Home » » Kopitiam Tan Cina Muslim Halal

Kopitiam Tan Cina Muslim Halal

Written By kall on Tuesday 6 December 2011 | 07:24

Aroma En. Tan Kopitiam


Muhammad Nazri Tan Abdullah bersama isterinya, Norhaliza Abd. Jalil di restoran mereka di Sri Rampai Bussiness Park, Kuala Lumpur.


BERBEKALKAN pengalaman selama 15 tahun dalam bidang makanan dan minuman, Muhammad Nazri Tan Abdullah memberanikan diri melangkah setapak lagi dengan membuka restoran ala kopitiam.

Biar pun tanpa modal yang besar, ditambah pula kedudukan kedai agak terlindung dari pandangan orang ramai, namun dia bersyukur kerana sejak dibuka pada 16 Oktober lalu, restorannya tidak putus dikunjungi pelanggan.

"Alhamdulillah, walaupun baru dua bulan dibuka sambutan yang diperolehi amat baik sekali," katanya.

Berkonsepkan masakan Cina, En. Tan Kopitiam Muslim menawarkan pelbagai pilihan makanan oriental dan barat dengan resipi yang diolah sendiri oleh pemilik.

Terletak di Rampai Business Park, Kuala Lumpur, restoran itu dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 11 malam dan ditutup pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat.

Muhammad Nazri yang memeluk Islam sejak 18 tahun lalu memberitahu bahawa masakan Cina mementingkan aroma yang wangi dalam setiap hidangan bagi membangkitkan selera.

"Untuk memperolehi sajian begini, pemilihan bahan yang berkualiti serta cara masakan dengan api yang bersesuaian amat penting mendapat hasil enak dan asli.

"Sebagai contohnya hidangan nasi goreng Yong Chaw yang terkenal dalam menu di restoran Cina dimasak menggunakan kuning telur dan api yang kuat bagi membangkit aroma yang harum dan menyelerakan," ujarnya.

Salah satu makanan yang menjadi permintaan hangat di restoran itu adalah chicken chop yang disajikan dengan dua pilihan sos istimewa iaitu mongolia dan lada hitam.

Rasa sos mongolia yang masam manis sememangnya unik dan memberikan pengalaman berbeza kepada tunas rasa yang kebiasaannya menikmati makan barat dengan sos lada hitam atau cendawan sahaja.

Kesukaran untuk mencari restoran ala kopitiam yang dijamin halal menjadi pendorong untuknya memulakan perniagaan itu.

Keistimewaan lain yang ada pada restoran ini adalah terdapat ruangan kreatif untuk kanak-kanak melukis dan mewarna di samping dilengkapi dengan kemudahan surau dan WiFi.

Menu lain disediakan adalah nasi goreng ikan masin, bubur nasi ayam, kuey teow sup ayam, char kuey teow, assam laksa, dumpling noodle, sup cendawan, fish and chips fried rice, dan spaghetti bolognese.

Selain itu, pelanggan juga dihidangkan dengan pelbagai pilihan roti bakar seperti roti bawang putih, roti black and white, dan roti arab yang di sapu dengan mentega berkualiti tinggi.

Sementara itu, kopi putih asli dari Ipoh boleh dinikmati dalam minuman En. Tan White Coffee yang 'kaw' dan Mrs. Tan White Coffee yang lebih lembut.

Bagi yang tidak menggemari kopi anda pasti tertarik dengan pilihan minuman dengan nama yang begitu mempersonakan seperti Fall in Love, Blue Angel, Labrum Flame, Second Heaven, Virgin Mohito dan Midnight yang merupakan campuran beberapa perisa minuman buah-buahan, soda dan susu.

Dalam pada itu, pemilik juga bercadang memperkembangkan lagi menu kepada masakan lain seperti tomyam bagi mengikut selera dan permintaan pelanggan.