Pages

Wednesday, 26 September 2012

Kumaresan tak mudah mengalah


KENANGAN...pengalaman jatuh bangun ketika menjadi pelumba basikal negara mendewasakan Kumaresan.
KENANGAN...pengalaman jatuh bangun ketika menjadi pelumba basikal negara mendewasakan Kumaresan.
SEPERTI zamannya mengayuh basikal, jatuh bangun menjadi asam garam kehidupan di dalam bidang perniagaan diceburi bekas jagoan lumba basikal negara, M Kumaresan.
Cuma yang membezakan Kumaresan berbanding segelintir usahawan lain ialah kekuatan tekadnya menggagahkan diri untuk bangun kembali biarpun selepas berkali-kali jatuh, menjadi tonik kejayaan hidupnya.
   
  • FotoHOBI...selain berbasikal, golf menjadi pilihan kedua Kumaresan sebagai hobi pengisi masa lapang.
  • FotoTERAKHIR...Kumaresan membawa bendera negara ketika menyertai Sukan Komanwel 1998.
  • FotoKERJASAMA...Kumaresan bersama sebahagian kakitangan Breaking Away Event Management ketika menjayakan pertandingan di Genting Highlands, baru-baru ini.
Di sebalik senyuman manis lelaki berkulit hitam manis yang sentiasa berpenampilan segak ini, tersembunyi cerita duka yang lama terpendam di lubuk hatinya apabila diminta mengimbau kembali detik permulaan kehidupan 'baru' dilaluinya selepas bersara pada 1998.

Daripada lenggok tubuh dan raut wajahnya sudah boleh dibayangkan kesukaran dihadapi lelaki kelahiran Batu Pahat, Johor ini sebelum berjaya pada kedudukannya kini.

"Tidak ramai tahu perkara ini dan setiap kali mengingatinya, saya akan termenung jauh memikirkan tempoh 15 tahun saya dalam dunia lumba basikal dirasakan begitu singkat berbanding tempoh 14 tahun saya menceburi dunia perniagaan selepas bersara.

"Banyak dugaan dan cabaran getir terpaksa saya lalui bermula daripada pembabitan awal saya dalam membina kehidupan baru demi menyara keluarga selepas berhenti berlumba sehingga kini," katanya.

Kumaresan berkata, bercakap mengenainya memang mudah tetapi hanya individu yang pernah beberapa kali gagal dalam perniagaan tahu betapa peritnya pengalaman itu dan cabaran terpaksa ditempuhi untuk bangkit kembali.

Kata bapa kepada tiga anak ini, sebelum memiliki perniagaan kereta miliknya, MKS Auto di Klang yang kini diberikan kepada bekas isterinya, dia beberapa kali gagal dalam percubaan awalnya.

"Saya mengusahakan beberapa jenis perniagaan seperti restoran dan bidang peragaan, tetapi menemui kegagalan. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi menganggapnya sebahagian daripada cabaran hidup.

"Pengalaman ketika menjadi pelumba basikal mendisiplinkan saya untuk tidak mudah mengalah dan yakin usaha berterusan biarpun selepas kalah akhirnya akan membuahkan kejayaan, banyak membantu saya dalam bidang perniagaan," katanya.

Kini, selain syarikat kereta MKS Auto, Kumaresan boleh berbangga dengan penubuhan syarikat keselamatan yang diusahakan bersama seorang rakan baiknya, pada tahun lalu iaitu MK Securities dan syarikat Breaking Away Event Management miliknya.

Semangat kentalnya untuk terus berusaha dan tidak akan berhenti selagi matlamatnya belum tercapai bukan perkara baru dalam kehidupan Kumaresan.

Pelumba basikal disegani negara dan di peringkat Asia Tenggara pada 1980-an dan 1990-an ini berkata, dia bercita-cita mewakili negara dalam bidang sukan seawal usia 10 tahun.

"Biasanya pada usia 10 tahun, kanak-kanak belum mempunyai matlamat hidup lagi tetapi pada usia itu, semangat saya begitu membara untuk mewakili negara.

"Selepas mencuba beberapa jenis sukan, akhirnya saya menemui bakat saya dalam lumba basikal dan ia memberikan saya kepuasan diri yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sepanjang karier saya mewakili Malaysia," katanya.

Ketika zaman kemuncaknya, Kumaresan hampir tiada tandingan di peringkat Asia Tenggara apabila memenangi keseluruhan sembilan pingat emas di Sukan Sea selain tiga perak serta satu gangsa di Sukan Asia.

Apapun, kegemilangan sebenar ialah sejarah dilakarnya pada 1992 apabila muncul atlet pertama Malaysia layak ke saingan akhir Sukan Olimpik di Barcelona, pada penampilan keduanya berturut-turut di temasya berprestij dunia ini.

Kejayaan dicapai selepas dia melayakkan diri daripada saringan pertama 30 kilometer perlumbaan mata di Velodrom Vall di Tebron, Barcelona.

Dia berjaya mengutip 11 mata dengan menduduki tangga ke-10 daripada 19 peserta dalam saringan pertama untuk membolehkannya menyertai 24 peserta lain bertanding dalam pusingan akhir.

Biarpun gagal meraih pingat, pencapaian itu membuktikan negara memiliki kemampuan bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi inspirasi buat atlet lain cuba mengikuti jejaknya.

Selepas penampilan Kumaresan di Sukan Olimpik 1988 dan 1992, tiada pelumba basikal negara melayakkan diri ke temasya sama di Atlanta pada 1996 dan Sydney 2000.

Namun bagi Kumaresan, selain layak ke pusingan akhir Olimpik, kejayaan manisnya yang masih segar dalam ingatan ialah merangkul tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam Sukan Sea Jakarta 1987.

Dia yang baru berusia 20 tahun ketika itu membuktikan dia mampu menewaskan ramai pelumba handalan lain seperti Nobelto dari Filipina serta jaguh dari Indonesia dalam tiga acara disertainya.

"Saya menyertai tiga acara dan menang tiga emas (perlumbaan mata, juara peringkat kedua dan individu keseluruhan jalan raya), dua perak dan dua gangsa.

