Pages

Monday, 30 August 2010

Sedap Tapai Naikkan Nama Felda Bukit Waha


Kalau nak tau nilah kg aku walaupun sedap tapai memang dah popular serata dunia tapi sebenarnya banyak gak org bukit waha ni yang keluarkan produk tapai dengan pelbagai nama dan pelbagai rase.cuma sedap tapai lebih meluas pasaranya dan tokey nyer pon bagus .Pak cik suboh aku panggil.senang citer memang dia nih org pandai meniaga.pebander semua boleh jadi duit.kalo nak belajar meniaga bleh cari pakcik nih.ok

Sedap Tapai Felda Bukit Waha


Suboh Bechek bersama tapai ubi di kedainya di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi baru-baru ini.


KOTA TINGGI 3 Nov. – Jika Felda Semenchu terkenal dengan program inap desa di kalangan pelancong dalam dan luar negara, Felda Bukit Waha di sini pula popular dengan keenakan tapainya.

Individu yang bertanggungjawab menaikkan nama Felda Bukit Waha sebagai lokasi pembuatan tapai adalah Suboh Bechek, 54, dan isteri, Minah Janggi, 52.

Tapai adalah sejenis makanan tradisional yang dibuat daripada beras pulut atau ubi kayu yang dimasak dan dicampur ragi.

Pasangan yang dikurniakan tujuh orang anak itu memilih untuk berniaga tapai kerana sering didedahkan dengan pembuatan tapai oleh ibu bapa masing-masing.

“Kiranya sebelum berniaga tapai pun kami sudah sering makan dan melihat macam mana emak kami membuat tapai,” kata Suboh semasa ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tapai ubi dan pulut yang dihasilkan di bawah jenama ‘Sedap Tapai’ yang diedar menerusi syarikat Sedap Tapai Enterprise amat istimewa kerana diperbuat daripada ubi kayu kulit merah.

Ubi kayu tersebut ditanam sendiri oleh Suboh di kawasan seluas 32 hektar ekar di beberapa tapak tanah di felda berkenaan.

“Tapai saya sejak dulu lagi diperbuat daripada ubi merah kerana rasanya lebih sedap berbanding ubi kayu biasa. Saya beruntung kerana tidak pernah putus bekalan ubi sebab saya tanam sendiri.

“Saya tanam ubi secara berperingkat-peringkat dan sebab itulah saya tidak pernah putus bekalan seperti peniaga lain,” katanya.

Ubi-ubi yang ditanam bukan sahaja diguna untuk membuat tapai, malah dijual kepada peraih atau di kedai runcitnya yang terletak berhampiran pintu masuk utama felda berkenaan.

Suboh yang telah menanam ubi kayu sejak 15 tahun lalu berkata, adakalanya ubi yang ditanam dapat mengeluarkan hasil sehingga 300 kilogram (kg).

“Bagi yang sudah biasa makan Sedap Tapai, kita tidak boleh tipu mereka kerana tapai buatan kami tidak pernah berubah rasa. Pernah sekali ada penjual kata tapai Felda Bukit Waha kepada pembeli.

“Sebenarnya, tapai keluaran kami semuanya ada pelekat di penutup bekas. Itu yang membezakan Sedap Tapai dengan tapai-tapai lain,” katanya.

Menurutnya, tidak ada beza antara tapai yang dibungkus dengan daun pisang, daun getah atau bekas plastik kerana keenakan dan kemanisan bergantung kepada cara pembuatannya.


Minah Janggi menunjukkan tapai pulut pelbagai perisa.


Katanya, tapai adalah antara makanan pencuci mulut yang remeh untuk dibuat kerana semua bahan perlu sekata dan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Faktor utama bagi memastikan tapai sedap adalah kebersihan. Saya tidak ada pantang larang dalam pembuatan tapai,” katanya berterus terang.

Setakat ini, Suboh menghasilkan tapai ubi dan pulut yang dihasilkan dalam tiga perasa iaitu biasa, strawberi dan pandan.

Dia merancang untuk mencuba pelbagai perasa tapai dengan bimbingan Jabatan Pertanian pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, setakat ini, tapai saya sudah menjadi hidangan kerabat diraja Johor dan ubi yang saya tanam pernah sampai ke Brunei.

“Kalau ada yang ingin membeli benih ubi kayu merah, saya tidak jual tapi bagi secara percuma. Begitu juga kalau ada yang tanya cara untuk membuat tapai, saya akan beritahu tanpa sebarang bayaran.

“Bagi saya, biarlah ilmu yang ada dikongsi bersama kerana biarpun resipi sama tetapi cara pembuatan selalunya berbeza,” katanya.

Justeru, dia turut mengadakan bengkel pembuatan tapai dan sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan.

Selain membuat tapai, Suboh sekeluarga turut menghasilkan opak iaitu makanan macam keropok diperbuat daripada ubi untuk jualan, memelihara ikan tilapia, ikan merah, keli dan arnab.

“Saya ini jenis yang tidak suka duduk diam. Selagi kudrat ada, saya akan cuba menanam atau memelihara apa sahaja.

“Kalau kita rajin, pelbagai produk boleh dihasilkan kerana kalau projek itu bagus pasti pihak Felda akan bantu,” katanya.

Pada yang ingin menempah tapai Sedap Tapai Enterprise boleh menghubungi talian 012-7039953 dan 012-7001807.

Monday, 16 August 2010

Untung Besar Jual Benih Kurma

Dulu minat herba, kini jual pokok kurma


KURMA menjadi makanan pilihan sepanjang Ramadan.- Gambar hiasan


BUAH kurma bukan lagi asing bagi masyarakat di negara ini khususnya umat Islam, lebih-lebih lagi apabila pada bulan Ramadan.

Namun pernahkah anda terfikir untuk menanam pohon kurma atau memiliki sendiri ladang kurma di negara ini?

Atau memiliki sebuah tapak semaian benih kurma untuk dijual secara komersial? Atau sekadar menanam pokok kurma di halaman sebagai hiasan yang indah?

Usahlah berasa hairan jika berhasrat demikian kerana ia kini bukanlah sesuatu yang mustahil!

Selama ini, apa yang diketahui umum ialah pohon kurma hanya terdapat di negara padang pasir dan jika ditanam di negara ini maka persepsinya ialah pokok itu tidak akan berbuah.

Namun kajian menunjukkan pokok kurma boleh ditanam dan mengeluarkan buah di mana-mana sahaja jika diusahakan dengan cara yang betul.

Selain itu, tanggapan terhadap pokok kurma juga tidak seharusnya dilihat dari segi penghasilan buah semata-mata kerana ia juga cukup indah jika dijadikan hiasan di halaman.

Menyedari potensi besar tanaman pokok kurma, seorang guru matematik, Mohd. Rahof Abdul, 48, di Kampung Tehel Bemban, Melaka nekad mengeluarkan benih anak pokok kurma untuk dijual secara komersial sejak tiga tahun lalu.

Berbekalkan sedikit modal, dia mula menanam 1,200 benih pokok kurma sebagai permulaan di tapak semaian yang terletak bersebelahan rumahnya dengan keluasan sekitar separuh gelanggang badminton.

Ternyata, kegigihannya ternyata tidak sia-sia bahkan memberi pulangan lumayan apabila hasil jualan anak-anak pokoknya mendapat sambutan menggalakkan.

Ia dijual kepada orang ramai dengan harga sekitar RM250 sepokok bergantung kepada saiz dan usia.

Mohd. Rahof memberitahu, permintaan tinggi terhadap pokok tersebut menyebabkan kini hanya tinggal kira-kira 300 anak pokok kurma yang masih boleh dijual.

‘‘Daripada 300 anak pokok itu, sebanyak 250 adalah jenis baka Tunisia manakala baki 50 lagi dari jenis Ajwa yang berusia antara enam bulan hingga dua tahun setengah,” katanya ketika ditemui Mega di Bemban Melaka baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau memilih untuk menjual anak pokok dalam polibeg kerana lebih mudah berbanding menjual pokok kurma dewasa yang harganya lebih mahal dan lebih sukar untuk dipindahkan.

Dengan cara itu, pembeli boleh menjaga sendiri dan melihatnya membesar sehingga mencecah usia dewasa .

Jika dijaga dengan baik mengikut kaedah pendebungaan yang betul maka ia mulai mengeluarkan buah ketika berusia antara lima hingga tujuh tahun.

Mengimbas semula bagimana timbul minat terhadap anak pokok kurma, Rahof berkata, beliau asalnya gemar menanam pokok herba.

Bagaimanapun selepas menyaksikan sendiri sebuah syarikat kontraktor berjaya menjual sebatang pokok kurma dengan harga RM2,000 kepada sebuah resort di Melaka untuk dijadikan hiasan, minatnya mula timbul.

Katanya, hasrat untuk membuka tapak semaian anak pokok kurma semakin membuak-buak apabila berkunjung ke Madinah dan Mekah.

‘‘Di Madinah kita boleh lihat hotel menjadikan pohon kurma sebagai hiasan, ia bertambah cantik bila disapu syalek.

“Selain itu, di sana juga kita boleh lihat pokok kurma sungguh cantik dijadikan hiasan di kaki lima jalan raya,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Jasin.

Maka sekembali di tanah air, dia melihat terdapat ruang dan peluang yang luas untuk rakyat negara ini menceburi bidang penanaman pokok kurma secara komersial khususnya bagi masyarakat Islam yang amat dekat kehidupan mereka dengan kurma.

Lebih-lebih lagi, katanya, pohon kurma bukan sahaja disebut beberapa kali dalam al-Quran tetapi juga terbukti terlalu mempunyai banyak khasiat.

Bagi tujuan hiasan, keindahan pokok kurma tidak dapat dinafikan lagi untuk dijadikan hiasan bagi menggantikan pokok palma atau kelapa sawit atau tanaman biasa lain.

Ini kerana, katanya, ia akan lebih menampakkan imej Islam dan mempunyai nilai estetika yang tinggi dan menenangkan khususnya untuk lokasi seperti masjid, surau, pusat Islam, universiti, lokasi awam dan sebagainya.

Selain itu, debunga kurma juga boleh digunakan bagi meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki untuk pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata.

Allah s.w.t menjadikan buah kurma cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tiada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau.

Allah pelihara dan memuliakannya manakala pokok kurma mesti disenyawakan oleh tangan manusia.

Di Madinah hanya orang Arab sahaja yang sanggup memanjat dan turun naik ke atas pokok kurma untuk melakukan pencantuman ini.

‘‘Pendebungaan secara manual oleh manusia dengan mengambil debunga jantan lalu diketuk ke mayang pokok betina,” kata Mohd. Rahof.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan anak pokok kurma boleh menghubungi beliau di 013-6476591 atau emel di rahofmra@yahoo.com.my.