Pages

Monday, 28 April 2008

Jutawan Kapal pernah rugi Ratusan Juta


TBDE sedia kemudahan jeti, baik pulih bot untuk kemudahan nelayan tempatan

"SAYA bersyukur dan berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai apabila saya mengimbau semua perit getir memajukan kawasan Tok Bali dan Tok Bali Dockyard & Engineering Sdn Bhd (TBDE), kata Pengarah Eksekutif TBDE, Tengku Kamarul Bahrim Tengku Kamarulzaman.

Selepas lebih dua tahun memajukan kawasan hutan serta paya pinggir pantai, beliau akhirnya menjadikan Tok Bali pusat maritim terkenal di Kelantan serta Malaysia.


Beliau berkata, usaha untuk memajukan kawasan itu bermula pada 1997 dengan meneroka hutan dan menambak paya di tapak seluas empat hektar untuk dijadikan ibu pejabat dan pusat operasi TBDE.

"Ketika itu, kawasan ini tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan telekomunikasi, namun ia tidak mematahkan semangat saya dalam mewujudkan sebuah pusat maritim yang kini terkenal di seluruh negara.

"Bagi mendapatkan bekalan elektrik, kami terpaksa membangunkan dua rumah kuasa di kawasan ini yang akhirnya kemudahan itu turut dinikmati penduduk setempat.

"TBDE melabur kira-kira RM12 juta bagi membangunkan kawasan ini dan pada 2001, kami menjadi perintis dalam mewujudkan Tok Bali sebagai satu kawasan industri maritim utama di Kelantan. Kepuasannya ialah kemajuan Tok Bali kini dapat dinikmati masyarakat setempat," katanya.

Tengku Kamarul Bahrin, 46, berkata, pembabitan beliau dalam industri maritim ini bermula apabila pemandu bapa saudaranya (Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen), menyarankan beliau supaya terbabit dalam bidang berkenaan.

"Dengan matlamat membantu golongan nelayan, saya menerima saranan itu dan akhirnya berjaya membangunkan TBDE dengan modal pusingan RM10 juta serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM)," katanya.

Mengimbau semula pembabitannya dalam dunia perniagaan, ayah kepada enam anak ini termasuk sepasang kembar, pernah menjadi pengarah sebuah syarikat pada usia 22 tahun serta pernah ditipu seorang tauke hingga kerugian ratusan ribu ringgit.


"Itu semua adalah asam garam dunia perniagaan dan saya sabar menerimanya. Balasannya, mungkin kejayaan yang saya kecapi hari ini," katanya.

Beliau berkata, sebelum wujudnya TBDE, nelayan tempatan terpaksa membawa bot ke Thailand untuk dibaik pulih dan ini membabitkan kos tinggi.

Katanya, apabila TBDE wujud, nelayan tempatan kini dapat menjimatkan masa serta kos membaik pulih.

"TBDE menyediakan kemudahan jeti selain tempat membaik pulih bot. Kami hanya mengenakan bayaran minimum untuk mereka menggunakan kemudahan di tempat baik pulih kapal di sini.

"Kerja membaik pulih dilakukan nelayan sendiri dan TBDE hanya mengenakan bayaran peralatan yang digunakan saja," katanya.

Beliau berkata, sumber utama pendapatan TBDE ialah melalui perkhidmatan yang disediakan kepada bot kerajaan atau syarikat minyak dan gas, tetapi bukannya dari nelayan tempatan.

Antara pelanggan syarikat itu ialah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan selain pemilik persendirian atau korporat.

"Kami sedar, nelayan tempatan perlukan sokongan syarikat besar dan TBDE rasa bertanggungjawab terhadap mereka sebab itu kami hanya mengenakan bayaran minimum untuk mereka apabila menggunakan kemudahan di sini.

"Untuk bot dari agensi kerajaan atau syarikat swasta lain, bayaran yang dikenakan ialah antara RM450,000 hingga RM2.6 juta bagi sebuah bot dengan mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk siap baik pulih sepenuhnya," katanya.

Tengku Kamarul Bahrin berkata, bagi membolehkan kerja membaik pulih kapal dilaksanakan dengan pantas mengikut jangka masa yang diperlukan, TBDE mempunyai sub kontraktor yang berdaftar dengannya bagi melaksanakan tugas berkenaan.

"Sebagai syarikat yang dianugerahkan ISO 9001: 2000 oleh Llyod's Quality Assurance Ltd, Februari tahun lalu, TBDE kini mempunyai 25 sub kontraktor dan 20 pembekal, yang sehingga kini berjaya menjadikan TBDE sebagai antara empat syarikat maritim terbaik di Pantai Timur," katanya.

Beliau berkata, bagi memantapkan operasi, syarikat kini mempunyai lebih 100 kakitangan termasuk sub kontraktor yang semuanya anak tempatan manakala hanya tiga tenaga kerja pakar diimport dari Thailand.

"Masa depan dalam industri maritim khususnya yang terbabit dengan membina, membaik pulih dan menyelenggara bot dan kapal cerah, memandangkan pengangkutan itu kini semakin canggih serta menggunakan teknologi moden.

"Semakin pesat perkhidmatan ini dengan pengenalan bot dan kapal yang semakin canggih, TBDE yakin industri ini mempunyai masa depan cerah sekali gus membolehkan syarikat muncul sebagai antara yang terbaik di negara ini," katanya.

INFO: TBDE

  • Operasi TBDE mula 2001 dengan modal pusingan RM10 juta

  • Pengiktirafan ISO 9001:2000 oleh Llyod's Quality Assurance Ltd

  • Cawangan di Bintulu, Sarawak

  • Ada 25 sub kontraktor dan 20 pembekal tempatan.

  • Kos selenggara sebuah bot atau kapal antara RM450,000 hingga RM2.5 juta

  • Tempoh selenggara 1 hingga 3 bulan.

    BIODATA
    Nama : Tengku Kamarul Bahrim Tengku Kamarulzaman
    Umur : 46 tahun
    Asal : Kota Bharu, Kelantan
    Isteri : Salina Muhamad
    Anak : Tengku Nur Nabilla (13); Tengku Nur Natasha (12); Tengku Nur Nadira (11); Tengku Nur Maheran (6); Tengku Muhamad Aqil (4) dan Tengku Muhamad Aliff (4).
    Jawatan :
  • Pengarah Eksekutif Tok Bali Dockyard & Engineering Sdn Bhd
  • Pengarah IRAT Holdings Sdn Bhd
  • Ahli Lembaga Pengarah Kayu Makmur Sdn Bhd
  • Ahli Lembaga Pengarah Pandan Niaga Sdn Bhd
  • Ali Lembaga Pengarah Chengal Jaya Sdn Bhd
  • Ahli Lembaga Koperasi Sri Nilam Bhd
  • Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Bharu
  • Ahli Dewan Perniagaan Islam Malaysia.
  • Pengarah Rampai Benua Sdn Bhd.

    Beli sistem angkat kapal Jerman RM12 juta

    TOK Bali Dockyard & Engineering Sdn Bhd (TBDE), merancang mengembangkan perniagaannya ke negara serantau seperti Vietnam, selain meneroka pasaran Asia Barat.

    Pengarah Eksekutifnya, Tengku Kamarul Bahrim Tengku Kamarulzaman, berkata syarikat mendapati negara berkenaan mempunyai potensi besar dalam pasaran maritim terutama kerja membaiki serta membaik pulih bot dan kapal.

    Katanya, perkhidmatan yang disediakan syarikat tempatan sudah mendapat perhatian negara berkenaan terutama di Asia Barat dan ini sudah dibuktikan apabila sebuah syarikat tempatan mendapat kontrak dalam industri itu di negara terbabit.

    "TBDE merancang meneroka pasaran luar seperti Vietnam dan negara di Asia Barat memandangkan permintaan tinggi terhadap keupayaan syarikat tempatan di negara berkenaan.

    "Kami akan menggunakan platform syarikat tempatan yang sudah berjaya di negara berkenaan sama ada secara menjalin kerjasama bagi membolehkan TBDE mendapat kontrak, seterusnya bertapak di negara berkenaan," katanya.

    Tengku Kamarul Bahrim berkata, bagi memantapkan operasi, TBDE merancang membeli sistem mengangkat kapal dari Jerman berharga kira-kira RM12 juta.

    Katanya, sistem itu adalah teknologi termaju yang digunakan dalam industri maritim dunia masa kini dan ia berupaya mengangkat kapal yang hendak dibaik pulih atau dibaiki dari dermaga basah terus ke dermaga kering sekali gus menjimatkan masa dan kos.

    Dalam perkembangan lain, Tengku Kamarul menubuhkan syarikat perikanan laut dalam, Rampai Benua Sdn Bhd (Rampai Benua) sebagai komitmennya mengembangkan industri perikanan di Tok Bali yang sekali gus menjadikan kawasan perikanan itu sebagai hub perikanan negara.

    Beliau berkata, melalui syarikat itu, satu konsep bersepadu dan bersistem dalam penangkapan ikan laut dalam akan diperkenalkan yang berupaya meningkatkan hasil tangkapan selain membantu nelayan tempatan terutama Bumiputera bersaing dengan nelayan lain.

    "Syarikat akan memanfaatkan segala kemudahan yang terdapat di TBDE selain mendapat bantuan daripada Jabatan Perikanan. Usaha ini bukan saja hendak menjadikan Tok Bali sebagai pusat perikanan utama negara, malah membantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed memajukan industri ini terutama di Kelantan," katanya.


  • Sunday, 27 April 2008

    Jutawan Sebelum Usia 25 Tahun


    HARAPANNYA ialah melihat lebih ramai anak muda Bumiputera terbabit dalam perniagaan pemasangan alat dan servis NGV yang mempunyai prospek cerah.Pengarah Rokan Maju Resources Sdn Bhd, Shaiful Azwandy Ishak, berkata untuk memantapkan diri dalam bidang ini, beliau mempelajari mengenai pemasangan alat NGV di Itali.


    Shaiful turut menggaji jurutera NGV dari Perancis bagi memantapkan pengetahuan pekerjanya berkaitan pemasangan NGV.“Mekanik NGV kurang di negara ini, sedangkan bidang ini semakin berkembang. Sebab itu saya sanggup mendapatkan khidmat jurutera asing yang mahir mengenai bidang ini bagi membolehkan kakitangan mendapat skil sepatutnya serta mampu memenuhi permintaan semasa,” katanya.Beliau mengasah bakat dalam dunia perniagaan dengan membuka pusat mencuci kenderaan ketika masih bergelumang dengan buku.


    “Kebanyakan generasi muda menumpukan pada pelajaran ketika masih menuntut dan selepas itu bekerja makan gaji. Saya pula lebih suka belajar dan sambil itu menimba pengalaman dalam dunia perniagaan.“Minat berniaga bercambah apabila melihat ibu bapa saya mengusahakan restoran ketika saya berusia 15 tahun. Ketika menuntut di kolej, saya memberanikan diri mengusahakan pusat mencuci kereta dengan modal RM10,000.


    “Pada waktu pagi saya menghadiri kuliah, manakala petang masuk kerja. Sambutan yang diterima sungguh menggalakkan kerana purata 150 kereta sehari mendapatkan khidmat pencucian,” katanya yang mengambil alih perniagaan itu daripada pengusaha lain.Disebabkan sambutan menggalakkan, beliau mampu menggajikan 11 pekerja, apatah lagi kawasan berkenaan yang berstatus komersial terletak di kawasan strategik.“Mengikut syarat, pengusaha perlu membuka pusat mencuci kenderaan terlebih dulu dan kemudian memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan.


    “Apabila saya mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan, permohonan saya ditolak tiga kali hinggalah saya menerima notis merobohkan premis berkenaan.“Rayuan saya supaya premis tidak dirobohkan tidak dilayan. Bagaimanapun, dua hari selepas itu saya menerima surat daripada pihak berkuasa tempatan memberitahu permohonan saya diluluskan, sedangkan mereka sudah merobohnya. Kejadian itu membuatkan saya tawar hati dan tidak mahu meneruskan perniagaan berkenaan kerana memerlukan kos tinggi untuk memulihkannya semula,” katanya.


    Shaiful mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun iaitu enam hari selepas menyudahkan peperiksaan akhir di kolejnya.“Kalau tidak kahwin, mungkin saya masih makan gaji hingga ke hari ini. Saya bersyukur kerana impian untuk menjadi jutawan sebelum usia 25 tahun tercapai,” katanya.

