Pages

Friday, 30 March 2012

Usahawan roti babu

Dibakar dengan ketuhar batu-bata



REKA bentuk bangunan itu seakan-akan sebuah bangsal. Melihat keadaan binaan yang diperbuat daripada lapisan papan selain serpihan cat berwarna putih yang kelihatan sudah tertanggal membuatkannya kelihatan agak usang.

Namun, bangunan yang disangkakan rumah itu sebenarnya ialah sebuah kilang memproses roti yang masih kekal seperti asalnya walaupun zaman telah berubah. Meninjau kilang yang dikatakan sudah berusia hampir 100 tahun itu, bermula dari pintu gerbang menghala ke ruang masuk utama hingga ke pintu belakang, jelas membayangkan pemiliknya, Mokhtar Amat Mohd. Taqi, 49, sarat dengan nilai-nilai sentimental.

Begitupun, mungkin ramai orang luar tidak mengetahui cerita di sebalik kilang roti yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat di kawasan Slim River, Perak itu.

Percaya atau tidak, kilang roti milik arwah bapa Mokhtar iaitu Mohd. Taqi Habib telah wujud hampir 100 tahun lalu berdasarkan maklumat asal usul kilang berkenaan daripada cerita orang tua di situ.

Kilang tersebut pada asalnya dikendalikan oleh seorang individu yang juga mengusahakan pembuatan roti sekitar tahun 1912.

Bagaimanapun, kilang tersebut kemudian dibeli oleh pakcik Mokhtar, Abdul Kadir Habib pada tahun 1950-an yang ketika itu baru berhijrah dari Lucknow, Uttar Pradesh, India ke Malaysia.

Dia hanya dapat berniaga buat seketika kerana menemui ajal disebabkan sakit tua. Sebelum itu, arwah mewasiatkan bapa Mokhtar, Mohd. Taqi untuk menerajui perniagaan berkenaan untuk melangsaikan hutang-hutangnya.

Bermula dari detik itulah, empayar roti keluarga tersebut bermula sehingga hari ini yang diteruskan oleh generasi kedua iaitu Mokhtar sendiri.

Tiada nama khas

Menariknya, populariti roti yang diusahakan keluarga itu mampu bertahan lebih 60 tahun walaupun tidak mempunyai nama khas.

Sebaliknya, nama roti yang diusahakan Mokhtar diberikan sendiri oleh pelanggan-pelanggan tetapnya dengan gelaran seperti roti Babu, roti Tapah, roti Benggali dan roti sedap.

“Ketika itu, ayah hanya menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan.




“Macam-macam nama diberikan pembeli. Jika dilihat pada lesen perniagaan nama yang didaftarkan ialah roti Mokhtar, tetapi jarang sekali mendengar nama itu,” ujarnya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Jalan Masjid Lama, Slim River, Perak baru-baru ini.

Mengimbau kembali bibit-bibit pembabitannya dalam bidang itu, segala-galanya bermula selepas beliau tamat persekolahan.

Menurut anak kelima daripada enam adik-beradik itu, selepas tamat belajar dia menjadi guru sementara di salah sebuah sekolah swasta di Slim River.

Kerjaya itu tidak menghalang beliau membantu ayahnya. Setiap hujung minggu dia akan menunggang motosikal dan membawa roti-roti yang telah dibuat ayahnya untuk dijual ke kampung-kampung berdekatan.

Sekitar tahun 1985, beliau mula serius dengan perniagaan roti memandangkan mengalami masalah pembayaran cukai untuk mendapat lesen guru atau lebih dikenali sebagai lesen biru.

Disebabkan keadaan itu, Mokhtar membuat keputusan untuk membantu ayahnya sepenuh masa memandangkan dia satu-satunya anak yang menunjukkan minat untuk mempelajari selok-belok pembuatan roti.

Mokhtar mengakui pada permulaan dia agak sukar menyesuaikan diri terutamanya ketika waktu menjual roti kerana terpaksa berpanas di bawah terik matahari dan kadangkala meredah hujan.

“Pada hari pertama keluar menjual, saya demam dan sakit tekak selama seminggu kerana tidak tahan dengan cuaca yang berubah-ubah, namun lama-kelamaan ia tidak lagi menjadi masalah utama.

“Pada masa yang sama, ayah juga mengajar cara-cara membuat roti seperti bahan-bahan yang digunakan selain proses pembakaran,” ujarnya sambil menyifatkan tiada sebarang resipi rahsia selain menggunakan pembakar roti yang telah berusia lebih 100 tahun itu.


ROTI yang siap dibakar akan dibungkuskan dalam plastik putih tanpa sebarang logo atau jenama.


Sudah 27 tahun Mokhtar menerajui perniagaan bapanya itu, namun hanya satu sahaja kaedah yang dikekalkan iaitu membakar roti menggunakan ketuhar tradisional batu-bata dengan bahan bakarnya ialah kayu serta tempurung.

Meskipun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu, keadaan kilang tersebut tetap sama. Disebabkan mahu mengekalkan ciri-ciri keaslian kilang itu, Mokhtar jarang melakukan perubahan melainkan jika berlaku kerosakan.

Bapa kepada tujuh anak tersebut mengakui ketuhar tersebut menyebabkan roti-roti yang dihasilkan menjadi lebih lembut dan sedap.

“Bukan mahu mendabik dada. Saya sebenarnya tidak mengikuti sebarang kelas masakan cuma mengamalkan apa yang diajar oleh arwah bapa,”ujarnya.

Bagaimanapun, Mokhtar mengakui kerja-kerja membuat roti itu mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam termasuk menguli, proses membuat doh dan membakar roti.

Anak jati Slim River itu memberitahu, kerja-kerja tersebut bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan dia melakukan kesemua kerja-kerja berkenaan sendirian tanpa mengupah pekerja.

Menurutnya, dia tidak mengupah pekerja kerana tiada sesiapa yang berminat untuk mempelajari seni membuat roti itu.

Keaslian roti

Tuntutan rezeki itu menyebabkan setiap hari beliau terpaksa bangun seawal 6 pagi untuk menyediakan bahan-bahan membuat roti berkenaan.

Menurutnya, selepas solat Subuh dia akan mula menyediakan adunan roti seperti tepung dan telur yang akan berakhir sekitar pukul 1 petang.

Dalam sehari, Mokhtar menghabiskan sebanyak satu guni tepung, 2 kilogram (kg) marjerin, 4kg gula dan 200 gram yis untuk menyediakan kira-kira 450 biji roti.

Roti-roti itu terdiri daripada roti kelapa, kacang, krim, bantal, bijan, paun dan roti keras. Kesemua inti itu dibuat sendiri kecuali inti kacang yang siap dibeli daripada pembekal.


SEBAHAGIAN roti kelapa dan kaya yang telah siap diuli.


Ketika ditanya mengenai harga, Mokhtar memberitahu, harga roti tersebut dijual pada harga 20 sen, 40 sen dan RM1.40 mengikut jenis. Berbicara lanjut mengenai perniagaan itu, Mokhtar bersyukur kerana keaslian rotinya membuatkan dia terkenal di pekan kecil itu.

Ia berikutan selepas menjual roti di kilang, dia akan membawa kesemua roti berkenaan ke sebuah kampung iaitu Slim Village.

Beliau tidak perlu menggunakan hon motosikal untuk memaklumkan tentang kehadirannya di kampung itu sebaliknya, para pelanggan akan menunggunya di jalan-jalan utama setiap hari sebaik jam menunjukkan pukul 3.30 petang.

“Mereka akan menunggu saya kecuali jika hari tersebut hujan. Kalau hujan mereka tahu saya akan datang lambat sedikit,” jelasnya yang mampu meraih sekitar RM100 setiap hari.

Ternyata, aroma dan rasa roti yang sedap membuatkan pelanggan bukan sahaja menunggu di tepi jalan bahkan, berkunjung ke kilangnya untuk membeli roti panas yang baru keluar dari ketuhar.

Friday, 23 March 2012

Sentiasa berdoa dan bertawakal Ternak puyuh sudah berhasil

Gagal bela arnab berjaya ternak puyuh


Keceriaan jelas terpancar pada wajah pasangan yang mengusahakan ternakan puyuh dan ayam kampung di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan.


RAJA Ali Raja Hassan bukanlah nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di Kelantan.

Bapa kepada lima orang ini sudah lebih 20 tahun mengusahakan ternakan tersebut dan berhasrat menjadi penternak, pembekal daging puyuh terbesar di negeri Cik Siti Wang Kembang.

Berbeza dengan kebanyakan penternak lain yang mempunyai ladang dan pekerja, Raja Ali, 54, hanya mengusahakan ternakan burung puyuh di reban yang dibina di hadapan rumahnya di Kampung Badak Mati, Bukit Marak, Kota Bharu.

Bermula dengan modal sebanyak RM1,000, Raja Ali dengan dibantu isteri tercinta, Rahimah Awang, 54, kini mampu tersenyum puas.

Apa tidaknya, berkat penat lelahnya selama ini, dia dapat membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada kelima-lima anaknya itu yang kini sudah mempunyai kerjaya sendiri, selain mampu membeli rumah dan kereta.

Semuanya hasil daripada ternakan burung puyuh.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam industri ternakan puyuh, Raja Ali berkata, ia bermula secara kecil-kecilan pada 1983 sekembalinya dari Kuala Lumpur untuk menjaga orang tuanya sebelum mereka kembali ke rahmatullah.

"Sebelum itu saya bekerja dengan Koperasi Shamelin selama 11 tahun. Sekembalinya saya ke kampung untuk menjaga orang tua, saya memulakan ternakan tersebut secara kecil-kecilan membabitkan 1,000 ekor puyuh dengan pinjaman bank sebanyak RM30,000.

"Pinjaman itu sebenarnya untuk ternakan arnab yang cuba saya usahakan, tetapi tidak berjaya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menariknya, Raja Ali menjadikan kegagalan tersebut sebagai pembakar semangatnya untuk 'bertukar angin' dengan mencuba ternakan burung puyuh yang pada waktu itu agak asing dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sebagai permulaan jelasnya, beliau telah mengikuti kursus ternakan burung puyuh di Tegayung, Melor.

"Sangkar arnab yang telah saya bina, saya ubah menjadi reban burung puyuh. Saya kemudiannya membeli sebanyak 1,000 ekor anak burung puyuh.

''Selain itu, saya turut mendapatkan baka burung puyuh dari Johor melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan (sekarang Jabatan Perkhidmatan Veterinar)," jelasnya.

Berkat kegigihan beliau dibantu isteri dan anak-anak yang berperanan sebagai 'pekerja', Raja Ali mampu membesarkan industri ternakan burung puyuhnya dengan waktu puncak beliau pernah menternak sehingga 17,000 ekor burung berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah burung puyuh yang ada dalam rebannya ketika ini hanya sekitar 6,000 hingga 7,000 ekor, namun Raja Ali bersedia mendapatkan baka baru bagi 'menghidupkan' kembali kegemilangan industri yang sudah sebati dengannya itu.

Menurut Raja Ali, dia memperuntukkan sebanyak RM100 sehari bagi membeli makanan burung berkenaan dari sebuah kedai Cina di Bachok.

Jelasnya, sebaik sahaja menetas, burung sudah boleh dijual dengan harga pasaran ketika ini kira-kira 65 sen seekor.

Rata-rata burung puyuh milik Raja Ali akan disembelih sebaik sahaja mencapai usia 23 hari dan ke atas, sementara yang lebih muda dijual kepada pengusaha kedai burung.

"Kebiasaannya, hanya 80 peratus daripada telur puyuh akan menetas, selebihnya akan menjadi telur tembelang," jelasnya lagi yang menjalankan penetasan secara inkubator.

Mengusahakan ternakan burung puyuh bagi Raja Ali tidaklah terlalu rumit dan melecehkan.

Namun, setiap usaha itu pasti berdepan dengan suka dan duka. Begitu jugalah yang dilalui oleh Raja Ali sepanjang penglibatannya dalam industri berkenaan.

Antara ancaman yang dihadapi ialah pencuri yang pernah melarikan 300 ekor burung puyuh.

Selain itu, ular turut menjadi ancaman utama kepada Raja Ali yang pernah 'melahap' sebanyak 156 ekor burung puyuh mengakibatnya kerugian kira-kira RM1,000.

"Sekarang masih ada ular, begitu juga biawak. Untuk mengatasinya, saya menggunakan racun. Masalah penyakit tak ada, yang penting kita jaga kebersihan cuci reban dan najisnya diambil untuk dijadikan baja," jelasnya.

Cabaran dalam industri tersebut katanya, dari segi persaingan dalam pasaran apabila harga daging burung puyuh yang tidak stabil disebabkan sikap sesetengah pengusaha yang suka menurunkan harga demi mengaut keuntungan segera.

"Dari segi pasaran, tak ada masalah, banyak kedai makan, restoran dan pasar raya yang sedia menerima bekalan, tetapi apa yang saya bimbangkan tidak dapat menampung permintaan semakin tinggi," katanya.

Apa yang pasti kata Raja Ali, perkara tersebut sama sekali tidak mematahkan semangatnya, malah semakin yakin untuk mengembangkan lagi industri ternakan burung puyuhnya yang kini menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk daripada pusat pengajian tinggi tempatan.

''Jangan mudah mengaku kalah, sentiasa berdoa dan bertawakal, insya-Allah usaha kita sentiasa berjaya," katanya mengenai 'petua' kejayaan beliau dalam industri berkenaan selama ini.

Ensiklopedia Britannica akur saingan digital

Britannica akur saingan digital



LAZIMNYA pada masa lapang, D.G. Martin akan menghampiri rak buku yang berdiri gah di satu sudut rumahnya. Dengan pantas jarinya menarik sebuah buku berkulit tebal warna coklat. Kemudian, sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi empuk, pemuda kelahiran Atlanta, Amerika Syarikat (AS) berkenaan menyelak halaman 335.

Wajahnya mula mengukir senyuman apabila membaca artikel bertajuk, United States of America: Made my way to the North Carolina. Apatah lagi, di penghujung cerita itu tercatat susunan huruf Pe.S.G/D.G.M yang merujuk kepada nama Peter S. Gilchrist dan D.G. Martin.

Jika ditanya, sehingga ke hari ini, Martin tidak mempercayai bahawa artikel hasil nukilannya bersama rakannya terpilih untuk disiarkan secara rasmi dalam Ensiklopedia Britannica, Jilid 29.

“Saya sering mengisi masa lapang dengan membaca artikel ini berulang kali. Terasa bangga dan gembira kerana nama kami tercatat secara rasmi dalam ensiklopedia yang paling popular di serata dunia.

“Menarik mengenai ensiklopedia ini, ia bukan saja mendedahkan pembaca dengan pelbagai fakta dan informasi berguna malah turut memaparkan koleksi foto yang cantik,” tutur Martin, bekas peguam, ahli politik dan merangkap hos UNC-TV, program North Carolina Bookwatch.

Bicara Martin yang pernah berkhidmat di bahagian pentadbiran Universiti Carolina, AS, menulis artikel untuk dimuatkan dalam Ensiklopedia Britannica secara tidak langsung membantu mengukuhkan portfolionya. Pada masa yang sama, ia membuatkan ramai pihak mempercayai kredibiliti Martin dalam bidang penulisan.

Menyorot penglibatannya menulis untuk ensiklopedia yang berusia 244 tahun itu, semuanya bermula pada dua dekad lalu. Seorang kawannya, Marshall Gilchrist telah mencadangkan nama Martin kepada penerbit Britannica untuk bergabung bersama Peter S. Gilchrist untuk menghasilkan artikel mengenai Carolina Utara.

Pada ketika itu, Martin ditawarkan sebanyak $300 (RM923) sebagai upah tugasan tersebut. Namun, graduan Kolej Davidson itu enggan menerima bayaran itu sebaliknya memohon untuk digantikan dengan satu set lengkap Britannica.

“Mereka tidak percaya saya inginkan set Britannica berbanding wang. Melihat tekad saya untuk memiliki Britannica, akhirnya permintaan saya diluluskan. Lebih mengharukan, set baharu Britannica yang saya terima memuatkan artikel saya bersama Gilchrist.

“Sebelum munculnya era digital, ensiklopedia ini adalah sumber rujukan lengkap dan ideal untuk semua peringkat umur. Saya sanggup menyelak satu persatu helaiannya semata-mata untuk membaca kandungannya,” ujar Martin dalam nada sedih apabila buku Britannica semakin berkurangan dan dipandang sepi memandangkan individu hari ini cenderung mencari maklumat menerusi Internet.

Bertambah mengecewakan apabila pada awal Mac lalu, Martin dikejutkan dengan berita bahawa penerbitan Britannica versi buku akan dihentikan kerana mereka ingin fokus pada versi digital.


WAJAH lukisan Andrew Bell yang merupakan salah seorang pengasas Ensiklopedia Britannica.


Himpunan maklumat

Ensiklopedia Britannica mula diterbitkan pada tahun 1768 di Edinburgh, Scotland. Cetakan pertamanya hadir dengan judul, A Dictionary of Arts and Sciences yang menghimpunkan maklumat tentang seni dan sains. Ia diasaskan oleh Colin Macfarquhar dan Andrew Bell, warga Scotland yang memiliki kepakaran dalam bidang cetakan, ukiran dan penjualan buku.

Pada awalnya, tujuan ia diterbitkan adalah untuk menawarkan bahan bacaan berbentuk ilmiah. Sekitar tahun 1974 sewaktu melancarkan ensiklopedia jilid ke-15, pihak Britannica menyasarkan objektif untuk mendedahkan kepelbagaian ilmu pemahaman manusia.

Selama dua abad beroperasi dalam industri buku, Britannica mengekalkan konsep, saiz, ketebalan dan isi kandungan yang sama. Setakat ini, dianggarkan Britannica sudah mencetak 40 juta perkataan dan setengah juta topik mengikut peredaran semasa.

Walaupun pusat operasi ensiklopedia tersebut telah berpindah ke AS pada tahun 1901, sidang pengarangnya masih menggunakan ejaan British.

Sepanjang penerbitan, setiap kandungannya dikemas kini oleh 100 orang pengarang sepenuh masa dan 4,400 orang penyumbang artikel. Kredibiliti dan kesahihan maklumat Britannica tidak dipertikaikan memandangkan ia turut melibatkan penyumbang profesional seperti ahli fizik tersohor, Albert Einstein; bekas Presiden AS, Bill Clinton; dan bekas Ketua Biskop Cape Town, Desmond Tutu.

Dari segi pemilikan pula ia bersilih ganti. Pada era kedua cetakan, syarikat itu diambil alih oleh firma penerbitan Edinburgh, A & C Black, sebelum bertukar hak milik kepada Horace Everett Hooper, Sears Roebuck dan William Benton. Pada tahun 1911 hingga kini, penerbitannya adalah di bawah syarikat Encyclopedia Britannica Inc., milik jutawan Switzerland, Jacqui Safra.

Kenangan ilmiah

Dalam pada itu, pemilik kedai buku antik MacLeod’s Books, yang terletak di bandar Vancouver, Kanada, Don Stewart, melahirkan rasa bertuah kerana memiliki 20 set Britannica sejak dari keluaran tahun 1817. Jelasnya, ensiklopedia tersebut unik memandangkan ia mengandungi bermacam-macam topik, ilustrasi dan diagram.

“Salah satu topik yang menarik minat saya berkaitan dengan cara menghasilkan belon udara panas. Pembaca diberi penerangan yang lengkap dan jelas tentang proses pembuatannya kerana dilengkapi ilustrasi.

“Sememangnya Britannica melalui proses suntingan dan pemilihan artikel yang begitu teliti serta perlu mengikut standard yang ditetapkan,” ujar Stewart.

Sejak berita berakhirnya penerbitan Britannica diumumkan pada awal Mac lalu, ia menjadi topik hangat dalam kebanyakan agensi berita antarabangsa, blog dan laman sosial.


PENGGUNA kini selesa melayari maklumat dan informasi menerusi Ensiklopedia Britannica versi digital.


Kumpulan pakar akademik khususnya tidak bersetuju dengan isu berkenaan kerana menyifatkan Britannica antara ensiklopedia nostalgik yang sarat dengan informasi berguna.

Walaupun reaksi demikian sudah dapat dijangka, Encyclopaedia Britannica, Inc., yang menguruskan buku itu sudahpun menghentikan pencetakan sejak dua tahun lalu. Set Jilid 32 merupakan koleksi Britannica yang terakhir dan ia telah dicetak sebanyak 8,000 set. Kini pihak Britannica sedang berusaha untuk menjual koleksi ensiklopedia yang masih berbaki 4,000 set.

Kejatuhan jualan

“Ini berita yang paling menyedihkan. Saya mula membaca Britannica ketika belajar di sekolah rendah kerana terhibur dengan paparan topiknya. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak yang membaca Britannica selalu diejek sebagai nerd (ulat buku yang tidak tahu bersosial) tetapi saya tidak ambil peduli,” jelas Diakow, pengacara Breakfast Television menerusi Twitternya.

Jika diteliti, tahun 1990 dianggap detik yang melonjakkan nama ensiklopedia itu apabila sebanyak 120,000 set versi cetakan berjaya dijual di seluruh dunia. Tapi, kejayaan itu tidak bertahan kerana penjualannya jatuh mendadak hinggakan pada tahun 1996, hanya 40,000 set dapat dijual.

Menurut pegawai bahagian bahasa, sastera dan sejarah, Perpustakaan Negeri Hawaii, Lynne Kobayashi, hakikatnya 70 peratus pengguna selesa merujuk bahan bacaan versi cetakan. Namun, seiring dengan kecanggihan teknologi yang serba pantas, selera masyarakat mula berubah.

Setiap tugasan dan maklumat ingin diperoleh dalam masa yang singkat maka Internet merupakan jalan penyelesaian terbaik.

Penggunaan enjin carian seperti Google dan Yahoo! sudah memadai untuk memberikan informasi dalam tempoh yang singkat. Disebabkan itu, individu gemar klik pada web Wikipedia berbanding membelek helaian demi helaian ensiklopedia Britannica.

“Terdapat banyak keistimewaan carian maklumat secara dalam talian. Hanya menaip beberapa kata kunci segala informasi tertera di skrin komputer. Pengguna cuma perlu melakukan kajian sama ada maklumat itu sahih atau tidak.

“Tetapi, kekurangannya pula apabila kita terpaksa memiliki komputer dan peranti untuk mengakses Internet,” tegas Kobayashi yang turut menyatakan sebahagian besar perpustakawan masih memerlukan sumber bahan bacaan kerana segala catatan yang terkandung dalamnya daripada sumber yang sahih.

Friday, 16 March 2012

Berniaga jadi darah daging Alice

Berniaga jadi darah daging Alice



MEMBESAR dalam kehidupan yang serba kekurangan bersama 11 adik-beradik membuatkan Alice Yong, 61, menanam tekad untuk berubah. Dia mula berniaga secara kecil-kecilan sebagai usaha utama untuk membawa perubahan dalam kehidupan.

Menceritakan semula hidup keluarganya, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu memberitahu, kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja menanam sayur di kawasan perumahan mereka.

Kehidupan keluarga mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana mereka bergantung kepada upah jualan tanaman sahaja.

Hasil yang tidak seberapa tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan seharian anak-beranak itu. Hakikatnya, pendapatan itu nyata tidak mencukupi untuk menyara keluarga sebesar itu.

Nekad mahu mengubah nasib keluarganya, pada tahun 1967 Alice telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang. Sehinggalah pada suatu hari, Alice membuat keputusan berani untuk memulakan perniagaan sendiri.