"Ia antara kenangan indah sepanjang karier saya dalam lumba basikal. Kini, matlamat baru hidup saya ialah menempa kejayaan sama tetapi dalam bidang berbeza," katanya.


Kecewa gagal menang pingat Olimpik

Hobi anda?


Bermain golf dan sudah tentu, mengayuh basikal.


Prinsip hidup anda?

Kekuatan semangat ketika zaman berkayuh yang tidak pernah mengalah sehingga ke garisan penamat tanpa mempedulikan pesaing lain banyak membantu saya mengharungi kehidupan baru selepas bersara.


Kekuatan anda ketika berdepan tempoh sukar?

Selain taat kepada agama, setiap insan perlu memiliki maruah diri, hati bersih dan prinsip hidup untuk melengkapkan kehidupan kerana ia menjadi penentu nilai moral keperibadian seseorang.


Prinsip perniagaan anda?

Dalam melakukan setiap rutin tugasan seharian sepanjang bergelar usahawan, saya memastikan segala urusan disempurnakan secara bersih tanpa amalan cantas-mencantas. Saya percayakan hukum karma. Setiap perbuatan seseorang, sama ada baik atau sebaliknya, akan dibalas kembali. Sikap ini mungkin diwarisi daripada orang tua saya kerana sejak kecil mereka mendidik saya supaya jangan sekali-kali meng­aniaya orang lain.


Apa rintangan paling mencabar dalam dunia perniagaan?

Seperti dunia lumba basikal, persaingan tidak beretika turut berlaku dalam perniagaan dan paling dikesali ialah ia membabitkan rakan. Sikap hasad dengki dan mudah buruk sangka segelintir masyarakat, terutama di kalangan rakan seperjuangan, antara cabaran getir terpaksa ditempuhi.


Perkara paling dikesali dalam hidup anda?

Hanya satu yang saya kesalkan setiap kali mengimbau zaman menjadi pelumba basikal iaitu gagal menghadiahkan pingat pertama negara di Sukan Olimpik pada penyertaan sulung Malaysia di temasya itu pada edisi 1992.


Nasihat anda kepada orang ramai, terutama yang baru menceburi bidang perniagaan?

Bagi saya, kejayaan hidup seseorang bukan ditentukan oleh kemewahan atau kedudukannya, tetapi kebahagiaan hidup. Nasihat saya kepada orang ramai, terutama bekas atlet negara, tidak kira bidang apa mahu anda ceburi, jangan sekali-kali berputus asa.




NAMA: Murugayan Kumaresan

TARIKH LAHIR: 13 Januari 1967

ASAL: Batu Pahat, Johor

ACARA: Perlumbaan mata, 4km kejar-mengejar individu (IP), ujian masa individu (ITT) dan lebuh raya

MULA BERGIAT: 1982

BERSARA: 1998 (selepas Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur '98)

KARIER KINI: Pengarah MK Securities, pemilik bersama Breaking Away Event Management, MKS Auto, Naib Presiden Persekutuan Lumba Basikal Kuala Lumpur

ANUGERAH: Olahragawan Kebangsaan 1987

PENCAPAIAN OLIMPIK: Menyertai dua Sukan Olimpik berturut-turut pada 1988 (Seoul) dan 1992 (Barcelona), muncul pelumba pertama Malaysia layak ke pusingan akhir Olimpik pada 1992

PENCAPAIAN SUKAN SEA:

1985: 2 perak (4km IP dan 4km kejar-mengejar berpasukan - TP)
1987: 3 emas (perlumbaan mata, juara peringkat kedua dan individu keseluruhan jalan raya), 2 perak dan 2 gangsa
1989: 3 emas (4km IP, individu dan berpasukan lebuh raya)
1991: 2 emas (perlumbaan mata dan 4km IP)
1993: 1 emas (berpasukan lebuh raya)
1995: 1 gangsa (50 km ITT)
1997: 1 gangsa (perlumbaan mata)

