Pages

Monday, 25 August 2008

Vastalux Enery Hebat!!


Nor Sabri mahu serlahkan potensi bidang kejuruteraan teknikal supaya boleh dimanfaat syarikat milik Bumiputera

MUNGKIN ramai yang bertanggapan sesebuah syarikat kejuruteraan teknikal, khususnya yang berkaitan minyak dan gas dipenuhi kakitangan dan jurutera profesional asing.

Namun tanggapan itu sama sekali meleset jika mengunjungi pejabat Vastalux Energy Bhd kerana hampir semua kakitangan syarikat itu adalah Bumiputera.

Lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui latar belakang pendidikan pengasas bersamanya, Nor Sabri Hamzah, 37, yang hanya memiliki segulung Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jelas, kejayaan sesebuah syarikat bukan bergantung kepada latar belakang pengasasnya, tetapi lebih kepada minat dan kecekalan beliau untuk maju dan menjadi peneraju dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburinya.

Nor Sabri selaku Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Vastalux, mengakui bidang minyak dan gas memang memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi, namun tidak ada perkara yang sukar jika ada keazaman dan keberanian untuk meneroka bidang itu.
“Dulu bidang minyak dan gas dikuasai bangsa asing, namun sekarang tidak lagi. Bumiputera juga mampu menguasai bidang ini.

“Pada awal tahun 90-an, tidak ramai tenaga mahir Bumiputera dalam bidang ini kerana ia dianggap amat sofistikated dan terlalu teknikal,” kata Nor Sabri ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, usaha kerajaan menerusi syarikat minyak negara, Petronas telah melahirkan ramai modal insan yang mahir dalam bidang itu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri itu di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

“Walaupun Malaysia kini memiliki ramai tenaga mahir, namun syarikat Bumiputera dalam bidang ini masih kecil kerana kebanyakan jurutera tempatan lebih selesa bekerja dengan syarikat minyak gergasi global.

“Kami mahu membuktikan bahawa ada potensi besar dalam bidang ini dan syarikat Bumiputera perlu mengambil peluang untuk membangunkan industri ini,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan asas dalam bidang kejuruteraan, namun kepakaran Nor Sabri dalam bidang yang diceburinya tidak pernah dipertikaikan oleh kakitangan dan rakan niaga Vastalux kerana pengalamannya lebih 13 tahun dalam sektor minyak dan gas menjadi sandaran dalam perniagaannya.

Perkara itu diakui sendiri kakitangannya, malah Nor Sabri menjadi sumber inspirasi pembangunan kerjaya mereka dalam bidang itu.

“Melihat Nor Sabri adalah satu cabaran. Kepakarannya ditimba sendiri menerusi pemerhatian dan pengalaman bekerja. Dia setaraf dengan jurutera minyak dan gas berpengalaman walaupun memiliki latar belakang pendidikan perakaunan,” kata salah seorang kakitangan syarikat itu.

Menceritakan detik awal permulaan kerjaya dan perniagaannya, Nor Sabri berkata, minatnya dalam bidang itu bermula pada 1993 selepas menyertai Maser Kenz Engineering Sdn Bhd, syarikat usaha sama bagi pelaksanaan projek Stesen Jana Kuasa Gas Turbin Serdang milik Tenaga Nasional Bhd.

“Selepas menjadi Pegawai Tadbir dan Perakaunan Projek bagi jana kuasa TNB Serdang, saya bertugas pula sebagai Eksekutif Perakaunan untuk projek fabrikasi untuk Sarawak Shell Bhd.

“Sebagai pegawai kewangan, saya bertanggung jawab menyediakan aliran tunai, tuntutan, kawalan kos dan akaun projek berkenaan. Untuk itu, saya perlu mendalami proses dan cara kerja sesuatu projek itu daripada sudut teknikal dan kejuruteraan secara sendirian,” katanya.

Pada 1996, Nor Sabri menyertai Total Equal Sdn Bhd yang terbabit dalam pengurusan kemudahan darat untuk Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan fabrikasi struktur bagi Stesen Jana Kuasa Kapar.

Katanya, Vastalux ditubuhkan pada 1995, namun hanya pada 1998, beliau dan seorang lagi pengasas syarikat itu, Mohamad Nor Abdul Rashid, memulakan perniagaan apabila mendapat kontrak sebagai subkontraktor kepada salah sebuah syarikat minyak tempatan.

“Pada masa itu, syarikat kami amat kecil, hanya ada tiga pekerja termasuk saya, Mohamad Nor dan seorang jurutera.

