Pages

Thursday, 25 August 2011

Jadi jutawan ambil tempahan langsir

Tempahan langsir tidak pernah surut



RUTIN bulan Ramadan bagi pasangan suami isteri, Mohamad Zaki Gering dan Norhaslinda Hassan@Atan, 35, sejak tiga tahun lalu tidak banyak berubah.

Tidak seperti pasangan berkahwin lain yang keluar bekerja setiap hari, aktiviti mereka bermula pada awal pagi. Di dalam bilik khas dalam rumah banglo setingkat pasangan itu menempatkan sebanyak empat buah mesin jahit.

Di bilik itulah, Zaki dan Norhaslinda bekerja setiap hari. Sambil memotong kain dan menjahit, pasangan itu mempunyai kelebihan berbanding pasangan lain kerana mereka dapat membesarkan sendiri anak-anak di depan mata.

Menurut Zaki yang pernah bekerja sebagai jurutera kerja menjahit langsir yang dilakukannya pada hari ini pada awalnya hanya membantu Norhaslinda. Bagaimanapun, pada hari ini, kerja sampingan untuk membantu isterinya itu bertukar menjadi kerjaya tetapnya.

“Dulu, saya hanya tolong isteri ambil ukuran langsir dan memasang langsir di rumah pelanggan tetapi disebabkan tempahan yang semakin banyak, akhirnya saya kini bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kg. Sungai Merab Hulu, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, pembahagian tugas amat penting bagi memastikan perjalanan bisnes langsir Adanis Chantek yang mereka jalankan sentiasa lancar.

“Walaupun selesa menjahit langsir, tugas itu lebih berat kepada Norhaslinda. Saya bertanggungjawab memantau tempahan di laman sosial Facebook kami dan mengambil ukuran di rumah pelanggan yang tinggal sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan.

“Pelanggan kami bukan sahaja di sekitar bandar-bandar berdekatan tetapi juga di seluruh negara.

“Bahkan, kami pernah menerima tempahan dari Sabah dan Langkawi di mana segala urusan dilakukan secara talian,” katanya.

Norhaslinda pula memberitahu, ketika hamil anak kedua, dia mabuk teruk tetapi ketika itu banyak tempahan perlu disiapkan segera.

“Akhirnya suami terpaksa membantu saya menjahit langsir. Dia mula belajar perlahan-lahan dengan saya sehinggalah mahir pada hari ini,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Musim perayaan


BERMULA daripada membantu isteri, akhirnya menjahit langsir menjadi sumber pendapatan kepada Zaki.


Menurut Norhaslinda, mereka suami isteri semakin sibuk dengan tempahan yang tidak pernah surut sepanjang tahun terutama pada musim perayaan.

“Untuk langsir baharu sempena Aidilfitri, pelanggan sudah hantar beberapa bulan sebelum Ramadan lagi, sebab ramai yang akan hantar pada musim perayaan.

“Jika mereka lambat hantar, kami terpaksa menolaknya kerana tidak sanggup melihat pelanggan kecewa sekiranya langsir yang ditempah tidak sempat disiapkan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Bekas pegawai sains sukan itu memberitahu, walaupun pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan, dia menjadikan pekerjaan itu sebagai batu loncatan untuk membuka perniagaan.

“Ketika bekerja dahulu, saya kumpulkan duit untuk menghadiri kursus menjahit langsir yang menelan kos sehingga RM700 untuk satu-satu kursus.

“Apabila sudah mahir, saya menjahit langsir untuk rumah sendiri terlebih dahulu sebelum mengambil tempahan,” katanya yang menawarkan lebih 15 rekaan langsir mengikut cita rasa pelanggan seperti Roman, Bamboo dan Timber Blinds.

Tambahnya, jadual mereka semakin padat sejak memasarkan perkhidmatan mereka melalui laman Facebook iaitu www.facebook.com/adanisch.antekcurtains.

Turut sibuk dengan bisnes menjahit langsir ialah pasangan suami isteri Noraini Abd. Rahman, 52, dan Zainal Mohd. Ali, 53. Kedua-duanya menjalankan perniagaan Aniza Textile and Fashion dari rumah mereka yang terletak di Taman Seri Jelok, Kajang.

Pengalaman jahit baju

Menurut Noraini, sudah tiga tahun dia menjahit langsir selepas mengikuti kursus pada tahun 2001. Pada masa yang sama, dia juga berpengalaman menjahit dan mengambil tempahan pakaian selama tiga dekad.

“Selepas lima tahun berkahwin, saya berhenti kerja dan mengambil upah menjahit baju.


FARAH menunjukkan sebahagian tempahan langsir yang sedang disiapkan.


“Kini saya mengambil upah menjahit langsir sahaja kerana ia lebih mudah berbanding menjahit baju yang memerlukan ketelitian dan lebih rumit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Noraini, dia selesa menjahit kerana selain minat yang mendalam, dia juga dapat memberi perhatian kepada lima orang anaknya kerana bekerja dari rumah.

“Dahulu, menjahit langsir memang sukar kerana rekaan langsir dahulu lebih rumit dan banyak perincian tetapi kini pelanggan lebih sukakan rekaan yang ringkas, mudah dipasang dan dibasuh,” katanya.

Begitupun, kepuasan menjahit langsir bagi Noraini adalah apabila dia mendapat pujian daripada pelanggan yang berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Pelanggan ni ada macam-macam jenis. Yang cerewet pun ada sehingga ada sahaja yang tidak kena dan saya perlu membuka jahitan dan menjahitnya semula.

“Tetapi, secara keseluruhannya saya gembira menjalankan bisnes ini kerana mendapat banyak maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya.

Menurut Noraini, musim perayaan adalah salah satu musim paling banyak orang menghantar tempahan tetapi tempahan juga banyak di kawasan-kawasan perumahan-perumahan yang baharu dibuka.

“Rumah-rumah baharu semestinya memerlukan langsir baharu. Sehubungan itu, perniagaan menjahit langsir tidak hanya bergantung pada musim perayaan.

“Kadang-kadang bila terlalu banyak tempahan dan tidak sempat menyiapkannya, saya akan hantar langsir-langsir itu untuk dijahit oleh rakan-rakan lain yang turut mengambil upah menjahit langsir,” katanya.

Tambah Noraini, untuk sebuah rumah teres dua tingkat, kos upah membuat langsir berharga sekitar RM2,500 hingga RM3,000, bergantung kepada jenis fabrik dan rekaan langsir.

“Ada fabrik yang murah dan ada yang mahal boleh dipilih pelanggan tetapi pelanggan juga boleh membawa fabrik mereka sendiri.

“Upah menjahit sebenarnya tidaklah terlalu mahal, sekitar RM1,000 sahaja untuk sebuah rumah tetapi yang mahal adalah fabrik untuk membuat langsir itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, kerjaya Noraini turut disokong oleh suaminya, Zainal yang merupakan seorang pesara tentera.

“Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa di rumah menolong isteri sahaja terutama menguruskan blog kami iaitu anizatextile.blogspot.com dan laman Facebook kami iaitu Aniza Textile and Fashiion. (double ii)

“Saya juga ke rumah-rumah pelanggan untuk mengambil ukuran langsir tetapi kami mengupah pekerja untuk memasang langsir yang sudah siap dijahit ke rumah-rumah pelanggan,” katanya.

Menurut Zainal, stok fabrik langsir yang dibeli daripada para pembekal terutamanya di Nilai, Negeri Sembilan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

“Saya akan mengambil gambar fabrik-fabrik ini untuk dimuat naik ke laman Facebook dan blog bagi memudahkan pelanggan-pelanggan kami yang jauh untuk membuat pilihan,” katanya.

Tuesday, 23 August 2011

Kerepek Tanjung Sepat ke Australia





KETIKA pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) sibuk membuat kuih dan kerepek bagi memenuhi permintaan menjelang perayaan, lain pula dengan Siti Noraini Markom, 50.

Dia yang dikunjungi rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di premisnya di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, bersama-sama suaminya, Mohd. Noor Sukimi sibuk memunggah produk IKS keluaran syarikat mereka untuk dihantar ke Australia.

Mengapa sampai ke Australia? Kenapa tidak di pasaran tempatan?

“Sekarang banyak sangat usahawan IKS yang membuat kerepek dan pasaran di sini tidak terlalu besar.

“Jadi apa salahnya saya mencuba rezeki di Australia. Saya merancang untuk memasarkan produk saya ke Filipina selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Bekas kerani pejabat swasta di pekan Banting itu memulakan usahanya dengan menjual biskut bangkit kelapa resipi arwah ibunya.

“Sememangnya kuih bangkit buatan ibu memang sedap sehingga saya mengambil keputusan membuat dan menjualnya semasa musim perayaan,” katanya.

Ketika itu, dia membeli ketuhar bagi menghasilkan biskut bangkit kelapa sebelum membeli dapur gas yang kecil.

Bagaimanapun Siti Noraini terfikir sampai bila dia akan berniaga secara bermusim.

Justeru, dia mula menjual kuih bangkit kelapa dan menjualnya dengan berbasikal sekitar kampung, kantin sekolah dan kedai runcit.

Perniagaan itu terus berkembang dan kesibukan menguruskan perniagaan berseorangan memaksanya menggaji dua orang pembantu dan membuat jadual penghantaran apabila 300 buah kedai runcit mula menerima kuih bangkit kelapa buatannya.

Walaupun masih bekerja sebagai kerani di syarikat swasta di Banting, Siti Noraini tidak melepaskan peluang menghadiri kursus keusahawanan anjuran pelbagai jabatan kerajaan.

Beliau mahu mendalami aspek perniagaan dan keusahawan termasuk pemasaran dan perhubungan dengan pelanggan sebelum pergi lebih jauh.

Setelah enam tahun bekerja dan perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Siti Noraini mengambil keputusan nekad meletakkan jawatan.

“Ketika itu saya mengembangkan perniagaan dengan membuat pelbagai jenis biskut dan kerepek serta menjual produk usahawan lain,” katanya.

Berkat kegigihan dan kesungguhan membangunkan perniagaannya, dia sudah mula melihat bibit kejayaan.

Sejak penglibatannya dalam IKS, Siti Noraini menerima pelbagai anugerah seperti Peladang Jaya, Tokoh Usahawan Wanita Selangor dan Belia Jaya.

Malah, usahanya menarik minat pelbagai agensi kerajaan yang tampil memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk selain khidmat nasihat.

Sentiasa mengingati arwah ibunya dalam kejayaan yang dikecapi, Siti Noraini yakin segala kejayaan berkat doa ibunya.

Dalam pada itu Siti Noraini sentiasa menanamkan pelbagai impian seperti kerepek di dalam kanister ketika usianya 35 tahun.

“Alhamdulillah saya mencapai sasaran yang saya tetapkan sendiri,” katanya.

Permintaan kerepek ubi, pisang tanduk dan keledek yang semakin menggalakkan menyebabkan Siti Noraini memerlukan bekalan bahan mentah yang banyak.

Malah pada masa yang sama, seorang usahawan dari Australia berminat untuk memasarkan kerepeknya ke Australia dan New Zealand.

Selain negara berkenaan Siti Noraini juga telah berjaya menghantar produknya ke Hong Kong, Jakarta dan Singapura.

Selepas musim perayaan, Siti Noraini akan menerbangkan kerepeknya ke Filipina yang mempunyai pasaran yang lebih besar.

“Masalahnya bagi pasaran luar negara, kami perlu memastikan kualiti dan kapasiti produk yang konsisten setiap kali penghantaran.

“Misalnya bagi ke Australia saja saya perlu menghantar kerepek ubi bagi memenuhi hampir satu kontena sepanjang 20 kaki,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah terutama dari luar negara, Siti Noraini perlu berubah daripada peralatan menggoreng manual ke separa automatik.

“Ini bagi mempercepatkan lagi proses penghasilan produk tetapi saya tidak boleh berkompromi dengan kualiti produk yang saya hasilkan,” katanya.

Selain menerima tempahan, Siti Noraini juga membawa produknya ke ekspo-ekspo seluruh negara dan antarabangsa anjuran agensi kerajaan.

Buat masa ini produk IKS Siti Noraini dengan jenama Ani Biskut boleh didapati di K-Shoppe Bukit Kapar dan Jalan Istana Lama, Kampung Jawa, Kelang.

Monday, 15 August 2011

Elak hutang kunci kejayaan Hasim

YAKIN...bermula dengan modal kecil.
YAKIN...bermula dengan modal kecil.

PENGALAMAN diperoleh selama 23 tahun ketika bekerja dalam industri pengeluaran minuman gergasi tidak disia-siakan Hasim Mohd, 52, apabila dengan penuh yakin mengorak langkah menyertai dunia keusahawanan yang serba mencabar sejak 10 tahun lalu.

Menyedari industri pengeluaran minuman dimonopoli pengusaha berbangsa Cina, Hasim yang kini bergelar Pengarah Fitrah Food Sdn Bhd (FFSB) eng­gan mengalah dan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan produk minuman pertama syarikat, Minuman Herba Cincau Segar.

  • Foto

    HASIM...ketika di kilangnya.

  • Foto

    PERIKSA...Hasim membuat pemeriksaan terhadap produk keluaran syarikatnya.

  • Foto

    BAHAGIA...Hasim bersama isteri dan dua anaknya ketika menyambut Syawal, tahun lalu.

Berpengalaman sebagai pe­nyelia, pengurus pengeluaran dan pengurus operasi sebelum ini, beliau kerap membuat pemerhatian tatkala melaksanakan tugas, sekali gus me­nyedari pasaran minuman cincau memiliki potensi serta pasaran besar jika ia dikembang­kan.

Katanya, minuman cincau dihasilkan syarikat milik Bumiputera jarang kelihatan di pasaran, sedangkan ia antara pilihan utama bagi masyarakat Melayu khususnya.


“Melihat fenomena berkenaan, saya seakan-akan terpanggil untuk menunaikan tuntutan fardu kifayah kerana saya mempunyai pengetahuan dan kepakaran untuk mengeluarkan produk minuman cincau.

“Cincau satu daripada jenis herba yang mempunyai fungsi baik untuk kesihatan manusia, namun manfaat itu jarang didedahkan kepada umum, malah segelintir masyarakat menganggap ia cuma minuman biasa,” katanya.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan FFSB, Hasim nekad mengambil risiko dengan menggunakan semua wang simpanan hasil pendapatan dikumpul semata-mata untuk memulakan perniagaan tanpa mengharapkan pinjaman kewangan daripada bank.

“Saya enggan bergantung harap kepada bantuan semata-mata, selain tidak mahu dibelenggu tanggungan hutang dan tekanan biarpun ia dapat memajukan operasi perniagaan dengan mudah.

“Tambahan pula, saya memulakan perniagaan pada usia lewat iaitu 42 tahun. Jika saya memohon pinjaman bank, tentu ia memakan masa lama berikutan proses merumitkan.

“Selain itu, saya tidak mahu perniagaan ini dijalankan secara tergesa-gesa gara-gara bebanan hutang bank hingga membuat­kan saya hilang fokus dan mengabaikan tujuan asal penubuhan syarikat ini,” katanya yang ditemui di kilangnya, di Taman Industri Subang, Selangor.

Hasim mengakui, awalnya menghadapi cabaran besar untuk mengukuhkan syarikat yang cuma bergantung kepada modal kecil berbanding syarikat gergasi lain.

Ketika peniaga lain menggunakan media cetak dan elektronik sebagai medium promosi, Hasim terpaksa membulatkan hati mengambil pendekatan berbeza berikutan kekurangan modal bagi menampung kos pengiklanan tinggi.

Gara-gara ingin menjimatkan kos pengiklanan, bapa kepada dua anak ini mula menjalin hubungan persahabatan dengan penyelia makanan di kilang elektronik gergasi sekitar Lembah Klang.

Strategi serampang tiga mata dilaksanakan Hasim menunjukkan keberkesanan apabila teman baru (penyelia makanan) itu berminat memasarkan produk syarikat di kantin kilang.

Hasim yang juga memainkan peranan penting sebagai pegawai pemasaran mengakui ramai peniaga bermodal kecil memandang ringan strategi pemasaran di kilang berikutan masing-masing beranggapan hebahan menerusi media lebih berkesan.

Beliau tidak menafikan peranan penting media namun promosi melalui ‘mulut ke mulut’ disifatkan lebih efektif selain menjimatkan kos pengiklanan.

Mensasarkan kilang besar sebagai lokasi pemasaran, Hasim berkata, kadar bilangan pekerja industri berskala besar menjadi ‘ejen’ promosi secara tidak langsung kepada orang lain jika produk syarikat menjadi pilihan di kantin kilang masing-masing.

Bermula dari situ, produk keluaran FFSB mula dikenali di kalangan masyarakat sebelum ia memasuki pasar raya besar termasuk Mydin, Carrefour serta stesen minyak Petronas sekitar Lembah Klang.

Malah kini, Hasim boleh berbangga apabila produk minuman Cincau Segar keluaran FFSB menembusi pasaran Selangor, Terengganu, Kelantan, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

Namun usaha mengekalkan momentum perniagaan tidak terhenti di situ saja apabila Hasim turun padang ke setiap cawangan pasar raya terpilih untuk melakukan sample produk (sampling) pada hujung minggu.

Kejayaan memasuki pasar raya tidak seharusnya diambil mudah dan bersikap lepas tangan kerana produk syarikat seolah-olah menjadi perhiasan di rak tanpa disedari orang ramai jika tiada promosi dijalankan.

Katanya, inisiatif itu (sampling) perlu dilakukan peniaga bagi memperkenalkan produk kepada pelanggan baru, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada mereka untuk meningkatkan kualiti produk.

Jawatan pengarah dipegang Hasim tidak menimbulkan rasa riak dan malu baginya untuk menghulurkan secawan minuman cincau keluaran syarikat, malah ia dianggap lebih memudahkan, terutama ketika memberi penerangan kepada orang ramai.

Selain itu, FFSB tidak melepaskan peluang menyertai pameran anjuran kerajaan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) serta beberapa pameran kecil lain.

Hampir 10 tahun beroperasi, FFSB kini mengeluarkan tiga produk utama termasuk Minuman Herba Cincau Segar, Minuman Rumpai Laut dan Lemon serta kolagen Rumpai Laut, Beauty Queen.

Menurut Hasim, dalam tempoh terdekat, rangkaian produk minuman cincau dan berasaskan rumpai laut akan dipelbagaikan bagi memenuhi cita rasa pelang­gan serta mewujudkan persaingan positif antara jenama lain.