Friday, 21 September 2012

Ternak Kambing Perlu Pelbagai Teknik


Biarpun pada asasnya ternakan kambing dilihat mudah, pengusaha berdepan dengan cabaran jika mereka tidak arif. Akibatnya peratus menghadapi kegagalan adalah tinggi.
Fenomena itu berlaku di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer, Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Kabang, Papar, Sabah sebelum ini apabila projek ternakan kambing tidak menjadi.
Ternakan kambing baka Boer yang diusahakan oleh KPD sebelum itu mengalami kadar kematian yang tinggi iaitu sekitar 30 peratus dan kadar pembiakan juga agak kurang.
Menyedari keadaan ternakan yang semakin teruk, KPD mengorak langkah bekerjasama dengan pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memulihkan projek tersebut.
Menurut Ketua Projek Technofund Kambing UPM-KPD, Profesor Dr. M. Zamri Saad, justeru, pada 2009, UPM bersama KPD menjalankan projek penyelidikan pembiakbakaan, makanan dan kawalan penyakit ternakan kambing Boer secara sistematik dan moden.
"Kerjasama tersebut turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sabah menerusi KPD," ujarnya ketika di temui di pusat di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer, Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Kabang, Papar, Sabah baru-baru ini.
Menurut Dr. M. Zamri, projek pembangunan penyelidikan pengkomersialan tersebut turut dikenali sebagai Pembangunan Protokol Kesihatan Ternakan Yang Lestari Untuk Ladang Ternakan Kambing KPD, Sabah.
Projek yang diketuainya serta dua lagi pakar UPM iaitu Profesor Madya Dr. Azhar Kasim dari Fakulti Pertanian dan Profesor Dr. Md. Zuki Abu Bakar dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) turut mendapat peruntukan geran Technofund, sebanyak RM3.17 juta.
Antara objektif projek tersebut adalah untuk menjadi ladang ternakan kambing Boer terbesar di negara ini dan menjadi pembekal utama baka kambing bermutu tinggi kepada penternak.
Seterusnya menjadi ladang contoh dalam kaedah penternakan secara intensif yang moden dan mengamalkan Sistem Penternakan Yang Baik (GAHP) dan menjadi pusat kajian dan Pembangunan (R&D) ternakan kambing dalam sistem pemakanan, program kesihatan dan program pembiakbakaan.
Menurut pengurus projek tersebut, Dr. Mohd. Shahrom Salisi, terdapat tiga buah ladang ternak di bawah seliaan beliau.
Antaranya ialah Ladang Ternakan Kambing Kelatuan dan Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar serta Ladang Ternakan Kambing Bukau di Beaufort.
Jelas Dr. Mohd. Shahrom, penghasilan baka kambing Boer hanya tertumpu di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar. Manakala ladang lain adalah untuk kambing sembelihan.
"Sehingga 21 April lalu pusat pembiakbakaan memiliki baka pejantan sebanyak 72 ekor, keseluruhan induk 874 ekor, 60 ekor dewasa jantan, tiga dewasa betina (anak kelahiran peringkat awal), 114 anak jantan dan 58 anak betina yang mana berjumlah 1181 ekor," katanya.
Ketika menjawab mengapa baka kambing Boer dipilih untuk diternak, Dr. Mohd. Shahrom menjelaskan, kambing jenis itu tidak memerlukan kawasan yang luas (sistem separa-insentif) berbanding dengan lembu.
Malah, ia juga cepat membiak yang mana tempoh bunting hanya lima bulan dan kadar kelahiran sebanyak 1.5 ekor untuk setiap kelahiran (2-3 ekor) dan penggandaan adalah lebih cepat berbanding lembu.
Selain itu, harga pasaran bagi kambing hidup juga lebih menguntungkan di samping kadar muatan kambing setiap ekar (stocking density) lebih tinggi berbanding lembu.
Selain itu, daging kambing mempunyai kandungan kolestrol yang rendah berbanding ternakan lain.
Baka kambing Boer yang dijadikan induk di pusat tersebut diimport terus dari penternak di Australia .
Baka berkenaan kemudiannya dikacukkan dengan baka tempatan bermula daripada varieti F1 hingga F5 dan ke atas sehingga kualiti dan fizikalnya menyerupai baka asal boer.
Untuk menghasilkan baka yang sama seperti kambing Boer seakan-akan yang asal (F5 dan ke atas) ia memerlukan masa yang agak panjang antara setahun setengah sehingga dua tahun.
Pusat tersebut juga turut melaksanakan pelbagai aktiviti seperti Program Pengawalan Penyakit, Program Pemakanan, Program Pembiakbakaan dan Program Pembuatan Baja Organik.
Dalam program pengawalan penyakit, kajian di pusat tersebut berjaya mengawal penyakit berkaitan metabolisma seperti batu karang, pregnancy toxaemiabloatatau tympany.
Terdapat juga jangkitan kuman dan bakteria yang menyerang kambing sepertiMeliodosis, Manheimiosis, CLA (caseous lymphadenitis), Bruscellosis dan kecacingan (hemonchosis).

Masalah ternak kambing

Pekerja memproses rumput napier untuk dijadikan makanan kambing Boer di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar, Sabah.
Dalam mana-aman industri ternakan, sistem pemakanan antara faktor yang menentukan kejayaan projek. Menurut pakar pemakanan haiwan, Profesor Madya Dr. Azhar Kasim, penternakan kambing sukar untuk berjaya sekiranya sistem pemakanan tidak diteliti dan dijaga dengan rapi.
Oleh itu, Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar, Sabah turut menjalankan kajian bagi mewujudkan satu sistem pemakanan lengkap bagi memenuhi keperluan harian ternakan.
Ujarnya, program atau sistem tersebut merangkumi pemberian fodder (rumput potong angkut) dan pemberian makanan tambahan seperti pelet kambing dan palm kernel expeller (PKE) secara teratur.
"Pembangunan dan penyelenggaraan ladang pastura (rumput napier) yang mampan dan teratur juga perlu bagi memastikan ternakan mencapai tahap kesihatan yang optimum dan mencapai tahap body score yang diperlukan," katanya.
Sementara itu, menurut pakar pembiakbakaan, Profesor Dr. Md. Zuki Abu Bakar, menerusi program pembiakbakaan yang diwujudkan, proses penggandaan ternakan menjadi lebih sistematik, cekap dan berkesan dapat dicapai di ladang tersebut.
"Pemilihan ternakan yang memiliki spesifikasi kambing Boer yang berkualiti, sihat dan memiliki trait atau jenis genetik yang baik sentiasa diutamakan.
"Oleh itu, tahap libido baka pejantan akan sentiasa diperiksa. Manakala bagi induk betina diperiksa tahap kesuburannya," katanya.
Di pusat tersebut, nisbah pejantan kepada induk betina di tentukan sebanyak 1:20 ekor bagi membantu mendapatkan kadar kebuntingan melebihi 80 peratus dan kadar kelahiran dari 1.5 hingga dua ekor bagi setiap induk dan berat anak yang lahir sekitar tiga kilogram (kg) dan ke atas.
Proses pembiakan yang diamalkan di pusat tersebut adalah melalui kaedah semulajadi iaitu line breeding dan line crossing. Manakala pemilihan trait genetik yang unggul dibuat mengikut jadual iaitu dua kali setahun.
Bagi memantau kadar kebuntingan induk betina, pusat tersebut turut menggunakan alat pengesan seperti mesin ultrasound untuk menentukan kebuntingan dengan lebih cepat dan tepat.
Ternakan yang gagal menunjukkan tahap reproduktiviti yang baik akan mudah dikesan dan disingkirkan pada peringkat awal bagi mengurangkan kos operasi seperti makanan dan penyelenggaraan.
Ia juga menerima sokongan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Negeri sabah (JPHPT SABAH) bagi memantau penyakit dan diagnosis.
Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang dibuka kepada para penternak untuk mendapatkan khidmat nasihat serta kursus ternakan kambing baka boer.
Biarpun kelihatan agak mudah untuk memelihara kambing untuk tujuan pembiakbakaan, sebenarnya ia industri yang memerlukan kos yang tinggi.
Bagi individu yang berminat untuk menternak kambing baka boer adalah dinasihatkan agar melaksanakan ternakan untuk tujuan sembelihan berikutan kos operasinya yang lebih rendah berbanding ternakan untuk tujuan biak baka.
Hal demikian kerana harga bagi induk ternakan biak baka boleh mencecah ribuan malah belasan ringgit, dan ia akan menjadi masalah besar kepada penternak untuk membuat pembiakbakaan kerana keadaan kewangan yang tidak mencukupi untuk pusingan modal seterusnya.
Justeru, kini adalah disyorkan agar penternak membeli baka Boer dan dikacukkan bersama baka tempatan untuk memberi tumpuan kepada penghasilan kambing bagi tujuan penjualan daging terlebih dahulu kerana ia lebih cepat pulang modal.
Untuk penternak kambing biak baka adalah mencukupi satu atau dua ladang sahaja jika terlalu banyak pasaran kambing biak baka akan tepu dan akhirnya ladang terpaksa ditutup berikutan tiada pembeli dan akhirnya kerugian.