“Kami bertiga melakukan semua perkara termasuk kerja pejabat, perakaunan dan kejuruteraan. Saya tidak pernah terbayang syarikat kami akan berkembang daripada hanya tiga pekerja pada 1998 kepada 580 pekerja kini dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Katanya, Mohamad Nor banyak membantu dalam menjayakan syarikat itu untuk beralih daripada subkontraktor kepada kontraktor utama bagi pengendali minyak dan gas terkemuka termasuk Petronas cari gali Sdn Bhd, Carigali Hess dan Murphy Oil. Mohamad Nor kini adalah Naib Pengerusi Eksekutif Vastalux.

“Detik peralihan adalah apabila Vastalux mendapat Lesen Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal daripada Petronas pada 2002. Lesen itu membolehkan kami membuat bidaan projek sebagai kontraktor utama menyediakan perkhidmatan sambungan dan penyenggaraan luar pesisir bagi industri minyak dan gas di negara ini,” katanya.

Setahun selepas itu, Vastalux memperoleh kontrak pertama daripada Petronas Carigali bagi perkhidmatan sambungan dan penyenggaraan projek pembangunan Angsi Fasa III.

Susulan prestasi pelaksanaan kontrak yang baik, syarikat itu memperoleh satu lagi kontrak pada 2004 di bawah “konsep payung” daripada Petronas Carigali untuk tempoh tiga tahun.

“Hingga kini, kami memiliki sepuluh kontrak dalam tangan bernilai lebih RM900 juta dan hampir 40 peratus daripadanya telah disiapkan, sementara itu masih memiliki kontrak bernilai kira-kira RM400 juta untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Vastalux pada tahun lalu merekodkan pendapatan RM140 juta dan tersenarai di tangga ketujuh dalam bidang itu di belakang Petra Energy, Ramunia Fabricators, Tanjung Offshore, Sarku Engineering, Oil-Line, SAAG Consolidated dan Kencana Bestwide.

Kini, Vastalux dalam proses untuk disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur menjelang pertengahan September depan.

Nor Sabri berkata, modal yang dijana daripada penyenaraian syarikat itu akan membolehkan Vastalux mengukuhkan kedudukannya dan mengembangkan operasinya dalam bidang itu.

“Kami kini mensasarkan untuk meneroka pasaran minyak dan gas di peringkat global. Baru-baru ini kami sudah menubuh pejabat di Indonesia dan mendapat kontrak pertama pada Februari lalu menerusi anak syarikat kami, PT Vastalux Energy untuk memasang saluran paip gas yang dimiliki oleh PT Perusahaan Gas Negara.

“Pada Mei lalu, kami memperoleh kontrak kedua di Indonesia daripada PT Salwa Anugerah, manakala kami berhasrat untuk meneroka pasaran perkhidmatan minyak dan gas di Vietnam menerusi syarikat usaha sama, Vastalux-Alpha JV Co Ltd,” katanya.

Nor Sabri enggan mengakui pencapaian baik dan pembangunan pesat syarikat itu adalah hasil usahanya secara individu.

“Kami bekerja secara berpasukan. Masing-masing ada tanggungjawab dan kepakaran tersendiri di mana Setiap kakitangan termasuk pekerja am adalah aset kepada syarikat.

“Dalam perniagaan, kita tidak boleh cepat berbangga dan kecewa, perlu sentiasa memandang ke depan dan bersedia hadapi apa juga cabaran yang tiba,” katanya.

INFO:

  • Nama Syarikat: Vastalux Energy Bhd

  • Pengasas: Nor Sabri Hamzah & Mohamad Nor Abdul Rashid

  • Aktiviti: Perkhidmatan Industri Minyak dan Gas

  • Jumlah Kakitangan: 580 orang

  • Penyenaraian: Papan Kedua Bursa Malaysia

  • Tarikh Jangkaan Penyenaraian: 12 September 2008

  • Anak Syarikat: Vastalux E&C Sdn Bhd; Vastalux Offshore Services Sdn Bhd; Vastalux Onshore Services Sdn Bhd; Vastalux Capital Sdn Bhd; PT Vastalux Energy; Merak Utama Sdn Bhd; V-Factor Sdn Bhd; Vastalux Marine Sdn Bhd; Vastalux Fabricators Sdn Bhd.

  • Projek Dijalankan: 10 kontrak (RM1.01 bilion)

  • Nilai Projek Dalam Tangan: RM400 juta hingga 2010.

  • Bidaan Baru: 14 kontrak (RM775 juta).

  • bharian.com.my

    Sunday, 17 August 2008

    Siti Noorhafezah selesa berniaga melalui Internet


    REZEKI boleh diperoleh di mana-mana sahaja walaupun hanya duduk di rumah, yang penting ada usaha dan kemahuan.

    Itulah kata-kata, Siti Noorhafezah Maarop, 28, yang sanggup berhenti kerja untuk menjadi suri rumah dan pada masa sama menjalankan perniagaan melalui Internet di rumah.

    Wanita ini mengambil keputusan meninggalkan kerja makan gaji sebagai pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas melahirkan anak pertama dua tahun lalu.

