Pages

Friday, 16 December 2011

Jutawan beriman pilihan pengasas sendayu tinggi


Patut jadi ikutan pada semua muslim muslimatt dalam mengejar impian .





Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.


Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.

Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.

Nilai sepuluh sen

Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.

Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.

Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.

Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.

Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.

Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.

Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.
Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.

Kini mula berpurdah

Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.

Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.

“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .

Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?

Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini. Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.

Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.

Tuesday, 6 December 2011

Kopitiam Tan Cina Muslim Halal

Aroma En. Tan Kopitiam


Muhammad Nazri Tan Abdullah bersama isterinya, Norhaliza Abd. Jalil di restoran mereka di Sri Rampai Bussiness Park, Kuala Lumpur.


BERBEKALKAN pengalaman selama 15 tahun dalam bidang makanan dan minuman, Muhammad Nazri Tan Abdullah memberanikan diri melangkah setapak lagi dengan membuka restoran ala kopitiam.

Biar pun tanpa modal yang besar, ditambah pula kedudukan kedai agak terlindung dari pandangan orang ramai, namun dia bersyukur kerana sejak dibuka pada 16 Oktober lalu, restorannya tidak putus dikunjungi pelanggan.

"Alhamdulillah, walaupun baru dua bulan dibuka sambutan yang diperolehi amat baik sekali," katanya.

Berkonsepkan masakan Cina, En. Tan Kopitiam Muslim menawarkan pelbagai pilihan makanan oriental dan barat dengan resipi yang diolah sendiri oleh pemilik.

Terletak di Rampai Business Park, Kuala Lumpur, restoran itu dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 11 malam dan ditutup pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat.

Muhammad Nazri yang memeluk Islam sejak 18 tahun lalu memberitahu bahawa masakan Cina mementingkan aroma yang wangi dalam setiap hidangan bagi membangkitkan selera.

"Untuk memperolehi sajian begini, pemilihan bahan yang berkualiti serta cara masakan dengan api yang bersesuaian amat penting mendapat hasil enak dan asli.

"Sebagai contohnya hidangan nasi goreng Yong Chaw yang terkenal dalam menu di restoran Cina dimasak menggunakan kuning telur dan api yang kuat bagi membangkit aroma yang harum dan menyelerakan," ujarnya.

Salah satu makanan yang menjadi permintaan hangat di restoran itu adalah chicken chop yang disajikan dengan dua pilihan sos istimewa iaitu mongolia dan lada hitam.

Rasa sos mongolia yang masam manis sememangnya unik dan memberikan pengalaman berbeza kepada tunas rasa yang kebiasaannya menikmati makan barat dengan sos lada hitam atau cendawan sahaja.

Kesukaran untuk mencari restoran ala kopitiam yang dijamin halal menjadi pendorong untuknya memulakan perniagaan itu.

Keistimewaan lain yang ada pada restoran ini adalah terdapat ruangan kreatif untuk kanak-kanak melukis dan mewarna di samping dilengkapi dengan kemudahan surau dan WiFi.

Menu lain disediakan adalah nasi goreng ikan masin, bubur nasi ayam, kuey teow sup ayam, char kuey teow, assam laksa, dumpling noodle, sup cendawan, fish and chips fried rice, dan spaghetti bolognese.

Selain itu, pelanggan juga dihidangkan dengan pelbagai pilihan roti bakar seperti roti bawang putih, roti black and white, dan roti arab yang di sapu dengan mentega berkualiti tinggi.

Sementara itu, kopi putih asli dari Ipoh boleh dinikmati dalam minuman En. Tan White Coffee yang 'kaw' dan Mrs. Tan White Coffee yang lebih lembut.

Bagi yang tidak menggemari kopi anda pasti tertarik dengan pilihan minuman dengan nama yang begitu mempersonakan seperti Fall in Love, Blue Angel, Labrum Flame, Second Heaven, Virgin Mohito dan Midnight yang merupakan campuran beberapa perisa minuman buah-buahan, soda dan susu.

Dalam pada itu, pemilik juga bercadang memperkembangkan lagi menu kepada masakan lain seperti tomyam bagi mengikut selera dan permintaan pelanggan.

Asparagus tanaman bernilai tinggi

Asparagus tanaman bernilai tinggi


Sulur muda asparagus dikutip sebagai sayuran yang berkhasiat dan bernilai tinggi.


ASPARAGUS merupakan antara sayur yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Biasanya ia ditanam secara komersial oleh para pengusaha dan jarang di tanam secara kecil-kecilan.

Namun, bagi yang gemar berkebun boleh mencuba untuk menanam asparagus di kawasan rumah mereka.

Penyediaan kawasan

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan. Lebar batas satu meter, tinggi antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialan 0.6- 1.0 meter.

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5 dan 6.5, jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan. Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman dan penjagaan

Biji benih perlu disemai dalam polibeg hitam yang sesuai dengan menggunakan media tanah campuran tiga bahagian tanah atas: Dua bahagian bahan organik: Satu bahagian pasir dan ditambah ½ bahagian sabut kelapa.

