Pages

Saturday, 30 July 2011

Petua golongan berpendapatan rendah urus kewangan

SAYA memang mengikuti artikel OCBC Al-Amin setiap minggu dan amat tertarik dengan pelbagai pendidikan kewangan yang disiarkan kerana ia banyak membantu. Cuma, saya memohon OCBC Al-Amin memberi tip dalam pengurusan kewangan bagi golongan yang berpendapatan rendah.

KAMARUL membangkitkan sesuatu yang tidak disedari ramai pada hakikatnya pengurusan harta adalah untuk semua, bukan sahaja untuk golongan yang berada. Bagi kebanyakan kita, tuntutan kewangan kita amat besar.

Mungkin kita menghadapi masalah untuk memastikan gaji kita dapat menampung semua perbelanjaan sara hidup keluarga, menyewa atau membeli rumah yang sesuai dan menikmati kemewahan kecil dalam hidup seperti telefon bimbit atau TV baru. Usah khuatir, sesiapa sahaja boleh mengambil langkah bijak untuk memastikan mereka menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Berikut adalah beberapa petua yang boleh membantu golongan yang berpendapatan rendah:

1. Jelaskan hutang kad kredit anda

Kad kredit mungkin salah satu alat yang mudah untuk memastikan anda dapat menampung keperluan hidup tetapi anda tidak harus terpedaya. Anda perlu membayar balik hutang anda, malah pada kadar faedah yang tinggi. Faedah kompaun atas hutang kad kredit ialah risiko paling besar bagi anda. Justeru pembayaran kad kredit perlu menjadi keutamaan anda.

Memang tidak munasabah untuk membayar kadar faedah antara 13.5 peratus hingga 18 peratus (sama ada Urus Niaga Runcit atau Pendahuluan Tunai) atau lebih atas hutang anda sedangkan simpanan bank anda hanya memberikan pulangan 3.0 peratus. Gunakan simpanan yang menerima kadar faedah rendah untuk membayar hutang kad kredit anda yang mengenakan kadar faedah tinggi.

Jika tabungan anda tidak cukup untuk menjelaskan hutang kad kredit, cuba peruntukkan jumlah lebih besar daripada gaji bulanan anda supaya anda membayar lebih daripada keperluan minimum setiap bulan.

2. Membina dana kecemasan

Setelah anda menguruskan hutang kad kredit, anda perlu menumpukan usaha anda untuk membina dana kecemasan yang bersamaan perbelanjaan minimum tiga hingga enam bulan belanja sara hidup. Ini untuk menampung perbelanjaan seperti sewa, ansuran, utiliti, bayaran kereta, makanan, pengangkutan dan kos lain yang penting.

Simpan wang tersebut dalam akaun bank berasingan yang tidak mudah dikeluarkan (kerana anda mungkin tergerak hati untuk menggunakannya) dan keluarkan wang hanya untuk kecemasan seperti jika anda tidak bekerja atau belanja perubatan yang terpaksa ditanggung. Jangan gunakannya untuk sebarang perkara lain.

3. Menyediakan belanjawan

Tidak kira sama ada anda baru mula bekerja dengan gaji yang kecil, atau anda bekerja ambil upah atau berpangkat besar dengan gaji enam angka setahun, anda perlu tahu bagaimana anda membelanjakan wang jika anda mahu mengawal kewangan anda. Berbeza daripada tanggapan umum, menyediakan bajet bukan bermakna mengehadkan perbelanjaan anda dan mengorbankan segala nikmat hidup. Menyediakan belanjawan sebenarnya membolehkan anda memahami berapa banyak wang yang anda ada, bagaimana wang anda dibelanjakan dan seterusnya merancang cara terbaik untuk memperuntukkan dana tersebut.

Senaraikan setiap perbelanjaan anda hari ini. Buat analisis untuk melihat sama ada anda boleh berjimat. Langkah ini mungkin membolehkan anda memperuntukkan lebih banyak wang untuk mencapai matlamat kewangan lain. Apabila anda telah meluangkan masa untuk menyediakan bajet, pastikan anda mengikutinya.

