Pages

Monday, 30 January 2012

Semakan online Bantuan rakyat BR1M

  1. Baucar itu boleh ditunaikan di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB dan Maybank di seluruh negara.
  2. Setiap pemohon yang berjaya akan menerima surat pemakluman secara berperingkat dengan disertakan tarikh dan tempat penyerahan baucar tunai
  3. Pemohon boleh menghubungi talian hotline BR1M 1800-22-2500 atau 1300-88-3010 mulai Isnin ini antara jam 9 pagi hingga jam 5 petang untuk memeriksa status permohonan.
  4. kaunter bergerak khas turut disediakan di ketiga-tiga bank berkenaan pada majlis penyerahan baucar di kawasan luar bandar untuk kemudahan orang ramai di pedalaman menunaikan baucar.
  5. Sebanyak 4.12 juta borang BR1M diterima dari seluruh negara dan daripada jumlah itu, 3.1 juta diluluskan.
Info tentang borang Bantuan rakyat BR1M , akan di lanjutkan
  • Baki permohonan sedang diproses dan dijangka selesai esok (hari ini 13/01/2012 )
  • Tempoh penyerahan borang BR1M itu dilanjutkan selama satu bulan lagi sehingga 10 Februari depan.
  • Orang ramai boleh terus menghantarnya ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta agensi kerajaan berkaitan sehingga tarikh itu.
Info bagaimana membuat rayuan bagi pemohon yang gagal menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia
  • Bagi pemohon yang gagal, rayuan boleh dibuat dengan menggunakan borang khas yang boleh diperoleh di pejabat LHDN, agensi kerajaan berkaitan atau dimuat turun menerusi laman web www.treasury.gov.my.



Wednesday, 25 January 2012

Emak Jual baja anak jadi pelakon hantu

Kecewa dorong Mahanom jual baja


Mahanom salamon (tudung merah) bersama kakitangan di kilangnya di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.


SELALUNYA apabila wanita bercakap tentang baja ialah hanya untuk digunakan bagi menyuburkan bunga-bungaan yang mereka tanam.

Tetapi lain pula dengan Mahanom Salamon, 40, yang menjadikan baja sebahagian daripada hidupnya.

Malah beliau mungkin merupakan satu-satunya wanita di negara ini yang menceburkan diri dalam industri pengeluaran baja.

Malah, beliau mengambil langkah berani untuk berkecimpung dalam industri yang didominasi lelaki dan konglomerat besar itu disebabkan rasa kecewa.

Katanya, sama seperti wanita lain, dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta gemar bercucuk tanam.

Tetapi seringkali kecewa apabila apa yang ditanam itu tidak menjadi.

Dari situ beliau mula melayari Internet untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik sehingga dipertemukan oleh sahabatnya dengan seorang pakar perunding tentang baja SA Bio-Mass dari Vietnam.

"Bermula dari situ, saya sendiri menggunakan baja tersebut dan mendapati hasil yang sangat memuaskan," katanya.

Dari situ kata Mahanom, dia menyedari akan potensi baja tersebut jika dipasarkan di negara ini.

"Lagi pula, ia merupakan produk berasaskan alam semulajadi yang bebas daripada bahan kimia tetapi mampu memberi hasil sehingga dua kali ganda dan dapat digunakan untuk semua tanaman," katanya ketika ditemui di kilang pembungkusan baja syarikatnya di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Johor, baru-baru ini.

Kini Mahanom merupakan Ketua Pengarah Eksekutif SA Bio-Mass Trading, syarikat pengedar tunggal baja SA Bio-Mass hasil teknologi Eropah yang 100 peratus bebas kimia.

Syarikatnya kini mengedarkan kira-kira 2,000 tan baja mesra alam tersebut setahun ke seluruh negara.

Beliau memberitahu, Bio-Mass adalah baja bebas kimia dihasilkan daripada lebihan bahan mentah yang dikeluarkan oleh kilang dan industri pemprosesan makanan manusia dan ternakan.

Antaranya lebihan daging atau ayam yang dihasilkan dari kilang pengeluar kiub pati, gula, hampas, soya, beras dan jagung.

Berbanding baja organik, Bio-Mass tidak mengandungi najis haiwan.

Bahan-bahan tersebut melalui beberapa proses pemecahan, pemeringkatan dan penapisan menggunakan tekonologi tercanggih dari Eropah sehingga terhasilnya nutrien tanaman untuk kegunaan semua jenis peringkat tanaman dan ladang.

Sementara itu, Mahanom berkata, keluarga amat memahami kesibukan dirinya menguruskan perniagaan sehingga jarang berada di rumah. Malah mereka turut memberi sokongan kepadanya.

"Saya jarang berada di rumah mahupun di pejabat. Sebaliknya selalu menjelajah seluruh negara untuk mempromosi dan memasarkan produk syarikat.

"Bagaimanapun hubungan saya dan keluarga tetap rapat. Kami saling memahami dan menyayangi. Apa yang penting pengurusan masa iaitu bagaimana menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga," katanya yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Mahanom mempunyai tiga orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun. Jika dirinya dikenali sebagai wanita baja, anak keduanya, Farisya Fatin Faisal, 11, pula digelar 'budak hantu' kerana telah membintangi tiga buah filem berunsurkan hantu iaitu Santau, Ngangkungdan Sumpahan Kum Kum.

Katanya, Farisya juga tidak kekok mengikutinya menyertai karnival atau ekspo bagi mempromosikan produk syarikat jika tidak sibuk dengan penggambaran dan waktu persekolahan.

Thursday, 19 January 2012

Jutawan Muda Kedai Al Ikhsan

Biar pelanggan 'komplen'

Pada usia 11 tahun lagi, Ali Hassan sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan menjual aiskrim yang dibuat ibunya. Hari ini, kesungguhannya dalam bidang perniagaan berbayar dengan sebuah empayar bernama aL-ikhsaN.




BAKAL menyambut hari ulang tahun ke-39 tahun lima hari lagi, lelaki yang masih muda ini bukan calang-calang ahli perniagaan.

Memupuk minat bisnes sejak kecil dengan prinsip hidup yang kuat berpegang kepada ajaran Islam, hari ini sebanyak 59 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud dan menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya.

Beliau adalah Ali Hassan Mohd. Hassan, pemilik rangkaian al-ikhsaN yang berkembang maju dalam tempoh 14 tahun.

Rangkaian kedai aL-ikhsaN bukan asing lagi dalam kalangan anak muda hari ini yang menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah.

Kejayaan mengembangkan kedai aL-ikhsaN sekali gus menghakis kritikan bahawa usahawan Melayu sering gagal dalam perniagaan serta menepis stereotaip bahawa orang Melayu sebagai malas dan layu.


ALI HASSAN (tengah) bergambar bersama stafnya di butik aL-ikhsaN Ampang.


Mercu tanda kejayaan empayar al-ikhsaN di seluruh negara sebenarnya bermula dengan urusan jual beli baju sukan berasaskan modal kecil dengan kelompok pelanggan yang tidak besar.

Ali Hassan menceritakan produknya pada masa itu hanya dijual kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

"Masa menuntut di universiti dulu, saya akan beli satu dan jual satu. Ketika itu, jualan kecil dan modal juga kecil. Jualan dibuat kepada rakan-rakan satu universiti dan juga pensyarah saya.

"Sewaktu di UTM, saya juga bekerja sambilan sebagai penghantar piza untuk menampung perbelanjaan pengajian dan sara hidup," katanya yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 1993.

Ketika ditanya mengenai biasiswa yang diterimanya, beliau berkata: "Memang saya ada terima biasiswa tetapi saya berikan semua kepada ibu kerana kami bukan orang senang."


AL-IKHSAN juga melebarkan butik perniagaannya sehingga ke Alor Setar, Kedah.


Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung untuk mengusahakan perniagaan.

Bercerita lanjut mengenai kebangkitan aL-ikhsaN, Ali Hassan memberitahu perniagaan pertamanya bermula di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri.

"Ketika itu, memang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas.

"Dapat sahaja barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja asalkan boleh dijual," katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya.


BUTIK aL-ikhsaN mendapat sambutan hangat di Johor Bahru, Johor.



VARIASI bekas minuman air Umbro.



BEG jenama Adidas yang terkini di pasaran.



PRODUK jenama popular antarabangsa seperti Adidas, Nike, Puma dan Umbro dijual pada harga berpatutan di aL-ikhsan.


Beliau mula mengusahakan perniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.

"Mulanya, saya berniaga kerana mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak tetapi kemudian ia menjadi lebih serius kerana pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkan barangan sukan," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik.

Sambil meninjau susunan peragaan barang jualannya, beliau menyatakan dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada, antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha.

"Walaupun kita gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada.

"Ini penting untuk kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun. Bila orang melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya.

"Apa sahaja kita kena sabar.... perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka 'komplen'," katanya yang berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih baik lagi.

"Saya masih ingat lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit dan banyak kekurangan. Itu tidak ada...ini tidak ada. Jadi, saya berusaha mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.

"Ambil sahaja apa 'komplen' pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu melihat perniagaan kita berkembang," katanya.

Resipi kejayaan selama ini yang didukung dalam diri Ali Hassan sebenarnya berpaksikan sepenuhnya kepada tuntutan dalam agama Islam.

"Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah.

Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.

"Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya... kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar," jelasnya.

Selain pegangan kukuh pada tuntutan agama, senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua lapisan masyarakat.

"Apa yang paling penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi.

"Kebanyakan produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai ini.

"Malah, setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di sini pada hari yang sama," tambah beliau.

aL-ikhsaN Sport turut menyediakan kelengkapan sukan bertaraf antarabangsa yang mana produk yang ditawarkan adalah eksklusif dan berkait rapat dengan arena sukan dunia seperti Liga Bola Sepak England, Piala Eropah (Euro), Formula Satu (F1), Sukan Olimpik Beijing serta Piala Dunia 2010.

Berhubung kesukaran dalam perniagaan yang dialami, beliau berkata, mengekalkan pekerja dalam industri peruncitan merupakan perkara utama memandangkan pemilihan kerjaya pekerja dalam industri tersebut masih lemah.

"Turnover staf adalah tinggi dalam industri peruncitan tetapi kami di aL-ikhsaN masih bagus lagi kerana kami memberikan pakej yang terbaik seperti motivasi dan latihan di ibu pejabat kami di Johor," katanya

Kematian yang didalangi Israel

Misteri kematian para saintis dunia


Kematian pakar nuklear Iran, Mostafa Ahmadi Roshan dikatakan didalangi Israel. - gambar hiasan


INSIDEN kematian aneh atau misteri para saintis dunia banyak menjadi tanda tanya oleh penghuni maya pada ini. Apakah sebab di sebalik kematian mereka? Siapakah yang menjadi dalangnya?

Bahkan beberapa hari yang lalu, diberitakan di Teheran, sebutir bom magnet yang dilekatkan pada sebuah kereta oleh seorang penunggang motosikal meletup di sebuah universiti sekali gus mengorbankan saintis nuklear Iran, Mostafa Ahmadi Roshan. Agensi berita lain menyatakan, dalangnya adalah Israel.

Inilah kejadian yang dianggap misteri dan aneh. Sebenarnya peristiwa ini sudah lama terjadi. Kisah ini juga dikatakan telah dijadikan sebagai sebuah novel.

Berikut sejarah mengenai para saintis dunia yang menerima nasib malang tersebut:

* Doktor Ivan Glebov dan Doktor Alexi Brushlinski (kedua-duanya meninggal dunia Januari 2002).

Glebov dan Brushlinski adalah pakar mikrobiologi dari Rusia. Mereka anggota Akademi Sains Russia. Kedua-duanya terbunuh akibat serangan yang didakwa dilakukan anggota mafia Rusia di Moscow.

* Tanya Holzmayer (usia 46 tahun, meninggal dunia 28 Februari 2002). Pada hari nahas, beliau yang merupakan ahli mikrobiologi berasal dari Rusia ditembak oleh rakan sekerjanya bernama Guyang Huang, 38. Setelah menembak Holzmayer, Huang menembak dirinya sendiri dan turut maut. Mereka berdua diketahui sedang meneliti sistem pertahanan tubuh terhadap virus HIV.

* Robert Leslie Burghoff, 45, (seorang saintis bidang virus) meninggal dunia pada 20 November 2003 akibat dilanggar lari di South Braeswood, Texas).

* Roman Kuzmin, 24, mahasiswa di Universiti Connecticut yang berasal dari Rusia meninggal dunia pada Disember 2002 akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan. Kuzmin dikenali sebagai seorang mahasiswa yang sangat cerdas dan berdedikasi dalam ilmu bedah tulang.

* Dr. Roger (meninggal dunia pada musim panas tahun 2003).

* Robert Aranosia, 61, (seorang peneliti perubatan) meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 18 Disember 2003.

* Todd Kauppila, 41, meninggal dunia pada 8 Mei 2005. Beliau merupakan ahli dalam bidang organ di Hospital Los Alamos. Kematiannya misteri.

* Leonid Strachunsky (meninggal dunia 8 Jun 2005). Beliau adalah membuat sistem pertahanan mikrob bagi senjata kimia. Ditemui mati di bilik hotelnya di Moscow dalam perjalanan dari Smolensk ke Amerika Syarikat (AS).

* Mohammed Munim al-Izmerly (meninggal dunia April 2004). Saintis Iraq ini ditembak tepat di kepalanya dalam suatu insiden di AS.

* Ilsley Ingram, 84, meninggal dunia pada 12 April 2004 dalam kes yang masih misteri. Beliau adalah Pengarah Supraregional Haemophilia Reference Centre di St. Thomas Hospital di London.

* William T. McGuire, 39, meninggal dunia pada 5 Mei 2004. Beliau adalah saintis kanan di NJ University dan Penganalisis Kanan Program di New Jersey Institute of Technology di Newark. Beliau adalah salah seorang pakar dunia di bidang mikrobiologi.

* Antonina Presnyakova, 46, meninggal dunia pada 25 Mei 2004. Seorang saintis Rusia yang bekerja dalam senjata biologi di sebuah makmal di Siberia. Keterangan menyebutkan beliau meninggal dunia akibat virus Ebola.

* Dr. Paul Norman, 52, meninggal dunia pada 27 Jun 2004. Seorang yang cerdik dalam bidang senjata kimia dan biologi. Terbunuh dalam kemalangan pesawat tunggal, Cessna 206 di Devon.

* Dr. Larry Bustard, 53, meninggal dunia pada 2 Julai 2004 tanpa sebab yang jelas. Beliau merupakan saintis terkenal dan bersama pasukannya mengembangkan teknologi baru melawan serangan senjata biologi dan kimia di Department of Energy Laboratorium Sandia di Alburqueque.

* Profesor John Clark, 52, meninggal dunia pada 12 Ogos 2004. Beliau adalah pakar bioteknologi yang berjaya mengembangkan teknik modifikasi bagi beberapa tema penelitiannya, antara lain dalam teknologi pengklonan.

* Mohammed Toko Hussein al-Talakani, 40, meninggal dunia pada 5 September 2004.

Beliau ialah seorang ilmuwan fizik nuklear di Iraq sejak tahun 1984. Dia ditembak oleh orang yang tidak dikenali di Mahmudiya, Baghdad Selatan.

* Matthew Allison, 32, meninggal dunia pada 13 Oktober 2004. Saintis ini terbunuh ketika beliau membuka keretanya di Osceola County, Floridfa.

Kereta Allison terus meletup ketika beliau membuka pintunya. Beliau adalah seorang peneliti di bidang Biologi Molekul dan Bioteknologi.

* Dr. Jose Trias dibunuh pada 19 Mei 1994. Beliau dan isterinya dibunuh di rumah mereka di Chevy Chase, Maryland, AS. Sebelum kematian mereka, Trias bertemu seorang wartawan sahabat mereka dan menceritakan jika mereka mendedahkan perbuatan jenayah Howard Hughes Medical Institute yang juga penderma sejumlah penelitian ilmiah untuk operasi hitam.

* Dr. Jawad al-Ubaidi meninggal dunia di Iraq tahun 1994. Beliau adalah doktor kelahiran Iraq lulusan Universiti Cornell. Beliau direkrut untuk memimpin projek penelitian Biowar Mycoplasma, di mana salah satu projek adalah memberi muatan daripada gerakan super cepat. Media massa mendakwa beliau dibunuh oleh Mossad.

Ramai lagi yang menjadi misteri kematian aneh para saintis dunia jika disebutkan satu persatunya sejak tahun 1990-an hingga terkini.

Walaupun begitu, di sebalik kematian ratusan saintis dunia, semua itu berkaitan dengan program pembatasan populasi umat manusia yang memang telah lama dilancarkan oleh konspirasi global.

Perang adalah program yang paling jelas boleh dilihat, sedangkan operasi-operasi tertutup lainnya adalah dengan menyerang suatu negara atau wilayah dengan penyakit, wabak ataupun dengan menyusupkan agen-agen kimia pembunuh ke dalam bahan makanan dan ubat-ubatan seperti yang telah dilakukan mereka dalam menunggang Codex (makanan dan minuman yang boleh membinasakan manusia).

