Pages

Thursday, 30 June 2011

Wardina beri blogger tempoh 14 hari

Wardina beri blogger tempoh 14 hari


WARDINA (kanan) menafikan dakwaan bahawa dia telah menyertai PKR sambil diperhatikan Muhammad Hanif pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pengacara popular, Wardina Safiyyah Fadlullah, 32, memberi tempoh 14 hari mulai semalam kepada pengendali blog yang mengaitkan dirinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mengeluarkan gambar dan artikel berkaitan dirinya daripada blog tersebut.

Menurut Wardina, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengendali blog terbabit masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Ujar pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 itu, blog tersebut telah memuat naik gambarnya semasa tidak memakai tudung yang disifatkan sebagai menghina dan memalukannya.

"Saya mempunyai anak dan suami. Membuka aib saya pada masa dahulu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.

"Jadikan kisah saya sebagai tauladan dan saya berharap hal ini tidak terjadi kepada artis-artis lain (yang kini memakai tudung)," ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Saturday, 25 June 2011

Keyakinan diri jadi aset


KEYAKINAN dalam diri adalah aset yang harus dimiliki setiap wanita ketika menggayakan apa jua jenis pakaian.

Bukannya sekadar membelanjakan wang untuk membeli pakaian yang mahal dan cantik, tetapi diri sendiri harus yakin untuk berhadapan dengan khalayak.


Itu prinsip dipegang anak gadis kelahiran Muar, Johor, Wan Esya Syakira Wan Noor Arzmi, 24.

Dia juga mudah berkongsi rahsia kecantikan dan berpakaian mengikut perkembangan terkini dengan sesiapa yang bertanya kerana baginya, ia satu kepuasan apabila melihat orang lain gembira.


Justeru, pakaian yang feminin dan dewasa menjadi pilihan gadis ini yang menjalankan perniagaan menerusi laman sosial facebook berpangkalan dari rumahnya di USJ 3, Subang Jaya dengan menjual pakaian dan kasut wanita

Kebanyakan pakaian pilihan Wan Esya Syakira terdiri daripada pelbagai gaya dan rekaan mengikut tema majlis yang sering diadakan seperti makan malam, majlis rasmi dan santai.

Wan Esya Syakira berkata, daripada segi harga, produk jualannya itu boleh dikatakan sangat berpatutan dan jauh lebih murah berbanding butik sedia ada berikutan perniagaan seumpamanya membabitkan kos yang amat minimum.

Selain itu, kualiti pakaian menjadi keutamaan kerana kebanyakan barangan dibawa masuk dari luar negara seperti Singapura tanpa menafikan produk aliran fesyen masa kini buatan Malaysia.

Rakan serta keluarga yang menetap di Kuala Lumpur dan Johor Bahru banyak membantu mendapatkan barangannya yang dipesan pelanggan supaya dapat dihantar segera tepat pada waktu yang dijanjikan.

Mengimbas semula pengalaman menceburi bidang perniagaan dalam talian, pada awalnya gadis ini bercita-cita menjadi penyanyi, namun rezeki ke arah kerjaya itu tidak menyebelahinya disebabkan saingan sengit.

Namun dia sebenarnya terkenal di kalangan wanita di Malaysia yang mengikuti perkembangan fesyen diilhamkan oleh ahli fesyen dan perniagaan terkenal, Kimora Lee Simmons.

Bermula dengan mengikuti perkembangan fesyen Kimora sejak dua tahun lalu, dia mula mengikuti fesyen serupa sehingga sudah sebati dalam dirinya seterusnya berkeyakinan tinggi ketika berhadapan dengan khalayak.

Melalui minatnya yang gemar membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur dan Singapura, gadis ini cuba mengadaptasi dalam kebanyakan rekaan yang dijual dengan harga yang mampu dimiliki oleh semua golongan.

“Tiada istilah pakaian cantik atau tidak. Sebab bagi saya, bagaimana kita menggayakannya. Apabila kita yakin dan selesa dengan pakaian kita, orang akan pandang kita dengan satu anggapan apa yang kita pakai cantik dan padan dengan kita,” katanya.

Walaupun masih muda, ia tidak menghalang Wan Esya Syakira meminati perniagaan dalam talian itu, apatah lagi dengan perkembangan fesyen yang sering berubah.

Keberaniannya menjalankan perniagaan sedemikian mula muncul selepas dia mendapat perhatian daripada gadis remaja dan wanita yang sering bertanyakan tempat dia mendapatkan pakaian yang dipakai dan bagaimana ingin kelihatan cantik di hadapan orang ramai.

Justeru, Wan Esya Syakira berasa dia mengambil keputusan bijak untuk berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian secara serius walaupun pada awalnya hanya mengisi masa yang banyak terluang sebagai juru solek sambilan.

“Dengan jumlah kenalan di kalangan pereka fesyen dan jurugambar profesional, saya lebih teruja untuk mengembangkan perniagaan lebih luas dengan lebih banyak rekaan yang sesuai dengan wanita zaman sekarang,” katanya ketika berbicara mengenai perniagaan yang dilabelnya ‘Pearl by Eisya Syakira’ dalam laman facebooknya.

Gadis yang mempunyai hobi mengumpul anak patung Barbie ini juga terkejut apabila mendapat permintaan tinggi iaitu hampir 90 peratus daripada keluaran pertamanya terjual pada hari pertama dia memulakan perniagaan dalam laman sosialnya.

“Saya percaya ramai yang lebih gemar membeli-belah di facebook berbanding keluar ke pusat beli-belah kerana masa yang agak lama diperlukan dan belum tentu pakaian yang dimahukan ada dijual,” katanya.

Berdasarkan daftar media edisi 2011, penembusan Internet di Malaysia meningkat daripada 15 peratus atau 3.7 juta orang pada 2000 kepada 60 peratus atau 16.9 juta orang pada 2010 dengan lebih separuh pengguna terdiri daripada wanita.

Dia hanya mengutip pengalaman mengikuti perkembangan fesyen Kimora Lee yang juga idolanya dalam dunia fesyen sehingga terbinanya laman facebook menjual pakaian dengan labelnya sendiri.

Dengan memiliki ribuan peminat, dia berbangga dengan pencapaian setakat ini dan yakin ia akan terus berkembang sejajar aliran pada masa kini.

Wan Esya Syakira turut menjadikan facebook peribadinya sendiri sebagai pemangkin untuk tujuan promosi kerana pada laman sosial itu bukan saja rakan dan keluarganya boleh mengetahui perkembangan terkininya, malah berpeluang melakukan pembelian.

Selain urusan permintaan, penawaran dan pertanyaan mengenai harga atau jenama berlangsung pada laman berkenaan. Hubungan silaturahim turut terjalin antara pelanggan.

Bersama rakan dan pengikut yang semakin meningkat pada laman itu, dia yakin ia dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan dalam talian yang diusahakannya.

Ketika berada dalam keadaan yang memerlukan bimbingan, rakan baiknya, Mohammad Anas Atan, 24, dan Norhaslina Mohammad Arifin, 25, yang banyak menolong memilih rekaan yang sesuai dan mengambil gambar tauke muda itu yang memperagakan sendiri pakaian dijual seterusnya dipamerkan kepada pelanggan.

“Mereka juga bagaikan penasihat termasuk memberikan panduan mengenai cara betul melayan pelanggan, bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan penulisan selain kepentingan menjaga hati dan kepuasan pelanggan.

“Dalam banyak perkara, semangat yang diberikan seperti kekuatan bagi saya. Walaupun Anas tinggal jauh dari saya, dia akan pastikan saya sentiasa bersemangat untuk teruskan perniagaan saya.

“Saya percaya rezeki itu ditentukan oleh Allah. Saya meletakkan harapan yang �
tinggi dengan perniagaan ini sebab semakin ramai wanita yang celik teknologi maklumat dan berkemampuan, tetapi masih ramai belum memiliki pakaian yang cantik dan mampu dibeli,” katanya yang merancang untuk membuka butik sendiri jika mendapat keuntungan lebih.

Dia juga akan terus berusaha memberi yang terbaik untuk setiap pelanggannya daripada segi kualiti barangan hingga ke pembungkusan dan penghantaran.

Menurutnya, keuntungan itu tidak penting sebaliknya memenuhi impian seseorang memiliki keyakinan untuk berdepan dengan khalayak ramai selain memakai pakaian yang cantik dan selesa.

Friday, 24 June 2011

Potensi ternakan tilapia

TILAPIA matang yang cukup umur akan dituai sebelum dimasukkan ke dalam kolam jualan.

SEBELUM terlibat secara serius dalam ternakan ikan air tawar, Abdul Karim Mohd. Yusof, 50, telah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan maklumat bersesuaian. Antara yang dilakukan seperti membuat kajian dan penyelidikan terhadap potensi perniagaan tersebut selain mengenalpasti permintaan pasaran.

Tujuannya adalah untuk memastikan dia benar-benar bersedia memulakan aktiviti ternakan itu sekali gus berhadapan dengan segala cabaran mendatang.

Selepas semuanya berjalan lancar, pada awal tahun lepas, Abdul Karim memulakan perusahaan ternakan ikan air tawar di tanah milik bersama adiknya seluas 2.4 hektar ( enam ekar) di Kampung Padang Melekek Luar, Alor Gajah, Melaka.

''Sebagai permulaan, saya dan adik membuka lima buah kolam untuk menternak ikan keli dengan modal RM100 ribu.