    Memang, pada mulanya sukar bagi beliau membuat keputusan tersebut, namun memikirkan anak yang baru lahir lebih memerlukan kasih sayang seorang ibu, maka gaji beribu dilupakan begitu sahaja.

    “Namun, rasa terkilan juga kerana tidak dapat memegang wang sendiri dan masa hanya dihabiskan melakukan kerja-kerja rumah di samping mengasuh anak.

    “Tidak betah dengan keadaan itu, saya mencari peluang bagi menambah pendapatan keluarga. Saya mendaftar sebagai ahli sebuah syarikat yang menjual produk melalui katalog untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

    “Dengan hanya bermodalkan RM20, saya memulakan perniagaan cadar yang diperoleh daripada katalog. Saya membuka sebuah laman web dan memasarkan cadar-cadar tersebut secara online.

    “Alhamdulillah, perniagaan itu berjaya dan saya mengorak langkah membuka sebuah lagi laman web untuk menjual pelbagai produk keperluan bayi dan ibu lepas bersalin,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

    Isteri kepada Mohd. Suhaimy Abu Bakar memberitahu, beliau menceburi bidang perniagaan Internet ini setelah melihat kejayaan suaminya.

    “Suami saya mempunyai laman web e-book iaitu yang menyewa dan menjual buku-buku ilmiah dan pengurusan untuk peminat buku.

    “Daripadanya jugalah saya mempelajari bagaimana untuk memulakan laman web perniagaan dan menguruskannya,’’ ujarnya.

    Graduan ijazah sarjana muda teknologi maklumat dari UKM ini menjelaskan, beliau membuka laman web www.cadarshop.com pada Februari tahun lalu dengan menawarkan pelbagai pilihan cadar, langsir dan dekorasi rumah.

    “Pada bulan Jun pula, saya membuka sebuah laman web www.mypermatahati.com/shop dengan menawarkan produk keperluan ibu dan bayi seperti barut, bedung, pakaian kanak-kanak, cadar bayi dan produk selepas bersalin,’’ jelasnya.

    Tambah Siti Noorhafezah, perniagaan jenis ini tidak memerlukan modal yang banyak serta masa juga tidak terikat.

    “Ini kerana saya hanya memesan barangan daripada pembekal apabila pelanggan memerlukannya. Saya juga tidak perlu mengambil barangan pesanan itu kerana ia akan dihantar sendiri ke rumah saya.

    “Ia sungguh mudah kerana di samping menjalankan perniagaan yang hanya memerlukan beberapa waktu untuk mengendalikan pesanan pelanggan, saya boleh menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Tidak perlu meninggalkan anak untuk urusan perniagaan. Semuanya boleh diuruskan melalui e-mel atau telefon,’’ katanya.

    Ibu kepada dua orang anak iaitu Adam I, rfan Mohd. Suhaimy, 2, dan Adi Farhan, 1 ini menjelaskan, segala aduan mengenai kerosakan dan ketidakpuasan hati terhadap produk yang dipesan boleh dibuat dalam masa tiga hari selepas penerimaan.

    “Ia boleh dipulangkan,’’ ujarnya.

    Ditanya mengenai saingan, katanya, memang banyak, malah ahli-ahli katalog di bawahnya juga turut menjalankan perniagaan seperti ini.

    Justeru itu, ujarnya, promosi produk perlu diadakan selalu bagi menandingi saingan lain.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan Internet ini, boleh menghubungi Siti Noorhafezah menerusi talian 012-2370256.

    Saturday, 16 August 2008

    Sumpahan Liwat Dari Saiful Bukhari



    "Wallahi Wabillahi Watallahi ….Saya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada 26-6-08 iaitu pada tarikh tersebut Dato Seri Anwar IBrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta atas pengakuan ini maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat"

    Teringat pada beberaper tahun dahulu di pasir gudang seseorang hamba Allah nie telah difitnah dan bersumpah lah dia di mimbar masjid dan nak tahu aper yang terjadi selepas itu.............

    Selepas beberape bulan Org yang memfitnahnye seperti hilang akal dan kehidupan pefitnah itu begitu susah hidupnya dan terus meninggalkan kawasan itu dgn keadaan memalukan.Dan sampai sekarang tak penah dengar lagi pasal org yang memitnah itu.

    Dalam kes anwar ini kita tunggu dan lihatlah apekah hikmat sebenar kejadian ini. Jangan melihat hanya satu pihak tapi berfikirlah dengan fikiran yang waras. Yang nampak benar tak semestinya benar dan yang salah itu mungkin juga benar atau salah .