Selain itu, FFSB bakal melebarkan sayap perniagaan ke negara jiran termasuk Kemboja dan Vietnam kerana pada pandangan Hasim, negara terbabit mempunyai potensi pasaran untuk diterokai.


PROFIL

NAMA: Hasim Mohd
JAWATAN: Pengarah Fitrah Food Sdn Bhd
LAHIR: 7 September 1954
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
ISTERI: Nafisah Chik
ANAK: Rabbiatul Adawiah (19) dan Muhamad Aliff Firdaus (16)
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Teknologi Makanan, Institut Teknologi Mara (1977)

JIKA usahawan lain mencuri masa untuk bercuti bersama keluarga di setiap penghujung tahun, berbeza bagi Hasim yang menjadikan penyertaan dalam mana-mana pameran sebagai pakej pelancongan keluarga.

Memiliki sebuah keluarga kecil bukan alasan baginya mengambil cuti semata-mata ingin menenangkan fikiran bersama insan tersayang, sebaliknya peluang berkenaan digunakan untuk mengukuhkan syarikat dengan menyertai pameran berkaitan industri makanan.

Lebih menggembirakan Hasim, isteri dan dua anaknya turut memberi sokongan padu dan mengambil bahagian secara aktif mempromosi produk syarikat, dalam masa sama menemaninya setiap kali menyertai pameran pada hujung minggu.

“Isteri dan anak tidak pernah merungut apabila saya kerap mengajak mereka menemani saya. Malah, kesempatan itu digunakan mereka, khususnya anak sulung, untuk menambah pengalaman berniaga.


“Tambahan pula, dia kini melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di Management and Science University (MSU), sedikit sebanyak dia boleh mengaplikasikan ilmu diperoleh secara praktikal,” katanya.

Menerusi pendedahan awal berkenaan, Hasim berharap anaknya dapat mempelajari teknik pengurusan perniagaan dengan lebih berkesan di samping membentuk jaringan komunikasi antara peserta pameran lain.

Malah, Hasim turut menggalakkan anaknya bekerja dengan syarikat lain sejurus tamat pengajian sebelum mengambil alih perniagaannya nanti.

Katanya, jika tidak menyertai mana-mana pameran sama ada dalam dan luar negara, mereka sekeluarga membuat lawatan ke cawangan pasar raya yang mengedarkan produk mereka sekitar ibu kota.

Bagi mengekalkan kemesraan tali kekeluargaan, kedua-dua anaknya yang belajar di Shah Alam, Selangor dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan akan pulang ke rumah setiap hujung minggu.

Kedatangan Ramadan selalu dinanti-nantikan Hasim kerana menggunakan kesempatan ini beliau keberkatan bulan berkenaan untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang sama ada di rumah mahupun di luar.

Menurutnya, peluang itu diambil bagi menggantikan kesibukannya di syarikat sepanjang tahun hingga sering terlepas peluang untuk makan malam bersama keluarga.

Bagi Hasim, menguruskan perniagaan sendiri lebih memerlukan masa dan tenaga yang banyak berbanding makan gaji berikutan kehidupan keluarga bergantung sepenuhnya kepada keuntungan syarikat.

Menyedari hakikat berkenaan, Hasim lebih menumpukan perhatian terhadap kerja malah perkara itu turut diakui isteri dan anaknya.

Friday, 12 August 2011

Kejayaan losyen mustajab

Kisah Rushdi penggemar halia



MELIHAT empayar bisnes kecantikannya semakin berpengaruh dan dikenali, hati Rushdi Abdullah berbunga puas. Selaku Pengasas Dunia Herbs Sales & Marketing, beliau telah berjaya merealisasikan impian ribuan wanita yang mendambakan tubuh yang langsing dan menggiurkan.

Bagaimanapun ujar lelaki yang berusia 41 tahun itu, untuk mengecapi impian tersebut, pelbagai onak dan cabaran terpaksa diharunginya. Hal itu kadangkala membuatkan beliau hampir berputus asa.

Ketika membutirkan setiap pengalamannya kepada Kosmo!, ada kesedihan yang begitu mencengkam jiwanya.

Beliau bercerita : “Sejak kecil saya membantu ayah berniaga di kedai dan ketika berumur dalam lingkungan 20 tahun, saya mengambil alih perniagaan kain bapa saya, bila duit di depan mata, saya boros.

“Impaknya, pada tahun 2008 iaitu ketika umur saya 25 tahun, saya kehilangan semuanya dalam erti kata lain, bankrap. Kedai, kereta dan rumah semuanya lenyap, bukan saya saja yang terkena tempiasnya tapi ia turut melibatkan seluruh ahli keluarga.”

Enggan mengalah, percaturan Rushdi diarahkan kepada bidang hartanah. Sayangnya, itu juga tidak menjadi. Rushdi mengakui, fikirannya berserabut dalam merencana semula perjalanan hidupnya yang semakin bercelaru itu.

Sama ada suratan atau kebetulan, pertemuannya dengan seorang saudara lelakinya yang berjaya mencorak sisi positif dalam kerjayanya.

Namun kata ahli perniagaan yang kreatif itu, beliau tidak pernah terjangkau dek fikirannya yang beliau akan bergelar penjual kuih char kue.

Mengapa? Jawabnya, dulu beliau menganggap berniaga di tepi jalan sungguh tidak berprestij.

“Ya, saya akui dulu saya ego dan pernah terdetik di hati bahawa saya tak mahu berniaga di tepi jalan tapi Tuhan itu Maha Kaya,” katanya menginsafi sikapnya dulu.

Rahsia halia


RUSHDI (tengah) dan pegawai-pegawainya sentiasa berbincang mengenai strategi-strategi tertentu perniagaan.


Kata anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu, selama dua tahun berniaga di sebuah tapak kecil di Kampung Baru, beliau berjaya mengumpul sejumlah wang yang diyakininya dapat dimanfaatkan dalam melebarkan perniagaannya.

Rushdi begitu melankolik dalam meneruskan penceritaan tentang titian perjalanan hidupnya.

Melihat situasi itu, beliau terus disogok beberapa soalan. Bagaimanakah idea mengusahakan bisnes kecantikan itu boleh timbul? Mengapakah beliau memilih untuk mengembangkan bisnes losen dan tidak kepada produk lain?

Ahli perniagaan itu memberitahu, beliau sebenarnya adalah seorang penggemar halia.

“Saya suka halia, namun saya lihat penggunaan halia agak terhad di pasaran, jadi saya terfikir mengapa usahawan Melayu tidak mempelbagaikan penggunaan halia selain untuk memasak saja.

“Justeru, atas bantuan daripada pihak tertentu, saya menjalankan penyelidikan dan sememangnya halia mempunyai kaitan rapat dengan kecantikan tubuh,” katanya yang pernah mendapat pendedahan awal memasarkan produk-produk kesihatan yang lain sebelum itu.

Berkat usahanya, pada 6 September 2005, tertubuhlah Dunia Herbs Sales & Marketing yang memasarkan produk kecantikan dan kesihatan berkualiti yang berasaskan herba.

Anak kedua daripada enam beradik itu masih ingat, seawal memulakan perniagaan losen menggunakan pati halia, beliau hanya mempunyai tiga pekerja dan mempunyai kedai yang kecil saja.

Produk pertama


KELUARAN TERKINI. Rushdi memperkenalkan produk-produk terbaru keluaran syarikat Dunia Herbs.


Dari aspek pemasaran pula, pasukannya mempromosikan produk mereka dari rumah ke rumah dan mengiklankannya secara kecil-kecilan di akhbar.

Tanpa disangka, inisiatif itu sangat berhasil. Kata Rushdi, beliau menerima panggilan yang tidak putus-putus daripada orang ramai.

Mustahil Rushdi tidak gembira apabila produk Losyen Mustajab Pati Halia yang merupakan produk pertama keluaran syarikat Dunia Herbs laris hingga jualannya mencecah 100,000 unit sebulan.

“Saya betul-betul tak sangka, ramai yang ingin tahu dengan produk baharu yang kita hasilkan ini, kepada yang telah mencuba, semuanya memberi respons yang positif.

“Perkembangan itu memberi saya semangat untuk menghasilkan inovasi-inovasi terbaru,” katanya penuh semangat.

Dunia Herbs kata lelaki itu terus mengorak langkah. Aspek pengiklanan terus diberi penekanan. Bahkan, iklan losen mustajab menguasai ruang-ruang iklan media cetak mahu pun elektronik.

Melihat senario itu, syarikat itu memperluaskan lagi kerjasama penyelidikan dengan badan-badan seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Bhd., Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Bukankah sudah tiba masanya, jenama Dunia Herbs yang semakin kuat di Malaysia menjengah pasaran antarabangsa dalam kapasiti yang besar?

“Itu sudah pasti, kita sasarkan untuk pasarkan produk kita ke negara-negara Asia Tenggara, China, India termasuk Turki dalam tempoh lima tahun lagi,” balasnya.

Produk tiruan

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan itu memang lumrah. Rushdi yang menaungi sebuah empayar kecantikan juga tidak terlepas daripada sebarang musibah.

Mengulas mengenainya, katanya, pendiriannya sangat mudah. Ujar lelaki itu tanpa menunjukkan riak kecewa: “Dalam berniaga ini, pasti ada pesaing, mengenai produk tiruan sebenarnya itu tak patut berlaku.


RUSHDI (kiri) dikenali sebagai bos yang sangat disenangi dalam kalangan pekerja-pekerjanya.


“Tapi itu tak mengganggu saya sangat, apa-apa pun kita adalah perintis (produk losen berdasarkan pati halia) dan berdasarkan kualiti, produk kita adalah yang terbaik.”

Rushdi memberitahu Kosmo!, beliau menyimpan satu azam yang cukup besar.

“Matlamat jangka panjang saya ialah setiap rumah punya satu botol losen mustajab pati halia,” ujarnya bersungguh.

Daripada seorang pembantu kedai, kemudian jatuh bankrap sekelip mata, beliau bangun semula menjadi penjual char kue dan akhirnya Rushdi berjaya memiliki sebuah empayar kecantikan yang termasyhur di negara ini.

Kejayaan Rushdi itu juga membuktikan bahawa seseorang mampu cemerlang walaupun mereka tidak mempunyai latar pendidikan yang tinggi.

“Alhamdulillah, bila Tuhan kurniakan kesusahan kepada kita, sebenarnya ia adalah indikator supaya kita sedar lebih awal. Selepas melewati saat-saat getir, barulah saya tahu apa erti syukur,” katanya.

Walaupun sudah berada puncak tertinggi dalam karier dan kini melebarkan sayap bisnesnya dengan menubuhkan Bumidotcom Sdn. Bhd., Rushdi menegaskan, beliau sama sekali tidak akan lupa asal usulnya.

Malah ujarnya, sehingga saat ini beliau masih mengingati secara jelas bagaimana untuk menghasilkan char kue yang merupakan satu entiti yang sangat sentimental dalam dirinya.

Sekali rasa pasti sukar dilupakan



Ainon Naim menunjukkan rendang Minang yang telah siap dan dipek dalam bekas lut sinar.


RENDANG Minang yang berasal dari Sumatera sudah tidak asing lagi di negara ini. Ia bukan sahaja antara juadah wajib untuk dinikmati bersama ketupat atau lemang di pagi Syawal, malah disajikan pada majlis-majlis keramaian lain.

Sekalipun ramai yang mengusahakan rendang Minang di sekitar Kuala Lumpur tetapi hasil air tangan Ainon Naim, 74, yang telah mengusahakan rendang ini sejak lebih 30 tahun lalu nyata mempunyai keistimewaan tersendiri.

''Sedap atau tidak perlu rasa dahulu. Biasanya bagi yang telah mencuba akan mula menjadi pelanggan tetap,'' ujar Ainon ketika ditemui di rumahnya di Wisma Zabedah, Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sekalipun sudah berusia, Ainon mengakui selagi mempunyai kudrat dan kesihatan yang baik dia akan terus membuat rendang yang dianggap sebagai hobi bagi memenuhi masa lapang.

Balu 10 anak itu mengakui bermula dengan kecil-kecilan membuat rendang akhirnya rendang Minang 'Kak Enon' sudah dikenali.

Ainon memberitahu, rutinnya lebih sibuk pada bulan Ramadan kerana setiap hari akan memasak rendang untuk jualan di pasar Ramadan dan tempahan menjelang Aidilfitri.

