Pages

Tuesday, 29 December 2009

Kedai serbaneka halal


Beroperasi selama 17 jam sehari, kedai serbaneka ie-mart menjalankan perniagaan berasaskan hukum syarak untuk pengguna Muslim.




Semasa membeli-belah barangan keperluan dapur di pasar raya atau kedai serbaneka, pernahkah kita bertanya sejauh mana sucinya sesuatu produk yang dijual?

Bagi pengguna Muslim, suci atau bersihnya sesuatu produk itu penting kerana ia sebahagian daripada garis halal yang perlu diketahui.

Bukan sahaja barangan berasaskan makanan, malah produk pengguna lain juga perlu melepasi tahap kesucian ini misalnya sabun mandi, serbuk pencuci, kosmetik, barangan kebersihan diri sehinggalah pakaian.

Mungkin kerana pembungkusannya yang cantik atau dikeluarkan oleh syarikat besar, maka kita beranggapan faktor bersih dan suci itu telah dipatuhi hinggakan tidak mengambil kira tentang kesahihan label halalnya.

Isu berhubung halal haram sentiasa menghantui pengguna Muslim terutama beberapa pendedahan media sebelum ini misalnya mengenai tahap kebersihan sebuah kilang roti, pusat penyembelihan ayam yang meragukan dan pusat memproses tauhu kering yang terletak bersebelahan kandang anjing.

Walaupun telah ada syarikat milik orang Islam mengeluarkan produk-produk pengguna seperti ini, tetapi adakalanya faktor pemasaran menyebabkan ia sukar dicari pembeli. Jika ada dijual di pasar-pasar raya besar, susun aturnya pula tersorok di sebalik jenama lain.

Menyedari ada keperluan dalam kalangan pengguna-pengguna Muslim tempatan, Koperasi Halal Hub Kedah Berhad (Kohalal Hub) tampil dengan kedai runcit yang memasarkan hanya produk-produk halal yang dikeluarkan oleh usahawan Muslim.

Konsep kedai serbaneka dengan nama 'ie-mart' (sebutannya i-mart) yang seumpamanya ini mula diperkenalkan pada April lalu bagi memasarkan barangan runcit halal di bawah satu bumbung.


DARI kiri: Ahmad Khir (penyelia kedai), Jamaluddin dan Mohd. Nasir bergambar di hadapan kedai serbaneka ie-mart di Pusat Perniagaan Putra, Kulim, Kedah.


Berbeza dengan kedai serbaneka biasa, ie-mart menjalankan perniagaan selama 17 jam sahaja bermula pukul 7 pagi hingga 12 malam.

Beroperasi di Pusat Perniagaan Putra, dekat Kulim, Kedah, konsep ie-mart yang menjalankan perniagaan berasaskan produk Muslim kepada pengguna beragama Islam ini pantas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna-pengguna setempat.

Bertitik-tolak daripada ini, cawangan kedua mula beroperasi di Sungai Petani awal bulan lalu. Ia bakal disusuli tiga cawangan lain iaitu di Kedah (Alor Setar) dan Pulau Pinang (Bukit Mertajam dan Balik Pulau) dalam masa terdekat.

"Maklum balas yang diterima meyakinkan Kohalal Hub untuk mengorak langkah membuka lebih banyak cawangan kedai serbaneka ie-mart di seluruh negara," ujar Pengerusinya, Mohd. Nasir Yusoff.

Bersama dua rakannya, Mohd. Azman Mohamad yang juga bendahari Kohalal Hub dan Jamaluddin Ahmad selaku pengurus pemasaran, mereka berkongsi idea menubuhkan koperasi ini.

Menurut beliau, Kohalal Hub merupakan antara koperasi pertama di Malaysia mewujudkan peruncitan islamik yang menggunakan sepenuhnya tenaga dan kemahiran tempatan dalam operasi koperasi.

Katanya, menggunakan tagline 'Peneraju Halal-Hub', misi perniagaan mereka ialah bagi menjalankan muamalah bersama ahli dan pihak-pihak lain secara koperasi.


HAMPIR 80 peratus produk di ie-mart merupakan hasil pengeluaran IKS Muslim tempatan.


"Dengan kedai serbaneka ie-mart, Kohalal Hub berhasrat menyediakan perkhidmatan runcit yang kukuh dan diyakini berlandaskan hukum syarak agar dapat memberikan keuntungan dan haiyah taibah (kehidupan yang baik) kepada ahli-ahli koperasi

"Melalui rantaian niaga pula, kita ingin tingkatkan ekonomi masyarakat Islam tempatan melalui produk makanan halal supaya setanding dengan keluaran produk sedia ada di pasaran dalam memenuhi tuntutan keperluan ekonomi," jelasnya.

Seperti kedai serbaneka lain, ia menawarkan kira-kira 1,000 item keperluan seperti barangan dapur, produk herba, produk kesihatan, makanan kering dan basah termasuklah serbuk pencuci serta haruman, tetapi semuanya halal dan suci.

Hampir 80 peratus barangannya merupakan produk IKS Muslim tempatan di mana kira-kira 65 peratus dibekalkan oleh pengusaha IKS dari negeri Utara tanah air dan Johor. Kesemuanya mendapat status halal daripada Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) selain yang dihasilkan sendiri secara kecil-kecilan di rumah seperti kuih muih sejuk beku segera.

Menurut Mohd. Nasir, melalui perniagaan runcit ini, Kohalal Hub memasarkan produk-produk IKS Muslim ini secara sistematik selain menjamin kebersihan dan kesucian produk-produk yang dihasilkan sama ada produk perniagaan atau perkhidmatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sebenarnya ada banyak produk halal keluaran IKS bumiputera Muslim tempatan yang kualitinya setanding dengan jenama lain tetapi pada harga lebih murah sesuai dengan ekonomi semasa pengguna.

"Dengan pelan pemasaran yang strategik termasuk pemilikan Pusat Hub Halal, objektif untuk meningkatkan ekonomi masyarakat Islam umumnya dan ahli koperasi khususnya, membantu meningkatkan tabungan dan simpanan anggota koperasi melalui program perniagaan boleh dicapai," jelasnya.

Bagi meluaskan lagi konsep ie-mart, Kohalal Hub menawarkan konsep pemilikan cawangan ala francais kepada mereka yang berminat menceburi perniagaan runcit ini.

Rantaian operasinya ialah menerusi usahawan rakan niaga (ie-mart), usahawan Muslim (Kohalal Hub), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seterusnya kepada pemilik (usahawan) sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan.

"Secara tidak langsung lebih ramai usahawan Muslim dapat dihasilkan melalui program rakan niaga ini. Lantaran itu, dapat memacu ekonomi masyarakat Islam," jelas Pengurus Pemasaran Kohalal Hub, Jamaluddin Ahmad.


KEDAI ie-mart menawarkan kira-kira 1,000 item keperluan seperti barangan dapur, produk herba, makanan kering dan basah.


Menerusi pakej niaga yang disediakan, ia terbuka kepada usahawan atau bakal usahawan peruncitan untuk membuka kedai serbaneka berkonsepkan produk Muslim di seluruh negara.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, empat pakej ditawarkan mengikut kemampuan peserta iaitu pakej A bagi modal permulaan RM10,000, B (RM30,000), C (RM60,000) dan D (RM200,000).

Menurut Jamaluddin, modal bagi pakej A dan B dibiayai oleh usahawan. Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuat pinjaman bagi pakej C dan D, hendaklah mempunyai modal permulaan kira-kira 30 peratus dengan urusan pinjaman dibantu oleh koperasi.

"Modal RM10,000 misalnya sesuai bagi mereka yang hendak berniaga secara kecil-kecil seperti menggunakan motosikal roda tiga atau mini van terutama di kawasan perumahan.

"Modal RM30,000 sesuai untuk kios kecil seperti di pasar awam manakala RM60,000 untuk gerai kecil dan modal RM200,000 pula bagi sebuah kedai serbaneka lengkap.

"Kos ini bagaimanapun hanyalah bagi produk-produk runcit yang dibekalkan sahaja. Tetapi selaku ahli Kohalal Hub, kita akan pastikan peserta mempuyai rancangan perniagaan, selain pemilihan lokasi yang baik," katanya.

Menjelang tahun hadapan, Kohalal Hub menyasarkan untuk membuka kira-kira 50 hingga 100 kedai serbaneka ie-mart di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan angka ini boleh dicapai berdasarkan permintaan yang diterima setakat ini.

Ditanya tentang kemampuan bekalan, Jamaluddin berkata, sebuah Pusat Pengumpulan Bekalan yang diberi nama Pusat Halal Hub telah dibuka di Shah Alam, Selangor, sebelum tiga lagi dibuka iaitu di Kedah, Johor dan Kelantan.

"Selain merealisasikan harapan dan dasar kerajaan bagi menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, misi Kohalal Hub ialah agar pengguna-pengguna Islam dapat menikmati perkhidmatan penyediaan produk-produk halal daripada rangkaian usahawan Muslim sendiri," ujar nya.

Monday, 9 November 2009

GRADUAN ijazah MBA dari Universiti Birmingham Yakin Kerja Sendiri


Frankki Oh sanggup melepaskan jawatan pengurus pemasaran di salah sebuah firma di ibu kota lapan tahun lalu kerana beliau percaya mengumpul bahan buangan membawa pulangan yang lebih lumayan.




APAKAH persamaan antara segulung ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan perusahaan mengumpul akhbar-akhbar lama? Kedua-duanya boleh menjana wang untuk menyara kehidupan.

Seseorang individu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana mungkin kerana mahu menggandakan pendapatan sedia ada dengan bekerja di sektor awam atau swasta. Sementara itu, pengumpul bahan-bahan buangan lama juga berusaha saban hari untuk mengaut keuntungan daripada penjualan yang dilakukan.

Menyedari persamaan itu, Frankki Oh, seorang bekas graduan Universiti Birmingham, United Kingdom (UK) memilih untuk menjadi pengumpul dan penjual bahan-bahan lama. Lelaki berbangsa Cina yang kelulusan MBA itu juga sanggup melepaskan jawatannya sebagai pengurus pemasaran di salah sebuah firma di ibu kota lapan tahun lalu.

Alasannya, profesion mengumpul bahan buangan membawa pulangan yang lebih lumayan berbanding bekerja makan gaji sebelum itu. Lelaki berusia 47 tahun itu dapat menghidu potensi industri berasaskan pengumpulan bahan buangan seperti kertas, besi dan lain-lain lagi.