    Jangan permainkan Agama untuk Kepentingan Sendiri. Agama untuk diamalkan bukan di permainankan.Apakah anwar akan bersumpah juga? Kalau benarlah Anwar itu benar Bersumpahlah dgn Nama Allah. Siapa yang akan termakan
    Tunggu Jawapan nyerr

    Thursday, 14 August 2008

    Lakukan itu atas dasar minat dan keikhlasan


    I STATION Optometrist adalah cita-cita ibu muda kelahiran negeri Melaka Bandaraya Bersejarah yang telah berputik sejak beliau di bangku sekolah lagi dan akhirnya direalisasikan sebaik menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kira-kira empat tahun lalu.

    Kini dalam tempoh tiga tahun bergelar usahawan, Anis Harnisah Haron, 29, telah mempunyai dua cawangan di Selangor.

    Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, SHAHARANI SAIBI sempat berkongsi pengalaman beliau dalam menghadapi dunia perniagaan yang dimonopoli bangsa asing ini.

    MEGA: I Station Optometrist di Seksyen 9, Shah Alam ini adalah cawangan kedua anda selepas pembukaan pertama kedai di Taman Subang Perdana pada 2005. Bagaimana timbul minat untuk mengusahakan perniagaan cermin mata ini?

    ANIS HARNISAH: Sejak zaman persekolahan peringkat menengah lagi saya menyimpan tekad untuk menjadikan bidang berkaitan optometri sebagai pilihan kerjaya di masa depan.

    Pada masa itu, bidang ini hanya di tawarkan di UKM, alhamdulillah permohonan saya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sana diterima.

    Peluang menjejakkan kaki ke menara gading ini, tidak saya sia-siakan. Semenjak dari situlah saya menanam tekad dan cita-cita untuk membuka perniagaan yang berkaitan bidang yang diambil.

    Lantas sebaik memiliki Sarjana Muda Sains Optometri (Kepujian) dari UKM, saya cuba bekerja makan gaji bagi menambah pengalaman.

    Itupun tidak lama iaitu tidak sampai setahun sebelum memikirkan secara serius usaha membuka kedai cermin mata yang pertama di Taman Subang Perdana, Seksyen U3, Shah Alam, Selangor.

    Alhamdulillah pada 2005 I Station Optometrist pertama berjaya dibuka dengan mengeluarkan sejumlah simpanan peribadi dan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kesemuanya berjumlah RM175,000.

    Kemudian pada bulan Mei 2007, cawangan kedua pula dibuka di Seksyen 9, Shah Alam.

    Kebiasaannya mengusahakan perniagaan yang dimonopoli bangsa asing adalah sesuatu yang berisiko tinggi sehinggakan ada yang terpaksa gulung tikar. Apakah strategi anda dalam menghadapinya?

    ANIS HARNISAH: Ia adalah satu fenomena yang tidak dapat dinafikan. Hakikatnya, pada peringkat awal memanglah kami terpaksa menghadapi pelbagai cabaran terutamanya dalam usaha membina kepercayaan orang kita ditambah pula persaingan daripada bisnes bangsa asing yang sudah ada nama dan memang memonopoli bisnes ini.

    Pun begitu, kelebihan kita umat Islam ialah rezeki itu adalah ketentuan Ilahi dan sebagai hambanya, janganlah kita cepat berputus asa dan sentiasa sabar serta berkeyakinan kepada-Nya.

    Lantaran itu, saya selalu berpegang pada aspek penjagaan kualiti dan perkhidmatan yang terbaik. Alhamdulillah, boleh dikatakan 90 peratus pelanggan I Station merupakan orang Melayu daripada pelbagai status kehidupan.

    Aspek tawaran harga yang berpatutan juga diambil kira kerana mereka yang menghadapi masalah penglihatan sebenarnya dialami oleh semua orang, baik susah, sederhana dan berada.

    Sebab itulah, ada ketikanya kami akan menyediakan perkhidmatan bergerak di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi dan tidak terkecuali ke pejabat-pejabat kerjaan mahupun swasta.

    Bagi mereka yang berminat diadakan perkhidmatan bergerak di tempat mereka boleh menghubungi talian 03-5880 1886.

    Di samping, kami turut menyediakan perkhidmatan selepas pembelian kepada pelanggan.

    Satu perkara yang menjadi pantang saya ialah pelanggan menyesal selepas membuat pembelian. Bagi saya, apa yang paling penting, pelanggan dapat apa yang diperlukan.

    Dalam bisnes juga kita kena amalkan kejujuran dan amanah kepada pelanggan. Ini secara tidak langsung, membina kepercayaan serta keyakinan pelanggan serta dapat melaksanakan salah satu fardu kifayah.

    Apakah kepuasan anda dalam dunia perniagaan ini?

    ANIS HARNISAH: Apabila sesuatu yang kita lakukan itu atas dasar minat dan keikhlasan, tentunya kepuasan itu dirasai walau apa juga halangan yang melanda.

    Bagi saya apa yang dilakukan ini bukanlah semata-mata atas niat untuk mengaut keuntungan tetapi yang lebih diutamakan ialah sumbangan dan bantuan kita kepada mereka yang bermasalah. Dalam kes saya, mereka yang menghadapi masalah penglihatan.

    Sungguhpun telah ada dua cawangan, saya masih berusaha untuk meningkatkan kualiti serta memastikan produk-produk terkini serta pelbagai agar menepati cita rasa pelanggan.

    Kejayaan saya ini tidak akan berjaya tanpa sokongan semua terutamanya suami, anak-anak dan dorongan dan sokongan ibu yang sentiasa membakar semangat saya untuk terus berusaha dan membina empayar perniagaan suatu hari kelak.

    Orang kita selalu tersalah anggap soal mengumpul kekayaan terutamanya menerusi perniagaan. Bagaimana anda melihat hal ini.

    ANIS HARNISAH: Bagi saya, umat Islam itu tidak akan kukuh dan maju serta dihormati tanpa kekuatan dari segi ekonomi khasnya.

    Lantaran itulah, di dalam Islam sendiri berkecimpung dalam dunia perniagaan adalah digalakkan. Ini kerana kekayaan itu, bukanlah hak milik mutlak kita tetapi di dalam harta itu ada hak mereka yang lain. Contohnya menerusi kewajipan membayar zakat.

    Selain itu, dengan kekuatan ekonomi yang kita ada, ia adalah aset untuk kita bersenang di dunia dan di akhirat. Sayangnya, banyak yang berlaku sekarang, orang kaya makin tamak dan kedekut. Mentaliti inilah yang perlu diubah kerana kekayaan itu adalah salah satu ujian di atas dunia.

    Saya berharap sangat umat Islam yang mahir atau pakar dalam bisnes optikal ini agar bersatu atau bergabung demi mencari kekuatan sesama.

    Contohnya, dengan penubuhan Persatuan Optikal Muslim, dari situlah, banyak yang boleh diusahakan agar bisnes yang dikendalikan ini mampu berdaya saing dan terus maju, sekali gus dapat menarik pelanggan Islam.

    Sumber:utusan.com.my

    Thursday, 7 August 2008

    Zaicorp sasar pasaran dunia


    SEJAK kecil lagi setiap kali guru agama berkisah mengenai kelebihan golongan yang menceburi bidang perniagaan, hatinya meronta-ronta untuk ikut serta.

    Seiring perubahan masa, saranan agama yang menekankan sembilan daripada 10 pekerjaan yang mulia itu adalah perniagaan cita-citanya semakin bulat untuk turut serta.

    Melalui bidang tersebut, Raja Azly Zuhaimy Shah Raja Azhar Shah masak dengan kerenah pelanggan dan berhadapan dengan onak dan duri yang ada kala mencabar kesabaran.

    Bagaimana pun Pengurus Besar Zaicorp Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan ini menganggapnya sebagai dorongan dan pembakar semangat untuk terus bertahan.

    Menceburi bidang pembuatan dan pengeluar pelbagai jenis beg, dia bercita-cita mahu menawan pasaran hingga ke pelosok dunia dengan penampilan identiti bangsa yang merujuk kepada seni kraf tempatan namun masih bercirikan moden kontemporari.

    Mensasarkan lima tahun lagi, dia yakin impian terlaksana kerana sekarang sudah terdapat enam cawangan di seluruh negara. Wartawan Utusan, RAHANA MD dan jurugambar ROSNI MASRI berkongsi wawasan Raja Azly Zuhaimy (RAZ) dalam empayar perniagaan yang dibina sejak sedekad lalu.

    Mega: Apa yang mendorong saudara memilih perniagaan berkaitan pembuatan beg?

    RAZ: Selepas melakukan pemerhatian, saya dapati perniagaan ini kurang diceburi oleh bumiputera dan kebanyakan hanya menjadi pengedar kepada syarikat-syarikat gergasi yang dimonopoli bukan Islam. Hakikatnya, potensi pasaran beg begitu luas malah boleh dieksport.

    Apakah kelebihannya?

    RAZ: Perniagaan ini mempunyai potensi untuk dimajukan kerana permintaan terhadap beg secara berulang-ulang.

    Misalnya beg kepada peserta dalam seminar dan konvokesyen, kebanyakan penganjur akan menghadiahkan sekali beg untuk memudahkan peserta mengisi dokumen, kertas kerja dan sebagainya. Beg juga produk yang sentiasa mendapat sambutan di kalangan pelajar, golongan bekerja dan orang awam untuk mengisi pelbagai barangan.

    Apakah jenis beg yang ditawarkan?

    RAZ: Syarikat menawarkan lebih 15 pelbagai jenis beg antaranya, beg dokumen, sisi, perjalanan, sandang belakang dan yang terkini dan paling laris beg laptop dengan reka bentuk moden. Istimewanya beg tersebut mempunyai tiga cara pegangan yang berbeza, reka bentuk menarik dan mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan korporat.