Belanjawan adalah seperti berdiet anda bermula dengan niat baik, tetapi selepas beberapa minggu, anda mula lalai dan tidak mengikut rancangan.

Cuba gunakan tunai atau kad debit untuk mengawal perbelanjaan. Anda mungkin tergerak hati untuk menggunakan kad kredit, tetapi anda harus berdisiplin dan mematuhi rancangan yang telah ditetapkan.

Thursday, 28 July 2011

Ramli berjaya ternak keli



Berkat kegigihan Ramli Diron kini boleh tersenyum kerana projek menternak ikan keli mula menampakkan hasil.


Kira-kira empat tahun lalu, Ramli Diron, 50, berbelah bagi untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM60,000 bagi memulakan projek menternak ikan air tawar berdekatan rumahnya di Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.

Ramli yang merupakan seorang peneroka bimbang sekiranya projek itu tidak menjadi apatah lagi jika mengalami kerugian, ia sudah tentu satu tamparan hebat baginya.

Bagaimanapun, dia nekad untuk memulakan projek tersebut dan enggan menoleh ke belakang lagi kerana merasakan keputusan yang dibuatnya adalah betul.

Berkat kegigihan dan kesabarannya, Ramli kini boleh tersenyum bangga kerana tidak sampai setahun, projek menternak ikan itu mula menampakkan hasil.

"Saya bermula dengan membina dua buah kolam ikan pada 2008 dengan kira-kira 16,000 anak ikan tilapia yang dibeli sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Syukur, dalam masa tiga bulan, projek menternak ikan ini mula memberikan pulangan dan saya kini mempunyai empat kolam ikan yang semuanya berukuran 60 meter panjang dan 40 meter lebar," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kata Ramli, antara ikan yang diternaknya ialah tilapia, patin, jelawat, ubi, keli dan baung dengan harga yang ditawarkan lebih murah dari pasar-pasar biasa.

Menurutnya, ikan tilapia dijual dengan harga RM7.50 sekilogram(kg), patin (RM8.50/kg), jelawat (RM14/kg), ubi (RM80/kg), keli (RM6/kg) dan baung (RM11), bergantung kepada harga pasaran.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, projek berkenaan pada mulanya hanya sebagai pendapatan tambahan. Tetapi kini permintaan semakin meningkat dengan janaan keuntungan lebih RM2,000 sebulan bergantung kepada permintaan yang kadang-kadang melebihi kapasiti yang mampu dibekalkan.

Sekarang ini katanya, hasil ikannya dihantar ke kedai-kedai dan ditempah untuk majlis perkahwinan di Felda Ulu Belitong dan kawasan sekitarnya.

Berikutan itu, dia bercadang menambah bilangan kolam dalam masa terdekat dan hasilnya dihantar keluar dari Felda itu termasuk ke pasar raya besar.

Ramli yang kini mempunyai tiga pekerja juga bercadang menambah bilangan pekerja apabila kolam baru dibuka di kawasan lain tetapi masih dalam Felda itu.

"Saya kini bertambah yakin untuk meluaskan projek ini lebih-lebih lagi selepas mengikuti kursus perikanan," katanya.

Perancangannya ialah untuk membina 10 buah kolam simen yang juga boleh menempatkan anak-anak ikan kerana kolam sedia ada bercampur antara anak ikan dan ikan dewasa.

Tambah Ramli, dia merancang untuk menjadi pembekal benih ikan selepas ini kerana permintaan dan potensinya yang tinggi selain tidak bimbang dengan persaingan.

Sunday, 24 July 2011

Insurans polisi hidup Laila

HARI ini kita sihat walafiat, esok lusa belum pasti. Justeru, membuat tabungan perlindungan diri atau insurans sememangnya dituntut sebelum menempuh detik sukar.

Malang pula kesedaran masyarakat kita, terutama kaum Melayu, terhadap polisi insurans agak tipis sebelum era 1990-an.