LONGGOKAN barangan buangan yang boleh dikitar semula diletakkan di halaman rumahnya di Seri Kembangan, Selangor.


Walaupun item-item yang dikumpul itu adalah barangan lama, namun bak kata pepatah Inggeris, 'buah anggur yang lebih lama...lebih enak rasanya'. Justeru, Oh percaya longgokan akhbar lama dan peralatan besi buruk mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.

Sebelum menceburi perniagaan itu, Oh pernah mengharungi banyak pahit getir kehidupan. Dengan latar belakang keluarga yang serba miskin bersama tujuh orang adik-beradik, bapa Oh hanya bekerja sebagai seorang pemandu teksi. Namun, kesusahan itulah yang banyak mengajar lelaki itu erti kehidupan.

Dia yang ditemui Kosmo! di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini tampil sederhana dengan gandingan sehelai kemeja-T dan seluar lama.

Rumah teres binaan kombinasi batu dan kayu miliknya itu juga serba sederhana tanpa sebarang perabot mewah, sebaliknya dilengkapi dengan perkakasan rumah lama.

Sebuah van berjenama Ford warna putih yang diletakkan di hadapan rumah itu adalah satu-satunya sumber pengangkutan lelaki itu.

Persekitaran rumah yang dipenuhi besi-besi lama itu jelas menunjukkan kehidupan Oh yang serba sederhana.

Kerja sambilan

Menurut lelaki yang berasal dari Sentul, Kuala Lumpur itu, walau segigih mana pun seseorang itu berkhidmat di mana-mana syarikat, akhirnya pada hujung bulan, mereka hanya menerima pulangan yang ditetapkan. Cuma, mereka mungkin dapat menikmati sedikit tambahan wang kerana bekerja lebih masa.

"Setelah melihat lumrah dunia pekerjaan yang gagal memberi peluang untuk memperoleh keuntungan 100 peratus dan permainan politik dalaman pihak pengurusan yang banyak mempengaruhi hidup saya, maka saya memutuskan untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Dalam kesibukan bekerja di bahagian pemasaran, saya masih melakukan kerja sambilan seperti mengedar makanan yang diproses ke pasar-pasar di kawasan berhampiran. Antaranya mi, rempah ratus, jem buah-buahan, minuman tin, daging yang diproses, jeruk dan sebagainya," jelas Oh. Bagaimanapun, lokasi edaran yang lemah dan dominasi peniaga lain menyebabkan kerja-kerja tersebut tidak dapat diteruskan.


GRADUAN ijazah MBA dari Universiti Birmingham, United Kingdom ini sanggup meninggalkan dunia kerja glamor untuk bekerja sendiri.


Dengan semangat yang masih membara, Oh mencari peluang perniagaan lain sementara beliau masih bekerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Pada April 2001, secara kebetulan Oh berjumpa beberapa orang rakan lama.

Pertemuan mereka lebih banyak menjurus kepada alam persekitaran, promosi kerajaan mengenai bahan kitar semula dan para pengumpul bahan buangan lama.


BARANGAN terbuang yang dikumpul perlu diasing untuk mendapatkan pulangan yang lebih lumayan.


Tiga daripada rakan-rakan Oh memang sudah lama menceburi bidang perniagaan mengumpul bahan-bahan buangan lama dan kitar semula.

Pada peringkat awal, Oh berasa ragu untuk berkongsi pengalaman masing-masing mengenai perniagaan itu. Lama-kelamaan, topik perbualan semakin hangat dan seorang demi seorang mula membongkar rahsia cara-cara mengumpul, tempat jualan dan menceritakan keuntungan yang diperoleh daripada bahan-bahan tersebut.

Hasil perkongsian idea itu memberi inspirasi kepada Oh dan beliau mendapat idea baru untuk memulakan perniagaan sendiri.


BARANGAN terbuang bersaiz besar seperti ini juga dikumpul oleh Frankki Oh.


Nekad

Anak keempat daripada tujuh orang adik beradik itu berkata, rakan-rakannya turut berkongsi keghairahan terhadap perniagaan itu.

Mereka banyak membantu mengajar Oh mengenai perkara-perkara asas untuk memulakan perniagaan. Misalnya, cara mengumpul bahan-bahan buangan, perolehan pendapatan dan proses menukar bahan tersebut untuk mendapatkan pulangan tunai.

"Dengan modal kira-kira RM4,000, saya memulakan proses mengumpul bahan-bahan lama seperti bateri, pintu besi, buku-buku terpakai, mesin basuh, ampaian kain, basikal, kipas dan sebagainya. Kerja-kerja rondaan untuk mendapatkan bahan dimulakan seawal pukul 9 pagi hingga 2 petang. Setelah itu, rondaan kali kedua diteruskan sekitar pukul 5 petang hingga 7 malam. Selain mengumpul dari sekitar kawasan Seri Kembangan dan Kuala Lumpur, saya berjalan sehingga ke Seremban dan Kajang untuk mengumpul bahan-bahan tersebut.

"Pada hari pertama perniagaan, saya berjaya memperoleh kira-kira RM150 melalui penjualan bahan tersebut. Di situlah, saya menyedari kelebihan perniagaan ini dan bertekad untuk meneruskannya. Oleh kerana, perniagaan ini melibatkan urusan jualan tunai, maka para pengumpul jarang menanggung kerugian dan apa yang dikumpul dapat dijual pada hari itu juga," katanya yang kini dapat menjana pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap bulan.

Menurut Oh, pada peringkat awal, keluarga terutama bapanya kecil hati dan bimbang dengan keputusannya untuk menjalankan perniagaan seperti itu. Namun, seiring dengan peredaran masa dan kesungguhannya dalam mencari wang, ia berjaya mengubah persepsi bapanya.

Bahkan bapanya pernah berkata: "Jadilah hero dalam apa juga perkara yang dilakukan." Kata-kata semangat dan kepercayaan bapanya itulah yang mendorong Oh untuk mengembangkan perniagaan tersebut.


OH seorang yang sederhana menggunakan perabot terpakai di rumahnya.


Walaupun Oh belum memiliki sebuah kilang ataupun firma besar seperti pengumpul yang lain, fokus utamanya adalah bekerja tanpa kongkongan. Katanya, dia kini bebas melakukan apa juga tanpa sekatan daripada mana-mana pihak majikan.

Lelaki berzodiak Leo itu memberitahu, pekerjaan mengumpul bahan lama juga secara tidak langsung menanam sikap memelihara alam sekitar.

Sebagai tanda menyokong seruan kerajaan, biasanya dia menggunakan kertas-kertas lama yang dikumpul untuk pelbagai urusan harian.

Apakah pandangan Oh tentang dunia dalam tempoh lima dekad akan datang?

"Soalan ini sukar dijawab, tetapi saya percaya dunia ini tidak akan berubah banyak. Ia masih sama seperti sekarang. Mungkin gaya hidup masyarakat lebih maju akibat perkembangan sains dan teknologi," jawabnya jujur

Thursday, 5 November 2009

Azie berjaya selepas dibantu LZS


 

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID


AZIE bersama salah seorang anaknya yang membantu menguruskan pusat kecantikan di Selayang.

KETIKA berbual dengan Pegawai Agihan Zakat, Mohd. Aqmal di Selayang, Selangor, baru-baru ini, penulis ditunjukkan sehelai brosur berwarna-warni. "Cantik!" desis hati penulis. Tanpa dipinta, Aqmal memberitahu, "Ini adalah perniagaan asnaf zakat kita.

Alhamdulillah, mungkin tahun ini dia akan terkeluar daripada garis kemiskinan. Bisnesnya dah makin maju."

"Wah! Jarang asnaf kita yang menyertai perniagaan seperti ini. Pasti hebat orangnya?" Penulis menyerkap jarang. Maklumlah, perniagaan yang diceburi oleh asnaf ialah berkenaan pusat kecantikan.

Bagi penulis, ia adalah perniagaan eksklusif. Maka, ruangan Jejak Asnaf kali ini akan menyelusuri usaha niaga asnaf zakat bernama Fauziah Masutan, 35 atau lebih mesra dikenali Azie.

Beliau kini menguruskan Pusat Kecantikan Aznan Slim & Beauty, di Kampung Nakhoda, Selayang, Selangor.

Pandangan pertama kala masuk ke pusat kecantikan itu, Azie benar-benar menjalankan perniagaan secara profesional. Susun atur pusat kecantikannya kemas dan rapi. Bahkan dekorasi dalamannya juga mencerminkan imej bergaya, santai namun tetap praktikal.

"Saya ini asalnya orang susah. Kampung saya di Tanjung Medan, Sg. Panjang. Saya baru berpindah ke Selayang ini pada tahun 2005," beliau memulakan bicara.

"Semasa di Sungai Panjang, saya berniaga makanan. Semasa itu juga saya harus menyara empat anak dan juga menanggung biaya rawatan bekas suami yang sakit.

"Ustaz bayangkanlah, saya sering berjalan pergi balik ke kedai makan sejauh empat kilometer dengan mengheret tanak-anak. Untuk menaiki bas, tambang nak kena bayar. Setelah lama mengumpul duit, barulah saya mampu membeli basikal," kata Azie.

Kala itu, kelibat anak gadis tampil menghidangkan kek keju dan dua cawan minuman panas.

"Inilah salah seorang anak saya. Kini, dia membantu saya sepenuhnya mengembangkan perniagaan ini," katanya.

Azie dianugerahkan empat anak hasil perkongsian hidupnya bersama bekas suami, iaitu Siti Nurul Faizatul Akma, 19; Siti Nurul Aziatul Fatimah, 17; Mohd. Alamin, 16 dan Siti Nurul Zaitul Ain, 13.

"Kami menyewa rumah buruk semasa itu di kawasan bendang. Ustaz bayangkan, binatang berbisa sering masuk ke rumah kami. Pernah sekali, ular hitam bergayut dekat bilik air. Tuan rumah pula minta RM100 sebulan, tapi saya tak mampu. Saya merayu hinggalah dikurangkan kepada RM60.

"Tidak lama kemudian, keluarga saya didaftarkan sebagai asnaf miskin di Lembaga Zakat Selangor (LZS) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), iaitu sekitar tahun 2003.

Alhamdulillah, LZS memberikan bantuan kepada anak-anak yang bersekolah dan bantuan menyambut hari raya. Cuma atas suatu masalah peribadi, bekas suami saya enggan menerima bantuan rumah," jelasnya.

Penulis cuba mengorek lagi, adakah perniagaan yang dijalankan tidak membawa keuntungan?

"Sebenarnya, perniagaan kami boleh tahan juga. Tapi, adalah sedikit sebanyak masalah peribadi yang tidak mampu saya paparkan di sini. Akhirnya, pada tahun 2005 kami berhijrah ke Selayang."

Rupa-rupanya, dentuman guruh di langit, tidak membawa hujan yang diharap. Betullah pesanan orang tua, air di tempayan dibuang jangan. Demikianlah liku-liku kehidupan Azie. Di Selayang, beliau diceraikan oleh bekas suaminya akibat sedikit pertelingkahan.

"Setelah berpisah, saya tekad membawa anak-anak. Saya tidak reda berpisah dengan mereka. Demi meneruskan kehidupan, saya melakukan apa-apa kerja yang patut, termasuklah di salon kecantikan dan di kedai buku. Namun, pendapatannya tidak seberapa.

"Hinggalah pada satu hari, seorang guru di sekolah anak saya kakinya terseliuh. Saya menawarkan diri mengurut dan alhamdulillah, kakinya pulih seperti sediakala.

"Mulai dari saat itulah, nama saya mulai meniti daripada bibir ke bibir, dan khidmat urut saya semakin berkembang. Saya bukan sekadar mengurut kerana tergeliat, tetapi juga urutan untuk ibu-ibu lepas bersalin dan juga urutan badan. Tetapi hanya untuk wanita," jelas Azie.

Ibu muda ini meneruskan lagi tanpa dipinta. Tampak beliau begitu teruja berkongsi ceritanya.

"Saya memang jenis tidak suka duduk diam. Umur pun masih muda. Saya mengikuti pelbagai jenis kursus jangka pendek anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kolej Komuniti.

"Hasilnya, saya beroleh kemahiran dalam pelbagai jenis masakan, misalnya penyediaan kek dan roti, pengurusan katering dan juga pengurusan kewangan perniagaan. Semakin hari, saya semakin bercita-cita menjalankan perniagaan kembali," katanya bersemangat.

Rupa-rupanya, perceraian yang berlaku memberi harapan baru. Beliau semakin bebas menentukan hala tuju.

"Di Selayang, saya mencuba lagi memohon beberapa bantuan di LZS, misalnya bantuan untuk memulakan perniagaan. Alhamdulillah, LZS meluluskan bantuan kira-kira RM10,000 bagi saya menjalankan perniagaan ini.

"Ditokok dengan simpanan dan lain-lain sumber, akhirnya berdirilah Aznan Slim & Beauty Centre ini.

"Saya bersyukur ustaz, hasrat di hati saya makin dikabulkan Allah SWT. Dengan tertegaknya perniagaan ini, saya kini mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM1,000 sebulan. Saya sudah berpakat dengan anak-anak dan suami, kami akan menyewa tiga pintu lagi rumah kedai di sini untuk perniagaan kafe.

Azie kini sudah mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Haznan Hassan, 46, seorang yang telah lama menjalankan perniagaan pembinaan.

Kini, penulis sudah mampu melihat sinar cerah yang bakal terus menyinari kehidupan Azie sekeluarga.

Pihak-pihak berkaitan, misalnya Persatuan Ibu Tunggal dan Mara turut mengiktirafnya dengan memanggil beliau memberi motivasi.

"Ustaz, saya ingat sangat-sangat pesanan arwah ibu saya, bahawa dalam hidup ini kita kena banyak bersabar dan banyakkan berdoa. Barulah dapat keberkatan di sisi Allah. Bahkan saya berazam, menjelang hujung tahun ini saya akan mengeluarkan zakat pendapatan pertama saya, insya-Allah."

Penulis dan Mohd. Aqmal mengambil peluang melawat premis beliau, ternyata amat berbaloi.

Pusat kecantikan itu kini menawarkan rawatan muka, solekan wajah, manikur/ padikur, lulur, sauna infra merah, sauna herba, mandi bunga, mandi susu, mandi rempah, mandi ais dan wap, mandi garam, urutan badan dan banyak lagi dengan pakej dan harga yang amat berpatutan.

Benarlah, kesabaran adalah azimat asal ia disertai doa dan usaha penuh kecekalan. Mereka yang berminat mendapatkan perkhidmatan, Aznan Slim & Beauty, beliau boleh dihubungi di talian 012-321 5748

Thursday, 22 October 2009

Zakat menyuntik semangat



bantuan perniagaan yang diperoleh daripada LZS akhirnya merealisasikan cita-cita Daing Nur Rashid Shah Abdul Razak bergelar usahawan.


DARI kejauhan dia kelihatan sibuk sekali. Keringat meleleh membasahi wajahnya. Baju berwarna biru yang tersarung di tubuhnya nampak makin lencun. Namun dia tetap setia melayani permintaan pelanggan-pelanggan di tengah hari yang membahang.

Di sisinya, seorang wanita sedia membantu. Mereka pantas sekali menyediakan pesanan. Itulah dia, Daing Nur Rashid Shah Abdul Razak, 36 dan isterinya, Roslini Yahaya, 35.

Jejak Asnaf kali ini akan membawa kisah seorang bapa yang bangkit dengan bantuan wang zakat. Kisah bagaimana dalam menongkah arus kehidupan, ada manusia yang terpaksa berpapah demi kelangsungan hidup.

Bukan kerana mereka malas berusaha, atau suka menempatkan diri di zon selesa. Bahkan mereka sudah berusaha namun mungkin rezeki masih belum sampai. Maka, mereka memerlukan bantuan demi mencapai apa yang dicita-citakan.

Bagi Daing, apa yang menjadi keistimewaannya ialah, beliau bukan menjual nasi ayam biasa tetapi Nasi Ayam Madu Salai Berempah.

Melihatkan ayam-ayam yang dipanggang, seseorang sudah boleh menilai keenakan rasanya. Jika perut dicerut lapar, pasti kecur liur dibuatnya.

"Saya sudah lebih tujuh tahun menjalankan perniagaan ini. Menu masakan ini, abang angkat saya yang beri. Saya meletakkan harga tidak mahal, sepinggan tidak lebih RM4.

"Kawasan perniagaan kami meliputi Shah Alam dan Petaling Jaya." Begitulah Daing berkongsi cerita. Sesekali kelihatan dia agak keletihan juga.

"Saya dan isteri asal-asal dulunya berniaga dengan kereta buruk sahaja, pemberian orang tua. Itulah nadi kami, di mana ada pasar malam, adalah muka kami mencari rezeki. Maklumlah, anak-anak siapa yang nak besarkan," tambah beliau.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Syafiqah, 15; Nur Shahril Ashraf, 14; Nur Syafiqah Aqilah, 9, dan Nur Shamimi, anak bongsu.

Hakikatnya, Daing bukanlah jenis manusia yang suka berpeluk tubuh. Melihat kepada sosok tubuhnya sahaja dan gaya bicaranya, sudah mempamerkan wataknya yang sanggup melakukan apa-apa sahaja pekerjaan demi mencari rezeki yang halal.

Menurutnya lagi, pengalaman yang tidak mungkin dilupakan ialah, dia terpaksa membawa anak dan isterinya ke mana sahaja untuk berniaga. Hinggalah pada suatu hari di bulan Ramadan beberapa tahun yang lalu, salah seorang anaknya yang leka bermain bunga api pada petang Ramadan disambar api. Saat itu, dia dan isteri sedang sibuk melayan pelanggan.

"Berderau darah saya kala itu. Bayangkan, api sudah menyambar tubuh anak kedua saya yang kala itu berusia lapan tahun. Akibatnya, berbulan jugalah dia dirawat di hospital," katanya.

Selepas dari itulah, Daing enggan membenarkan isterinya membantunya lagi. Bahkan isterinya seperti sudah patah semangat untuk meneruskan perniagaan.

Maklumlah, kejadian berlaku dek kerana mereka asyik berniaga. Mereka hakikatnya sudah dilanda trauma.

Namun adat orang berniaga, sama seperti seekor harimau. Ada masanya keluar pagi dan pulang petang dengan rezeki besar; ada kalanya keluar dan pulang dengan tangan yang kosong. Untung dan rugi silih berganti. Sementara itu, anak-anak makin membesar. Keperluan pula semakin banyak perlu disediakan.

Maka, selalu juga Daing keputusan belanja bahkan untuk memodalkan perniagaannya pun, dia tidak berduit lagi.

"Sering juga saya terpaksa menebalkan muka meminta bantuan rakan-rakan dan sahabat serta saudara-mara. Mana yang mampu dan sudi membantu, saya terima penuh kesyukuran.

Memang kala itu, kita amat-amat memerlukan bantuan. Malu pun berkurang dengan sendiri; apatah lagi bila wajah anak-anak mula terbayang-bayang di ruangan mata," jelasnya.

Bagaikan satu rantaian, perniagaan Daing yang kurang menjadi menimbulkan bebanan lain pula. Akibatnya, bayaran ansuran rumah mulai tertunggak, bil elektrik dan air juga makin menebal. Kala itulah, salah seorang rakan mencadangkan beliau menemui Lembaga Zakat Selangor (LZS) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Di LZS (MAIS), kesusahan Daing sekeluarga mendapat perhatian. Inilah hikmah zakat, membela nasib sesama umat tanpa mengira batas dan darjat.

Tepat sebagaimana saranan Rasulullah SAW, bahawa sesungguhnya umat Islam yang bersaudara itu seumpama satu badan, maka dengan wang zakat yang disalurkan oleh umat Islam itulah, LZS (MAIS) mampu kembali menyantuni sesama umat sebagaimana selayaknya yang dituntut oleh syariat.

Kini, Daing sudah mampu tersenyum dengan pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh LZS (MAIS). Bantuan perumahan, bantuan raya, bantuan pendidikan dan bantuan perniagaan telah disalurkan oleh LZS (MAIS) dengan jumlah ribuan ringgit.

"Alhamdulillah, saya telah dimasukkan sebagai salah seorang perintis di dalam Program Usahawan Mobil Asnaf. Saya juga diberikan sebuah lori dan juga kelengkapan perniagaan yang lain.

"Saya yakin, masa hadapan yang lebih gemilang sedang menanti saya di hadapan. Insya-Allah, rezeki Allah SWT memang luas dan suatu masa nanti, nasib saya pastinya berubah…amin," katanya yakin.

Nota: Sesiapa yang berminat untuk menempah nasi ayam rempah bermadu, sila hubungi Daing di talian 013-2904171.

Oleh Hamizul Abdul Hamid dan Ima Syuhada Ismail
l HAMIZUL ABDUL HAMID dan IMA SYUHADA ISMAIL ialah Pegawai Dakwah Pena & Penerbitan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Wednesday, 14 October 2009

Rohani jutawan syarikat binaan


Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak halang capai kejayaan.


ROHANI menggemari busana hasil kreativiti Radzuan Radziwill.





PRINSIP hidup yang diamalkan wanita bersemangat waja ini senang sahaja. Tiada jalan mudah untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Setiap cabaran dan dugaan yang mendatang tidak harus dijadikan batu penghalang dalam meniti kejayaan, sebaliknya ia dijadikan panduan supaya diri tidak tergelincir sekiranya sudah berada di puncak.

Itulah pegangan pemilik sebuah syarikat pembinaan, Rohani Baba, 53, dalam usaha meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya.

Menurutnya, kesabaran dan disiplin adalah aset utama yang menjadi pegangannya sebelum mengambil keputusan menceburi bisnes bersama suami tercinta, Noorman Ismail dengan menubuhkan syarikat Rohani Baba Sdn. Bhd. pada tahun 1979.

“Pada awalnya kami sememangnya tiada langsung kepakaran dalam bidang ini. Saya pula setakat tamat sekolah menengah sahaja.

“Suami pula mengambil jurusan seni bina ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur,” ujarnya.

Buka syarikat selepas kahwin

Pada usia 25 tahun, Rohani mendirikan rumah tangga bersama Noorman.

Menurutnya: “Saya dan suami ambil keputusan untuk menubuhkan syarikat bisnes kami itu tidak lama selepas bergelar suami isteri.”

Ibu kepada dua orang anak ini membuktikan walau dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia juga mampu mencipta kejayaan sepertimana golongan berpendidikan tinggi yang lain.

Menjadikan suaminya sendiri sebagai ikon untuk terus berada di ambang kejayaan, Rohani kini sudah mampu tersenyum bangga melihat segala kemewahan yang berjaya diraihnya hasil kerja keras dalam bisnes yang diusahakannya selama ini bersama suami tercinta.

Kejayaan syarikat miliknya menjana keuntungan mencecah berjuta-juta ringgit, hasil daripada projek yang kebanyakannya diperoleh daripada sektor kerajaan, Rohani bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk berada di dalam bisnes tersebut.

“Seingat saya, projek pertama yang kami dapat ialah projek bernilai RM10 juta di Pulau Pinang. Ketika itu kami dapat tender untuk membina bangunan untuk kuarantin barangan.

“Bermula dari situ, kami mula berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek,” katanya.

Projek mega RM25 juta

Menurut Rohani, antara projek yang diusahakan syarikatnya termasuklah membina masjid, sekolah, asrama dan juga bangunan-bangunan kerajaan.

“Projek terbesar yang pernah diperoleh syarikat kami bernilai RM25 juta,” akuinya.


ROHANI dan suami menghadapi saat susah dan senang bersama.


Dalam pada itu, Rohani memberitahu, cabaran terbesar dalam meluaskan empayar perniagaannya ialah ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1998.

“Saya dan suami terpaksa mengerah keringat siang dan malam demi memastikan bisnes yang kami usahakan tidak terhenti begitu sahaja.

“Saya tak nafikan bisnes kami agak teruk ketika itu, terutama disebabkan tekanan yang timbul daripada beberapa masalah.

“Selain daripada kesukaran mendapat projek baru, dalam perniagaan, biasalah, mesti ada yang tak suka dan dengki. Ada sahaja pihak yang cuba mencantas projek yang diusahakan syarikat kami itu. Namun, alhamdulillah rezeki tetap ada walaupun banyak halangan,” luah Rohani.

Tambahnya: “Biarpun begitu, saya bersyukur kerana suami saya seorang yang sangat tabah. Dia banyak bersabar dan dengan hasil usahanya yang tanpa mengenal erti jemu, perniagaan kami sekeluarga dapat diselamatkan.”

Setia dengan Radzuan Radziwill

Menyentuh pula mengenai gaya hidupnya, Rohani dengan rendah diri menyatakan semua yang diperolehnya hari ini adalah rezeki yang telah diberikan oleh Tuhan.

Berbicara lanjut, Rohani menegaskan dia tidak gemar membeli barangan dari jenama luar negara.

“Saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah. Kesemua pakaian saya dibuat di butik Radzuan Radziwill, Saya sendiri pun dah selesa dengan rekaan dia sejak dulu lagi dan setia dengan Radzuan seorang sahaja. Barangan rumah termasuk langsir pun dia yang jahitkan.

“Kalau melancong pula memang jarang. Kali terakhir kami melancong ke luar negara ialah pada tahun 1990, di London. Sejak itu kami tidak lagi melancong sebab masing-masing sibuk kecuali jika ada kelapangan kami akan terbang ke Indonesia,” tuturnya yang memiliki hobi menanam bunga.

Sebagai usahawan, ibu dan isteri, Rohani tidak menafikan kadangkala dia juga berhadapan dengan masalah pembahagian waktu.


SUAMI menjadi ikon buat Rohani untuk berjaya dalam bisnes.


Walau bagaimanapun, Rohani lebih memberi penekanan kepada keluarga dengan memperuntukkan waktu lapang sebagai waktu bersama insan-insan yang amat disayanginya itu.

Rohani ternyata bukan sahaja berjaya sebagai usahawan, tetapi juga sebagai seorang ibu. Ia terbukti apabila kedua-dua anaknya kini dipertanggungjawabkan mengendalikan syarikatnya itu.

“Anak sulung saya, Neiry kini memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikat, sementara anak bongsu saya pula, Reyni sebagai salah seorang pengarah syarikat,” ujarnya.

Menjadi harapan kepada wanita ini untuk membuka cabang bisnes baru seperti butik ke seluruh negeri di Malaysia. “Saya berazam untuk membuka sebuah butik yang berkonsepkan pakaian muslimah bagi keperluan wanita,” akhirinya.

Monday, 12 October 2009

Fione bernilai RM20,000 sejam


Jurulatih Pemasaran Internet No. 1 di Asia selama enam tahun berturut-turut dan 10 Usahawanita Berjaya adalah sebahagian gelaran yang diraih Fione Tan.




BELIAU sering ditempelak dan dicemuh tatkala menghulurkan kad perniagaannya dengan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eonenet.com pada majlis-majlis korporat beberapa tahun lalu.

Disebabkan usia muda, baru tamat pengajian di universiti, bertubuh kecil dan berasal dari negara Asia, ramai yang menyangka beliau hanya seorang setiausaha dan tidak layak mendapat layanan kelas pertama seperti CEO.

Namun, Fione Tan, 31, tidak mudah melatah. Malah beliau berusaha gigih menyusun strategi dalam perniagaan Internetnya dan kini dikenali sebagai Jurulatih Pemasaran Internet No. 1 di Asia selama enam tahun berturut-turut.

"Saya memulakan Eonenet.com pada tahun 2000 pada usia 22 tahun. Sebelum itu, saya bekerja di syarikat insurans. Dengan komitmen kerja yang tidak mengenal waktu, jadual kerja yang padat ditambah pula dengan gaji rendah, saya mula bosan dengan kerja.

"Waktu itu saya mengimpikan kerja yang boleh dilakukan dalam keadaan santai, tidak terperap di pejabat, kurang risiko kerugian dan pastinya tidak memerlukan saya untuk bangun awal pagi!," ujar lulusan Sarjana Muda Pemasaran dan Perniagaan dari Universiti Iowa, Amerika Syarikat (AS) ini.


PENCAPAIAN dan pengiktirafan yang diterima Fione menyuntik semangatnya untuk lebih berjaya.


Tekad untuk mencari pekerjaan yang lebih baik, Fione teringatkan pengalamannya semasa menuntut di AS. Menurutnya, di sana banyak urusan perlu dilakukan menggunakan Internet bahkan adakalanya menjadi satu kemestian.

Bertitik tolak dari situ, Fione mendapat idea untuk menjadikan Internet sebagai medium pemasaran yang menguntungkan. Dengan waktu bekerja yang fleksibel, kurang risiko rugi dan kos operasi yang murah, Fione lantas nekad dengan keputusannya itu.

"Apa yang saya miliki hari ini bermula dengan hanya satu pelan perniagaan yang mempunyai empat muka surat. Pada masa itu dalam fikiran saya, tertanam satu desakan yang saya perlu bersungguh-sungguh mengubah hidup saya.








BERSAMA suami, Harrace Lau yang turut menjadi nadi dalam merealisasikan impian dan cita-cita dalam perniagaan internet.



"INTERNET adalah medium yang membuka pasaran global kepada pelanggan saya. Dengan akses 24 jam sehari dan 365 hari setahun, ia adalah lubuk duit" - FIONE TAN.


"Saya mula pergi ke seminar-seminar perniagaan untuk membentangkan pelan perniagaan di samping mencari pelanggan yang berpotensi.

"Usaha itu berhasil apabila sebuah syarikat antarabangsa bersetuju menyuntik modal sebanyak RM88,000. Saya laburkan RM75,000 untuk membina laman web dan bakinya digunakan untuk operasi syarikat," cerita Fione.

Cek pertama RM15

Walaupun yakin perniagaan alam maya mampu memberikan rangkaian promosi meluas, Fione mengakui beliau hanya untung RM15 pada bulan pertama perniagaannya.

"Saya terima cek untuk bulan pertama hanya RM15 (AS$4.40). Nak tunaikan di bank pun malu. Oleh kerana proses itu mengambil masa dua minggu dan dikenakan caj RM26 untuk transaksi, saya tak tunaikan pun cek itu.

"Walaupun pun hanya dapat RM15, saya tak patah semangat. Saya teruskan rutin harian iaitu duduk di depan komputer sekurang-kurangnya selama 10 jam sehari.

"Saya buka banyak laman web dan belajar bagaimana mahu menjadikan Eonenet.com berada di tempat pertama di enjin carian utama seperti Google, Yahoo! dan Baidu. Pada bulan ketiga baru saya dapat pulangan balik modal, rasa berbaloi menghadap komputer seharian," cerita Fione.

Kini selepas sembilan tahun menjadi ejen pemasaran Internet, wanita ini mampu menjana pendapatan mencecah RM1 juta sebulan. Bukan itu sahaja, laman sesawang miliknya, Eonenet.com sudah memasuki pasaran negara-negara maju serta memiliki beberapa aset hartanah elit di Malaysia serta Hong Kong.

Pencapaian anak kelahiran Jinjang, Kuala Lumpur ini bukan setakat itu. Selain gah di pasaran Internet, beliau juga terkenal dengan khidmat perundingan Internet berkesan. Malah di peringkat antarabangsa, ramai pelanggan sanggup membayar RM15,259 (AS$4,500) untuk 45 minit sesi konsultasi bersamanya.

Dek kejayaannya menempa nama di arena perdagangan alam maya itu, Fione sering dijemput malah turut menganjurkan seminar-seminar keusahawanan bagi berkongsi strategi untuk memperluaskan rangkaian pemasaran para peserta melalui Internet.

"Sehingga kini, lebih kurang 30,000 orang telah mengikuti seminar saya dan boleh dikatakan semuanya berjaya. Ada suri rumah memperoleh pendapatan lebih RM30,000 pada Ramadan lalu hanya dengan menjual kek lapis.

"Ada juga pelanggan saya merupakan sekumpulan pengusaha ladang pir di Taiwan. Melalui Eonenet.com, mereka telah berjaya memperluaskan pasaran di Asia dan menembusi pasaran di Amerika serta Eropah.

"Ada juga yang mengambil kesempatan wabak H1N1 sebagai peluang buat duit. Mereka jual topeng muka dan mampu jual lebih 1,000 kotak di Internet.

"Selain produk, ada juga pelanggan yang mempunyai kemahiran tertentu menjual perkhidmatan mereka melalui Internet.

"Contohnya, seorang CEO di sebuah syarikat terkemuka di Singapura mahu bersara kerana tekanan kerja. Dia mula menyertai kami dan menjual kemahiran yang dia ada di Internet. Nyata cara itu mampu memberinya pendapatan lumayan tanpa perlu menghadapi stres lagi.

"Pendek kata, jika ada kesungguhan, disiplin dan dedikasi, anda juga boleh berjaya.

"Saya melihat Internet dan dunia siber bagaikan lubuk. Segala-galanya ada di sana sama ada maklumat, rangkaian sosial mahupun tempat untuk membuat wang," jelasnya panjang lebar.

Internet mengubah hidup

Dengan kejayaan dalam karier dan hidup yang jauh lebih selesa, Fione juga tidak menyangka kuasa Internet mampu mengubah landskap kehidupannya.

"Tanpa dedikasi, disiplin, pengalaman terdahulu serta sokongan keluarga dan pekerja, mungkin saya tidak akan berada di tahap ini," tutur isteri kepada Harrace Lau, 40-an ini.

Biarpun kini beliau sedang berada di puncak kerjayanya, anak sulung dari dua beradik lebih senang merendah diri.

"Secara peribadinya, masih banyak ruang untuk saya perbaiki. Untuk kata puas, mungkin belum lagi, tetapi kalau lega, mungkin ya.

"Saya bersyukur dengan kerja ini saya boleh dapat duit untuk bayar ansuran rumah, kereta dan memiliki pejabat di Malaysia serta di Hong Kong. Saya bukan orang yang suka melebih-lebih.

"Asalkan cukup makan dan pakai, ada duit lebih untuk disimpan, pergi membeli-belah dan sesekali ke spa, saya sudah okey," katanya yang mengakui lahir dari keluarga sederhana.

Tambah beliau, ibunya merupakan seorang akauntan, bapa pula bekerja sebagai juruteknik elektrik. Disebabkan kehidupan yang serba sederhana, orang tuanya terpaksa bekerja keras untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Adakalanya dalam sebulan, hanya seminggu saja saya berpeluang berjumpa dengan ibu. Selebihnya masanya dihabiskan dengan kerja.

"Disebabkan itu, memasuki sekolah menengah, saya nekad belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat biasiswa ke Amerika. Saya tidak mahu melihat orang tua saya susah lagi.

"Sekarang saya gembira kerana dapat menyumbang keselesaan dalam hidup mereka sekarang," ujar Fione yang mengakui karakter ibu kesayangan banyak mempengaruhi kejayaanya.

Walaupun sering mengimpikan kehidupan disaluti kemewahan sejak alam remaja, Fione tidak menyangka impiannya tercapai secepat ini.

"Saya bersyukur kerana Tuhan buka hati untuk cepat berhenti kerja dulu. Kalau tidak berada di tempat sekarang, pasti saya sedang bekerja keras dari pagi ke malam di syarikat insurans itu," selorohnya.

kosmo.com.my

Tuesday, 6 October 2009

Penjahit butang ke pemilik butik


Helen Read, usahawan wanita yang terkenal dengan himpunan fesyen bersaiz besar menceritakan bahawa hobinya kini adalah memasak.




PEMILIK butik Ms. Read, Helen Read pernah bergelumang dengan timbunan butang baju pada suatu ketika dahulu. Bekerja menjahit butang baju di rumah, beliau melakukannya ketika anak sulungnya, Benjamin tidur di buaian.

Setiap hari, beliau bertungkus-lumus menjahit butang blaus yang dihantar kepadanya dalam satu beg penuh.

Helen melakukan kerja itu semasa menjadi rakan kongsi bersama dua rakannya yang menjalankan perniagaan pakaian, Q-Corporation.

Episod sejarah awal itu bagai sudah membuktikan akan minatnya terhadap bisnes dan kecekalan Helen. Meskipun dilahirkan dalam keluarga berada, Helen sanggup bekerja sebagai penjahit butang.

Helen sedar, itulah caranya untuk beliau berdiri di atas kaki sendiri setelah berhenti kerja sebagai ketua unit pengemas bilik di sebuah hotel.

"Walaupun bayarannya tidak lumayan, namun setiap sen yang diterima tetap memberi kepuasan," ujar Helen tanpa berselindung ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Wanita berambut pendek yang ceria itu terserlah karismanya sebagai usahawan.

Berwawasan

Pemilik merangkap Pengarah Urusan Ms. Read, butik terkenal bagi pakaian untuk wanita bersaiz besar itu nyata seorang yang berwawasan tinggi.

Setelah menjadi pemilik penuh perniagaan Q-Corporation pada 1984 apabila dua rakannya melepaskan pegangan syarikat, ujian terus membadainya. Namun, beliau tetap tabah. Meskipun berdepan jatuh bangun akibat kemelesetan ekonomi yang dialami negara sekitar tahun 1990-an, wanita itu tetap membayangkan masa depan yang cerah.

"Pada waktu itu, banyak perkara yang perlu saya tempuhi tanpa bantuan pihak luar. Ayah saya turut mengalami kerugian besar sebanyak RM7 juta apabila nilai saham-saham yang dibelinya jatuh merudum," ujarnya sambil menundukkan kepala menyembunyikan matanya yang mula berkaca. Keadaan itu turut mendesak adik-beradik Helen yang belajar di luar negara, kembali ke Malaysia dan mencari pekerjaan.


DI SAMPING suami, Edmund Read.


Pinjaman

Kerana masalah ekonomi juga, Helen bimbang besar kemungkinan pinjaman kewangannya dari sebuah bank tempatan terputus separuh jalan, sekali gus bisnesnya hampir terkubur. Namun, kerana kesungguhannya untuk meneruskan perniagaan, beliau mengambil langkah proaktif dengan mengirim sepucuk surat kepada pihak bank mengenai status perniagaannya.

Berkat kegigihan dan berfikiran positif disusuli perbincangan secara bersemuka untuk meyakinkan pihak bank, Helen akhirnya mampu meluaskan rangkaian syarikatnya.

Sebagai seorang anak, ibu dan kakak, Helen terus bekerja keras siang dan malam bagi mengatur strategi bisnes yang lebih mantap.

Pada tahun 1997, Helen memberanikan diri mendaftarkan nama butik Ms. Read yang menjadi pusat penjualan pakaian-pakaian keluarannya.

Hari ini, penat lelahnya berbayar apabila beliau bergelar usahawan yang cukup berjaya dengan pembukaan 16 buah butik Ms. Read. Dua buah butik lagi dijangka menjadi realiti sebelum hujung tahun ini.

Jenama pakaian yang mementingkan kualiti itu turut mendapat perhatian di Singapura, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

"Tahun depan, kami mungkin akan membawa jenama Ms. Read ke Indonesia, selain mempelbagaikan lagi stail dan gabungan trend yang lebih moden," ujar wanita yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu.

Helen yang giat melakukan kerja-kerja amal di dalam dan luar negara mengakui bahawa kepakarannya dalam industri yang diceburi itu bertitik-tolak daripada pengetahuan dan pengalaman melaksanakan tugas sebagai suri rumah.

"Bayangkan daya fokus dan kemahiran serba boleh yang dimiliki dapat menyeimbangkan tanggungjawab domestik dan kerjaya dalam satu masa.

"Sungguhpun begitu, tahap profesionalisme dan disiplin yang dimiliki membantu saya mengurus dan membahagikan masa dengan produktif," ujar Helen yang berpendidikan dalam bidang pengurusan hotel.


POTRET KELUARGA. Dari kiri: Edmund, Kristy, Benedict, Helen dan Benjamin.


Jenama

Menyentuh tentang segmen perniagaannya yang mengeluarkan pakaian wanita bersaiz besar, Helen berkata, ia menjadi kenyataan apabila sebuah pusat beli-belah terkenal menghubungi dan memberikan ruang khas kepadanya bagi mempamerkan koleksi pakaian jenama sendiri.

Helen cuma mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa wanita bersaiz besar masih boleh kelihatan menarik sekiranya bijak memilih fesyen pakaian.

"Wanita secara amnya dilahirkan dalam variasi bentuk badan. Sebagai seorang wanita, saya memahami keinginan memiliki baju yang menepati cita rasa.

"Apatah lagi ramai wanita di semua peringkat usia, menganggap diri mereka tidak mencapai standard kecantikan yang diletakkan oleh masyarakat. Mereka juga gagal mengamati bahawa kecantikan adalah sesuatu yang bersifat subjektif," katanya sambil memberitahu Ms. Read menawarkan pakaian bersaiz besar iaitu dari 12 hingga 22.

Helen menegaskan: "Bukan pakaian sahaja yang menyuntik personaliti dalam diri seseorang secara keseluruhannya."

Diperbaharui hampir setiap bulan, Ms. Read dibahagikan kepada tiga koleksi utama iaitu sut formal untuk ke pejabat, kasual dan pakaian ke majlis keramaian.

Malah, idea itu turut dipanjangkan kepada baju tidur yang diperkenalkan baru-baru ini. Dengan dua orang pereka fesyen tetap dan terus bertambah, Helen dan suaminya, Edmund Read yakin untuk kekal berdaya saing pada tahun-tahun akan datang.


PEREKA fesyen, Sencir Lim (kanan) berbincang sesuatu dengan Helen tentang rekaan baru.


Kejayaan

Setelah mengerah keringat selama 23 tahun dalam bidang tekstil, kejayaan itu dikongsi bersama tiga orang anaknya iaitu Benjamin Yong, 32, Benedict Read, 31, dan Kristy Yong, 27.

Mengadakan perjumpaan berkala dengan kakitangan di ibu pejabat, Helen tidak berminat untuk banyak bercakap. Sebaliknya, dia lebih suka membahagikan tugas atas dasar kepercayaan.

Selain mereka pakaian bersaiz besar, satu lagi hobi yang sangat digemarinya adalah memasak. Malah, minatnya itu dikongsi bersama orang ramai melalui laman sesawang www.msread.com.my.

"Tetapi, saya tidak berapa pandai menyediakan masakan Cina. Saya cuma tahu masak kari ayam dan beberapa juadah antarabangsa. Sekarang, saya sedang belajar menyediakan laksa Johor, laksa Singapura dan mi nyonya," kata Helen yng lebih rela pergi ke restoran untuk menikmati masakan India dan Melayu.

Bukan sekadar bercerita tentang masakan, laman sesawang itu turut dipenuhi dengan bahan-bahan ilmiah seperti tip-tip yang berguna untuk kaum wanita yang dimuat turun dari semasa ke semasa.


SEBAHAGIAN daripada himpunan fesyen bersaiz besar yang pernah dihasilkan oleh butik Ms. Read.


Helen memberitahu, peluang untuk melancong ke luar negara bersama keluarga atau kakitangan dimanfaatkan untuk mengenali budaya, masakan dan trend fesyen akan datang.

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, Benjamin kini mengikut jejak ibunya untuk bergelar seorang usahawan berjaya. Benjamin melakukannya menerusi pembukaan kafe Delicious dan butik Dude & The Duchess sejak beberapa tahun lalu.

Mungkinkah Ms. Read akan menawarkan produk-produk fesyen lain atau rangkaian pakaian wanita bersaiz normal?

"Tidak. Perkara itu tidak terlintas di fikiran," jawabnya ringkas.

dari:kosmo.com.my

Friday, 2 October 2009

Tak menang tangan urus salon



HANISAH (kiri) memberi penerangan mengenai produk kepada seorang pelanggan di kedainya di Ipoh, Perak.


SEBAGAI anak nelayan yang dibesarkan dalam persekitaran kampung, Hanisah Hussin, 49, langsung tidak pernah mengimpikan untuk bergelar usahawan berjaya, apatah lagi mengasaskan produk kecantikan menggunakan jenamanya sendiri.

Namun, hasil usaha gigih, tidak jemu memerah keringat dan jauh sekali berputus asa, Hanisah atau lebih mesra disapa Misha kini boleh tersenyum bangga.

Produk kesihatan dan kecantikan pelbagai jenis atas jenama Misha semakin mendapat perhatian. Malah, dia sendiri mengakui tidak menang tangan menguruskan lima buah salon kecantikan di sekitar Perak.

Apa yang pasti, kejayaan yang diraihnya itu bertitik tolak daripada pengalaman yang ditimba sepanjang memasarkan produk kesihatan dan kecantikan jenama tempatan lain kira-kira sedekad lalu.

"Saya mulakan perniagaan ini dengan modal RM500 sahaja.

"Pengalaman sebagai pengedar produk kecantikan pelbagai jenama dalam dan luar negara membantu saya untuk terus berkecimpung dalam dunia kecantikan," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menimba pengetahuan

Tidak lagi mahu menoleh ke belakang, Hanisah menimba lebih banyak pengetahuan untuk meyakinkan pelanggan.

"Pada awalnya, saya 'mengumpul' sebanyak mungkin ramuan terbaik dalam setiap produk yang dijual kerana mungkin satu hari nanti, saya mampu menghasilkan produk sendiri," katanya yang berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan.

Yang pasti, impiannya sudah pun menjadi kenyataan. Kini, sebanyak 16 produk yang menggunakan jenama Misha telah mendapat tempat di hati pelanggan di seluruh negara.

Katanya, kesemua produk itu mendapat sambutan menggalakkan sejak mula diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu.

Antara produk keluarannya adalah Pure Collagen Gold, Beauty Treatment Cream, Bio X-20, Soy Collagen dan Kopi Abang Yes yang disasarkan untuk lelaki.

Selain itu, turut dihasilkan adalah beberapa produk khas untuk kegunaan wanita iaitu Tongkat Kasih Xtra Rapat, Lobata Sireh Asmara Kasih, 1001 Rahsia Isteri, Mirifica Pulih Dara, VG Wash dan Collagen Puteri Gingko.

"Yang terbaru, saya turut mengeluarkan Berry Collagen Plus Gingko dan set rawatan resdung, jerawat serta jeragat," katanya.

Pada masa yang sama, dua buah anak syarikatnya, Erra Beauty Fit dan D'Kiff Beauty turut mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan sendiri iaitu Roselle Pearl Fit dan Pati Jus Kismis, Madu, Delima.

Sentiasa optimis

Dijual pada harga yang berpatutan, Misha optimis produk keluarannya mampu berdiri sama tinggi dengan barangan kesihatan dan kecantikan yang sedia ada di pasaran.


HANISAH HUSSIN (lima dari kiri) bersama para pekerjanya di kedainya di Bangunan Megoplex, Jalan Gopeng, Ipoh, Perak.


"Semua produk yang dihasilkan mendapat pengesahan halal daripada pihak berwajib selain mendapat pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP)," katanya.

Tidak mahu membandingkan hasil tangannya dengan produk kecantikan dan kesihatan lain, Misha menjelaskan sehingga kini respons yang diterimanya daripada pelanggan begitu mengujakan.

"Saya sentiasa percaya apa yang 'dihidangkan' kepada pelanggan mesti didatangkan dengan bahan-bahan bermutu dan terbaik. Atas dasar itulah, kualiti pembuatannya dipantau dari semasa ke semasa.

"Sekiranya tiada aral, saya mahu mempelbagaikan produk jenama Misha bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelanggan," katanya yang turut mendapat sokongan suami, Mohd. Termizi Ramli, 50. Pasangan itu dikurniakan lima orang cahaya mata berusia antara dua tahun hingga 28 tahun.

Pastinya, Misha juga boleh berbangga kerana lima buah outlet miliknya di Kompleks Megoplex dan Ipoh Parade di Ipoh serta Simpang Pulai, Batu Gajah dan terbaru di Lumut semakin popular dalam kalangan pelanggan.

Selain memasarkan produk-produk keluarannya, salon itu juga menawarkan variasi pakej penjagaan wajah termasuk rawatan resdung dan penggunaan laser bagi mencantikkan mata.

Kelas pertama

"Dilengkapi dengan fasiliti rawatan kelas pertama, salon Misha turut menawarkan pakej spa meliputi sauna, jakuzi, mandi skrab, rawatan mata dan urutan tradisional Thailand.

"Setiap pakej terutama urutan badan dikendalikan oleh tukang urut profesional. Tukang urut lelaki disediakan untuk pelanggan lelaki, begitu juga sebaliknya," katanya.

Misha juga tidak betah melakukan sendiri teknik-teknik rawatan kepada para pelanggannya, meskipun dia sendiri mempunyai kakitangan terlatih di setiap salon miliknya.

Selain itu, dia mempelawa orang ramai yang berminat menjadi pengedar produk jenama itu supaya menghubunginya sambil berharap peluang bergelar usahawan yang ditawarkannya tidak disia-siakan.

Friday, 25 September 2009

Produk Hidayah Cookies tambat hati pelanggan



Sarimah Jantan bersama produk makanan yang dihasilkan oleh Hidayah Cookies.


SELAIN kuih raya moden, sambutan Aidilfitri pastinya kurang meriah tanpa kehadiran kuih tradisional yang masih mendapat sambutan baik pelbagai golongan masyarakat.

Kuih tradisional seperti semperit, dodol, kuih bangkit dan baulu pasti akan menjadi hidangan wajib bagi menjamu tetamu yang datang bertandang ke rumah.

Penerimaan berterusan kuih tradisional tersebut adalah mungkin disebabkan oleh rasanya yang sedap dan ia boleh disimpan untuk jangka masa lama.

Mengambil contoh dodol, kuih itu kini tidak hanya dimakan ketika musim perayaan sebaliknya permintaan terhadap produk makanan itu terus meningkat walaupun pada hari-hari biasa.

Malah, hari ini kita dapat melihat dodol semakin mudah untuk diperolehi dari kedai-kedai dan juga pasar raya-pasar raya utama.

Sambutan baik itu terhadap kuih tradisional telah mendorong Sarimah Jantan, 45, untuk menjalankan perniagaan produk tersebut secara komersial.

Mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai guru tadika pada tahun 1990, beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Setelah berhenti, saya cuba melibatkan di dalam bidang jahitan dan alhamdulillah saya menerima pendapatan sekitar RM300 hingga RM1,000 sebulan.

“Disebabkan menjahit memerlukan komitmen dan tenaga yang tinggi, saya akhirnya memilih untuk menjual produk makanan bermula tahun 2000,’’ katanya ketika ditemui di kedainya di Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, baru baru ini.

Ketika itu, beliau menjalankan perusahaan membuat kerepek, roti, kek dan dodol di rumahnya yang terletak di Seksyen 24, Shah Alam.

Sambutan baik yang diterima mendorong beliau membina kilang memproses di Seksyen 36 dan operasi di sana telah dimulakan pada tahun 2003.

Dengan kos sebanyak RM30,000, beliau telah membina bangunan kilang, membeli peralatan dan ketuhar serta menubuhkan syarikat di bawah penjenamaan Hidayah Cookies.

Bermula tahun 2004, operasi perniagaannya terus berkembang melalu penerimaan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

Dana itu digunakan untuk membeli beberapa buah lagi ketuhar, peralatan lain seperti meja dan juga peti dingin beku.

“Bagi memperkembangkan produk makanan ini, saya cuba pula menghasilkan piza dan juga biskut coklat cip,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, biskut tersebut serta dodol merupakan antara produk yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tahun.

Malah, dodol yang dihasilkan syarikatnya juga pernah beberapa kali menerima penganugerahan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) tahun 2008 dan 2009 serta program Hari Selangor Ria.

