Pages

Tuesday, 25 November 2008

16 Sebab Kegagalan Perniagaan

16 Sebab Kegagalan Perniagaan
Oleh: Irfan Khairi

Sudah pasti, tiada siapa inginkan kegagalan dalam
perniagaan, namun kegagalan perniagaan tetap terjadi. Ianya
dikatakan lebih daripada 90% perniagaan yang dimulakan mengalami
kegagalan.

Berikut adalah sebab-sebab kegagalan perniagaan. Pastikan anda
menjauhinya!

1: Tiada matlamat
Tiada matlamat yang jelas apa yang ingin dicapai oleh perniagaan
yang dibina. Apakah matlamat perniagaan anda dalam masa 1 tahun
dari sekarang? Apakah matlamat perniagaan anda dalam masa 3 tahun
dari sekarang? Apakah matlamat perniagaan anda dalam masa 5 tahun
dari sekarang? Apakah matlamat perniagaan anda 10 tahun dari
sekarang? Matlamat akan menentukan arah tuju sesuatu perniagaan.
Tanpa matlamat yang jelas, perniagaan tidak mempunyai daya dan
motivasi untuk berkembang.


2: Tidak mengutamakan pelanggan
Pelanggan merupakan aset utama apa sahaja perniagaan. Utamakan
pelanggan oleh kerana apa sahaja perniagaan berfungsi untuk
memenuhi keperluan pelanggan. Ianya sering dikatakan dalam
buku-buku perniagaan bahawa pelanggan adalah raja!

3: Tidak usahakan jualan
Keuntungan perniagaan datangnya dari jualan. Amat jarang sekali
sesuatu jualan akan datang dengan sendiri. Usahawan perlu
mengusahakan untuk mendapatkan jualan. Pastikan momentum diteruskan
untuk mendapat jualan demi jualan oleh kerana tanpa jualan, tiada
keuntungan!

4: Tidak sabar
Naluri ramai usahawan adalah untuk menjadi kaya dengan segera.
Perniagaan perlu dilihat untuk mendapat keuntungan jangka waktu
panjang dan bukan meraih keuntungan maksima pada jangka waktu
singkat.

5: Gagal meletakkan prioriti
Ianya dikatakan, 20% daripada usaha akan menghasilkan 80% daripada
pulangan. Kesilapan ketara bagi mereka yang tidak bijak meletakkan
prioriti adalah memberi fokus kepad 80% usaha perniagaan yang hanya
memberi 20% daripada pulangan. Agihkan kerja-kerja perniagaan yang
tidak memerlukan masa dan tenaga anda kepada orang lain supaya
tenaga dan masa anda dapat ditumpukan pada aktiviti 20% yang
memberi keuntungan 80%.

6: Melakukan sesuatu di luar bidang
Sebaiknya, jalankan perniagaan di mana letaknya kekuatan anda.
Memulakan perniagaan yang bukan dalam kekuatan anda hanya akan
mengurangkan motivasi anda.

7: Tidak mempunyai daya saingan pada produk atau perkhidmatan
Persaingan semakin sengit dalam arena perniagaan. Sesuatu
perniagaan perlu mempunyai daya saingan yang hebat berbanding
dengan pesaing dari segi lebih baik, atau lebih murah, atau lebih
pantas dari pesaing. Tanpa daya saingan untuk membezakan anda
dengan pesaing, ianya hanya akan menenggelamkan perniagaan anda.

8: Produk tidak memenuhi keperluan pelanggan
Mempunyai produk untuk dijual adalah langkah utama memulakan
perniagaan. Namun, dengan mempunyai produk sahaja, tidak mencukupi.
Produk yang dijual perlu dapat memenuhi keperluan pelanggan.
Mungkin anda ingin jual bahan kosmetik untuk memutihkan kulit,
tetapi produk anda bukan sahaja memutihkan wajah pengguna, ianya
menyebabkan kulit berminyak di wajah pengguna pula. Maka, produk
tersebut tidak dapat memenuhi keperluan pengguna.

9: Produk dan perkhidmatan pelanggan yang tidak berkualiti
Zaman ini, pelanggan mementingkan kualiti produk dan perkhidmatan
pelanggan
. Oleh kerana persaingan semakin tinggi, terdapat
berbagai-bagai pilihan yang boleh dibuat oleh pelanggan. Produk dan
perkhidmatan yang berkualiti akan menjadi pilihan utama.

10: Gagal mengenalpasti pelanggan
Siapakah bakal pelanggan anda? Dimana komuniti bakal pelanggan
anda? Apakah kemampuan kewangan bakal pelanggan anda? Bagaimana
caranya anda boleh mencapai bakal pelanggan anda? Strategi
perniagaan adalah menetapkan tumpuan pasaran anda (niche market).
Dengan menetapkan tumpuan pasaran anda, ianya adalah lebih mudah
mengenalpasti pelanggan anda untuk melakukan sebarang jualan.

11: Lemah dalam urusan kewangan
Fahami angka kewangan perniagaan anda. Pastikan setiap transaksi
perniagaan diambil kira dan walaupun bunyinya mudah, namun, terlalu
banyak perniagaan membelanja lebih daripada apa yang diterima.
Bijak dalam berbelanja untuk perniagaan, walaupun usahawan perlu
mengambil risiko kewangan, namun risiko yang terbaik adalah risiko
yang telah diselidik.

12. Gagal mengikut trend semasa dan pasaran
Trend dan pasaran berubah mengikut masa. Satu ketika dulu, walkman
menjadi pilihan utama muda mudi berhibur, kini trend sudah berubah
menjadi pemain MP3! Usahawan perlu peka kepada trend semasa dan
pasaran supaya perniagaan sering dikemaskini mengikut arus zaman.

13: Perbelanjaan overhed yang tinggi
Seringkali kos overhed memakan segala keuntungan perniagaan.
Pastikan kos overhed adalah pada minimum. Kos overhed termasuk kos
elektrik, kos pekerja, kos premis, kos air, kos Internet dan
sebagainya. Kos overhed akan sentiasa dikenakan setiap bulan.
Sekiranya kos overhed mencecah RM20,000 setiap bulan, maka,
keuntungan perniagaan perlu melebihi RM20,000 hanya untuk mendapat
keuntungan.

14: Tiada perancangan perniagaan
Tidak melakukan perancangan adalah merancang untuk gagal. Sediakan
pelan dan langkah-langkah untuk mengembangkan perniagaan anda.
Aturkan strategi pemasaran dalam mendapat pelanggan yang ramai.
Perniagaan menjadi cemerlang bukan kerana nasib, tetapi kerana
perancangan perniagaan yang lengkap.

15: Perancangan tanpa tindakan
Perancangan hanyalah langkah pertama. Perancangan tanpa tindakan
susulan tidak akan membuahkan hasil! Pastikan apa yang dirancang,
diimplementasikan. Apa akan terjadi sekiranya apa yang dilaksanakan
tidak menjadi dan gagal? Tidak mengapa, kegagalan akan mengajar
anda untuk mengubah perancangan. Kegagalan adalah guru yang paling
baik dalam perniagaan sekiranya anda membenarkan diri anda
mempelajari dari kesilapan.

16. Gagal berhubung dengan pekerja
Sememangnya agak sukar menjalankan perniagaan dengan sendiri tanpa
mengagihkan kerja kepada pihak lain. Fahami kehendak dan keperluan
pekerja oleh kerana pekerja akan membantu memajukan perniagaan
anda. Hubungan yang baik dengan pekerja akan memberi motivasi
kepada pekerja untuk berusaha dengan lebih tinggi dalam memajukan
perniagaan anda.

Dengan mengetahui dan memahami sebab-sebab kegagalan perniagaan,
ianya dapat membantu anda menghindari dari kegagalan perniagaan.
Namun begitu, perlu diingat juga bahawa, sekiranya sekiranya rezeki
perniagaan tidak menyebelahi anda dan anda menghadapi kegagalan,
gagal sekali, bukan bermaksud gagal selamanya. Teruskan usaha oleh
kerana kejayaan sering dijumpa disebalik kegagalan!

Thursday, 20 November 2008

‘Satu Keluarga Satu Penapis Air’.


BERBEKALKAN pengalaman 19 tahun dalam pemasaran berkaitan penapis air, Mohd. M. Said menggembeling tenaga, idea dan keberanian menghasilkan produk yang memang dinanti-nantikan pengguna Muslim iaitu Penapis Air Hijrah Aura Ion Beralkali.

Malah menurut Mohd. selaku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Toyibbah Network Sdn. Bhd. (HTNSB) yang beroperasi di Tangkak, Johor, pihaknya juga merancang melahirkan seberapa ramai usahawan Muslim tulen sesuai dengan moto ‘Satu Keluarga Satu Penapis Air’.

Yakin beliau, hasrat ini mampu direalisasikan menerusi penyediaan beberapa pilihan pakej, apatah lagi HTNSB mensasarkan 500 stokis di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2008.

Ikuti temu bual wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ZAKARIA IDRIS bersama Mohd. dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

MEGA: Bagaimanakah datangnya idea untuk menghasilkan produk Penapis Air Hijrah Aura Ion Beralkali?
MOHD.: Idea ini datang setelah melihat pelbagai penapis air di pasaran terlalu tinggi harganya hingga mencecah RM2,000. Sungguhpun ada di antaranya menyediakan skim bayaran ansuran, ia boleh dikira agak membebankan pelanggan. Apabila tamat bayaran, harga menjadi sekali ganda dan berunsur faedah atau riba. Keuntungan syarikat tersebut berlipat kali ganda tanpa memberi pulangan yang tinggi kepada usahawan.

Oleh itu, kehadiran produk penapis air Hijrah ini diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan khususnya orang Islam. Penapis air kami dijual pada harga RM1,523 sama ada tunai atau kredit.

Kami menyediakan bayaran ansuran dengan kadar yang dikira berpatutan iaitu pelanggan hanya perlu membayar RM65 sebulan selama 23 bulan dan bulan ke 24 hanya RM28.

Skim kami tidak membebankan pelanggan dan bebas daripada unsur riba.

Apakah keistimewaan penapis yang diketengahkan oleh syarikat HTNSB?
MOHD.: Penapis Air Hijrah Aura Ion Beralkali menggunakan gabungan teknologi canggih dari Korea, United Kingdom dan Jepun, pengujian dan pengesahan mengikut piawaian antarabangsa dari Sirim No2006KL1088. Sistem penapisan kami dapat menapis dan menyingkirkan lebih daripada 99 peratus pencemaran, klorin, bakteria, kulat dan logam berat merbahaya dalam air.

Malah melalui teknologi inframerah jauh dan batu mineral semula jadi produk ini mampu membekalkan tenaga, mineral semula jadi dan kalsium kepada air minuman anda. Sekali gus memberi daya hidup kepada sel-sel darah, memperbaiki sistem pengaliran dan meningkatkan tahap kesihatan anda sekeluarga.

Yang unik dan istimewanya penapis air Hijrah ini ialah ia bebas daripada penggunaan tulang haiwan di dalamnya dan katrij keluaran syarikat kami hanya menggunakan batu batan dan tempurung kelapa sebagai gantian tulang haiwan yang diimport dari Filipina.

Selain itu, kos penyelenggaraan juga murah, ada setengah penapis air memerlukan tiga atau empat katrij untuk ditukar dalam tempoh setahun yang melibatkan kos di antara RM300 atau RM400, tetapi penapis air kami hanya memerlukan belanja tidak sampai RM100 untuk setiap tahun.

Di samping itu, kandungan PH kami tinggi menghampiri air zam zam, amat sesuai untuk meneutralkan asid di dalam badan. Kajian para saintis menyatakan pelbagai penyakit berpunca daripada sel tubuh yang berasid dan ia terbentuk daripada pemakanan seharian kita.

Oleh itu, mineral beralkali yang terdapat di dalam air minuman boleh membantu meneutralkan sisa buangan berasid sebagai pencegahan terhadap pelbagai penyakit seperti gout, kencing manis, sakit sendi dan sebagainya termasuk kanser.

Hal ini diakui oleh pengarah Majlis Air Antarabangsa, Dr. Mona Harisson. Beliau mengatakan sel kanser mati dalam air beralkali, virus dan agen jangkitan lain tidak boleh hidup di persekitaran alkali dan air beralkali baik untuk insomnia dan Colic. Sel yang sihat akan bersifat alkali dan sel yang rosak atau tidak sihat bersifat asid.

Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?
MOHD.: Kami memilih produk penapis air adalah kerana ia merupakan produk keperluan dan bukan produk mewah. Sungguhpun permintaan terhadapnya sangat tinggi di pasaran, tetapi kebanyakan pelanggan tidak berkemampuan untuk membeli apa lagi secara tunai.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?
MOHD.: Dalam perniagaan, rintangan dan cabaran tetap ada di depan mata seperti, persaingan dengan syarikat gergasi, pandangan rendah masyarakat Islam terutamanya terhadap produk keluaran Muslim dan sebagainya.

Pun begitu, pengalaman selama 19 tahun dalam bidang pemasaran telah mematangkan saya dan faham akan kehendak pengguna jika satu-satu produk itu berada di pasaran.

Kita hanya meniru dan mengubah suai produk tersebut sesuai mengikut kehendak pasaran khususnya untuk kegunaan umat Islam. Alhamdulillah, sekarang orang Islam telah sedar bahawa kuasa membeli adalah amat tinggi daripada masyarakat Islam. Sebab itulah hanya dengan bantuan orang Islam sahaja ekonomi ummah boleh berkembang.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?
MOHD.: Apabila pelanggan Islam khususnya, yang menggunakan produk kami, mereka mengucapkan terima kasih kerana mengeluarkan produk mengikut hukum syariah tanpa riba serta produk yang halal. Hal ini telah menyentuh perasaan dan saya merasa bangga dapat membantu mereka keluar daripada kepompong produk yang bertentangan dengan Islam.

Saya juga dapat melahirkan ramai usahawan yang berjaya dengan memperoleh pendapatan RM2,000 ke atas. Apabila usahawan menjadi stokis, 70 peratus bayaran daripada pelanggan sebanyak RM65 setiap bulan selama dua tahun, usahawan akan mendapat RM45 selama dua tahun juga.

Bagi mereka yang berminat menjana pendapatan bolehlah menjadi stokis kami dengan permulaan modal yang berpatutan. Mereka bolehlah menghubungi talian 06-978 8384 atau layari laman web kami di alamat http://www.hijrahwater.com/

Apakah pandangan saudara berkaitan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?
MOHD.: Tidak dinafikan 9/10 punca rezeki datang daripada perniagaan, tetapi kita harus ingat bentuk perniagaan yang kita lakukan, adakah produk yang dijual atau konsep perniagaan itu mengikut kehendak syarak.

Sebagai contoh kita menjual ikan dengan menipu timbangan, menjual barang dengan skim pinjaman berunsur riba, menjual daging dengan mencampurkan daging lama dengan daging baru tanpa pengetahuan pelanggan tetapi mengenakan bayaran mengikut daging yang baru dan sebagainya, hukumnya adalah haram dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan akhirnya, perniagaan ditutup.

Maka 9/10 punca rezeki yang dikatakan itu tidak berjaya kerana bercanggah dengan hukum Islam. Kegagalan itu bukan disebabkan bidang perniagaan tetapi konsep perniagaan itu sendiri telah menutup pintu rezeki dalam perniagaan tersebut.

Tuesday, 11 November 2008

5 Langkah Membina Minda Jutawan

5 Langkah Membina Minda Jutawan
Oleh: Irfan Khairi

Kall, pernahkah anda fikirkankan, apakah sebenarnya di dalam
minda seorang jutawan? Apakah persediaan minda yng dilakukan untuk
menjadi seorang yang berjaya?

Pernahkah anda dengar cerita tentang seseorang yang tiba-tiba
mendapat durian runtuh (dari segi kewangan, bukan durian!), tetapi,
tidak lama kemudian segala yang dimiliki hilang entah ke mana?

Ini adalah kerana minda seseorang itu belum bersedia menerima
situasi durian runtuh tersebut. Maka, terjadinya konflik antara
minda yang belum bersedia dan tingkah lakunya.

Tulisan saya kali ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan
keatas orang-orang yang berjaya, tidak kira jutawan, ahli sukan,
personality atau ahli politik. Teknik yang sering digunakan dalam
menguasai minda di gelar NLP (Neuro linguistic programming).
Artikel ini menyentuh satu cara menguasai minda yang sering
digunakan dalam mempersedia dan mencapai apa sahaja kejayaan.

Fikiran manusia adalah sesuatu yang amat kompleks di mana ia
dikatakan manusia belum lagi menggunakan kuasa minda sepenuhnya.
Minda anda adalah sesuatu yang amat canggih sehingga tiada komputer
di dunia dapat berfungsi seperti minda anda. Bagaimanakah caranya
menggunakan kuasa minda untuk berjaya? Berikut adalah 5 langkah
untuk membangunkan minda jutawan...

Langkah 1: Penuhi fikiran anda dengan apa yang anda mahukan.

Ia dikatakan bahawa seseorang itu akan menjadi apa yang
difikirkannya pada kebanyakan masa. Apa yang anda sering fikirkan?
Usahawan yang berjaya sering memenuhi mindanya dengan kejayaan
berurusniaga. Ahli sukan yang berjaya sering memenuhi mindanya
dengan gambaran memenangi pingat.

Ahli sukan popular, Lance Armstrong pernah menghidap penyakit barah
yang amat serius sehinggakan para doktor menganggap beliau tidak
akan dapat meneruskan hidup. Lance Armstrong bukan sahaja
membuktikan beliau boleh pulih dari barah, tetapi dengan
menggunakan teknik memenuhi fikirannya dengan gambaran kejayaan
dalam bidang lumba basikal, Lance kemudiannya memenangi
pertandingan basikal yang paling sukar sekali, iaitu Tour de France
sebanyak 7 kali!

Dengan memenuhi minda anda dengan apa yang anda mahu, ianya akan
menjadi sebahagian dari minda separuh sedar anda sehingga minda
anda sendiri akan mendorong anda mencapai apa jua kejayaan.

Langkah 2: Sebutkan dengan jelas

Sebut dan luahkan secara verbal dengan jelas apa yang ada di minda
anda. Ini adalah kerana, dengan menyebut, minda akan berfungsi
dengan lebih sempurna. Teknik ini digelar teknik affirmation.
Teknik ini merupakan kata-kata yang membantu dalam membangunkan
diri sendiri. Affirmation yang paling popular digunakan di dunia
adalah:

"In every day and every way I am getting better and better".

"Setiap hari, dan setiap cara, saya menjadi insan yang semakin baik"

Ianya adalah penting untuk kata-kata anda adalah sesuatu yang
benar. Maksudnya, sekiranya setiap hari anda menjadi semakin malas,
maka, kata-kata itu tidak akan membantu, tetapi hanya akan
mengurangkan motivasi anda oleh kerana minda akan menemui konflik.

Sebagai contoh, sekiranya anda menyebut berulang kali "Saya akan
pergi ke Gym untuk bersenam dan menjadi semakin kuat", tetapi anda
hanya duduk di rumah dan bermain Playstation 2 anda 24jam sehari,
kata-kata affirmation tersebut tidak akan membantu anda. Malah,
ianya akan mengurangkan motivasi anda.

Apabila memberi affirmation, sebutkan yang benar sahaja seperti
"Saya kini tiada wang, saya perlu menyiapkan novel saya yang akan
membantu dalam kewangan saya!". Kemudian, terus ke komputer anda
dan mula kerjakan novel anda itu!


Langkah 3: Bayangkan anda berjaya mendapat apa yang anda inginkan

Dalam minda, anda perlu membayangkan masa hadapan di mana anda
dapat melihat bahawa anda telah mencapai kejayaan tersebut.
Sekiranya anda inginkan kemewahan, bayangkan dalam 10 tahun lagi
apa yang anda telah capai, mungkin rumah banglo 3 tingkat bersama
swimming pool dan 3 buah kereta mewah di garage. Sekiranya anda
seorang ahli sukan, maka bayangkan anda memenangi acara anda.
Berdiri di podium dan disarungi pingat emas.

Lebih jelas anda menggambarkan bahawa anda berjaya mendapat apa
yang anda ingini, maka, lebih hebat minda anda akan berfungsi untuk
mencapai cita-cita tersebut. Bayangkan suasana, waktu, warna, cuaca
dan sebagainya dengan jelas.

Lebih lama anda dapat menyimpan gambaran ini di dalam minda anda,
lebih hebat efeknya kepada anda. Simpan gambaran tersebut selama 1
minit... 5 minit... 10 minit dan sebagainya. Seorang pemain bola sepak
terkenal sebelum memulakan perlawanan bola sepak, menyimpan
gambaran kejayaannya di padang dalam kepalanya selama 90 minit-
iaitu jangka masa seluruh perlawanan!

Kekerapan anda menggabarkan ini juga akan membantu, di mana
sekiranya anda lebih kerap membayangkannya setiap hari, maka, ia
akan mudah menjadi untuk anda. Jangan lupa- anda akan menjadi apa
sahaja yang anda fikirkan pada kebanyakan masa.


Langkah 4: Masukkan emosi

Manusia adalah insan yang beremosi. Emosi digunakan untuk membakar
semangat anda dalam mencapai apa sahaja kejayaan. Dalam memikirkan
apa yang anda mahu, affirmation, dan juga membayangkan anda
mencapainya, masukkan unsur-unsur emosi di dalam kesemuanya.

Menurut Abraham Maslow, emosi adalah asas utama yang membentuk
hireraki keperluan Maslow. Bayangkan diri anda gembira, keluarga
anda gembira, teman-teman anda mengucapkan tahniah, seluruh suasana
di sekeliling anda yang gembira dengan pencapaian anda. Ketika
affirmation juga, luahkan dengan penuh semangat dan emosi oleh
ekrana ianya akan membantu anda.

Emosi dalam setiap langkah ini bagaikan minyak membakar motivasi
anda.

Langkah 5: Percaya dan yakin ini terjadi

Langkah terakhir, adalah dengan gambaran apa yang anda inginkan,
kata-kata affirmation yang bermakna, visual di dalam minda anda
telah mencapai apa yang anda inginkan bersama emosi yang membakar,
kesemuanya adalah tidak guna sekiranya anda tidak percaya dan yakin
anda akan berjaya.

Sunday, 2 November 2008

Rahsia Jamu Mak Dara

KATA peribahasa, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Kata-kata itu sesuai ditujukan kepada dua beranak, Halimah Shuib dan Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali.

Siapa sangka, dengan hanya satu produk — Jamu Mak Dara — ia menjulang nama kedua-duanya, malah dalam tempoh dua tahun kewujudannya, produk itu terus mencatat prestasi mengagumkan. Bermula daripada satu paket jualan pada awal 2006, ia kini mencecah minimum 300 botol sehari.
Barangkali mungkin ramai mengenali jenama Jamu Mak Dara — produk berasaskan herba yang direka khusus untuk wanita dan lelaki bagi meningkatkan prestasi kesihatan.

Bagi yang menggunakan jamu itu, pasti terbayang wajah pengasasnya, Halimah Shuib dan mungkin menjadikan wanita ini sebagai contoh. Meskipun usianya 65 tahun, susuk tubuhnya persis anak dara, malah masih menawan dan ada tarikan.

‘Penangan’ Jamu Mak Dara membuatkan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSDN) yang juga anak keempat Halimah, Syed Muhammad Gadaffi, 35, tidak duduk diam.

Mungkin ini yang dikatakan rezeki dan tuah yang diiringi dengan kesabaran tinggi. Siapa menduga dua beranak itu yang pernah hidup melarat kini meniti kejayaan.

“Saya bersama ibu pernah berkongsi makan mi segera, tidak mampu bayar sewa rumah, bengkel membaiki kereta dijadikan rumah selama tiga tahun, tumpang rumah orang dan paling menyedihkan, ibu tidur di dalam ‘stall’ (gerai tolak) selama dua tahun manakala saya tumpang tidur di rumah seorang rakan berbangsa Cina,” katanya yang lebih dikenali sebagai Abib.

Melayari hidup anak kelahiran Kuala Lumpur (KL) itu, Abib dibesarkan di Selayang sebelum pulang ke kampung di Rengit, Batu Pahat, Johor untuk tinggal bersama nenek sementara ibunya bekerja di Genting Highlands sebagai tukang masak.

Kehidupannya sejak kecil hingga besar, mendidik Abib untuk berdikari. Pada usia sembilan tahun, Adib membantu ibunya menjual kuih-muih di Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang.

Abib pernah dimarahi guru kerana berniaga, namun itu tidak mematahkan semangatnya mencari rezeki, malah dia mula menjual seawal jam 4 pagi di pintu pagar sekolah bagi mengelak dikenakan tindakan.

Ketika di sekolah menengah di Batu Pahat, selain menjual kuih-muih, selepas waktu sekolah Adib bekerja di kedai makan dari tingkatan 1 hingga 5 bermula jam 3 petang hingga 2 pagi.

“Ketika di Rengit, ibu bekerja di Genting Highlands, jadi saya urus diri sendiri. Untuk dapat duit belanja, saya kerja di kedai makan dengan gaji RM1 sehari.

“Duit yang ada saya guna beli buku, baju dan kelengkapan diri. Yuran sekolah juga saya bayar sendiri dengan duit ini dan ada juga minta bantuan guru untuk tolong jelaskan.

“Untuk jimat belanja, saya goreng lebihan makanan di kedai dan simpan untuk dibawa sekolah atau bawa bekal sekeping coklat sementara air paip dijadikan minuman,” katanya.

Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Adib berhijrah semula ke KL seorang diri dan ada cerita menarik yang disimpan rapi dalam kotak fikirannya selama ini.

“Saya ke KL berbekalkan RM30 saja iaitu duit gaji yang dikumpul selama 30 hari kerja di kedai makan. Saya naik bas dan sampai di Hentian Pudu Raya jam 4 pagi. Kebetulan ada operasi pihak berkuasa untuk menahan pendatang asing.

“Saya ditahan dan tak tahu hendak ke mana, jadi seorang anggota polis mengajak saya tinggal sementara di kuarters polis Dang Wangi. Ketika itu ibu bekerja di istana Brunei sebagai tukang masak.

“Selama empat bulan saya tinggal di sana tapi bukan duduk saja, saya masak, basuh dan gosok baju serta kemas rumah. Mereka baik hati, malah beri duit belanja,” katanya.

Selepas menetap lama di rumah itu, Adib berpindah ke rumah seorang rakan berbangsa Sikh di Sentul dan tinggal di situ hampir tujuh bulan.

Adib memujuk ibunya di Brunei supaya pulang ke KL dan apabila Halimah sampai ke ibu kota, mereka berdua tidur di bekas bengkel kenderaan milik bapanya. Beralaskan kertas surat khabar serta lantai dan dinding yang ada kesan cat hitam, dua beranak itu hidup di sana selama tiga tahun.

“Dalam tempoh itu, saya bekerja sebagai penjual cadar. Ibu pula membeli gerai untuk berniaga menjual nasi campur. Masa itu memang sukar, sudahlah kami ditipu apabila membeli gerai berharga RM2,700 sedangkan harga sebenarnya hanya RM1,500, malah untuk dapatkan lesen sangat sukar sehingga saya terpaksa bermalam di depan bangunan DBKL untuk berbuat demikian,” katanya.

Ketika masing-masing rancak bekerja, bengkel berkenaan diambil semula tuan tanah. Adib terpaksa menumpang tidur di rumah rakan berbangsa Cina manakala ibunya tidak mahu ikut sama, sebaliknya tidur di dalam gerai tolak terbabit.

“Ibu tidak mahu tidur di rumah rakan saya kerana berlainan bangsa dan dia sendiri buka kedai 24 jam sehari. Dia sanggup tidur di dalam gerai itu, malah untuk mandi pula dia terpaksa pergi ke hotel berdekatan dan perlu membayar RM1,” katanya.

Selama dua tahun mereka hidup dalam keadaan begitu sehingga Adib mampu menyewa rumah di Segambut. Selepas itu Adib bekerja di Pasar Borong Online iaitu syarikat yang menjual ikan melalui internet.

Tugas Adib, dia bukan saja perlu mengambil pesanan, malah membeli ikan di pasar borong Selayang, menyiang dan menghantar terus ke rumah pelanggan.

Syarikat terbabit ditutup tidak lama kemudian dan berbekalkan pengalaman yang ada, Adib membuka syarikat sendiri Imalimahome yang menjalankan kegiatan sama.

“Ketika perniagaan semakin maju, kakitangan yang saya upah pula buat hal. Bukan saja dia berhutang dengan tauke ayam sebanyak RM10,000, malah van yang saya beli daripada rakan turut dilarikan.

“Ketika itu saya tak mampu nak bayar sewa rumah, malah terpaksa meminjam daripada rakan untuk bayar hutang ayam. Ketika ini saya terpaksa kongsi mi segera bersama ibu.

“Namun Tuhan Maha Kaya. Ketika saya dilanda masalah, ada seorang rakan bisnes berbangsa Cina hubungi saya bertanya khabar dan apabila dia tahu masalah saya, terus dia bersetuju memberi bantuan RM6,000 sebagai modal untuk saya memulakan bisnes,” katanya.

Dengan wang sebanyak itu, Adib bersama ibu mengambil keputusan menjalankan khidmat katering, namun menghadapi masalah apabila ditipu serta lambat menerima bayaran daripada pelanggan.

Kerana menanggung beban hutang yang banyak, Adib menutup operasi katering dan kemudian Halimah menghasilkan buku resipi makanan tradisional Johor.

“Ibu ditemuramah seorang wartawan majalah mengenai buku resipi terbabit dan kemudian wartawan itu bertanya rahsia kecantikan ibu yang memiliki badan langsing dan cantik. Kata ibu, dia amalkan jamu turun-temurun dan wartawan itu berkata mengapa tidak dikomersialkan,” katanya.

Berikutan itu, timbul idea menjadikan amalan Halimah memakan jamu sejak usia belasan tahun lagi sebagai satu perniagaan, malah wartawan terbabit turut menulis artikel mengenai jamu warisan itu.

“Melalui tulisan itu, ramai menghubungi untuk membeli dan kami bertungkus-lumus menyediakan jamu secara paket. Kami hubungi pembaca yang menelefon dan hantar ke rumah mereka tidak kira mereka minta sepaket atau banyak mana,” katanya.

Adib berkata, nama Jamu Mak Dara yang digunakan itu diambil sempena nama panggilan neneknya di kampung yang dipanggil Mak Dara.

Sejak itu, perniagaan Jamu Mak Dara mendapat sambutan sehingga Adib kini berjaya membuka pejabat sendiri di Pusat Bandar Melawati, Hulu Klang.

PROFIL

NAMA: Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali

USIA: 35 tahun

LAHIR: 12 November 1972 di Hospital Kuala Lumpur

JAWATAN: Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd dan Yabibdotcom

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang, Selangor dan Sekolah Menengah Tun Sardon Rengit, Batu Pahat, Johor

ADIK-BERADIK: Keempat daripada enam beradik

BUKAN satu, tetapi ada 12 produk keluaran syarikat Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSB) sejak ia ditubuhkan dua tahun lalu. Ini bererti, kurang dua bulan, satu produk baru di pasarkan.

Keadaan itu menunjukkan bagai ada tarikan atau boleh diibaratkan seperti ‘pisang goreng panas’, sekali gus membuktikan jamu itu ada pengikut sendiri.

Mengulas lanjut, Adib berkata, penggunaan herba sepenuhnya dalam setiap produk antara faktor Jamu Mak Dara jadi pilihan.

“Kami menggunakan sepenuhnya herba bagi menjamin kualiti produk. Bagi memastikan ia menepati piawaian ditetapkan, herba ini dihantar ke kilang pemprosesan di Raub, Pahang hasil kerjasama dengan syarikat Technology Park Malaysia Biotech Sdn Bhd.

“Produk kami diproses, dibungkus dan dilabel di sini selain dipantau kualiti jamu dan paling penting mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Antara produk keluaran Jamu Mak Dara ialah set bersalin lengkap Ibu Halimah berbentuk serbuk dan kapsul, pilis, bedak sejuk, param, rempah mandi, bengkung, jamu pria serta kopi dan teh herba Al-Habsyee.

Ia dihasilkan daripada gabungan formula 32 jenis herba seperti misai kucing, ubi jaga, tongkat ali, manjakani, akar serapat, cabai pintal, cabai batik, halia padi, samba hantu, tahi angin, akar siak, jintan hitam dan cekor.

Abib berkata, setiap produk yang dihasilkan sangat dekat dengan kesihatan lelaki dan wanita, khususnya masyarakat Melayu.

“Setiap produk ada saling kaitan seperti set bersalin, param, rempah mandi dan bengkung. Jadi, kami gunakan herba yang ada untuk saling lengkap melengkapi,” katanya.

Menurutnya, meskipun baru dua tahun beroperasi, dia mempunyai misi untuk memasarkan Jamu Mak Dara ke pasaran global, terutama di Asia Barat dan Eropah.

Katanya, dua tempat itu menjadi tumpuan kerana ada pelancong dari negara terbabit sudah mencuba produknya dan menepati cita rasa mereka.

Selain itu, Abib kini dalam proses terakhir membuka sebuah spa berdekatan pejabatnya yang akan menggunakan produk Jamu Mak Dara, sekali gus menawarkan pakej atau perkhidmatan pada harga lebih rendah.