Pages

Friday, 31 October 2008

Dari hobi jadi perniagaan


ALANG-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkalan lengan. Begitulah tekad yang telah dibulatkan gadis kecil molek ini sebaik dirinya bergelar usahawan.

Lulusan Ijazah Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Farah Rahayu Othman, 29 tahun, sentiasa menjadikan kejayaan ahli keluarga lain dalam dunia keusahawanan sebagai idola dan pemangkin semangat untuk terus ke hadapan.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN berkesempatan menemu bual beliau berkongsi pengalaman mengusahakan Kedai Buku Rhythm yang terletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.

MEGA: Bagaimanakah perniagaan saudari bermula dan mengapa bisnes ini yang menjadi pilihan?

FARAH: Perniagaan Kedai Buku Rhythm merupakan bisnes jenis francais. Namun ia dikendalikan oleh syarikat yang saya tubuhkan sendiri iaitu Qalam Bestari (M) Sdn. Bhd. pada 2004.

Minat dalam dunia perniagaan memang telah berputik sejak dahulu lagi tetapi pada masa itu belum menemui perniagaan yang dikira sesuai atau berkenan di hati.

Namun pada 2003, saya telah pergi ke pameran francais anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan harapan membuat tinjauan awal memandangkan pada pameran itu nanti ada pelbagai jenis francais yang ditawarkan di Malaysia.

Akhirnya, saya dapati bahawa perniagaan buku lebih dekat dengan jiwa saya, memandangkan hobi saya adalah membaca. Lantaran itu, pada Oktober 2004 segala usaha merealisasikan Kedai Buku Rhythm bermula secara serius dan bersungguh-sungguh.

Selain menguruskan perniagaan buku, syarikat saya juga terlibat dalam bidang khidmat rundingan (latihan). Kami telah berkesempatan memberi latihan kepada para lepasan siswazah anjuran Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) pada 2006 manakala setahun kemudian menyediakan kursus untuk penduduk Kampung Sukau, Sandakan, Sabah juga anjuran Felcra.

Kebiasaannya apabila sebut kedai buku, orang selalu membayangkan kedai-kedai yang biasa, jadi apakah yang ditawarkan atau kelainan yang terdapat di Kedai Buku Rhythm?

FARAH: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah Melayu yang amat sesuai dalam usaha kita memupuk minat membaca terutamanya di kalangan kanak-kanak. Bagi saya tabiat membaca patut dipupuk sejak dari kecil lagi.

Mengapa saya memilih untuk menjadi francais Rhythm, salah satunya kerana saya dapati Rhythm ada mengeluarkan buku kanak-kanak yang amat sesuai bagi peringkat umur dua hingga enam tahun. Kandungan buku-buku tersebut menarik dan diminati oleh ramai kanak-kanak.

Selain itu buku-buku keluaran Rhythm juga diterbitkan khas untuk peringkat tadika (prasekolah) yang saya dapati relevan dengan silibus tadika di Malaysia. Memandangkan pihak francaisor sendiri yang mengeluarkan buku-buku tersebut, itulah yang merupakan kekuatan utama Rhythm maka dengan sendirinya Kedai Buku Rhythm yang menjadi pengedar buku-buku tersebut mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri.

Buku-buku prasekolah ini memang mendapat sambutan daripada para pengusaha tadika terutamanya di sekitar Bangi, Selangor. Contohnya; Tadika Little Caliphs, Little Smarties dan Tadika Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ini terbukti apabila tempahan setiap tahun meningkat dari semasa ke semasa.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana anda mengatasinya?

FARAH: Setiap perniagaan mesti ada cabarannya yang tersendiri. Saya juga tidak terkecuali. Bagi saya, cabaran tentunya bagaimana menarik pelanggan dan memenuhi kehendak mereka selain menghadapi persaingan dari kedai-kedai buku yang lain.

Namun bagi saya walaupun dari bidang yang sama, setiap perniagaan itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selain daripada kelebihan dapat membekal buku terbitan francaisor tersendiri, saya harus memberi servis atau perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan saya agar mereka akan datang kembali untuk membeli di kedai saya ataupun menjadi pelanggan setia atau tetap.

Saya juga perlu mempelbagaikan produk kedai saya agar mampu memenuhi kehendak pelanggan di pelbagai peringkat umur dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.

Perancangan akan datang?

FARAH: Insya-Allah jika ada rezeki, saya ingin mengembangkan perniagaan yang sedia ada dan ingin mempelbagaikan lagi bidang yang diceburi.

Saya juga akan cuba untuk menambahkan perkhidmatan di kedai saya seperti membuat percetakan, cenderahati korporat dan penjilidan kulit keras dan lain-lain bagi syarikat-syarikat berkaitan.