Penganugerahan tersebut diterima berdasarkan kualiti terbaik kuih dodolnya yang tidak keras, tidak begitu manis, tidak melekat dan tahan lama.

Apa yang menarik, dari segi pembungkusan, syarikatnya telah mendapat bantuan Sirim Berhad untuk mereka bentuk kotak dan label yang menarik.

Untuk mengekalkan kualiti dodolnya, beliau mempunyai petua dan cara tersendiri ketika menyediakan makanan tersebut. Antaranya adalah seperti menggunakan air bertapis serta memasak mengikut langkah yang teratur dan sempurna.

Selain itu, faktor kebersihan dan penggunaan teknologi moden juga memainkan peranan penting ketika proses pembuatan.

Bagi produk biskut coklat cip, ramai pelanggan menggemarinya kerana rasanya yang sedap dan rangup.

Untuk musim perayaan tahun ini sahaja, syarikatnya telah mengeluarkan lebih 40 guni biskut coklat cip dengan setiap satu daripadanya mempunyai berat 25 kilogram (kg).

Beliau turut bercadang untuk menghasilkan beberapa lagi jenis biskut seperti oat, nestum dan badam pada masa hadapan.

Bagi menarik perhatian pelanggan, pihaknya juga ada menyediakan hamper dan menerima tempahan untuk majlis perkahwinan.

Dari segi pemasaran , beliau banyak menyertai kempen promosi pengusaha industri kecil dan sederhana yang dijalankan oleh pelbagai jabatan kerajaan.

Antaranya adalah seperti pasar tani di sekitar Shah Alam, Serdang, Bandar Kinrara dan Putrajaya serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Beliau turut mengambil pendekatan dengan menjual produk-produknya ke sekolah-sekolah di sekitar Selangor, memasuki pasar raya besar terkenal serta menerima tempahan daripada pemborong dari seluruh semenanjung.

Selain Jabatan Pertanian, beliau turut mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi semasa kewujudannya.

Dalam memastikan perniagaan beliau berjaya dan berjalan lancar, pelbagai cabaran telah beliau ditempuhi seperti pernah ditipu dan bekerja tidak tentu masa.

“Walaupun saya mempunyai 12 orang pekerja untuk membantu menguruskan perniagaan, namun saya tetap perlu turun padang memantau keadaan tempat pemprosesan pada masa-masa tertentu,’’ katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan tersebut, ibu kepada empat orang anak itu mendapat dorongan serta bantuan daripada suami dan juga adik beradiknya.

Untuk perancangan pada masa hadapan, beliau bercadang memperluaskan pasaran produknya ke Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura.

Monday, 14 September 2009

Sani Jutawan Bas Express


PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.
“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

>Profil

NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh

USIA: 33 tahun

LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)

JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).

PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)


SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Sani, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan.
“Ketika ini Sani Express menggunakan sepenuhnya 25 bas dua tingkat dan untuk tempoh tiga tahun saya mensasar untuk memiliki 100 bas dengan meneroka semua laluan di negara ini.

“Saya optimis dengan sasaran itu bersandarkan pencapaian Sani Express ketika ini. Malah sehingga hari ini pelaburan yang dibuat untuk pelbagai keperluan, antaranya membeli bas baru dan bangunan Wisma Dato’ Sani, mencecah RM50 juta,” katanya.

Sani berkata, wisma berkenaan bukan sekadar menjadi pusat pentadbiran syarikat, tetapi pertemuan kakitangan pelbagai peringkat.

“Saya memilih lokasi wisma itu yang terletak di Klang Sentral kerana ia perhentian terakhir untuk bas Sani Express. Di situ saya berpeluang bertemu semua kakitangan dan membantu saya mengetahui dan menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.

Wisma yang turut dilengkapi pusat latihan itu membantu Sani United Sdn Bhd memiliki kakitangan yang dapat melaksanakan tugas dengan efisien.

“Saya turut mengutamakan latihan kepada pemandu bas supaya semua pemandu bas Sani Express membabitkan pemandu berhemah. Pemandu bas sangat penting kerana mereka membawa ‘nyawa’.

“Ia juga sebagai satu keyakinan kepada pelanggan bahawa Sani Express bukan saja mengutamakan keselesaan tetapi juga sangat mengutamakan keselamatan pelanggannya,” katanya.



Saturday, 12 September 2009

Murtabak Pak Don


 

Sebut sahaja murtabak Pak Don, penduduk di Jengka 8 sudah dapat membayangkan siapakah penjualnya.

ZALIZAN menunjukkan murtabak Pak Don di Jengka 8, Jerantut, Pahang. 


MAKAN sekeping sudah cukup mengenyangkan. Begitulah janji murtabak Pak Don jika anda menikmatinya sebagai juadah berbuka puasa. Dengan saiz yang besar dan tebal kerana dibuat dua lapis, murtabak yang dijual di gerai yang terletak di sebelah Masjid Ubudiah, Jengka 8, Jerantut, Pahang itu diisi dengan inti yang cukup istimewa.

Penjualnya, Zalizan Osman, 39, berkata, beliau mewarisi resipi murtabak itu daripada arwah ayahnya yang berasal dari Kedah. 

"Selain inti sayur-sayuran yang digaul dengan rempah-ratus dan telur, saya juga mencampurkan rendang daging berempah di dalamnya. Ini yang membezakan murtabak Pak Don dengan murtabak lain,'' katanya kepada Kosmo! sambil memberitahu, murtabak Pak Don dijual pada harga RM4 sekeping.

Beliau menggunakan tujuh kilogram (kg) daging, lima hingga enam biji kobis, 150 hingga 200 biji telur dan enam hingga tujuh kg tepung gandum untuk menghasilkan 100 keping murtabak. 

"Daun sup, bawang besar, karot dan kentang turut dicampur ke dalam inti ini," katanya. 

Selain itu katanya, persediaan untuk membuat inti murtabak dilakukan pada waktu pagi oleh isterinya, Noriza Abd. Rashid, 38.

"Oleh kerana saya tidak mempunyai pembantu, saya hanya mampu menyediakan 100 keping murtabak sehari sahaja.

"Memang jumlah itu tidak mencukupi kerana pelanggan yang datang bukan hanya penduduk Jengka 8 tetapi juga dari kawasan lain seperti Pulau Tawar dan Kota Gelanggi,'' katanya.

Gerai itu dibuka setiap hari sepanjang Ramadan dari pukul 3 petang hingga 6.30 petang.

"Tak payah tunggu sampai waktu berbuka kerana biasanya, pukul 6.30 petang, semua murtabak habis dijual,'' katanya yang sesekali dibantu oleh anaknya, Izzul Syafiq, 13. 

Pada bulan-bulan Ramadan yang lalu, beliau menjual murtabak di Bazar Ramadan Bandar Pusat Jengka dan dibantu oleh seorang adik lelakinya.

Namun katanya, pada tahun ini, beliau hanya menjual murtabak di gerai tersebut kerana pada waktu malam, beliau sibuk mengurus restorannya yang terletak di tepi jalan raya Jerantut-Maran, dekat Jengka 8.

Ditanya bagaimana murtabak itu mendapat nama Pak Don, katanya, ia dinamakan sendiri oleh arwah ayahnya yang merupakan seorang penjual murtabak yang popular di Bazar Ramadan Bandar Pusat Jengka.

"Biasanya, orang sebut murtabak Pak Din. Arwah ayah tak mahu tiru nama itu tetapi mahu sebutannya tidak jauh berbeza. Jadi, arwah ayah pilih nama Pak Don. Sejak guna nama itu, murtabak arwah ayah laris dijual,'' ujarnya.

Katanya, nama murtabak Pak Don bukan sahaja dikenali di seluruh Jengka 8 tetapi juga di kampung-kampung sekitarnya.

"Sebut sahaja murtabak Pak Don, penduduk di sini sudah dapat membayangkan siapa penjualnya," katanya sambil memberitahu, sungguhpun ayahnya telah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu, namun sehingga hari ini, nama murtabak Pak Don terus popular dan dikenali ramai. 

Mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun membuat murtabak, beliau juga mahir menebar roti canai.

"Saya mula tebar roti canai semasa berusia 15 tahun dan dua tahun kemudian, saya mula membuat murtabak kerana membantu arwah ayah di kedai makan di sini,'' katanya.

Dengan pengalaman yang lama itu, beliau tidak kisah untuk bersaing dengan penjual murtabak lain kerana tahu murtabaknya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Mengulas mengenai restorannya pula, katanya, restoran yang dinamakan Selera Kesidang itu terkenal dengan sajian sup perut dan aneka sup lain termasuk mihun sup kuning yang popular di Kedah.

"Tetapi pada bulan Ramadan, saya tidak menjual sup kerana sibuk membuat murtabak. Restoran tetap dibuka tetapi pada sebelah malam sahaja. Untuk bulan puasa ini, kami turut menyajikan nasi lemak,'' tambahnya.

Friday, 11 September 2009

Mi kuning, kuetiau rezeki Jamiah



Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID 

ILMU yang dipelajari daripada ibu tidak dipersia-siakan oleh Jamiah Kahdeen (kanan), kerana kemahiran tersebutlah menjana pendapatannya. 



ORANGNYA peramah serta mudah menyapa sesiapa sahaja, dan ini menjadikan gerai jualannya sentiasa senang dikunjungi pelanggan.

"Ya dik, mi kuning, kuetiau, tauhu… semua ni akak buat sendiri dik. Bersih, suci dan halal dik."

Begitulah ayat-ayat manis yang digunakannya. Maka tidak hairanlah, barangan jualannya selalu laku. Terutama bagi mereka yang mengutamakan produk buatan Muslim, maka kehadiran Jamiah Kahdeen, 45, menawarkan alternatif amat-amat diraikan.

"Alhamdulillah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) banyak membantu saya. Walaupun saya kelihatan ceria, tapi saya sebenarnya mengidap penyakit sakit tulang belakang sehingga menyebabkan saya dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

"Suami saya pula, mengidap sakit buah pinggang dan mesti menjalani dialisis tiga kali seminggu," kata Jamiah apabila saya mula mengorek latar belakang hidupnya.

Dikurniakan empat anak, namun kemiskinan memaksa salah seorang daripada anaknya diberi kepada adiknya untuk dipelihara.

"Adik saya mengambil anak yang sulung, Noor Saufi yang kini sudah pun berusia 24 tahun. Anak-anak yang lain, Noor Azizi, 20, kini belajar bidang mekanikal di Johor. Sayangnya anak yang ketiga, Azfar Arif, 17, pula mengidap sakit kronik, iaitu oksigen kurang sampai ke otak, masalah hormon dan usus besar. 

"Kini dia sedang menunggu masa untuk mendapatkan rawatan pembedahan bagi membuang usus besarnya. Dek kerana sakit, Azfar hanya bersekolah hingga ke tingkatan dua sahaja. Anak bongsu ialah Noor Faiz, 18, yang kini menuntut di Akademi Seni dan Warisan (Aswara), Kuala Lumpur," katanya.

Mengimbas kembali sejarah hidupnya, beliau sekeluarga mula dibantu oleh LZS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak tahun 1999, iaitu bantuan membaikpulih rumah.

"Kami sekeluarga hanya menumpang di belakang rumah emak di Klang. Daif sangat rumah kami kala itu. Lantainya adalah tanah dan bumbungnya pula hanyalah cebisan kanvas yang layaknya seperti tidak berbumbung sahaja. Sedih saya kenangkan ustaz, bila hujan memang basah kuyup kami kala itu," jelasnya.

Menurut Jamiahi, suaminya, Jaafar Rowi, 53, hanya berkerja kampung dengan menjaga kubur dan mendapat pendapatan sekitar RM300 sebulan. Lalu beliau mencuba nasib dengan membuat nasi lemak bagi meringankan beban suami. Namun jualannya tidaklah begitu memberangsangkan dan hanya mendapat keuntungan sekitar RM150 sebulan.

Pendapatan kecil sedemikian pastilah tidak mampu menyara empat anak yang sedang membesar dan juga bersekolah.

"Melihatkan kedaifan kami itulah, adik saya mengambil anak yang sulung dan menyaranya sehingga tamat belajar," kata beliau.

Mendung dan hujan tidak selamanya, matahari pasti muncul jua. Demikianlah dalam hidup Jamiah sekeluarga. Penderitaan mereka kian terbela seiring dengan komitmen umat Islam menunaikan zakat mereka di Selangor.

"Alhamdulillah ustaz, hingga hari ini saya sudah mendapat banyak bantuan daripada LZS. Setiap bulan kami diberikan bantuan tunai RM250; bantuan pendidikan untuk anak-anak, bantuan rawatan untuk anak (Azfar) dan juga suami yang mesti menjalani dialisis tiga kali seminggu.

"Jika dibayangkan, saya memang tak mampu. Ustaz fikirlah, kos dialisis suami sahaja sudah RM2,000 sebulan, kos untuk Azfar pula melebihi RM300 sebulan. Insya-Allah, saya juga sudah memohon bantuan perubatan untuk diri saya sendiri, iaitu ubat-ubatan bernilai RM530 sebulan," tambahnya.

Penulis cuba mengorek rahsia, bagaimana beliau tahu membuat mi kuning, kuetiau dan tauhu dengan tidak mengikuti bengkel khas mengenai cara pembuatan produk tersebut?

"Saya sempat berguru dengan emak. Emak pula pernah belajar daripada seorang Cina Muslim. Maka, ilmu itulah yang saya manfaatkan sekarang. Iyalah, sebagai orang Islam saya tahu, ramai yang mengharapkan orang Islam sendiri yang menyediakan bahan makanan. Saya jamin, barangan saya ini semuanya suci dan halal," jelasnya.

Bagi membantu usaha niaga beliau, LZS juga menyumbangkan sebuah mesin penguli berharga RM14,000. LZS juga menyediakan tapak perniagaan kepadanya di Pasar Rakyat Asnaf di Seksyen 3, Shah Alam.

"Syukur kepada Allah, berkat rajin dan berani mencuba, kini saya sudah mampu mengeluarkan pelbagai produk sendiri. Misalnya, kek dan bebola ikan, tauhu kering, pau dan inti pau, cincau dan taucu," kata Jamiah.

Ditanya, adakah berhajat untuk mengembangkan perniagaannya, beliau berkata: "Saya memang nak sangat. Tapi, dengan keadaan kesihatan suami dan anak yang tidak begitu baik ditambah keadaan saya sendiri, ia sedikit sebanyak membuatkan saya rasa tidak mampu untuk pergi lebih jauh."

Penulis terfikir, alangkah baiknya jika kebolehan ibu pertengahan usia ini dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan dikembangkan sebagai perusahaan milik Muslim. 

Bukan senang bagi kita mencari orang Islam yang tahu menyediakan resipi asas bagi segala produk makanan harian tersebut. Bahkan ini adalah suatu fardu kifayah di sisi Islam.

Jamiah bertuah kerana keperitan hidupnya ditangani dengan baik, lantaran zakat diuruskan dengan cekap. Bahkan beliau tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar zakat di Selangor.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk membeli produk dan menyalurkan bantuan, bolehlah menghubungi beliau di talian 019-3296225 atau 012-6346130 (suami).

l HAMIZUL ABDUL HAMID ialah Pegawai Dakwah Pena, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Monday, 7 September 2009

Usahawan capal


Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


Capal moden menggunakan songket tenun.

Abdul Wahab beri sentuhan moden bagi teruskan kelangsungan selipar kulit tradisi

DI pelamin indah, si pengantin lelaki duduk megah disamping isteri tercinta, lengkap berpakaian songket tenun Melayu, bertanjak, memakai capal laksana pahlawan silam.

Cuma kali ini, capal yang dipakai bersulam songket sedondon dengan warna pakaian pengantin, menandakan perubahan ke arah memodenkan penampilan capal yang suatu ketika dulu dianggap ketinggalan berbanding sepatu dan kasut moden.


Itu cerita lama, kini capal menjadi rebutan dan pilihan ramai pasangan pengantin bahkan ia juga menjadi ‘trend’ baru untuk dipadankan dengan pakaian Baju Melayu ketika musim perayaan. Itu sebahagian daripada warisan tradisi bangsa yang perlu dikembangkan.

Bagi pembuat capal, Abdul Wahab Syamaruddin yang lebih dikenali sebagai Zahar Capal mengakui bagi memastikan industri pembuatan capal terus berkembang, beliau akur dengan kehendak pasaran semasa yang mahukan sesuatu yang lebih moden.

“Memang betul, walaupun capal adalah warisan tradisi ia lebih menyerlah apabila diadunkan dengan pendekatan lebih moden, menepati cita rasa terkini.


Memasang tali capal memerlukan kemahiran dan ketepatan ukuran.

“Sebab itulah, ketika (Allahyarhamah) Datin Seri Endon Mahmood (isteri mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengilhamkan amalan penggunaan songket dan tenunan dalam pemakaian harian, saya mendapat idea menggunakan pendekatan sama ke atas capal. Ia terbukti berkesan dan mendapat sambutan,” katanya.

Walaupun capal tampil dengan wajah baru, yang lama tidak dilupakan dan Zahar masih menghasilkan capal bercorak klasik yang menggunakan warna asas iaitu hitam dan ada kalanya bertali putih.

Kini, selepas hampir 20 tahun meneruskan tradisi kemahiran arwah ayahnya, Allahyarham Zahar Ahmad, beliau gigih meneruskan usaha menyambung dan menghidupkan amalan pemakaian capal dalam aktiviti harian.

Capal Cap Kancil Emas yang diusahakan Zahar kini semakin mendapat sambutan. Bertempat di Pasar Perniagaan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur, di situlah beliau menumpukan sepenuh membuat capal demi menyara keluarga dan mengembangkan warisan bangsa.

Sesuai untuk dijadikan hantaran.

Namun, kerja menghasilkan capal tidak semudah yang disangka kerana ia memerlukan kemahiran terutama ketika memasang dan menjahit tali bagi memastikan hasilnya bermutu serta selesa dipakai.

Bagi Zahar sendiri, walaupun bekerja membantu ayahnya yang sudah berpengalaman kira-kira 50 tahun dalam kerjaya itu, beliau dipaksa belajar secara berperingkat.

Ketika menceburi bidang itu di kala usia mencecah 24 tahun, beliau lebih banyak diarah membantu menjalankan tugas asas seperti memotong kulit, membersihkan bengkel, seterusnya dibawa ke tempat memborong keperluan bagi memudahkannya menjalankan urusan pada masa akan datang.

Selepas itu, barulah beliau diajar bagaimana menjahit tali capal yang memakan masa selama tiga tahun untuk mendapat ‘lesen’ daripada ayahnya.

“Walaupun sudah mahir menjahit dan hasilnya nampak cantik, tetapi ayah tetap tak puas hati. Beliau minta saya memakai dan bertanya adakah ia selesa atau tidak. Jika tidak, buat lagi sehingga rasa selesa apabila di sarung ke kaki.

“Rasa keselesaan capal ini sebenarnya terletak pada tali. Jika teknik betul dan ukuran sepadan dengan jahitan, barulah rasa selesa,” katanya.

Ketika Berita Minggu meninjau di bengkelnya, beliau sedang menyiapkan tiga pasang capal khas menggunakan songket berwarna emas dan jingga yang akan digunakan oleh pengantin lelaki dan pengapit lelaki.

Ia bertujuan memastikan capal itu sedondon dengan pakaian pengantin dan saiznya juga mengikut saiz sama dengan kasut pelanggan.

Di bengkel capal itu juga Zahar dengan dibantu dua pekerjanya membuat sendiri bena iaitu alas kaki di tapak capal sebelum dipasang ke tapak yang berlapis empat menggunakan kulit dan lapisan kertas. Ia termasuk mempunyai potongan yang digelar telinga, pinggang dan bena.

Setiap pasang capal yang siap dipotong akan dijahit dan dipasang tali secara manual menggunakan jahitan tangan. Ia kemudian dipaku di tempat tali dipasang bagi menguatkan cengkaman serta memastikannya lebih kukuh.

Info

Nama: Abdul Wahab Zahar

Isteri: Azizan Abdul Majid, 40

Anak:

1) Luqman Hakim, 13,

2) Aiman Hakim, 8,

Ayah: Allahyarham Zahar Ahmad
anak sulung daripada dua beradik:

Adik: Hidayati, 36.

Nama Kedai: Kedai Capal Cap Kancil Emas.
Alamat: J-10, Pasar Perniagaan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.

Saiz capal paling popular: 7 dan 8.

Bentuk capal (kategori):

1) Bentuk A.

  • Untuk individu berkaki kurus, tinggi, kaki panjang

    2) Bentuk B.

  • Untuk individu berkaki lebar dan besar