Letak satu atau dua biji benih dalam polibeg dan biji benih akan bercambah antara tujuh dan 14 hari dan anak benih dibiarkan selama antara lapan dan 10 minggu ditapak semaian.

Ia perlu disiram setiap hari dan sekurangnya 50 peratus teduhan.

Rumpun asparagus yang berumur lebih setahun boleh dibelah dan dipindahkan sebagai bahan tanaman. Pastikan tunas sulur subur dan mempunyai akar yang mencukupi. Tanam tunas sulur secepat mungkin. Pendedahan kepada cahaya matahari dan angin akan menjejaskan pertumbuhan tunas sulur.

Jarak tanaman yang sesuai ialah satu meter antara barisan pokok dan penanaman sebaris didalam batas adalah sesuai bagi asparagus kerana memudahkan pengurusan tanaman.

Kawalan rumpai

Pengawalan rumpai penting untuk menjamin hasil yang tinggi. Kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.

Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar. Tetapi ia bergantung pada kesesuaian tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan .

Pembajaan dibuat antara tiga dan empat minggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8: 8:8: (80-100 gm/rumpun diselangkan dengan baja NPK biru 12:12:17 (50-80 gm/rumpun) adalah disyorkan dan ditambah bila rumpun membesar.

Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15-20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelakkan larut resap ke udara. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan baja kimia dengan baja organik.

Pemangkasan

Proses pemulihan dilakukan supaya keseimbangan bilangan batang dan daun yang cukup untuk aktiviti fotosintesis serta kegunaan pembesaran selepas melalui aktiviti kutipan hasil.

Program pemulihan memerlukan antara dua dan tiga bulan dan tinggalkan tiga dan empat pokok matang setiap rumpun.

Asparagus perlu dicantas tiga atau empat kali setahun mengikut kesesuaian pokok. Semua pokok matang perlu dicantas di paras tanah dan tinggalkan sulur baru yang dipotong sebagai hasil segar dan yang tidak sesuai biarkan ia membesar.

Perosak dan penyakit

Serangan penyakit layu pucuk (Fusarium sp) menyebabkan pucuk muda hitam ,layu dan terus kering. Serangan kulat Puccinia asparagi menyebabkan tanda bintik hitam atau merah pada batang dan daun.

Penyakit ini dikawal dengan memotong dan musnahkan bahagian yang diserang atau dibuat semburan racun kulat yang sesuai.

Ulat ratus (Spodoptera sp) yang menyerang bahagian pucuk dan dahan dan ulat pangkas memakan bahagian pucuk dan daun,jika serangan serius lakukan semburan menggunakan racun yang sesuai.

Penuaian hasil

Hasil pertama boleh dituai selepas lapan hingga 10 bulan ditanam. Aparagus boleh dituai dalam bentuk tunas putih atau tunas hijau .

Asparagus hijau dimakan segar dan yang putih ditinkan. Bagi mendapatkan asparagus putih rumpun ditimbus tanah dan tunas akan membesar dalam tanah.

Kutipan hasil akan bermula selepas proses cantasan dilakukan,bagi satu musim tempoh kutipan hasil antara satu dan dua bulan. Sulur muda dipotong dengan pisau tajam di bawah paras tanah,elakkan kecederaan sulur muda lain.

Sulur berukuran 15-17 sm sahaja yang dituai. Kelewatan dituai menyebabkan sulur panjang meruncing, berserabut dan hujung sulur akan berkembang menjadi daun. Tuaian hasil antara 25 dan 30 kg seminggu sehektar boleh didapati dan boleh mencapai tiga atau lima tan sehektar/tahun.

Asparagus digred mengikut garis pusat dan panjang rebung, warna, kerapuhan, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit. Ia boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu jika disimpan dlam suhu 0-2 darjah celsius.

Saturday, 3 December 2011

Rahsia Warong Soto

Resipi rahsia Warong Soto Berlada


Kualiti dan kebersihan hidangan amat dijaga di Warong Soto Berlada.


ADUNAN rempah ratus yang disebatikan dengan ramuan tersendiri akhirnya menjadikan soto menu istimewa di Warong Soto Berlada.

Malah, tidak lengkap sekiranya soto tidak disajikan dengan bahan-bahan sampingan seperti isi ayam, begedil dan juga sambal cili kicap.

Sajian tradisional tersebut bukan sahaja mampu membuat anda terliur malah tidak sah sekiranya tidak mencuba barang sepinggan.

Warung terletak di Jalan AU 1A/2, Bengkel Mara, Taman Keramat, Selangor. Menurut Pengurusnya, Mohamad Ramadan, 31, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun.

Katanya, perniagaan tersebut pada asalnya diusahakan oleh arwah bapanya, Ahmad Safari Yunus bersama ibunya, pelakon veteran, Ruminah Sidek, yang dikenali dengan panggilan Mak Mah.

Tetapi kini ia diusahakan oleh adik-beradiknya yang lain dalam usaha mengingati usaha ibu bapa mereka itu.

"Jika hendak berbicara tentang perniagaan ini panjang ceritanya. Ia sememangnya diusahakan oleh arwah bapa dan juga ibu pada awal 70-an.