    Terdapat lambakan beg di pasaran, apa kelebihan Zaicorp untuk menarik perhatian pelanggan?

    RAZ: Kelainan yang ditampilkan antara faktor Zaicorp mampu bertahan dalam pasaran. Misalnya beg dokumen yang mendapat permintaan tinggi dalam seminar dan konvokesyen lazim tampil mengikut cita rasa pelanggan.

    Misalnya bahagian luar beg boleh ditampal atau dicetak selari dengan majlis yang berlangsung termasuk cetakan berunsurkan Islam. Penggunaan bahan-bahan mentah seperti kulit juga dijamin halal dengan reka bentuk beg terkini, pilihan warna-warna yang menarik.

    Bagaimana proses pembuatan untuk mengekalkan kualiti?

    RAZ: Kilang pengeluaran dan pemprosesan di Pengkalan Chepa, Kelantan mempunyai mesin berteknologi Jepun dan mampu mampu mengeluarkan sehingga 500 unit beg sehari. Dibantu 60 kakitangan, Zaicorp turut melakukan kerja-kerja terakhir secara manual seperti kemasan jahitan di bahagian luar dan menampal logo mengikut permintaan pelanggan.

    Bagaimana dengan identiti produk?

    RAZ: Beg keluaran syarikat bersifat global namun atas inisiatif membentuk identiti, Zaicorp menyelitkan elemen tempatan seperti penggunaan kain songket, pandan dan batik lukis di bahagian luar beg.

    Elemen tradisi ini disuntik dalam reka bentuknya kerana menghargai produk tempatan agar kekal menjadi kebanggaan masyarakat. Selain itu, syarikat didorong atas permintaan pelanggan sendiri yang inginkan kelainan dalam reka bentuknya.

    Syarikat juga menggunakan bahan yang terdiri daripada nilon, polyster dan kulit yang diimport sebagai bahan asas dan menjaga kualiti.

    Bagaimana berhadapan dengan pesaing?

    RAZ: Saingan paling rapat ialah produk import yang lebih mudah diperoleh dengan harga lebih rendah misalnya dari China dan membanjiri pasaran tempatan. Setakat ini, lambakan tersebut tidak memberi impak dalam perniagaan yang diusahakan namun syarikat semakin yakin pelanggan semakin bijak memilih.

    Hakikatnya syarikat tidak mampu menyekat kemasukan produk luar dan menganggap satu persaingan positif. Sebagai langkah menyaingi, Zaicorp mempelbagaikan jenis beg serta mengubah reka bentuknya untuk mencuri tumpuan pelanggan.

    Siapakah sasaran pelanggan?

    RAZ: Syarikat mensasarkan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk agensi kerajaan, swasta dan perseorangan, golongan korporat, wakil dan pengedar serta sesiapa sahaja yang mahukan perkhidmatan dalam pembuatan beg.

    Kebanyakan pelanggan dari seluruh negara kerana Zaicorp mempunyai enam cawangan untuk bahagian pemasaran di Sungai Petani, Kedah, Kuantan, Pahang, Ipoh, Perak, Johor Bahru, Johor, Subang Jaya, Selangor, serta kilang di Kota Bharu, Kelantan.

    Apakah sumbangan lain syarikat?

    RAZ: Syarikat menyediakan lebih 50 peluang pekerjaan khususnya penduduk tempatan bumiputera dan beragama Islam yang bekerja di kilang, pentadbiran dan pemasaran yang menjadikan syarikat sebagai tempat mencari rezeki.

    Bagaimana dengan harapan terhadap perniagaan?

    RAZ: Ekonomi negara terus kukuh bagi membolehkan rakyat menikmati hidup pada tahap seimbang dan berpeluang menggunakan produk buatan tempatan dengan lebih meluas. Syarikat juga bercadang mempelbagaikan variasi produk seperti mengeluarkan pakaian seperti kemeja T pada tahun hadapan.

    Di samping meluaskan empayar perniagaan ke luar negara dan kini sedang menjalin usahasama dengan sebuah syarikat di London yang mempunyai pengaruh besar dalam memasarkan produk ke negara -negara Eropah.

    Di manakah produk keluaran Zaicorp boleh diperoleh?

    RAZ: Setakat ini pelanggan mendapatkan tempahan terus daripada pegawai pemasaran yang ada di enam cawangan seluruh negeri ataupun daripada pengedar yang dilantik. Syarikat memang bercadang menambah jumlah pengedar bagi memudahkan orang ramai mendapatkan beg Zaicorp. Sesiapa yang berminat hubungi talian 03-8024 0310 atau layari laman web http://www. geoticities.com/ zaicorp_industries.

    sumber: http://www.utusan.com.my

    Wednesday, 6 August 2008

    Sindiran rakan bakar semangat


    SEWAKTU pertama kali bersua muka dengannya, wanita bertubuh montel dengan palitan mekap ringkas di wajahnya ini bagaikan tidak sabar untuk berkongsi pengalaman manisnya bersama penulis.

    Sambil melabuhkan punggung di atas kerusi rotan yang diletakkan di sisi meja makan cafe Terraza Brazzerie, Hotel Sheraton Subang, Selangor, pantas tangan dijabat, dan bermulalah epilog memperkenalkan diri.

    Ternyata, wanita berketurunan Bidayuh, Sarawak ini tidak segan silu memulakan bicara awal tentang keperitan dan kesenangan hidup yang dialaminya, sebelum mengecapi apa yang diinginkan hari ini.

    Bercerita mengenai penglibatan awalnya, Juddy Tambol, 39, adalah antara wanita yang boleh dikategorikan sebagai tiang kedua dalam sebuah keluarga.

    Ini berikutan usaha yang dipamerkannya menerusi bidang perniagaan yang berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM), di bawah syarikat Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd. (Avon).


    "Tidak terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk berkecimpung dalam mana-mana bidang perniagaan secara berperingkat, apatah lagi saya bukannya seorang yang gemar bersolek mahupun pentingkan penampilan diri.

    "Cita-cita ini datang secara natural, tanpa ada sesiapa yang memaksa atau dipaksa. Ia bermula sewaktu saya bekerja sebagai chef di salah sebuah hotel ternama di bandar raya Kuching, Sarawak."

    Begitulah lontaran kata yang diluahkan anak kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak ini bagi menguatkan lagi persoalan yang diajukan terhadapnya.

    Menyingkap kisah hidupnya sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan, katanya, kesusahan yang ditanggung ibu dan bapanya bersama tujuh adik beradik lain telah memaksa beliau berhenti sekolah sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau kini dikenali Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

    "Bagi membantu mengurangkan beban bapa yang merupakan seorang petani, saya bekerja sebagai tukang cuci di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching, Sarawak.

    "Dengan imbuhan gaji yang tidak seberapa, saya tetap bersyukur kerana dapat membantu keluarga di kampung dan membiayai kos pelajaran adik-adik. Setelah hampir setahun bekerja, saya dinaikkan pangkat sebagai pembantu chef.

    "Berkat usaha dan pencapaian yang dipamerkan, saya ditawarkan bekerja di salah sebuah hotel lain sebagai seorang chef dalam bidang pastri, dengan bayaran bulanan gaji kurang daripada RM1,000.

    "Ketika itu, apa yang bermain di fikiran hanyalah masa depan ahli keluarga dan adik-beradik," jelasnya dalam nada tenggelam timbul sebaik sahaja memberitahu kesusahan yang dihadapi memaksa mereka makan ubi kayu dan gandum sebagai makanan utama suatu ketika dahulu.

    Setelah lebih kurang 12 tahun menyandang jawatan sebagai chef, Juddy sekali lagi meletakkan keinginan yang besar untuk berjaya dalam hidupnya, lebih-lebih lagi setelah mendirikan rumah tangga.

    Ditanya apakah yang mendorong beliau melibatkan diri dalam bidang perniagaan berkonsepkan MLM, ibu kepada dua orang anak perempuan ini, berkata, memandangkan kerjaya sebagai chef memerlukan masa yang pantas dan tidak fleksibel, keadaan itu telah mendorongnya menyertai perniagaan secara berperingkat.

    "Saya mempunyai waktu kerja yang padat dari pagi hingga petang, dengan pendapatan tetap tetapi tidak cukup untuk menanggung persekolahan dua anak perempuan saya. Ini memaksa saya berkecimpung dalam dunia perniagaan tersebut.

    "Bukan itu sahaja, memandangkan sepanjang hari, saya bekerja di dapur tanpa sebarang palitan mekap di wajah, membuatkan saya terfikir untuk mengubah penampilan diri seperti wanita lain yang pentingkan kecantikan.

    "Bukan kerana saya tidak bersyukur dengan apa yang diberikan, tetapi saya mempunyai visi tersendiri untuk mengubah nasib keluarga dan diri saya," kata Juddy yang memberitahu, pendapatannya kini mencecah hampir RM6,000 sebulan.

    Menurutnya, kerjayanya di Avon bermula pada tahun 2005 iaitu sewaktu beliau menjadi wakil jualan produk.

    "Jujur dikatakan, saya seorang yang sangat pemalu dan jarang sekali bercakap dengan mana-mana orang yang tidak dikenali.

    "Pernah sekali, disebabkan rasa takut yang keterlaluan ketika berhadapan dengan pelanggan pertama, saya terus menangis," katanya sambil tersenyum sipu dengan lirikan matanya yang sepet.