Kambing atau biri biri

Pengguna perlu bijak membezakan antara daging kambing dan biri-biri supaya mereka tidak terikat dengan stigma bahawa semua kambing mengandungi lemak yang tinggi. - Gambar hiasan.
Kambing tidak sama dengan biri-biri. Panggilan 'kambing biri-biri' itu adalah sebutan tempatan bagi biri-biri sahaja. Namun rupa dua jenis ternakan itu hampir sama. Yang membezakannya adalah pada nama, ciri-ciri ekor, istilah untuk daging serta kandungan lemak dan kolesterol.
Ekor kambing berdiri hampir tegak, tetapi ekor biri-biri terkulai seperti ekor lembu.
Daging kambing dalam bahasa Inggeris ialah chevon. Daging biri-biri diberi namamutton. Istilah lamb ialah untuk biri-biri yang disembelih pada umur muda.
Daging kambing mempunyai kandungan kolesterol dan lemak yang terendah di kalangan ternakan ruminan iaitu biri-biri, lembu dan kerbau.
Penjualan daging kambing khususnya daging kambing Boer masih tidak ketara di pasar raya. Yang biasa kelihatan di pasar raya ialah daging biri-biri dengan harga yang jauh lebih rendah dari daging kambing.
Sebab itu daging biri-biri menjadi pilihan pengusaha makanan, hotel dan restoran berbanding daging kambing.
Sama ada disedari atau tidak, ramai pengusaha makana, hotel dan restoran melabelkan lauk biri-biri mereka sebagai lauk kambing dalam bahasa Melayu tetapi menggunakan label mutton dalam bahasa Inggeris.
Maka tidak hairanlah jika masih ramai rakyat Malaysia memberi persepsi salah yang daging kambing mempunyai banyak lemak.
Beberapa pasar raya masih tidak menandakan daging kambing dengan tepat.
Pengunjung pasar raya dan pembaca akhbar harian boleh terkeliru kerana istilah 'mutton' diterjemahkan kepada 'daging kambing' oleh beberapa pasar raya besar pada rak-rak jualan dan pada iklan-iklan dalam akhbar harian tempatan.
Kesilapan tersebut boleh membawa tindak balas negatif bagi promosi makan daging kambing kerana apabila dimasak mutton (yang disangka sebagai daging kambing) kelihatanlah kehadiran lemak yang nyata.
Faktanya ialah daging kambing telah terbukti secara saintifik mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah berbanding daging biri-biri.
Kambing baka komersial yang dibawa masuk ke negara ini sebelum dan selepas kemerdekaan banyak melambangkan pengaruh kolonial iaitu Inggeris.
Pengaruh Inggeris terbukti dengan kemasukan baka-baka kambing Eropah yang berbadan lebih besar dari baka Katjang iaitu baka tempatan.
Antara baka-baka kambing Eropah ini ialah ToggenburgBritish Alpine dan AngloNubian.
Baka Jamnapari pula dibawa masuk dari sebuah lagi koloni Inggeris, iaitu India.
Pada hakikatnya ternakan dari negara bermusim seperti Eropah terdedah kepada tegasan haba dan menjadi kurang produktif bawah sistem-sistem tradisional berbanding dengan baka Katjang.
Sistem tradisional yang kekal sehingga ke hari ini ialah peliharaan secara lepas bebas tanpa makanan tambahan yang bermutu seperti dedak dan sistem bertambat pada kawasan lapangan berumput seperti di dusun dan di tepi tali air.
Kelembapan yang tinggi dan suhu yang panas iklim tropika adalah persekitaran yang sesuai bagi pembiakan parasit seperti cacing dan kutu.
Jangkitan cacing tanpa segera dirawat mudah menyebabkan kematian kepada baka-baka import berbanding dengan baka Katjang yang lebih lasak.
Alternatif terbaik bagi meningkatkan daya ketahanan dan produktiviti ternakan ialah menghasilkan kacukan dengan cara mengkahwinkan baka tempatan (Katjang) dengan baka berbadan lebih besar dari luar negara.
Laporan bancian pada tahun 1979 menyatakan 84 peratus dari kambing di Malaysia adalah dari baka Katjang. Selebihnya adalah kambing kacukan.
Kesedaran mengenai potensi membangunkan kambing kacukan tempatan telah mendorong kepada penyelidikan dalam aspek pembiakbakaan kambing.
Pada awal tahun 80-an kajian pembiakbakaan kambing dipergiatkan dengan penglibatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang dan Institut Haiwan Kluang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Usaha kacukan ditumpukan kepada penggunaan baka yang diimport seperti Jamnapari, Anglo Nubian dan Saanen. Baka-baka tersebut dikahwinkan dengan baka Katjang bagi mengekalkan ciri lasak dan kadar lahir kembar yang merupakan kekuatan pada baka Katjang.
Baka Katjang dan kacukan berasaskan Katjang berjaya mempelbagaikan harga pasaran kambing mengikut kemampuan pembeli.
Pasaran bagi kambing hidup berkait rapat dengan amalan keagamaan seperti akikah.
Bagi tujuan akikah, umur kambing perlu melepasi dua tahun. Pembeli bermanfaat kerana boleh memilih dari kambing jantan bersaiz kecil sehingga yang bersaiz sederhana besar.
Untuk tujuan akikah atau korban, kambing baka Katjang boleh dibeli dengan harga serendah RM350.
Bagi mereka yang berkemampuan, kambing kacukan berasaskan baka Katjang untuk tujuan akikah atau korban pula dibeli dengan harga antara RM500 dan RM800.
Kajian saintifik telah membuktikan kandungan kolesterol dan lemak pada daging kambing adalah lebih rendah dari daging biri-biri, lebih-lebih lagi apabila sembelih pada umur kurang dari setahun.
Kandungan lemak pada daging kambing adalah antara dua dan tiga peratus sahaja.
Daging biri-biri pula mengandungi lemak antara 12 ke 13 peratus.
Ini bertambah jelas dengan tiadanya lemak pada keratan daging kambing.
Di sebaliknya, pada keratan daging biri-biri lapisan-lapisan lemak yang tebal amat ketara.
Oleh yang demikian fobia atau ketakutan untuk makan daging kambing adalah tidak berasas jika dikaitkan dengan kandungan lemak.
Adalah tidak rasional juga dikaitkan daging kambing dengan penyakit darah tinggi kerana kandungan lemak yang rendah ini.
Bulu kambing jantan dewasa biasanya berbau hamis.
Bagaimanapun, kambing jantan muda tidak berbau hamis.
Daging kambing dewasa tidak akan berbau hamis jika penyembelihan dilakukan berpandu kepada kaedah yang betul atau mengikut petua atau amalan tradisional.
Teknologi terkini mampu menyahkan tisu yang menghasilkan bau hamis pada kambing jantan melalui prosidur yang dinamakan de-odorising yang dilakukan pada peringkat anak.
Cara demikian dapat memastikan aroma hamis tidak terdapat dalam kandang kambing.
Kemasukan baka Boer ke Malaysia telah membuka era baru dalam bentuk pasaran daging kambing muda.
Baka Boer, yang berasal dari Afrika Selatan, kini terdapat dengan banyaknya di Australia. Baka ini adalah sesuai dengan iklim Tropika.
Sebaiknya kambing diberi peluang bersenam sedemikian ketika cuaca tidak hujan selama dua hingga empat jam sehari.
Berat kambing Boer jantan berumur dua tahun berpotensi mencapai sehingga 100 kilogram.
Berat sedemikian boleh diterjemahkan kepada harga jualan hidup melebihi RM1,500 bagi tujuan akikah dan korban iaitu bersamaan dengan harga seekor lembu baka tempatan.
Kambing kacukan berasaskan Boer pula mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 50 kg.
Kambing Boer adalah alternatif yang baik bagi tujuan akikah dan korban kerana kepadatan daging yang tertinggi berbanding dengan baka kambing lain.
Susuk badan yang besar pada baka Boer diterjemahkan kepada anak yang lebih berat ketika kelahiran dan kadar pembesaran yang cepat.
Pengurusan yang baik dapat menghasilkan berat lahir anak melebihi 3 kg dan melampaui berat 10 kg ketika berumur satu bulan.
Kambing Boer boleh disembelih seawal-awalnya pada umur lima dan enam bulan ketika berat badan sekitar 50 kg


Saturday, 15 September 2012

Dulu goreng ayam, kini tauke katering



CHEF ZAINAL tidak menyangka bahawa dia sudah mempunyai perniagaan katering sendiri yang dikongsi bersama rakan kongsinya, Mohammad Akram.


CHEF ZAINAL. Walaupun namanya tidak segah atau sepopular chef-chef selebriti yang lain seperti Chef Wan, Chef Zam, Chef Ismail mahupun Chef Florence Tan, kisah kehidupan dan kejayaannya pada hari ini sarat dengan cerita menarik.
Berasal dari Sungai Siput, Perak, Chef Zainal atau nama penuhnya Zainal Mohd. Saad, 50, berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut kakak angkatnya untuk bekerja sebaik selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Memulakan kehidupan di ibu negara dengan bekerja di salah sebuah cawangan restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dengan menggalas tugas menggoreng ayam, Zainal juga puas berkhidmat di beberapa buah hotel. Semua itu demi menimba ilmu dan meraih pengalaman dalam bidang kulinari.
Mempunyai kepakaran dalam masakan tradisional Melayu, Arab dan Cina, Chef Zainal memberitahu dia pernah bekerja di restoran Cina selama 18 jam sehari dengan bayaran gaji RM1,000 sebulan semata-mata mahu mempelajari ilmu masakan mereka.
Meskipun tiada pendidikan formal dalam bidang masakan dan hanya bersandarkan pengalaman semata-mata, bapa kepada dua puteri itu sentiasa belajar daripada internet dan bertukar-tukar pendapat bersama rakan bagi menghasilkan masakan yang lazat.
“Ketika kecil dahulu saya sering mengikut ibu angkat saya, Hasmah Mohd. Yasin ke majlis kenduri-kendara kerana dia merupakan seorang tukang masak.
“Daripada situ, saya belajar melalui apa yang selalu dilakukannya. Ketika usia sembilan tahun, saya curi-curi buat kek pisang dan letakkan di bawah tudung saji. Apabila ibu tanya ‘siapa buat?’ Saya jawab: ‘Sayalah’,” katanya yang sudah pandai memasak rendang tok resipi arwah opahnya seawal usia sembilan tahun.
Pelanggan pertama
Tambah Chef Zainal, dia sendiri tidak menyangka bahawa dirinya kini sudah memiliki perniagaan sendiri iaitu Dapur Utama Katering Cita Rasa Chef Zainal yang diusahakan bersama rakan kongsinya, Mohammad Akram Ibrahim, 25, setelah sekian lama bekerja dengan orang lain.
Memulakan perniagaan di rumah seluas kira-kira 84 meter persegi, Chef Zainal memberitahu Kolej Poly Tech Mara (KPTM) merupakan pelanggan pertamanya dan dia masih mengingati tarikh tersebut iaitu 2 Januari 2012.
Walaupun sudah berjaya merealisasikan impiannya memiliki perniagaan sendiri, Chef Zainal tidak lokek berkongsi rezekinya dengan anak-anak yatim dari Rumah Belaian Kasih, Kampung Pasir, Hulu Kelang yang diraikan pada majlis berbuka puasa sempena Majlis Pembukaan Dapur Utama Katering Cita Rasa Chef Zainal pada 12 Ogos lalu.
Tragedi 3 pagi
Sudah menjadi resam kehidupan, kita diduga dengan pelbagai ujian oleh Allah. Dia pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu dalam perjalanan Perak ke Kuala Lumpur.
“Ketika itu pukul 3 pagi di kawasan Bukit Beruntung. Kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan kekal pada retina mata kiri dan ia tidak dapat diselamatkan.
“Tragedi tersebut membuatkan saya rasa rendah diri dan hilang motivasi kerana penglihatan mata kiri saya kabur dan tidak nampak. Ia menyukarkan saya menjangkakan kedudukan,” ujarnya.
Tambah Chef Zainal, keadaan itu menyebabkan dia melihat sesuatu di sebelah kanan sedangkan ia berada di sebelah kiri dan sebaliknya.
“Nak masak pun susah, salah letak garam. Ambil masa setahun juga untuk sesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
“Bab memasak perlu teliti. Kita perlu ada feel apabila memasak. Jika ada masalah, saya akan ‘gantung’ dulu masalah tersebut di luar sebelum masuk ke dapur,” jelasnya.
Chef Zainal begitu beruntung kerana ibu Mohammad Akram sanggup laburkan modal RM100,000 setelah melihat kesungguhan mereka dalam bidang perusahaan katering.
Mohammad Akram yang merupakan graduan lulusan Ijazah Undang-Undang Syariah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dikenali melalui laman sosial Facebook.
“Memandangkan anak perempuan saya tidak meminati bidang ini, saya mengajak Akram menjadi rakan kongsi kerana dia suka membuat kek dan biskut dalam masa yang sama ada kemahiran fotografi.
“Jika sebelum ini kami buat bisnes dengan dapur rumah flat sahaja, kini sudah mampu menyewa kedai dengan dibantu oleh lima pekerja sepenuh masa dan sambilan,” katanya.
Chef Zainal yang menyimpan hasrat untuk menghasilkan buku resipi masakan tradisional cara mudah pada suatu hari nanti, kini bertekad untuk terus menempa kejayaan berlandaskan maksud pepatah ‘bukan senang nak senang’.