    Friday, 25 April 2008

    Hadiah kambing jadi bisnes


    BIDANG penternakan kambing ternyata memerlukan kesabaran yang tinggi selain diiringi minat dan pengalaman yang secukupnya sebelum terfikir untuk menceburinya.

    Ramai berpendapat, penternakan kambing merupakan suatu projek yang mudah untuk diusahakan dan mampu meraih keuntungan dalam masa yang singkat.

    Sehubungan itu, minat orang ramai terhadap bidang ini semakin mendapat sambutan hangat dan lokasi penternakan boleh dikatakan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di negara ini.

    Walaupun ini merupakan suatu tanda yang positif kepada perkembangan industri penternakan, namun terdapat golongan yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan hanya menjadikan kejayaan pengusaha lain sebagai alasan untuk mencari keuntungan serta menceburinya.

    Sehinggakan, ada individu yang sanggup mencagar aset peribadi bagi menceburkan diri dalam pengusahaan ternakan tersebut.

    Risikonya jika menjadi pengusaha secara membabi buta ini boleh dikatakan amat tinggi. Ini kerana seseorang pengusaha itu perlu mengetahui selok-belok dunia penternakan sebelum melibatkan diri.

    Ia penting bagi menjamin kestabilan pengusahaan yang berterusan dan tidak terhenti separuh jalan disebabkan faktor kerugian yang berpunca daripada tiada perancangan awal.

    Bagi seorang penternak, Hamidon Tambih, 39, yang sudah berkecimpung dalam bidang penternakan sejak usia muda lagi, berdasarkan pengalamannya, boleh dikatakan ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut dan berbelanja ratusan ribu ringgit bagi menceburinya tanpa mendapat pendedahan yang secukupnya.

    “Kegelojohan golongan tersebut nyata memakan diri sendiri kerana melibatkan diri tanpa mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikannya. Boleh dikatakan hanya segelintir yang berjaya kekal dalam bidang tersebut.

    “Saya bukan hendak menakut-nakutkan golongan yang berminat malah mengalu-alukannya, tetapi nasihat saya kepada umum, kesabaran merupakan elemen yang penting selain disematkan dengan minat bagi menjayakan diri dalam bidang ini,’’ katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Sungai Pelek Sepang, Selangor, baru-baru ini.

    Beliau yang masih menyandang jawatan pengurus projek kanan di sebuah syarikat kontraktor ketika ditemui nyata tidak kedekut untuk berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan dunia penternakan sehingga ke hari ini.

    Semuanya bermula daripada bapanya yang mengusahakan ternakan lembu, secara tidak langsung minat untuk menjadi penternak sudah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

    Tambah beliau, minat untuk menceburkan bidang penternakan kambing bermula selepas menerima hadiah anak kambing yang baru dilahirkan daripada hasil ternakan kambing secara kecil-kecilan.

    Bermula dari detik itu, Hamidon berazam untuk memperluaskan bidang ternakan pada suatu hari kelak.

    Lebih menarik, berkat simpanan wang saku semasa berada di zaman persekolahan, beliau memulakan ternakan secara kecilan dengan 15 ekor kambing.

    Ekoran itu, beliau lebih suka meluangkan masa dengan kambing ternakannya daripada membazir masa dan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

    Namun, dalam sibuk membantu bapanya dan menjaga ternakannya sendiri, pelajaran tetap diutamakan.

    Berlandaskan disiplin diri yang tinggi dan pengurusan masa yang terancang beliau boleh juga dikatakan cemerlang dalam bidang akademiknya.

    Justeru itu, selepas menamatkan zaman persekolahan, beliau mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

    Oleh yang demikian, beliau hanya berpeluang untuk menjaga kambing pada cuti semester.

    Sementara beliau sibuk mengejar segulung ijazah, kesemua ternakannya dijaga dan diuruskan oleh bapanya.

    Selepas menamatkan zaman universitinya pula, beliau telah mendapat tawaran bekerja yang memerlukan beliau berpindah ke Pulau Pinang.

    Ini menyebabkan beliau tidak boleh memfokus terhadap bidang ternakan pada ketika itu, walaupun begitu, beliau masih tetap mahu meneruskan ternakan kambing walaupun terikat dengan pekerjaannya.

    Kambing-kambing yang dibelanya hanya dijual kepada jiran-jiran dan kenalan untuk dijadikan sajian bagi majlis kenduri-kendara.

    Pada ketika itu, beliau mengekalkan antara 20 dan 30 ekor kambing ternakan yang dibantu oleh bapanya.

    Setelah projek di Pulau Pinang itu berjaya diselesaikan, beliau berpindah pulang dan mengambil keputusan untuk menternak kambing secara komersial.

    Dalam pada itu juga, beliau bersama bapanya telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mengusahakan ternakan lembu dan beralih kepada ternakan kambing secara optimum.

    Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti permintaan kambing lebih tinggi berbanding lembu masa kini serta kos pemakanan yang tinggi.

    Kini, impian Hamidon menjadi kenyataan kerana beliau mempunyai 300 ekor kambing yang terdiri daripada jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.

    Kini, beliau bukan sahaja memelihara baka induk yang berkualiti, malah membekalkan daging, susu serta mempunyai rumah sembelih sendiri di ladang penternakannya.

    Mempunyai sebidang tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) itu, beliau membina sebuah kandang yang dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi mengasingkan kambing-kambing ternakannya itu.

    Kandang yang dibina itu mampu menampung kapasiti sehingga 400 ekor kambing pada suatu masa.

    Dalam pada itu, kandang yang hanya terletak di belakang rumah keluarganya itu dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit dan ini sekali gus memudahkan proses meragut dilakukan oleh kambing ternakannya.

    Ancaman penyakit

    Tambah beliau, beliau membelanjakan sekitar RM3,000 sebulan bagi membeli palet yang termasuk dalam kos pemakanan ternakan.

    Secara purata, dianggarkan kos pemakanan bagi seekor kambing adalah pada RM15 hingga ke RM20 sebulan.

    Hamidon menambah, kambing-kambing beliau merupakan kambing yang diimport dari Australia dan Indonesia.

    Beliau lebih cenderung untuk membela kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen berbanding kambing Katjang (baka tempatan).

    Ini adalah kerana saiz baka kambing tempatan adalah lebih kecil walaupun mempunyai diet pemakanan yang sama seperti kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.

    Dari segi permasalahan pula, beliau menjelaskan kambing-kambing ternakannya perlu dijaga dengan teliti kerana sekiranya seekor kambing diserang ancaman penyakit seperti kurap, kambing tersebut perlu diasingkan dan dirawat sebelum ia menjangkiti kambing-kambing lain.

    Jelasnya lagi, beliau pernah meminjamkan kambing jantan milik beliau kepada seorang pengusaha lain untuk tujuan baka.

    Disebabkan pengusaha tersebut tidak menjaga kebersihan kandang ternakannya serta tidak mengambil berat aspek kesihatan ternakan, kambing baka yang dipinjamkan itu dijangkiti kurap.

    Beliau amat kesal dan sedih apabila kambing tersebut dipulangkan.

    Bagi mengatasi masalah tersebut, kambing tersebut disuntik dengan vaksin anticacing, Ivomax dan kemudiannya beliau menyapu minyak hitam pada bahagian yang dijangkiti.

    Jangkitan kurap pada kulit kambing tersebut didapati tanggal selepas tempoh dua minggu dan selepas tempoh sebulan, bulu sudah mula tumbuh kembali

    Kaedah ini dikatakan sangat efektif dan beliau turut memberitahu bahawa kos rawatan yang dibelanjakan hanya pada sekitar RM300 ke RM400 sebulan untuk seluruh ternakannya.

    Pernah suatu ketika beliau mengalami pengalaman pahit apabila 40 ekor kambing ternakannya mati akibat serangan cirit-birit ekoran masalah banjir.

    Keistimewaan penternak kambing ini ialah dia boleh mengenali setiap kambing ternakannya dari segi usia dan dari baka mana terhasil walaupun kesemua kambing tersebut kelihatan agak serupa.

    Itu antara kelebihan beliau walaupun hanya mengunjungi ladang ternakannya pada hujung minggu kerana sibuk dengan urusan pejabatnya.

    Beliau bersama-sama tiga orang pekerjanya membuktikan bahawa kesabaran perlu disematkan sekiranya ingin berjaya dalam bidang pengusahaan ternakan ini selain faktor minat dan pengetahuan asas yang secukupnya.

    Bagi sesiapa yang berminat serta ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh menghubungi Hamidon Tambih di talian 019-2304735.

    Ingin Cuba Sesuatu yang baru Sabrina Berjaya

    Sasabina Recreation penuhi impian kanak-kanak

    Nabi Muhammad SAW mengahwini Siti Khadijah yang kental semangatnya dalam bidang perniagaan. Walaupun banyak rintangan yang dihadapi, Siti Khadijah yakin perniagaan merupakan punca rezeki utama kepada masyarakat Islam.

    Bahkan, 9/10 punca rezeki datangnya daripada sumber perniagaan. Namun, sesetengah orang berpendapat, bidang tersebut penuh dengan risiko.

    Bagaimanapun, wanita cekal yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini yakin keputusan yang dibuat adalah tepat dan mampu membuahkan hasil.

    Tanpa mengenal erti putus asa, Mazni Yusof, 32, terjun ke dunia perniagaan tanpa mengendahkan cabaran yang bakal ditempuhinya.

    Bergandingan dengan abangnya, Shahron Yusof, 35, yang berkelulusan dalam bidang perhotelan dari UiTM dan ijazah dalam pengurusan pelancongan dari sebuah universiti di Jepun, mereka menubuhkan Sasabina Recreation Sdn. Bhd.

    WartawanUtusan ZUNAIDAH ZAINON dan jurugambar AMIR HAFIZ menemu bual Mazni untuk berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar usahawan.

    MEGA: Tidakkah menjadikan bidang perniagaan sebagai batu loncatan untuk membina kerjaya dilihat sebagai pilihan terakhir?

    MAZNI: Memang pada mulanya, saya akui ia menjadi punca utama saya membabitkan diri dengan perniagaan kerana gagal mendapatkan kerja dalam bidang perakaunan sebaik tamat pengajian dari UiTM.

    Bagaimanapun, setelah diteliti setiap kelebihan dan kekurangannya, saya pasti bahawa keputusan ini bukan jalan terakhir untuk mendapatkan kerja. Ingin saya tegaskan bahawa ia telah memberi saya kepuasan kerana berniaga juga sudah merupakan darah daging keluarga saya cuma bidang yang dipilih adalah berbeza. Ibu bapa saya memilih untuk mengusahakan batik sejak 1979 dan kini membuka restoran.

    Kenapa tidak teruskan dengan perniagaan warisan keluarga?

    MAZNI: Saya ingin cuba sesuatu yang baru seperti mana yang dituntut oleh agama Islam bahawa kita digalakkan mencuba sesuatu yang baru dan berani berhadapan dengan cabaran. Jika kita takut dan terlalu bergantung kepada orang lain untuk berjaya, ia tidak akan membawa sebarang makna. Malah, orang Islam akan dipandang rendah kerana ketinggalan tidak mampu berjaya dalam perniagaan.

    Apakah sasaran utama Sasabina Recreation?

    MAZNI: Melalui Sasabina Recreation Sdn. Bhd. yang dimulakan dengan modal RM118,000, segala idea dan kreativiti dicurahkan melahirkan sebuah taman permainan yang mampu memenuhi impian kanak-kanak.

    Perniagaan ini umpama merealisasikan impian zaman kanak-kanak yang ingin menikmati keseronokan bermain bersama rakan-rakan di taman permainan yang cantik dan menarik.

    Jadi, kita buat sesuatu yang mampu memenuhi kehendak kanak-kanak supaya mereka gembira dan seronok ketika bermain di situ.

    Selain taman permainan, apakah produk keluaran Sasabina Recreation?

    MAZNI: Sasabina Recreation turut bertanggungjawab mengeluarkan produk untuk pembinaan gelanggang futsal, badminton dan takraw serta gelanggang untuk permainan papan gelongsor (skate board).