Lain ulu lain parang, lain dulu, lain sekarang. Persekitaran hidup yang kian kompleks kini tanpa disedari menyuntik kesedaran tinggi pada masyarakat kita terhadap insurans.

Selaku Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd, Laila Johari sukar menidakkan saban hari kian ramai masyarakat kita menabung dengan mengambil polisi insurans untuk keluarga, anak pula dalam pendidikan atau insurans simpanan masa depan.


“Ingin saya pesan, jangan ketepikan insurans, sebaliknya dengar dulu penerangan apabila dihubungi ejen insurans. Kita kena ubah tanggapan negatif kerana dulu, jika ada ejen insurans menghubungi seseorang, jawapan diterima seperti belum bersedia, tidak berminat dan sebagainya.

PEMBABITAN di bidang insurans bukan hanya dinilai pada jumlah wang diperoleh daripada ejen, sebaliknya ‘mengekalkan’ pendapatan tahunan 10 tahun berturut-turut dengan kuota yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Laila sukar menidakkan betapa bangganya apabila usahanya diiktiraf di peringkat dunia dengan menjadi ahli Million Dollar Round Table (MDRT).

Menurutnya, untuk menjadi ahli seumur hidup dalam MDRT yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, seseorang itu harus memenuhi syarat ditetapkan iaitu mencapai jumlah ratusan ribu. Kini MDRT mempunyai penyertaan 5,000 ahli ejen insurans dan pengurus kewangan seluruh dunia.

“Lebih membanggakan, kami muncul sebagai pasangan suami isteri pertama di Malaysia mencapai tahap ahli MDRT. Saya menjadi ahli selama 21 tahun, manakala suami 15 tahun terbabit sebagai ahli.


“Sehingga kini, kami me­ngadakan banyak seminar, motivasi dan berganding bahu dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (MII) untuk menarik masyarakat umum supaya celik insurans baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Melihat jadualnya yang sentiasa sibuk sebagai ibu berkerjaya tidak dijadikan alasan untuk mengabaikan orang penting dalam hidupnya, terutama suami, Mohamad Manmohan Abdullah, 56, dan anaknya, Sharina Manmohan, 26, Shaliza Manmohan, 22, dan Shazwina Manmohan, 17.

Bercerita mengenai pengurusan masa, Laila mengakui pada awal perkahwinan dan ketika anak masih kecil adalah fasa sukar bagi kebanyakan wanita berkerjaya membahagikan masa berkualiti untuk muncul sebagai pekerja berwibawa, isteri hebat serta ibu berdedikasi.

Namun, katanya, perubahan masa seiring kematangan usia membuatkan dia bijak me­ngendalikan urusan kerjaya dan keluarga dengan penuh disiplin untuk muncul sebagai wanita hebat.

“Tidak dinafikan setahun selepas perkahwinan kami (1983), saya dianugerahkan anak pertama, Sharina, sedangkan ketika itu saya bergelar ejen insurans.

“Sebaik saja Shaliza dan Shazwina lahir, tanggungjawab semakin berat tetapi saya habiskan kerja secepat mungkin untuk berada di rumah bersama anak.

“Pada saya, sehebat mana pun seorang ibu, keluarga adalah segala-galanya. Tanggungjawab memastikan kemajuan pendidikannya sangat kami titik beratkan dan ternyata berbaloi apabila anak berjaya di bidang masing-masing.

“Suami pula penyayang serta bertanggungjawab membantu saya dalam banyak perkara. Misalnya jika saya terpaksa ke luar daerah, dia memastikan rutin anak ke sekolah berjalan lancar. Di bidang insurans, dialah sifu mengajar selok-belok mengenai bidang yang saya minati itu,” katanya.
“Memandangkan hari ini ada banyak syarikat insurans, suka saya sarankan, pilih yang profesional demi masa depan anda.