Thursday, 13 September 2012

Tinggal Laut Ternak Lembu


TIDAK ramai yang sanggup meninggalkan pekerjaan tetap semata-mata untuk melakukan sesuatu yang berisiko yang belum tentu menjanjikan pulangan lumayan jika tidak disertai dengan kerja keras.
Namun bagi seorang pelaut dari Pahang, P. Jagannatham, tindakannya meninggalkan pekerjaan tetap untuk melakukan sesuatu yang baharu dalam hidupnya dianggap sebagai satu perjudian kerana pulangan yang bakal diperoleh masih samar.
Dengan berbekalkan modal permulaan RM1 juta, dia mengambil keputusan berpindah dari Pahang ke Melaka untuk mencari peluang membuka ladang ternakan lembu.
Membawa bersama isteri dan tiga orang anaknya, bekas pelaut yang berusia 45 tahun itu mengusahakan sebidang tanah yang dijadikan ladang ternakan lembu di Alor Gajah pada tahun 2009.
"Pada permulaan, saya membeli 50 ekor lembu baka Friesian yang diimport dari negara jiran, Thailand dalam usaha membiak lebih banyak lembu tenusu sekali gus membekalkan susu segar kepada peruncit secara kecil-kecilan di sekitar Melaka.
"Pada masa yang sama, saya juga menghadiri beberapa kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga swasta untuk mempermudahkan proses pengurusan ladang dan juga binatang ternakan," katanya ketika ditemui di Alor Gajah Melaka baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman serta idea untuk mengusahakan ladang lembu tenusu, Jagannatham memberitahu, ia bermula apabila mengetahui kepentingan susu kepada manusia.
Menyedari susu lembu merupakan minuman berkhasiat selain merupakan sumber vitamin bagi tumbesaran manusia, dia bercita-cita untuk memberikan sumber terbaik sekali gus berkhidmat pada masyarakat.
Namun ujarnya, bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang berkualiti kerana faktor pemakanan mempengaruhi susu yang akan dihasilkan oleh lembu.
"Halangan utama yang dihadapi oleh penternak lembu adalah sumber makanan seperti rumput segar dan juga makanan tambahan lain.
"Jika dilihat penternak di sekitar Melaka mengalami masalah yang sama iaitu sukar mendapatkan rumput kerana kekurangan tanah di negeri ini sekali gus memaksa penternak membuat simpanan rumput yang banyak bagi mengelak kekurangan stok," ujarnya.
Selain itu katanya, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu untuk memberikan makanan terbaik kepada haiwan ternakan.
Menyedari halangan yang dihadapai oleh penternak lembu tenusu, Koperasi Serbaguna Tenusu Negeri Melaka (KST) dengan kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLM) baru-baru ini mengadakan Program Pembangunan Tenusu peringkat negeri Melaka. 
Program yang dianjurkan selama dua hari itu melibatkan khidmat nasihat dan kaunseling, maklumat terkini penternakan haiwan tenusu, maklumat teknikal pengendalian susu, kemahiran praktikal serta pengetahuan perniagaan berkaitan perladangan.
Lawatan pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta pakar pemakanan DLM ke ladang lembu tenusu milik Jagannatham dilihat mampu memberi sokongan kepadanya untuk terus berusaha menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada pengguna.
Menurut Pengerusi KST, Briz Kumar Sukardhanram, program seumpama itu turut membantu penternak memperbaiki serta meningkatkan pengeluaran dan sekali gus menjadi usahawan berjaya mengikut cara tersendiri.
"Program ini mampu memberi inspirasi kepada para penternak khususnya di sekitar Melaka untuk pengurusan yang menguntungkan serta operasi perniagaan tenusu yang lebih mampan.
"Selain itu, penternak juga berpeluang untuk memasarkan susu dengan cara lebih sistematik di samping kualiti dan kuantiti susu tidak terjejas," ujarnya.
Susu yang dihantar oleh penternak ke pusat pengumpulan susu akan proses dan diuji sebelum dihantar kepada pembekal.
Di pusat pengumpulan tersebut, susu yang dihantar akan menjalani empat ujian yang terdiri daripada rasa, bau, tahap penstabilan protein, ketumpatan dan kandungan lemak.

Bisnes Padi


SELALUNYA pada umur yang muda, usia banyak dihabiskan dengan menimba ilmu. Sementara masa senggang diisi dengan minum teh dan lepak bersama rakan-rakan atau berhibur.

Tetapi tidak bagi Zulkifli Awang, 33, yang sejak awal 20-an sudah membanting tulang di bendang di kampungnya di Machang Kelantan.
Dia ketika itu mula berjinak-jinak dengan penanaman padi, memandangkan persekitaran kampungnya merupakan kawasan bendang.

Zulkifli yang berkongsi mengenai kepayahan yang terpaksa dilaluinya kerana tidak berpelajaran tinggi memberitahu, dia tidak menyesal terlibat dalam pertanian meskipun terpaksa membanting tulang empat kerat pada usia muda.

''Saya pada mulanya hanya menyambung usaha menanam padi seluas empat hektar milik arwah ayah saya di kampung," ujarnya yang berasal dari Kampung Bukit Tiu, Machang, Kelantan.
Dengan hanya mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) , Zulkifli mengaku dia tidak tahu apa hendak dilakukannya.

''Saya malas hendak menyambung pelajaran ketika itu dan akhirnya membantu ayah," ujarnya ketika di temui di tapak projek penanaman padi di Kelaweh, Machang.


Beliau ditemui pada program lawatan pegawai - pegawai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut disertai Utusan Malaysia di Machang baru-baru ini.
Sambil merenung jauh melihat mesin memotong padi sedang menyempurnakan kerja-kerja di salah satu pekat sawah di situ, Zulkifli berkata, dia masih teringat peritnya membantu ayah mengusahakan tanaman padi tanpa menggunakan mesin.
Penggunaan kerbau untuk membajak tanah satu ketika dulu menjadi amalan penduduk kampung berkenaan.

Dia yang berkahwin pada 2000 dan kini memiliki seorang anak juga tidak lupa kata-kata bapa mertuanya yang tidak begitu yakin dengan usahanya menanam padi.
''Bapa mertua saya pernah menyatakan begitu sedangkan pada hari ini dia sendiri mengusahakan 20 hektar kawasan padi," ujarnya sambil tersenyum.

Usaha tanpa jemu akhirnya menampakkan sinar kejayaan apabila semakin lama projek penanam padi khususnya varieti MRQ 74 yang pada mulanya sekadar membantu bapanya kini semakin maju.
Zulkifli selepas itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila projek yang pada mulanya memanfaatkan varieti padi hasil penyelidikan MARDI yang ditanam sejak 2000 seperti MR219 dan MR220 beralih kepada varieti baru.

Sejak beberapa tahun lepas, dia telah beralih kepada varieti MRQ 74 iaitu padi wangi dan menambah keluasan tanaman kepada kira-kira 41 hektar ketika ini menerusi pajakan daripada pemilik.
Kejayaan Zulkifli juga wajar menjadi teladan kerana setakat berbekalkan sijil PMR dan beberapa sijil kursus mengendalikan jentera, tidak banyak mampu dilakukan untuk mengubah nasib hidup.
Namun ketika ini, dia memiliki beberapa jentera seperti pembajak, jentera penuai dan beberapa buah lori serta 25 orang pekerja.

Ini tidak termasuk kenderaan sendiri hasil titik peluh nya selama lebih sedekad penanam padi.
Terbaru , dia mampu memperoleh 125 tan padi dengan kawasan 26 hektar selepas dituai daripada keseluruhan kawasan penanaman yang dimilikinya ketika ini.
Lebih menggembirakan dalam catatan kejayaannya, Zulkifli juga terlibat dalam penanaman tembikai seluas 4.8 hektar berhampiran dengan Kompleks Penjara Machang.

Maswangi
Sementara itu menurut penyelidik padi di MARDI, Datuk Dr. Othman Omar, varieti yang banyak ditanam di situ adalah jenis MRQ 74 atau padi Maswangi.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada Projek Peningkatan Pengeluaran Padi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan tiga Entry Point Project (EPP) iaitu EPP 9, EPP 10 dan EPP 11.
''Projek di Machang ini ialah di bawah EPP 9 yang melibatkan pengeluaran beras wangi di luar kawasan jelapang,'' ujarnya.
Menurut Dr. Othman, projek EPP 9 tersebut melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Pahang, Melaka dan Langkawi di Kedah.
''Projek ini digerakkan menerusi peruntukan daripada PEMANDU.
"Kaedahnya ialah melalui penanaman secara kontrak kepada syarikat peneraju dan diusaha sendiri oleh syarikat peneraju melalui sewa tanah terbiar daripada tuan tuan tanah yang tidak lagi mampu mengusaha sawah mereka," kata beliau.
Katanya, PEMANDU memberi peruntukan kepada syarikat peneraju untuk pulih tanah atau sawah terbiar.
''Di Kelaweh, ia melibatkan penanam kontrak oleh pengusaha dan musim pertama ini melibatkan 40 hektar," ujarnya.
Syarikat peneraju menandatangani satu kontrak dengan pengusaha yang menentukan harga belian dan lain lain terma.
Menurut Dr. Othman, kawasan 40 hektar itu asalnya adalah tanah atau sawah terbiar yang disewa oleh pengusaha.
Berdasarkan purata seorang pemilik sawah memiliki satu hektar, dengan adanya projek ini, sekurang-kurangnya 25 pemilik sawah mendapat manfaat.
Terdapat kawasan lain yang disewa terus oleh syarikat peneraju yang mana bilangan petani yang mendapat manfaat adalah ramai, bergantung kepada keluasan tapak.
Selalunya persetujuan penyewaan dibuat melalui PPK atau menerusi perbincangan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Kebanyakan penanam padi MRQ 74 di Kelantan adalah penanam kontrak dengan jumlah keluasan melibatkan 132 hektar
Sementara itu, beberapa negeri lain juga di kenal pasti terlibat dengan projek tersebut masing - masing 48 hektar di Pahang, 40 hektar di Melaka dan 60 hektar di Langkawi.