    Selain itu, ia juga mengeluarkan kelengkapan untuk melakukan senaman kecergasan untuk orang awam termasuklah warga tua yang berbentuk seperti gimnasium di padang permainan.

    Bagi saya, perniagaan ini mempunyai prospek yang cerah kerana majlis perbandaran dan dewan bandar raya telah meletakkan syarat yang mewajibkan setiap kawasan perumahan yang dibuka mempunyai taman permainan kanak-kanak sebagai antara kemudahan yang disediakan untuk penduduk.

    Sehingga kini, apakah cabaran yang dihadapi memandangkan tidak ramai syarikat pengeluar taman permainan kanak-kanak di kalangan bumiputera?

    MAZNI: Perniagaan mengeluarkan peralatan taman permainan kanak-kanak berisiko tinggi sekiranya aspek keselamatan diabaikan dan ia boleh mengancam nyawa kanak-kanak.

    Dalam konteks ini, setiap peralatan perlu mematuhi kualiti standard yang ditetapkan dengan berpandukan kepada Malaysian Standard, British Standard dan American Standard and Testing Material.

    Ini merupakan kriteria penting yang perlu kita patuhi. Jika diabaikan, kanak-kanak akan berhadapan dengan risiko seperti cedera ketika bermain atau mungkin lebih teruk dari itu kerana material yang digunakan tidak berkualiti, mudah rosak dan berkarat.

    Bagi memastikan produk yang dikeluarkan berkualiti, kami juga bercadang untuk memohon pengiktirafan persijilan Pertubuhan Perstandardan Antarabangsa (ISO).

    Selain itu, rakan kongsi turut menjadi salah satu faktor kelemahan bagi usahawan bumiputera. Ini kerana, kerjasama erat antara rakan kongsi dan semua kakitangan akan menentukan hala tuju dan kemajuan syarikat. Tanpa persefahaman, ia akan menyebabkan pengurusan syarikat terumbang ambing dan akhirnya terpaksa ditutup.

    Atas alasan itu, saya lebih senang bekerja dengan ahli keluarga sendiri seperti abang saya kerana banyak kelebihannya. Antaranya, kita lebih percaya antara satu sama lain dan tak perlu risau tentang keselamatan. Malah perbincangan dapat dilakukan bersama-sama.

    Apakah perancangan Sasabina Recreation pada masa hadapan?

    MAZNI: Mengenai perancangan masa depan, Sasabina Recreation bercadang mengeksport produk keluaran syarikat ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan kemudiannya ke negara-negara Asia Barat.

    Apakah nasihat kepada usahawan yang berminat dengan bidang perniagaan ini?

    MAZNI: Kepada semua bakal usahawan, anda perlu bijak membuat kajian terlebih dahulu agar ia boleh memenuhi kehendak kanak-kanak dan paling penting memberi keutamaan kepada aspek keselamatan. Ini perlu ditekankan bagi mengelakkan kemalangan berlaku atau lebih buruk boleh mengundang maut.

    Monday, 21 April 2008

    Khasiat YaaSiin

    BACALAH YASSIN

    RASULULLAH s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
    "Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi
    keberkatan", iaitu:
    1. Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh
    menjadi kenyang.
    2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
    3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
    4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
    5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
    6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa
    yang dilihatnya.
    7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
    8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia,
    Allah meringankan siksanya.
    9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
    10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar
    daripada penyakitnya.
    11. Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya setiap
    sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yassin.
    Sesiapa membaca surah Yassin,nescaya Allah menuliskan
    pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.

    12. Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Apabila datang ajal
    orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari,
    turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut.
    Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah,
    menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut
    menyembahyangkan jenazahnya".

    13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang
    yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan
    dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya
    alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur
    dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya
    diambil.

    14. Rasulullah s.a.w bersabda selanjutnya: "Sesiapa
    bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca
    pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka.
    Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari
    kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan
    kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli
    rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia
    adalah orang-orang yang munafik.



    Untuk renungan semua,

    Siapakah orang yang sibuk ?
    Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat
    akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan
    seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

    Siapakah orang yang manis senyumannya?
    Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang
    ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna
    illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi
    Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil menguki senyuman.


    Siapakah orang yang kaya?
    Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang
    ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

    Siapakah orang yang miskin? Orang yang miskin adalah orang
    tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk -
    numpukkan harta.

    Siapakah orang yang rugi?
    Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia
    pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan
    amal-amal kebaikan.

    Siapakah orang yang paling cantik?
    Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak
    yang baik.

    Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
    Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang
    yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan
    di perluaskan saujana mata memandang.

    Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi
    dihimpit?
    Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang
    mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya
    menghimpitnya.

    Siapakah orang yang mempunyai akal?
    Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni
    syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia
    untuk menghindari seksa neraka.

    Siapakah org yg KEDEKUT ?
    Orang yg kedekut ialah org yg membiar atau membuang email
    ini begitu sahaja, malah dia tidak akan menyampaikan pula
    pada org lain.

    Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi
    manafa'at kepada manusia lain...

    12 BARISAN MANUSIA .. MENUJU KE AKHIRAT:-

    Barisan pertama:
    Di iringi dari kubur dlm keadaan tidak bertangan &
    berkaki . keadaan ini dijelaskan melalui seruan Allah S.W.T
    :
    "Mereka orang2 yg menyakiti hati jiran sewaktu hidup
    mereka. Mereka yg sombong & tidak berbuat kebaikan
    kepada jiran tetangga akan mendapat kehinaan didunia maupun
    di akhirat".
    Firman Allah 'aku akan memalingkan hati orang yg
    sombong serta takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan
    yg benar dari (memahami) ayat2 ku(yg menunjukkan kekuasaan
    ku),itulah balasan & tempat kembali mereka adalah
    neraka".

    Barisan ke-2:
    Di iringi dari kubur dlm bentuk babi hutan datang seruan
    Allah
    "mereka orang yg meringan2kan solat sewaktu
    hidup,sesungguhnya orang yg memelihara solat 5 waktu akan
    dihindari dari siksa kubur sebaliknya, mereka yg
    mengabaikan maka waktu dia mati, Mayatnya akan dihimpit
    oleh liang lahat sehingga berselisih tulang rusuk."
    Rasulullah saw bersabda "sesungguhnya seorang hamba
    apabila dia berdiri untuk bersolat,maka di letakkan semua
    dosanya di atas kepala & kedua2 bahunya, maka setiap
    kali dia rukuk atau sujud, berjatuhanlah dosa2 itu.

    Barisan ke-3:
    Di iringi dari kubur dgn bentuk keldai & perut penuh
    ular serta kala jengking
    "mereka adalah orang yg enggan membayar zakat ketika
    hidupnya walaupun pada ketika itu mereka tergolong dlm
    orang yg berkemampuan.
    Inilah balasannya & tempat kembali mereka adalah
    neraka.

    Barisan ke-4:
    Diiringi dari kubur dlm keadaan darah memancut keluar dari
    mulut
    "Mereka adalah antara orang yg suka berdusta ketika
    berjual beli. Berniagalah dengan jujur serta amanah agar
    hasil yg diperoleh datang dari sumber yg halal.

    Barisan ke-5:
    Diiringi dari kubur dalam keadaan berbau busuk seperti
    bangkai ketika itu Allah menurunkan angin sehingga bau
    busuk itu menganggu ketenteraman padang mahsyar
    "Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan
    derhaka, takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula
    takut kepada Allah. inilah balasannya & tempat mereka
    juga adalah neraka.

    Barisan ke-6:
    Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala terputus dari
    badan mereka adalah orang yg dahulunya menjadi saksi palsu.


    Barisan ke-7:
    Diiringi dari kubur tanpa lidah tetapi mengalir darah &
    nanah dari mulut mereka. Me reka ini adalah orang yg enggan
    memberi kesaksian kebenaran.

    Barisan ke-8:
    Diiringi dari kubur dlm keadaan terbalik,kepala kebawah
    & kaki ke atas. M ereka adalah orang yg melakukan zina.

    Tempat mereka juga adalah di neraka. Sabda rasulullah
    "tiada bersunyi2an antara seorang lelaki &
    wanita,melainkan wujudnya syaitan sebagai orang ketiga
    antara mereka".

    Barisan ke-9:
    Diiringi dari kubur dengan wajah hitam & bermata biru,
    sementara dlm diri mereka penuh dengan api gemuruh mereka
    adalah orang yg makan harta anak yatim dengan cara yang
    tidak sepatutnya.

    Barisan ke-10:
    Diiringi dari kubur dlm keadaan tubuh berpenyakit sopak
    & dipenuhi kusta. M ereka ini adalah orang yg derhaka
    kepada ibu bapa sewaktu hidupnya.

    Barisan ke-11:
    Diiringi dari kubur dlm keadaan buta,gigi panjang seperti
    tanduk lembu jantan,bibir terjuih hingga ke dada &
    lidah terjulur hingga ke perut serta keluar pelbagai
    kotoran yg menjijikkan.
    Mereka ini adalah orang yg minum arak sewaktu hidupnya.

    Barisan ke-12:
    Diiringi dari kubur dengan wajah bersinar2 seperti bulan
    purnama. mereka melalui titian Siratulmustakim seperti
    kilat.
    Datang suara dari sisi Allah yang memaklumkan "mereka
    semasa hidupnya adalah orang yg beramal salih &
    melakukan kebaikan.
    Mereka juga menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat
    lima waktu & meninggalkan dunia dalam keadaan
    bertaubat.
    Inilah balasan mereka & tempat kembali mereka adalah
    syurga, beroleh keampunan, kasih sayang & keredhaan
    Allah S.W.T"

    Dulu Di Sekolah Paling Corot Sekarang Paling Kaya


    Keputusan buka perniagaan berkaitan industri petroleum berbaloi

    PRESTASI pelajaran yang kurang memberangsangkan ketika di bangku sekolah kerana sering mendapat tempat tercorot dalam kelas sehingga tamat Tingkatan Tiga, tidak menghalangnya untuk berjaya dalam kerjaya dan kemudian bidang perniagaan.

    Bermula di Tingkatan Empat, beliau berusaha memperbaiki kelemahan itu, seterusnya muncul pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1967 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis, Pahang.


    Semangat untuk bangkit daripada kegagalan, terus dipraktikkan dalam dunia perniagaan, malah keperitan dan kesusahan hidup keluarganya menjadi pendorong utama mengubah sikapnya daripada individu malas serta nakal, menjadi lebih berdedikasi dan tidak mudah patah semangat.

    Menceritakan detik awal pembabitan dalam bidang perniagaan, Datuk Sharif Shamsuddin yang kini Pengarah Urusan Amalgated Metal Builders (M) Sdn Bhd (AMB), berkata minat dalam perniagaan bermula selepas membaca kenyataan seorang menteri yang mahu individu berkebolehan dalam industri minyak dan gas terbabit dalam bidang itu kerana kerajaan membelanjakan berbilion ringgit memajukan sektor berkenaan.

    "Tanpa berfikir panjang, sebaik meletak jawatan di Yayasan Pahang (YP) selepas berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 1990, saya membeli sebidang tanah seluas lapan hektar untuk mendirikan bangunan pejabat, kilang, membeli mesin dan menyediakan prasarana asas dengan bermodalkan RM1 juta," katanya ketika ditemui pejabatnya di Gebeng, Kuantan, baru-baru ini.

    Sharif berkata, selain menggunakan simpanan sendiri, beliau membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan, walaupun memahami kesan diterima seandainya perniagaannya gagal.

    AMB adalah syarikat milik Bumiputera terbabit secara langsung mengeluarkan peralatan (komponen) memproses penukar haba jenis kelumpang dan tiub dan tangki tekanan tinggi untuk kegunaan industri minyak dan gas di dalam dan luar negara.

    Hampir 30 peratus pelanggannya adalah syarikat antarabangsa dari Filipina, Belanda, Indonesia, Pakistan, Brunei, Singapura dan China.

    "Bermula dengan keuntungan syarikat RM4 juta pada tahun awal beroperasi, kini kami mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda daripada jumlah itu," ujarnya tersenyum puas dengan kedudukannya sekarang.

    AMB yang bermula dengan hanya empat kakitangan kini mencecah sehingga 250 orang, termasuk 30 jurutera anak tempatan yang memiliki pelbagai jenis kemahiran dan kepakaran yang mampu meningkatkan produktiviti syarikat, selain mendapat pengiktirafan syarikat yang berurusan terutama dari luar negara.

