Home » » Enak burger Kaizer Xpress

Enak burger Kaizer Xpress

Written By kall on Monday 12 September 2011 | 07:30

BURGER halal dan premis yang selesa menjadi kelebihan Kaizer Xpress.


RENTETAN sambutan menggalakkan yang diterima daripada masyarakat, restoran makanan segera Kaizer Roasters & Burger yang terkenal di Melaka melebarkan sayapnya dengan membuka outlet ketiga di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memilih lokasi perniagaan di pusat beli-belah Mid Valley, outlet yang diberi nama Kaizer Xpress itu menyajikan pelbagai menu segera yang mampu memenuhi cita rasa pelanggan.

Variasi burger ayam, daging dan ikan serta lasagna antara menu utama yang boleh dinikmati di outlet yang mula beroperasi sejak empat bulan lalu.

Pemiliknya, Abdul Halim Alias, 38, berkata, pembukaan outlet itu dilakukan lantaran menyedari potensi cerah dalam perniagaan makanan segera terutama yang diusahakan oleh golongan Bumiputera.

“Jenama Kaizer Roaster mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu di Melaka dengan hidangan signatur ayam panggang yang lazat.

“Alhamdulillah, sejak itu nama produk kami terus menjadi sebutan di kalangan masyarakat. Justeru, saya tidak mahu ketinggalan untuk terus memasarkan jenama Kaizer di sekitar kawasan Lembah Klang melalui kios ini,” ujar Abdul Halim ketika ditemui Kosmo!.


ABDUL HALIM mahu jenama Kaizer Xpress dikenali di seluruh negara.


Mula ditubuhkan sejak tiga tahun lalu, Kaizer Roasters & Burger merupakan syarikat Bumiputera yang dimiliki oleh Kaizer Gourmet Worldwide (M) Sdn. Bhd.

Outlet sulung restoran tersebut mula dibuka di pusat beli-belah Jusco Melaka pada tahun 2009 diikuti cawangan kedua di Dataran Pahlawan, Melaka.

Tambah Abdul Halim, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk memfrancaiskan produk mereka bagi meluaskan lagi pasaran untuk jenama makanan segera Kaizer Xpress.

“Bagi golongan belia atau lepasan siswazah yang berminat menceburi bidang perniagaan makanan segera, peluang ini terbuka kepada mereka. Apa yang penting, ia tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakan bisnes ini.

“Namun demikian, kami masih dalam proses memohon lesen francais untuk melaksanakan perancangan yang telah dibuat,” jelasnya sambil memberitahu bahan-bahan mentah yang digunakan seperti bekalan daging, roti dan sebagainya diproses sendiri dan dijamin halal.


OUTLET Kaizer Xpress kini sudah berkembang ke Lembah Klang.


Selain itu, Abdul Halim turut melahirkan harapan untuk mengembangkan lagi jenama Kaizer Xpress ke seluruh negara dan bercadang untuk menjalin kerjasama dengan universiti tempatan.

0 comments: