Pages

Wednesday, 25 March 2009

Kontraktor muda ternak lembu


Kontraktor muda ternak lembu

MEMASUKI dunia pekerjaan pada usia 18 tahun, Muhammad Rohaimi Amiruddin tidak pernah menyesal. Biasanya, kebanyakan anak muda seusia itu memilih untuk meneruskan persekolahan di tingkatan enam atau ke kolej dan universiti. Bagi mereka, hanya kecemerlangan akademik dapat menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Namun begitu, melihat senario semasa, telahan itu nampaknya tidak tepat kerana kebanyakan siswazah sekarang masih ada yang menganggur walaupun telah tamat pengajian sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Justeru, segelintir siswazah mula memandang ke hadapan dengan menceburi sektor pertanian atau penternakan.

Bagi Muhammad Rohaimi, 29, yang lebih mesra disapa Awang, pendidikan memang penting dalam kehidupan seseorang tetapi tidak semua orang berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

Jika itu berlaku pada seseorang, janganlah berputus asa kerana seperti yang dijelaskan di dalam hadis, sebanyak 9/10 punca rezeki datangnya daripada sektor perniagaan.

Namun sebelum menceburi bidang perniagaan, Awang terlebih dahulu bekerja makan gaji di sebuah syarikat penyelenggaraan, Ready Care di Hospital Jerantut, Pahang selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sungguhpun berusia belasan tahun, Awang tidak seperti kebanyakan remaja yang lain. Dia sebaliknya memandang jauh ke hadapan sambil memikirkan apakah yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Mungkin telah ditakdirkan dia akan muncul sebagai usahawan muda yang berjaya, maka langkah pertama mula diatur bagi meniti satu demi satu anak tangga kejayaan.

"Pada tahun 2000, saya memohon lesen kontraktor dan berjaya memperolehnya. Saya tak berani nak berhenti kerja dan terus bekerja di Ready Care. Dalam masa yang sama, saya berusaha memohon projek-projek kecil di sekitar Jerantut.

Tiga tahun tiada projek

"Tiga tahun saya berusaha barulah saya dapat projek pertama dari Pejabat Daerah Jerantut iaitu membaik pulih Masjid Taman Negara. Nilai kerja yang diperoleh daripada projek itu adalah RM50,000. Saya masih belum mahu berhenti kerja dan dengan keuntungan yang diperoleh daripada projek tersebut, saya beli 10 ekor lembu untuk dipelihara," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Jerantut, Pahang.


Menurutnya, dia memilih kaedah integrasi iaitu lembu-lembu dilepaskan secara terkawal di kebun kelapa sawit miliknya ayah seluas 10 ekar. Kebun ayahnya terletak bersempadan dengan ladang sawit milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pahang (LKPP).

Tambahnya, tidak lama kemudian, dia menerima projek kedua. Dengan keuntungan yang diraihnya, Awang menambah bilangan lembu peliharaan.

Melihat potensi besar dalam kerja-kerja sebagai kontraktor dan ternakan lembu, Awang nekad berhenti kerja pada tahun 2005. Dia memilih berhenti kerja secara Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dan menerima wang pampasan sebanyak RM15,000. Wang itu juga digunakannya untuk menambah bilangan lembu.

"Dalam tempoh satu tahun iaitu sejak pembelian pertama, jumlah lembu bertambah kepada 50 ekor dan dalam masa yang sama, saya turut menerima banyak projek menerusi syarikat Temin Maju Enterprise,'' ujarnya.


Melihat potensi besar dalam ternakan lembu secara integrasi, Awang cuba memohon daripada LKPP untuk menyewa ladang sawitnya bagi meluaskan kawasan ternakannya. Kawasan yang disewa itu meliputi keluasan 4,000 ekar. Selain itu, Awang turut menerima projek membaja, meracun, memotong dan mengangkut buah sawit di ladang LKPP tersebut.

Usahawan muda yang merupakan suami kepada Norzaliani Mohd. Nordin, 29, dan ayah kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu jumlah lembu yang diternaknya kini mencecah kira-kira 450 ekor dan bilangan itu dikongsi dengan dua rakannya iaitu Shafie Sadi dan Fadli Hamat.

"Jumlah lembu yang saya sendiri miliki melebihi 200 ekor dan bakinya dikongsi oleh Shafie dan Fadli,'' katanya sambil memberitahu jenis-jenis lembu ternakannya adalah Brahman, LID, Charolais, Droughtmaster dan KK.

Pasang pagar elektrik

Kata Awang, selain membekalkan lembu ternakannya ke pasar-pasar, dia juga menjualnya kepada orang ramai pada setiap kali musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Selain menjual lembu untuk tujuan aqiqah, korban, majlis kenduri dan sebagainya, Awang juga menjual baka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan ternakan lembu.

"Usia paling sesuai untuk menjual lembu-lembu ini adalah tiga tahun dan harganya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut saiz dan jenis lembu yang terbaik. Manakala harga untuk tujuan korban pula adalah antara RM1,700 hingga RM2,000 seekor," katanya.

Awang juga memberitahu, pihaknya turut menjual kulit lembu untuk pasaran di negara jiran, Thailand pada harga RM2.50 sekilogram (kg).

"Seekor lembu boleh menghasilkan antara 20 hingga 30 kg kulit, bergantung pada saiz lembu yang kami sembelih untuk tujuan korban, kenduri atau aqiqah. Misalnya, seekor lembu jenis Brahman boleh mencecah berat 60 kg,'' jelasnya sambil memberi lembu-lembunya minum air gula merah.

Mengenai pemberian air gula merah kepada haiwan ternakannya, Awang berkata, dia akan membeli pati air gula merah di kedai runcit sekitar Jerantut. Sedikit pati akan dibancuh di dalam air sebelum dimasukkan ke dalam botol-botol mineral 1.5 liter.

Menurutnya, air gula merah itu adalah sebahagian daripada diet mingguan lembu ternakannya, selain bertujuan menjinakkan haiwan tersebut.

"Apabila dipanggil dengan bahasa 'khas', lembu-lembu ini akan datang mengerumuni saya untuk mendapatkan air gula tersebut. Apabila sudah dikumpul, saya boleh memeriksa keadaan lembu sama ada sakit, cedera dan sebagainya.

Selain air gula merah, saya juga menyediakan ketulan garam untuk dijilat oleh lembu-lembut tadi. Garam ini juga merupakan sebahagian daripada diet mingguan lembu," ujarnya.

Tentang keselamatan pula, bagi memastikan lembu-lembunya tidak keluar dari kawasan ladang dan merayau di kebun sayur berhampiran, Awang memasang pagar elektrik di beberapa lokasi tertentu di sepanjang sempadan ladang sawit berkenaan.

"Saya hanya memasang pagar elektrik di beberapa lokasi tertentu bagi mengelakkan lembu-lembu peliharaan ini menceroboh kawasan orang lain. Misalnya di kawasan yang bersempadan dengan kebun sayur orang atau landasan kereta api," ujarnya.

Jelasnya, satu set pagar elektrik untuk memagar jarak 500 meter berharga RM1,700 dan bekalan elektrik yang dialirkan itu diperoleh daripada bateri kereta yang akan dicas semula apabila kehabisan kuasa.

"Setakat ini, saya pakai tiga set bateri kereta dan setiap satu berharga kira-kira RM300. Tentang lembu yang terkena renjatan elektrik di pagar ini, ia tidaklah menyakitkan kerana kuasa watt yang digunakan terlalu rendah. Ia sekadar untuk membuatkan lembu-lembu itu terkejut dan terus berlalu meninggalkan kawasan sempadan,'' katanya.

Menurutnya, sejak pagar-pagar elektrik itu dipasang, banyak lembu-lembunya dapat diselamatkan daripada dilanggar kereta api atau dicederakan oleh pengusaha kebun.

Mengenai perancangan masa depan, Awang berkata, dia mahu menambah jumlah lembu ternakan dan membina kandang mudah alih.

Kaedah penternakan lembu

Cara pengurusan lembu daging adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan lembu tenusu. Ada empat cara pengurusan yang boleh dilakukan untuk pembiakan lembu daging iaitu:

1. Meragut Lepas Bebas

Lembu-lembu dibiarkan bebas meragut di kawasan rumput, sama ada di kawasan sendiri atau bukan. Cara ini amat sesuai bagi penternak/ pengusaha yang mempunyai keluasan padang ragut sendiri yang mencukupi. Ini memudahkan lembu-lembu membiak kerana lembu betina bebas bergaul dengan lembu-lembu jantan.

2. Berkurung atau Fidlot

Memelihara lembu secara intensif dalam kandang atau kurungan untuk pengeluaran lembu daging melalui peningkatan berat badan atau menggemukkan lembu dengan memberi makanan bermutu, air bersih, mineral dan vitamin yang secukupnya dalam tempoh tertentu. Dengan cara ini, lembu-lembu pembiak sentiasa berada di dalam kandang. Makanan yang diberikan sama ada rumput atau dedak atau campuran kedua-duanya diberikan pada kadar berat kering 3 - 5% daripada berat badan lembu setiap hari. Biasanya, rumput potong diberikan pada waktu pagi dan dedak diberikan pada waktu petang. Ruang lantai yang diperlukan ialah kira-kira 30 kaki persegi bagi setiap ekor ternakan. Usaha yang lebih adalah diperlukan bagi mencuci kandang dan menjaga kebersihan persekitaran.

3. Separa Intensif

Cara ini lebih sempurna dan praktikal di negara ini. Lembu yang dipelihara dibenarkan bebas meragut sama ada di kawasan rumput yang berpagar atau di kawasan ragutan awam dalam tempoh masa yang dihadkan. Lembu-lembu dihalau balik ke kandang untuk makanan tambahan dan berteduh di sebelah malam. Ini bermakna penternak perlu menyediakan kandang malam dan kawasan meragut yang mencukupi.

4. Integrasi Dengan Tanaman Utama

Di negara kita, kawasan tanaman utama seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan dusun adalah sangat luas. Di bawah tanaman ini, biasanya terdapat banyak rumput-rumpai yang subur. Pada kebiasaannya, racun rumpai digunakan bagi mengawal tanaman itu. Integrasi dengan ternakan akan menjimatkan wang untuk meracun, di samping mengurangkan kos pembajaan ladang.

Sumber: Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu

Saturday, 14 March 2009

Usahawan akuakultur intai sinar kejayaan


Memandangkan begitu ramai penternak yang mengusahakan ternakan ikan keli, Mohd. Nazri Alauddin, 30 mula mempelbagaikan projek ternakan ikan air akuakulturnya.

Aktiviti yang dijalankan oleh ayahnya sebelum ini, kini diwariskan kepadanya.

"Saya akan mendalami bidang akuakultur ini dan tidak akan menghampakan impian ayah," kata Mohd. Nazri semasa ditemui di ladang ternakan ikannya di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang, Melaka.

Dia merupakan pengusaha projek ternakan ikan ketiga yang ditempatkan di sana selepas dua orang pengusaha tidak dapat menepati kriteria yang ditetapkan oleh syarikat subsidiari Jabatan Pertanian Melaka iaitu Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.

Mohd. Nazri merupakan peserta inkubator Jabatan Perikanan yang mengikuti pelbagai kursus anjuran jabatan berkenaan di Batu Berendam, Melaka selama tiga tahun.

"Saya mengikuti pelbagai jenis kursus selama tiga tahun termasuk pembenihan, penjagaan dan ternakan pelbagai ikan air tawar sehingga kepada membuat palet makanan ikan dan industri hiliran berkaitan ikan.

"Kursus berkenaan juga meliputi ikan puyu, keli, tilapia dan pelbagai ikan hiasan," katanya yang merancang untuk mengeluarkan makanan ternakannya sendiri dalam sedikit masa lagi.

Ditanya mengapa bidang akuakultur menjadi pilihan, Mohd. Nazri berkata, akuakultur merupakan bidang yang luas dan meliputi bidang pembenihan, ternakan dan peralatan.

"Sebagai penternak kita boleh merancang dan membangunkan arah perniagaan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Mohd. Nazri yang mempunyai lapan orang pekerja memberitahu beliau tidak menghadapi masalah pasaran malah tidak cukup memenuhi permintaan.

Bagaimanapun dia berupaya mengeluarkan sehingga lima tan ikan tilapia sebulan, dan hanya 300 kilogram (kg) ikan puyu sebulan kerana tempat yang terhad.

Bercerita mengenai penternakan ikan, Nazri berkata, ikan tilapia biasanya menjalankan persenyawaan secara semula jadi.

"Ikan betina akan bertelur dan yang jantan akan mensenyawakan telur berkenaan lalu dieram oleh betina di dalam mulut.

"Bagi meningkatkan kadar anak ikan yang hidup, teknik aruhan anak benih ikan digunakan bagi memberikan persekitaran yang seakan-akan sama dengan mulut induk," katanya.

Dalam masa tiga hari, anak ikan akan memakan kuning telur sebelum diberikan hormon untuk membesar sebagai ikan jantan.

Ikan tilapia jantan lebih cepat membesar berbanding ikan betina dan ini membolehkan ikan dipasarkan dalam masa empat hingga lima bulan.

"Hanya ikan tilapia jantan saja diternak untuk pasaran, manakala betina dipelihara untuk dijadikan induk," katanya.

Bagi satu tangki berkapasiti tiga tan air, ia boleh memuatkan sehingga 3,000 anak benih ikan keli pada satu-satu masa.

Sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti, Nazri menggunakan teknik mikroorganisme berkesan (EM) bagi mengurangkan bau busuk daripada tangki-tangki ikannya dan menyalurkan sisa air ternakan ikan ke petak tanaman sayur.

"Saya merancang untuk menanam sayur menggunakan sisa air ternakan ikan sebagai baja dan ini boleh digunakan sebagai model bagi penternak ikan lain," katanya.

Bagi memastikan ternakan ikan mencapai saiz dan berat yang dikehendaki, penggredan perlu dilakukan setiap dua minggu.

Bagi mengatasi masalah lambakan ikan keli pula, Mohd Nazri menjalankan perusahaan industri hiliran bagi produk perikanan seperti serunding dan ikan salai.

Manakala ikan puyu pula hanya perlu disuntik hormon mengikut berat badan bagi menggalakkan pengeluaran telur.

Bagi ikan puyu, telur biasa ditetaskan sama ada di dalam kolam tanah dan tangki gentian kaca.

Mempunyai kolam tanah, sangkar dalam tasik, kanvas, kolam simen dan kolam gentian kaca membolehkan beliau menghasilkan sehingga 200,000 benih keli, 70,000 hingga 80,000 tilapia dan 40,000 puyu.

Menyentuh mengenai pasaran, Mohd Nazri berkata, permintaan adalah melebihi pasaran dan beliau dalam perancangan membuka pusat pengumpulan atau hab bagi ikan air tawar di Jabatan Perikanan, Batu Berendam.

"Dengan pembukaan pusat berkenaan bukan saja boleh membantu pembeli mendapatkan ikan segar dan produk hiliran tetapi peralatan berkenaan ternakan ikan serta khidmat nasihat.

"Selain itu penternak juga boleh menjual produk mereka sama ada benih ikan, ikan segar atau produk hiliran berasaskan ikan di sini,'' katanya.

Mohd. Nazri berkata, ini dapat mengatasi masalah pasaran yang dihadapi oleh penternak kecil-kecilan.

Merealisasikan saranan kerajaan pertanian adalah perniagaan, beliau juga merancang untuk membuka restoran ikan air tawar bagi mendidik dan mendedahkan orang ramai dengan ikan air tawar.

Friday, 6 March 2009

Sangkar ikan air tawar lubuk duit


Menyusuri Sungai Pahang di daerah Jerantut, Pahang, tentu mata tidak lepas memandang sangkar-sangkar ikan air tawar yang meriah menghiasi tebing sungai.

Industri ikan sangkar sebenarnya memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika mereka mengusahakannya secara bersungguh-sungguh.

Antara penternak ikan air tawar yang berjaya di daerah Jerantut, Isharum Bujang, 47, yang telah melibatkan diri dalam industri ternakan ikan sangkar seperti patin dan tilapia sejak 10 tahun lalu.

Bermula dengan modal RM10,000, bekas tentera ini membina dua buah sangkar berukuran 10 kaki x 12 kaki x 5 kaki bagi ikan patin dan tilapia dengan bekalan benih diambil daripada pembekal di Rawang, Selangor.

"Biarpun nampak remeh tetapi sebuah sangkar ikan menelan kos antara RM3,500 hingga RM4,000 bergantung kepada mutu dan upah menarik sangkar ke sungai dan tidak termasuk kos anak benih.

"Harga anak benih ikan patin bersaiz empat inci berharga antara 50 hingga 70 sen seekor berbanding ikan tilapia 40 hingga 50 sen pada saiz yang sama,'' katanya yang tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau geran daripada agensi kerajaan atau swasta.

Terdapat 80 sangkar ikan yang dipunyai oleh lima individu berlainan diletakkan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut.

Isharum berkata, ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan ketika beratnya antara 500 hingga 700 gram.

"Permintaan ikan dengan berat lebih kurang 600 gram amat menggalakkan," katanya.

Biasanya satu sangkar yang menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 ekor benih ikan boleh mengeluarkan sehingga satu tan ikan bagi satu musim.

"Bagaimanapun bukan semua benih ikan yang dilepaskan akan hidup dan membesar kerana sebahagiannya akan mati," jelas beliau.

Mengenai pasaran, Isharum berkata, permintaan ikan patin dan tilapia sangkar amat menggalakkan terutama di pasar tani, pemborong dan pasar besar Jerantut.

Satu kilogram ikan patin dan tilapia biasanya dijual secara runcit dengan harga RM13 hingga RM14 sekilogram.

"Setakat ini kami tidak dapat memasarkan hasil ikan ke kawasan lain di Pahang kerana hasil yang dikeluarkan masih belum mencukupi,'' kata Isharum yang berasal dari Jerantut.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan air tawar, Zanuari Abd. Halim, 42, mula menternak dengan empat sangkar ikan.

Anak jati Jerantut yang menternak ikan patin, tilapia dan beberapa jenis ikan air tawar lain mengakui permintaan yang diterima melebihi bekalan.

"Kami tidak dapat mengeluarkan ikan dengan banyak kerana kami menghadapi masalah dengan bekalan benih dan harga makanan ikan yang semakin mahal.

"Benih ikan yang dibeli kadang-kala kurang berkualiti walaupun dibeli di tempat yang sama dan benih yang kurang bermutu akan menyebabkan ikan lambat membesar untuk dipasarkan," katanya berusaha mencari benih ikan yang berkualiti.

Kata Zanuari, selain itu ikan sangkar juga sering terdedah kepada risiko kematian akibat cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat, banjir kilat serta masalah berkaitan dengan pencemaran air.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan sangkar, Mohamad Zuhran Mat Ali, 36, pula menjadikan ternakan ikan sangkar sebagai pendapatan sampingan sejak enam tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai kontraktor telekomunikasi kini mempunyai 30 buah sangkar berkata, harga makanan ikan yang semakin meningkat menjadikan penternak semakin tersepit.

"Biasanya bagi satu pusingan ternakan ikan sangkar memerlukan RM3,000 bagi satu sangkar bagi satu musim," katanya yang bermula hanya dengan sebuah sangkar ikan patin.

Zuhran berkata, bagi satu pusingan ternakan ikan memerlukan kos makanan sehingga RM3,000 dalam bentuk palet bagi tiga peringkat dalam proses pembesaran anak ikan sehingga dewasa

Sunday, 1 March 2009

Arkitek tempatan cipta sejarah di Mekah


UBHANALLAH... Allahhu Akbar... Tanpa sedar mata sudah berkaca. Hati menjadi hiba. Rasa insaf menyelubungi jiwa. Tatkala berada di Mekah al-Mukarramah.

Kota Mekah. Destinasi yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia, lebih-lebih lagi pada musim Haji dan bulan Ramadan.

Mana tidaknya, di tengah-tengah kota Mekah terletaknya Masjidil Haram atau disebut Masjid al-Haram. Ia merupakan masjid tertua di dunia dan paling suci bagi umat Islam. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan.

Tambahan pula, bangunan terpenting di dalam Masjidil Haram itu adalah Kaabah atau disebut Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno) dan Baitulharam (Rumah Suci). Di dalamnya juga terdapat makam Nabi Ibrahim, Hajar Aswad, Hijir Ismail dan Telaga Zamzam.

Keadaan Masjidil Haram pada zaman Rasulullah SAW dan khalifah seterusnya, tidaklah seluas sekarang. Peralihan pucuk pimpinan turut membawa transformasi fizikal ke atas Masjidil Haram.

Lantaran itu, tidak hairanlah, Mekah menjadi tumpuan umat Islam dari semasa ke semasa. Kehadiran mereka pelbagai tujuan, sama ada untuk perlaksanaan ibadah haji, umrah, solat mahupun menuntut ilmu.

Kini, dianggarkan sejumlah 3.5 juta umat Islam membanjiri Tanah Suci, khususnya pada musim haji. Di bahagian dalam masjid sahaja, menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa. Malah jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta menjelang lima ke 10 tahun akan datang.

Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Tidak mustahil dengan kemajuan teknologi, kemodenan pengangkutan serta orang Muslim semakin berkemampuan, ia turut mempengaruhi bilangan angka di atas.

Melihat sepintas lalu, kita rasa masjid ini sudah cukup luas, tidak ada kekurangan, jauh sekali ada cacat celanya. Tetapi tidak begitu bagi pemerintah Arab Saudi.

Sebab itulah, sehingga kini pun, kerja-kerja merobohkan bangunan kediaman dan hotel-hotel penginapan berhampiran Masjidil Haram masih giat dijalankan.

Bercerita tentang pembesaran Masjidil Haram, ramai di antara kita yang sekadar menerimanya sebagai satu yang lumrah. Anggapan umum, ia demi menjamin keselesaan, sekali gus keselamatan para tetamu Allah.

Pun begitu, di sebalik tabir usaha pembesaran tersebut, seperkara yang perlu dibanggakan khasnya rakyat Malaysia ialah pemilihan rakyat negara ini sebagai salah seorang panel yang bertanggungjawab dalam usaha untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram.

Apatah lagi, beliau adalah antara 1.5 bilion manusia Islam di dunia yang terpilih memikul amanah besar Allah SWT ini. Beliau jugalah satu-satunya panel dari Asia. Pastinya, ini sesuatu yang perlu dibanggakan oleh negara dan umat Islam di Malaysia.

Beliau yang dimaksudkan ialah pensyarah dari Jabatan Seni Bina dan Arkitek Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ismawi Zen atau lebih mesra dengan panggilan Prof. Mawi.

Temuramah pada hari itu adalah rentetan daripada sebuah program bual bicara beliau yang berlangsung pada penghujung Januari lalu di Pusat Pengurusan Kajian, UIAM, Gombak, Selangor.

Menurut Mawi yang berasal dari Kampong Gedong, Samarahan, Sarawak, tawaran yang diterima itu adalah sesuatu yang tidak disangka atau terlintas dalam fikirannya.

Apatah lagi ia adalah satu kerja yang bukan kecil tanggungjawab dan amanahnya. Di tambah pula, ia mengaitkan soal seluruh umat Islam dan amat rapat dengan ritual ummah.

Cita-cita tinggi

Beliau yang berusia 56 tahun mengakui, bergelar seorang profesional Muslim, sesungguhnya tidak dapat tidak ada juga menyimpan cita-cita tinggi dan impian menggunung sebegitu.

Namun panggilan telefon dari kerajaan Arab Saudi pada 23 September lalu, memang di luar jangkauan fikiran serta mengundang pelbagai mainan perasaan.

"Saya diamanahkan untuk menjemput Prof. untuk menjadi salah salah seorang daripada panel antarabangsa untuk pembesaran Masjidil Haram."

Kata-kata yang tidak sampai dua minit inilah yang membuatkan Mawi tidak keruan, terkejut, terkedu seketika malah sehingga tidak lena tidur semalaman itu.

Semuanya bermula semasa beliau di luar negara untuk menghadiri satu majlis penganugerahan ke atas UIAM. Malah Pasar Namdaemon di Seoul, Korea Selatan menjadi saksi penerimaan berita gembira itu.

"Saya tambah terkejut apabila nama tiga lagi panel diberitahu itu adalah mereka yang sememangnya popular dan terkenal di dunia. Spontan saya merasakan diri ini tidak berkelayakan.

Soalan seperti: "Mengapa saya dipilih?" cuba saya ajukan kepada si pemanggil. Namun diberitahu, pemilihan ini telah melalui penapisan yang muktamad daripada Raja Abdullah, ketua kerajaan Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Tanah Suci.

"Sekembalinya ke Malaysia, saya dapati semua urusan tiket malah surat tawaran telah dilampirkan serta dihantar menerusi e-mel.

"Malah saya hanya perlu mengambil visa di kedutaan Arab Saudi untuk pertemuan pertama yang diadakan pada 4 dan 5 Oktober 2008.

"Malah apabila terima pelantikan itu, saya tidak memberitahu sesiapa. Saya hanya beritahu isteri pada malam sehari sebelum tarikh penerbangan.

"Bagi saya benda ini bukan yang perlu dibanggakan sangat kerana tanggungjawab yang terpikul itu adalah berat. Apatah lagi ia adalah amanah daripada Pencipta kita. Allah SWT," jelas beliau merendah diri.

Walaupun beliau adalah arkitek berpengalaman dan menjadi pelopor dan pakar dalam unit perancangan bandar dan seni bina Islam.

Sambung Mawi lagi, mesyuarat pertama yang berlangsung awal Oktober itu dihadiri empat orang panel iaitu dari Arab Saudi, Switzerland dan Turki selain beliau menghadiri bengkel khas tersebut.

Tiga arkitek

Sayangnya, arkitek dari Switzerland terpaksa menarik diri kerana dia bukan Muslim. Kumpulan panel itu kemudiannya disertai tiga arkitek, seorang dari Algeria dan dua dari Lebanon, menjadikan enam orang kesemuanya.

"Pada peringkat awal, jawatankuasa ini ditugaskan untuk menggubal satu wawasan yang merangka garis panduan untuk merencanakan bagaimana seharusnya pembangunan semula Mekah.

"Khususnya pembesaran Masjidil Haram di dalam sebuah dokumen yang dinamakan Vision Brief. Ini adalah pembesaran kali ketiga Masjidil Haram," jelas beliau.

"Sungguhpun apa yang hendak divisikan ini tiada garis panduan atau ia adalah free ticket dan wang bukanlah masalah kerana diumpamakan kami diberi blank cheque, hakikatnya itu adalah jauh lebih mencabar. Ini kerana banyak perkara yang perlu difikirkan.

"Kita tidak mahu usaha ini sehingga melampaui dan dibimbangi ia tersasar daripada konsep pembangunan di dalam Islam itu sendiri. Di mana Islam amat menekankan perihal tauhid, rububiah, khilafah dan tazkiah (niat).

"Di samping itu, aspek kesederhanaan juga menjadi pokok keutamaan agar selaras dengan falsafah Islam, kesederhanaan itu tanda kebenaran (simple is sign of truth)," terang Mawi.

Apa yang boleh digambarkan ialah Masjidil Haram itu akan berubah menjadi lebih luas, sebuah masjid yang mesra alam, selamat dan ia seolah-olah mengembang dan menguncup mengikut musim kemuncak dan sebaliknya.

Mengulas lanjut aspek-aspek dan pokok permasalahan yang perlu difikirkan, kata Mawi, panel yang dilantik ini perlu mengambil kira soal pembesaran. Namun ia tidak meminggirkan konsep masjid yang mesra alam.

Reka bentuk baru itu harus tidak menyumbang kepada pemanasan global, pembaziran, keselamatan di waktu kecemasan dan mempunyai sentuhan kerohanian apabila berada di dalam masjid.

Aspek pengurusan pembuangan sisa pepejal, pengangkutan, pengurusan berkaitan air zamzam dan juga tidak boleh melindungi pandangan jemaah terhadap Kaabah, terutama ketika sedang melakukan ibadat tawaf serta paling penting nilai sejarah kota tersebut harus dipelihara.

"Panel ini ditugaskan untuk memikirkan semua perkara di atas dan kemudiannya menghasilkan dengan beberapa cadangan dan garis panduan bagi membantu perancangan dan reka bentuk pembesaran kelak.

"Kami akan beri penerangan, memantau, menilai dan membuat laporan sebelum menghantar cadangan kepada jawatankuasa untuk dipersembahkan kepada Raja Abdullah," katanya.

Menurut Mawi, di bawah panel ini, terdapat 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, Afrika Selatan serta Malaysia.

Mereka dibahagi kepada dua kumpulan; enam adalah Vision Architect yang menghasilkan idea. Sepuluh lagi adalah Application Architect, yang akan memikirkan tentang perkara-perkara praktikal.

Kekuatan tersendiri

"Mereka ini bukannya bertanding untuk idea tetapi pemilihan arkitek-arkitek ini adalah atas cadangan panel kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri, kepakaran dan kecenderungan dalam mereka bentuk.

"Setiap arkitek ini akan membentangkan kertas kerja masing-masing di mana ia menyentuh aspek-aspek seperti ritual ibadah/ketuhanan, mesra alam, kerohanian, kemasyarakatan, bahan-bahan atau material yang bakal digunakan dan teknologi yang digunapakai," kata Mawi yang turut berkongsi idea-idea radikal yang diterima panel daripada para arkitek sepanjang penglibatan tersebut.

Beliau juga adalah antara orang yang terawal dan diberi tanggungjawab mereka pelan bangunan kampus utama UIAM di Gombak dan di Kuantan serta Dekan pertama KAED.

Malah menerusi pemerhatiannya, pembangunan seluas 650 meter ini bakal siap dalam masa kurang daripada dua tahun kerana kewangan tidak menjadi masalah yang besar kepada kerajaan Arab Saudi.

Ditambah pula, Raja Abdullah menganggap dirinya sebagai 'khadam' atau hamba serta bertanggungjawab untuk memberikan keselesaan kepada semua jemaah yang datang ke Masjidil Haram.

Menurut Mawi, Raja Abdullah mempunyai kata putus untuk mengambil satu pelan dan melaksanakannya, mengambil idea-idea yang bagus daripada kumpulan itu dan kemudian mencantumkannya ataupun mengambil satu-satu perkara daripada keseluruhan pelan tersebut.

Kongsinya lagi, beliau tidak pernah menjangkakan pengiktirafan serta kepercayaan sebegini.

Beliau sebelum ini terlibat dalam kerja-kerja mereka pelan bangunan dan menubuhkan kuliah KAED di UIAM, dilantik sebagai Pengarah Reka Bentuk, Pelan Induk Landskap untuk Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 2007 lalu dan pelbagai lagi.

Apapun, kata Mawi, pemilihan beliau sebagai panel pembesaran Masjidil Haram mungkin berkait rapat dengan doanya di hadapan Kaabah sewaktu menjadi pensyarah jemputan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti King Abdul Aziz, lebih 20 tahun lalu.