Sekitar tahun 1976, Alice membuat pinjaman bank untuk memulakan bisnes beg tangan dan kasut di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.

Dia memberitahu, pada mulanya bisnes itu beroperasi di kaki lima sahaja memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendapatkan sebuah premis niaga.

Begitupun, dengan bersusah payah menjalankan perniagaan harian seawal pukul 10 pagi hingga 7 malam kecuali pada hari Ahad, Alice tidak pernah berputus asa menanti kedatangan para pelanggannya.

Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui dia meletakkan sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya tiga beg tangan pada setiap hari. Ketika itu, harga barangan yang dijualnya adalah bermula dari RM5 hingga RM60. Pada masa yang sama, Alice turut menjual kasut wanita.


ALICE (kanan) dan Alan menunjukkan koleksi beg tangan dan kasut di butik mereka.


Dengan harga berpatutan, perniagaan Alice semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan yang bekerja di kawasan itu.

“Dalam sehari, saya boleh memperoleh RM300 sehingga RM500. Syukur dengan pulangan itu kerana modal tersebut dilaburkan semula untuk membesarkan perniagaan,” ujarnya.

Buka butik

Selepas mengumpulkan pulangan yang diperoleh selepas lima tahun, sekitar tahun 1981 Alice berjaya membuka sebuah butik kasut yang dinamakan Princess di Jalan TAR.

Nama Princess dipilih kerana Alice mahu pelanggan wanitanya meletakkan diri mereka sebagai puteri yang anggun apabila menyarungkan jenama kasut tersebut.

Namun, Alice tidak mahu tertumpu kepada satu produk sahaja. Ibu kepada tiga orang anak lelaki itu memberitahu, dia mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan produk dengan menjual kasut, cermin mata dan aksesori lain.

Atas kegigihannya menempuh cabaran berniaga selama ini, Alice hari ini mampu tersenyum dengan hasil usahanya. Butik Princess sudah beroperasi di sembilan buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam.

Begitupun, seiring dengan peningkatan usianya, Alice kini menyerahkan empayar bisnesnya itu kepada anak bongsunya, Alan Lok Yet Luan, 24.

Alice percaya, biarpun Alan masih muda, anaknya itu mampu menerajui perniagaan itu dengan baik.

Ambil alih

Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Canterbury Christchurch, Kent, England, dalam jurusan Pemasaran dan Pengurusan Jualan Runcit pada tahun 2009, Alan pulang ke tanah air.


PRINCESS menampilkan pelbagai koleksi terbaharu selain menjual kasut yang bersaiz antara sembilan hingga 13.


Pada tahun yang sama, Alan terus membantu ibunya memandangkan beliau banyak menimba pengalaman di luar negara mengenai rekaan fesyen kasut yang terkini.

Tambahan pula, Alan tidak kekok membantu ibunya berniaga memandangkan ketika berumur lima tahun lagi dia sudah mula mempelajari selok-belok kerja di butik ibunya. Biarpun ketika itu tugasnya hanya membungkus kasut dan beg tangan yang dibeli pelanggan, banyak ilmu pengurusan yang diserap secara tidak langsung.

Alan yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Princess Shoe & Handbag Centre Sdn. Bhd. berazam mahu mengubah pandangan pelanggan yang berpendapat jenama tersebut hanya sesuai untuk wanita berusia.

Sambil menafikannya, Alan menegaskan bahawa seleksi kasut di Princess amat sesuai untuk wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ke atas.

“Kami menampilkan koleksi terbaharu seperti kasut tumit tinggi, kasut ballet rata dan sandal bergaya. Kami juga menawarkan rekaan yang lebih berani seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit setinggi lima inci.

“Selain itu, Princess masih mengekalkan signatur yang sama iaitu menjual kasut wanita yang bersaiz antara sembilan hingga 13. Rata-rata produk kami sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis formal dan bersantai,” ujarnya ketika ditemui di butik Princess di kompleks beli-belah Ampang Park.

Dalam pada itu, tambah beliau, harga kasut yang dijual adalah dari serendah RM49.99 sehingga RM259.99, manakala harga beg dan aksesori seperti cermin mata pula dijual pada RM29.99 hingga RM300.