Siapakah yang dimaksudkan dengan konspirasi global? Apa sebenarnya agenda besar mereka sehingga mengorbankan ratusan para saintis dunia ketika ini?

Kelompok konspirasi global merupakan kelompok yang sangat berpengaruh, super kaya, anti agama langit (namun mempersembahkan dirinya untuk melayani iblis) dan memiliki banyak nama dan kelompok seperti Freemasonry, Zionis, Liberalis dan sebagainya.

Mereka bergerak di semua bidang kehidupan terutama ekonomi, politik dan media massa mahupun hiburan.

Untuk mendukung semua itu mereka dengan serius juga menguasai industri ketenteraan dunia.

Agenda mereka apa yang disebut Order Baharu Dunia. Pelaksanaan mereka menuju ke arah itu yang disebut sebagai globalisasi walaupun mengorbankan banyak nyawa manusia, demi mencapai matlamat dan tujuan mereka.

Mereka telah melempar jauh-jauh dasar tauhid kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka telah mewarisi warisan Namrud dan Firaun. Semua agama langit (samawi) tinggal sekadar kulit luarnya sahaja, dan majoriti manusia telah memeluk agama baharu iaitu pluralisme dan liberalisme yang kononnya dianggap universal.

Tuesday, 17 January 2012

Usahawan Cemerlang

Peluang menjana pendapatan lumayan


Antara produk sejuk beku yang dihasilkan oleh Halimah Saadiah Abdullah di PBU, Serdang, Selangor.


JIKA diberi peluang saya juga ingin menyertainya," ujar Mohd. Ariff Izwan Rahmat, 29 seorang usahawan makanan sejuk beku.

Beliau berkata demikian setelah melihat sendiri kejayaan yang ditunjukkan oleh isterinya, Raja Nazatul Shima Raja Ahmad, 29 yang merupakan seorang lepasan Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian.

Ujar Mohd. Ariff Izwan, sebelum ini beliau sememangnya seorang usahawan produk makanan namun ia tidak serancak seperti mana selepas isterinya menyertai kursus tersebut.

"Namun semenjak isteri saya menyertai kursus tersebut ia bagaikan satu pembaharuan dan keyakinan terhadap bidang ini semakin bertambah.

"Tambahan pula isteri saya kini turut menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang usahawan produk makanan, kini saya pula menjadi pembantunya dan bersama-sama mengusahakan perniagaan sejuk beku ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Pasangan tersebut yang menumpukan perhatian terhadap produk sejuk beku seperti karipap turut mengakui kadang-kala mereka tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan yang diterima.

Jelas Raja Nazatul Shima, pada awalnya dia tidak berminat dengan bidang usahawan tersebut dan selepas sahaja menamatkan pengajian bidang Diploma Pertanian dia terus berusaha mencari pekerjaan di sektor awam.

"Ketika sedang mencari kerja di Jabatan Pertanian saya 'bertemu' dengan kursus ini.

"Lalu tanpa berfikir panjang saya menyertainya dan setelah setahun saya menamatkan kursus tersebut, kini saya mampu tersenyum dengan pendapatan yang diperoleh," katanya.

Tambah Raja Nazatul Shima, pada peringkat permulaan ibu bapanya seakan tidak menggalakkan dia bekerja dalam sektor awam sama seperti mereka.

Namun, setelah berusaha menerangkan usahanya serta melihat kejayaan yang ditunjukkan, kini, mereka merupakan antara pendorong dan penyokong kuat dirinya untuk meneruskan perniagaan tersebut.

"Saya menyertai kursus tersebut pada tahun lepas dan kini selepas hampir setahun saya berjaya menghasilkan hampir 10 jenis kuih muih sejuk beku.

"Saya juga kadang-kala menerima tempahan untuk perkahwinan melibatkan kuih seperti karipap dan pisang goreng akan digoreng ketika majlis berlangsung dan di makan panas-panas," katanya.

Biarpun idea tersebut masih baru untuk majlis-majlis perkahwinan, namun ia telah diterima dengan baik malah tempahan untuk tujuan tersebut juga banyak diterima oleh mereka.

Kini, pasangan tersebut sedang berusaha membesarkan perniagaan mereka dan sedang mencari kedai yang bersesuaian untuk menubuhkan sebuah syarikat.

Dalam pada itu, menurut Halimah Saadiah Abdullah, 42, sebelum menyertai Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan kelolaan Jabatan Pertanian tersebut, dia telah menjalankan perniagaan produk bakeri.