“Walaupun urusan begini nampak remeh, sebaik menandatangani atau membuat bayaran untuk skim perlindungan diri atau simpanan pembelajaran, anda harus meminta nombor polisi selepas dua minggu membuat bayaran. Ia penting demi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Berpengalaman 22 tahun dalam bidang insurans, Laila berkata, ejen insurans harus bertanggungjawab sepenuhnya kepada pelanggan bagi menepis tohmahan negatif masyarakat terhadap mereka, misalnya sukar dihubungi, susah berurusan dan mendapatkan semula simpanan serta pelbagai masalah.

“Sebenarnya, kita tidak hanya menjual insurans semata-mata, sebaliknya perkhidmatan yang didasarkan atas rasa tanggungjawab dan kemanusiaan kerana menjaga sesuatu yang diamanahkan.

“Kita harus prihatin jika pelanggan berdepan situasi gawat atau ditimpa musibah dan berusaha sedaya mungkin untuk menghulurkan bantuan.

“Saya pernah mengendalikan pelanggan dengan sejumlah RM500,000 diinsuranskan bagi menyelenggarakan penyakit jantungnya yang kronik. Ternyata, dengan jumlah itu dia dirawat sepenuhnya tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan.

“Bahkan, untuk rawatan susulan dan keperluan lain selepas itu semuanya ditanggung oleh insurans sehingga dia kini pulih sepenuh­nya,” katanya.

Pengalaman tidak mungkin dilupakan Laila sepanjang pembabitannya di bidang insurans, apabila berdepan pemegang polisi insurans yang meninggal dunia. Menurut Laila, hari lelaki itu meninggal dunia sebenarnya adalah hari persaraannya.

Dia meneliti insurans milik lelaki itu dan mendapati insu­ransnya masih aktif lalu berusaha mendapatkan sejumlah wang tabungannya bagi meringankan beban dia sekeluarga.

“Bayangkan jumlah insurans lelaki itu hanya RM10,000 manakala isteri adalah suri rumah sepenuh masa dan mereka mempunyai empat anak yang masih kecil serta hidup susah.

“Dengan rasa terharu, balunya menerima jumlah wang itu dan berkat sikapnya berjimat-cermat membesarkan anak, dia juga berjualan secara kecil-kecilan.

“Berkat kebijaksanaan memanfaatkan jumlah polisi itu walaupun kecil tetapi berhemah, kini semua anaknya berjaya. Yang ingin saya katakan, insurans ini tidak kira kecil atau besar tetapi yang terpenting adalah ‘beringat’ pada waktu senang supaya meraih kesenangan ketika menempuh zaman sukar,” katanya.

Mengenai amalan berjimat-cermat, Laila yang berdarah campuran Melayu-Portugis berkata, Islam menyarankan umatnya sentiasa berhemah dalam berbelanja dan sikap membazir perlu dielak.

Dalam hidup seharian, dia turut menasihati orang ramai supaya bijak mengurus kewangan di samping menghakis sikap boros seperti memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran mewah selain mengawal sikap terlalu obses menggunakan kad kredit.

“Memandangkan harga barang semakin naik, masyarakat harus menabung supaya tidak timbul masalah di kemudian hari demi meningkatkan keharmonian keluarga,” katanya yang juga penceramah motivasi yang mengembangkan pengalaman di Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Jerman dan Dubai.

Menurut Laila, selain kerja kuat dan fokus terhadap kerja, aspek yang tidak kurang pentingnya adalah minat mendalam di bidang diceburi.

Dia akur walaupun latar belakang akademiknya sekadar SPM, sikapnya yang tidak pernah jemu mencedok ilmu dalam pelbagai bidang membuatkan dia berada di puncak dengan menapak dari bawah sebagai ejen biasa sebelum meraih kedudukan sekarang.

“Nama saya mula dikenali ketika bergelar pengacara program masakan iaitu ‘Kuali’ terbitan TV3 sekitar awal 1990-an dan selama lapan tahun mengendalikan program terbitan Sheila Veriah itu, saya akui program masakan itu popular.

“Ia juga sekali gus melonjakkan nama besar dalam bidang masakan seperti Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), Florence Tan, Agnes Chang, Zaidah Mohd Noor dan ramai lagi.

“Pada masa sama, nama besar seperti Datin Seri Habibah Yusof (Bib), Wan Zaleha Radzi dan Ras Adiba Radzi antara pembaca berita yang hebat dan menjadi sebutan ketika itu.

“Namun sebagai pengacara di bidang masakan, pengalaman itu adalah kenangan terindah dalam perjalanan hidup saya. Walaupun terbabit secara sambilan, ia sungguh menyeronokkan,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Laila Johari
LAHIR: 1 Mac 1960
ASAL: Jasin, Melaka
ADIK-BERADIK: Sulung daripada empat beradik
JAWATAN: Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd
AKADEMIK: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
SUAMI: Mohamad Manmohan Abdullah
ANAK: Sharina Manmohan (26), Shaliza Manmohan (22), Shazwina Manmohan (17)

Thursday, 7 July 2011

Kolam mancing Pak Abu

Dulu bekas lombong kini kolam ikan




MUSIBAH yang menimpa pengusaha ladang agro Iron Lake Agro Farm, Abu Bakar Awang, 54, pada Oktober tahun lalu membuatkannya tidak dapat tidur lena hampir tiga bulan. Dalam kejadian tersebut, lebih 60 ekor kambing jenis boer dan jamnapari hilang.

Akibat kejadian itu, Abu Bakar yang lebih selesa dipanggil Pak Abu terpaksa menanggung kerugian sekitar RM40,000. Ketika itu hanya tinggal kira-kira 60 ekor kambing sahaja dan kandang yang sebelum ini penuh, nampak kosong.

Ia amat menyedihkan kerana usahanya dalam bidang itu sejak tahun 2003 seperti sia-sia.

Bagi menyedapkan hati, bekas jurulatih ternakan dan pertanian di Pusat Latihan Belia Dusun Tua di Hulu Langat, Selangor selama lima tahun dari 1976 hingga 1981, meletakkan baki kambing yang ada di satu tempat supaya kambing nampak banyak dan penuh di dalam kandang.

Kandang kambing dengan keluasan 3.65 meter x enam meter itu terletak berhampiran sebuah kolam bekas lombong bijih besi iaitu di ladang agro Iron Lake Agro Farm di A1, Jalan Lombong, di Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah.

Selepas tiga bulan menenangkan fikiran dan menerima kejadian hitam itu sebagai ketentuan Allah, Pak Abu kembali bersemangat. Kali ini, dia bangkit semula untuk mencapai impian bergelar seorang pengusaha ladang agro berjaya.

Elak kambing hilang

Beliau kemudian mengusahakan kolam memancing dengan nama Iron Lake Fishing Centre Agro Farm berdekatan kandang ternakannya. Apabila kawasan meriah dengan kunjungan pemancing ia dapat mengelakkan kejadian kambing dicuri berulang lagi.

“Kolam seluas kira-kira 0.4 hektar yang merupakan bekas lombong bijih besi itu sudah lama ditinggalkan dan ketika itu saya dapat idea untuk membersihkannya bagi dijadikan kolam memancing,” ujarnya.

Beliau mula mengusahakan kolam pancing dengan membersihkan bahan buangan seperti kayu dan besi buruk yang tenggelam di dasar kolam serta menyediakan sebanyak 20 pondok untuk kegunaan pemancing.


ABU BAKAR (kiri) memberi ubat cacing kepada anak kambing peliharaannya di pusat memancing Iron Lake Agro Farm di Kampung Banggol Besi, Pendang.


“Sekarang semuanya sudah lengkap iaitu dengan kemudahan pondok rehat, surau, tandas dan juga gerai makan,” jelasnya.

Menurut Pak Abu, operasi kolam memancing itu semakin popular bukan sahaja dalam kalangan penduduk Pendang tetapi, juga daerah lain seperti Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dan Kuala Nerang.

“Saya tidak sangka kolam memancing yang dibuka hanya untuk mengelakkan kambing dicuri menjadi lebih maju, inilah hikmah di sebaliknya,” jelasnya.

Kolam pancing itu dibuka kepada orang ramai bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan bayaran RM23 untuk satu joran dalam masa tiga jam.