Berikutan itu seawal pukul 8 pagi lagi, Ainon sudah mula menyiapkan bahan-bahan membuat rendang iaitu daging yang dipotong selain bawang merah, bawang putih, halia, cili padi, cili kering, lengkuas, santan, daun limau purut dan daun kunyit.

Ainon mengakui dia agak cerewet dalam membuat pilihan bahan untuk rendangnya bagi mengekalkan rasa dan kualiti.

Atas sebab itu juga Ainon hanya menggunakan daging tempatan kerana katanya, daging import banyak lemak yang akan menjejaskan keenakan rendang.

Katanya, dia hanya membuat rendang Minang jenis kering dan boleh tahan sehingga sebulan.

Jelas Ainon, yang membezakan rendang Minang dengan rendang jenis lain ia tidak dicampur kerisik sebaliknya dilebihkan santan.

Selain itu, katanya, rendang Minang yang dibuatnya tidak pedas kerana lebih banyak menggunakan cili kering dan sedikit sahaja cili padi.

Satu rahsia Ainon ialah rendangnya dimasak menggunakan dapur arang.

Dia lebih senang menggunakan dapur arang kerana bukan saja menjimatkan bahan api tetapi lebih mudah untuk mengawal api.

Lagipun, katanya, untuk memasak rendang perlu menggunakan api perlahan.

''Rendang ini juga mesti dikacau selalu untuk mengelak daripada bahagian bawahnya berkerak dan hangit,'' katanya.

Ainon menceritakan setakat ini dia pernah memasak rendang untuk 50 kilogram (kg) daging pada majlis perkahwinan anaknya.

Setiap hari di sepanjang bulan Ramadan ini pula dia akan memasak sekurang-kurangnya 15 kg daging untuk dibuat rendang.

''Masa yang digunakan untuk masak rendang sebanyak 15 kilogram ini kira-kira lapan jam,'' katanya.

Ketika ditanya di mana mempelajari cara memasak rendang Minang itu, Ainon memberitahu semuanya dipelajari daripada ibu mertuanya yang berketurunan Minang.

Selain itu beliau juga mendapat galakan daripada suaminya seorang penjual daging di pasar Chow Kit supaya mengusahakan rendang Minang secara serius.

Thursday, 11 August 2011

Bisnes kerepek modal RM20


Kini Rizal boleh berbangga dengan kejayaan kedua-dua ibu bapanya dalam membangunkan RJ Sepang.


BERMULA hanya dengan modal RM20, pada tahun 1989 Mokinah Sirat, 63, membeli barangan keperluan untuk menjual kerepek ubi dan pisang.

“Semuanya kerana kepayahan hidup dan sebagai suri rumah, saya terpanggil untuk meringankan beban suami menyara keluarga,” katanya .

Dia ditemui pada semasa lawatan rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke kilang RJ Sepang Sdn. Bhd. di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Pada peringkat permulaan, Mokinah hanya menjual kerepek di gerai bawah pokok manakala suaminya Jamaludin Singah, 63, membawa kerepek ke pejabat, kedai runcit dan sekolah sekitar Sepang.

Keenakan kerepek buatan Mokinah memikat ramai pelanggan sehingga ke pengetahuan pihak FAMA.

“Dua kali pegawai FAMA datang berkunjung ke rumah tetapi saya sembunyi di rumah jiran kerana bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya menyingkap kembali kenangan bagaimana Mokinah mula mengkomersialkan kerepek ubinya dengan bantuan FAMA.

Akhirnya dia terpaksa juga bertemu pegawai FAMA tersebut yang datang ke rumahnya secara mengejut buat kali ketiga.

Setelah mendapat pengesahan bahawa FAMA berminat membantunya mendapatkan tapak pasar tani berhampiran, dia menarik nafas lega. Pertemuan itu sebenarnya telah membuka lembaran baru dalam usahanya menjual kerepek.

Pengalaman berniaga di pasar tani menjadikan Mokinah semakin matang dalam bidang pemasaran dan bagaimana untuk berhadapan dengan pelanggan.

“Di pasar tani, saya bukan saja berniaga tetapi juga belajar menangani kerenah pelanggan dan menguruskan akaun.

“Malah menjelang musim perayaan dan cuti sekolah saya mendapat tempahan yang banyak berbanding hari biasa,” katanya.

Dengan bantuan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain FAMA yang menyediakan tapak pasar tani, Mokinah menerima pelbagai bentuk bantuan.

Jabatan Pertanian dan FAMA memberikan geran bagi peralatan seperti kawah untuk menggoreng kerepek bagi menggantikan kuali yang digunakan sebelum ini.

Ditanya bagaimana dia berjaya memikat hati pelanggan dengan pelbagai jenis kerepek keluarannya, Mokinah berkata, kualiti menjadi keutamaannya.

“Kami hanya menggunakan ubi kayu yang bermutu. Lagi satu kami juga memastikan minyak masak yang digunakan untuk menggoreng berkualiti.

“Saya akan memastikan kerepek ubi yang dihasilkan menepati cita rasa pengguna,” katanya.

Mengenai penglibatan anak-anaknya dalam dunia perniagaan, Mokinah berkata, daripada lima orang anaknya, empat orang mengikut jejaknya dalam perniagaan.

“Sekarang RJ Sepang diuruskan oleh anak bongsu saya Rizal Jamaludin. Kini saya hanya memantau mengenai kualiti kerepek ,” katanya.

Dengan kejayaan yang dicapai setakat ini, dia boleh berbangga kerana semuanya bermula dengan kepayahan.

Malah dengan kurniaan rezeki yang semakin melimpah-ruah semua 13 orang pekerjanya disediakan tempat tinggal dan makanan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.


Berniaga cara Nordin


Kesibukan Nordin Ashaari dan isterinya Zaini Hassan tidak membatasi kerja-kerja memeriksa tempahan yang diterima daripada pelanggan.


MELIHAT kepada persekitaran dalaman dan kesungguhannya bekerja bersama lima kakitangan, barangkali sesiapa sahaja yang singgah di kedai NBA GTiga Enterprise di Jalan Muar -Tangkak, Johor pasti tidak dapat membayangkan bagaimana ia dibangunkan.

Dengan kedudukan barang jualan yang tersusun, ia pasti memberi gambaran bahawa pemiliknya mempunyai pengetahuan mendalam dalam perniagaan, mempunyai dana kewangan yang besar dan segalanya diurus dengan baik.

Namun di sebalik semua itu, pengusaha terbabit Nordin Ashaari, 51 terpaksa melalui pelbagai liku keperitan, mengatur langkah daripada bawah dan belajar daripada pengalaman untuk menjadi seorang usahawan.

Nordin ketika ditemui bersyukur dengan pencapaiannya sekarang dan ia perlu dikembangkan.

Selepas sekian lama berusaha memajukan perniagaan dia tidak pernah lupa bagaimana semuanya bermula.

Tanpa segan silu dia berkongsi pengalaman , bagaimana segalanya di mulakan hingga ke tahap sekarang.

Nordin menamatkan persekolahan hingga tingkatan lima pada 1981. Ketika itu minatnya dalam perniagaan begitu memuncak.

Bermula dengan menjadi jurujual barangan elektrik dari rumah ke rumah, selepas tiga bulan dia mampu membeli sebuah motosikal.

Dengan berkenderaan sendiri, dia meneruskan perniagaan di pasar-pasar lambak.

Berkat kerajinan itu, Nordin akhirnya mampu membeli sebuah kereta berharga RM2,500.

Kejayaan membeli kereta itu memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba perniagaan lain.

Berbekalkan semangat ingin mencuba, Nordin menjual pakaian terpakai sebelum beralih kepada perniagaan makanan.

Tidak ada rasa letih dan istilah gagal dalam kamus hidupnya. Malah cita-citanya sebagai peniaga tetap tersemat dalam hati dengan mencuba pula perniagaan kerepek. Pada masa sama dia turut berniaga kad raya.

Sepanjang tempoh antara 1982 hingga 1993 , langkahnya semakin jauh dalam perniagaan selepas dia mencuba berniaga di pasar malam sekitar daerah Ledang sehingga ke Negeri Sembilan.

Dia kemudian mencuba perniagaan kedai makan tetapi atas faktor tertentu ia terpaksa ditutup. Selepas itu Nordin menjadi ejen insurans dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Tidak lama lepas itu dia menyahut pelawaan seorang rakan untuk mengambil kontrak menjahit langsir dan cadar serta keperluan hospital.

Meskipun minatnya dalam perniagaan kerepek tetap tersemat dalam hati.

‘‘Minat dalam dunia perniagaan tidak pernah surut meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan,’’ katanya ketika ditemui semasa mengikuti rombongan Agrobank di Muar baru-baru ini.

Apabila diberi peluang membuat pinjaman Agrobank selepas menghadapi masalah banjir pada 2006 , Nordin memanfaatkan pinjaman tersebut untuk melunaskan hasratnya sebagai peniaga kerepek yang terpendam sejak sekian lama.

Dia juga menjual kedainya di Bukit Kangkar untuk dijadikan modal membangunkan perniagaanya sekarang.

Nordin menyambung, dia lebih suka menggunakan pendekatan menggerakkan perniagaan daripada pusingan modal meskipun terpaksa melakukan segala-galanya.

Dengan keringat, air mata dan berbekalkan keazaman serta tekad dia berusaha hingga mencapai tahap yang dinikmati sekarang.

‘‘Bohong kalau dikatakan berniaga tidak kena ada modal,” ujarnya ringkas penuh makna

Menceritakan lebih lanjut, Nordin yang ditemani isterinya, Zaini Hassan berkata, perniagaannya sering berubah mengikut masa dan keperluan tetapi prinsipnya ialah kerajinan.

‘‘Satu ketika saya betul betul keputusan wang sehinggakan duit makan pun tidak ada,’’ katanya.

Bagaimanapun menurutnya, berkat kesabaran, Nordin bangkit berniaga kuih batang buruk. Satu perkara yang selalu menjadi pegangannya sejak dahulu ialah selalu mempercayai rakan termasuk dalam perniagaan.

Sebab itu, dia tekad untuk membangunkan apa yang telah dimulakan iaitu menjadi pemborong makanan atau produk industri kecil dan sederhana (IKS) daripada pengeluar dan membungkus dan menjualnya semula.

Pada musim perayaan ini, Nordin menawarkan banyak jenis produk IKS termasuk kerepek dan biskut. Dian juga menerima tempahan baulu, baulu gulung dan kek.

Mereka juga menawarkan pelbagai jenis produk lain yang boleh dijadikan juadah Aidilfitri antaranya kerepek ubi kayu, belinjau, maruku, keropok udang dan lain-lain.

Tuesday, 9 August 2011

Resipi kejayaan Adik-beradik

SATU ketika dahulu, perniagaan nasi beriani, JM Bariani House Sdn. Bhd. hanyalah dijalankan secara suka-suka di hadapan rumah. Hari ini, perniagaaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu berubah menjadi empayar yang cukup popular dalam kalangan penggemar nasi beriani di Lembah Klang.

Perkembangan tersebut cukup membanggakan pengasas perniagaan itu iaiatu pasangan suami isteri, Mustapa Abdul Karim, 71, dan Jamilah Abu Bakar, 67. Apatah lagi, perniagaan tersebut kini dikendalikan oleh tiga putera kesayangan mereka yang menjadi tulang belakang perniagaan itu.

Lebih menarik, pasangan Mustafa dan Jamilah sanggup meninggalkan pekerjaan tetap mereka di Muar, Johor pada awal tahun 1980-an tanpa menoleh ke belakang. Semuanya dilakukan semata-mata ingin mengejar impian memulakan perniagaan di ibu kota.

Begitupun, dalam mencapai kejayaan yang dikecapi pada hari ini, mereka mengharungi pelbagai ranjau dan dugaan kerana menyangka memulakan perniagaan merupakan sesuatu yang mudah dilakukan tanpa perlu mempunyai latarbelakang perniagaan ataupun bidang masakan.

Pengarah Urusan JM Bariani House Sdn. Bhd., Zulkarnain Mustapa, 46, anak sulung pasangan itu berkata, ibu bapanya cukup meminati bidang masakan sehingga sanggup meninggalkan kerjaya tetap mereka dan berhijrah untuk memulakan perniagaan.


Zulkarnain menunjukkan antara hidangan utama yang ditawarkan di JM Bariani House.


