Pages

Monday, 29 March 2010

Ternak siakap dalam sangkar bawa keuntungan


Sangkar ikan siakap yang sedang dalam pembinaan.


BERMASTAUTIN berhampiran Sungai Kakap, Pekan, Pahang menjadikan Raja Zainuddin Raja Omar tidak 'segan' dengan hidupan air. Gemarkan sesuatu yang baru, Raja Zainuddin mula mencari aktiviti yang lebih mencabar sebagai mata pencarian.

"Saya mula menyusuri anak Sungai Kakap bagi meninjau potensi ikan siakap di sana.

"Malah Sungai Kakap juga mendapat namanya daripada ikan siakap," katanya semasa ditemui di sangkar ikan siakap kepunyaannya di Sungai Kakap, Pekan, Pahang.

Lawatan ke sangkar ikan Raja Zainuddin merupakan salah satu daripada siri lawatan program Agrochallenge ke-6 Putrajaya ke Pekan anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Menceburkan diri dalam penternakan ikan siakap putih di Sungai Kakap pada tahu 2002, Raja Zainuddin bermula hanya dengan 16 petak.

Beliau memperoleh benih ikan siakap dengan bersaiz tiga hingga empat inci dari Terengganu dan Johor yang diletakkan dalam sangkar terapung berkeluasan 10 kaki x 10 kaki x 5 kaki.

Biasanya ikan siakap boleh dituai pada bulan ke lima atau mencapai berat lebih kurang 500 gram (g).

"Ketika ini kami sudah boleh memilih dan menggredkan ikan yang sesuai untuk dipasarkan di sekitar Kuantan.

"Kami menjual ikan segar pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram," katanya.

Melihat kepada usahanya yang mendatangkan hasil lumayan, beberapa rakannya berminat untuk bersama-sama dalam ternakan ikan siakap sangkar.

Pada 2005, hasil kerja keras, Raja Zainuddin bersama-sama rakannya mempunyai 60 sangkar ikan siakap.

"Melihat kepada kesesuaian kawasan dengan ikan yang dituai mendapat sambutan yang menggalakkan di sekitar Kuantan, kami menambah bilangan sangkar sehingga mencapai jumlah 60 petak.

"Menguruskan sangkar yang banyak bukan suatu kerja yang mudah tetapi dengan kerja gotong-royong antara pemilik sangkar dapat memudahkan kerja," katanya.

Sehingga kini tapak ternakan ikan Raja Zainuddin mempunyai 234 sangkar ikan siakap di dua tapak ternakan berlainan.

Ketika diminta berkongsi mengenai masalah dan cabaran menternak ikan dalam sangkar, Raja Zainuddin berkata, dia tidak menghadapi masalah besar besar kecuali keadaan air, teritip serta pasaran ikan kolam.

Ini menyebabkan mereka tidak meletakkan sangkar yang lebih dalam bagi mengelakkan masalah teritip.

"Biasanya ikan kolam lebih murah berbanding ikan sangkar tetapi rasanya agak berlainan.

"Masalahnya apabila pengguna yang lebih gemar membeli pada harga rendah tidak mengendahkan kualiti ikan yang dibeli," katanya.

Bagaimanapun bagi mendapatkan benih ikan yang lebih berkualiti, Raja Zainuddin bersama-sama usahawan ikan sangkar mengusahakan Sg. Kakap Enterprise pada tahun ini bagi menghasilkan benih ikan.

Selain itu Jabatan Perikanan juga menghulurkan bantuan melalui Pusat Asuhan Benih Ikan Pinggir Laut Sungai Kakap bagi memastikan benih ikan yang dihasilkan bermutu.

Menyentuh mengenai makanan ikan, Raja Zainuddin berkata, pihaknya tidak bergantung kepada pelet atau ikan baja.

"Walaupun harganya murah, kami lebih gemar menggunakan anak-anak ikan yang tidak digunakan," katanya.

Apa yang membanggakan kolam ternakan ikan Raja Zainuddin telah menerima pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk menjalani latihan amali.

Mohd. Akmal Ali pelajar jurusan Perniagaan Tani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) gembira dapat mendalami ilmu perniagaan dalam industri perikanan.

"Saya bercadang mendalami pelbagai ilmu dalam bidang pertanian dan perikanan sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan," katanya.

Empayar bermula dengan RM30


Mempunyai seramai 20 pereka, tidak mustahil sekiranya Jakel dilabelkan sebagi gedung tekstil terkemuka tanah air. Bangga dengan rekaan corak tersendiri, Jakel sering mendapat perhatian ramai khususnya menjelang musim perayaan.




"APA jua jenis perniagaan tentunya mempunyai masalah. Kalau tidak mahu ada masalah jangan sesekali melibatkan diri dalam perniagaan."

Itulah antara kata-kata semangat daripada arwah bapa yang dipegang oleh Pengarah Urusan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel dalam mengembangkan empayar perniagaan tekstil mereka.

Mengangkat intipati pesanan itu sebagai azimat niaga, ia nyata telah menjadi suntikan motivasi hingga terbinanya sebuah jenama gedung tekstil tersohor di Malaysia.

Merupakan anak kedua daripada 12 adik-beradik, Mohamed Faroz merupakan peneraju utama yang menaikkan nama Jakel sehingga ia dikenali umum.

Mengimbas kembali penubuhan Jakel sejak tahun 1985, perniagaan itu hanya beroperasi di sebuah premis yang kecil di Muar, Johor.

Hanya berbekalkan modal RM30 dan dua tenaga kerja, Jakel menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan runcit tanpa membayangkan keuntungan besar.

Tahun demi tahun mereka berniaga untuk survival masa hadapan. Perkembangan skala operasi dan jaringan bisnes tidak sekali-kali mengubah prinsip asas mereka iaitu untuk menjual jenis fabrik yang mampu dimiliki oleh semua golongan.

Cabaran membina nama

Bagaimanapun, apabila melihat kejayaan Jakel yang berdiri teguh pada hari ini selepas tempoh lebih 25 tahun, bukan sedikit liku dan cerita jatuh bangun yang didepani syarikat itu.

"Perasaan hasad dengki dalam persaingan dunia niaga memang menuntut kesabaran yang tinggi. Sebenarnya ia merupakan perkara biasa dalam bisnes. Apabila perniagaan kita nampak maju sedikit, mulalah orang hendak menjatuhkan kita," katanya.

Menurut Mohamed Faroz, pernah ada pihak yang menyebarkan fitnah kononnya kain yang mereka jual tidak bermutu tinggi dan berharga mahal.


KEISTIMEWAAN gedung dan jenama Jakel menjadi buah mulut wanita urban di bandar hingga pelosok desa.


"Malah, tanggapan itu terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Apatah lagi, perniagaan fabrik kini mempunyai saingan amat sengit," ulasnya ketika ditemui Stailo di Wisma Jakel, Jalan Masjid India baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, ketika negara mengalami krisis ekonomi pada tahun 1996, Jakel turut menerima tempiasnya. Tetapi disebabkan Jakel mempunyai strategi perniagaan yang baik, keadaan itu tidak terlalu menjejaskan kedudukan operasi Jakel.

Siapa sangka ketika banyak syarikat bergelut dengan iklim ekonomi sekitar tahun 1997, Jakel dilimpahi rezeki apabila mampu membesarkan ruang niaga dengan membeli panggung wayang Rex untuk dijadikan stor dan jualan runcit di Segamat, Johor.

Menyentuh mengenai cawangan syarikat yang kini sudah mencecah sebanyak 18 buah, Mohamed Faroz memberitahu, ilham tersebut bermula pada tahun 2000.

Ketika berada di Segamat, boleh dikatakan setiap hari Jakel menerima kunjungan lawatan daripada pembeli yang mana kebanyakannya dari luar Johor. Dari situ terdetik untuk memperbanyakkan lagi cawangan di kota-kota lain di seluruh negara.


MOHAMED FAROZ banyak belajar mengenai kesungguhan dan kesabaran dalam menjalankan bisnes.


Premis yang terletak di Kuala Lumpur sebenarnya mula ditubuhkan pada tahun 2008. Ternyata usaha melebarkan sayap ke ibu negara membuahkan hasil yang lebih lumayan buat Jakel.

Ini kerana nama Jakel bukan hanya menjadi sebutan para pelanggan golongan biasa. Bahkan, ia turut dipilih sebagai gedung tekstil kegemaran golongan ternama dan pereka fesyen tanah air.

Apa yang membuatkan Jakel mudah diterima ramai kerana konsep mesra pelanggan yang diterapkan syarikat itu amat berkesan.

"Kita tidak memilih pangkat pembeli. Kalau mereka datang beli di sini, layanan yang diberikan sama sahaja iaitu seorang pembeli akan dikendalikan oleh seorang jurujual.

"Bermula dari pemilihan dan potongan fabrik semuanya akan dibantu oleh jurujual yang sama," terangnya yang kini sudah tujuh tahun menerajui perniagaan tekstil Jakel.


PELBAGAI pilihan material dan corak tekstil menarik boleh didapatkan di gedung Jakel.


Hari ini, Jakel muncul sebagai syarikat pengimport dan penjual utama produk tekstil untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Kejayaan besar Jakel apabila syarikat itu mendapat hak eksklusif menjual jenama-jenama kain terkenal, termasuk Valentino, Pierre Cardin, Roberto Cavalli dan Emanuel Ungaro.

Bagi himpunan yang tidak terlalu mahal, pelanggan boleh memilih seleksi fabrik seperti sutera Korea, sutera sulaman Thai, sifon bermanik dan bermacam-macam lagi.

Melewati usia 25 tahun, kejayaan Jakel dilihat semakin menyinar di persada tekstil negara apabila membuka cawangan baru di Seksyen 7, Shah Alam pada 25 April ini.

Gedung seluas 7,432 meter persegi itu memenuhi permintaan pelanggan yang tidak memerlukan orang ramai berkunjung ke tempat lain untuk mendapatkan fabrik.

Jelasnya, bangunan setinggi enam tingkat itu akan dimuatkan dengan pelbagai jenis fabrik yang sesuai dijadikan baju tradisional atau pengantin. Malah, butik terkenal Arianni turut diletakkan di dalam gedung yang sama bagi penggemar dan pemakai tudung.


JAKEL pernah menaja material bagi persiapan persalinan Datuk Siti Nurhaliza ketika penyanyi tersohor negara itu menjayakan Konsert Satu di Istana Budaya tahun lalu.


"Shah Alam dipilih sebagai lokasi gudang terbesar kerana ia memberi kemudahan kepada pelanggan yang tinggal berdekatan kawasan sekitarnya termasuk dari Subang Jaya, Damansara, Klang atau Puchong.

"Jadi, mereka tidak perlu bersusah payah untuk datang ke cawangan Kuala Lumpur. Kami juga menyediakan ruang parkir yang luas demi memberi keselesaan kepada pengunjung," katanya yang kini perlu mengendalikan seramai 4,000 kakitangan.

Selain itu, Jakel turut tidak melepaskan peluang membantu peniaga Bumiputera dengan menyediakan kemudahan francais. Menariknya, francais yang diberikan itu bukannya meletakkan label nama Jakel, sebaliknya pemilik kedai tersebut boleh menggunakan pilihan nama sendiri.


PELBAGAI pilihan kain bermutu tinggi boleh disesuaikan dengan bajet pelanggan.


"Nama Jakel hanya tertera kecil di bawah nama kedai tersebut. Walaupun kedai itu bukannya nama Jakel tetapi barangan yang dijual merupakan 100 peratus dari gedung kami.

"Sehingga kini kita mempunyai 14 francais yang mana antaranya terdapat di Pahang, Kelantan dan Kedah," terangnya.

Rai pelanggan

Dalam pada itu, sempena ulang tahun Jakel ke-25 yang hanya diraikan sekali setahun, gedung ternama tersebut mengadakan promosi hebat untuk menghargai pelanggan mereka yang setia memberi sokongan.

Bermula 26 Mac hingga 18 April ini, orang ramai boleh mendapatkan habuan menarik apabila membeli-belah di Jakel kerana setiap pembelian akan menerima ganjaran istimewa.

Hadiah tersebut bukan hanya untuk pembeli bertuah, tetapi semua pelanggan boleh menikmati promosi tersebut apabila setiap pembelian RM250 ke atas akan mendapat hadiah fabrik bernilai RM50.


PARA peserta pertandingan Miss World Tourism 2009 turut mengunjungi Jakel.


Sementara itu, bagi yang meniti detik menjadi raja sehari, pembelian set pakaian pengantin renda Perancis yang berharga RM259 bakal menerima hadiah kain songket bernilai RM100.

"Bukan setakat fabrik untuk pakaian, mereka yang membeli langsir berukuran 10 meter bakal dihadiahkan dengan tambahan langsir berukuran lima meter.

"Tawaran yang disediakan ini memang menguntungkan apatah lagi ia bukannya terhad kepada bilangan pelanggan tertentu yang ke gedung kami," katanya.

http://kosmo.com.my

Saturday, 27 March 2010

Bila lagi orang Melayu hendak bersatu!

http://www.mysinchew.com/files/preview/292x300..Keadilan_4.jpg

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah orang yang kita pilih sebagai wakil rakyat kawasan kita tersalah pilih. Sistem demokrasi memberikan orang ramai peluang memilih orang yang mewakili kepentingan mereka. Malangnya kita lihat setiap hari pelbagai jenis masalah rakyat yang timbul yang wakil rakyat yang dipilih tak tahu atau tak ambil tahu. Lihat saja program Aduan Rakyat dan Expose yang mendedahkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Kadang-kadang kita terfikir apakah rakyat tahu latar belakang orang yang mereka pilih untuk mewakili mereka. Kebanyakannya orang ramai terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat oleh orang politik semasa berkempen. Selepas pilihan raya ramai wakil rakyat ini ghaib entah ke mana.

Kalau kawasan mereka di kampung, itu hanyalah untuk mendapatkan kawasan. Dia tinggal di bandar raya dan sekali sekala saja menjenguk kawasan mereka. Tetapi bila hendak pilihan raya, setiap minggu pun boleh nampak muka. Asyik tertipu sajalah orang ramai!

Ada juga wakil rakyat yang melantik wakilnya pula untuk mewakili mereka. Jadi wakil ini kadang-kadang lebih pula lagaknya daripada orang yang jadi wakil rakyat. Kata pepatah 'besar sudu daripada senduk.' Mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat memang tidak ramai. Ramai yang bertujuan berkhidmat untuk diri sendiri. Jadi tidak hairanlah tuduhan menjadi wakil rakyat untuk mendapatkan kontrak dan projek.

Kalau kita perhatikan arus perdana media kita setiap hari tidak lekang daripada cerita politik. Semakin hari semakin hangat. Akhir-akhir ini macam-macam cerita belakang tabir muncul dan lebih lakulah surat khabar. Saman menyaman di kalangan ahli politik sudah menjadi kebiasaan sekarang.

Parlimen kita hampir sama dengan Ringling Barnum Brothers. Hampir sama dengan Parlimen India. Di sana kerusi pun melayang, di sini ajak bertumbuk sudah biasa kita dengar. Saya rasa ada baiknya mereka yang bergaduh mulut ini menyelesaikan pertengkaran mereka dengan bertumbuk. Adalah peluang orang ramai untuk mempertaruhkan siapa yang boleh menang. Selalunya orang yang menyalak kuat ini, gigit mereka tidaklah sehebat salak mereka.

Kalau orang luar macam pelabur asing baca surat khabar, setiap hari mereka terhibur dengan tindak tanduk ahli politik kita. Ada yang lompat parti, ada yang berhenti lepas itu tarik balik. Ada yang berhujah beria-ia mengatakan mereka lompat parti tidak bermoral, lepas itu beria-ia pula menyokong tindakan mereka yang melompat parti kerana hendak rampas kuasa.

Rakyat harus sedar supaya jangan lagi diperbodohkan dengan janji-janji dan kata-kata manis, walaupun yang diselang-selikan dengan tafsir dan hadis. Jarang-jarang sekali mereka yang menggunakan tafsir dan hadis ini ikhlas tujuan mereka untuk menyedarkan masyarakat.

Kini apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 seolah-olah suatu kebangkitan di kalangan mereka yang merasakan diri mereka selama hari ini sudah tertindas. Hakikatnya mereka yang sebenarnya tertindas mungkin tidak sedar atau tidak mahu sedar yang mereka yang tertindas.

Dari segi ekonomi mereka ketinggalan jauh di belakang kecuali beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan pihak yang berkuasa. Jadi jurang antara yang kaya dengan yang miskin semakin jauh. Lepas itu mereka tidak sedar yang golongan peniaga yang terdiri golongan bukan sesama kaum dengan mereka, menaikkan harga barangan sesuka hati menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Rantaian bekalan apa jua barangan pun dikuasai oleh golongan ini. Malangnya golongan yang ketinggalan ini tidak bersatu. Orang lain banyak suara minta ini, minta itu dan suruh kerajaan jangan lagi bantu mana-mana golongan supaya persekitaran sama dengan hidup di hutan, yang kuat berkuasa.

Kita pula jenis segan nak bersuara. Kepada mereka yang kita letakkan harapan untuk memperjuangkan hak kita sudah termakan cerita orang yang kononnya selama ini mereka tertindas. Jadi kepada siapa yang kita harus mengadu.

Kalau sejarah menunjukkan kita boleh bersatu atas sesuatu tujuan seperti tentangan pembentukan Malayan Union, kenapa sekarang atas desakan semasa ini kita tidak boleh bersatu. Biarkan orang politik ini bercakaran sesama mereka kerana menyangka mereka yang tahu segala-galanya, orang lain semuanya bodoh dan boleh diperbodohkan.

Politik wujud untuk membantu rakyat bukan untuk menyusahkan rakyat. Tetapi terlalu banyak contoh yang menunjukkan bagaimana politik menyusahkan rakyat. Pada waktu yang sama kita lihat negara-negara yang keadaan mereka aman damai, siapa yang memimpin negara tersebut pun tidak tahu.

Kalau tidak ada pembangkang nanti dikatakan tidak ada demokrasi dalam negara tersebut. Di Amerika Syarikat sendiri ada benda yang bagus hendak diperkenalkan oleh kerajaan pun dibantah oleh pembangkang. Sudah hancur lebur sistem kewangan apabila hendak diperkenalkan langkah-langkah yang memperketatkan undang-undang, pembangkang membantah juga.

Bila kita lihat negara-negara yang tidak ada pembangkang, negara mereka berkembang maju juga, lebih maju daripada negara yang kononnya demokrasi. Lihat saja negara China yang akan mengambil alih selaku ekonomi terbesar di dunia sebelum 2015.

Mengambil sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini, ia satu-satunya badan bukan kerajaan yang berani bersuara, yang berani menuntut apa yang sepatutnya, badan yang wajar diberikan sokongan oleh orang Melayu. Kalau nak kirakan rasis, orang putih di Amerika lagi rasis terhadap orang kulit hitam.

Orang putih di Australia lagi rasis terhadap orang Asia. Di negeri China sendiri kaum Uigher dianiaya. Itu sesama bangsa. Di United Kingdom sendiri sikap rasis begitu hidup dan segar.

Orang Melayu tidak perlu minta maaf menuntut apa yang sepatutnya hak mereka dalam negara mereka sendiri. Kalau kita diam saja, kadok akan naik junjung.

Orang muda kita yang berpelajaran tinggi menganggap semangat nasionalisme sudah berkubur kerana mereka melihat yang menerima faedah daripada kerajaan adalah mereka yang terpilih sahaja dan persaingan itu tidak adil. Semangat mereka hendak jadi usahawan misalnya dengan ilmu yang mereka ada, tidak bermakna langsung kepada institusi kewangan membuatkan pembiayaan projek mereka terhalang.

Selain daripada itu, mereka melihat rasuah bermaharajalela. Ada yang belum faham bahasa rasuah akan mendapati diri mereka ternanti-nanti seminggu jadi sebulan, sebulan jadi setahun. Kalau dapat pembiayaan pun, sikit demi sikit sahaja. Jumlah yang diberikan tidak cukup untuk berbuat apa-apa.

Jadi janganlah kita berdiam diri lagi demi masa depan anak cucu cicit kita. Fikirkan dengan rasional apa yang wajar kita lakukan sekarang. Tanpa penguasaan ekonomi, kita tidak ada kuasa kerana politik sudah boleh dibeli kalau ada kuasa ekonomi.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Sunday, 21 March 2010

Kereta Mewah mercu kejayaan seorang lelaki.

Kegilaan kereta mewah




“JAGA kereta mewah ini macam jaga bayi. Tak boleh tercalar, tak boleh kotor sikit. Hendak kena selalu perhati.

“Kalau saya pergi ke restoran pun, saya akan pastikan kereta diparkir di tempat yang boleh dilihat dari tempat saya makan,” kata Mokhtar Ahmad, seorang pemilik kereta mewah di Johor Bahru kepada Jurnal saat diajak berbicara tentang keterujaan memiliki kereta mewah.

Mokhtar, 37, yang juga Pengarah Urusan Mutiara Motors Group, mempunyai 12 buah kereta mewah yang dikongsi bersama bapanya, Datuk Ahmad Kemin. Antaranya, dua buah kereta Ferrari, sebuah Lamborghini, sebuah Porsche dan Hummer.

“Apabila memandu di jalan raya, memang banyak mata yang memandang. Apabila kereta berhenti, ramai yang mengerumuni. Lebih melucukan apabila memandu kereta mewah di luar negara atau dalam negara, ada yang mengetuk tingkap kereta semata-mata untuk menunjukkan isyarat bagus.

“Risau juga, ingatkan mereka hendak mengapa-apakan saya,” ujarnya sambil memberitahu nilai keseluruhan kereta mewahnya ialah kira-kira RM10 juta.

Bukanlah niat Mokhtar untuk mendabik dada dengan kereta mewahnya. Namun, sekadar untuk kepuasan diri memiliki apa yang diidamkan. Katanya, ini soal cita rasa. Kadang-kadang sudah biasa makan nasi, ingin pula rasa spageti.


LAMBORGHINI, produk kebanggaan Itali yang sering menjadi idaman peminat kereta mewah.


Di Malaysia, pemilik kereta mewah – daripada sultan, menteri Kabinet, ahli perniagaan hinggalah selebriti – sentiasa mendapat perhatian. Jenama-jenama seperti Mercedes, Rolls-Royce, Bentley dan Maybach juga sering dikaitkan dengan golongan ini.

Baru-baru ini, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ibni Sultan Ismail Petra telah mengemukakan saman pemula untuk menuntut perisytiharan bahawa sebuah kereta mewah buatan Bentley dengan harga belian S$706,880 (RM1.7 juta) adalah miliknya secara mutlak.

Kenderaan berwarna biru dengan nombor pendaftaran DBG 1 itu dikatakan berada di bawah jagaan kekandanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Sebagai sebuah syarikat yang turut mengedar kereta-kereta mewah, Mokhtar menganggap individu yang memiliki kereta mewah bukanlah satu utopia di negara ini.

Mokhtar berpendapat terdapat peningkatan yang ketara terhadap trend kereta mewah di Malaysia mutakhir ini.

“Berdasarkan pemerhatian dan penjualan kereta mewah di negara ini, boleh dikatakan berlaku peningkatan sebanyak 45 peratus dari awal tahun 90-an.

“Malah Malaysia merupakan salah sebuah negara yang memiliki bilangan Ferrari yang terbanyak di dunia,” ujarnya sambil memberitahu sebanyak enam unit Ferrari berjaya dijual dalam masa setahun oleh syarikatnya.

Berasaskan trend, anak muda lebih menyukai kereta mewah yang bersifat sporty seperti Ferrari dan GTR manakala warga tua sukakan Hummer.

Mokhtar juga optimis bilangan pelanggannya akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Buktinya, di lebuh raya sendiri pasti ada sekurang-kurangnya sebuah kereta mewah di jalanan. Tidak mengira apa jua jenamanya.

Namun, kereta mewah bukanlah boleh dimiliki semua orang. Bukan sahaja kerana harganya, tetapi juga unit dikeluarkan adalah terhad.

Tidak semua syarikat insurans ingin menginsuranskan kereta mewah kerana mereka sendiri bimbang risiko kerugian.

Seseorang itu mungkin perlu memiliki pendapatan RM50,000 sebulan untuk mendapatkan kepercayaan syarikat insurans.

“Cukai import kereta sahaja sudah hampir sekali ganda harga kereta. Kalau kereta rosak, untuk alat ganti kereta sahaja mencecah angka puluhan ribu.

“Misalnya untuk menukar gear box Porsche sahaja memerlukan RM30,000. Nak servis kereta pula, bukan semua bengkel boleh melakukannya. Macam saya, hendak servis kereta Ferrari, saya perlu ke Singapura,” katanya.


MOKHTAR berkongsi minat terhadap kereta mewah bersama bapanya, Datuk Ahmad Kemin.


Ubahsuai

Ditanya apakah yang menyebabkan sesebuah kereta mewah itu berharga tinggi, Mokhtar berkata, ia banyak disumbangkan oleh reka bentuk aerodinamik, penggunaan material bermutu tinggi seperti kulit alcantara dan karbon fiber, penerapan teknologi canggih dan suspensi enjin.

Walaupun kereta mewah cenderung meraih perhatian pencuri, namun Mokhtar berkata, pemilik kereta mewah biasanya tidak menambah ciri sekuriti yang lain melainkan mengekalkan sistem sekuriti yang telah sedia ada.

“Ini kerana, biasanya ia telah dikomputerkan. Sekiranya ada anasir pengubahsuaian, ia akan mengganggu sistem elektrik dan merosakkannya,” katanya.

Di sebalik prestij kereta mewah, Mokhtar mengingatkan pemilik kereta mewah agar sedar akan kelemahan kereta mereka bagi memastikan ia kekal dalam kondisi sebenar.

“Misalnya, kereta Ferrari tidak boleh dipandu laju ketika hujan. Banyak kecelakaan yang berlaku disebabkan hal ini. Ia kerana jenteranya beroperasi secara rearwheel.

“Lagipun, sesebuah kereta itu dicipta oleh pengeluar berasaskan cuaca di negara pengeluar. Jadi, pemilik di negara ini perlu bijak menyesuaikan penggunaannya,” katanya yang lebih banyak menggunakan kereta mewah pada sebelah petang dan malam.

Mokhtar juga berkata, kereta mewah bukan boleh dipandu selalu. Sebulan cuma dua atau tiga kali sahaja beliau memandu sebuah kereta mewah. Biasanya, ia hanya digunakan sebagai kereta hujung minggu atau untuk menghadiri majlis tertentu.

Apa yang melucukan, bukan himpunan kereta mewah yang selalu menjadi rebutan Mokhtar, ayahnya dan isterinya, selebriti Juliana Banos.

“Kami selalu berebut kereta tetapi bukan kereta mewah, sebaliknya kereta Perodua Myvi yang telah diubahsuai menjadi kereta Toyota Passo. Kami panggilnya Myvi Passo,” katanya tertawa.

Sejujurnya, seperti yang digambarkan kepada pemilik-pemilik kereta mewah, Mokhtar mengakui beliau melebihkan kereta daripada isterinya.

“Orang perempuan ini kurang menitikberatkan soal penjagaan kereta. Selalu saya ingatkan dia supaya sentiasa jaga kebersihan kereta. Ibu saya pun selalu saya ingatkan tentang itu,” katanya.

Dididik agar tidak hanyut dengan kemewahan, Mokhtar sememangnya seorang yang gemar merendah diri. Siapa sangka anak muda yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia ini hanya diberikan gaji RM150 sewaktu mula bekerja bersama bapanya.

“Bapa tidak memanjakan saya dengan kemewahan. Bapa juga selalu mengingatkan saya rezeki juga datang daripada Tuhan,” ujarnya.


AZDY menyifatkan kereta mewah sebagai inspirasi kejayaan.


Sementara itu, pemilik Bentley Flying Spur empat pintu, pengacara dan pelakon AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, menyifatkan kereta mewah sebagai lambang kejayaan seseorang lelaki.

“Saya tidak melihatnya sebagai trend, sebaliknya ia sebagai mercu kejayaan seorang lelaki.

“Ia juga untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa menjadi artis juga mampu berjaya dan hidup mewah,” katanya yang turut memiliki Porsche Carrera, Mercedes dan BMW.

Mizal berkata, dia memilih Bentley kerana menyedari kereta itu jarang dipakai oleh golongan artis di negara ini dan kereta itu juga dipakai oleh idolanya artis antarabangsa, JayZ dan P. Diddy.

Mizal berkata, kereta Bentley itu mempunyai lambang korporat yang kuat untuk disesuaikan dengan perniagaannya AC Mizal Konsortium Sdn. Bhd yang sedang giat diusahakan.

Antara artis lain yang turut dikatakan memiliki kereta mewah ialah Norman KRU (Ferrari), Anuar Zain dan Aznil Nawawi (Porsche), serta Yusry KRU (Lamborghini).

Usahawan Azdy Aziz juga mengakui terdapat peningkatan bilangan individu yang memiliki kereta mewah dan orang Melayu juga tidak ketinggalan.

“Ia melambangkan orang Melayu bersifat daya saing dan semakin bergerak maju,” katanya yang memiliki BMW 7 Series, Mercedes dan Toyota MRS.

Bagi Azdy, kereta mewah adalah sumber inspirasi dalam melonjakkan pencapaian.

“Ia juga sebagai cara untuk kita memberikan ganjaran kepada diri sendiri atas kerja keras yang telah dilakukan,” katanya.

Tuesday, 16 March 2010

Ruziah pernah ditanduk lembu

TELUK INTAN: Demi kerana minatnya menternak kambing dan lembu, Ruziah Ralimun, 35, sanggup melupakan soal jodoh kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang itu.

Malah, beliau membuat keputusan hanya akan berkahwin selepas impiannya menjadi penternak berjaya di peringkat nasional, tercapai.
“Saya meletakkan sasaran menjadi penternak berjaya dalam tempoh lima tahun akan datang dan akan bekerja keras bagi mencapai impian itu,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan lembu dan kambingnya di Lorong Rambutan Laici, Kampung Batu 4, Selabak Dalam, dekat sini, baru-baru ini. Tahun lalu, Ruziah dinobatkan sebagai Johan Penternak Jaya Wanita sempena Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Perak.





Ruziah berkata, beliau mahu membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi penternak berjaya sama seperti dikecapi kaum lelaki dan yakin mencapai matlamat itu jika tumpuan serius diberikan dalam bidang itu.

Mengenai rutin hariannya, katanya beliau biasanya ke ladang ternakan pada jam 10 pagi dan hanya pulang jam 7 petang.

"Saya bekerja tujuh hari seminggu dan mempunyai seorang pembantu. Saya hanya bercuti rehat pada Aidilfitri saja," katanya.
Ruziah, anak kedua dari lapan adik beradik itu kini menternak 50 lembu betina, 30 lembu jantan dan 10 ekor anak dari baka Brahma. Selain itu, beliau juga menternak 80 kambing betina, 30 anak dan dua kambing jantan baka Boer dan jamnapari.

Semua haiwan itu diternak di kawasan seluas 0.4 hektar atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak yang mengenakan bayaran RM300 setahun atas lesen tumpangan sementara.

Beliau berkata, pada peringkat awal, beliau hanya menternak tiga lembu dan tiga kambing betina kampung yang semuanya dibeli dengan harga RM3,000 di kawasan rumahnya untuk mengisi masa lapang.

Berkat sokongan ibu bapa dan khidmat nasihat serta bantuan unit peladang Kampung Selabak, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkap dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), beliau tabah berdepan cabaran menjadi penternak.

“Saya pernah ditanduk lembu dan mengalami kerugian RM15,000 kerana haiwan ternakan mati dan dicuri orang. Namun semuanya itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergerak aktif sebagai penternak,” katanya