Setelah lebih kurang empat tahun dalam dunia perniagaan, apakah kepuasan yang diperoleh dalam bidang ini?

FARAH: Kepuasan saya adalah apabila saya dapat memenuhi kehendak pelanggan contohnya bila pelanggan datang kembali ke kedai untuk membeli barang-barang dan juga bila melihat kanak-kanak dengan seronoknya membaca buku yang terdapat di kedai saya terutamanya terbitan Rhythm. Kepuasan saya juga apabila melihat kemajuan perniagaan saya dari hari ke hari.

Tuesday, 21 October 2008

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Biar kecil asalkan berhasil

========================================
TIP PILIHAN: Biar kecil asalkan berhasil
========================================


Terlalu banyak perniagaan saya lihat "membesar" dengan cepat dan
kemudiannya, habis rebah... kalau tak rebah pun, "surviving".

Take note, saya guankan perkataan "membesar" bukan maksudnya
"mengembang". Perniagaan yang mengembang is good. Perniagaan yang
membesar ni adalah, bila belum mempunyai pelanggan yang ramai, atau
belum ada banyak job, terus menyewa ofis besar... ofis mahal. Belum
jadi hebat, terus beli kereta besar. Belum banyak jobs, terus
dapatkan ramai pekerja... untuk meramaikan pejabat yang besar tu tadi
:)

Perkara ini sering terjadi oleh kerana salah anggap bahawa, untuk
menjalankan perniagaan yang berjaya, perlu ada kesemuanya besar-
pejabat, kereta, pekerja (ramai... bukan besar. kalau pekerja besar,
lain cerita :) ). Usahawan beranggap, kalau semuanya kautim,
semuanya boleh nampak dek mata, perniagaan pun akan jadi besar dan
hebat.

Tidak semestinya!

Pada peringkat awal, apa yang penting, bukanlah pejabat, kereta,
pekerja dan sebagainya, tetapi, apa yang penting adalah pastikan
terdapatnya pelanggan! Pastikan terdapatnya jobs berbayar untuk
dilakukan.

Bila anda mendapatkan semuanya besar-besar, nanti overhead
perniagaan pun besar juga. Dan sekiranya tiada aktiviti perniagaan
atau kurang aktiviti perniagaan untuk menampung overhead yang
besar, maka di situlah banyak perniagaan terperangkap dalam kitaran
"surviving". Maklumlah, overhead sampai RM15,000-RM20,000 sebulan.
Maknanya nak cover cost sahaja perlu business >RM20,000.

Itu baru cost... nak bayar diri sendiri dan promosi perniagaan,
bagaimana pula?

Jadi, berhati-hati bila memulakan perniagaan. Jangan terperangkap
dengan kitaran ini. Seperti saya, dan ramai lagi usahawan-usahawan
lain, start small. Kembang sedikit demi sedikit. Tak salahnya
bermula kecil. Jaringan gergasi BodyShop, Cadbury, HP semuanya
bermula dengan hanya tempat kecil sahaja dengan diri sendiri
sebagai usahawan, penjual dan melayan pelanggan!

Bak kata mentor saya jutawan senyap, Chef Li: Biar kecil, asalkan
berhasil!

Monday, 20 October 2008

Terapi solat


KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Friday, 17 October 2008

SEJARAH AYAT KURSI

SEJARAH AYAT KURSI

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia
telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan
kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu
perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s. a. w. dengan segera
memerintahkan Zaid bt sabit menulis serta menyebarkannya.


Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali
selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar
masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya
dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan
memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga
akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t.

Mengikut keterangan dari kitab"Asraarul Mufidah" sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah
s. a. w. bersabda bermaksud:

"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah
hilangkan segala kefakiran di depan matanya."

Sabda baginda lagi;

"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat,
kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya
daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara
Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal
dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan
Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga,
dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat
Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki
rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan
ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk,
Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda
berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barang siapa
membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah
mewakilkan 2 orang Mala ikat memeliharanya hingga subuh.


Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang
Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang
lain. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak
menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa
membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas
rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya. Barang siapa
membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah
menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang
benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat. Barang siapa
membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan
70,000 Mala ikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya Dari Abdullah bin 'Amr r. a. , Rasullullah s. a. w. bersabda,

" SAMPAIKANLAH PESANKU BIARPUN SATU AYAT...."

Friday, 10 October 2008

Yong tau Fu Halal


Sabtu itu kedai Hikmah Food Specialities Sdn. Bhd. dibuka seperti biasa dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Beberapa pekerja sibuk membungkus pelbagai jenis bahan pramasak untuk hidangan yong tau foo, campuran makanan laut dan tauhu, dalam kuantiti yang banyak.

Pada setiap bungkusan besar bebola ikan, ketam dan sotong, bendi dan cili yang disumbat surimi, wantan dan fucuk, karipap ikan dan jejari ikan hinggalah kepada serbuk supnya, kuah kicap manis, kuah cili, dan bawang goreng, bijan dan kacang tumbuk, tertulis nama destinasi bungkusan itu akan dihantar - sebuah hotel ternama di Jalan Ampang.

Dalam masa yang sama beberapa pelanggan Melayu sibuk membeli bahan yong tau foo pilihan mereka.

Ini tidak menghairankan kerana makanan asal Cina ini sudah popular dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia. Cuma yang membuatkan yong tau foo Hikmah Food Specialities istimewa ialah kerana pengusahanya seorang Melayu, yang mempromosi yong tau foo halal.

Produk yong tau foo Hikmah ini semakin banyak didapati di pasar malam, pasar tani dan pasar raya di negeri- negeri.

Kenapa pilih yong tau foo? soal penulis kepada pengarah urusan syarikat ini Syed Abdullah Syed Hassani, 48, ketika beliau berbicara mengenai asal usul beliau menceburi perniagaan ini.

"Saya mahu mencari kelainan," katanya mengakui yang bukan tidak ramai kawan-kawan mencadangkan perniagaan biasa seperti tom yam, tetapi baginya yong tau foo halal keluaran seorang Melayu, banyak potensinya.

"Susah untuk mencari yang halal pada mulanya dan masalah ini saya jadikan peluang untuk saya memajukan perniagaan," katanya sambil menceritakan untuk sampai ke tahap yong tau foo keluaran syarikatnya dikenali, tidak semudah yang dijangka.

Bapa kepada empat orang anak dan tinggal di Seremban ini mengakui tidak ada ilmu asas membuat yong tau foo, oleh itu beliau mencari rakan kongsi - seorang peniaga pasar malam Zainon Hashim dan Low Pik Woon yang pernah bekerja di kilang tauhu semasa kecil.

Bahkan untuk mendapatkan pinjaman memulakan perniagaan ini juga Syed Abdullah terpaksa bersusah dahulu kerana pertama, 1999 (tahun beliau memulakan perniagaan) adalah waktu kemelesetan ekonomi mula menjenguk.

Kedua, beliau seorang Melayu yang mahu berniaga barang yang bukan tradisi orang Melayu dan ketiga, beliau tidak ada trek rekod berniaga sedangkan bank-bank begitu memilih ketika itu.

"Pernah pada mulanya saya ke sebuah cabang pelaburan kerajaan membawa kertas kerja, tapi belum pun sempat nak tunjuk, saya sudah dileteri lebih setengah jam... orang Melayu tidak tahu berniaga...," katanya.

Perniagaan beliau bermula dengan sejumlah modal sendiri dan RM100,000 pinjaman daripada Bank Pertanian ketika itu untuk menyewa lot bangunan dan menyediakan bilik sejuk.

Pik Woon pada mulanya cuba mengajar pekerja, asas membuat bebola ikan sementara Syed Abdullah menjalankan pelbagai tugas - beliaulah bos, beliau jugalah pekerja yang membancuh bahan ikan dan menggoreng.

Dalam masa yang sama beliau berusaha mencuba pelbagai cara dan resipi sendiri untuk menghasilkan yong tau foo terbaik, lengkap dengan rempah sup, kuah manis dan kuah cilinya.

"Mula-mula mencuba, banyak bahan yang terbuang, kena marah dengan pelanggan pun ada, kerana pekerja saya tak pandai hendak kawal kualiti. Kuah hangus dan sebagainya.

"Saya bekerjasama dengan beberapa pengusaha Cina melalui cara membantu mereka mengamalkan proses yang betul untuk mendapatkan sijil halal dan dalam masa yang sama saya belajar daripada mereka. Tapi biasalah masing-masing ada resipi rahsia sendiri," jelas beliau.

Selepas empat tahun, baru orang mula mengenali produk yong tau foo Hikmah dan Syed Abdullah sudah memberanikan diri membuat pemasaran sendiri, menyertai pameran, membeli mesin baru dan membesarkan premis pengeluaran dan jualan di Taman Industri Bolton, Batu Caves.

Syarikat ini mengilang dan mengedar bahan yong tau foo menggunakan kira-kira 500kg ikan sehari dan jualan mencecah RM250,000 hingga RM300,000 sebulan.

"Margin untung saya kecil sebab saya perlu ikut pemintaan dan pasaran dalam menetapkan harga dan sebagainya," katanya.