“Kami benarkan semua jenis umpan seperti dedak, roti dan lain-lain kecuali organ dalaman ayam kerana ia berbau busuk dan boleh mencemarkan kualiti air di sini,” jelasnya.

Selain itu, ujar Pak Abu, beliau juga akan mengadakan pertandingan memancing pada setiap hari Sabtu dengan tawaran hadiah pertama antara RM500 hingga RM1,000.

Tarikan kolam

Menyentuh tentang keistimewaan kolam pancing miliknya, Pak Abu berkata, kolamnya mempunyai kedalaman sehingga sembilan meter selain ikan yang dikatakan tidak berbau.

“Kaki pancing memang sukakan kolam yang dalam kerana boleh layan tarik ikan lebih lama berbanding kolam buatan sendiri yang tidak terlalu dalam,” katanya.

Ramai yang datang memuji ikan di lombong itu seperti ikan rohu, patin, patin mekong, keli dan likoh tidak hanyir seperti ikan di kolam pancing lain.

“Ada juga yang kata isi ikan rohu di sini lemak manis seperti ikan terubuk dan kebiasaannya ikan jenis ini dibakar kerana banyak tulang.

“Ikan-ikan di sini tidak hanyir mungkin disebabkan airnya lain berbanding kolam baharu buatan sendiri memandangkan kolam ini kolam lama iaitu bekas lombong bijih besi sejak lebih berpuluh tahun yang lalu,” ceritanya.

Beliau membeli stok ikan di beberapa kolam ternakan ikan di sekitar Ipoh, Taiping dan Gopeng di Perak dan akan memasukkan sehingga 500 kilogram ikan daripada pelbagai jenis ke dalam kolam pada setiap minggu.


PENGUNJUNG menggunakan pondok yang disediakan untuk berteduh sementara menunggu umpan dijamah ikan di Iron Lake Agro Farm.


“Air di kolam ini juga dialirkan 24 jam menggunakan pam air bagi memastikan kualiti air sentiasa terjaga sesuai untuk ikan-ikan hidup,” ujarnya.

Selain itu, kata bapa kepada tiga orang anak tersebut, suasana persekitaran kampung dengan angin sepoi-sepoi bahasa juga mampu menenangkan fikiran para pemancing di situ.

“Ada yang membawa keluarga berkelah sambil memancing di sini yang mana suasana di sini amat sesuai untuk berkelah kerana persekitarannya yang damai dengan pemandangan pokok kelapa, buluh merimbun dan sawah padi.

“Ada pemancing yang menjadikan kolam pancing ini seperti rumah keduanya dan sampai ke sini pukul 10 pagi dan pulang hanya pada sebelah malam,” katanya sambil tersenyum.

Malah, menurut Pak Abu, ada seorang pemancing yang boleh dikatakan hampir setiap minggu berkunjung ke kolam berkenaan. Menariknya pengunjung setia kolam Iron Lake Fishing Centre Agro Farm itu turut menawarkan khidmat nasihat dan mengajar cara membuat umpan serta memancing dengan betul secara percuma.

“Saya gelarkan dia sifu kerana sesiapa sahaja yang datang ke kolam pancing ini dan tidak tahu cara membuat umpan dan memancing dengan betul, boleh berguru dengannya secara percuma,” ujar Pak Abu lagi.

Mengenai perancangan masa hadapan, dia masih mengumpul modal untuk membina sebuah rumah tumpangan berkonsepkan homestay untuk penginapan para pemancing dan pelancong yang mahu merasai suasana di ladang agro berkenaan.

“Saya juga akan menanam lebih banyak pokok buah-buahan seperti manggis dan rambutan bagi mewujudkan suasana lebih redup,” katanya.

Tuesday, 5 July 2011

Ditipu pelaburan ikan patin


SYED IDRIS menunjukkan dokumen perjanjian pelaburan ikan patin buah dan laporan polis di Klang semalam.


