Pages

Thursday, 22 October 2009

Zakat menyuntik semangat



bantuan perniagaan yang diperoleh daripada LZS akhirnya merealisasikan cita-cita Daing Nur Rashid Shah Abdul Razak bergelar usahawan.


DARI kejauhan dia kelihatan sibuk sekali. Keringat meleleh membasahi wajahnya. Baju berwarna biru yang tersarung di tubuhnya nampak makin lencun. Namun dia tetap setia melayani permintaan pelanggan-pelanggan di tengah hari yang membahang.

Di sisinya, seorang wanita sedia membantu. Mereka pantas sekali menyediakan pesanan. Itulah dia, Daing Nur Rashid Shah Abdul Razak, 36 dan isterinya, Roslini Yahaya, 35.

Jejak Asnaf kali ini akan membawa kisah seorang bapa yang bangkit dengan bantuan wang zakat. Kisah bagaimana dalam menongkah arus kehidupan, ada manusia yang terpaksa berpapah demi kelangsungan hidup.

Bukan kerana mereka malas berusaha, atau suka menempatkan diri di zon selesa. Bahkan mereka sudah berusaha namun mungkin rezeki masih belum sampai. Maka, mereka memerlukan bantuan demi mencapai apa yang dicita-citakan.

Bagi Daing, apa yang menjadi keistimewaannya ialah, beliau bukan menjual nasi ayam biasa tetapi Nasi Ayam Madu Salai Berempah.

Melihatkan ayam-ayam yang dipanggang, seseorang sudah boleh menilai keenakan rasanya. Jika perut dicerut lapar, pasti kecur liur dibuatnya.

"Saya sudah lebih tujuh tahun menjalankan perniagaan ini. Menu masakan ini, abang angkat saya yang beri. Saya meletakkan harga tidak mahal, sepinggan tidak lebih RM4.

"Kawasan perniagaan kami meliputi Shah Alam dan Petaling Jaya." Begitulah Daing berkongsi cerita. Sesekali kelihatan dia agak keletihan juga.

"Saya dan isteri asal-asal dulunya berniaga dengan kereta buruk sahaja, pemberian orang tua. Itulah nadi kami, di mana ada pasar malam, adalah muka kami mencari rezeki. Maklumlah, anak-anak siapa yang nak besarkan," tambah beliau.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Syafiqah, 15; Nur Shahril Ashraf, 14; Nur Syafiqah Aqilah, 9, dan Nur Shamimi, anak bongsu.

Hakikatnya, Daing bukanlah jenis manusia yang suka berpeluk tubuh. Melihat kepada sosok tubuhnya sahaja dan gaya bicaranya, sudah mempamerkan wataknya yang sanggup melakukan apa-apa sahaja pekerjaan demi mencari rezeki yang halal.

Menurutnya lagi, pengalaman yang tidak mungkin dilupakan ialah, dia terpaksa membawa anak dan isterinya ke mana sahaja untuk berniaga. Hinggalah pada suatu hari di bulan Ramadan beberapa tahun yang lalu, salah seorang anaknya yang leka bermain bunga api pada petang Ramadan disambar api. Saat itu, dia dan isteri sedang sibuk melayan pelanggan.

"Berderau darah saya kala itu. Bayangkan, api sudah menyambar tubuh anak kedua saya yang kala itu berusia lapan tahun. Akibatnya, berbulan jugalah dia dirawat di hospital," katanya.

Selepas dari itulah, Daing enggan membenarkan isterinya membantunya lagi. Bahkan isterinya seperti sudah patah semangat untuk meneruskan perniagaan.

Maklumlah, kejadian berlaku dek kerana mereka asyik berniaga. Mereka hakikatnya sudah dilanda trauma.

Namun adat orang berniaga, sama seperti seekor harimau. Ada masanya keluar pagi dan pulang petang dengan rezeki besar; ada kalanya keluar dan pulang dengan tangan yang kosong. Untung dan rugi silih berganti. Sementara itu, anak-anak makin membesar. Keperluan pula semakin banyak perlu disediakan.

Maka, selalu juga Daing keputusan belanja bahkan untuk memodalkan perniagaannya pun, dia tidak berduit lagi.

"Sering juga saya terpaksa menebalkan muka meminta bantuan rakan-rakan dan sahabat serta saudara-mara. Mana yang mampu dan sudi membantu, saya terima penuh kesyukuran.

Memang kala itu, kita amat-amat memerlukan bantuan. Malu pun berkurang dengan sendiri; apatah lagi bila wajah anak-anak mula terbayang-bayang di ruangan mata," jelasnya.

Bagaikan satu rantaian, perniagaan Daing yang kurang menjadi menimbulkan bebanan lain pula. Akibatnya, bayaran ansuran rumah mulai tertunggak, bil elektrik dan air juga makin menebal. Kala itulah, salah seorang rakan mencadangkan beliau menemui Lembaga Zakat Selangor (LZS) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Di LZS (MAIS), kesusahan Daing sekeluarga mendapat perhatian. Inilah hikmah zakat, membela nasib sesama umat tanpa mengira batas dan darjat.

Tepat sebagaimana saranan Rasulullah SAW, bahawa sesungguhnya umat Islam yang bersaudara itu seumpama satu badan, maka dengan wang zakat yang disalurkan oleh umat Islam itulah, LZS (MAIS) mampu kembali menyantuni sesama umat sebagaimana selayaknya yang dituntut oleh syariat.

Kini, Daing sudah mampu tersenyum dengan pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh LZS (MAIS). Bantuan perumahan, bantuan raya, bantuan pendidikan dan bantuan perniagaan telah disalurkan oleh LZS (MAIS) dengan jumlah ribuan ringgit.

"Alhamdulillah, saya telah dimasukkan sebagai salah seorang perintis di dalam Program Usahawan Mobil Asnaf. Saya juga diberikan sebuah lori dan juga kelengkapan perniagaan yang lain.

"Saya yakin, masa hadapan yang lebih gemilang sedang menanti saya di hadapan. Insya-Allah, rezeki Allah SWT memang luas dan suatu masa nanti, nasib saya pastinya berubah…amin," katanya yakin.

Nota: Sesiapa yang berminat untuk menempah nasi ayam rempah bermadu, sila hubungi Daing di talian 013-2904171.

Oleh Hamizul Abdul Hamid dan Ima Syuhada Ismail
l HAMIZUL ABDUL HAMID dan IMA SYUHADA ISMAIL ialah Pegawai Dakwah Pena & Penerbitan, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Wednesday, 14 October 2009

Rohani jutawan syarikat binaan


Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak halang capai kejayaan.


ROHANI menggemari busana hasil kreativiti Radzuan Radziwill.





PRINSIP hidup yang diamalkan wanita bersemangat waja ini senang sahaja. Tiada jalan mudah untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Setiap cabaran dan dugaan yang mendatang tidak harus dijadikan batu penghalang dalam meniti kejayaan, sebaliknya ia dijadikan panduan supaya diri tidak tergelincir sekiranya sudah berada di puncak.

Itulah pegangan pemilik sebuah syarikat pembinaan, Rohani Baba, 53, dalam usaha meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya.

Menurutnya, kesabaran dan disiplin adalah aset utama yang menjadi pegangannya sebelum mengambil keputusan menceburi bisnes bersama suami tercinta, Noorman Ismail dengan menubuhkan syarikat Rohani Baba Sdn. Bhd. pada tahun 1979.

“Pada awalnya kami sememangnya tiada langsung kepakaran dalam bidang ini. Saya pula setakat tamat sekolah menengah sahaja.

“Suami pula mengambil jurusan seni bina ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur,” ujarnya.

Buka syarikat selepas kahwin

Pada usia 25 tahun, Rohani mendirikan rumah tangga bersama Noorman.

Menurutnya: “Saya dan suami ambil keputusan untuk menubuhkan syarikat bisnes kami itu tidak lama selepas bergelar suami isteri.”

Ibu kepada dua orang anak ini membuktikan walau dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia juga mampu mencipta kejayaan sepertimana golongan berpendidikan tinggi yang lain.

Menjadikan suaminya sendiri sebagai ikon untuk terus berada di ambang kejayaan, Rohani kini sudah mampu tersenyum bangga melihat segala kemewahan yang berjaya diraihnya hasil kerja keras dalam bisnes yang diusahakannya selama ini bersama suami tercinta.

Kejayaan syarikat miliknya menjana keuntungan mencecah berjuta-juta ringgit, hasil daripada projek yang kebanyakannya diperoleh daripada sektor kerajaan, Rohani bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk berada di dalam bisnes tersebut.

“Seingat saya, projek pertama yang kami dapat ialah projek bernilai RM10 juta di Pulau Pinang. Ketika itu kami dapat tender untuk membina bangunan untuk kuarantin barangan.

“Bermula dari situ, kami mula berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek,” katanya.

Projek mega RM25 juta

Menurut Rohani, antara projek yang diusahakan syarikatnya termasuklah membina masjid, sekolah, asrama dan juga bangunan-bangunan kerajaan.

“Projek terbesar yang pernah diperoleh syarikat kami bernilai RM25 juta,” akuinya.


ROHANI dan suami menghadapi saat susah dan senang bersama.


Dalam pada itu, Rohani memberitahu, cabaran terbesar dalam meluaskan empayar perniagaannya ialah ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1998.

“Saya dan suami terpaksa mengerah keringat siang dan malam demi memastikan bisnes yang kami usahakan tidak terhenti begitu sahaja.

“Saya tak nafikan bisnes kami agak teruk ketika itu, terutama disebabkan tekanan yang timbul daripada beberapa masalah.

“Selain daripada kesukaran mendapat projek baru, dalam perniagaan, biasalah, mesti ada yang tak suka dan dengki. Ada sahaja pihak yang cuba mencantas projek yang diusahakan syarikat kami itu. Namun, alhamdulillah rezeki tetap ada walaupun banyak halangan,” luah Rohani.

Tambahnya: “Biarpun begitu, saya bersyukur kerana suami saya seorang yang sangat tabah. Dia banyak bersabar dan dengan hasil usahanya yang tanpa mengenal erti jemu, perniagaan kami sekeluarga dapat diselamatkan.”

Setia dengan Radzuan Radziwill

Menyentuh pula mengenai gaya hidupnya, Rohani dengan rendah diri menyatakan semua yang diperolehnya hari ini adalah rezeki yang telah diberikan oleh Tuhan.

Berbicara lanjut, Rohani menegaskan dia tidak gemar membeli barangan dari jenama luar negara.

“Saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah. Kesemua pakaian saya dibuat di butik Radzuan Radziwill, Saya sendiri pun dah selesa dengan rekaan dia sejak dulu lagi dan setia dengan Radzuan seorang sahaja. Barangan rumah termasuk langsir pun dia yang jahitkan.

“Kalau melancong pula memang jarang. Kali terakhir kami melancong ke luar negara ialah pada tahun 1990, di London. Sejak itu kami tidak lagi melancong sebab masing-masing sibuk kecuali jika ada kelapangan kami akan terbang ke Indonesia,” tuturnya yang memiliki hobi menanam bunga.

Sebagai usahawan, ibu dan isteri, Rohani tidak menafikan kadangkala dia juga berhadapan dengan masalah pembahagian waktu.


SUAMI menjadi ikon buat Rohani untuk berjaya dalam bisnes.


Walau bagaimanapun, Rohani lebih memberi penekanan kepada keluarga dengan memperuntukkan waktu lapang sebagai waktu bersama insan-insan yang amat disayanginya itu.

Rohani ternyata bukan sahaja berjaya sebagai usahawan, tetapi juga sebagai seorang ibu. Ia terbukti apabila kedua-dua anaknya kini dipertanggungjawabkan mengendalikan syarikatnya itu.

“Anak sulung saya, Neiry kini memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikat, sementara anak bongsu saya pula, Reyni sebagai salah seorang pengarah syarikat,” ujarnya.

Menjadi harapan kepada wanita ini untuk membuka cabang bisnes baru seperti butik ke seluruh negeri di Malaysia. “Saya berazam untuk membuka sebuah butik yang berkonsepkan pakaian muslimah bagi keperluan wanita,” akhirinya.

Monday, 12 October 2009

Fione bernilai RM20,000 sejam


Jurulatih Pemasaran Internet No. 1 di Asia selama enam tahun berturut-turut dan 10 Usahawanita Berjaya adalah sebahagian gelaran yang diraih Fione Tan.




BELIAU sering ditempelak dan dicemuh tatkala menghulurkan kad perniagaannya dengan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eonenet.com pada majlis-majlis korporat beberapa tahun lalu.

Disebabkan usia muda, baru tamat pengajian di universiti, bertubuh kecil dan berasal dari negara Asia, ramai yang menyangka beliau hanya seorang setiausaha dan tidak layak mendapat layanan kelas pertama seperti CEO.

Namun, Fione Tan, 31, tidak mudah melatah. Malah beliau berusaha gigih menyusun strategi dalam perniagaan Internetnya dan kini dikenali sebagai Jurulatih Pemasaran Internet No. 1 di Asia selama enam tahun berturut-turut.

"Saya memulakan Eonenet.com pada tahun 2000 pada usia 22 tahun. Sebelum itu, saya bekerja di syarikat insurans. Dengan komitmen kerja yang tidak mengenal waktu, jadual kerja yang padat ditambah pula dengan gaji rendah, saya mula bosan dengan kerja.

"Waktu itu saya mengimpikan kerja yang boleh dilakukan dalam keadaan santai, tidak terperap di pejabat, kurang risiko kerugian dan pastinya tidak memerlukan saya untuk bangun awal pagi!," ujar lulusan Sarjana Muda Pemasaran dan Perniagaan dari Universiti Iowa, Amerika Syarikat (AS) ini.


PENCAPAIAN dan pengiktirafan yang diterima Fione menyuntik semangatnya untuk lebih berjaya.


Tekad untuk mencari pekerjaan yang lebih baik, Fione teringatkan pengalamannya semasa menuntut di AS. Menurutnya, di sana banyak urusan perlu dilakukan menggunakan Internet bahkan adakalanya menjadi satu kemestian.

Bertitik tolak dari situ, Fione mendapat idea untuk menjadikan Internet sebagai medium pemasaran yang menguntungkan. Dengan waktu bekerja yang fleksibel, kurang risiko rugi dan kos operasi yang murah, Fione lantas nekad dengan keputusannya itu.

"Apa yang saya miliki hari ini bermula dengan hanya satu pelan perniagaan yang mempunyai empat muka surat. Pada masa itu dalam fikiran saya, tertanam satu desakan yang saya perlu bersungguh-sungguh mengubah hidup saya.








BERSAMA suami, Harrace Lau yang turut menjadi nadi dalam merealisasikan impian dan cita-cita dalam perniagaan internet.



"INTERNET adalah medium yang membuka pasaran global kepada pelanggan saya. Dengan akses 24 jam sehari dan 365 hari setahun, ia adalah lubuk duit" - FIONE TAN.


"Saya mula pergi ke seminar-seminar perniagaan untuk membentangkan pelan perniagaan di samping mencari pelanggan yang berpotensi.

"Usaha itu berhasil apabila sebuah syarikat antarabangsa bersetuju menyuntik modal sebanyak RM88,000. Saya laburkan RM75,000 untuk membina laman web dan bakinya digunakan untuk operasi syarikat," cerita Fione.

Cek pertama RM15

Walaupun yakin perniagaan alam maya mampu memberikan rangkaian promosi meluas, Fione mengakui beliau hanya untung RM15 pada bulan pertama perniagaannya.

"Saya terima cek untuk bulan pertama hanya RM15 (AS$4.40). Nak tunaikan di bank pun malu. Oleh kerana proses itu mengambil masa dua minggu dan dikenakan caj RM26 untuk transaksi, saya tak tunaikan pun cek itu.

"Walaupun pun hanya dapat RM15, saya tak patah semangat. Saya teruskan rutin harian iaitu duduk di depan komputer sekurang-kurangnya selama 10 jam sehari.

"Saya buka banyak laman web dan belajar bagaimana mahu menjadikan Eonenet.com berada di tempat pertama di enjin carian utama seperti Google, Yahoo! dan Baidu. Pada bulan ketiga baru saya dapat pulangan balik modal, rasa berbaloi menghadap komputer seharian," cerita Fione.

Kini selepas sembilan tahun menjadi ejen pemasaran Internet, wanita ini mampu menjana pendapatan mencecah RM1 juta sebulan. Bukan itu sahaja, laman sesawang miliknya, Eonenet.com sudah memasuki pasaran negara-negara maju serta memiliki beberapa aset hartanah elit di Malaysia serta Hong Kong.

Pencapaian anak kelahiran Jinjang, Kuala Lumpur ini bukan setakat itu. Selain gah di pasaran Internet, beliau juga terkenal dengan khidmat perundingan Internet berkesan. Malah di peringkat antarabangsa, ramai pelanggan sanggup membayar RM15,259 (AS$4,500) untuk 45 minit sesi konsultasi bersamanya.

Dek kejayaannya menempa nama di arena perdagangan alam maya itu, Fione sering dijemput malah turut menganjurkan seminar-seminar keusahawanan bagi berkongsi strategi untuk memperluaskan rangkaian pemasaran para peserta melalui Internet.

"Sehingga kini, lebih kurang 30,000 orang telah mengikuti seminar saya dan boleh dikatakan semuanya berjaya. Ada suri rumah memperoleh pendapatan lebih RM30,000 pada Ramadan lalu hanya dengan menjual kek lapis.

"Ada juga pelanggan saya merupakan sekumpulan pengusaha ladang pir di Taiwan. Melalui Eonenet.com, mereka telah berjaya memperluaskan pasaran di Asia dan menembusi pasaran di Amerika serta Eropah.

"Ada juga yang mengambil kesempatan wabak H1N1 sebagai peluang buat duit. Mereka jual topeng muka dan mampu jual lebih 1,000 kotak di Internet.

"Selain produk, ada juga pelanggan yang mempunyai kemahiran tertentu menjual perkhidmatan mereka melalui Internet.

"Contohnya, seorang CEO di sebuah syarikat terkemuka di Singapura mahu bersara kerana tekanan kerja. Dia mula menyertai kami dan menjual kemahiran yang dia ada di Internet. Nyata cara itu mampu memberinya pendapatan lumayan tanpa perlu menghadapi stres lagi.

"Pendek kata, jika ada kesungguhan, disiplin dan dedikasi, anda juga boleh berjaya.

"Saya melihat Internet dan dunia siber bagaikan lubuk. Segala-galanya ada di sana sama ada maklumat, rangkaian sosial mahupun tempat untuk membuat wang," jelasnya panjang lebar.

Internet mengubah hidup

Dengan kejayaan dalam karier dan hidup yang jauh lebih selesa, Fione juga tidak menyangka kuasa Internet mampu mengubah landskap kehidupannya.

"Tanpa dedikasi, disiplin, pengalaman terdahulu serta sokongan keluarga dan pekerja, mungkin saya tidak akan berada di tahap ini," tutur isteri kepada Harrace Lau, 40-an ini.

Biarpun kini beliau sedang berada di puncak kerjayanya, anak sulung dari dua beradik lebih senang merendah diri.

"Secara peribadinya, masih banyak ruang untuk saya perbaiki. Untuk kata puas, mungkin belum lagi, tetapi kalau lega, mungkin ya.

"Saya bersyukur dengan kerja ini saya boleh dapat duit untuk bayar ansuran rumah, kereta dan memiliki pejabat di Malaysia serta di Hong Kong. Saya bukan orang yang suka melebih-lebih.

"Asalkan cukup makan dan pakai, ada duit lebih untuk disimpan, pergi membeli-belah dan sesekali ke spa, saya sudah okey," katanya yang mengakui lahir dari keluarga sederhana.

Tambah beliau, ibunya merupakan seorang akauntan, bapa pula bekerja sebagai juruteknik elektrik. Disebabkan kehidupan yang serba sederhana, orang tuanya terpaksa bekerja keras untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Adakalanya dalam sebulan, hanya seminggu saja saya berpeluang berjumpa dengan ibu. Selebihnya masanya dihabiskan dengan kerja.

"Disebabkan itu, memasuki sekolah menengah, saya nekad belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat biasiswa ke Amerika. Saya tidak mahu melihat orang tua saya susah lagi.

"Sekarang saya gembira kerana dapat menyumbang keselesaan dalam hidup mereka sekarang," ujar Fione yang mengakui karakter ibu kesayangan banyak mempengaruhi kejayaanya.

Walaupun sering mengimpikan kehidupan disaluti kemewahan sejak alam remaja, Fione tidak menyangka impiannya tercapai secepat ini.

"Saya bersyukur kerana Tuhan buka hati untuk cepat berhenti kerja dulu. Kalau tidak berada di tempat sekarang, pasti saya sedang bekerja keras dari pagi ke malam di syarikat insurans itu," selorohnya.

kosmo.com.my

Tuesday, 6 October 2009

Penjahit butang ke pemilik butik


Helen Read, usahawan wanita yang terkenal dengan himpunan fesyen bersaiz besar menceritakan bahawa hobinya kini adalah memasak.




PEMILIK butik Ms. Read, Helen Read pernah bergelumang dengan timbunan butang baju pada suatu ketika dahulu. Bekerja menjahit butang baju di rumah, beliau melakukannya ketika anak sulungnya, Benjamin tidur di buaian.

Setiap hari, beliau bertungkus-lumus menjahit butang blaus yang dihantar kepadanya dalam satu beg penuh.

Helen melakukan kerja itu semasa menjadi rakan kongsi bersama dua rakannya yang menjalankan perniagaan pakaian, Q-Corporation.

Episod sejarah awal itu bagai sudah membuktikan akan minatnya terhadap bisnes dan kecekalan Helen. Meskipun dilahirkan dalam keluarga berada, Helen sanggup bekerja sebagai penjahit butang.

Helen sedar, itulah caranya untuk beliau berdiri di atas kaki sendiri setelah berhenti kerja sebagai ketua unit pengemas bilik di sebuah hotel.

"Walaupun bayarannya tidak lumayan, namun setiap sen yang diterima tetap memberi kepuasan," ujar Helen tanpa berselindung ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Wanita berambut pendek yang ceria itu terserlah karismanya sebagai usahawan.

Berwawasan

Pemilik merangkap Pengarah Urusan Ms. Read, butik terkenal bagi pakaian untuk wanita bersaiz besar itu nyata seorang yang berwawasan tinggi.

Setelah menjadi pemilik penuh perniagaan Q-Corporation pada 1984 apabila dua rakannya melepaskan pegangan syarikat, ujian terus membadainya. Namun, beliau tetap tabah. Meskipun berdepan jatuh bangun akibat kemelesetan ekonomi yang dialami negara sekitar tahun 1990-an, wanita itu tetap membayangkan masa depan yang cerah.

"Pada waktu itu, banyak perkara yang perlu saya tempuhi tanpa bantuan pihak luar. Ayah saya turut mengalami kerugian besar sebanyak RM7 juta apabila nilai saham-saham yang dibelinya jatuh merudum," ujarnya sambil menundukkan kepala menyembunyikan matanya yang mula berkaca. Keadaan itu turut mendesak adik-beradik Helen yang belajar di luar negara, kembali ke Malaysia dan mencari pekerjaan.


DI SAMPING suami, Edmund Read.


Pinjaman

Kerana masalah ekonomi juga, Helen bimbang besar kemungkinan pinjaman kewangannya dari sebuah bank tempatan terputus separuh jalan, sekali gus bisnesnya hampir terkubur. Namun, kerana kesungguhannya untuk meneruskan perniagaan, beliau mengambil langkah proaktif dengan mengirim sepucuk surat kepada pihak bank mengenai status perniagaannya.

Berkat kegigihan dan berfikiran positif disusuli perbincangan secara bersemuka untuk meyakinkan pihak bank, Helen akhirnya mampu meluaskan rangkaian syarikatnya.

Sebagai seorang anak, ibu dan kakak, Helen terus bekerja keras siang dan malam bagi mengatur strategi bisnes yang lebih mantap.

Pada tahun 1997, Helen memberanikan diri mendaftarkan nama butik Ms. Read yang menjadi pusat penjualan pakaian-pakaian keluarannya.

Hari ini, penat lelahnya berbayar apabila beliau bergelar usahawan yang cukup berjaya dengan pembukaan 16 buah butik Ms. Read. Dua buah butik lagi dijangka menjadi realiti sebelum hujung tahun ini.

Jenama pakaian yang mementingkan kualiti itu turut mendapat perhatian di Singapura, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

"Tahun depan, kami mungkin akan membawa jenama Ms. Read ke Indonesia, selain mempelbagaikan lagi stail dan gabungan trend yang lebih moden," ujar wanita yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu.

Helen yang giat melakukan kerja-kerja amal di dalam dan luar negara mengakui bahawa kepakarannya dalam industri yang diceburi itu bertitik-tolak daripada pengetahuan dan pengalaman melaksanakan tugas sebagai suri rumah.

"Bayangkan daya fokus dan kemahiran serba boleh yang dimiliki dapat menyeimbangkan tanggungjawab domestik dan kerjaya dalam satu masa.

"Sungguhpun begitu, tahap profesionalisme dan disiplin yang dimiliki membantu saya mengurus dan membahagikan masa dengan produktif," ujar Helen yang berpendidikan dalam bidang pengurusan hotel.


POTRET KELUARGA. Dari kiri: Edmund, Kristy, Benedict, Helen dan Benjamin.


Jenama

Menyentuh tentang segmen perniagaannya yang mengeluarkan pakaian wanita bersaiz besar, Helen berkata, ia menjadi kenyataan apabila sebuah pusat beli-belah terkenal menghubungi dan memberikan ruang khas kepadanya bagi mempamerkan koleksi pakaian jenama sendiri.

Helen cuma mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa wanita bersaiz besar masih boleh kelihatan menarik sekiranya bijak memilih fesyen pakaian.

"Wanita secara amnya dilahirkan dalam variasi bentuk badan. Sebagai seorang wanita, saya memahami keinginan memiliki baju yang menepati cita rasa.

"Apatah lagi ramai wanita di semua peringkat usia, menganggap diri mereka tidak mencapai standard kecantikan yang diletakkan oleh masyarakat. Mereka juga gagal mengamati bahawa kecantikan adalah sesuatu yang bersifat subjektif," katanya sambil memberitahu Ms. Read menawarkan pakaian bersaiz besar iaitu dari 12 hingga 22.

Helen menegaskan: "Bukan pakaian sahaja yang menyuntik personaliti dalam diri seseorang secara keseluruhannya."

Diperbaharui hampir setiap bulan, Ms. Read dibahagikan kepada tiga koleksi utama iaitu sut formal untuk ke pejabat, kasual dan pakaian ke majlis keramaian.

Malah, idea itu turut dipanjangkan kepada baju tidur yang diperkenalkan baru-baru ini. Dengan dua orang pereka fesyen tetap dan terus bertambah, Helen dan suaminya, Edmund Read yakin untuk kekal berdaya saing pada tahun-tahun akan datang.


PEREKA fesyen, Sencir Lim (kanan) berbincang sesuatu dengan Helen tentang rekaan baru.


Kejayaan

Setelah mengerah keringat selama 23 tahun dalam bidang tekstil, kejayaan itu dikongsi bersama tiga orang anaknya iaitu Benjamin Yong, 32, Benedict Read, 31, dan Kristy Yong, 27.

Mengadakan perjumpaan berkala dengan kakitangan di ibu pejabat, Helen tidak berminat untuk banyak bercakap. Sebaliknya, dia lebih suka membahagikan tugas atas dasar kepercayaan.

Selain mereka pakaian bersaiz besar, satu lagi hobi yang sangat digemarinya adalah memasak. Malah, minatnya itu dikongsi bersama orang ramai melalui laman sesawang www.msread.com.my.

"Tetapi, saya tidak berapa pandai menyediakan masakan Cina. Saya cuma tahu masak kari ayam dan beberapa juadah antarabangsa. Sekarang, saya sedang belajar menyediakan laksa Johor, laksa Singapura dan mi nyonya," kata Helen yng lebih rela pergi ke restoran untuk menikmati masakan India dan Melayu.

Bukan sekadar bercerita tentang masakan, laman sesawang itu turut dipenuhi dengan bahan-bahan ilmiah seperti tip-tip yang berguna untuk kaum wanita yang dimuat turun dari semasa ke semasa.


SEBAHAGIAN daripada himpunan fesyen bersaiz besar yang pernah dihasilkan oleh butik Ms. Read.


Helen memberitahu, peluang untuk melancong ke luar negara bersama keluarga atau kakitangan dimanfaatkan untuk mengenali budaya, masakan dan trend fesyen akan datang.

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, Benjamin kini mengikut jejak ibunya untuk bergelar seorang usahawan berjaya. Benjamin melakukannya menerusi pembukaan kafe Delicious dan butik Dude & The Duchess sejak beberapa tahun lalu.

Mungkinkah Ms. Read akan menawarkan produk-produk fesyen lain atau rangkaian pakaian wanita bersaiz normal?

"Tidak. Perkara itu tidak terlintas di fikiran," jawabnya ringkas.

dari:kosmo.com.my

Friday, 2 October 2009

Tak menang tangan urus salon



HANISAH (kiri) memberi penerangan mengenai produk kepada seorang pelanggan di kedainya di Ipoh, Perak.


SEBAGAI anak nelayan yang dibesarkan dalam persekitaran kampung, Hanisah Hussin, 49, langsung tidak pernah mengimpikan untuk bergelar usahawan berjaya, apatah lagi mengasaskan produk kecantikan menggunakan jenamanya sendiri.

Namun, hasil usaha gigih, tidak jemu memerah keringat dan jauh sekali berputus asa, Hanisah atau lebih mesra disapa Misha kini boleh tersenyum bangga.

Produk kesihatan dan kecantikan pelbagai jenis atas jenama Misha semakin mendapat perhatian. Malah, dia sendiri mengakui tidak menang tangan menguruskan lima buah salon kecantikan di sekitar Perak.

Apa yang pasti, kejayaan yang diraihnya itu bertitik tolak daripada pengalaman yang ditimba sepanjang memasarkan produk kesihatan dan kecantikan jenama tempatan lain kira-kira sedekad lalu.

"Saya mulakan perniagaan ini dengan modal RM500 sahaja.

"Pengalaman sebagai pengedar produk kecantikan pelbagai jenama dalam dan luar negara membantu saya untuk terus berkecimpung dalam dunia kecantikan," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menimba pengetahuan

Tidak lagi mahu menoleh ke belakang, Hanisah menimba lebih banyak pengetahuan untuk meyakinkan pelanggan.

"Pada awalnya, saya 'mengumpul' sebanyak mungkin ramuan terbaik dalam setiap produk yang dijual kerana mungkin satu hari nanti, saya mampu menghasilkan produk sendiri," katanya yang berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan.

Yang pasti, impiannya sudah pun menjadi kenyataan. Kini, sebanyak 16 produk yang menggunakan jenama Misha telah mendapat tempat di hati pelanggan di seluruh negara.

Katanya, kesemua produk itu mendapat sambutan menggalakkan sejak mula diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu.

Antara produk keluarannya adalah Pure Collagen Gold, Beauty Treatment Cream, Bio X-20, Soy Collagen dan Kopi Abang Yes yang disasarkan untuk lelaki.

Selain itu, turut dihasilkan adalah beberapa produk khas untuk kegunaan wanita iaitu Tongkat Kasih Xtra Rapat, Lobata Sireh Asmara Kasih, 1001 Rahsia Isteri, Mirifica Pulih Dara, VG Wash dan Collagen Puteri Gingko.

"Yang terbaru, saya turut mengeluarkan Berry Collagen Plus Gingko dan set rawatan resdung, jerawat serta jeragat," katanya.

Pada masa yang sama, dua buah anak syarikatnya, Erra Beauty Fit dan D'Kiff Beauty turut mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan sendiri iaitu Roselle Pearl Fit dan Pati Jus Kismis, Madu, Delima.

Sentiasa optimis

Dijual pada harga yang berpatutan, Misha optimis produk keluarannya mampu berdiri sama tinggi dengan barangan kesihatan dan kecantikan yang sedia ada di pasaran.


HANISAH HUSSIN (lima dari kiri) bersama para pekerjanya di kedainya di Bangunan Megoplex, Jalan Gopeng, Ipoh, Perak.


"Semua produk yang dihasilkan mendapat pengesahan halal daripada pihak berwajib selain mendapat pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP)," katanya.

Tidak mahu membandingkan hasil tangannya dengan produk kecantikan dan kesihatan lain, Misha menjelaskan sehingga kini respons yang diterimanya daripada pelanggan begitu mengujakan.

"Saya sentiasa percaya apa yang 'dihidangkan' kepada pelanggan mesti didatangkan dengan bahan-bahan bermutu dan terbaik. Atas dasar itulah, kualiti pembuatannya dipantau dari semasa ke semasa.

"Sekiranya tiada aral, saya mahu mempelbagaikan produk jenama Misha bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelanggan," katanya yang turut mendapat sokongan suami, Mohd. Termizi Ramli, 50. Pasangan itu dikurniakan lima orang cahaya mata berusia antara dua tahun hingga 28 tahun.

Pastinya, Misha juga boleh berbangga kerana lima buah outlet miliknya di Kompleks Megoplex dan Ipoh Parade di Ipoh serta Simpang Pulai, Batu Gajah dan terbaru di Lumut semakin popular dalam kalangan pelanggan.

Selain memasarkan produk-produk keluarannya, salon itu juga menawarkan variasi pakej penjagaan wajah termasuk rawatan resdung dan penggunaan laser bagi mencantikkan mata.

Kelas pertama

"Dilengkapi dengan fasiliti rawatan kelas pertama, salon Misha turut menawarkan pakej spa meliputi sauna, jakuzi, mandi skrab, rawatan mata dan urutan tradisional Thailand.

"Setiap pakej terutama urutan badan dikendalikan oleh tukang urut profesional. Tukang urut lelaki disediakan untuk pelanggan lelaki, begitu juga sebaliknya," katanya.

Misha juga tidak betah melakukan sendiri teknik-teknik rawatan kepada para pelanggannya, meskipun dia sendiri mempunyai kakitangan terlatih di setiap salon miliknya.

Selain itu, dia mempelawa orang ramai yang berminat menjadi pengedar produk jenama itu supaya menghubunginya sambil berharap peluang bergelar usahawan yang ditawarkannya tidak disia-siakan.