''Peringkat awal penglibatan, saya banyak dibantu oleh Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah daripada segi khidmat nasihat dan juga latihan.

''Selain itu, saya turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melekek Luar serta ahli keluarga yang banyak membantu,'' katanya ketika di temui di kolam ternakannya di Melaka baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, operasi penternakan itu dijalankan di bawah penjenamaan syarikatnya, Mentari Timur Agrofarm yang ditubuhkan pada awal 2010.

Selepas melihat perjalanan operasi ternakan keli yang terus stabil dan konsisten, dia terdorong untuk cuba menternak ikan tilapia pula.

Percaturannya berhasil apabila ternakan tilapia yang diusahakan memberi hasil memuaskan serta menerima permintaan tinggi.

Abdul Karim kemudiannya mengambil keputusan untuk lebih memberi fokus dan komitmen terhadap penternakan tilapia.

Kini, dia dan adiknya mempunyai sebanyak 19 buah kolam ternakan dengan 15 daripadanya merupakan kolam ternakan tilapia dan selebihnya ikan keli.

Bagaimanapun, dia turut bercadang menambah kapasiti ternakan kelinya pada masa akan datang.

Bercerita mengenai perniagaan ternakan ikan air tawarnya, Abdul Karim memberitahu, dia dan adiknya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutama di peringkat awal.

''Sebagai contoh, dahulu kami mengambil anak benih ikan daripada pembekal di Ipoh, Perak.

''Apa yang menjadi masalah, banyak anak benih ini mati disebabkan jarak perjalanan yang agak jauh.

''Mencari penyelesaian masalah itu, kami kemudian membeli pula anak benih daripada pembekal di sekitar kawasan negeri Melaka,'' katanya yang turut mempunyai perniagaan pengurusan sisa pepejal di sekitar Lembah Klang dan juga Alor Setar, Kedah.

Cabaran lainnya, ketika fasa awal aktiviti penternakan, dia berhadapan dengan masalah keadaan tanah dan air yang belum disesuaikan lagi.

Namun, untuk fasa kedua, dia dan adiknya semakin mempelajari teknik penternakan yang bersistem dengan penggunaan air yang lebih serasi untuk ternakan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berhadapan dengan cabaran penyakit serta serangan binatang seperti burung dan biawak.

Untuk mengatasi masalah tersebut, dia ada mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah.

''Pegawai Perikanan Daerah sering datang membuat lawatan untuk memberi nasihat dalam pelbagai perkara selain memeriksa sukatan kandungan pH dan kesesuaian air kolam yang diperolehi daripada anak sungai berhampiran,'' jelasnya yang turut dibantu oleh adiknya, Samsuddin Mohd. Yusof bersama beberapa kakitangan lain.


Tips ternak tilapia sangkar

TILAPIA merah atau nama saintifiknya Oreochromis sp dari famili Cichlidae adalah spesies ikan air tawar yang berasal dari Benua Afrika.

Ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 50-an, mempunyai kadar tumbesaran yang cepat serta warna yang menarik.

Ternakan ikan sangkar merupakan suatu proses pemeliharaan ikan dari peringkat juvenil hingga ke peringkat kutipan hasil.

Kaedah ternakan dalam sangkar biasanya dijalankan di kawasan di mana kolam tidak dapat dibina seperti di kuala sungai, selat, bekas lombong lama dan tasik.

Pemilihan tapak

Lokasi yang dipilih akan menentukan keupayaan muatan sangkar (carrying capacity) kerana kualiti air bergantung kepada keadaan persekitaran luar sangkar.

Aliran air menerusi sangkar semasa bekalan air dari empangan, tiupan angin atau pergerakan ikan dalam sangkar akan menambahkan oksigen terlarut dan mengeluarkan bahan buangan dari dalam sangkar.

Antara faktor penting yang perlu diberi perhatian semasa pemilihan tapak pemasangan sangkar ialah kualiti air, kedalaman air dan kelajuan air.

Kualiti air dan persekitaran yang baik akan memberi kesan terhadap tumbesaran dengan cepat bagi sistem ternakan secara intensif.

Berikut adalah parameter dimana suhu air (20-35 darjah C) optimum (28-32 darjah C), pH air - 6-8, oksigen terlarut - lebih dari 2.5 ppm, karbon dioksida - kurang dari 2.5 ppm dan ammonia - kurang dari 1.0 ppm.

Reka bentuk dan pembinaan sangkar

Model sangkar yang digunakan mengandungi 20 petak sangkar pada setiap array. Saiz kerangka bagi satu petak sangkar adalah 3.45 meter (m) x 3.45 m iaitu 3.45 m panjang dan 0.45 m tinggi.

Struktur kerangka sangkar disaran menggunakan bahan plastik HDPE (High density polyethlene).

Saiz mata pukat 250 mm yang digunakan sesuai untuk pertukaran air yang maksimum. Kedalaman jaring pukat kurungan ikan adalah antara 1.8 - 2.0 meter.

Isipadu jaring kurungan ikan dalam sangkar bersaiz 3 m x 3 m adalah antara 16-18 meter padu. Sangkar yang menggunakan kerangka besi (G.I Pipe) bersaiz 6 m x 6 m juga boleh digunakan bagi mengurangkan kos.

Pengasuhan anak ikan

Anak ikan yang bersaiz 2.5-5.0 sentimeter (sm) perlu diasuh terlebih dahulu sebelum dilepas ke dalam sangkar atau kolam ternakan.

Tujuan pengasuhan adalah untuk memilih anak ikan yang sihat, cepat membesar dan bersaiz seragam (antara 50 dan 70 g seekor) serta memastikan agar anak ikan tidak terkeluar dari sangkar.

Kadar pelepasan benih

Kadar perlepasan bagi benih di dalam sangkar asuhan adalah 100 ekor semeter persegi.

Kadar perlepasan bagi ternakan pula ialah 40 ekor semeter persegi. Kadar perlepasan yang rendah akan merugikan ruang yang terdapat dalam sangkar.

Kadar perlepasan yang terlalu tinggi pula boleh menyebabkan ikan lambat membesar dan merugikan masa ternakan.

Setelah mencapai saiz 7-10 sm ( antara 50 dan 70 gram seekor), anak benih ikan tilapia sesuai dipindahkan ke sangkar ternakan dengan jumlah 500 ekor setiap sangkar bagi sangkar bersaiz 3 m x 3 m manakala sangkar bersaiz 6 m x 6 m boleh dimasukkan 2,000 ekor benih.

Masa untuk melepaskan benih

Masa yang sesuai untuk melepaskan benih ikan ke dalam sangkar ialah pada waktu pagi dan lewat petang.

Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari kerana pada masa ini cuaca panas dan akan memberi tekanan kepada benih ikan.

Pada masa itu suhu air dalam beg plastik dan suhu air disangkar mungkin berbeza di mana perbezaan suhu yang ketara boleh mengakibatkan ikan mengalami tekanan dan kematian yang tinggi.

Kaedah pelepasan benih

Sukat suhu dari dalam tangki serta suhu air sangkar dan buat perbandingan.

Sekiranya suhu air dalam bekas lebih tinggi dari suhu air sangkar, maka perlu menambah air batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun sehingga ke paras yang sama dengan suhu air sangkar.

Sekiranya suhu air sangkar lebih tinggi dari suhu air dalam bekas benih maka tindakan menjemur tangki perlu dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air sangkar.

Setelah suhu sama, buka ikatan beg plastik dan masukkan air sangkar sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik dan biarkan benih keluar sendiri dari beg plastik.

Pemakanan

Makanan semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang terdiri dari fitoplankton dan zooplankton.

Ia penting bagi benih ikan di peringkat asuhan dan boleh didapati di dalam kolam seperti Moina, rotifer, cladosera, daphnid dan sebagainya.

Makanan rumusan pula adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang terdiri dari tiga kategori iaitu pelet pemula diberikan kepada benih yang baru dilepaskan sehingga berumur satu hingga dua bulan.

Pelet pertumbuhan merupakan makanan tumbesaran untuk ikan yang berumur melebihi dua bulan hingga empat bulan.

Pelet pengakhir pula adalah makanan penamat di mana saiznya lebih besar dari makanan tumbesaran dan diberi kepada ikan yang berumur melebihi lima bulan sehingga mencapai saiz pasaran.

Selain makanan tambahan sisa pertanian juga boleh diberi seperti daun ubi dan kangkong, sisa sayuran, dedak padi, gandum dan barli juga sisa dari kilang seperti hampas soya dan hampas kacang tanah dan ikan baja.

Penuaian

Ikan tilapia dituai apabila mencapai saiz antara 500 dan 600 g seekor.

Bagi pasaran restoran, keutamaan diberi kepada ikan yang bersaiz melebihi 600 g seekor dalam bentuk ikan hidup.

Jika kadar pelepasan ikan tilapia pada setiap sangkar adalah sebanyak antara 650 dan 850 ekor, anggaran hasil yang dituai adalah antara antara 350 dan 400 kg sesangkar.

Penuaian ikan hendaklah dilakukan dengan baik untuk mengelakkan ikan dari terkejut (stress).

Kawalan dan kesihatan

Penyakit ikan boleh berlaku atau disebabkan kekurangan oksigen larut dalam air, baja ternakan yang tidak reput, sumber makanan yang dijangkiti penyakit dan cuaca yang terlalu panas akan menyebabkan ikan mengalami tegasan dan lemah.

Keadaan ini akan menyebabkan agen penyakit akan menyerang ikan dan berlakunya jangkitan penyakit ikan penyakit juga boleh dibawa masuk ke kawasan ternakan melalui anak ikan yang diimport atau dibeli dari sumber yang tidak menentu.

Penyakit tompok putih iaitu penyakit yang disebabkan protozoa.

Tanda - tanda penyakit adalah tompok putih pada badan dan sirip ikan.

Ikan akan menjadi lemah dan timbul di atas permukaan.

Rawatan yang boleh digunakan ialah dengan memasukkan ikan yang diserang dalam larutan formalin dan garam dengan kepekatan 1000 ppm + 20-25 ppm 3 kali berturut-turut (setiap dua hari) selama dua minggu atau Kalium permangganat 2.0 ppm tiap-tiap hari selama 3 hari untuk atau natrium klorida dengan kepekatan 10 ppt tiap-tiap hari selama 3 hari.

Penyakit jangkitan trichodina disebabkan oleh parasit dan menyerang bahagian kulit dan insang ikan.

Akan terdapat lendir yang berlebihan pada kulit dan insang. Rawatan Rendam dalam Formalin 25 ppm 2 hari berturut-turut selama 1 minggu. Penyakit Argulosis Bintik-bintuk merah. Rawatan : Rendam dalam Formalin - 2.0 ppm.

Kegigihan suami azimat Eqien

MASIH tidak lekang di ingatan Datin Nor Halizatul Shida Mat Hassan bagaimana pelamin yang sudah dipasang terpaksa dirobohkan gara-gara keluarga pengantin tidak berkenan dengan coraknya.

Peralatan perkahwinan juga sudah disiapkan tetapi demi memenuhi kehendak pelanggan, Nor Halizatul Shida yang mesra disapa Eqien terpaksa memasang semula pelamin dengan dibantu kakitangannya walaupun ketika itu teramat letih dan mengantuk.

Bukan itu saja, Eqien pernah diminta memasak berkali-kali dalam sesi 'mencuba makanan' untuk sajian kenduri kahwin. Ikutkan hati, kerenah pelanggan sebegini mencabar emosinya namun memikirkan dia baru bertatih, pahit getir menjadi usahawan perlu ditangani secara berhemah.

Berkat ketabahan, selepas dua tahun Eqien semakin yakin melebarkan langkah demi meningkatkan lagi kejayaan Eqien Wedding Market.

"Dalam perniagaan, usah sesekali kita memandang status seseorang sebagai ukuran dalam berniaga. Apa dilakukan biar ikhlas dan memuaskan hati semua pelanggan, itu yang menjadi prinsip saya sejak dua tahun terbabit dalam perniagaan ini.

"Yang penting, bagi saya kami menjaga kualiti sama ada daripada segi menyiapkan tempahan seperti barangan hantaran, pelamin hingga kepada masakan yang disajikan.

"Ada kalanya, sikap bersedekah tanpa memberitahu tuan rumah perlu diamalkan kerana saya percaya kalau kita ikhlas, ada saja punca rezeki dikurniakan Allah. Kami bangga dengan kemajuan dicapai, apatah lagi mendapat banyak tempahan daripada pelbagai peringkat golongan," katanya.

Ikutkan, Eqien beruntung kerana bidang menyediakan kelengkapan dan peralatan pengantin sudah lama diceburi suaminya, Datuk Jamal Md Yunos.

"Kebanyakan pekerja kami adalah yang terlatih. Tidak timbul perkara remeh-temeh, bahkan ia mampu ditangani dengan sebaik-baiknya," katanya.

Mengaitkan bidang perniagaan bersama suami, Eqien boleh dikatakan beruntung kerana daripada hampir 25 syarikat dan pelbagai jenis perniagaan diterajui, dia turut memegang beberapa jawatan penting. Namun pengalaman ditengking suami di depan pekerja lain menjadi pengajaran berharga buatnya.

"Rasa terkilan juga kerana dimarahi di depan orang ramai hanya kerana berlaku sedikit kesilapan. Namun saya mengambil pendekatan positif dan anggap teguran suami untuk memberi pengajaran, jadi saya terima seadanya.
"Tambahan pula, apabila suami menyatakan secara lembut apa kesilapan dan bagaimana seharusnya sesuatu itu diselesaikan secara baik demi kepuasan semua orang, saya menerima dengan hati terbuka," katanya.

Wanita jelita berusia 27 tahun ini turut mengakui, untuk berjaya dalam kehidupan mahupun perniagaan, seharusnya ada 'seseorang' di sisi sebagai pemangkin semangat supaya tidak mudah patah apabila diuji sesuatu yang mencabar wibawa diri.

Rasa bertuah dianugerahkan suami penyayang, sekali gus menjadi pembimbing dalam apa saja aspek, bagai menyempurnakan impian untuk berjaya dalam perniagaan yang dicita-cita sejak kecil. Bagi Eqien, kegigihan suaminya menjadi azimat untuk dia mencipta kejayaan tersendiri.

"Saya dan suami masing-masing hanya berkelulusan SPM tetapi saya percaya jika kita berusaha, ganjaran daripada Ilahi tetap menanti. Justeru, kami berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya tidak mudah mengalah dengan memahirkan lagi bidang yang kami ceburi.

"Suami memulakan kerjaya sebagai budak penghantar surat dengan gaji sekitar RM300, pernah berniaga burger di Sentul, ditipu ribuan ringgit bahkan hampir muflis, tetapi ia tidak melumpuhkan semangatnya.

"Kini saya bangga hasil bimbingan dan meminjamkan semangat suami membuatkan pelbagai perancangan perniagaan terus dilakar tanpa menoleh ke belakang," katanya.

Mengenai perniagaan Restoran Ikan Bakar Sekinchan, Eqien berkata, dia dan suami merancang membuka 30 cawangan sehingga akhir tahun ini dan bakal beroperasi di seluruh negara termasuk Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Ipoh dan Pulau Pinang serta tiga di Jakarta.
Katanya, iltizam suami membangunkan satu restoran dalam seminggu serta meraih purata pendapatan yang lumayan bukan hanya untuk kepentingan peribadi, sebaliknya mahu muncul sebagai Bumiputera yang berusaha gigih dengan menapak dari bawah.

Menjadikan kesusahan lalu sebagai titik tolak penting dalam perniagaan selain berhasrat mengubah kehidupan penduduk di kampung asal suami iaitu Sekinchan, Selangor adalah inspirasi pasangan ini.

"Saya dan suami merancang membangunkan sebuah restoran besar di tapak tanah seluas 10 ekar di Sekinchan sebelum Ramadan, sebuah 'tower' 10 tingkat yang akan dikenali sebagai 'My Hypermarket' berkonsepkan seperti pasar raya gergasi, serta sebuah chalet 120 bilik yang akan dibangunkan di Sabak Bernam.

"Sebenarnya banyak lagi perancangan suami untuk membantu orang kampung seperti nelayan dan membeli hasil tanaman serai untuk digunakan bagi ramuan ikan bakar dengan belian lebih dua tan sehari. Dari situ saya menggalakkan orang kampung menanam serai dengan memberikan wang pendahuluan sebagai galakan.

"Mengenai perniagaan kereta mewah pula, IBM Automobiles Sdn Bhd semakin memberangsangkan. Walaupun baru tiga tahun beroperasi, kami ada beberapa cawangan di London. Semua ini hasil kerja keras kami dan pekerja yang inovatif dan sentiasa berusaha gigih untuk bersama-sama dalam susah serta senang.

"Pada saya, kesusahan hidup suami dan sering bercerita sebagai pedoman menjadi resipi penting. Kami terjemahkan kesusahan itu ke arah positif supaya tidak cepat lupa diri atau tersilau dengan sesuatu yang boleh membuat kami alpa.

"Untuk itu, yang penting suami menjadi rujukan terbaik kerana pengalamannya yang banyak, kesukaran zaman kanak-kanak sering menjadi 'buku panduan' penting dalam meniti perniagaan dalam dunia serba mencabar ini.

"Apapun, kekuatan mental dan fizikal serta tahu arah alirannya harus dijadikan aspek penting. Cara pengurusan dan kepercayaan diberikan, sanggup turun padang ke mana saja, bahkan serta bersama-sama membangunkan syarikat, melengkapkan kejayaan kami. Kalaupun sudah berjaya, kami amalkan sikap tidak cepat mendongak ke langit," katanya.



PROFIL

NAMA: Datin Nor Halizatul Shida Mat Hassan
LAHIR: 11 Oktober 1983
ASAL: Lenggong, Perak
ADIK-BERADIK: Kesembilan daripada 10 beradik
JAWATAN: Pengarah Urusan Eqien Wedding Market, Pengarah Urusan D'rinie Cosmetic, Pengarah Restoran Ikan Bakar Sekinchan dan Pengarah Liner Active
AKADEMIK: Sijil Pelajaran Malaysia
SUAMI: Datuk Jamal Md Yunos

Monday, 20 June 2011

Belajar urus duit lebih Jutawan di usia muda

MAHIR... Ku Nor Azreena mahir bertenun.
MAHIR... Ku Nor Azreena mahir bertenun.

KUALA LUMPUR: Baru berusia awal 20-an, namun mereka mampu memiliki dan memandu kereta mewah hasil kejayaan dan harta ibu bapa yang melimpah ruah.

Itu tuah badan beberapa gadis, namun semua itu bukan tiket untuk mereka lalai dalam kemewahan dunia, sebaliknya masing-masing mempunyai visi jelas bagi meneruskan legasi perniagaan keluarga.

Ikuti kisah hidup beberapa gadis yang berkongsi status kemewahan, tetapi pada masa sama punya pendekatan sendiri mengimbangi nikmat Tuhan, seperti diceritakan kepada wartawan Metro Ahad, NORIAH IDRIS.



  • Azreena suka bersikap sederhana

    “SAYA tidak meletakkan diri saya sebagai anak orang kaya atau terkenal. Mama hanya pengusaha songket yang gigih, bahkan saya diajar bersikap sederhana dalam segala-galanya. Yang penting, saya kagum dengan kegigihan mama, terutama dalam memartabatkan khazanah negara,” tutur Ku Nor Azreena Ku Yahya.

    Menyatakan hobinya yang gemar membaca novel, dia memperuntukkan bajet tertentu untuk membeli novel terbaru di pasaran sebagai koleksi dan turut menyimpan impian menghasilkan karya cerpen mahupun novel satu hari nanti.

    “Saya peruntukkan RM300 sebulan untuk makan dan membeli novel, bayaran bil telefon RM200, dan RM200 juga untuk menempah selendang bagi memenuhi kehendak pelanggan. Untuk pakaian seperti baju dan aksesori lebih kurang RM300.

    “Namun kalau berbelanja bersama mama, antara RM500 hingga RM1,000. Itu pun bergantung kepada bentuk pakaian dan bergantung kepada majlis dihadiri,” katanya menjelaskan perbelanjaan bulanannya.

    Gemar berbelanja secara talian kerana dianggap lebih memudahkannya, fesyen seperti ‘misslilyshop’ dan ‘modish shawl’ antara digemari. Untuk itu, apabila masa terluang dia melayari Internet untuk membuat tempahan memandangkan fesyen itu sesuai dengan trend remaja.

    Jika membeli-belah, Ku Nor Azreena gemar ke Pavilion, Kuala Lumpur atau One Utama, Petaling Jaya berikutan pusat beli-belah itu selesa untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan rapat.

    Kata gadis ini, ibunya Noriah Ashari, 48, pemilik Atikah’s Songket, sering memberi nasihat supaya menabung jika ada wang lebih dan bijak mengira belanjawan sendiri.

    Bapanya, Ku Yahya Kamardin Ku Ahmad turut memberi nasihat dan menjadi pakar rujuknya dalam hal berkaitan pembelajaran serta kecenderungan dalam membuat keputusan tertentu yang dianggap rumit.

    Acuan dibentuk ibunya turut membuatkan anak sulung tiga beradik ini mempunyai minat hampir sama iaitu penerus legasi perniagaan yang dijana wanita berasal dari Kuala Terengganu itu.

    Amat mencintai seni tenunan, anak kelahiran Terengganu dan dibesarkan di ibu kota Kuala Lumpur itu mengakui terdorong mempelajari bidang itu di peringkat sijil di Institut Kemahiran Mara (IKM) Rawang, Selangor tidak lama lagi sebagai permulaan kepada perjalanan cita-citanya.

    Pemilik Diploma Komunikasi Massa dari Kolej Segi ini dikenali sebagai gadis berdikari. Justeru tidak mahu dianggap terlalu bergantung kepada keluarga, dia menjalankan perniagaan butik secara talian dengan menawarkan pelbagai jenis pakaian seperti blaus atau baju kasual dan selendang yang didatangkan dari negara jiran, terutama Indonesia, bagi menguji keupayaan dirinya.

    Dia juga kerap berkunjung ke Vietnam dan Indonesia bagi mencari maklumat terkini mengenai lakaran fesyen semasa memandangkan ia ada penggemar tersendiri.

    Lagipun, katanya, kebanyakan koleksi pakaian dari Bandung atau Jakarta terkedepan daripada segi aliran fesyen serta sopan, manakala bagi selendang panjang (shawl) yang banyak mendapat perhatian, ramai sukakan coraknya untuk dijadikan koleksi menawan.

    “Saya seronok melakukan perniagaan talian ini hasil kerjasama dengan adik, Ku Nor Nadia. Mungkin kerana umur kami hampir sebaya dan beza saya dengan Nadia hanya setahun, cita rasa dalam dunia fesyen juga hampir sama.

    “Untuk itu, kami serius bila berbincang mengenai jenis pakaian yang mahu dibeli secara borong. Pada saya, semua ini mengajar kami bijak berfikir serta membuat keputusan.

    “Pengurusan masa penting bagi seorang remaja seperti saya kerana menggalas dua tugas sebagai pekerja dan penuntut dalam satu-satu masa. Oleh kerana terlalu sibuk dengan kedua-duanya, hubungan kami dengan keluarga dan adik-beradik serta sepupu sangat rapat. Bila ada kelapangan, kami juga menonton wayang dan bersantai bersama-sama.

    “Saya juga gemar melancong dan membuat pelbagai koleksi rantai kunci serta gemar dengan pelbagai bentuk beg tangan untuk disuai padan dengan pakaian. Pelbagai jenama beg tangan jadi kebanggaan, terutama yang berjenama, dan dibeli atas keringat sendiri sangat bernilai buat saya,” katanya.


    INFO

    NAMA: Ku Nor Azreena Ku Yahya
    JAWATAN: Pengarah Atikah’s Songket, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
    UMUR: 22 tahun
    LAHIR: 28 Mac 1989
    HOBI: Membaca cerpen, menulis blog, menonton wayang, melayari Internet, membeli-belah
    PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Kolej Segi
    CITA-CITA ASAL: Pembaca berita, usahawan
    MAKANAN KEGEMARAN: Sushi, coklat, ayam goreng
    IMPIAN: Membuka lima syarikat berasaskan hartanah, perhotelan dan pelbagai
    KERETA: Mercedes Benz




  • Vivy tumpu dunia fesyen

    BIARPUN menguasai dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perundangan dari School of Economic, United Kingdom, anak bongsu dua beradik ini tidak memilih bidang itu sebagai kerjaya.

    Obses terhadap dunia fesyen dan terdedah dengan pengalaman membeli-belah di London sepanjang lima tahun menuntut ilmu, dia memilih perniagaan fesyen dengan menjana FashionValet.net (FV) iaitu sebuah web yang menjual hasil kerja pereka tempatan menerusi talian.

    Vivy Sofinas Yusof bekerjasama dengan Fadzarudin Shah Anuar iaitu rakan sekolejnya yang masing-masing berusia 24 tahun ketika mereka menuntut di luar negara.

    Gadis berdarah campuran berasal dari Kajang, Selangor ini mengakui angan-angan mereka direalisasikan menerusi pembelian di Internet kerana yakin jenis perniagaan sedemikian belum popular di negara ini.

    Mengambil pengalaman di England apabila dia menggemari jenama Topshop dan Zara sehingga sanggup menggunakan duit kiriman bapanya untuk pakaian, kini minat itu dimanfaatkan menerusi proses penjualan fesyen di Internet dengan menawarkan rangkaian fesyen pakaian dan aksesori tempatan karya pereka tersohor seperti Minz, Gallo by Thian, PU3, Sereni & Shentel, Mimpikita, Dusk till Dawn dan pelbagai.

    Berhasrat muncul sebagai hab jenama fesyen Asia terbesar menerusi talian, semangat Vivy bagaikan disuntik besi berani apabila sambutan diterimanya di luar dugaan berikutan perniagaan dijananya hampir enam bulan mendapat sambutan di luar jangkaan.

    Katanya, sehingga kini hasil rekaan tempatan di FV menembusi pasaran Brunei, Indonesia, Singapura, UK dan Jerman.

    “Ketika memulakan perniagaan, saya bergerak dalam satu kumpulan yang mewakili generasi muda dan yakin pelancaran perniagaan ini berjaya kerana sokongan dan kekuatan bersama.

    “Mungkin semangat generasi muda mendorong kami bekerja keras dan saya ada ‘kru’ dibahagikan mengikut bidang tugas selain kami ada studio dan model untuk memastikan perencanaan kami berjalan lancar.

    “Dalam setiap fesyen yang ada, saya memiliki sehelai baju pada setiap jenama dijual. Bahkan, saya sangat selektif untuk setiap rekaan yang hendak menyertai FV,” katanya.

    Mengenai cara perbelanjaan pula, gadis ini memperuntukkan RM1,000 sebulan untuk membeli pakaian.

    Namun, katanya, jika ada majlis berprestij perlu dihadiri, tentu peruntukan kewangan bertambah.

    “Misalnya pakaian untuk majlis makan malam tentunya mahal dan saya terpaksa berbelanja ‘lebih’ daripada kebiasaan. Selain perniagaan ini, ayah ada elaun khas untuk saya dalam perniagaan hartanahnya di samping menyediakan pemandu untuk menyenangkan urusan seharian.

    “Di samping itu, paling kurang saya simpan duit dalam sebulan RM2,000 semata-mata untuk persiapan membesarkan perniagaan ini satu hari nanti. Emak dan ayah selalu berpesan supaya saya sentiasa berjimat cermat,” katanya.

    Vivi mengakui menjadikan bapanya yang terkenal dalam perniagaan hartanah sebagai rujukan penting sepanjang menjalankan perniagaan dan banyak nasihat berguna diperoleh.