KLANG – Impian seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga untuk mendapat habuan sebanyak RM1,440 sebulan dalam satu skim pelaburan ternakan ikan patin buah berkecai selepas mendapati dia ditipu syarikat pengendali ternakan berkenaan.

Bukan itu sahaja, Syed Idris Syed Ishak, 28, kini terpaksa membayar balik pinjaman bank berjumlah RM80,000 termasuk faedah selama 15 tahun yang telah dijadikan sebagai modal pelaburan tersebut.

Syed Idris berkata, dia terjebak dalam skim pelaburan itu setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya dan terpedaya dengan janji manis syarikat terbabit.

“Saya sebelum itu pergi ke syarikat tersebut di Bukit Tinggi di sini dan mereka menasihati saya supaya membuat pinjaman bank untuk menyertai pelaburan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Syed Idris yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta di Temerloh memberitahu, dia kemudian menandatangani surat perjanjian dengan syarikat terbabit pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan perjanjian, jelasnya, semua urusan perniagaan akan diuruskan oleh syarikat terbabit dan dia sebagai pelabur hanya menunggu bayaran bulanan.

“Saya juga diberikan sebuah sangkar yang mempunyai 1,800 benih anak ikan patin,” ujarnya.

Menurutnya, dia mula menerima habuan sebanyak RM1,020 pada Mac tahun lalu dan RM1,140 pada bulan berikutannya.

Bagaimanapun, kata Syed Idris, pada bulan Mei sehingga kini, dia tidak lagi menerima bayaran dan apabila syarikat terbabit dihubungi, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan.

“Mereka mendakwa syarikat telah berhadapan dengan masalah, banyak ikan mati dan kesukaran pasaran,” katanya.

Syed Idris berkata, tidak lama selepas itu dia cuba menghubungi pihak terbabit namun tiada jawapan sehingga dia terpaksa pergi ke pejabat syarikat berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati pejabat syarikat itu sudah ditutup menyebabkan saya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 23 Jun lalu sebelum merujuk kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Difahamkan terdapat lebih 20 pelabur lain terdiri daripada kakitangan kerajaan yang telah ditipu syarikat yang sama,” ujarnya.

Monday, 4 July 2011

Berjaya Ternak Arnab


BIASANYA minat, pengalaman dan galakan keluarga menjadi tunjang atas kejayaan seseorang. Tetapi berlainan pula dengan Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd. Ismail Padzil kerana bosan duduk di rumah selepas bersara daripada perkhidmatan swasta mendorongnya mengintai peluang perniagaan yang ada.

“Sebelum bersara daripada sektor swasta, saya tidak pernah merancang melakukan apa-apa.

“Tapi disebabkan tidak betah duduk di rumah saya menghadiri pelbagai kursus perniagaan dan penternakan termasuk melawat ladang ikan, ayam, kambing, lembu dan arnab,” katanya semasa ditemui di ladang arnab miliknya di Bukit Badong, Kuala Selangor baru-baru ini.

Memang pada mulanya projek ternakan terutama arnab tidak pernah terlintas di fikirannya.

Bagaimanapun projek ternakan yang tidak digemarinya satu ketika dulu, kini menjadi perniagaan yang amat disukai.

“Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, kerana kini saya dapati ternakan arnab mempunyai banyak ruang untuk diisi,” katanya.

Dia kini aktif dalam projek membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain sebagai haiwan peliharaan.

Selepas mengunjungi beberapa ladang ternakan arnab, Mohd. Ismail memulakan projek tersebut dengan membeli 40 ekor arnab pada tahun lalu.

Kini setelah lebih setahun, dia mempunyai lebih 3,000 ekor arnab pelbagai jenis termasuk pedaging dan arnab hiasan di tanah seluas tiga ekar milik keluarganya.

Mohd. Ismail juga rajin menghadiri beberapa kursus dan bengkel memilih arnab. Ini kerana haiwan berkenaan mudah diternak dan tempoh pembiakannya cepat berbanding haiwan lain.

Saiz arnab yang kecil membolehkannya dibiakkan di kawasan sangkar tanpa kawasan yang besar memudahkan pengurusan ternakan.