"Saya telah bersama Jabatan Pertanian dalam mengusahakan produk bakeri sebelum ini selama tujuh tahun.

"Pada tahun 2009 saya menyertai pula kursus ini dan selepas menyertainya saya mendapati ia lebih baik daripada kursus-kursus sebelum ini kerana mengandungi pelbagai ilmu berkenaan perniagaan serta pengisiannya lebih baik," katanya.

Tambah Halimah Saadiah, kini perniagaannya bergerak di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga promosi secara individu.

Biarpun masih belum memiliki kedai sendiri, namun Halimah Saadiah memiliki beberapa tapak pasar tani serta pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

Mensasarkan penggemar karipap, Halimah Saadiah memperkenal beberapa resipi baru antara ialah karipap berintikan cendawan, ayam, daging, sardin, udang kering juga kentang.

Malah, beliau juga turut memperkenalkan produk sejuk beku seperti donut dan donut sosej selain produk istimewanya iaitu roti arab.

Katanya, berniaga sendiri adalah lebih mudah untuk menentukan pendapatan, jika mahukan pendapatan lebih maka perlulah berusaha dengan lebih gigih.

Dia yang bekerja sendiri mengakui menjadi seorang usahawan pastinya ada naik turun dalam perniagaan dan penat lelah tersebut berbaloi jika melihat pendapatan lumayan yang diterima.

Biarpun berniaga hanya di pasar malam, namun pendapatannya kadang-kala mencecah ribuan ringgit malah mampu menyaingi mereka yang makan gaji.

Kini beliau dibantu oleh anak saudara dan keluarga untuk menghasilkan produk-produknya serta dalam proses untuk berpindah ke kawasan baru yang lebih dekat dengan PBU Serdang.

Apa yang pasti, kejayaan peserta Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian bukan sahaja hasil daripada modul serta pengisian kursus yang bagus namun ia turut bergantung sepenuhnya kepada individu yang menyertainya.

Jika mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya pastinya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun jika diberikan peluang sedemikian pastinya merupakan satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan.

Monday, 16 January 2012

Kanak-kanak 12 tahun buat RM10000 sebulan

Jenama bantu konsistensi bisnes

ZAIDI mengakui pewangi One Drop Perfumes telah menggandakan pulangan perniagaan sejak beliau menceburinya.


TIAP kali mendapat pulangan perniagaan, tidak kira kecil atau besar jumlahnya, ia menjadi pemangkin kepada peniaga untuk terus berusaha dan menggandakan keuntungan.

Walaupun bukan semua perniagaan atau perkhidmatan menjanjikan pulangan serta-merta, masih terdapat jenis perniagaan yang mudah untuk dijalankan dengan pulangan wang segera jika dikendalikan dengan baik.

Bagi Mohd. Zaidi Jaafar, 40, sejak mengenali jenama pewangi badan tanpa alkohol, One Drop Perfumes, ia telah memberikan nafas baharu kepada perniagaan kecil-kecilannya di Bentong, Pahang.

Mengimbas detik apabila didekati seorang rakan niaga dan pemborong pewangi One Drop Perfumes dari Kuala Lumpur, Salmah Ismail, 38, kira-kira empat tahun lalu, Zaidi tidak menyangka pewangi itu mempunyai pengikut setia sehingga ke hari ini.

“Ia diperkenalkan sejak awal lagi kepada saya, iaitu pada tahun 2008. Saya mula menerima dan menjual seperti bahan kosmetik dan penjagaan diri yang lain. Saya sedikitpun tidak sangka nama One Drop Perfumes merebak dengan cepat sekali gus membantu melonjakkan perniagaan saya,” katanya yang menjadi stokis tunggal di negeri Pahang.

Tarikan

Tambahnya, sejak awal lagi One Drop Perfumes mempunyai tarikan tersendiri dari segi pembungkusan, variasi yang berbeza dalam satu kotak, mudah dibawa, harga berpatutan dan tawaran jenis haruman seperti pewangi berjenama.

Malah, rakan niaga Zaidi, Salmah juga mengakui kenyataan tentang tarikan One Drop Perfumes yang sangat khusus itu.

“Dari segi bisnes pula, kita tidak perlu membuat apa-apa kerana pihak pengurusan One Drop Perfumes membuat promosi dan publisiti yang secukupnya.

