiputera. Berbekalkan pengetahuan dalam bidang IT, saya mengambil keputusan nekad ke Majlis Perbandaran Shah Alam dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk mendapatkan lesen.

Akhirnya pada 2003, bermulalah SCT di tapak awal iaitu di belakang rumah di Kapar, Klang dan kemudian berpindah ke Kota Kemuning sebelum sekali lagi berpindah di tapak yang sedia ada sekarang.

Sekarang pun, rasa-rasanya perlu mencari tapak yang lebih luas lagi kerana di sini kami bukan sahaja menerima dan menguruskan bahan-bahan dari dalam negeri tetapi luar negeri seperti Jerman, Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat.

Bagaimanakah operasi harian di Pusat Kitar Semula Komputer dan Elektronik?

ABDUL HADDIS: Sebagai sebuah syarikat kitar semula, kami menyediakan perkhidmatan atau kaedah paling mudah dan selamat untuk menghapuskan kelengkapan komputer sama ada yang sudah rosak atau tidak boleh digunakan lagi. Ia termasuk komputer lama, komputer riba dan pencetak.

Komputer-komputer yang dibeli ini akan melalui beberapa proses. Jika ia masih dalam keadaan baik, kami akan menjualnya sebagai barang terpakai.

Kami juga akan mengambil mana-mana bahagian dalam komputer tersebut yang masih elok sebagai alat ganti. Contohnya monitor komputer yang masih berkeadaan baik, kami akan bekalkan kepada kilang-kilang televisyen.

Sementara itu, bagi yang sudah rosak pula, kami akan kitar semula untuk mendapatkan bahan mentah seperti logam dan tembaga yang harganya mahal di pasaran.

Sehingga kini, boleh dikatakan tidak menang tangan dibuatnya kerana barang yang diimport juga berkontena jumlahnya. Ini tidak termasuk yang terdapat di tempat kita sendiri. Alhamdulillah dengan adanya lebih kurang 23 pekerja, kami dapat menyelesaikan tugasan dengan sebaik mungkin.

Perniagaan saudara jarang diusahakan bumiputera berbanding bangsa lain. Adakah faktor ini menjadi penyelamat atau masih ramai usahawan bumiputera yang tidak mengetahui akan potensinya?

ABDUL HADDIS: Syukur kepada Allah kerana saya menceburi satu bidang perniagaan yang kurang persaingan

Selain itu di SCT, kami menyelesaikan masalah IT secara total di mana kami membeli komputer-komputer dan produk elektronik sama ada yang lama ataupun sudah rosak.

Sekurang-kurangnya urus niaga ini membawa pulangan positif kepada semua pihak termasuk dalam usaha menjaga alam sekitar. Ini kerana apa yang dilakukan di SCT adalah secara yang betul dan tidak seperti yang digembar-gemburkan segelintir pihak di mana membangkitkan isu salah pengendalian.

Saya mempunyai beberapa agen (collector) yang akan mengumpulkan barangan-barangan terpakai ini sebelum dijual kepada kami. Di samping itu pihak Alam Flora juga menerusi kempen e-waste juga menghantarnya ke SCT.

Hakikatnya, Malaysia boleh menjadi ia sebagai industri kitar semula kerana banyak lagi yang boleh diterokai.

Selama empat tahun berkecimpung dalam perniagaan kitar semula, apa pandangan saudara tentang minat usahawan bumiputera serta masa depan perniagaan ini?

ABDUL HADDIS: Saya telah banyak kali melatih bumiputera tetapi sayangnya banyak juga yang mengaku kalah.

Berbeza dengan yang bukan bumiputera. Salah satunya dari segi etika perniagaan.

Urus niaga kitar semula memerlukan sifat amanah yang kental. Ini kerana kita berurusan dengan pengaliran wang tunai. Kadang-kadang saya hairan mengapa bangsa lain yang bukan Islam boleh berniaga seperti perniagaan dalam Islam sedangkan umat Islam itu sendiri tidak mengikut sebagaimana kehendak agama. Pun begitu, saya berkeyakinan umat Islam boleh berjaya. Insya-Allah.

Apakah perancangan saudara dalam perniagaan?

ABDUL HADDIS: Mungkin di masa hadapan saya akan lebih menumpukan kepada bahan lusuh dari luar negara kerana potensi di sana lebih besar. Apatah lagi berurusniaga dengan orang asing bagi saya lebih mudah kerana mereka tidak melihat kepada faktor perbezaan bangsa atau agama.

Pada masa yang sama saya juga sedang berusaha mencari tapak yang lebih besar dan kemudahan lebih lengkap

sumber:utusan malaysia 11.05.2007

0 comments: