Pages

Sunday, 21 February 2010

Nizam berguru dengan idola

SIKAPNYA yang suka memudahkan kerja pada zaman persekolahan mengundang padah. Bayangkan, dalam satu buku tulis, dia menulis nota untuk subjek Bahasa Inggeris, Pengetahuan Agama Islam dan latihan Matematik.

PENDEDAHAN...memberi penerangan mengenai perniagaan Internet di satu karnival.
PENDEDAHAN...memberi penerangan mengenai perniagaan Internet di satu karnival.

PERMATA HATI...anak menjadi pembakar semangat. PERMATA HATI...anak menjadi pembakar semangat. BAHAGIA...bersama isteri dan anak. BAHAGIA...bersama isteri dan anak. ATUR PELAN...berbincang dengan kakitangan. ATUR PELAN...berbincang dengan kakitangan.

PERMATA HATI...anak menjadi pembakar semangat.

Khairul Nizam Mukhtar, 33, juga dikenali sebagai Nizzura, menuntut di 11 sekolah kerana mengikut bapanya, Datuk Mukhtar Ismail, yang sering berpindah-randah demi tuntutan tugas sebagai polis dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Johor.


Anak keempat daripada tujuh beradik itu boleh dikatakan seorang yang nakal tetapi bijak kerana sentiasa mendapat nombor teratas dalam kelas.


Walaupun dididik dengan disiplin sejak kecil, Nizam dan adik beradiknya masih diberi ruang kebebasan oleh ibu bapa, asalkan tidak melampaui batas.


"Saya boleh bergaul dengan sesiapa saja dan boleh keluar malam tetapi tidak dibenarkan tidur di rumah kawan. Pernah sekali, ketika menuntut di MRSM Pangkalan Chepa, ketika saya memanjat pagar sekolah, bapa yang berkereta terlihat perbuatan saya tetapi mendiamkan saja," katanya.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Pendidikan Internet Selangor Berhad ini berkata, sejak bersekolah dia bercita-cita menjadi juruterbang tetapi cita-cita itu terpaksa dikuburkan kerana keputusan subjek Fizik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang baik.


Selepas SPM dia menyambung pelajaran ke peringkat A Level di Kolej Mara Banting sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK).


Namun disebabkan kegawatan ekonomi, hasrat itu terpaksa dilupakan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghantarnya menyambung pengajian ke Universiti Tenaga Nasional (Uniten).


Nizam antara kumpulan pertama yang belajar di universiti itu. Walaupun kecewa tidak dapat menyambung pengajian ke UK, Nizam tetap meneruskan kursus perakaunan sehingga peringkat ijazah.


Tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, Nizam tidak bekerja dalam bidang perakaunan, sebaliknya ingin berniaga walaupun tiada pengalaman.


Untuk dua tahun pertama, anak muda ini merasai sepak terajang dalam dunia perniagaan. Antara perniagaan diceburi ialah pembinaan, memasang kamera litar tersembunyi dan menghasilkan filem dalam bentuk cakera padat video berjudul 'Cinta Betting'.


Projek terbesar dijalankan Nizam ialah pembinaan di Jalan Petaling, tetapi mengalami kerugian apabila kontraktor utama tidak menjelaskan bayaran hingga syarikatnya kerugian RM170,000.

Selepas kegagalan itu Nizam yang fobia tidak melakukan sebarang pekerjaan. Selama tiga tahun, kehidupannya ditanggung isteri, Azura Abdul Aziz.


"Disebabkan tidak bekerja, kawan semakin menjauh, saudara mara pun tak layan. Lebih-lebih lagi, apabila anak Datuk gagal, orang akan kutuk. Selama menganggur, saya cuma duduk di rumah bermain permainan komputer dan menjaga anak sulung.


"Puas saya mencari kerja tetapi tidak dapat kerana keputusan perakaunan saya cuma cukup untuk mendapat ijazah.


"Saya pernah buka gerai makan iaitu dengan mengambil alih perniagaan pengusaha bukan Bumiputera, tetapi tidak sampai tiga bulan gerai itu terpaksa ditutup. Rupa-rupanya tempat itu akan ditutup oleh pemilik sebenar. Akhirnya saya gagal dan rugi lagi," katanya.


Pada 2006, isterinya yang bertugas sebagai pensyarah di kolej swasta mendapat tawaran kerja selama dua tahun sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Jakarta, Indonesia.


"Apabila isteri bertanya sama ada saya mahu pergi ke Indonesia, saya bersetuju. Mana tahu, masa depan saya cerah di sana. Di Indonesia, saya berniaga kecil-kecilan iaitu menguruskan penghantaran amah untuk saudara-mara.


"Tugas itu sukar dan membabitkan banyak pihak. Saya perlu keluar masuk kampung, bertemu ketua kampung, ibu bapa bakal amah, bakal amal itu sendiri manakala gangster kampung pula perlu disuap.


"Kebanyakan agen tidak yakin dengan Malaysia. Pening berurusan dengan manusia iaitu daripada amah, ibu bapa mereka, ketua kampung, imigresen Indonesia dan majikan. Walaupun lumayan, tetapi apabila amah lari, memang tidak berbaloi," katanya.