“Ketika itu, ayah bertugas di Lembaga Letrik Negara (LLN), kini Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Muar manakala emak pula bekerja sebagai guru. Keinginan mengejar cita-cita telah mendorong mereka meninggalkan pekerjaan tetap bagi memulakan perniagaan.

“Pembabitan awal dalam perniagaan dilakukan secara kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak, air batu campur, karipap dan mi rebus,” katanya sambil mengimbas kenangan lalu.

Bahkan, ia ibarat seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana sambutannya agak hambar. Mungkin, pada masa itu perniagaan kedua-dua ibu bapanya hanya beroperasi di hadapan rumah mereka.

Bagaimanapun, Zulkarnain menambah, perniagaan katering memenuhi seperti kenduri kahwin, keraiaan dan korporat secara kecil-kecilan yang dilakukan apabila berpindah di gerai seksyen 17 Shah Alam telah merubah segala-galanya.

Dia memberitahu, rezeki melalui perniagaan katering melimpah ruah sehingga perlu mencari lokasi baharu iaitu di Subang Jaya, Selangor bagi memastikan masakan dapat dilakukan lebih selesa dan sistematik selain dapat mengekalkan kualiti makanan.

Restoran pertama

“Menerusi perniagaan katering itu jugalah tercetus idea untuk membuka restoran yang terletak bersebelahan ruang masakan tempahan. Perniagaan restoran yang beroperasi di Seksyen 18, Subang Jaya dibuka tanpa dirancang pada tahun 1993.


MUSTAPA (duduk kanan) dan Jamilah bersama tiga anak lelaki mereka iaitu Zulkarnain (kiri), Zul Atfi (tengah) dan Abdul Hafiz.


“Saya masih ingat kami cuma mempunyai empat meja sahaja dan ia dibuka atas cadangan pelanggan-pelanggan yang mahukan kami membuka sebuah restoran,” katanya.

Sambil memberitahu JM merupakan gabungan nama kedua-dua ibu bapanyanya, restoran yang terletak di Subang Jaya itu menyimpan pelbagai nostalgia.

Katanya, restoran yang pernah disewa daripada Uda Holdings Bhd. untuk bertapak dalam bidang perniagaan itu merupakan restoran pertama syarikatnya.

Selain Zulkarnain, perniagaan tersebut turut diuruskan oleh dua orang adiknya iaitu Abdul Hafiz, 43, dan Zul Atfi, 34.

Menyentuh mengenai keistimewaan nasi beriani, JM Bariani House, lelaki yang begitu ramah dengan pelanggan-pelanggan itu memberitahu ia adalah resipi air tangan orang tuanya.

“Mereka banyak menggunakan kaedah cuba-cuba untuk menyempurnakan adunan masakan nasi beriani tersebut.

“Tidak seperti sekarang, dahulu mereka memasak nasi beriani menggunakan kayu api dan memerlukan masa yang agak lama untuk mengekalkan kualiti serta cita rasa asli masakan tersebut,” ujarnya ketika ditemui di JM Bariani House di Subang Jaya baru-baru ini.

Zulkarnain memberitahu, nasi beriani yang mereka hasilkan memiliki cita rasa dari Muar dan lebih ringan. Resipi tersebut tidak mencampurkan terlalu banyak ramuan rempah, kurang berminyak dan kurang pedas untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Tambahnya, nasi beriani Johor sememangnya mempunyai peminat tersendiri sehingga dapat mengekalkan perniagaan mereka hingga ke hari ini.

JM Bariani House popular dengan menu utama nasi beriani dan beriani gam dengan lauk pauk seperti daging kambing, lembu dan ayam dimasak dengan rempah beriani yang diadun sendiri.

Selain nasi beriani, JM Bariani House turut menawarkan mi bandung Muar, rojak petis, tauhu bakar dan banyak lagi. Sementara itu, Abdul Hafiz yang mengendalikan bahagian dapur berkata, setiap pekerja mempunyai kemahiran tersendiri dalam menguruskan masakan JM Bariani House.

“Ini bermakna kami mempunyai chef yang pakar dalam memasak nasi, lauk pauk dan sebagainya di bahagian dapur. Mereka juga telah diberikan ramuan dan catuan yang betul untuk mengekalkan cita rasa masakan.

“Selain daripada kepakaran yang dimiliki para pekerja, kita menggunakan bahan-bahan berkualiti bagi menjamin masakan mempunyai rasa sedap dan enak dinikmati,” katanya yang mengambil jurusan arkitek di Amerika Syarikat.


JM Bariani House semakin berkembang dengan kini mempunyai 19 buah cawangan di sekitar Lembah Klang.


Dalam pada itu, Abdul Hafiz yang tidak memiliki kemahiran memasak sebelum ini memberitahu, mereka turut menggunakan kaedah dapur berpusat untuk memastikan cita rasa dan kualiti yang diguna pakai sejak dahulu dapat dikekalkan sehingga hari ini.

Sebagai contoh, Abdul Hafiz menjelaskan mereka masih menggunakan dapur api gas yang menggunakan periuk besar untuk memasak lauk-pauk.

“Walaupun tidak sama seperti menggunakan kayu api, dia memberitahu, ia masih dapat mengekalkan aroma dan cita rasa sama seperti masakan ayah memasak dahulu.

“Pendekatan dapur berpusat digunakan untuk memastikan setiap francais kami memperoleh makanan yang mempunyai kualiti sama untuk disajikan kepada pelanggan-pelanggan mereka,” ujarnya lagi.

Katanya, menceburi bidang perniagaan ini, kualiti dan cita rasa amat penting untuk memastikan pelanggan-pelanggan sentiasa berpuas hati dengan sajian yang dinikmati mereka.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Perbadanan Nasional Bhd. Banyak membantunya dalam bidang francais.

Buat masa ini, syarikatnya sudah menghentikan permohonan membuka restoran itu secara francais buat sementara waktu disebabkan kemudahan dapur berpusat yang terhad.

Katanya, kemudahan memasak yang dimiliki syarikat itu, hanya mampu menampung keperluan untuk 20 cawangan sahaja.

Bagaimanapun, JM Bariani House berharap mampu berkembang di luar Lembah Klang menerusi kemudahan pusat masakan baru yang lebih moden dengan kapasiti yang lebih besar dalam masa terdekat.

Untuk mengetahui lokasi-lokasi JM Bariani House boleh melayari laman web www.jmbariani.com.