Selain itu beliau dapati tidak ramai penternak menternak arnab secara komersial walaupun permintaan terhadap daging arnab adalah tinggi.

“Lima bulan pertama saya di dalam ternakan arnab, saya dapati terdapat permintaan yang tinggi bagi daging arnab.

“Tambahan pula tidak ramai penternak arnab komersial terutama golongan Bumiputera menyebabkan saya semakin serius dalam ternakan arnab,” katanya.

Apabila ternakannya mencecah angka 400 ekor dalam tempoh enam bulan pertama, Ismail terus membeli baka baru seperti baka pedaging dan hiasan.

Jika pada peringkat permulaan, Ismail hanya mempunyai empat jenis baka arnab tetapi kini belia memiliki lebih 10 baka arnab termasuk pedaging dan hiasan.

Bercerita mengenai cabaran dalam ternakan arnab, Ismail mengakui arnab mudah dijangkiti dengan pelbagai penyakit terutama kudis.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan, Ismail terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membuat sangkar tambahan serta ubat-ubatan.

“Arnab sensitif dan senang berjangkit dan terpaksa dikuarantin bagi mengelakkan merebak ke ternakan lain,” katanya.

Ismail berkata selepas enam bulan bergiat dalam ternakan arnab, beliau sudah mula serasi dan berjaya menyelesaikan masalah kesihatan sehingga bilangan arnab mencapai 1,000 ekor.

Melihat kepada perkembangan pesat ternakan arnab, Mohd. Ismail mengambil keputusan membangunkan syarikat yang mengeluarkan produk arnab secara komersial.

Ismail mendaftarkan syarikat 1SRFT pada 9 September 2009.

Selepas hampir dua tahun terbabit dalam projek penternakan arnab, dia kini mampu tersenyum dengan memiliki 3,00 ekor.

“Seekor arnab dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab.

“Biasanya arnab peliharaan dijual pada harga bermula RM100 manakala arnab pedaging pula dijual pada harga RM38 sekilogram,” katanya.

Bagi memberikan yang terbaik bagi pelanggan, Mohd. Ismail mempunyai rumah sembelih halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ini bagi memastikan pelanggan mendapat daging arnab yang disembelih secara halal,” katanya.

Dia yang sentiasa memantau industri arnab mendapati, ternakan berkenaan mempunyai pasaran yang luas.

Malah katanya, bukan saja daging arnab mendapat permintaan yang tinggi, malah kulit arnab memikat pembeli dari luar negara.

“Buat masa ini saya berharap dapat mengedarkan daging arnab halal bukan saja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara.

“Kami memberi lebih perhatian kepada aktiviti penjualan baka kepada penternak dan peminat arnab, menjual daging segar kepada orang tengah dan pembuat sate,” katanya.

Selain menjual arnab daging dan hiasan, Ismail juga membuka zoo mini Taman Arnab Bukit Badong bagi menempatkan arnab serta beberapa haiwan seperti kuda, burung merak, monyet, ayam mutiara dan pelbagai jenis ikan.

“Taman Arnab Bukit Badong biasanya dikunjungi oleh pelawat sekitar Kuala Selangor terutama kanak-kanak sekolah dan tadika.

“Di sini mereka boleh bermain dan memberi makan arnab yang dilepaskan di kawasan terbuka,” katanya.

Tidak menoleh ke belakang, Ismail merancang membina restoran berasaskan daging arnab sebagai satu ciri keistimewaan.

Bagi merealisasikannya, Ismail telah mula menanam pelbagai jenis sayuran kampung yang biasa digunakan dalam masakan.

“Saya mahu mengikis perspektif negatif kebanyakan masyarakat di negara ini yang tidak gemar atau 'geli' hendak memakan daging arnab ini.

“Sebenarnya mereka tidak tahu yang daging arnab lebih berkhasiat daripada haiwan ternakan lain dengan dipanggang, daging arnab enak dimasak rendang, kari atau gulai," katanya lagi.