Home » » Swiss Cash dan sewaktungannya HARAM!!!

Swiss Cash dan sewaktungannya HARAM!!!

Written By kall on Friday, 2 March 2007 | 10:20

tahun nie begitu banyak program invest yang nampak cam baguih jek.. nasib baik aku jenis tak dek duit kalo tak... abihlaa HARAMM

Hukum melabur dalam Swiss Cash
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN 1
Saya ingin bertanya pada ustaz mengenai hukum melabur dalam pelaburan saham. Adakah melabur dalam Swiss Cash dibolehkan dalam Islam? Ini kerana mereka mendakwa tidak terlibat dalam pelaburan arak dan judi.

JAWAPAN:

Orang Islam hendaklah berhati-hati di dalam memilih kaunter pelaburan, supaya pelaburan mereka benar-benar menepati kehendak syarak. Sesuatu pelaburan tidak dapat dilabelkan halal selagi mana belum ada badan pengawal syariah. Sekalipun tidak terlibat dalam perjudian dan arak. Untuk memastikan pelaburan kita halal, kita perlu memastikan ke mana wang ringgit kita dilaburkan atau didagangkan.

Walaupun Swiss Cash mendakwa tidak melakukan aktiviti yang haram dalam perniagaan. Kita perlu sedar pelaburan sebegini didominasi oleh orang-orang bukan Islam. Mereka yang bukan Islam ini hanya tahu bahawa dalam Islam tidak boleh berjudi dan minum arak. Maka fokus diberikan kepada dua elemen ini.

Pelaburan kita dalam laman web sebegini jelas terdapat unsur-unsur gharar (keraguan). Kerana pergantungan kita hanya pada dokumen secara elektronik semata-mata. Ditakdirkan laman web tersebut ditutup, bagaimana nasib si pelabur?

Sebarang syarikat yang ingin diletakkan duit pelaburan sepatutnya disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh Panel Penasihat Syariah.

Ia amat penting bagi menentukan syarikat itu menjalankan aktiviti yang menurut nilai Islam atau tidak. Apabila tiada sebarang panduan seperti pelaburan Swiss ini, sudah tentu pelaburannya akan dibuat dalam apa jua syarikat yang mungkin kita sendiri tidak tahu. Salah satu pelan pelaburan Swiss Cash ialah Forex (Foreign Exchange) atau yang lebih dikenal dengan Perdagangan Mata Wang Asing;

Transaksi antara mata wang dengan mata wang secara tangguh akan menghasilkan riba an-nasiah yang diharamkan secara sepakat oleh seluruh ulama Islam. Ia juga adalah keputusan Panel Penasihat Syariah dunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI).

Antara panel penasihat syariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof. Dr. Syeikh Wahbah Zuhayli, Prof. Dr. Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani’, Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Nazih Hammad, Syeikh Dr. Hussain Hamid Hassan, Syeikh Nizam Ya'quby, Dr. Mohd Daud Bakar, Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad, Syeikh Dr. Ajil Nashmi dan ramai lagi.

Kesimpulannya, tiada satu pun yang dibuat dan diurus tadbir secara Islamik oleh Badan Pengurusan Pelaburan Swiss ini. Semuanya terlibat riba dan perjudian, maka semua keuntungannya adalah haram kerana terdapat unsur riba, gharar dan jahalah (tidak tahu ke mana dilaburkan).

Orang Islam yang terlibat dalam pelaburan sebegini hendaklah berhenti atau keluar dari melabur di dalamnya. Ulama-ulama sedunia telah membuat keputusan bahawa melabur dalam pelaburan seperti mana yang ditawarkan oleh Swiss Cash adalah haram.

Ia adalah menurut keputusan Majlis Penasihat Syariah oleh AAOIFI atau OIC International Fiqh Academy (Majma Fiqh Islami) yang dianggotai oleh pakar-pakar syariah sedunia.

Mencari rezeki itu wajib, lebih-lebih lagi di dalam keluar daripada kefakiran dan kemiskinan adalah sesuatu yang dituntut. Tidak ramai yang mahu hidup susah dan tidak suka kehidupannya kais pagi makan pagi kais petang makan petang, cukup bulan dapat gaji habis bayar hutang.

Semua ini pasti membelenggu kehidupan seseorang. Tetapi ingat rezeki Allah s.w.t cukup luas, tiada batasannya tiada hadnya. Dia Maha Kaya. Justeru, janganlah hendaknya keghairahan mencari duit mengalpakan kita daripada mencari pelaburan yang halal.

0 comments: