Pages

Thursday, 30 April 2009

Usahawan susu segar


Walaupun hanya mempunyai pendidikan setakat darjah enam, Sukeri Mamat berusaha membebaskan kehidupannya daripada belenggu kemiskinan.

Bekas pekerja kilang itu telah menceburkan diri dalam industri penternakan lembu susu. Selepas 19 tahun, Sukeri kini bersyukur dengan pendapatannya yang melebihi RM3,500 sebulan hasil titik peluhnya memelihara lembu susu.

Beliau yang kini bergelar usahawan susu lembu memulakan kerjayanya menternak lembu susu pada 1990 dengan modal RM30,000.

"Pada waktu itu saya hanya mempunyai 19 ekor lembu induk kerana ia merupakan peringkat permulaan dan saya pun takut juga jika gagal.

"Tetapi hasil galakan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan lembu susu serta penyediaan pemasaran untuk susu cair yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya," kata beliau ketika ditemui di ladang ternak lembu susu Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan.

Hari ini, Sukeri, 34, mempunyai 55 ekor lembu induk susu.

Menurut Sukeri, JPV menyediakan ladang itu bagi membolehkan peserta menjalankan penternakan lembu tenusu di kampung berkenaan.

Susu lembu tersebut akan diperah dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang dengan menggunakan mesin pemerah mudah alih untuk perahan yang bersih.

"Anggaran pendapatan sebulan hasil jualan susu pula sebanyak RM3,500. Ia mencukupi bagi menyara isteri dan dua orang anak," kata beliau.

Beliau merupakan antara lima peserta dalam projek JPV di ladang tenusu tersebut yang membabitkan kawasan seluas lebih 50 hektar.

Terletak di pinggir Bukit Seligi dan bersempadan dengan Jajahan Machang, ladang tersebut dikenal pasti sebagai salah satu daripada kawasan yang paling sesuai untuk penternakan tersebut.

Daripada kawasan terbiar yang dipenuhi dengan hutan, ladang tersebut kini dilengkapi dengan pelbagai bentuk kemudahan asas. Ini termasuklah jalan yang berturap tar dan bangunan pejabat operasi, selepas dibuka pada tahun 1990.

Lima peserta yang mengusahakan ladang berkenaan secara berkelompok dengan 144 ekor lembu mampu mengeluarkan susu segar sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000 setahun.

Selain Sukeri, empat lagi peserta yang juga penduduk tempatan ialah Ismail Zakaria, Ibrahim Abdul Ghani, Azman Che Mat dan Shahrul Bakri Abdullah.

Ibrahim Abdul Ghani, 59, pula berkata, beliau memulakan kerja itu pada tahun 1993 dengan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 daripada hasil wang simpanannya untuk membeli 11 ekor lembu.

"Sehingga kini saya memiliki sebanyak 27 ekor lembu dan pendapatan saya hasil menjual susu pula kira-kira RM2,000 sebulan," kata beliau.

Pengarah JPV Kelantan, Datuk Dr. Mohd Zairi Serlan berkata, jabatannya menyediakan kawasan padang ragut yang ditanam dengan rumput humidicola (Brachiariahumidicola) dan rumput napier (penissetum purpureum) yang dikenali juga sebagai rumput gajah bagi memastikan lembu itu sentiasa sihat dan produktif.

"Selain meragut dan makan rumput, lembu-lembu berkenaan juga diberi makan dedak formulasi untuk mengekalkan prestasi penghasilan susu," katanya.

Pengendalian susu dari ladang berkenaan diusahakan oleh Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Pasir Puteh yang hasil perahannya dikumpulkan setiap hari ke dalam tangki pendingin berkapasiti 300 liter.

Susu berkenaan diproses menerusi pelbagai ujian makmal untuk memastikan kualitinya sebelum dijadikan susu segar yang dipasteur, berperisa dan dijadikan dadih.

Harga susu itu dibayar setiap awal bulan oleh PPIT pada kadar RM1.50 sen seliter yang dikreditkan ke akaun setiap penternak.

Beliau berkata, peserta berkenaan telah menunjukkan daya saing yang tinggi di kalangan penternak tenusu bersaiz kecil dan separa komersial.

"Pengurusan yang baik telah mendorong jabatan saya untuk menyokong supaya ia dinaik taraf memandangkan potensi industri itu amat baik pada masa depan. Ini termasuklah kemudahan asas dan memperbaiki tahap biosekuriti bagi mengelak kejadian penyakit pada ternakan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, negara menyasarkan pengeluaran 1.1 bilion liter susu cair setahun dalam usaha memenuhi keperluan susu domestik dan mengembangkan perusahaan tenusu tempatan.

Beliau berkata, perusahaan tenusu mempunyai potensi yang tinggi kerana tahap pengeluaran dalam negara masih rendah iaitu pada 51 juta liter setahun atau pada kadar 4.6 peratus sahaja daripada keperluan. - Bernama

Tuesday, 28 April 2009

Jual Kereta Untuk keluar Modal

Bagi seseorang bila samapai masa bersara adalah masa bersenang lenang tapi lain pula pada Kapten (B) Yusoff Md Saad ini.

KETIKA memperkenalkan produknya, beliau terpaksa berjalan kaki meredah kampung dan bermotosikal di batas sawah. Malah, modal yang kecil dan terhad menyebabkan penawar minuman kesihatan rumusannya dikeluarkan secara kecil-kecilan di rumah dan cuma dipekkan dalam botol mineral dan dijual dari rumah ke rumah.

Tindakannya menyebabkan ada yang menganggapnya melakukan kerja gila.


Untuk memulakan perniagaan, beliau juga terpaksa menjual kereta bagi mendapatkan modal selepas beberapa permohonan mendapat pinjaman bank ditolak dengan pelbagai alasan.

Membangunkan perniagaan sejak 2001, Kapten (B) Yusoff Md Saad, 62, mencipta ramuan minuman kesihatan ketika menimba pengalaman sebagai tentera hampir 20 tahun lalu.

Keluar masuk hutan dan kawasan pedalaman yang penuh rahsia alam bukan saja mengajarnya ilmu ikhtiar hidup, malah membolehkannya mengenali pelbagai spesies hutan, terutama herba yang berguna untuk tujuan perubatan.

Beliau turut mendapat tunjuk ajar dan petua rawatan tradisional daripada orang tua di kampung Melayu dan perkampungan Orang Asli.

Setelah bersara daripada tentera selepas berkhidmat lebih 30 tahun, Yusoff memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari untuk membantu pesakit kencing manis.

Beliau menjalankan kajian lebih saintifik di makmal bagi memastikan formula ciptaannya yang mengandungi campuran bahan asli dan semula jadi dirumus khas tanpa bahan tambahan, pengawet atau pewarna tiruan itu mampu memberi kesan positif bagi rawatan pilihan membantu pesakit berkenaan.

Pengasas produk Kacip Emas itu berkata, bukan mudah untuk berjaya dalam bidang perniagaan, apatah lagi bergelar jutawan. Apabila perniagaan semakin maju, pelbagai institusi kewangan mula menawarkan pinjaman kepada syarikatnya.

“Jiwa perlu kental, hati harus tabah dan jangan sesekali terlintas niat berputus asa. Perniagaan ini nampak senang seperti setakat jual ubat, tetapi bagi saya bukan setakat menjual ubat atau mencari keuntungan, sebaliknya membantu orang yang memerlukan,” katanya.

Semangat juangnya tidak pernah luntur walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Malah, berazam mahu memajukan diri demi mencapai tahap lebih baik.

“Saya yakin perubatan tradisional dan rawatan alternatif berasaskan herba dan akar kayu mampu diketengahkan sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada semua golongan jika lebih banyak usaha dijalankan bagi mengkaji kebaikan dan khasiatnya.

“Produk herba mempunyai potensi cerah dalam industri perubatan dan lebih banyak peluang perlu diketengahkan seiring permintaan pasaran yang kian terbuka luas.

“Semua pihak perlu sedar dan yakin produk berasaskan herba mampu memberikan sumbangan besar, sama ada dalam negara mahupun peringkat global,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengamal perubatan model belum yakin terhadap keberkesanan Kacip Emas sebagai minuman kesihatan bagi membantu pesakit kencing manis, ramai pengguna mengakui khasiatnya serta membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik.

Sejak Kacip Emas dipasarkan sebagai minuman kesihatan, pihaknya belum pernah menerima aduan, malah sambutan pengguna yang di luar jangkaan menjadi pemangkin untuk beliau melebarkan sayap dan melipatgandakan usaha memastikan khasiat Kacip Emas dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan.

Berikutan permintaan terhadap Kacip Emas semakin menggalakkan, beliau mampu mendirikan sebuah kilang pemprosesan yang kini beroperasi di Kawasan Perindustrian Mergong, Alor Star, Kedah dengan nilai hampir setengah juta ringgit dan tenaga kerja yang kian bertambah.

Kilang itu mampu menghasilkan produk secara moden, bersih dan komersial untuk memenuhi permintaan yang menggalakkan.

“Saya gembira kerana dengan adanya kilang yang serba lengkap, pengeluaran Kacip Emas mampu memenuhi permintaan mereka yang memerlukan,” katanya.

Jika dulu beliau berjalan kaki dan bermotosikal memasarkan produknya, kini syarikatnya mampu mempunyai lori sendiri sebagai kenderaan pemasaran dan membekalkan produk ke seluruh negara.

Yusoff turut membuka sebuah lagi cawangan di Kota Damansara, Petaling Jaya sebagai pusat pengedar dan pemasaran.

Pada masa sama, Yusoff merancang menempatkan pusat rawatan diabetis berkonsepkan spa yang kini dalam proses pengubahsuaian di situ bagi mendekati pesakit, selain mengelak pesakit berasa tertipu dengan produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.



PROFIL

NAMA: Kapten (b) Yusoff Md Saad

UMUR: 62 tahun

ASAL; Langkawi, Kedah

JAWATAN: Pengarah Urusan Kacip Emas Global Sdn Bhd.

ISTERI: Rozimah Osman

Friday, 24 April 2009

Pakar bidang IT terjun ke kolam ternakan

Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

''Saya sudah bosan," katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

''Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, '' katanya.

Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

''Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,"ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

''Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan," ujar Hanafiah.

Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

Thursday, 23 April 2009

Doa mohon dicukupkan keperluan

Firman Allah yang bermaksud: Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai arasy yang besar. (at-Taubah: 129)

Keterangan ayat

Menurut Ibn Abi Hatim, perkataan arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi yang dijadikan Allah. (Tafsir Ibn Abi Hatim, tafsir ayat 129 surah at-Taubah)

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW sering berdoa menyeru Allah yang memiliki arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.

Abu Daud dan Ibn al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda' r.a secara mauquf bahawa Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang membaca ayat ini pada waktu pagi dan petang sebanyak tujuh kali, maka Allah akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah at-Taubah)

Khasiat dan kaifiat beramal

Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah SWT.

Tuesday, 21 April 2009

Budak kampung jadi usahawan

DALAM lampiran profilnya ada tertulis cita-cita dan falsafah hidup beliau iaitu usahawan berjaya tidak kenal erti putus asa serta berjaya dunia dan akhirat.

Di atas kertas, mungkin kata-kata ringkas dan padat itu mudah dicoret namun apabila menterjemahkannya dalam realiti hidup, insan bernama Datuk Nabil Abd Kadir, 46, sudah melalui pahit getirnya.

Sebagai usahawan yang kini terbabit dalam dunia koperasi melalui Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad atau Kopraha, beliau yang juga Pengerusi Eksekutif koperasi itu cukup 'masak' dengan dunia perniagaan.

Ibarat isi dengan kuku, begitu juga gambaran yang boleh diberikan kepada diri beliau dengan perniagaan.

Daripada sebuah syarikat, Nakiwa Sdn Bhd, ia berkembang sehingga ada tiga anak syarikat selain menjadi Pengerusi Join Management Commity Setiawangsa Business Suites.

Seperti kata beliau, untuk berjaya dan hidup selesa, berniaga adalah bidangnya. Kata-kata itu ada benarnya apabila Nabil yang pernah berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sanggup meninggalkan jawatan sebagai Pegawai Logistik berpangkat Kapten untuk menghambakan diri dalam perniagaan.

“Sejujurnya, ketika kecil saya tidak didedahkan apa itu cita-cita. Yang saya tahu, apabila ada kapal terbang lalu di atas, saya lihat dan berhasrat mahu berjaya dan ada di kedudukan atas.

“Hanya di dalam tentera, baru terdetik terbabit dalam perniagaan,” katanya.

Anak jati Pahang itu boleh dikatakan berani. Ketika ramai anak muda memohon jawatan sebagai pegawai kerajaan, beliau pula mengambil keputusan menceburi perniagaan pada 1992.

Selepas tamat kontrak tujuh tahun di TUDM dari 1985 hingga 1992 melalui tajaan Biasiswa Angkatan Tentera untuk melanjutkan pengajian di Indiana States University, AS, Nabil nekad berniaga meskipun tiada pengalaman.

Begitupun, galakan dan sokongan isteri, Datin Sakinah Zainul Abidin menjadikan Nabil tabah membuka syarikat pertama, Nakiwa Sdn Bhd pada 1992 yang terbabit dalam penjualan komputer, pembekalan dan jahitan.

“Isteri mahir menjahit dan selepas dia berkursus, saya ambil tender menjahit pakaian seragam tentera. Isteri jahit, saya cari projek selain menjual komputer dan kelengkapan alat tulis kepada Kementerian Pertahanan,” katanya.

Daripada menyewa sebuah bilik kecil, pasangan itu mengorak langkah menyewa lot kedai di Setiawangsa. Perniagaan yang semakin berkembang membolehkan mereka membeli beberapa lot kedai dan menyewakannya.

Begitupun, kegawatan ekonomi pada 1997 memberi kesan kepada pasangan itu terutama kesukaran mendapatkan tender kerajaan. Namun, penganjuran Sukan Komanwel 1998, bagai memberi nafas baru kepada Nabil.

“Kerajaan mengeluarkan tender menyediakan 250 bas untuk 10,000 petugas. Jadi, saya beranikan diri masuk tender ini dan berjaya.

“Tugas saya tidak mudah apabila ada bas atau pemandu tidak mahu bekerja. Pernah pada tengah malam saya ke rumah pemandu bas, beri wang pendahuluan dan minta dia bawa bas untuk esoknya.

“Selain itu, ada juga yang batalkan perjanjian pada saat akhir, memang mencabar dan tertekan,” katanya yang kini memiliki 12 bas.

Selepas Sukom, Nabil menubuhkan anak syarikat Nakiwa, Optical Media Sdn Bhd pada 1999 yang mengeluarkan cakera padat mudah rakam atau 'compact disk recordable' (CDR).

Kejayaan di Sukom menjadikan Nabil lebih bersemangat dan pada 2001, beliau berjaya dalam projek menyediakan 450 kenderaan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (Lima) serta 120 bas di Sukan Sea, tahun sama.

Pada 2004, syarikatnya sekali lagi dapat kepercayaan menyediakan pengangkutan bas dan kenderaan darat untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pada masa sama, wujud anak syarikat Nakiwa Sdn Bhd iaitu Nakiwa Properties Sdn Bhd dan Nakiwa Travel and Tours Sdn Bhd yang terbabit dalam pelaburan hartanah dan pengangkutan.

Dalam sibuk menjalankan pelbagai perniagaan, sekali lagi suasana ekonomi tidak menentu berlaku pada 2007.

“Saya fikir dalam keadaan gawat, orang ramai lebih suka menyimpan dan mahu mendapatkan keuntungan daripada tabungan. Jadi, saya yang tiada pengalaman dalam koperasi, membuat kajian mengenai koperasi yang ada.

“Daripada 5,000 koperasi, sangat sedikit koperasi agresif. Dalam satu kursus, kami diminta berfikir di luar kotak. Pada akhir 2007, saya bersama rakan mencari idea untuk menubuhkan koperasi dan pada Jun 2008 secara rasmi Kopraha didaftarkan,” katanya.

Katanya, Kopraha tidak menawarkan pinjaman sebaliknya membuat pelaburan hartanah dan sewaan perniagaan yang mana keuntungannya dikongsi bersama ahli.

Tidak ramai mengetahui kejayaan anak kelahiran Pekan, Pahang itu sebenarnya hasil kesusahan beliau sejak zaman kanak-kanak.

Ketika rakan lain bermain, anak kesembilan daripada 11 beradik itu menghantar kuih-muih untuk dijual atau membeli barangan untuk ibunya, Rabiah Jusuh, membuat kuih.

“Emak boleh dikatakan idola saya. Meskipun tidak pandai menulis dan membaca, tetapi dengan wang hasil jualan kuih, emak boleh membeli tanah dan membina lapan rumah sewa,“ katanya.

Menurutnya, setiap hari beliau yang menetap di Kampung Ketapang Tengah mengayuh basikal membawa empat bakul berisi pelbagai jenis kuih seperti kuih bingka, lompat tikam, kuih bakar dan tepung kurma.

“Saya generasi ketiga menghantar kuih kepada peniaga di pekan sehari, Pekan. Pagi hantar kuih dan petang, ambil duit. Pada masa itu saya darjah empat dan duit yang diperolehi, tidak minta daripada emak,” katanya.

Pada masa terluang, Nabil membantu bapanya, Abdu Kadir Kamaluddin berkebun sayur menanam ubi kayu, tebu serta sayur-sayuran.

Berkat kesabaran dan kecemerlangan akademik, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Sejak itu, Nabil tidak menoleh ke belakang dan terus mencatat kecemerlangan sama ada dalam akademik, kerjaya dan perniagaan.

NAMA: Datuk Nabil Abd Kadir
USIA: 46 tahun

LAHIR: 10 Mei 1963 di Pekan, Pahang

JAWATAN: 1) Pengerusi Eksekutif Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad (Kopraha)

2) Pengerusi Join Management Commity Setiawangsa Business Suites

3) Pengarah Urusan Nakiwa Sdn Bhd dengan tiga anak syarikat, Optical Media Sdn Bhd, Nakiwa Properties Sdn Bhd dan Nakiwa Travel and Tours Sdn Bhd

ISTERI: Datin Sakinah Zainul Abidin

ANAK-ANAK: 1) Iylia Najlaa Fathii, 21; 2) Izzy Aishah, 20; 3) Izham Haiqal, 15: 4) Ikmal Hakim, 14 tahun

PENDIDIKAN: 1) Sekolah Rendah Seri Beram, Pekan; 2) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah, Pekan; 3) Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi; 4) Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Indiana States University, Amerika Syarikat.

ANUGERAH: Pingat 'Darjah Indera Mahkota Pahang' dianugerahkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 2005 yang membawa gelaran Datuk.

Saturday, 18 April 2009

Bertaubat daripada dosa jangan tunggu usia tua

Syaitan sentiasa goda manusia lakukan maksiat jaya misi tambah penghuni mereka

MANUSIA dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah dan Islam sebagai cara hidup. Pengabdian kepada Allah meletakkan manusia sebagai hamba yang perlu sentiasa patuh kepada suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.

Nikmat iman adalah anugerah paling besar kepada manusia. Sesiapa yang menolak cahaya keimanan, dia tidak mendapat kebaikan hidup di dunia. Firman Allah bermaksud: "Maka sesiapa yang memilih cara hidup selain Islam, Allah tidak sekali-kali menerima (agamanya) itu dan di akhirat dia dimasuk ke dalam golongan orang yang rugi." (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Sesiapa sudah menerima nikmat keimanan, peganglah sehingga ke akhir hayat. Jangan menukar keimanan dengan kekufuran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang Islam." (Surah Ali-Imran, ayat 102)

Namun, sifat manusia tidak seperti malaikat yang tidak pernah melakukan selain perkara disuruh Allah. Dalam diri manusia ada akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan serta keburukan. Sebab itu, Allah menjanjikan balasan pahala dan dosa bagi setiap perbuatan. Allah mengetahui setiap perkara dilakukan hamba-Nya secara nyata atau bersembunyi.

Tahap keimanan manusia diumpamakan ombak yang ada tinggi dan rendahnya. Keimanan berada pada tahap tertinggi apabila banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran dan begitulah sebaliknya.

Biarpun berstatuskan hamba, manusia bebas menentukan cara kehidupan diingini. Allah memberi pilihan berdasarkan kehendak manusia dan sebab itu manusia bakal menerima pembalasan atas apa dilakukan. Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami menunjukkan kepadanya (manusia) dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Surah al-Balad, ayat 10)

Setiap kebaikan digandakan nilai pembalasan antara 10 sehingga 700 kali. Sedangkan sesiapa melakukan kejahatan hanya dibalas dengan satu pembalasan atau diampunkan.

Sekalipun Allah tidak berhajat pertolongan daripada makhluk ciptaan-Nya, Dia memberi pembalasan sebaik-baiknya terhadap hamba yang taat. Limpah rahmat yang diberikan tidak terkira banyaknya.

Memandangkan manusia tidak lepas daripada melakukan dosa, sedangkan Allah sudah menjanjikan kebaikan pada hari akhirat, maka diberi peluang untuk menghapuskan dosa itu dengan jalan yang disebut taubat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53) Allah menyebut mengenai sifat-Nya Maha Pengampun, bermaksud tidak ada satu pun dosa yang tidak diampunkan jika manusia memohon keampunan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, nescaya kamu beruntung." (Surah an-Nur, ayat 31)

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa, paling baik selepas menyedari melakukan dosa. Jika kesalahan itu membabitkan sesama manusia, keampunan perlu dimohon kepada orang terbabit. Ketika meminta maaf perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah atas kesedaran perbuatan itu satu dosa dan menyesalinya. Diharapkan perbuatan buruk itu tidak diulang, sebaliknya berusaha melakukan kebaikan untuk semua.

Taubat sebenar ialah menyedari kesalahan atau dosa diikuti penyesalan dan memohon keampunan Allah. Seterusnya, menanam sifat benci kepada perbuatan itu dan terus meninggalkannya. Hasil taubat membawa diri melakukan perbuatan baik. Taubat dipertahankan dengan sentiasa sedar dan waspada menjauhkan diri daripada kejahatan. Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, ia tertutup apabila ajal tiba. Jangan berlengah untuk bertaubat dan ia perlu dilakukan sepanjang masa, bukan hanya apabila usia lanjut.

Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan dosa, menangguhkan taubat sehingga sampai ke akhir hayat. Syaitan sedar, sebesar mana dosa dilakukan anak Adam dan kemudian bertaubat, Allah tetap menerima taubat itu.

Bagi memastikan misi syaitan meletakkan manusia dalam neraka ialah dengan cara mengelak daripada bertaubat. Kerja jahat syaitan untuk menempatkan manusia bersamanya di neraka menjadi sia-sia jika manusia bertaubat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir sangat dengan ajal)." (Hadis riwayat Tirmizi)

Sebagai Muslim yang yakin bertemu Allah di akhirat kelak, berusahalah meningkatkan takwa dan menghindarkan dosa supaya dihimpunkan bersama orang beriman di akhirat. Sesungguhnya hidup ini tidak hanya berakhir di dunia kerana akhirat kehidupan abadi.