    "Saya kagum dengan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan kerana ini menjadi penanda aras tahap kecekapan mereka. Seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang ditunjukkan syarikat, mereka bersedia terus komited dengan bidang yang diteroka," katanya memuji kecekapan kakitangan syarikat itu.

    Sebagai syarikat yang produktif dan proaktif dalam industri minyak dan gas, pelbagai anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa diperolehnya, sekali gus mencetuskan satu budaya korporat kepada kakitangan untuk terus komited menaikkan nama syarikat di dalam dan luar negara.

    Ketika ini syarikat minyak terbesar negara, Petronas menjadi pelanggan terbesar AMB, selain bertindak sebagai vendor kepada Petronas dan semua syarikat antarabangsa industri minyak dan gas yang ada rangkaian perniagaan dengan Petronas seperti Shell dan Exon Mobil.

    AMB mendapat pensijilan ISO 1901:2000 dari BVQI yang berpangkalan di United Kingdom bagi kategori pengurusan, ISO 1400 (persekitaran) dan ISO 1801 (keselamatan).

    Kejayaan terbesar pernah dicapai AMB apabila berjaya menyiapkan `splitting columm' berharga RM3 juta berukuran 60 meter panjang dan dua meter lebar dalam tempoh lapan bulan untuk dieksport ke China. Ia menjadi komponen terpanjang yang pernah dihasilkan berbanding ukuran biasa antara 40 meter dan lima meter sebelumnya.

    BANGGA: Sharif(duduk enam dari kiri) bersama kakitangan Amalgated Metal Builders (AMB) (M) Sdn Bhd selepas berjaya menyiapkan 'splitting column' berharga RM3 juta yang berukuran 60 meter panjang dan dua meter lebar dalam tempoh lapan bulan untuk dieksport ke China.

    "Ia menjadi satu cabaran bagi warga AMB kerana mendapat kepercayaan dari negara luar dan komitmen diberikan kakitangan, kerana tanpa sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya, ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk menyiapkannya," katanya merujuk kepada komponen berkenaan yang mengambil masa dua setengah jam untuk perjalanan sejauh tiga kilometer dari AMB ke Pelabuhan Kuantan pada 2007.

    AMB mengamalkan cara pengurusan kerja yang efektif dan progresif dengan mengaplikasikan kaedah 5S berdasarkan sistem pengurusan Jepun sejak 2006. 5S ialah sisih (seiri), susun (seiton), sapu ,(seiso), seragam (seiketsu) dan selalu amal (shitsuke).

    Ia yang menerima kemudahan pinjaman secara berterusan sehingga RM80 juta, membelanjakan 50 peratus daripada pendapatan tahunannya membeli bahan mentah terutama dari luar negara, dengan 75 peratus untuk pembelian besi, tiub dan paip berkualiti tinggi.

    "Sehingga kini, semua pekerja dapat mengikuti kaedah ini dengan berkesan dan berdasarkan komitmen mereka terhadap sistem ini, saya yakin produktiviti syarikat akan terus dipertingkatkan dan menambah keuntungan syarikat.

    "Saya mengamalkan dasar terbuka dan kakitangan boleh bertemu saya berbincang pelbagai perkara, termasuk operasi dan pengurusan syarikat serta peningkatan daya kerja pekerja, malah saya membentuk sebuah jawatankuasa aduan untuk memahami permasalahan kakitangan," katanya.

    Sebagai pengarah yang berwawasan, banyak perubahan dilakukan Sharif termasuk cara bekerja individu kepada cara berpasukan bertujuan memantapkan syarikat apabila yang kuat membantu yang lemah dan kurang mahir mendapat tunjuk ajar mereka yang berpengalaman.

    Konsep `organic growth' turut diamalkan di AMB bagi memberi kepuasan warganya, selain memberi keyakinan 100 peratus kepada syarikat yang berlanggan dengan AMB sewaktu kunjungan dilakukan.

    "Dengan prestasi yang ditunjukkan syarikat ketika ini, saya yakin AMB mampu menjana pulangan melebihi RM100 juta dalam tempoh terdekat," kata Sharif dengan nada yakin.





    Fakta AMB

    * Bekas pelajar SMK Clifford, Kuala Lipis dan Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur

    * Berkelulusan dalam bidang Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya,

    * memulakan kerjaya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sebagai pensyarah.

    * kemudian bertukar ke Kuantan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan

    (MPK) dari 1980 hingga 1990

    * prnah menjadi Pengurus Besar Yayasan Pahang dan Pengarah Eksekutif Institut

    Kemahiran Ikhtisas Pahang (Ikip)

    * Anugerah Kategori Majikan Kecil & Sederhana Sektor Perkilangan, Kementerian

    Sumber Manusia 2006

    * Anugerah Produktiviti Terbaik Kategori Syarikat Tempatan bagi Jualan

    Tahunan RM10 juta - RM25 jutaTerbaik 2005 oleh NPC

    * Anugerah Amalan Terbaik 1999 dari Perbadanan Usahawan Malaysia Berhad

    (PUMB) bagi Sistem Pengurusan 5S

    Friday, 18 April 2008

    Mulakan dgn RM50 Sekarang JUTAWAN


    MEGA: Kejayaan saudara dengan hanya bermodalkan RM50 ringgit memang sesuatu yang unik. Bagaimana semuanya bermula?

    ABDUL HALIM: Sebenarnya cerita saya memulakan perniagaan dengan modal kecil memang mengejutkan ramai kerana kita selalu beranggap kalau hendak bisnes, modal mesti besar.

    Saya sebelum ini bekerja di kilang balak tetapi tahap kesihatan saya terganggu hingga ke tahap serius yang menyebabkan saya berhenti. Pada saat itulah saya memikirkan cara untuk mencari pendapatan dan saya mula berniaga pisang goreng.

    Alhamdulillah, dengan modal RM50 itulah saya berniaga dan pada masa yang sama menyimpan sedikit daripada keuntungan yang diperoleh.

    Lama-kelamaan saya tambah dengan menjual cakui, pau, donat, dodol pulut hitam dan tepung rangup. Saya beruntung produk pau saya mendapat sambutan kerana pada masa itu tidak ramai yang mengusahakannya. Boleh dikatakan Pau Halim keluaran kami pada masa itu cukup terkenal dan mendapat permintaan.

    Pun begitu, saya agak terkilan kerana tidak mempunyai pengangkutan, jadi produk-produk hanya dijual di sekitar tempat tinggal. Malah untuk mendapatkan bantuan kewangan juga tidak berjaya memandangkan saya tidak mempunyai aset bernilai untuk dijadikan cagaran.

    Namun, saya tidak putus asa, waima dengan bermotosikal buruk. Saya cuba kumpulkan modal sendiri menerusi jualan yang dibuat dan lebih mengutamakan penghasilan produk tepung rangup sejak empat tahun lalu. Ini kerana permintaannya yang tinggi, sekali gus membantu mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan berbentuk makanan.

    Sudah pasti, saudara menghadapi kesukaran pada peringkat permulaan. Apakah antara cabaran yang dihadapi dari dulu hingga sekarang?

    ABDUL HALIM: Lumrah orang berniaga mestilah menghadapi cabaran, waima sekecil manapun bentuk perniagaannya. Mungkin saya beruntung sedikit kerana apa yang saya pilih pada masa itu masih belum ramai yang buat. Malah sekarang pun, saya sanggup menghentikan sementara produksi untuk pau dan lain-lain serta tumpu kepada tepung rangup kerana melihat permintaan dan pasarannya yang semakin meningkat. Ini tidak bermakna, ia dihentikan untuk selama-lamanya tetapi sekadar sementara waktu.

    Kalau nak dikategorikan sebagai cabaran, mungkin pada peringkat awal, masalah modal menjadi halangan utama lebih-lebih lagi, dengan ketiadaan aset atau harta yang boleh dijadikan sandaran di bank.

    Namun, bebanan ini berkurangan apabila mula mendapat bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah skim bantuan usahawan. Saya bersyukur kerana perkembangan perniagaan jelas ketara selepas menerima bantuan walaupun ia tidak diberi dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk bantuan mesin.

    Pada masa ini jugalah saya mendaftar syarikat dengan nama Jaya Food Product Enterprise sebagai syarat melayakkan saya menerima bantuan.

    Kedua, cabaran dari segi pasaran. Pada peringkat awal produk pau yang dihasilkan hanya dipasarkan di kalangan masyarakat setempat, memandangkan ketiadaan pengangkutan. Bayangkanlah dengan hanya bermotosikal, jauh manalah saya dapat pergi. Namun, saya tidak terhenti di situ, saya cuba buat strategi pemasaran sendiri iaitu pau saya bekalkan kepada restoran dan kedai makan, manakala tepung rangup, saya jumpa para peniaga atau ke kedai-kedai runcit.

    Dari situlah, saya dapat membeli van terpakai dan dapat membuat pasaran lebih jauh seperti ke Kuala Selangor.

    Kami juga pernah menghadapi cabaran ditipu pihak tertentu yang kononnya ingin membantu tetapi mempunyai matlamat umpama ada udang di sebalik batu.

    Namun, itu semua dapat diatasi mungkin kerana kelebihan orang Islam, kita sentiasa berdoa kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan. Maka dari awal lagi sudah terdetik di hati dan saya mula berwaspada sebelum lebih lama dipermainkan.

    Lebih 15 tahun dalam bisnes bagaimana anda melihat perubahan dan perkembangannya dahulu dan kini?

    ABDUL HALIM: Memanglah sangat ketara perubahannya. Contohnya dari segi bantuan kerajaan dan agensi kewangan. Masa saya baru-baru mula dahulu, mana ada pihak yang berani hendak menghulurkan bantuan, apa lagi dengan ketiadaan aset dan operasi sekadar di rumah sahaja.

    Namun sejak kebelakangan ini, sebut sahaja hendak berniaga terutamanya bumiputera Muslim, banyak bantuan yang boleh diperoleh.

    Malah bukan itu sahaja, mereka yang berminat dengan dunia perniagaan juga boleh mendapatkan pelbagai ilmu pengurusan, pemasaran dan banyak lagi daripada agensi berkaitan dengan bisnes. Peluang sudah terbuka luas cuma terletak kepada individu itu sama ada hendak mengambilnya ataupun sebaliknya.

    Saya juga bersyukur menerima pelbagai bantuan yang menyebabkan produktiviti kami bertambah, sekali gus mencambahkan pendapatan.

    Apakah perancangan masa depan anda dalam dunia perniagaan?

    ABDUL HALIM: Saya sama juga dengan orang berniaga yang lain iaitu mahu mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

    Saya juga tidak mempunyai perancangan untuk menceburi bisnes-bisnes lain kerana saya lebih suka menumpukan kepada perniagaan yang sedang diusahakan ini.

    Mereka yang berminat mendapatkan bekalan tepung rangup boleh juga menghubungi saya di talian 017-651 0400.

    Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada para perniagaan menerusi pengalaman saudara dalam dunia perniagaan?

    ABDUL HALIM: Bila diingat-ingat, saya memang tidak menyangka apa yang dimulakan dahulu yang sekadar untuk menyara keluarga rupa-rupanya membawa pulangan yang lumayan.

    Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Apa yang dicapai sekarang memang tidak ada di dalam kepala pada masa itu namun kerana kesabaran dan sedikit kelebihan ilmu yang Allah kurniakan, semua yang dikira mustahil, akhirnya menjadi kenyataan.

    Saya suka berpesan kepada mereka yang berminat dalam dunia perniagaan atau mereka yang sudah bergelar usahawan agar jangan sekali-kali menangguhkan hutang kerana masalah hutang ini boleh membawa sehingga gulung tikar.

    Sebab itulah, saya dalam apa urusan memanglah kena berhutang tetapi saya cuba langsai dalam tempoh singkat. Kelebihan kita membayar segera hutang, selain tidak membebankan ia juga membina kepercayaan pembekal bahan mentah kepada kita. Dengan pekerja juga saya suka membayar gaji mereka hari-hari sedangkan ada segelintir lebih suka membayarnya pada tempoh tertentu. Bagi saya mereka keseronokan hati pekerja lebih diutamakan kerana mereka adalah aset kepada syarikat.

    Seperkara lagi, mungkin sedikit kelebihan saya ialah, saya tidak banyak menanggung kos perbelanjaan. Ini kerana, saya mempunyai bengkel di tapak perumahan sendiri, jadi tidak perlu membayar sewa.

    Kejayaan ini juga didorong oleh minat mendalam dalam mencipta resipi. Malah jangan terkejut jika saya katakan saya berhabis ribuan ringgit demi memperoleh resipi yang benar-benar mantap dan tersendiri. Saya cukup bersyukur dengan ilmu dan ilham kurniaan Ilahi, banyak yang dapat dihadapi secara tenang dan berhikmah.

    Wednesday, 16 April 2008

    Duit Di Internet (Boleh Buat Duit Ker?)

    Assala mualaikum Sumer......

    Itu ari aku jumpa kawan lama yang dah lama tak jumpa kat kedai kopi agak-agak dah 2 thn lama nya. Kawan aku nih balik cuti nak tunggu bini bersalin(pergg member dah masuk nombor 2 dah aku.....? ahh saiko saiko) takper rezeki memasing bual punya bual tercerita plak aku yang aku ader buat adsense . pabende kejadah adsense nih ? aku citalah dari a-y(belum z lagi nanti diaer pening).

    jadi bila dipikir-pikirkan masih ramai lagi tak tau yang kita sebenarnya boleh buat banyak duit dgn inter net niihh.tapi kalo dah banyak sangat duit buat aper susah2 nak cari duit lebih yerr tak?

    Jadi pasnih memang kengkawan aku akan tanya aku camner nak buat tuh nak buat niih nak buat tuh .. jadi solution nyer mulai ari nih aku akan revealkan beberaper income yang aku buat di internet niih. Ok

    Kebanyakan kawan2 aku nih sumer keje gomen(kerajaan) memang masyuk gakk. Cuma ader jugak yang mengeluh tak tau nak buat income lebih sikit kat umah padahal tiap2 bulan bayar bil streamyx . ok kita cita lebih skit pasni okkk

    Monday, 14 April 2008

    Jiwa kental usahawan wanita


    Bekas graduan teknologi makanan USM kini miliki syarikat tawar latihan Six Sigma

    TANPA pengalaman serta latihan rasmi dalam bidang perniagaan bukan satu halangan untuk berjaya dalam dunia keusahawanan.

    Apa yang penting ialah semangat untuk terus belajar tanpa mengenal jemu dan memiliki jiwa yang kental.


    Ini dibuktikan graduan teknologi makanan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Nuraslina Zainal Abidin.

    Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja makan gaji, tetapi kemudian memberanikan diri untuk menubuhkan syarikat yang terbabit memberikan latihan Six Sigma di negara ini.

    Apa yang membanggakan, syarikat milik beliau, Genaxis Sdn Bhd (Genaxis), adalah satu-satunya syarikat tempatan yang mendapat pengiktirafan American Society of Quality (ASQ) untuk mengendalikan latihan Six Sigma di negara ini.

    Six Sigma yang diperkenalkan Motorola pada lewat tahun 1960-an digunakan oleh syarikat berkenaan untuk mengurangkan kerosakan terhadap produk yang dihasilkan.

    Bagaimanapun, kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan usaha yang konsisten kemahuan untuk memperbaiki diri.

    Pendedahan Nuraslina dalam dunia perniagaan adalah dalam bidang penyediaan makanan, iaitu ketika menjadi pelatih MAS Katering yang terbabit dalam bidang penyediaan makanan untuk Sukan Komanwel 1998 (Sukom 1988).

    Bersama MAS Katering yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan sajian pada Sukom 1998, Nuraslina menimba pengalaman dalam aspek keselamatan, kualiti dan penyediaan makanan.

    Selepas beberapa tahun menimba pengalaman bersama MAS Katering, beliau beralih arah ke syarikat pembekal makanan McFoods yang menyediakan bekalan makanan kepada semua rangkaian restoran McDonalds di negara ini.

    Pengalaman bekerja dengan syarikat itu mendedahkan dirinya dengan standard tinggi yang ditetapkan syarikat antarabangsa dalam penyediaan makanan. Ini termasuk semua keperluan persijilan yang diperlukan untuk memastikan produk makanan yang disediakan bersih dan halal serta sijil ISO.

    Selepas mendapat pengalaman yang berguna pada peringkat antarabangsa beliau beralih angin dengan bekerja bersama syarikat tempatan selama setahun sebelum memberanikan diri membuka perniagaan sendiri pada 2003.

    Nuraslina yang juga Pengarah Urusan Genaxis, berkata beliau memulakan perniagaan tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

    “Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ketika memulakan perniagaan, ialah apabila saya tiada duit untuk membayar wang pendahuluan selama tiga bulan untuk menyewa ruang niaga di Phileo Damansara,” katanya.

    Beliau secara berterus terang menyatakan perkara berkenaan kepada pemilik ruang niaga berkenaan dan apa yang memeranjatkan ialah dia dibenarkan untuk menyewa.

    Nuraslina berkata, entah mengapa pemilik berkenaan membenarkan juga beliau menyewa kerana yakin kepada kejujuran yang ditunjukkan serta kesungguhan beliau untuk berniaga.

    “Saya dapat membayar sewa yang dijanjikan selepas memperoleh pelanggan pertama iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Selepas itu wang yang diperoleh hasil daripada bayaran pelanggan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan akhirnya dapat membeli secara tunai ruang niaga untuk dijadikan pejabat,” katanya.

    Beliau berkata, minatnya yang mendalam untuk berkongsi pengalaman yang dimiliki menyebabkan dia menceburi bidang latihan dan Six Sigma adalah satu kaedah untuk mengurangkan kos menerusi analisis data yang ada.

    “Six Sigma bukannya mengenai pengilangan produk tetapi kaedah yang boleh digunakan untuk mengurangkan kos operasi syarikat menerusi analisis data secara sistematik.

    “Menerusi analisis ini sebarang kelemahan akan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan, ini sekali gus mengurangkan kos pengeluaran,” katanya.

    Beliau mengakui tidak memiliki banyak pengalaman berniaga sebelum ini tetapi mempelajari selok-belok perniagaan menerusi pengalaman yang dikutip sepanjang menjadi perunding ISO serta interaksi dengan pelanggan.

    “Saya banyak mempelajari perniagaan ini daripada pelanggan yang memberikan maklum balas terhadap perkhidmatan yang disediakan. Dengan cara itu, kami dapat menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

    Beliau turut menghadiri latihan Six Sigma di Amerika Syarikat dan ditauliahkan sebagai ‘blackbelt’ yang mana dengan anugerah berkenaan, dia mampu menjimatkan kos sesebuah syarikat sebanyak AS$1 juta bagi setiap projek.

    Antara pelanggan Genaxis yang memperoleh latihan dan melaksanakan proses Six Sigma ialah PTP, British American Tobacco (BAT), Telekom Malaysia, Pharmaniaga, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Siemens dan United Engineering Malaysia (UEM).

    Apa yang membanggakan ialah beliau tidak pernah meminjam daripada mana-mana institusi kewangan atau perbankan untuk memula dan memajukan perniagaan.

    Sebagai langkah mengembangkan perniagaan, beliau sudah menubuhkan Genaxis Technology yang bergiat secara aktif dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

    Sebanyak 20 kakitangan Genaxis Technology terbabit dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (P&P) untuk menghasilkan perisian dalam bidang latihan Six Sigma.

    Beliau berhasrat menerokai pasaran antarabangsa seperti Singapura, Asia Barat, Australia dan New Zealand untuk menjual latihan dan perisian berkenaan.

    Katanya, sebanyak RM2 juta akan dilaburkan selama dua tahun iaitu tahun ini dan 2009 bagi melaksanakan P&P dan menerokai pasaran antarabangsa.

    Beliau berkeyakinan pakej latihan dan perisian yang ditawarkan akan mendapat sambutan di luar negara walaupun terpaksa bersaing dengan banyak pemain dalam industri berkenaan.

    “Kelebihan kami ialah produk yang dihasilkan memiliki standard antarabangsa tetapi pada masa yang sama dijual pada harga yang lebih rendah berbanding syarikat lain,” katanya.

    Genaxis berhasrat untuk memperluaskan lagi kaedah Six Sigma kepada industri penjagaan kesihatan dan ketenteraan kerana ia memiliki prospek perniagaan yang cerah.

    Friday, 11 April 2008

    Asiah manfaat potensi bidang ICT


    Pengalaman sebagai pendidik dan sertai jualan langsung banyak membantu kejayaan hari ini

    TAKUT dan tidak mahu belajar antara alasan paling kerap diberikan seseorang untuk terus menetap di tempat kerja sama, walaupun kadang-kala hati memberontak kebosanan dan seakan mahu lari daripada ikatan kerja.

    Pengurus Pemasaran Wonderful Query Web (WQW), Asiah Samsi, 43 berkata, sebelum mengenali syarikat berkenaan beliau berkhidmat sebagai pendidik, tetapi akibat bebanan tugas, beliau memilih untuk beralih kepada dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).


    “Saya dulu usah nak kata ICT, komputer pun bukanlah minat sangat, tetapi apabila terbabit dalam dunia ini kita menjadi minat. Mengajar orang ramai mendapat pendapatan menerusi laman web menjadikan kepuasan kepada diri saya kerana keuntungan diperoleh bukan hak individu sebaliknya dikongsi bersama-sama.

    “Saya memilih bidang ini kerana yakin ia mempunyai potensi besar untuk dibangunkan. Bayangkan hari ini semua orang memiliki telefon dan menerima maklumat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) bukan lagi sesuatu yang asing. Ia sebaliknya memudahkan kerja kerana hari ini untuk menyemak saman, tempat mengundi dan sebagainya boleh di lakukan menerusi SMS saja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Mobile Income Resources Sdn Bhd (MIRSB) ditubuhkan tahun lalu dan mencipta ramai jutawan teknologi maklumat informasi sejak 1997. Antara produk ditawarkan termasuklah Mobile Income; SMS Work; Call Center dan Monsun yang menyediakan kemudahan menyediakan laman web, pengiklanan menerusi sistem pesanan ringkas dan sebagainya.

    Syarikat berkenaan mengambil alih sepenuhnya dalam kajian dan pembangunan aplikasi. Justeru itu, ia melantik WQW sebagai syarikat yang menjalankan pemasaran dan latihan bagi pihak Business Integrated Resources Sdn Bhd (BIR) dengan melatih semua usahawan Mobile Income.

    Asiah berkata, WQW terdiri berdiri dari satu landasan yang tetap dengan matlamat utama untuk memperkasakan ekonomi dan membantu rakyat Malaysia menjadi usahawan pemasar ICT yang terunggul di dunia. Dengan penyediaan pelbagai pakej dan sistem latihan bersepadu pihaknya yakin matlamat kerajaan akan menjadi kenyataan.

    “Kami ingin menjadikan rakyat negara ini sebuah bangsa yang celik ICT terutama graduan lepasan ijazah selain memberikan pengetahuan penerokaan pasaran di zon maya tanpa sempadan. Cara ini juga sebenarnya mampu memberi peluang kepada Bumiputera meningkatkan taraf ekonomi, dalam gagasan menuju 2020,” katanya.

    Tegasnya, apa yang ditawarkan sukar diterangkan menerusi kata-kata sebaliknya lebih mudah sekiranya individu berminat datang ke pusatnya kerana tersedia latihan dan modul yang akan diajar kepada orang ramai pada hari yang sudah ditetapkan.

    “Sebagai contoh sistem SMS Work, ia adalah satu sistem hebahan SMS menggunakan internet sebagai platform. Sistem ini membolehkan maklumat dihantar melalui SMS dengan tepat, pantas, mudah, terkini dan efektif. Sistem ini membolehkan hebahan kepada 50,000 nombor telefon dalam satu-satu masa dengan kos RM0.10 satu nombor. Anda fikir syarikat telekomunikasi seperti Celcom dan sebagainya, akan menghantar SMS kepada anda seorang? Mereka hantar kepada jutaan pelanggan, dan begitulah ia bekerja.