Menurutnya, ketika menjalankan perniagaan itu, dia terdedah dengan dunia perniagaan Internet.


"Saya menghantar e-mel spam menawarkan khidmat menyediakan amah. Walaupun itu bukan cara yang betul, saya mendapat banyak pengetahuan mengenai perniagaan Internet," katanya.


Pada 2007, berlaku banjir besar di Jakarta yang menyebabkan dia sekeluarga tidak boleh keluar dari rumah selama seminggu.


"Waktu itu Jakarta lumpuh dengan banjir paras pinggang. Kenderaan tidak boleh melalui jalan raya manakala kami tiada wang kerana mesin juruwang automatik tidak berfungsi.


"Selain saya sekeluarga, ada empat amah di rumah. Harga air minuman untuk satu gelen naik 50,000 rupiah (RM20) berbanding 9,000 rupiah (RM4) sebelum banjir.


"Kami terpaksa mencatu air minum dan bekalan susu anak kehabisan. Ketika itu anak kedua baru lahir. Selain itu, kebetulan bahan mentah untuk memasak juga kehabisan dan tidak sempat membeli kerana banjir.


"Peristiwa itu menyebabkan isteri tidak mahu menyambung kontrak pekerjaannya. Kami sekeluarga membuat keputusan kembali ke Malaysia," katanya.


Pulang ke tanah air, Nizam gelabah kerana tiada pekerjaan, sedangkan dia sekeluarga menjalani kehidupan selesa di negara orang.


Pada Ogos 2007, dia terjumpa iklan mengenai seminar perniagaan Internet dikendalikan warga Singapura, Ewen Chia, iaitu orang nombor satu di dunia dalam perniagaan Internet.


"Saya berminat menyertai seminar itu, tetapi tiada wang. Hendak minta dengan isteri, wang ada cukup-cukup saja untuk menyara keluarga. Hendak pinjam dengan keluarga atau kawan, agak sukar.


"Akhirnya, seorang rakan sedia membantu membayar yuran penyertaan berharga RM3,000 menggunakan kad kreditnya," katanya.


Akhir Ogos, Nizam mendapat wang pertama hasil perniagaan menerusi Internet berjumlah AS$54 dari Kanada. Berikutan itu, minatnya dalam perniagaan Internet bertambah kerana menyedari ia boleh mendapatkan keuntungan. Selepas mendapat AS$1,000, dia menanam tekad untuk menimba lebih banyak ilmu daripada Ewen.


Jalan terbuka luas apabila Nizam menerima e-mel daripada Ewen yang memerlukan pekerja untuk syarikatnya.


"Saya membuat permohonan dan diterima bekerja dengan idola saya. Pada Januari 2008, saya bekerja dengan Ewen dan mencungkil rahsia kejayaannya dalam dunia perniagaan Internet. Dia suka sesuatu yang ringkas dan itu yang menjadi rahsia kejayaannya.


"Selama ini orang fikir, jika ingin menjalankan perniagaan Internet, perlukan laman web yang canggih. Sebenarnya, ia boleh dilakukan dengan mudah dan ringkas," katanya.


Ketika 'menuntut ilmu' dengan Ewen, Nizam menetap di Johor Bahru dan berjimat cermat mengeluarkan belanja kerana barangan di Singapura mahal disebabkan tukaran matanya yang tinggi.


"Setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga 12 tengah malam, saya berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura. Antara tugas saya ialah mengendalikan seminar," katanya.


Apabila puas mempelajari ilmu perniagaan daripada ikon usahawan Internet itu, dia bercadang berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri.


"Walaupun gaji diterima agak lumayan iaitu RM10,000 sebulan, saya nekad berhenti pada Disember 2007. Orang yang paling marah ialah bapa saya.


"Saya rahsiakan tindakan saya berhenti kerja sehingga Februari 2008, tetapi dia musykil kerana saya sering ada di Kuala Lumpur dan saya terpaksa memberitahunya saya sudah berhenti kerja dan kini menjalankan perniagaan Internet dari rumah," katanya.


Tidak sampai sebulan menjalankan perniagaan, Nizam membuktikan dia mampu berdiri sendiri apabila berjaya memperoleh RM10,000. Semangatnya untuk serius dalam perniagaan itu semakin membara.


"Saya tak boleh buat kerja di rumah kerana setiap kali buka komputer riba, anak berkerumun. Oleh itu saya mengambil keputusan menyewa pejabat dan membuka Pusat Latihan Nizzura untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain.


"Kemudian saya dapat idea menubuhkan koperasi kerana belum ada koperasi untuk usahawan Internet," katanya.

>Profil
NAMA: Khairul Nizam Mukhtar
UMUR: 33 tahun
ASAL: Bukit Rambai, Melaka
JAWATAN: Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Internet Selangor Berhad
ISTERI: Azura Abdul Aziz
ANAK: Khairyn Iryna Sofea (7), Khairyl Danial Mukhriz (4) dan Khairyl Aidil Danish (3)


Koperasi bantu usahawan Internet

"KALAU tak fikir mengenai isteri dan anak, saya sudah ke Amerika Syarikat untuk bawa teksi. Biarlah ke sana sebab saya tak kenal sesiapa," kata Pengerusi Eksekutif Koperasi Pendidikan Usahawan Internet Selangor Berhad, Khairul Nizam Mukhtar mengenang kehidupan getir masa lalu.

Bagaimanapun, rajuk dan kekecewaan itu tidak lama. Ia menjadi pengajaran dan pemangkin untuknya memperbaiki diri dan masa depan.


Menebus kekecewaan masa lalu, Nizam bangkit dengan semangat baru. Hanya dalam tempoh dua tahun membabitkan diri dalam perniagaan Internet, dia mampu mengecapi keselesaan hidup dan kebebasan masa.


"Dulu saya pening kepala dan tertekan dengan masalah hidup. Alhamdulillah, kini saya menikmati kebebasan kewangan dan masa. Apabila dapat memiliki dua kebebasan itu, pelbagai peluang lain akan hadir. Masa dengan anak juga lebih banyak dan dapat melihat mereka membesar," katanya.


Menurutnya, sesiapa pun boleh menjalankan perniagaan Internet walaupun tiada produk sendiri, pengetahuan teknikal dan tanpa laman web menerusi bimbingan diberikan.

"Setiap orang tiada alasan untuk tidak memulakan perniagaan Internet dan perlu tahu cara yang betul. Kemahiran utama ialah salin dan tampal. Ada orang yang daripada tidak tahu buka komputer kini mempunyai perniagaan Internet sendiri," katanya.


Nizam membuka pusat bimbingan untuk berkongsi pengalaman dalam dunia perniagaan Internet serta menubuhkan koperasi yang menjadi pusat sehenti.


"Daripada seminar dianjurkan, seseorang boleh mempelajari perkara baru. Ada yang menganggap perniagaan Internet memerlukan modal besar, tetapi sebenarnya tidak," katanya.


Selain kursus berbayar selama dua hari, Nizam mengadakan perjumpaan setiap bulan secara percuma untuk meluaskan pengetahuan orang ramai mengenai perniagaan Internet.


"Saya dapat ilham menubuhkan koperasi kerana belum ada koperasi untuk usahawan Internet. Ini adalah koperasi usahawan Internet pertama di Malaysia," katanya yang menubuhkan koperasi pada April 2009.


Menurutnya, mereka yang mengikuti seminar perniagaan Internet secara automatik menjadi ahli secara percuma.


Koperasi itu ditubuhkan untuk menjadi tempat rujuk dan perkhidmatan sokongan kepada mereka yang menjalankan perniagaan Internet meliputi kursus pembelajaran, bantuan teknikal dan pemasaran

Saturday, 20 February 2010

Amarah ibu jadi azimat

SEWAKTU kecil, hidup sebagai anak peneroka getah banyak mengajarnya erti kesusahan dan lebih berdikari. Jika mahukan sesuatu, harus berusaha untuk mendapatkannya.

BERCITA-CITA TINGGI...mahu lahirkan lebih ramai jutawan di kalangan Bumiputera.
BERCITA-CITA TINGGI...mahu lahirkan lebih ramai jutawan di kalangan Bumiputera.
BERKUALITI...sebahagian daripada produk keluaran Hai-O Marketing.
BERKUALITI...sebahagian daripada produk keluaran Hai-O Marketing.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga besar menuntutnya bekerja lebih bagi menampung perbelanjaan persekolahan selain membeli barangan keperluan harian.


Jika rakan menghabiskan masa bermain sewaktu cuti sekolah, dia pula ke kebun getah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumah untuk mengutip susu bagi membantu orang tuanya.


"Saya anak bongsu daripada sembilan beradik dan mempunyai saudara kembar. Kehidupan waktu itu sangat susah dan diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


"Namun bagi saya, kesusahan bukan alasan untuk gagal dalam kehidupan dan memperoleh pelajaran dengan sempurna," kata Rosidi Darus, 41.

Berpegang teguh pada prinsip 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan' dan berazam mahu memperbaiki kehidupan, Rosidi kini boleh berbangga dengan memegang jawatan tertinggi dalam jualan langsung Hai-O iaitu Crown Diamond Manager (CDM).


Beliau tak menduga dapat mencapai tahap berkenaan dalam tempoh singkat iaitu satu setengah tahun saja, sedangkan kebiasaannya ada ahli memerlukan kira-kira lima tahun bagi mencapainya.


Menceritakan kembali zaman kesusahannya sebelum bergelar jutawan Hai-o, Rosidi berkata, selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kuala Kubu Bharu, Selangor, dia bekerja di UMW Toyota sebagai operator pengeluaran.


Seterusnya, dia menjadi guru sandaran untuk subjek Bahasa Melayu, Matematik, Muzik dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur.


Menurut Rosidi, dalam usia itu juga dia membuat pelbagai pekerjaan lain seperti menjual pakaian, kasut dan menjadi orang tengah untuk menjual kereta dan tanah.


Menyedari pendidikan lebih penting daripada wang ringgit, beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Persekutuan di Tasik Gelugor, Pulau Pinang selama dua tahun sebelum dipindahkan mengajar di Sekolah Kebangsaan Tok Baling, Kelantan.


Kemudian beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Cherang Luku, Kelantan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran peringkat ijazah secara jarak jauh (PJJ) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu.

Tamat pengajian, beliau ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Batang Kali pada 2001 sebelum ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Serendah hingga 2007.


Ketika menjadi guru, dia terbabit dengan perniagaan jualan langsung secara sambilan untuk mencari pendapatan sampingan.


"Pada awalnya hanya sekadar suka-suka, namun apabila pendapatan diterima lebih lumayan dan memberangsangkan, saya terfikir untuk lebih serius.


"Apabila saya menyatakan hasrat untuk meninggalkan profesion perguruan, isteri dan ibu adalah orang paling tidak setuju dan menentang sekeras-kerasnya.


"Hingga pada satu tahap ibu menyatakan tak akan mengaku saya sebagai anak dan menganggap sebagai anak derhaka jika saya menceburi bidang jualan langsung," katanya.


Namun kata-kata itu tak pernah mematahkan semangat Rosidi, malah menganggapnya sebagai cabaran untuk meneruskan hasrat mencapai cita-cita menjadi usahawan berjaya.


Hampir tiga bulan dia cuba memujuk ibunya supaya merestui pilihan dan kerjaya yang diminati supaya diterima.


Sekeras-keras kerak nasi, akhirnya lembut juga. Akhirnya selepas berbincang dan diberitahu serba sedikit mengenai perniagaan itu, ibunya akur dan menerima.


Begitu juga isterinya, Rafidah Salleh, 39. Kalau dulu menjadi pembangkang nombor satunya, kini dia menjadi penyokong utamanya.


Dia turut berbangga kerana hasil usaha kerasnya selama lima tahun di Hai-O dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban ibu serta keluarganya.


"Alhamdulillah, kini masa susah sudah berlalu dan dengan pengalaman yang ada, saya cuba memberi yang terbaik kepada anak buah seramai hampir 20 orang untuk mencapai tahap seperti diharapkan.


"Saya turut berterima kasih kepada ibu dan isteri yang menjadi tulang belakang dan memberi sokongan moral sehingga mencapai tahap seperti sekarang," katanya.


>Profil
NAMA: Mohd Rosidi Darus
UMUR: 41 tahun
PENCAPAIAN: Pemegang Jawatan Tertinggi CDM Hai-O Marketing
ASAL: Felda Sungai Buaya, Selangor
ISTERI: Rafidah Salleh
ANAK: Amirul Hakimi (14), Amirul Hazim (10), Irdina Naqisha (8), Amirul Hasif (5) dan Irdina Nur Elysha (2)

Friday, 19 February 2010

'Otak bisnes' Mohd Indra

EJEKAN rakan kerana menjual kerepek ubi pedas, kacang goreng dan kuih-muih ketika di sekolah rendah sedikit pun tidak menjadi nanah dalam dirinya.

pix_middle
pix_topright


Sebagai anak kedua juga anak sulung lelaki daripada sembilan beradik, rasa tanggungjawab sememangnya tersemai sejak kecil biarpun usaha yang dilakukan itu berdepan cabaran.

"Ejekan rakan hampir menghancurkan semangat saya. Saya semakin tertekan apabila pengusaha kantin sekolah turut kurang senang dengan saya kerana perniagaannya terjejas. Katanya, kalau hendak berniaga, niaga di luar.


" Apapun, saya kuatkan hati serta tidak mempedulikan segala kata mereka kerana tekad membantu meringankan beban orang tua. Kehidupan kami ibarat `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana bergantung pada upah diterima ibu bapa yang bekerja di kebun milik tauke Cina.

"Jika rakan lain ada duit belanja sekolah, saya perlu mencari duit sendiri. Itulah yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus berniaga," katanya.

Berpegang teguh pada prinsip tidak pernah kenal erti putus asa dan berazam mahu mengubah nasib keluarga membuatkan Mohd Indra yang kini bergelar Pengerusi Eksekutif Kumpulan Argung berbangga dengan pencapaiannya.

Kumpulan Argung kini mempunyai tujuh anak syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Antaranya, insurans kemalangan peribadi, pelancongan, perunding teknologi maklumat dan pengurusan, program korporat dan SMS, menjadi wakil memasarkan barangan pengilang, program keahlian dan pengurusan acara.

Menurut Mohd Indra, dia tidak pernah merasai zaman kanak-kanak atau remaja seperti orang lain kerana kebanyakan masanya dihabiskan bagi membantu kedua ibu bapanya menyara keluarga.

Menceritakan kembali zaman keperitannya sebelum bergelar usahawan berjaya, Indra berkata banyak rintangan dilalui, namun semuanya dapat diatasi dan pengalaman banyak membantunya mengenal erti hidup.

"Hasil membantu ibu menjual kuih-muih dan kerepek membolehkan saya menabung dan menghadiahkan sesuatu kepada diri sendiri. Ketika darjah tiga, saya dapat membeli basikal dengan duit sendiri. Waktu itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya," katanya.

Ketika bersekolah asrama, Mohd Indra yang sememangnya `otak bisnes,' mengambil upah menggunting rambut bagi menambah duit kocek.

"Pada mulanya, ketika rakan meminta saya menggunting rambutnya, saya main `belasah' saja. Lama kelamaan, bakat menggunting rambut semakin terserlah dan setiap Ahad, ramai kawan beratur menunggu giliran mereka. Saya cuma mengenakan upah 50 sen seorang dan wang itu dapat menampung perbelanjaan saya," katanya.

Tanpa pengetahuan pihak asrama, Mohd Indra turut berniaga barangan keperluan seperti ubat gigi dan berus gigi sebagai pendapatan sampingan.

"Ibu bapa tidak pernah membekalkan duit sekolah dan jika inginkan sesuatu, saya harus berusaha untuk mendapatkannya," katanya.

Walaupun sibuk berniaga kecil-kecilan, Mohd Indra tetap fokus pada pelajaran. Dia mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV).

Tawaran menyambung pelajaran diterima terpaksa dilupakan kerana kekangan kemiskinan. Mohd Indra terpaksa memberi laluan kepada adiknya yang lain menyambung pelajaran.

"Saya tidak pernah menganggur. Selesai pengajian, saya memikirkan cara untuk menjadi usahawan berjaya. Ketika di sekolah, cita-cita saya sering menjadi bahan ketawa kawan yang lain. Ketika ditanya guru, jika pelajar lain memberitahu mereka bercita-cita menjadi doktor atau jurutera, saya pula ingin menjadi orang kaya yang berjaya.

"Saya mahu menumpukan pada perniagaan kerana bidang ini yang boleh membuatkan seseorang keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Bagi merealisasikan cita-citanya, anak muda kelahiran Sekinchan itu belajar selok-belok perniagaan dengan menyertai syarikat pembinaan selepas tamat pengajian.

Pada usia 18 tahun, dia yang tidak sabar mempunyai syarikat sendiri berjaya mencapai impian. Memiliki lesen kontraktor kelas F, Mohd Indra melalui saat sukar dalam perniagaan iaitu bagi mendapatkan tender dan bayaran menyebabkan perniagaan itu cuma bertahan setahun serta menanggung hutang.

"Saya meneruskan kehidupan sebagai jurujual peralatan mainan, berus gigi dan barang kelengkapan diri. Harga barang dijual RM10 dan daripada jumlah itu, saya hanya mendapat komisen RM2.

"Bekerja sebagai jurujual menuntut kesabaran kerana tiada gaji pokok dan ia bergantung sepenuhnya kepada komisyen yang diterima. Saya perlu bekerja lebih masa kerana mahu mencari pendapatan lebih dan mensasarkan 150 barangan sehari bagi menampung perbelanjaan bulanan," katanya.

Jika orang lain bekerja hanya lapan jam sehari, Mohd Indra terpaksa bekerja 16 jam iaitu dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

"Untuk berjaya, seseorang itu perlu melakukan perkara luar biasa daripada orang lain untuk menghasilkan pendapatan di luar jangkaan. Percubaan sebagai jurujual tidak memberangsangkan lalu dia berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari peluang membina hidup baru.

Menggunakan bakat yang ada, Mohd Indra menulis dan melukis pada cenderahati serta lukisan dan menjualnya di tapak bersebelahan Plaza Kotaraya.

Melihat potensi perniagaannya yang semakin maju, Mohd Indra melebarkan sayap dengan membuka perniagaan kereta terpakai dan restoran tanpa memikirkan risiko bakal dihadapi.

Pada usia 20 tahun, dia berjaya memiliki tiga perniagaan sekali gus dalam masa singkat. Di saat mengecapi kemewahan, semua perniagaannya mengalami kegagalan akibat kelemahan diri sendiri selain tempias kegawatan ekonomi.

Gagal perniagaan kali kedua membuatkannya hilang punca dan mengkaji penyebab kegagalan kerana kegigihannya tidak pernah berkurangan.

"Saya dapati kelemahan saya ialah terburu-buru mengembangkan perniagaan tanpa memikirkan risiko. Saya kecewa dan tidak sangka kerana daripada menjalani kehidupan mewah, akhirnya terpaksa berhutang kira-kira RM200,000.

Mohd Indra membuat keputusan merantau ke Indonesia. Dari Tanjung Balai, dia ke Karimon dan Pekan Baru. Dalam tempoh lapan bulan di negara orang, dia mengkaji kelemahan diri, mengenal diri dan belajar ilmu agama.

Di sana, dia banyak bermuhasabah diri dan mempelajari ilmu agama serta mendapat semangat baru daripada kegagalan yang dialaminya.

"Saya dapati, perlu ada peranan dari segi tanggungjawab dan keberkatan dalam pekerjaan yang dilakukan. Selama ini saya tak fikir tanggungjawab pada orang sekeliling," katanya.

Pada 1999, dia pulang ke tanah air dengan azam, semangat dan matlamat baru. Masih menjadi jurujual barang kelengkapan diri, tetapi kali ini dia bekerja lebih masa bagi merealisasikan cita-citanya menjadi usahawan berjaya.

Anak muda itu sedar, untuk mencapai sesuatu kejayaan, semangat, kekuatan emosi dan fizikal harus ada. Pada masa sama, dia turut mengikuti bengkel dan kelas perniagaan waktu malam selama enam bulan.

Hasil usaha gigihnya yang tak pernah kenal erti putus asa, pada 2001, Mohd Indra berjaya menubuhkan syarikatnya pertamanya diberi nama Dynasty Vision Resources yang menjalankan perniagaan berasaskan program keahlian.

Melihat perkembangan positif dan sambutan baik yang diterima syarikatnya, dia berjaya membuka beberapa syarikat lain yang turut berada di Kuantan.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil. Jika dulu saya hanya mempunyai enam pekerja, tapi kini bertambah kepada 180 pekerja.

"Saya turut berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga termasuk isteri yang banyak memberi dorongan dan sokongan moral hingga berada pada tahap sekarang," katanya.

PROFIL
NAMA: Mohd Indra Kirana Mansod
UMUR: 34 Tahun
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan Argung.
ANAK SYARIKAT:
1. Argung Auto Garage
2. Dynasty Vision Resources
3. Argung Privileged Management
4. Dynasty Vision Resources Centre
5. Argung Global Management Sdn Bhd
6. Dynasty Argung Travel & Tours Sdn Bhd
ASAL: Sekinchan, Selangor
ISTERI: Nurafidah Haron, 27.
ANAK: Tuah Aaron Areezzuan, 4, dan Maha Karya Cinta, 2.

Sunday, 7 February 2010

103 tahun 'roti cerut'


Peminat roti sandwic keluaran Federal Bakery yang telah berusia lebih 100 tahun bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan bahkan kerabat diraja.


SEMASA Peristiwa 13 Mei 1969, Federal Bakery menjadi salah satu kilang yang menyalurkan sumber makanan kepada penduduk sekitar Kuala Lumpur.


SEJARAH Kuala Lumpur bermula pada tahun 1857 apabila bijih timah ditemui Raja Abdullah di kawasan Ampang. Hasil penemuan sumber alam itu menarik minat peniaga untuk menjual barangan keperluan kepada pelombong-pelombong bijih.

Mereka mendirikan kedai-kedai di pertemuan Sungai Klang dan Gombak sehinggalah pada tahun 1880 apabila Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor.

Perkembangan itu menyaksikan semakin banyak bangunan dibina manakala jumlah penduduk semakin bertambah. Situasi itu mendorong seorang lelaki membuka sebuah kilang roti.

Kilang itu ialah The Federal Bakery yang dibuka pada tahun 1906 dan masih kukuh bertapak di ibu negara walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Diasaskan oleh Mohd. Yusof Ahmad Shah, kisah perniagaan Federal Bakery bukan mudah.

Bersama 11 orang rakan, Yusof menjual roti menggunakan sampan dan basikal.

Potong kepala

“Keuntungan yang diperoleh seharian digunakan bagi membeli bahan mentah untuk jualan keesokan harinya dan proses itu berterusan.

“Terdapat 11 orang lagi yang turut menjual roti namun hanya datuk saya yang mengambil keputusan membina kilang roti.

“Tidak lama kemudian kilang ini diwariskan kepada bapa saya, Abdul Wahab, ketika dia berusia 18


MASHOOD ABDUL WAHAB


tahun.

“Saya pula mengambil alih daripada bapa pada tahun 1976 walaupun pada mulanya berasa kekok untuk menceburi bidang pembuatan roti.

“Malah hanya saya seorang daripada lapan adik-beradik yang meneruskan perniagaan ini,” kata pemilik Federal Bakery kini, Mashood Abdul Wahab ketika ditemui di pejabatnya di Bulatan Loke Yew, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya lagi, Federal Bakery sebenarnya telah melalui pelbagai peristiwa suka dan duka untuk terus bertahan.

“Semasa British menjajah negara, kebanyakan kilang roti yang beroperasi menamatkan perniagaan mereka kerana kesukaran mendapatkan bekalan.

“Bagaimanapun, bapa saya mengadakan kerjasama dengan kerajaan British dengan menawarkan sumber makanan kepada mereka dan pihak British pula menyalurkan bahan mentah kepadanya,” katanya.

Semasa pemerintahan Jepun dan Darurat, kesukaran lain pula melanda.

“Pihak tentera Jepun pernah mengugut untuk memotong kepala bapa saya jika dia memberikan makanan kepada British. Tetapi bapa saya membuat perkara yang serupa seperti datuk dengan membekalkan makanan kepada pihak Jepun pula.

“Semasa Peristiwa 13 Mei 1969, Federal Bakery merupakan salah satu kilang yang menyalurkan sumber makanan kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur.

“Malah kawasan kilang dikawal tentera 24 jam sehari dan segala urusan keluar masuk perlu melalui proses yang ketat,” katanya yang tidak dapat melupakan peristiwa itu.

Resipi rahsia


PENGGUNAAN teknologi moden membolehkan penghasilan roti keluaran Federal Bakery lebih pantas berbanding dahulu.


Walaupun terpaksa bersaing dengan kilang-kilang roti yang lebih besar, Federal Bakery tidak pernah gentar.

Rahsianya, kata Mashood ialah resipi asal milik datuknya yang masih digunakan sehingga kini.

“Bukan kaum wanita sahaja suka mengumpul dan menyimpan resipi masakan, saya juga menyimpan dan mereka cipta resipi-resipi baru khususnya dalam pembuatan roti.

“Buku yang berusia lebih 100 tahun ini masih elok dalam simpanan saya dan akan menjadi rujukan anak-anak saya kelak apabila mereka mewarisi perniagaan turun-temurun ini.

“Malah pelanggan yang sudah biasa dengan resipi lama sering memberi ingatan supaya tidak menukar kepada ramuan baru sehingga ada yang sanggup datang ke kilang,” katanya ketawa.

Mashood memberitahu, pembuatan roti pada masa dahulu lebih sukar berbanding sekarang yang menggunakan teknologi moden.

“Bapa sering menceritakan kepada saya betapa susahnya untuk membuat sebuku roti berbanding sekarang yang mempunyai pelbagai peralatan canggih yang mempercepatkan prosesnya.

“Ini kerana pada zaman dahulu proses membuat roti mengambil masa selama sembilan jam berbanding tiga jam sahaja kini kerana pada waktu itu yis yang membolehkan tepung cepat kembang belum digunakan.

“Sebaliknya mereka pakai sejenis bunga yang membolehkan tepung kembang tetapi ia tidak secepat yis. Tambahan pula, mereka membakar roti menggunakan arang dan kayu api sahaja,” katanya lagi.

15 jam

Uniknya, bagi mengetahui sama ada roti itu sudah masak atau belum, mereka mengukurnya dengan menghisap cerut.

Sekiranya cerut yang dihisap telah habis, roti yang dibakar sudah boleh dikeluarkan daripada ketuhar. Masa yang diambil ialah sembilan jam dan keseluruhan masa proses sebelum roti siap diedar ialah 15 jam.

Kini, pekerja hanya memutar tombol penentu masa pada ketuhar dan hanya menunggu roti tersebut masak dalam jangka masa kurang dua jam.

Federal Bakery merupakan syarikat pemilik beragama Islam tertua di Malaysia dan kini mempunyai 40 orang pekerja.

“Kami turut menghasilkan roti sandwic berharga RM1.60 sebanyak 40,000 sehari dan bagi roti berkrim pula sebanyak 100,000 biji.

“Pasaran pula ialah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Pahang yang mewakili lima peratus industri roti di negara ini dengan kekuatan 45 buah lori dan 250 orang vendor yang dilantik,” katanya yakin.

Bicaranya, antara pelanggan roti keluaran syarikatnya ialah keluarga diraja Kelantan dan Perlis. Malah bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak adalah antara pelanggan utamanya dahulu.

“Bagi keluarga diraja, pemandu mereka akan datang ke kilang di Sungai Besi seminggu sekali untuk mengambil stok. Mungkin kerana roti sandwic yang Federal Bakery hasilkan lebih lembut berbanding pengeluar roti lain.

“Federal Bakery juga menghasilkan roti Perancis yang jarang syarikat roti buat kerana prosesnya yang sukar dan kini kilang ini telah menghasilkan 30 jenis roti seperti roti sandwic, ban berperisa ban kelapa,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my

Monday, 1 February 2010

Nik dipercayai wanita


Bermula sekadar suka-suka dan hanya mencuba, siapa sangka bakat kreatif Nik sebagai penjahit manik menyebabkan dia menjadi sebutan ramai pelanggan.




KETIKA di bangku sekolah rendah lagi dia sudah dipercayai orang kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk membuat gubahan hantaran kahwin. Walaupun kerja itu dilihat sesuatu yang melucukan apabila diketahui rakan-rakan sekelas, Azmunir Anuar, 36, atau lebih mesra dengan panggilan Nik, dia tidak lemah semangat dengan pandangan sinis rakan sebaya pada masa itu.

Ini kerana, niat sebenar Nik mengambil upah menggubah hantaran itu hanyalah untuk membantu menambah pendapat keluarga.

"Saya terpaksa buat tak endah dengan kata-kata orang apabila mereka tengok saya buat gubahan hantaran kahwin. Saya lakukan semua itu untuk membantu keluarga selain terbit rasa kagum apabila melihat mak cik-mak cik boleh di kampung membuat hasil gubahan dengan cantik.

"Satu hari saya suka-suka cuba membuat sendiri gubahan untuk hantaran kahwin. Tak sangka percubaan pertama saya berhasil. Mak cik-mak cik di kampung terus beri saya peluang membuat hantaran kalau ada majlis perkahwinan di kampung selepas itu," ujar Nik menyingkap permulaan penglibatan dia dalam seni kraf tangan.


KERJA menjahit manik menuntut kesabaran yang tinggi terutamanya melibatkan pakaian pengantin.


Kemahiran dan bakat Nik menggubah hantaran kemudian dikembangkan lagi selepas dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah butik pengantin ketika berusia 20 tahun. Di sana dia semakin aktif belajar menjahit manik pula.

Bukan mahu melemahkan bakat kaum wanita tetapi, kata Nik tugas menjahit manik sangat rumit.

Faktor itulah yang menyebabkan kaum lelaki mahupun wanita yang kurang sifat sabar tidak berminat dengan bidang jahitan manik.

"Kalau semua nak cepat dan tidak ada kesabaran, memang susah nak buat jahitan manik ini. Tambah-tambah pula apabila kita menjahit baju pengantin yang sememangnya perlu nampak cantik, elegan dan eksklusif dengan taburan manik," ujar Nik.

Kata Nik, menjahit manik pada pakaian pengantin paling menguji daya kreativitinya. Apa tidaknya, untuk menjahit manik pada baju pengantin dia mengambil masa tiga minggu untuk menyudahkannya.


NIK satu-satunya pekerja lelaki di Butik Leezsha.


Jahitan pada baju pengantin kebiasaannya menggunakan nuansa motif rekaan yang lebih eksklusif dan unik.

Tambah Nik, proses menyiapkan sepasang baju pengantin perempuan melibatkan proses menampal corak pada pakaian sebelum menyusun manik mengikut reka bentuk motif.

Selepas itu barulah, butiran manik boleh dijahit satu persatu dengan penuh sabar.


LEBIH 100 pasang baju di Butik Leezsha menggunakan air tangan Nik dalam menjahit manik dengan pelbagai motif.


"Saya akan pastikan pelanggan gembira dengan hasil kerja tangan saya. Sebab itu saya tidak boleh mengambil ringan dengan kehendak dan cita rasa pelanggan. Malah, saya perlu sentiasa peka dengan fesyen terkini memandangkan masyarakat hari ini semakin sensitif dengan dunia fesyen," ujarnya Nik yang kini bekerja di Butik Leezsha Bridal dekat Bandar Baru Bangi.

Bagaimanapun akui beliau, antara masalah yang paling kerap dihadapinya melibatkan baju pengantin apabila pelanggan membawa baju pengantin yang sudah siap.

"Kalau untuk baju pengantin siap, jika ia mempunyai taburan manik saya akan cabut balik semua manik-manik itu dan jahit semula mengikut corak yang saya kehendaki. Selepas berpuas hati barulah saya berikan kepada pelanggan," ujarnya yang mengakui tugas itu adakalanya agak memenatkan.


NIK bersama pemilik Butik Leezsha, Noorliza dan rakan sekerjanya Suraya dan Jumiah ketika ditemui di Bandar Baru Bangi baru-baru ini.


Melihatkan sikap tanggungjawab dan dedikasi Nik itu, tidak hairanlah mengapa dia sering menjadi pilihan kalangan pelanggan untuk menghasilkan pakaian pada hari bahagia mereka.

Sambil melihat pakaian raja sehari di dalam galeri itu, Nik memberitahu, lebih daripada 100 koleksi pakaian yang mempunyai manik di dalam butik berkenaan dijahit sendiri olehnya sejak mula bekerja di Butik Leezsha hampir lima tahun lalu.

Katanya, selain pakaian pengantin, Nik juga mengambil tempahan menjahit baju siap dengan taburan manik. Berbaloi dengan masa dan idea menghasilkan corak dan susunan manik yang cantik, setiap pasang baju yang ditempah bernilai sekitar RM3,000.

"Inilah harga yang perlu dibayar. Ia mahal bukan kerana manik itu sendiri, tetapi idea, kemahiran dan masa yang diambil untuk menyiapkan jahitan tersebut. Apatah lagi ia bersifat eksklusif kerana sukar ditiru oleh mana-mana tukang jahit," ujar Nik yang juga berbakat membuat andaman.


KETELITIAN dalam kerja menjahit manik menyebabkan harga untuk perkhidmatan itu agak mahal.


Sementara itu, pemilik butik berkenaan, Noorliza Abdul Manaf, 39, memberitahu, Nik adalah seorang pekerja yang ringan tulang dan sedia belajar dari semasa ke semasa.

"Saya memang mencari pekerja untuk bekerja di butik ini dulu dan dalam banyak-banyak permohonan, dia seorang sahaja lelaki yang ada. Secara kebetulan juga dia ada kemahiran seperti pekerja wanita tempat saya.

"Nekad untuk membantu dia, saya ambil bekerja dan ajar dia sikit-sikit. Akhirnya dia dah jadi pekerja yang amat disenangi pelanggan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang rakan sekerja Nik, Suraya Abdul Manaf, 37, memberitahu walaupun Nik adalah satu-satunya lelaki yang bekerja di butik tersebut dia tidak janggal untuk bergaul, sebaliknya mengambil peluang menjadikan Nik sebagai rujukan dan meminta idea menghasilkan pakaian.

"Nik memiliki satu sikap yang positif dan disenangi ramai. Selain dia pandai melayan kehendak pelanggan dia juga menjadi pesaing dalam butik ini untuk kami hasilkan yang terbaik. Adakala Nik jadi kurang sabar dengan kerenah pelanggan, tapi dia selalu berkata pada diri sendiri, 'Perempuan memang macam itu' untuk memujuk diri," kata Su yang turut membantu menjahit manik pada pakaian di dalam butik itu bersama Nik.

Kemahiran Nik telah membuatkan beberapa pelanggan selesa dan sentiasa mahukan khidmat beliau.

Menurut pelanggan setia di Butik Leezsha, Azura Mustapha, 32, dia selalu menggunakan khidmat Nik dan percaya dengan hasil kerja lelaki itu apabila ingin membuat tempahan pakaian yang disulami dengan manik.

"Saya nampak hasil kerja dia bagus. Kalau saya datang sini, memang saya minta Abang Nik yang jahit manik baju saya. Setiap kali pakai baju yang Abang Nik buat mesti kawan-kawan puji baju itu," kata Azura.