Friday, 7 September 2012

Bisnes serunding daging turun temurun


Masak di atas dapur kayu api

PENGGUNAAN dapur kayu dapat membangkitkan rasa dan aroma serunding daging.


SEBAGAI penggemar serunding daging, Wan Noorhazlinda Abd. Halim, 26, memastikan setiap kali menjelang perayaan juadah kegemarannya itu sudah tersedia.
Sejak kecil, ibu Hazlinda memasak serunding daging pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Paduan ketupat daun palas dan nasi himpit bersama serunding ibarat menu wajib bagi Hazlinda sekeluarga.
"Serunding daging yang ibu saya buat lebih tebal dan puas dimakan. Dagingnya dicarik besar-besar agar daging lebih tebal.
"Ia merupakan resipi turun-temurun yang amat kami gemari sekeluarga. Bagi memastikan tekstur daging itu lembut dan mudah dicarik, ibu saya menggunakan daging segar dan merebusnya terlebih dahulu. Kalau pakai daging biasa, ia agak liat sedikit.
"Kalau hari-hari biasa pun saya tetap mencari serunding daging. Selalunya kawan ibu akan membelikan bekalan serunding dari Kelantan.

PENGGUNAAN dapur kayu dapat membangkitkan rasa dan aroma serunding daging.


"Pernah juga saya beli serunding di Kuala Lumpur terutama menjelang bulan puasa tetapi harganya mahal dan rasanya tidak sesedap serunding yang dihasilkan di Kelantan.
"Peniaga serunding daging di Kuala Lumpur gemar mengisar daging sehingga hancur sampai rasanya hilang. Serunding Kelantan tidak begitu kerana mereka mencarik daging itu halus-halus," ujarnya yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam.
Serunding dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga lebih manis dan kurang pedas membuatkan Hazlinda menggemarinya. Kata Hazlinda: "Disebabkan kami sekeluarga tidak berapa menggemari makanan pedas, ibu memastikan serunding yang dibuat rasanya manis."
PATI santan dan bawang disatukan dalam kuali sebelum daging dimasukkan.


Makanan yang diperbuat daripada cebisan daging, ayam atau kelapa itu sememangnya terkenal dengan rasa pedas terutamanya yang dijual di sekitar Lembah Klang.
Selain keenakan rasa yang menambat minat Hazlinda, serunding daging yang boleh tahan untuk tempoh yang lama menjadi antara faktor digemari wanita itu.
Kata Hazlinda: "Serunding boleh tahan selama satu hingga tiga bulan jika disimpan di dalam bekas kedap udara."
Selain itu, Hazlinda turut menjadikannya lauk yang ringkas sekiranya beliau tidak memasak. Hidangan serunding daging bersama nasi putih, telur goreng dan kicap adakalanya menjadi pilihan Hazlinda waktu sahur pada bulan Ramadan.
Sambal daging atau serunding begitu sinonim dengan Kampung Laut, Tumpat, Kelantan sehinggakan lebih 60 pengusaha serunding datangnya dari perkampungan tersebut.
Sama ada diusahakan secara kecil-kecilan atau secara komersial, Kampung Laut boleh diberi jolokan perkampungan serunding ekoran populariti yang dikecapi daripada makanan tradisi tersebut.
Serunding yang mengambil masa seharian untuk disediakan, daripada proses merebus daging yang mengambil masa enam hingga tujuh jam, mencarik daging, menumis dan memasak, menjadikan makanan ini cukup istimewa.
SANTAN perlu dikacau selama dua jam bagi mendapatkan rasa lemak pada serunding.


Warisi perniagaan
Bagaimanapun, perubahan zaman seiring pembangunan teknologi telah mempermudahkan cara dengan kehadiran pelbagai mesin memproses serunding daripada kuali elektrik untuk menggoreng dan juga mesin pencarik daging.
Namun, dalam ketaksuban pengusaha lain untuk memaksimumkan pengeluaran dengan mengurangkan masa dan kos, pengusaha Serunding Rahmah, Wan Rashid Wan Muhammad, 48, dan adiknya Wan Asmariah, 33, yang mewarisi perniagaan daripada ibu mereka, Rahmah Yusof, 63, masih mengekalkan elemen tradisional bagi menghasilkan serunding.
Menurut Wan Rashid, peniagaan serunding ibunya merupakan perniagaan turun temurun yang telah diwarisi oleh tiga generasi.
"Ibu saya mewarisi perniagaan serunding ini daripada ibunya iaitu Mak Som Pak Soh yang merupakan pelopor perniagaan serunding di Kampung Laut ini.
"Pada mulanya hanya ada tiga rumah sahaja yang mengusahakan serunding, kini, lebih 60 pengusaha terdapat di kampung ini termasuk beberapa ahli keluarga ibu saya," ujarnya.
Kini ramai pengusaha serunding menggunakan pelbagai alat dan mesin bagi membantu mempercepat dan mempermudahkan proses memasak serunding yang memakan masa satu hari untuk disiapkan. Tetapi, bagi mereka, kuantiti bukanlah perkara utama kerana Serunding Rahmah lebih mementingkan kualiti yang menjadikan mereka lain daripada yang lain.
Serunding Rahmah masih menggunakan kayu api untuk memasak dan menggunakan tenaga kerja seramai 10 orang untuk operasi seharian mereka.
RAHMAH menunjukkan hasil serunding yang dihasilkan oleh syarikatnya.


"Banyak perbezaan antara serunding yang dimasak secara moden (menggunakan dapur elektrik) dengan serunding yang dimasak menggunakan kayu api dan digaul serta dicarik secara manual.
"Serunding yang dimasak menggunakan mesin cenderung hancur berbanding yang dicarik secara manual menggunakan tangan selain aroma serunding juga berbeza jika digunakan kayu api untuk memasaknya," katanya.
Sebelum ini, mereka pernah mencuba untuk menggunakan cara moden dengan menggunakan dapur elektrik tetapi ada perbezaan pada aromanya.
Dengan menggunakan cara tradisional, mereka juga menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung kerana satu mesin telah mengambil alih tugas lima orang pekerja.