    “Menerusi sistem seperti ini membantu anda menghebahkan iklan atau maklumat kepada orang ramai dan saya percaya akan datang cara ini semakin popular. Sekiranya anda merasa sistem ini mengganggu pengguna, ia meleset sama sekali kerana bagaimana sekiranya kereta anda diletakkan risalah dan peti surat anda dipenuhi pelbagai katalog? Tidakkah cara ini satu gangguan dan menyebabkan sampah merata-rata bila ia ditiup angin?,” katanya.

    Sementara itu, katanya, WQW menghasilkan aplikasi mudah membina laman web dan sesiapa saja boleh membinanya, namun memerlukan bayaran tertentu.

    Katanya, mencipta laman web antara satu lagi cara memasarkan produk yang berkesan, malah boleh menjangkau pasaran ke peringkat antarabangsa.

    Beliau berkata, kita sebenarnya memiliki banyak barangan yang boleh dipasarkan, tetapi terbiar begitu saja kerana masih ramai usahawan yang bukan saja kurang arif malah mengambil sambil lewa kemajuan teknologi hari ini.

    “Saya amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang bermurah hati membantu wanita, khususnya ibu tunggal yang mempunyai perniagaan, tetapi tidak mahu dipasarkan kerana kami bersedia membantu membina laman web untuk mereka memasarkan produk mereka,” katanya.

    Bekerja dengan suami Norhafizi Mohd Nasir memberikan keseronokan kepada dirinya. Katanya suaminya dulu memiliki gaji lumayan tetapi disebabkan bebanan tugas menjadikan beliau lebih berminat bekerja sendiri, tetapi pada masa sama dapat membantu orang lain untuk memperoleh pendapatan.

    “Kami berdua pekerja dan pada masa sama bos. Walaupun boleh melakukan tugas secara bebas, tetapi disiplin perlu ada untuk kita mencapai kejayaan. Sebelum menceburi bidang ini sudah puluhan jualan langsung saya ceburi, tetapi ada kelemahan yang menyebabkan saya perlu mengatakan ‘oh cukup setakat ini’ walaupun ketika itu mampu menjana pendapatan lebih lima angka.

    “Saya tidak katakan pengalaman lalu seperti menyertai jualan langsung tidak membantu sebaliknya ia adalah tiket untuk saya maju dalam bidang diceburi hari ini. Terus terang saya katakan kerjaya pendidik yang saya ceburi sebelum ini menyebabkan saya tidak terlalu arif mengenai IT tetapi ia menjadikan saya lebih dihormati.

    “Bakat dalam jualan langsung menyebabkan saya bekerja di sini kerana bakat saya yang boleh menarik minat orang ramai menceburi bidang ini. Pengalaman adalah ibu segala ilmu dan pengajaran. Saya mempunyai prinsip hendak seribu 000 daya, dengan satu alasan saja ia mampu menyebabkan kegagalan,” katanya tegas dan menyarankan pihak berminat menghubungi WQW di talian 03-4105 3848/03-4106 3848.

    INFO

    Keuntungan SMS


  • Akademi Fantasia - Jumlah kutipan selama sembilan minggu mencecah RM13 juta

  • Kes penderaan pembantu rumah Nirmala Bonat - Selama 35 minit ke udara di Buletin Utama berjaya mengumpil sejumlah RM1.7 juta (Celcom saja)

  • Syarikat menjual nada dering - Berjaya mengutip jutaan ringgit setahun hingga berjaya di senaraikan di Bursa Malaysia (Mesdaq)

  • sumber :bharian.com.my

    Dulu jurutera kini tauke makanan


    Semasa melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Texas, Amerika Syarikat (AS), Abang Omar Abang Ali bekerja secara sambilan di restoran makanan segera di sana bagi menampung kos hidup yang tinggi. Bagaimanapun pengalaman tersebut tidak disia-siakan dengan mempelajari kaedah pemprosesan pelbagai jenis makanan Barat berasaskan daging.

    Kembali ke tanah air, Abang Omar sempat bertugas sebagai jurutera minyak dan gas tetapi hatinya memberontak bagi menunaikan fardu kifayah dengan mengeluarkan makanan berasaskan daging yang halal lagi suci bagi masyarakat Muslim negara ini.

    Merealisasikan impiannya, pada 1995, Abang Omar membeli sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bukit Angkat, Kajang, Selangor tetapi hanya memulakan operasinya dua tahun kemudian selepas mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

    "Ketika mula untuk 'bertatih', kami menghadapi pelbagai masalah yang menyebabkan kilang Omcorp Sdn. Bhd. sukar beroperasi.

    "Pada masa itu. Omcorp hanya menggunakan 200 hingga 300 kilogram daging sehari selain menghadapi pelbagai masalah termasuk cabaran semasa wabak SARS dan selesema burung," katanya ketika ditemui di kilangnya, baru-baru ini.

    Biarpun ketika itu kerajaan memberikan penekanan dalam bidang teknologi maklumat (IT) tetapi Abang Omar tetap terus berusaha memajukan kilang makanan berasaskan daging.

    "Kini selepas 10 tahun mengendalikan kilang ini, saya dapat merasakan kami berada di landasan yang betul memandangkan kini negara menuju ke arah pertanian," katanya.

    Selepas beroperasi, sebagai Pengarah Omcorp, Abang Omar telah membuka empat buah outlet bagi memperkenalkan produknya selain memberikan tumpuan kepada kilangnya.

    Abang Omar menambah, apabila produknya mula dikenali, Omcorp telah membekalkan sosej kepada beberapa tempat seperti restoran A&W dan MAS Catering.

    "Ketika itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membantu dari segi nasihat teknikal terutama bagi meningkatkan kualiti produk yang amat kami perlukan," katanya.

    Abang Omar berkata, pihak MARDI terlalu banyak menghulurkan bantuan terutama dalam menyelesaikan masalah seperti kepakaran teknikal, meningkatkan jangka hayat serta analisis produk.

    Kini dengan kerjasama dan tunjuk ajar MARDI yang berterusan, Omcorp telah berjaya menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan daging seperti sosej, papperoni, inti piza, burger, salami, sate, muffin dan terkini piza sejuk beku yang mendapat permintaan yang amat menggalakkan di kalangan pengguna.

    Produk keluaran Omcorp dengan nama Omardeli boleh didapati di pelbagai pasar raya seperti Jaya Jusco, Giant dan Cold Storage serta hotel-hotel seluruh negara.

    Abang Omar menambah, masyarakat Islam yang amat prihatin dan sensitif dengan keluaran produk halal telah membuka ruang yang luas kepada perniagaan beliau.

    Ditanya mengenai cabaran dalam dunia perniagaan, Abang Omar berkata, semasa masyarakat kecoh mengenai sosej menggunakan bahan tidak halal tidak lama dulu, syarikatnya juga terkena tempiasnya.

    "Mungkin kerana nama Omcorp tidak menggambarkan keislaman, ada yang menganggap syarikat kami dikendalikan oleh orang bukan Islam dan menuduh kami menggunakan bahan-bahan tidak halal.

    "Sebenarnya sejak mula beroperasi kami telah menggunakan sarung selulosa yang dihasilkan daripada tumbuhan sebagai acuan sosej dan akan ditanggalkan selepas dimasukkan dalam air panas sebelum dibungkus dan dipasarkan," katanya semasa menunjukkan cara-cara membuat sosej.

    Memandangkan produknya dieksport ke negara seperti Eropah dan Singapura, Abang Omar banyak mengimport bahan mentah seperti daging lembu dari negara Australia, Eropah dan China yang terjamin halal serta bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD) bagi menampung keperluan kilangnya.

    "Bagi pasaran ke luar negara, Omcorp telah berjaya memperoleh pelbagai pengiktirafan daripada negara ini seperti Veterinary Health Mark (VHM), Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP)," katanya.

    Kini sudah lebih setahun Omcorp mendapat kontrak membekalkan skysnack yang merupakan gabungan produk beberapa industri kecil dan sederhana yang dibungkus di kilangnya sebagai makanan ringan dalam pesawat syarikat penerbangan tempatan.

    Bagi mempelbagaikan produk, Omcorp juga menghasilkan ikan keli dan patin salai bagi pasaran di hotel dan syarikat penerbangan tempatan.

    "Bagi ikan salai, kami mendapatkan bekalan ikan air tawar dari Sungai Besar dengan kerjasama Jabatan Perikanan Selangor," katanya.

    Ditanya mengenai perancangan 10 tahun akan datang, Abang Omar berkata, kini pihaknya menjalinkan kerjasama dengan MARDI bagi mengembangkan pasaran bakeri di dalam dan luar negara.

    "Kami yakin akan mendapat pasaran yang luas memandangkan kini semakin ramai pengguna yang prihatin dengan produk halal," katanya yang mempunyai ketua chef yang bertanggungjawab membangunkan produk bakeri.

    Selain itu Abang Omar juga akan cuba mencari pasaran baru bagi skysnack dengan syarikat penerbangan lain.

    "Langkah ini penting bagi memperkenalkan jenama Omardeli sebelum memasuki pasaran luar negara," katanya.

    Apa yang lebih membanggakan, Omcorp kini dalam usaha mengeksport sate ke Singapura menggunakan mesin sate ciptaan MARDI.

    "Bagi pasaran yang lebih luas, kami perlu mendapatkan Agri-food and Veterinary Authority Singapore (AVA) dari Singapura sebagai batu loncatan untuk memasarkan produk kami ke negara-negara maju.

    "Misalnya Singapura serta negara maju lain tidak mahu sate yang menggunakan kaedah manual kerana bimbang dengan status keselamatan dan kebersihan makanan.

    "Mereka bimbang kecederaan yang berlaku semasa mencucuk sate yang akan menyebabkan pencemaran pada produk," katanya.

    Hasil 200 kek sehari


    MURAH, sedap, berkualiti dan boleh rasa dahulu, itulah ciri utama yang diamalkan oleh pemilik Shariz Delight, Sharifah Zainab Syed Zamri, 39.Sepuluh tahun bergelumang dalam dunia pengeluaran dan penjualan makanan, sudah cukup baginya mengetahui rahsia untuk berjaya dalam bidang tersebut.

    Menceritakan permulaan menceburi bidang itu, Sharifah Zainab berkata, penglibatannya bermula apabila beliau terpaksa berhenti kerja kerana mengikut suaminya berpindah kerja ke Hulu Selangor.

    Bagi membantu suami, beliau memulakan pengeluaran mini piza dan baulu untuk dipasarkan ke sekolah-sekolah di sekitar kawasan Kuala Kubu Bharu, Batang Kali dan Hulu Yam.

    Sekarang, hasil produknya diperluaskan kepada bun sosej, biskut, roti, kek dan mufin yang sentiasa menjadi tarikan terutama pelanggan-pelanggan di dua pasar tani di Selangor.

    Walaupun hanya menjual hasil produknya di pasar tani, ia adalah permulaan untuk mengorak langkah lebih jauh.

    Sharifah Zainab berkata, memang impiannya untuk mempunyai bakeri sendiri, namun masih tidak kesampaian kerana permohonan untuk menyewa kedai belum berjaya.

    Buat masa ini beliau beroperasi di bengkel kecil yang dibina di tempat letak kereta rumahnya.

    ''Saya telah berniaga sejak 10 tahun lalu dan pernah menyiapkan tempahan 10,000 kek dan baulu dalam keadaan serba kekurangan. Dari situ semangat untuk terus menceburi bidang ini meluap-luap, di samping mempelajari teknik-teknik terbaru.

    ''Saya ini memang gemar menyertai sebarang kursus bakeri yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, untuk menambah ilmu dan memperbaiki lagi produk yang ada,'' katanya.

    Dengan hanya bermodal sedikit dan bantuan pemberian ketuhar dan peti sejuk daripada Jabatan Pertanian, Sharifah Zainab telah mempelbagaikan produknya.

    Kini kek pandan lapis, kek laici lapis, kek keladi lapis dan pelbagai jenis kek gulung swiss dan kek coklat lembap menjadi trade mark perniagaannya.

    Dengan kemudahan itu juga beliau mampu menghasilkan antara 100 hingga 200 biji kek sehari.

    ''Selalunya hari Selasa hingga Ahad adalah hari bekerja, manakala Isnin ialah hari cuti atau hari mencuci bekas-bekas kek dan membersihkan bengkel.

    ''Saya akan bermula seawal 8 pagi sehingga 3 petang dengan dibantu seorang pekerja,'' jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.