“Ia diikuti dengan pelbagai jenis pertandingan dan promosi perayaan yang banyak membantu menggandakan lagi jualan,” ujar mereka.

Dengan tempahan RM30,000 untuk seminggu bagi One Drop Perfumes, Zaidi sudahpun berada dalam zon selesa dengan jualan dan pulangan yang diperolehnya. Tahun-tahun 2009 dan 2010 dikatakan sebagai tahun kemuncak apabila ia adalah tahun paling banyak jualan.

“Selain dibeli untuk kegunaan peribadi, ramai yang memilih One Drop Perfumes sebagai hadiah perseorangan dan hadiah musim perayaan. Kualiti wangian dan harga yang murah lagi berpatutan ini telah membantu perniagaan saya terus konsisten,” kata bapa kepada enam orang anak itu.

Memilih wangian kesukaan peribadi, Dunhill dalam kotak hitam, Zaidi sendiri tidak ketinggalan menggunakan wangian One Drop Perfumes setiap kali keluar rumah.

Manakala, bagi Salmah pula, haruman Apple Blossom menjadi pilihannya dan kebanyakan pelanggan yang telah mencubanya.

“Ia mempunyai wangian yang sangat sedap dan menarik.” Selain itu, Salmah juga menyukai wangian Baby Jazz dan Ephipany untuk suaminya.

“Daripada pengalaman sendiri dan peniaga seperti Zaidi, saya jamin One Drop Perfumes mempunyai keistimewaan tersendiri. Khususnya bagi mereka yang suka wangian, ia akan menjadi serasi dengan diri anda,” kata Salmah.

Peniaga kanak-kanak

Beliau turut berkongsi kisah seorang peniaga muda, kanak-kanak berusia 12 tahun yang membeli pewangi One Drop Perfumes secara borong daripada Salmah untuk dijual di pasar malam dan rumah ke rumah.

“Kisahnya pernah keluar di akhbar. Kanak-kanak itu ialah antara contoh bagaimana One Drop Perfumes mampu mengubah seorang kanak-kanak kepada peniaga yang memperoleh pendapatan RM10,000 sebulan.”

Dalam pada itu, Kosmo! juga sempat menemui seorang peniaga One Drop Perfumes berbangsa Cina yang kebetulan hadir membeli pewangi tersebut di kedai Salmah.

Chua Boon Kooi dari Sungai Besi memberitahu dia mula menjual produk tersebut sejak dua tahun lalu.

Respons yang menakjubkan daripada rakan-rakan dan saudara-mara membuatkannya kerap membeli secara borong setiap bulan daripada Salmah.

Friday, 13 January 2012

Cara tanam kacang tanah

Tips tanam kacang tanah

KACANG tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya. Ia mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya.

Kacang tanah adalah merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan.

Keperluan bentuk muka bumi dan keadaan tanah

l Tanah rata hingga sedikit bercerun

* Tiada kejadian air bertakung dengan saliran air yang baik

* Kedalaman tanah melebihi 50 sentimeter (sm) dengan tekstur tanah yang longgar

* pH 5.5 - 7.0

Penanaman

Penyediaan tanah

* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik - balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik.

Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai.

Kadar biji benih dan jarak tanaman

* Kadar biji benih yang disyorkan adalah 60kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam.

* Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 sm x 10 sm, sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok /hektar.

* Menanam boleh menggunakan tugal atau mengunakan jentera.

Pembajaan

* Kadar pembajaan yang biasa adalah 34:56:56 kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah.

* Kacang tanah memerlukan unsur kalsium yang lebih terutama pada peringkat pembentukan lengai mana kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi.

* Sumber kalsium ini boleh didapati dari kapur dan disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga.

Pengawalan rumpai

* Racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.

* Merumpai pusingan pertama boleh dijalankan pada antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam.

Kawalan perosak

* Ulat daun seperti Spodotera litura dan Heliothis arnigera boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.

* Perosak lengai, Etella zinckenella juga boleh dikawal dengan racun serangga Diazinon.

* Tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar. Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan dapat mengurangkan serangan tikus di samping penggunaan racun dan umpan.

Kawalan penyakit

* Layu bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum menyebabkan pokok layu dan mati.

* Mozek kacang tanah yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua.

* Penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman.

Pemungutan hasil

* Hasil kacang tanah boleh dikutip antara di antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam.

* Anggaran hasil adalah tiga hingga 3.7 tan/ha.