"Mereka mula berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kuala Lumpur dan juga di gerai di Dataran Merdeka yang ketika itu terkenal dengan gerai hidangan sate dan mi Jawa.

"Kemudian ia terhenti lebih kurang lima tahun selepas arwah ayah meninggal dunia sebelum ia beroperasi semula di Jalan Enggang dan diusahakan oleh kakak dan abang," ujarnya ketika ditemui di warung sotonya, baru-baru ini.

Tambahnya, selepas beroperasi selama tiga tahun di situ, gerai tersebut telah berpindah ke lokasi hari ini.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, mereka mempertaruhkan menu-menu berasaskan kuah dan sup. Sememangnya kesemua masakan yang disediakan di Warong Soto Berlada boleh diberikan pujian lima bintang.

Cukup sekadar menyajikan hidangan seperti soto, mi Jawa, mi kari, laksa, nasi ayam, nasi lemak dan rojak buah. Ia sudah memadai bagi peminat-peminat hidangan berkuah seperti itu.

Jelas Ramadan lagi, keistimewaan soto, mi Jawa dan mi karinya terletak pada kuahnya.

"Kesemua kuah yang dihasilkan sememangnya resipi asli turun temurun daripada ayah cuma kami olah sedikit untuk menyedapkannya lagi.

"Bahan-bahan yang digunakan sudah pasti yang segar dan berkualiti agar para pelanggan datang lagi pada masa akan datang.

"Alhamdulillah setakat ini pelanggan-pelanggan yang datang tidak hanya yang tinggal di sekitar Lembah Klang malah boleh dikatakan dari seluruh negara termasuk pelancong-pelancong luar," katanya.

Turut menjadi tempat persinggahan bagi selebriti-selebriti tanah air, Warong Soto Berlada memberi pelbagai pilihan soto kepada pelanggan seperti soto biasa, soto special dan juga soto taukeh.

Begitu juga dengan mi Jawa di mana anda boleh memilih sama ada mahukan yang biasa ataupun yang special.

Bagi hidangan nasi lemak pula, selain dibungkus dalam daun pisang, ia juga lebih sedap sekiranya dinikmati bersama paru goreng.

Kesemua hidangan yang terdapat di warung tersebut ditawarkan pada harga serendah RM1.20 sehingga RM9.

Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang menikmati karamel sebagai pencuci.

Tambah Ramadan, selain menerima tempahan, mereka kini dalam perancangan untuk menambah menu seperti sate dan juga pecal untuk memberikan kelebihan menu buat pelanggan.

Thursday, 1 December 2011

Cara tanam petola

Tips tanam petola


Petola antara sayuran yang sangat popular dan mendapat permintaan tinggi di pasaran. - Gambar hiasan


Persediaan tanah
Petola segi akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sm untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 1-1.2 meter,tinggi batas antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi,bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan.

Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.

Jika ditanam terus, gali lubang sedalam satu hingga dua sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.

Kadar biji benih yang diperlukan ialah lima kg/hektar.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat, tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah

Pemangkasan

Pemangkasan dilakukan dengan mencantas dahan sisi dan pucuk terutama cabang sisi yang tumbuh 30 sm dari paras tanah,ia bagi menggalakkan pertumbuhan batang utama supaya cepat memanjat "trelis "/junjung yang disediakan dan memperbaiki pengudaraan tanaman, mengurangkan pertumbuhan vegetatif dan menggalak pengeluaran buah.

penyediaan junjung

Petola segi memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem trelis boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak 3 meter.

Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai dibahagian atas dan bahagian bawah antara antara 20 dan 30sm dari permukaan tanah batas.

Tali rafia diikat antara dua dawai halus bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu

Pengairan

Pokok petola segi memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur,

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu sama

ada secara manual atau secara kimia ia dilakukan dua atau tiga bulan sekali, elakkan semburan pada tanaman.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di satu satu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangga yang biasa menyerang petola segi ialah lalat buah (Dacus sp), serangan pada buah yang menyebabkan buah berlubang dan busuk, buah muda yang diserang menjadi teruk dan berubah bentuk dan terbantut, pastikan buah petola dibungkus dan musnahkan buah yang diserang perosak.

Serangan kumbang daun (Aulacophora sp) pada bahagian akar dan daun oleh kumbang dewasa dan larva kumbang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman, gunakan racun yang sesuai sebagai kawalan

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati,buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Penuaian

Petola segi boleh dituai antara enam dan tujuh minggu selepas penanaman.

Tuaian hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara antara 50 dan 60 hari.

Anggaran hasil ialah 12-20 tan/hektar. Tangkai buah dipotong 1.5 sm dari tangkai buah,ia digred mengikut saiz, kesegaran dan tahap serangan penyakit serta serangga. petola segi tahan selama tiga hari tanpa menjejaskan kualiti jika disimpan pada suhu ambian.

Pada suhu 15 dan kelembapan kira-kira 95 peratus tahan disimpan selama dua minggu.