    Selain dijual kepada pelanggan yang datang ke bengkelnya, kek-kek tersebut juga dipasarkan di Pasar Tani seperti di Bukit Sentosa (Khamis) dan Shah Alam (Ahad).

    ''Setiap kali berniaga, saya pasti akan memberi pelanggan merasa produk saya dulu dan dengan cara ini sedikit sebanyak saya berjaya meraih keyakinan pelanggan.

    "Saya juga sentiasa bersedia menerima komen-komen daripada pelanggan kerana dengan cara ini saya dapat meningkatkan lagi kualiti produk.

    "Apa yang penting daripada maklum balas yang diterima mereka menyatakan produk saya sedap dan murah.

    ''Inilah ciri-ciri yang ingin saya kekalkan. Saya mahu semua orang mampu membeli dan merasainya," katanya.

    Berbanding harga pasaran, produk Sharifah Zainab memang dijual lebih murah iaitu antara RM5 hingga RM6 bagi semua jenis kek.

    ''Biasanya, apabila masa perniagaan hampir tutup saya akan beri potongan harga pada produk yang masih tinggal kerana kek-kek ini tidak mempunyai jangka hayat yang lama," katanya.

    Bagi memberi pilihan kepada pelanggan, beliau sentiasa berusaha mempelbagai rasa kek lapis seperti perasa laici, keladi dan sebagainya, selain lapan jenis kek marjerin dan kek gulung. Bagi yang ingin membuat tempahan, boleh menghubungi talian 012-2794116.

    Monday, 7 April 2008

    Jutawan motor


    Syarikat ditubuhkan Azmi, isteri sasar jual 2,800 unit motosikal pelbagai jenama

    PERUNCITAN motosikal di negara ini sering dikaitkan dengan peniaga Cina. Jarang kita dengar peniaga Melayu, kecuali beberapa nama besar seperti Naza Bikes dan Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) yang menawarkan motosikal pelbagai kapasiti di negara ini.

    Sebabnya mudah kerana perniagaan peruncitan motosikal memerlukan modal yang besar, kerana lazimnya peruncit perlu menyediakan pembiayaan untuk setiap motosikal yang dijual secara kredit.


    Apatah lagi, kira-kira 90 peratus daripada jualan motosikal di Malaysia dilakukan secara kredit kerana institusi pembiaya tidak menyediakan kemudahan itu yang dilihat sebagai berisiko besar.

    Pembabitan Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd, syarikat yang turut dimiliki Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan 30 peratus kepentingan sejak tahun lalu, boleh dianggap sebagai memecahkan monopoli peniaga Tionghua berkenaan.

    Dengan mengguna jenama PutraBikes sebagai jenama rasmi syarikat sejak 2006, kini syarikat yang menceburi perniagaan peruncitan motosikal itu telah membiayai hampir RM4.5 juta nilai pembiayaan pembelian motosikal, sesuatu yang sukar difikirkan pemiliknya sebelum memulakan perniagaan berkenaan.

    Pengarah Urusan PutraBikes, Azmi Ismail, berkata secara purata, syarikat menjual kira-kira 150 unit motosikal sebulan dengan tumpuan terhadap motosikal dengan kapasiti enjin 150cc ke bawah.

    Tahun ini, syarikat mensasarkan menjual 2,800 unit motosikal pelbagai jenama termasuk Modenas, Naza Honda, Yamaha dan Suzuki, selain menjadi pusat sehenti bagi penyelenggaraan motosikal. Tahun lalu, ia menjual sebanyak 1,600 unit.

    Azmi berkata, syarikat kekal dengan tumpuan kepada segmen motosikal ‘kapcai’ memandangkan asas pasarannya yang luas iaitu kira-kira 98 peratus daripada bilangan motosikal yang terjual di negara ini setiap tahun.

    Beliau bersyukur, selepas hampir 13 tahun terbabit dalam bidang perniagaan itu, PutraBikes, yang turut menyediakan khidmat penyelenggaraan, masih kekal bertahan, dan tidak dibelenggu bebanan hutang yang tinggi yang mana nisbah hutang tidak berbayar (NPL) syarikat ketika ini kurang daripada enam peratus.


    Azmi, 42, menyifatkan, pembabitannya dalam industri peruncitan permotoran sebagai pelengkap kepada peserta yang sudah beroperasi sejak sekian lama, selain cuba meneroka potensi besar yang ditawarkan dalam industri berkenaan, khususnya bagi kategori pelanggan Melayu.

    Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelanggannya ketika ini adalah orang Melayu.

    Bagi mengekalkan daya saing dalam industri dan meraih sepenuh manfaat daripada kategori utama asas pelanggannya, sejak Januari lalu, PutraBikes memperkenalkan pembiayaan kewangan berlandaskan Syariah iaitu skim Al-Ijarah Thumma Al-Bai (Aitab).

    PutraBikes yang kini beroperasi di tiga cawangan yang juga menempatkan bilik pameran, pusat jualan dan penyelenggaraan, iaitu di Rantau Panjang (Klang), Taiping (Perak) dan Datuk Keramat (Kuala Lumpur), merancang membuka sebuah lagi cawangan di Parit Buntar (Perak), Mei ini.

    Dalam tempoh lima tahun, Azmi berazam membuka 25 cawangan di Malaysia dan melihat jenama PutraBikes berada pada satu tahap yang akan disebut-sebut oleh masyarakat.

    Mengimbas pembabitannya dalam industri peruncitan motosikal, Azmi yang mengusahakan perniagaan bersama isterinya, Nor Asylynna Lee Abdullah, 39, yang juga seorang saudara baru, telah bersama melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan yang diceburi mereka.

    Walaupun masyarakat sering mengaitkan kejayaannya membina perniagaan itu kerana beristerikan wanita Cina, tanggapan itu disangkal sama sekali, malah turut disokong isterinya yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang perniagaan dan bukan berasal daripada keluarga peniaga.

    Azmi yang berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan tidak pernah melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi, memulakan perniagaannya dengan menjual kereta terpakai selepas berkahwin.

    Bermodalkan RM9,000, beliau membeli sebuah kereta terpakai dan mempamerkan kereta itu di hadapan rumah yang disewanya bersama isteri, di Taiping, Perak.

    “Jika orang hilang satu jari mengaitkannya dengan nasib malang, tapi saya menggunakan wang kerana hilang satu jari kaki kanan untuk dijadikan modal untuk berniaga,” katanya yang pernah mendapat wang tuntutan insurans kerana terbabit dalam kemalangan motosikal ketika sibuk membantu ibu-bapanya berniaga di kedai makan.

    Hidupnya sekeluarga dengan seorang anak lelaki ketika itu disifatkan begitu sukar, dan boleh disamakan seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ kerana beliau tidak memiliki banyak modal untuk menambah stok kereta terpakai yang dijualnya.

    Beliau yang terkenal dengan kenakalan dan kedegilannya oleh keluarga, juga tidak pernah meminta bantuan keluarga, kerana tidak mahu menyusahkan mereka, apatah lagi daripada keluarga mentua yang pada awal menentang keras perhubungannya.

    Namun, rezeki ada di mana-mana dan berkat doanya untuk mencari wang bagi membesarkan keluarga, Azmi diberi peluang oleh rakan yang bekerja di bank untuk menempatkan ‘kereta tarik’ untuk ditempatkan di hadapan rumah sewanya.

    “Pendekatan ini digunakan bagi menari perhatian pelanggan kerana orang akan tertarik untuk singgah kerana melihat banyak kereta dipamerkan,” katanya menjelaskan strategi berkenaan membuahkan hasil dan lebih banyak tempahan diterima dari sehari ke sehari.

    Perniagaan motosikalnya bermula pada 1996 apabila beliau mendapat peluang untuk menjadi ejen pengedar bagi Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), yang memperkenalkan motosikal buatan sendiri ‘Kriss’ di pasaran pada tahun berkenaan.

    Azmi melabur RM30,000 untuk membuka kedai motosikal pertama di Taiping dan ia tidak termasuk stok yang perlu disediakan, selain menyediakan tunai RM40,000 sebagai jaminan tunai untuk mendapatkan pinjaman RM60,000 di institusi kewangan.

    Beliau terus meninggalkan perniagaan jualan kereta terpakai sebaik terbabit dalam jualan motosikal berkenaan.

    Berkongsi pengalaman mengenai cabaran untuk memikat isteri yang disifatkan sebagai lebih hebat daripada drama di TV, mereka bertemunya di perpustakaan awam di Taiping, ketika membuat persiapan untuk STPM, manakala isteri mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Hubungannya tidak direstui bapa mentua kerana bapa Nor Asylynna tidak mahu beliau berkawan dengan lelaki Melayu hingga terpaksa menukar kepada agama Islam.

    Hubungan yang berputik ketika musim peperiksaan itu terputus separuh jalan. Namun, jodoh yang kuat ditetapkan Ilahi, menyebabkan kedua-duanya bertemu kembali ketika Nor Asylynna bekerja sebagai Penterjemah di mahkamah di Temerloh, Pahang.

    Azmi yang bekerja sebagai ejen menjual kereta ketika itu menggunakan peluang sebaiknya untuk meyakinkan bapa bakal isteri ketika diminta bertandang ke rumah untuk ‘ditemuduga’, satu-satunya peluang yang beliau ada untuk memastikan peluangnya tidak terlepas.

    Hubungan akhirnya direstui selepas temuduga yang berlangsung penuh diplomasi itu yang disifatkannya sebagai lebih hebat daripada ujian menduduki peperiksaan, dan hingga kini mereka berkongsi rumah tangga dengan tiga orang cahaya mata yang semuanya lelaki.

    Disebabkan tidak mahu dilihat sebagai seorang yang gagal, lebih-lebih lagi di mata mentua, Azmi memastikan beliau mampu membina sebuah keluarga yang berjaya.

    Atas faktor yang sama juga, Nor Asylynna, memastikan beliau mampu berdepan sebarang cabaran selepas nekad mengingkari permintaan bapa untuk berkahwin dengan seorang lelaki bukan Melayu.

    INFO: Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd

  • 70 peratus milik Azmi dan Nor Asylynna

  • 30 peratus milik PUNB sejak 2007

  • Bermula dengan perniagaan menjual kereta terpakai selepas berkahwin

  • Mula perniagaan motosikal pada 1996

  • Modal permulaan RM30,000, tidak termasuk stok yang perlu disediakan.

  • Buka kedai motosikal pertama di Taiping, Perak

  • Bermula sebagai ejen motosikal keluaran Modenas

  • Kini purata jual kira-kira 150 motosikal sebulan

  • Tahun ini sasar jual 2,800 motosikal

  • Sasaran 25 cawangan PutraBikes menjelang 2012.
  • Sunday, 6 April 2008

    Solat dan mengaji amalan jadi "Jutawan"


    Selain alasan selesa, pada saya kenderaan itu juga harus mewakili peribadi yang dinamis,’’ kata isteri kepada Ir. Rahim Zainal Abidin, 51, dan ibu kepada empat cahaya mata, Norhezreen, 24, Mohd Heezman, 22, Mohd Hezmeen, 19, dan Mohd Hezwan, 16.


    Dan sudah tentu alasan Kamaliah berbeza dengan kebanyakan orang di luar sana yang masih menganggap faktor kewangan dan kemampuan masih menjadi soal pokok dalam memilih seterusnya membeli sesebuah kenderaan.


    ‘Andai kedudukan kewangan belum mengizinkan, itu bukan halangan untuk kita berangan atau memasang impian. Itulah yang saya lakukan suatu ketika dahulu.
    ‘Asal saja ada waktu terluang, saya akan duduk berangan sambil dalam hati berkata-kata, kalaulah aku dapat itu, kalaulah aku dapat ini, kalau dan kalau,’’ kata Kamaliah yang obses dengan kereta mewah.


    Mengenali wanita berusia 48 tahun kelahiran Parit Buntar, Perak ini, Kamaliah sedekad lalu adalah suri rumah biasa yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu seperti wanita lain di luar sana.


    Namun, benarlah kata orang ‘elemen’ tuah, amat vital dalam hidup kerana tuah sebenarnya yang menentukan usaha gigih seseorang itu berbuahkan hasil ranum atau sebaliknya.


    Saya bukan terus menjadi seperti yang dilihat semua orang pada hari ini. Dalam perniagaan yang saya bina sejak tahun lalu, saya bukan terus berlari sebaliknya saya pernah merangkak dan melalui proses bertatih,” katanya jujur.


    Pernah bertugas sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di Perak pada tahun 1980 sebelum berpindah ke Pulau Pinang pada 1992, Kamaliah yang terpaksa melepaskan jawatan demi anak-anak pernah menjalankan perniagaan sambilan untuk menambah pendapatan keluarga.
    Bermula dengan usaha memasarkan batik sutera Kelantan ke Pulau Mutiara, dia kemudiannya mengembangkan minat kepada bidang kecantikan.


    Kamaliah cuba menawarkan khidmat kecantikan dengan beroperasi di rumah kira-kira tujuh tahun lalu dan di situlah bermula segala-galanya.


    Itulah yang dinamakan nasib, kadang-kadang kita tidak pernah tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang,” katanya yang sentiasa mendapat sokongan padu suami dalam perniagaan
    Dengan kejayaan yang dicapai, Kamaliah dan suami kini bukan sahaja mampu menghantar tiga daripada empat anak mereka ke luar negara malah berupaya membina ‘istana’ untuk mereka sekeluarga di Penang Golf Resort, Bertam, Kepala Batas yang bernilai kira-kira RM5 juta.


    ‘‘Ini semua hasil titik peluh saya selama tujuh tahun ini. Siapa sangka,’’ katanya sambil tidak putus-putus memanjatkan syukur kepada Tuhan di atas segala limpah kurnia-Nya.
    Apa yang anda fikir sebelum membeli kereta?
    Terus terang, awalnya saya kurang faham tentang kereta. Tetapi setelah banyak berbual dengan suami dan rakan-rakan, saya mula faham. Kualiti dan prestij jenama adalah alasan nombor satu. Selepas itu, barulah interior dan luaran kereta berkenaan. Sebenarnya, prinsip ini saya pegang bukan sahaja untuk membeli kereta tetapi juga untuk membeli barang-barang lain terutama pakaian, beg tangan, kasut dan barang perhiasan. Umpama kata pepatah, alah membeli tetapi menang memakai.


    Alasan itukah yang membuat anda memilih kereta-kereta mewah?
    Boleh dikira ya. Saya sebagai wanita tertarik melihat style kereta-kereta mewah terutama yang sangat bergaya dan elegan. Kemudian, dengan bantuan suami, saya melihat keseluruhan spek dan enjin kenderaan itu. Tapi sebenarnya, dengan melihat jenamanya, kita sudah boleh mengandaikan kualiti sesuatu barang itu.


    Bagaimanakah rasanya memandu kereta mewah di atas jalan raya?
    Rasa satu kepuasan yang tidak terhingga. Memang inilah impian saya selama ini. Saya rasa, persepsi orang ketika melihat wanita memandu kereta mewah sudah berubah. Kalau dulu, mungkin ada pandangan ‘ah, itu kereta suaminya’ atau sebagainya tetapi kini tidak lagi.
    Sekarang, semua wanita bersedia untuk bekerja keras dalam kerjaya yang diceburi dan mampu memiliki kereta idaman. Saya rasa, itulah yang mengubah tanggapan serong tersebut. Zaman juga telah berubah, wanita berkerjaya khususnya yang terlibat dalam dunia perniagaan kini tidak lokek berbelanja termasuklah membeli kereta mewah.


    Berapa yang diperuntukkan sebulan untuk membayar kereta?
    (Ketawa). Cukuplah kalau saya katakan kosnya lima angka.
    Daripada seorang suri rumah biasa, kini bergelar jutawan. Apa rahsianya?
    Sebagai manusia, saya selalu percaya bahawa perjalanan menuju puncak kejayaan sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja kerana ia tidak bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata. Apa yang penting adalah usaha berterusan dan tidak mengenal jemu.
    Apa prinsip anda dalam hidup terutama mengejar cita-cita?
    Saya memberi komitmen yang tinggi dalam setiap perkara yang saya lakukan, bersungguh-sungguh selain sabar.


    Siapa yang anda kagumi di dalam hidup?
    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


    Ubat mujarab ketika anda stres?
    Saya akan memasak. Biasanya saya akan masak macam-macam dari lauk-pauk hingga kepada pencuci mulut hingga hidangan penuh meja. Biasanya, suami dan anak-anak kalau lihat pelbagai hidangan atas meja akan kata, ‘mama tension la tu.’ Kalau tidak pun, saya akan berbelanja, beli baju, beg tangan, kasut, minyak wangi berjenama dan sebagainya.


    Kebiasaan yang anda lakukan setiap pagi?
    Sembahyang dan mengaji setiap pagi adalah amalan saya sejak dulu lagi. Sebelum ke pejabat, biasanya saya akan hantar anak yang bongsu ke sekolah. Berkemas rumah masih menjadi minat saya sampai ke hari ini walaupun ada tiga orang gaji.


    Kenangan terindah dalam hidup?
    Dapat mengerjakan ibadah haji pada tahun 2004 bersama suami. Bagi saya, itulah kenangan terindah dalam hidup.


    Barang khusus yang selalu dibawa?
    Mestilah gincu, krim siang dan pelindung matahari. (ketawa)


    sumber: utusan.com.my

    Norzunaini berjaya hasilkan produk sendiri


    Norzunaini berjaya hasilkan produk sendiri

    SELAMA lapan tahun keringatnya diperah menjual produk kecantikan orang lain di bawah pelbagai label yang terdapat di pasaran tempatan. Harapan Norzunaini Mohamed Zain ketika itu, hanyalah mahu menyokong barangan tempatan agar di- terima ramai seiringan dengan penerimaan pelbagai jenama terkenal luar negara yang membanjiri kaunter jualan kompleks utama seluruh negeri.
    Sebut sahaja senarai produk kosmetik mana yang dihasilkan anak tempatan, Norzunaini atau lebih mesra dipanggil Nani akan menjualnya.
    Sebagai ejen jualan kepada beberapa produk tersebut yang ditempatkan di butik kecantikan terawalnya, Nani Beauty Shop, bertempat di Tanjung Malim, Perak. Kegigihan Nani yang tidak mengenal erti penat lelah telah berjaya dipilih selaku pengedar terbaik dan “Top Performer” dalam penjualan dua produk tempatan yang diwakilinya.
    Kesinambungan pada kejayaan serta keinginan untuk memajukan diri bagi mencapai cita-cita menjadi pengusaha dan pengedar barangan kosmetik yang sukses, Nani membaja segala pengalaman untuk berdikari sehingga menghasilkan produk sendiri.
    Dibantu suaminya, Ahmad Nazri Azuan, 46, ibu kepada lima orang anak ini, Nurnawaitul, 19, Nurfarhana, 17, Muhammad Wafiy, 10, Muhammad Muaz, 8, dan Muhammad Firdaus, 5, Nani akhirnya berjaya melahirkan jenama di atas namanya sendiri.
    Sebagai ibu , Nani seperti wanita-wanita lain tentulah mahu kelihatan jelita walaupun sudah 42 tahun dimamah usia. Dan melihat pada tubuh badannya tidak syak lagi Nani mengambil berat terhadap soal penampilan diri khususnya penjagaan kulit.
    “Sebagai wanita, penjagaan kulit perlu diambil berat jika mahu nampak cantik dan awet muda,” ujarnya sewaktu ditemui baru-baru ini.
    Menyentuh soal awet muda yang menjadi keinginan setiap kaum wanita yang sudah menjangkau usia dewasa, lebih-lebih lagi yang sudah beranak- pinak, tentulah keutamaan diberikan terhadap pemilihan produk kecantikan antipenuaan.
    Hakikat itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Semua wanita mahu kelihatan awet muda walaupun tua kian mengejarnya.
    Menyedari kurangnya produk anti- penuaan dihasilkan anak tempatan berbanding dengan permintaan pelanggan yang kian meningkat, Nani mengambil langkah mengisi kekosongan berkenaan dengan menghasilkan krim antipenuaan yang dinamakan Nani Beauty – Bio Skincare.
    Apa istimewanya krim antipenuaan di bawah jenama Nani Beauty ini?
    “Ia diformulasikan dari Perancis tetapi diproses menggunakan teknologi terkini di kilang kami di Tanjung Malim dengan adunan saripati asli dan ekstrak herba,” ujar Nani meyakinkan keistimewaan pengisiannya.
    Produk sulungnya di bawah keluaran Nani Beauty Line Sdn. Bhd. ini, di mana Nani bertindak selaku Pengarah Urusannya mengandungi lima ekstrak utama meliputi vitamin C, protein soya, aloe vera, ginseng dan angelica.
    Bagi menjamin keaslian dan kualiti produk, Nani memberitahu, ekstrak ginseng dan angelica diimport dari Korea dan Switzerland.
    Menurut Nani, ekstrak ginseng berupaya menghapuskan toksin yang terperangkap dalam tisu seluloid manakala angelica yang mengandungi nilai vitamin yang tinggi bertindak menyembuhkan kulit yang rosak akibat sinaran UV yang berlebihan waima mengembalikan kecerahan pada wajah kulit.
    “Kesemua bahan yang diadun menjadi krim bio yang mampu mengurangkan kedutan serta menguatkan otot agar muka kelihatan tegang dan awet muda,” ujar wanita berasal dari negeri Cek Mek Molek ini.
    Menceritakan penglibatannya dalam bidang perniagaan, Nani yang memiliki diploma dalam jurusan perniagaan dari ITM (kini UiTM) pada tahun 1986 tidak menolak minatnya dalam bisnes didorong oleh bakat yang diwarisi keluarga.
    “Maklumlah, kami wanita berasal dari Kelantan mempunyai jiwa yang kuat dalam perniagaan. Sejak remaja saya telah melihat bagaimana ibu berniaga walaupun secara kecil-kecilan,” kenang Nani.
    Bertitik tolak dari situ katanya, beliau mula berniaga sambilan dengan menjual apa sahaja yang difikirkan seperti pasu, kain-kain dan kemudiannya produk kosmetik.
    “Lapan tahun memerah tenaga menjual barang orang sudah cukup memberikan saya pengalaman untuk menghasilkan produk sendiri,” tambah Nani yang pernah bertugas di jabatan kerajaan dan sektor swasta sebelum berhenti ketika mempunyai dua orang anak.
    Sejak menjadi suri rumah sepenuh masa itulah beliau berjinak-jinak secara kecilan menjual barang secara jualan langsung dari rumah.
    Kini, terbukti langkah yang diterokai Nani telah berupaya menjadikan impiannya menjadi realiti. Krim bio antipenuaan Nani Beauty yang dihasilkan akan menentukan hala tuju beliau seterusnya.
    Dengan menjadikan salun kecantikan sebagai pusat memasarkan produknya, Nani berkata, “Penggunaan krim ini akan lebih efektif kesannya apabila digunakan dengan cara yang betul.”
    Kerana itu, menurut Nani, dengan penjualan di salun, pengguna boleh mendapat khidmat nasihat pakar kecantikan profesional memandangkan krim bio ini perlu disapu mengikut lapan urutan pada muka dan leher setiap pagi dan malam.
    Sambil menunjukkan lapan pangkal urutan yang dimaksudkan pada wajah suaminya, Ahmad Nazri yang merupakan penyokong kuatnya, Nani berkata, “Penggunaan berterusan mampu menghalang proses penuaan sel-sel sambil mengembalikan tekstur kulit agar lebih tegang, licin, lembut dan cerah.”
    Walaupun kerjaya suami di bidang kejuruteraan sivil agak menyimpang jauh dari dunia kecantikan namun jelas Nani, “Suami banyak membantu dalam hal-ehwal penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta urus niaga dalam syarikat.
    “Ke mana sahaja saya pergi, baik mengikuti bengkel kecantikan sekali pun, suami tetap berada di sisi malah kami berdua tidak berhenti untuk menimba sebanyak ilmu yang mungkin,” jelas Nani yang kelihatan puas dan bangga dengan sokongan suami tersayang.
    Dengan berbekalkan modal RM100,000 dari wang titik peluh sendiri bersama suami, harapan Nani mahu menjadikan produk sulungnya ini sebagai langkah pertama ke arah lahirnya beberapa produk kecantikan lainnya seperti pembersih muka, losen pelembap dan sebagainya.
    Untuk pertanyaan bolehlah menghubungi 05-4584830

    sumber :utusan.com.my