    “Saya pernah buat kesilapan, maklumlah ini pengalaman pertama kali berniaga, tetapi ayah menegur dengan penuh berhemah, terutama dalam soal perbelanjaan. Daripada situ ayah bercerita mengenai selok-belok dan memberi nasihat berguna kepada saya.

    “Setelah enam bulan berniaga baru nampak keuntungannya, lalu saya yakin boleh pergi lebih jauh lagi. Namun saya masih mengharapkan nasihat ayah mahupun ibu dalam hal ini.

    “Tidak dinafikan sebagai ‘anak ayah’, saya rapat dan manja, bahkan jika hendak berkawan dengan lelaki, saya akan mempelawanya datang ke rumah dan mengenali keluarga lebih dulu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang beroperasi di Plaza Damansara, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.


    INFO

    NAMA: Vivy Sofinas Yusof
    JAWATAN: Pengarah Urusan FashionValet.net
    UMUR: 24 tahun
    LAHIR: 11 Disember 1987
    HOBI: Menulis blog, melancong
    PENDIDIKAN: Ijazah Undang-undang, School of Economic, United Kingdom
    CITA-CITA ASAL: Ahli perniagaan
    MAKANAN KEGEMARAN: Daging panggang
    IMPIAN: Membuka syarikat berasaskan hartanah




  • Niaga ‘bundle’

    MEMILIKI perniagaan ‘bundle’ walaupun masih bergelar penuntut di Unisel menjadi kebanggaan Norfariza Azami iaitu anak usahawan berjaya. Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 21 tahun yang dibesarkan di ibu kota ini memang peramah dan senang didekati.

    Barangkali ada yang beranggapan tidak mungkin anak usahawan berstatus Datuk sanggup menjalankan perniagaan pakaian yang dianggap lusuh oleh segelintir orang, namun baginya ia sesuatu yang menyeronokkan.

    Segala-galanya bermula apabila dia sekadar suka-suka menjual pakaian bundle apabila memikirkan ada orang tidak gemar kelihatan dalam pakaian baru. Untuk itu, secara berahsia dia melakukan perniagaan tanpa pengetahuan ibu bapanya menerusi blog dihasilkan sendiri iaitu sugarshop bundle@sugar88@yahoo.com.

    “Bila sambutan semakin memberangsangkan, baru saya berani menceritakan hal ini kepada emak dan ayah. Alhamdulillah, kedua-duanya tidak menghalang saya berniaga, bahkan memberi semangat supaya bijak mengendalikan perniagaan. Namun, paling penting adalah tumpuan terhadap pembelajaran.

    “Dari situ saya semakin berani mengorak langkah kerana daripada sekadar hobi, kini ia jadi pemangkin kepada saya untuk meneruskan usaha ini. Saya menganggap inilah permulaan langkah yang baik, justeru ia membentuk rangkaian niaga seterusnya. Titik-tolak ini saya anggap sesuatu yang menarik tetapi tidak membuatkan alpa dengan tugas sebagai pelajar walaupun memiliki perniagaan sendiri secara talian,” katanya.

    Dia turut melakukan tinjauan terhadap blogger dan menerusi mereka serta peminat barangan bundle, dia mendapati kebanyakan golongan itu tidak menggemari pakaian baru, sebaliknya lebih gemar menampilkan pakaian lusuh tetapi berkualiti.

    Apabila semakin mengenali aneka fesyen bundle, corak atau trend dicetuskan membuatkan dia semakin menguasai bidang itu yang disifatkan sungguh menyeronokkan.

    Ditanya mengapa sanggup melakukan dua kerja dalam satu masa sedangkan keluarga mampu memberi segala keperluan, gadis gemar berdikari ini berkata, dia tidak mengharapkan wang saraan keluarga kerana padanya berniaga menerusi blog memberinya pengalaman berharga.

    Dalam soal perbelanjaan harian pula, keluarga memahami dirinya dan memperuntukkan bajet tertentu bagi keperluan harian.

    Katanya, setiap bulan bapanya memberi RM1,000 hingga RM1,500 untuk perbelanjaan, termasuk bagi membeli pakaian atau aksesori, justeru dia gadis yang gemar bergaya dengan fesyen ‘up to date’.

    Menurutnya, peruntukan itu tidak termasuk soal pembelian buku atau aspek berkaitan kuliah kerana segala keperluan itu diuruskan bapanya yang mementingkan aspek pendidikan anaknya.

    Gadis yang gemar mengumpul koleksi kasut ini sedar seleranya bertukar kasut mengikut tema warna pakaian membuatkan dia menitikberatkan fesyen terbaru mengenai perkembangan kasut.

    Dia melakukan tinjauan di kompleks beli-belah serta melayari Internet bagi meneliti aliran terbaru di pasaran supaya tidak ketinggalan.

    “Daripada kasut berbentuk sandal, wedges’, tumit tinggi hingga ke but, semuanya saya ada. Saya juga gemar menaiki motosikal berkuasa tinggi dan membeli but bertumit tinggi. Dalam soal memilih kasut, saya cerewet dan ini menyebabkan bajetnya tinggi sedikit. Namun tidak bermakna setiap bulan ia dihabiskan untuk membeli kasut.

    “Mungkin sikap saya boros sikit, kadangkala bajet ‘lari’, tetapi saya ada simpanan sendiri untuk waktu terdesak. Kalau tidak, saya hubungi ayah dan memaklumkan apa saja masalah dihadapi,” katanya.

    Mengenai kenderaan pula, si gadis ini diberikan sebuah kereta oleh keluarganya dengan peruntukan berasingan RM800 sebulan untuk keperluan minyak bagi menyenangkan urusan pergi dan balik ke asrama.

    Oleh kerana dia belajar di Unisel yang terletak di Bestari Jaya (dulu Batang Berjuntai) serta tinggal berjauhan daripada keluarganya di Puchong, Selangor, keluarganya mengambil berat akan dirinya.

    Norfariza mengakui bidang pengurusan acara, terutama berkaitan muzik, turut menarik minatnya sehingga mendorongnya mengendalikan persembahan gigs di bawah band Indie.


    INFO

    NAMA: Norfariza Azami
    JAWATAN: Pengarah
    UMUR: 23 tahun
    LAHIR: 7 April 1988
    HOBI: Menyelam ‘bundle’, melayari Internet, melancong
    PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Selangor (Unisel)
    CITA-CITA ASAL: Ahli perniagaan
    MAKANAN KEGEMARAN: Nasi ayam
    IMPIAN: Memiliki restoran dan bidang pengurusan acara
    KERETA: BMW 325i




  • Buka kedai kek

    IMPIAN Erni Rineelawati Buhari, 21, memiliki sebuah kedai bakeri atau kek satu hari nanti semata-mata didorong oleh ingatannya yang tidak pernah padam buat ibu tercinta. Dia membesar dengan air tangan ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, wanita hebat yang bukan hanya jutawan kosmetik, malah kemahirannya di dapur diakui ramai.

    Selain itu, katanya, sejak kecil dia menggemari kek dan atas sebab itu mahu merealisasikan hasratnya dalam beberapa tahun lagi untuk memiliki kedai sendiri.

    Erni beranggapan bukan mudah menggapai impian itu tanpa insan tersayang namun dia perlu menguatkan semangat supaya tidak lalai, justeru usia remaja dikecapinya disifatkan sebagai fasa paling sesuai menimba sebanyak mana pengalaman.

    Biarpun sibuk di pejabat dengan tugas rutin sebagai eksekutif pentadbiran, gadis ini sempat mencuri masa meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang perniagaan bagi meningkatkan pengetahuan.

    “Menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) yang saya ikuti, hanya sebulan sekali atau dua kali saya ke universiti. Selebihnya belajar melalui ‘sidang video’ (video conference) atau pelbagai pendekatan lain digunakan untuk komunikasi dengan pensyarah. Walaupun sibuk menelaah dan tugas harian, saya harus bijak mengurus masa.

    “Begitu juga dalam perniagaan, bersama adik-beradik yang lain kami bersatu hati untuk menjadikan perniagaan ini sebaik mungkin dan mengekalkan reputasi sebagaimana dilakar emak dulu.

    “Walaupun bekerja dengan keluarga, saya anggap ia proses pembelajaran terbaik dan harus menapak perlahan-lahan dari bawah,” katanya.

    Mesra dengan sapaan Rinee, antara perkara disemai ibunya dan menjadi amalan gadis ini adalah bijak mengurus kewangan.

    Berikutan itu, katanya, setiap bulan duit gajinya diagih untuk simpanan sebanyak RM1,000 kerana daripada situ dia yakin dapat memanfaatkannya untuk membina empayar niaganya kelak.

    Dia akui bersederhana dan tidak boros berbelanja kerana bajet bulanannya sentiasa dikawal rapi dengan mendisiplinkan diri.

    Kesederhanaannya jelas terlihat apabila dia tidak bermewah daripada segi belanjawan pakaian bulanannya asalkan sesuai dan menarik untuk dipakai.

    “Saya jarang berbelanja atau membeli pakaian kerana selama ini emak yang belikan. Bila emak tiada, kakak sulung lakukan perkara sama buat saya dan adik. Cuma kalau ada majlis tertentu dan teringin sangat hendak beli baju baru, saya keluarkan bajet sendiri dalam sebulan lebih kurang RM300.

    “Daripada segi perbelanjaan kereta pula, duit minyak kira-kira RM300 sebulan tetapi belanjawan lain selalunya atas pengurusan syarikat. Dari situ dapatlah saya agihkan pendapatan bulanan secara berhemah.

    “Walaupun ada orang kata mungkin hidup saya dilimpahi kemewahan memandangkan saya anak jutawan, tidak semestinya saya boros berbelanja. Kalaupun ada, sesekali berhibur bersama adik-beradik ke karaoke, menonton wayang, main badminton atau boling,” katanya.

    Ditanya aktiviti waktu lapangnya, dia mengakui gemar memandu dan menikmati pemandangan alam sekitar. Ditemani rakan baiknya, dia memandu kereta BMW 325i ke destinasi tertentu demi menghilangkan rasa bosan.

    Menariknya mengenai gadis kelahiran Kuala Lumpur ini, dia dikenali sebagai sangat berdikari, umpamanya pandai menukar tayar atau menangani sesuatu perkara yang menimpa kereta.

    Berbekalkan pengalaman menukar dan membetulkan tayar kereta di tengah-tengah kota London sewaktu menuntut di sana tiga tahun lalu, dia langsung tidak menggelabah, sekali gus menepis pandangan lelaki bahawa wanita hanya tahu menaiki kereta tetapi tidak menguasai ilmunya.

    “Yang penting ketika di United Kingdom, saya belajar bagaimana disiplin dan berhemahnya orang Barat di jalan raya.

    “Kalau kita langgar lampu isyarat misalnya, polis akan kejar terus. Dari situ saya belajar berdisiplin di jalan raya dan mengharapkan ia menjadi amalan semua,” katanya.

    Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman pula, Rinee malu-malu kerana yakin belum masanya bercerita soal peribadi kerana usianya terlalu muda.

    Apapun, katanya, dalam menjalin sesebuah persahabatan kejujuran harus dijadikan landasan utama.


    INFO

    NAMA: Erni Rineelawati Buhari
    JAWATAN: Pengarah & Eksekutif Pentadbiran Nouvelle Beauty Centre, Kuala Lumpur
    UMUR: 21 tahun
    LAHIR: 18 Disember 1990
    HOBI: Melancong, badminton, boling, menonton wayang, karaoke
    PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan & Kewangan, Universiti Trent, Nottingham, United Kingdom
    IMPIAN: Membuka kedai bakeri
    KERETA: BMW 325i
  • Saturday, 18 June 2011

    Jana pendapatan dari rumah








    RUTIN harian Siti Sumera Deyana Sukri, 26, sama seperti wanita bekerjaya yang lain. Seawal pukul 6 pagi dia mula sibuk menguruskan anak-anak dan menyediakan sarapan pagi.

    Selepas menghantar anak sulungnya, Adam El-Badri Suhaidi Badri, 6, ke tadika dia bergegas pulang ke rumah kerana perlu bersiap-siap untuk ke pejabat.

    “Tetapi perjalanan ke pejabat hanya mengambil masa tak sampai seminit pun memandangkan pejabat saya terletak di luar kamar saja (ketawa),” terang Siti Sumera Deyana atau mesra dengan panggilan Mea sambil menunjukkan pejabat mininya yang kemas dan menempatkan para-para kayu yang dipenuhi koleksi fabrik serta pakaian jualannya.

    Jelas Mea, meskipun pejabatnya di dalam rumah, tetapi itu tidak bermakna dia bebas melakukan apa saja terutamanya dari aspek masa. Dia menyifatkan setiap detik begitu berharga dalam menentukan untung dan rugi penjualan produknya.

    “Setiap hari tepat pukul 8 pagi saya mula bekerja. Tugasan pertama saya memeriksa senarai tempahan produk daripada pelanggan dan mengemaskini stok-stok terbaharu dalam blog.

    “Kemudian saya beralih pula pada proses pembungkusan sebelum ke pejabat pos untuk proses penghantaran menggunakan perkhidmatan pos laju,” tutur Mea yang sempat melayan telatah dua permata hatinya walaupun sibuk mencatat senarai tempahan.

    Selain ketepatan masa, Mea yang mengasaskan Mea Sukri Shoppe yang menjual pakaian secara dalam talian turut menitikberatkan soal penampilan diri dan pemakaian.

    Jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut: “Jika di pejabat pekerja berdisiplin mematuhi etika berpakaian, mengapa etika ini perlu dihapuskan apabila kita bertugas di rumah? Lagipun imej yang kemas dan cantik menyuntik semangat bekerja yang tinggi.

    Berbicara tentang keputusannya bekerja di rumah, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu memberitahu segala-segalanya selepas dia melahirkan anak pertama.

    Tambah graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL): “Sewaktu menamatkan pengajian, usia anak saya baru saja mencecah setahun. Jadi, saya tak sampai hati keluar bekerja dan membiarkan si kecil dijaga pengasuh.

    “Namun, saya akui duduk di rumah saja mengundang kebosanan. Sebab itu, saya meminta izin suami untuk berniaga menerusi internet dan segala perihal perniagaan dijalankan di rumah. Ini bermakna selain berniaga untuk membantu menjana pendapatan peribadi, saya juga dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada anak-anak.


    SALAH satu bilik di kediaman Mea yang dijadikan tempat menyimpan koleksi pengantin jualannya.

    Dalam pada itu, Mea turut menyatakan idea bekerja di rumah timbul hasil pembacaannya di internet mengenai topik konsep pejabat ringkas di rumah atau SOHO (Small Office Home Office). Dia mendapati kebanyakan wanita di negara-negara maju memperoleh pendapatan lumayan menerusi konsep kerja SOHO.

    “Lagipun sekitar 2009, peluang pekerjaan di luar amat terhad gara-gara krisis ekonomi,” terang Mea yang merujuk kepada kegawatan ekonomi dunia yang mengakibatkan seramai 17,126 pekerja wanita di Malaysia hilang dan berhenti kerja.

    SOHO 30 tahun

    Tahun ini hampir tiga dekad terma SOHO digunakan. Sejak kehadiran teknologi canggih seperti komputer dan internet lewat 1990-an, negara maju dilihat semakin rancak mempraktikkan konsep SOHO. Kebiasaannya trend kerja itu menjadi pilihan individu atau syarikat yang menjalankan bisnes kecil-kecilan.

    Lazimnya, konsep SOHO dipraktikkan kelompok individu yang menjalankan bidang perkhidmatan seperti perakaunan, perhubungan awam, penulisan, penterjemah atau pun konsultasi berkaitan kertas kerja bagi sesebuah syarikat.

    Konsep SOHO dilihat bukan saja menjimatkan kos pengangkutan malah, turut mengurangkan pencemaran udara dan bunyi di jalan raya. Secara tidak langsung mengalakkan orang ramai menjana ekonomi negara tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.

    Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), setakat ini di negara berkenaan sebanyak 75 peratus rakyat tempatan selesa bekerja di rumah. Ekoran daripada itu, pihak kerajaan menjangkakan pada tahun 2013, jumlah individu yang bekerja di rumah akan mencecah 119.7 juta orang, manakala 1.19 bilion di serata dunia.

    Jimat perbelanjaan harian

    Bagi Fatmawati Abdullah, 30, dalam tempoh enam bulan bekerja dari rumah dia tidak terlepas berhadapan dengan cabaran-cabaran tertentu.

    Dia yang bertugas sebagai perunding perhubungan awam di sebuah agensi perhubungan awam swasta mengakui pada dua bulan pertama, dia berasa janggal dan sunyi kerana melakukan tugasan tanpa dikelilingi rakan sepejabat. Akui Fatmawati ia sedikit sebanyak menyukarkan dirinya melakukan tugasan dengan baik.

    Enggan membiarkan situasi berkenaan berterusan maka Fatmawati atau mesra disapa Bee, mengambil keputusan bekerja di luar rumah untuk sementara waktu.

    SELAIN boleh memasak di rumah, Bee juga berjaya menjimatkan sehingga RM800 sebulan untuk caj parkir dan minyak kereta.

    “Bayangkan selama sedekad saya sudah terbiasa bekerja di pejabat dan dikelilingi rakan sekerja. Jika tertekan atau pun kepenatan menyelesaikan kerja menimbun, rakan-rakan menjadi tempat mengadu. Tetapi situasi ini sukar didapati apabila bersendirian bekerja di rumah. Semuanya perlu diuruskan sendiri tanpa bantuan teman-teman.

    “Namun, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kini, rutin kerja harian kembali normal. Setiap hari selepas bersiap, saya akan duduk di pejabat yang diletakkan berhampiran meja makan. Selain mengemaskini e-mel, saya akan menghubungi majikan untuk bertanyakan tugasan terbaharu dan mengurusnkan temu janji bersama pelanggan,” ujar Bee kepada Kosmo!.

    Tambah graduan Ijazah Hiasan Dalaman, Universiti Sains Malaysia (USM), biarpun konsep kerja sebegitu masih baru dilaksanakan oleh warga tempatan, tetapi Bee menyifatkan SOHO membantu mengurangkan kos perbelanjaan bulanan dan masa.

    Bukan itu saja, kini anak kelahiran Kuala Terengganu tersebut gembira kerana tidak perlu lagi tertekan dengan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke pejabat. Pada masa yang sama berjimat RM800 sebulan daripada membayar caj parkir, minyak kereta dan tol.

    “Saya keluar rumah sekali-sekala itupun berjumpa pelanggan, menguruskan acara dan menghadiri mesyuarat bulanan bersama majikan.

    “Hakikatnya, tidak sukar untuk bekerja di rumah, asalkan pejabat mini dilengkapi komputer, mesin faksimili, mesin cetak, internet dan telefon. Kelengkapan ini memudahkan urusan komunikasi,” ujar Bee.

    Monday, 13 June 2011

    Kontraktor ternak udang harimau



    Udang yang dituai terus dimasukkan ke dalam bekas berisi ais bagi mematikannya sekali gus memastikan ia tetap segar biarpun disimpan lama.


    BERMULA hanya sebagai kontraktor binaan, Lim Ah Cham, 50-an, kini bangga bergelar usahawan ternakan udang harimau yang berjaya di Sabah.

    Anak kelahiran Perak itu tidak segan silu berkongsi maklumat dan pengalamannya mengusahakan ternakan udang harimau yang semakin memberangsangkan.

    Jika di Semenanjung, jumlah penternak udang harimau kini dilihat semakin berkurangan ekoran pelbagai masalah yang dihadapi berkaitan kawasan yang sesuai.

    Malah, boleh dikatakan hampir tiada pengusaha yang menternak udang harimau kini berikutan mereka telah beralih kepada ternakan lain yang rata-rata lebih mudah untuk diternak.

    Menurut Ah Cham, minat yang mendalam menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad terjun ke bidang akuakultur biar pun tidak memiliki pengalaman yang mendalam sebagai seorang penternak udang.

    ''Pekerjaan asal saya adalah kontraktor, jadi saya banyak melakukan kerja-kerja di lapangan sebelum saya temui kawasan ternakan sekarang ini.

    "Di Sabah, airnya lebih cantik berbanding kawasan di Semenanjung sekali gus menjadikannya kawasan yang amat sesuai untuk ternakan udang harimau," ujarnya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan media Jabatan Perikanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar ke Tawau, Sabah baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Shabki Mahmood

    Ah Chan yang mengusahakan ternakan akuakultur tersebut menerusi syarikat Pegagau Food Products Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 2000 dan secara rasminya pada 21 Jun 2002 dan kini memiliki kilang pemproses udang terbesar di Sabah.

    Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan syariat terbabit hanya memiliki 10 buah kolam sahaja semasa awal penglibatan dalam bidang penternakan udang harimau tersebut.

    Kini ladang ternakan udangnya berkembang kepada 500 buah kolam di sekitar Semporna, Sabah yang membolehkan hasil dituai saban hari.

    Namun, menurutnya, permintaan yang diterima ketika ini melebihi pengeluaran menyebabkannya terpaksa menolak banyak tempahan daripada pembeli dari luar negara.

    "Sehingga kini kita hanya mampu membekalkan udang ke Korea Selatan, Jepun, Taiwan, China dan Vietnam dengan jumlah eksport antara 20 dan 40 kontena sebulan.

    "Permintaan amat tinggi, terutamanya dari luar negara. Apa yang memeningkan saya adalah untuk memenuhi permintaan tersebut," jelas beliau.

    Biar pun memiliki kawasan ternakan udang seluas 365,153 ekar yang jalankan oleh anak syarikatnya iaitu Pegagau Aquaculture Sdn. Bhd. namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

    Ujarnya, bagi memastikan bekalan sentiasa ada, udang perlu dituai setiap hari. Justeru pihaknya perlu menyusun jadual pelepasan anak benih bagi setiap kolam agar ia menepati masa tuaian dan tempahan yang telah dibuat.

    "Kita ada banyak kolam, jadi jika mahu setiap hari ada udang yang dituai, kita perlu masukan benih udang berturutan.

    "Jika tidak, udang tidak dapat dituai pada masa yang ditetapkan," kata beliau.

    Selain menternak udang harimau, Lim juga melakukan pembenihan udang agar memudahkan pihaknya memperolehi benih.

    Jelasnya, benih udang harimau amat sukar untuk diperolehi justeru terpaksa membina sebuah pusat pembenihan sendiri bagi memastikan bekalan anak udang tidak terputus.

    Kini, setiap hari antara 16 dan 18 tan udang harimau dituai dan terus dihantar ke kilang pemprosesan sebelum dieksport ke luar negara.

    Tambahnya lagi, terdapat sesetengah negara seperti Jepun menempah udang tanpa kepala dan kulit mendorongnya membuka kilang pemprosesan lain untuk tujuan tersebut.

    Sisa kulit dan kepala udang boleh diproses untuk dijadikan baja. Namun beliau masih belum memiliki kelengkapan untuk tujuan itu.

    Buat masa kini, sisa udang yang tidak digunakan terpaksa dilupuskan begitu sahaja. Tetapi beliau sedang berusaha untuk menyediakan peralatan memproses sisa buangan udang tersebut agar dapat dimanfaatkan.

    Produk udang beliau kebanyakannya akan dibekukan sebelum dieksport keluar negara.

    Ketika ditanya apakah cabaran terbesar dalam perusahaan menternak udang harimau, beliau menjelaskan, bahawa di dalam perniagaan sentiasa ada untung dan rugi.

    Pada tahun lepas beliau telah mengalami kerugian namun pada tahun 2011 perniagaan kembali pulih seperti sedia kala.

    Selain itu, cabaran penyakit dan haiwan perosak juga turut mengancam ternakan udang harimau.

    Malah cerita Lim lagi, jika udang dijangkiti virus ataupun penyakit, ia akan mati dengan pantas.

    Ternakan beliau pernah mati hanya dalam masa satu malam yang menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

    Namun, atas sikap tidak berputus asa, beliau terus berusaha untuk bangkit dan kembali berjaya sehingga kini.

    Bagi sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam bidang ternakan udang harimau, nasihat Ah Chan agar mereka banyak belajar dan jangan meninggi diri.

    Katanya, tanpa pengetahuan yang luas berkenaan udang, pasti penternakan serta perniagaan berkenaan udang harimau tersebut tidak akan berjaya.

    Beliau sendiri turut melakukan pelbagai rujukan dan banyak mencari maklumat malah sering menerima nasihat sebelum mula menceburkan diri dalam sektor penternakan udang harimau

    Tuesday, 7 June 2011

    Kuih bakar sejuk beku dapat sambutan



    NURA Mardi bersama kuih bakar sejuk beku berperisa jagung, pandan dan keladi buatan syarikatnya


    HIDANGAN kuih bakar memang popular di kalangan komuniti masyarakat Melayu negara ini.

    Rasanya yang enak, manis dan bertekstur lembut menjadikannya sesuai dibuat santapan ringan untuk minum petang atau sebagai pencuci mulut.

    Walaupun terdapat pelbagai jenis kuih moden muncul di pasaran, namun makanan tradisional ini masih terus diterima baik.

    Ia biasanya dijual di pasar-pasar malam dan juga bazar-bazar jualan pada hujung minggu.

    Mencari peluang mempromosi kuih bakar secara komersial, ia kini disediakan dalam bentuk sejuk beku.

    Pendekatan baru itu dijalankan oleh syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan iaitu Perusahaan As-Nura.

    Bercerita mengenai bisnesnya, pengusaha syarikat itu, Nura Mardi, 51, memberitahu, dia telah terlibat dalam perniagaan kuih-muih dan kerepek sejak tahun 2001 namun hanya mula dikomersialkan menjelang 2008.

    ''Saya sudah biasa berniaga kerana dahulu saya selalu membantu keluarga menjual hasil tanaman jagung dan ubi.

    ''Selepas berkahwin, saya terlibat pula dalam bisnes kacang goreng, pelbagai jenis kuih dan kerepek di kantin sekolah,'' katanya ketika di temui di kilang kuih bakarnya di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

    Bagi menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, dia aktif menyertai aktiviti-aktiviti anjuran Persatuan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) sehingga dilantik sebagai Pengerusi.

    ''Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti kelas membuat kuih, khidmat nasihat dan lawatan ke kilang-kilang perusahaan.

    ''Ilmu yang diperolehi dimanfaatkan untuk memperluas dan mempertingkatkan perniagaan saya,'' jelas ibu kepada lima orang anak ini.

    Nasib terus menyebelahi Nura apabila dia terpilih menerima dana perusahaan daripada kerajaan bernilai RM10,000.

    Dana tersebut digunakan untuk membeli peralatan membuat kuih seperti mesin pembancuh dan ketuhar.

    Kesemua aktiviti perusahaan dijalankan di rumahnya dengan bantuan suami dan anak-anak.

    Melihat potensi perniagaan itu, dia kemudiannya membuat pinjaman modal Kredit Mikro daripada Agrobank sebanyak tiga kali bernilai RM10,000, RM20,000 dan RM30,000.

    ''Sambutan pengguna sangat menggalakkan terutama untuk kuih bakar. Jadi, bagi memenuhi permintaan itu, saya mendapat idea untuk menghasilkan kuih bakar secara sejuk beku.

    ''Tujuannya supaya kuih bakar sejuk beku ini boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan disimpan sebelum dipanaskan sekiranya terdapat permintaan.

    ''Selepas menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2008, permintaan terhadap kuih bakar ini terus meningkat termasuk daripada Singapura dan juga Brunei,'' katanya yang mempunyai seramai tujuh orang kakitangan.

    Tahun 2010 pula menyaksikan Nura membina kilang perusahaan kuih bakarnya di Semenyih dengan kos RM250,000 selain bantuan dana pembungkusan produk daripada RISDA bernilai RM44,000.

    Melihat keunikan kuih bakar sejuk beku ini, ia tersedia dalam empat pilihan perisa iaitu pandan, labu, jagung dan keladi selain boleh disimpan untuk tempoh enam bulan.

    Hari ini, kilang perusahaan Nura mampu mengeluarkan sebanyak 800 biji kuih bakar sehari dengan penggunaan 64 kilogram tepung.

    Produk kuih bakar sejuk beku ini telah memasuki pasaran kedai-kedai runcit, hotel-hotel, pasar raya besar Mydin dan juga kedai FAMA dengan harga RM4.20 sebungkus.

    Untuk perancangan masa hadapan, Nura turut bercadang menghasilkan kuih bakar berlauk seperti daging, ayam dan udang.

    Bagi memantapkan perniagaannya pula, dia turut menghadiri beberapa siri kursus anjuran Jabatan Pertanian dan juga RISDA selain mengikuti ekspo Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

    Friday, 3 June 2011

    Ladang anggur Malaysia

    Ladang anggur Khatulistiwa

    ANAK pokok anggur yang sedia ditaman di kawasan tanah lapang.

    ANGGUR, yang suatu ketika dianggap eksklusif kerana harganya mahal, diketahui hidup subur di negara-negara beriklim sejuk. Bagaimanapun, hasil kemajuan teknologi hibrid membolehkan tumbuhan renek itu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia.

    Di negara ini, anggur ditanam buat pertama kali oleh Jabatan Pertanian Perlis kira-kira 20 tahun lalu.

    Sejak itu, anggur telah menjadi sebahagian daripada tanaman buah-buhan di negara ini termasuk dijadikan pokok hiasan di laman rumah. Walaupun rasa dan teksturnya tidak sehebat anggur import, ia masih dianggap memiliki kelas tersendiri.

    Di Ladang Anggur Sendayan, Negeri Sembilan, pokok anggur ditanam secara terbuka seratus peratus dalam skala yang besar iaitu di atas sebidang tanah seluas 10 hektar.

    Ladang yang diusahakan sejak tahun 2006 ini dimiliki oleh sebuah syarikat bumiputera, A-Winn Global Market Services Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

    Menurut penyelia ladang anggur berkenaan, Saidon Sadri, pihaknya menyediakan persekitaran semula jadi untuk dirasai sendiri oleh pengunjung ladang berkenaan.

    “Di negara luar, kebanyakan pokok anggur ditanam di dalam rumah hijau yang dibina untuk mengawal suhu dan keadaan persekitaran demi memastikan hasilnya nanti bermutu tinggi.

    “Namun, di ladang ini semua pokok anggur ditanam di kawasan terbuka. Ini sekali gus mendedahkan kepada orang ramai bahawa anggur juga boleh hidup di kawasan beriklim Khatulistiwa,” katanya.

    Celoteh jejaka berusia 35 tahun ini bagaikan satu ensiklopedia pertanian. Ilmu agro yang dihirup Saidon sepanjang berguru bersama wakil pengusaha dari Thailand bukan calang-calang nilainya.

    Baka Siam

    Katanya, terdapat empat jenis baka utama anggur di ladang itu yakni Shiraz, White Malaga, Black Pearl dan Black Opal.

    Jika ada rezeki, pengunjung boleh merasai sejenis lagi baka anggur hibrid iaitu Black Pink.


    BUAH anggur boleh dipetik selepas 120 hari ia berputik.

    “Kesemua jenis anggur itu berbeza dari segi rupa dan rasa. Shiraz mempunyai biji, berwarna kehitaman apabila masak dan rasanya agak masam berbanding anggur jenis lain.

    “White Malaga adalah satu-satunya spesies anggur di sini yang berwarna hijau, berbentuk lonjong dan mempunyai rasa yang manis. Setangkai anggur jenis itu pernah mencatat rekod seberat satu kilogram.

    “Begitu juga Black Pearl dan Black Opal yang sangat manis rasanya dan biasanya tidak berbiji,” ujarnya sambil menceritakan rasa manis Black Pink yang warnanya merah kehitaman dan berbentuk lonjong.

    Tambah Saidon, anggur di ladang itu berbuah mengikut giliran dalam empat peringkat. Setiap peringkat melibatkan masa selama kira-kira empat bulan.

    Menurut beliau, anggur boleh berbuah sebanyak tiga kali setahun tetapi ia boleh direhatkan dengan memangkas dahannya.

    Tempoh rehat itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan daya rintangan pokok terhadap penyakit.

    “Ketika pokok-pokok direhatkan, baja kesuburan akan ditambah manakala ranting dan daun dipangkas untuk menghasilkan tunas baru,” jelas Saidon.

    Kata beliau lagi, tunas baru pokok yang dipangkas tadi akan berputik dalam tempoh tiga minggu. Selepas 120 hari, buah-buah anggur yang matang boleh dipungut.

    Cabaran utama yang dihadapi sepanjang tempoh pokok anggur berbuah tentunya ancaman penyakit, ulat dan mergastua.

    “Burung merah mata dan gembala kerbau paling gemar menghabiskan waktu di ladang ini semasa pokok sedang berbuah.

    “Adakalanya penyakit yang disebabkan oleh teritip dan ulat pelombong daun turut menjejaskan hasil anggur,” getusnya yang menceritakan ladang itu pernah diserang monyet liar.

    Leceh

    Selain itu, faktor persekitaran juga menjadi penyumbang kepada kerosakan pokok.

    “Jika hujan turun terlalu kerap, daun dan batang anggur akan mereput. Buahnya menjadi berbintik-bintik hitam seolah-olah berkarat kerana sifat berasid anggur yang sensitif kepada air,” ujar Saidon.

    Saidon tidak menolak dakwaan bahawa anggur susah untuk dijaga, namun jika pemiliknya bijak mengendalikan tanaman itu, ia pastinya mudah sahaja.

    “Anggur perlukan tanah yang sentiasa lembap tapi pantang tanah yang boleh menakung air kerana akar serabutnya mudah rosak dan tidak sekuat akar tunjang.

    “Tanah yang sesuai untuk penanaman anggur adalah tanah berpasir yang neutral dan senang untuk digemburkan,” tambahnya yang juga mencampurkan tanah gambut serta penggunaan batas untuk pokok-pokok anggur.

    Beliau mengesyorkan tanah berbukit memandangkan sifatnya yang tidak menakung air. Baja yang sesuai juga amat diperlukan oleh pokok yang sedang membesar.

    Baja organik, kata Saidon, adalah yang paling baik kerana kandungan nutrien aslinya yang tinggi berbanding baja kimia.

    “Ladang ini menggunakan baja khas yang diproses daripada debu gunung berapi yang diimport dari Thailand selain baja kompos serta bahan buangan daripada haiwan seperti lembu dan kelawar,” katanya yang menggunakan nisbah 50 kilogram baja kimia NPK (nitrogen, fosforus dan kalium) untuk setiap sembilan kilogram baja debu gunung berapi.

    Pokok anggur perlukan pengairan yang sempurna. Sehubungan itu, penyiraman dilakukan pihaknya sebanyak dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

    “Teknik percikan air ke bahagian batas pokok berdekatan dengan batang dibuat selama dua hingga tiga jam setiap hari menggunakan sumber air yang dipam dari tasik buatan di sekitar ladang,” jelas Saidon.

    Kahwin

    Tut dan kahwin adalah antara kaedah yang sering digunakan Saidon untuk menambah bilangan anak pokok anggur.

    “Paling cepat anak pokok boleh dialihkan ke dalam beg poli ialah sekitar 10 bulan selepas melalui proses tut atau kahwin,” katanya yang jarang menggunakan teknik keratan batang dan semaian biji kerana tempoh pertumbuhannya yang lambat.

    Anak pokok akan memanjat selepas berusia sebulan dan buah pertama yang dihasilkan pokok baru biasanya akan berasa masam.

    Sebagai alternatif, bagi yang individu yang berminat memiliki pokok anggur sendiri, teknik penanaman secara bongsai digalakkan.

    “Kaedah ini hanya menggunakan pasu dan para yang boleh dibina sendiri mengikut saiz dan keperluan,” katanya yang turut menjual anak pokok anggur kepada pengunjung di ladangnya.

    Ladang Anggur Sendayan dibuka untuk kunjungan pelawat seawal pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 4 hingga 7 petang setiap hari. Ia mengenakan bayaran masuk serendah RM3 bagi kanak-kanak dan RM5 bagi dewasa.

    Pengurus Operasi Eksekutif, Ladang Anggur Sendayan, Zaiton Disa menyasarkan bilangan pelawat seramai 200 orang setiap hari.

    “Selain orang tempatan, kami juga menerima kunjungan pelancong dari Singapura dan Brunei yang sangat tertarik dengan keunikan Anggur Sendayan,” katanya yang turut merancang untuk menambah bilangan pokok anggur yang berjumlah 4,500 batang pokok kini.

    Selain itu, pihaknya juga bakal bekerjasama dengan Kementerian Asas Tani dan Jabatan Veterinar untuk memulakan penternakan haiwan berskala sederhana.

    “Kita harap dengan adanya perkembangan ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk singgah di ladang ini sekali gus membangunkan industri pelancongan dalam negara,” tuturnya.