Kini Hikmah Food Specialities mempunyai pekerja seramai 40 orang dan sebuah cawangan di Subang.

Syarikat ini akan berpindah ke premis baru yang lebih besar di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di Kampung Batu Muda, Batu Caves, kemungkinan akhir tahun ini bersama 17 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana yang lain.

Syed Abdullah melabur RM3 juta untuk membeli mesin baru dan sebagainya untuk premis barunya.

Beliau memang menantikan peluang yang diberikan Mara ini untuk mengembangkan sayap perniagaannya termasuk ke luar negara, mengedarkan produknya ke pelbagai cabang - hotel, restoran, lebih banyak pasar raya dan sebagainya.

Dalam hal ini beliau berazam untuk maju dalam saingan dengan mendapatkan pensijilan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) dan GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik) melalui Kementerian Kesihatan.

Syed Abdullah yang memiliki ijazah dan sarjana kewangan dan perniagaan, berharap pengiktirafan itu akan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yong tau foonya dan membantu beliau meluaskan pasaran.

Syed Abdullah kini boleh berbangga produk yong tau foo halalnya sama standard dengan produk di pasaran.

Katanya dalam memastikan produk yong tau foonya 100 peratus halal, beliau tidak menggunakan bahan kimia yang tidak menentu atau plasma (protein darah haiwan) yang boleh melikatkan dan melembutkan tekstur bebola atau kek ikan.

"Saya sudah biasa menerima komen perbandingan seperti ini, kenapa bebola orang lain berkilat dan putih, rasa tidak sama dan sebagainya dan setiap kali itu saya akan menambah baik produk saya di mana yang boleh tetapi untuk mengabaikan proses halal, saya tidak buat," katanya.

Ada sedikit kekecewaan ketika beliau menceritakan mengenai proses beliau belajar sampai boleh berdiri dan kini sudah bersedia untuk berlari dengan pengusaha yong tau foo yang lain.

Pertama, tunjuk ajar susah didapatkan baik daripada pesaing kaum lain, mahupun sokongan orang Melayu untuk membekalkan bahan dan produk halal, ejen penjual atau promoter.

"Saya menghadapi masalah pembekal tidak konsisten dan promoter Melayu tidak bersungguh," katanya.

Syed Abdullah bercerita bagaimana pada satu ketika beliau mendapatkan bekalan telur puyuh daripada seorang Melayu (beliau memerlukan 30,000 hingga 40,000 biji telur puyuh sehari), masuk bulan ketiga, orang itu gagal membekalkan jumlah yang dijanjikan dan terpaksa bergantung kepada pembekal bukan Melayu.

Dan promoter yang digajinya di pasar raya pula adakalanya tidak datang membuka stesen mereka dan akibatnya beliau akan dimarahi pihak pasar raya yang sudah tentu tidak mahu mendengar masalah beliau.

Syed Abdullah juga pernah cuba menolong siswazah Melayu berniaga bahan yong tau foo yang beliau bekalkan, tetapi tidak kekal lama.

Untuk ejen pembekal di negeri-negeri pula, syarat beliau ialah mereka perlu keluar modal sediakan bilik sejuk dalam anggaran RM20,000 tetapi ramai yang tidak sanggup kerana mereka takut rugi.

Kenapa tidak menumpang saja stokis makanan beku jenama Melayu terkenal yang ada?. Syed Abdullah jelas menyimpan perancangan sendiri.

"Saya tidak mahu menjadi barisan kedua, kerana cita-cita saya mahu memastikan jenama yong tau foo saya teguh dan ada tempat sendiri," katanya.

Dalam masa yang sama beliau juga menghadapi pesaing Cina yang mempunyai modal besar yang mengawal pembelian bahan ikan kerana ada di antara mereka mempunyai jeti sendiri.

Oleh itu, kata Syed Abdullah, beliau berusaha keras mencari bekalan yang tetap dan terbaik umpamanya beliau kini berunding dengan nelayan di jeti Tok Bali Kelantan untuk mendapatkan bekalan ikan kecil seperti kelisi bagi bahan suriminya.

Syed Abdullah bagaimanapun tidak pernah lemas bergerak perlahan untuk berjaya kerana "saya anggap saya dalam larian maraton, perlahan tetapi tidak mengalah".

Hasrat utama Syed Abdullah kini ialah memajukan perusahaan yong tau foo berasaskan ikannya di Batu Caves, produk berasaskan soya (tauhu) di Subang dan koay teow di Seremban.

Dalam proses itu beliau tidak lupa melatih beberapa pekerjanya dalam usaha membesarkan perniagaannya supaya satu hari nanti, katanya, mereka juga boleh menjadi pengusaha yong tau foo Melayu dan rakan kongsinya.