Alan mengakui, untuk menarik perhatian golongan wanita muda, dia sanggup meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita ketika mereka membeli-belah kasut dan beg.


ALAN berbincang sesuatu dengan ibunya mengenai corak dan rekaan kasut.


Melalui cara itu, dia dapat mengetahui cita rasa wanita dalam soal pemilihan kasut dan beg.

Bahkan, beliau juga mengikuti peredaran fesyen kasut menerusi laman-laman web dan majalah wanita. Maklumat yang diperoleh melalui sumber-sumber tersebut banyak membantu beliau untuk mempelbagaikan lagi produk Princess.

Demi memajukan lagi perniagaan ibunya itu, Alan sanggup turun padang menemui pelanggan-pelanggannya.

Setiap kali mengadakan promosi, dia sendiri akan bersemuka dengan pelanggan seolah-olah menjadi pekerja di kedai itu.

“Sekurang-kurangnya dengan langkah itu, saya dapat mengetahui pendapat-pendapat pelanggan dengan jelas. Segala kritikan dan pujian akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi mutu perniagaan,” ujarnya.

Thursday, 15 March 2012

Usahawan roselle dan stevia

Didik usahawan roselle dan stevia

DAUN stevia kering yang banyak khasiat ini perlu dileraikan sebelum dibungkus.


TANAH halaman rumah yang dahulunya kosong dan tidak diusahakan, kini boleh dimanfaatkan untuk sesuatu yang dapat menambah pendapatan sampingan.

Pengasas Stevian-Roselle Group (MyRoselle), sebuah organisasi yang mengusahakan perniagaan berasaskan roselle dan stevia, Jamaliah Baba memberitahu, dia mahu mengajak mereka yang berminat dengan bidang pertanian untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui penanaman roselle dan pembungkusan daun stevia kering.

“Saya mendapati ramai penduduk kampung suka menanam roselle di tanah rumah mereka untuk kegunaan sendiri, sedangkan mereka dapat menjana pendapatan melaluinya

“Dengan program latihan yang betul, mereka akan dapat hasilkan banyak produk kreatif menggunakan roselle seperti jem, roselle kering, bahan perisa untuk kek dan sebagainya,” katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Penajis Bandar di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dengan usahasama MyRoselle dan Pejabat Pertanian Daerah, mereka yang terlibat dengan projek itu dapat menjual produk mereka ke saluran yang tepat.

“Penduduk kampung tidak perlu mengeluarkan modal kerana mereka digalakkan untuk memulakan tanaman roselle secara tersusun dan berjadual di halaman rumah masing-masing,” katanya.

Menurut Jamaliah, hasil kutipan roselle berkenaan akan dikutip oleh ahli persatuan belia kampung yang dilantik. Justeru, mereka yang terbabit tidak perlu bersusah payah untuk memasarkan produk mereka.

“Mereka yang terbabit juga dapat mengusahakan produk jualan sendiri menggunakan hasil tanaman tersebut seperti membuka kios jus roselle atau menghasilkan jem untuk dijual sendiri,” katanya yang bakal menjelajah ke seluruh Semenanjung untuk mempromosikan penanaman roselle kepada penduduk kampung.

Jamaliah berkata, pihaknya juga mengadakan bengkel di kawasan-kawasan terlibat untuk memberi latihan penanaman stevia dan pemprosesan daun stevia kering.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Kampung Penajis Bandar, Muhammad Alif Firdaus, 24, memberitahu, dia mahu mengajak ahli-ahli persatuan belia kampungnya untuk menyertai projek tanaman roselle dan memproses stevia memandangkan ramai belia tidak mempunyai aktiviti sampingan selain pekerjaan tetap masing-masing.

“Sejak mengamalkan minuman roselle di rumah, anak-anak saya yang masih kecil jarang jatuh sakit malah suami saya yang membawa bekal jus stevia ke kebun juga lebih bertenaga ketika bekerja,” kata Huslina Din, 43, yang sekian lama mengamalkan minum air roselle di rumahnya