    Berkongsi pengalaman pertamanya menceburi bidang MLM ini, Juddy memberitahu, dia terpaksa menelan pelbagai rintangan hidup demi merealisasikan impian yang diinginkan selama ini.

    "Sewaktu kali pertama menyertainya, hati sering tertanya tentang bagaimanakah cara mencari rakan kongsi dan mengembangkan perniagaan.

    "Seperti orang yang ditinggalkan suami...Waktu itu, pelbagai cara telah saya lakukan sehingga sanggup menghabiskan sepanjang waktu semata-mata ingin menelaah dan membelek buku-buku rujukan perniagaan," katanya yang begitu obses di dalam dunia perniagaan.

    Ketika dirinya mula memahami rentak kerja yang dilakukan itu, suaminya pula tidak memberi restu.

    "Pada mulanya, saya begitu sukar mendapatkan kepercayaan suami. Dia begitu marah. Kadang-kadang, saya cemburu melihat rakan-rakan lain yang mendapat sokongan suami.

    "Apabila saya memutuskan untuk berhenti kerja, suami langsung tidak bertegur sapa dengan saya selama sebulan. Saya terasa dirinya begitu kejam sehingga tidak mahu mendengar alasan yang saya berikan," kata Juddy sambil menegaskan kemelut itu sudahpun berakhir apabila beliau telah membuktikan kejayaannya kepada suami tersayang.

    Bukan setakat itu sahaja, minat yang mendalam dalam bidang perniagaan membuatkannya pernah disindir oleh rakan-rakan di tempat kerja.

    "Kata-kata seperti 'buat promosi la tu...' dan 'awak seperti orang bodoh bila bawa risalah itu!' akan saya jadikan pembakar semangat dan motivasi kepada diri saya dalam mengembangkan perniagaan ini.

    "Segala tohmahan yang dilemparkan telah saya jadikan penguat semangat untuk berjaya seperti hari ini," katanya yang kini menyandang jawatan sebagai Advanced Sale Leadership dengan berjaya menerima beberapa anugerah.

    Dalam temu bual Kosmo!, Juddy memberitahu kehidupannya hari ini telah berubah sama sekali, semuanya kerana penglibatannya dalam dunia perniagaan MLM.

    "Menceburi bidang ini begitu memotivasikan diri saya walaupun saya terpaksa berendam dengan air mata selama hampir empat tahun, semata-mata ingin mempertahankan cita-cita.

    "Dengan usaha yang diketengahkan ini juga, saya berpeluang berkenalan dengan ramai kenalan dari seluruh pelosok negara dan berjaya mengubah kehidupan ahli keluarga.

    "Secara tidak langsung, ia juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya serta motivasi diri seperti wanita lain," tambahnya ketika bercerita tentang perubahan diri yang berlaku kepadanya sejak berkecimpung dalam dunia perniagaan MLM.


    sumber: kosmo.com.my

    Tuesday, 5 August 2008

    TIP PILIHAN: MENTOR JUTAWAN ANDA! IRFAN KHAIRI

    Kall, sejak tahun lepas, saya telah diberi peluang untuk
    mengemudikan rancangan bicarawara radio saya sendiri; "Jutawan!
    bersama Irfan Khairi" di Radio 24, Bernama.

    Di dalam artikel ini, adalah kumpulan 8 nasihat terpilih yang
    memaparkan ikon-ikon jutawan berkongsikan kisah, strategi dan tips
    bagaimana anda juga boleh mencapai kejayaan yang cemerlang.

    Mentor Jutawan #1: Dato' Dr. Fadzilah Kamsah (Motivator)
    *Mengenai rahsia kejayaan perniagaan!

    Untuk berjaya dalam apa perniagaan pun, kita mesti ada niche atau
    bidang yang kita pakar. Sebenarnya Irfan Khairi berjaya kerana
    pakar dalam bidang yang orang lain tidak nampak sebelum ini.
    Motivasi pula saya adalah antara kalangan yang tertua. Jadi kita
    jadi yang pioneer.

    Satu lagi kita mesti ada satu bidang yang luar biasa dan orang lain
    perlukan. Ertinya kalau kita nak berniaga, kita perlu berniaga yang
    orang lain tak boleh nak beri. Jadi orang mendapatkan khidmat
    daripada kita.

    Mentor Jutawan #2: Azizi Ali (Jurulatih Jutawan)
    *Cara yang lebih bijak menjadi jutawan

    Untuk menjadi seorang jutawan dengan cara yang lebih bijak adalah
    dengan adanya 'multiple streams of income'. Ini bermakna wang kita
    yang masuk ke dalam kita punya akaun biar datang dari banyak aliran
    pendapatan.

    Sebagi contoh saya sendiri di mana saya masih seorang juruterbang
    saya mendapat gaji saya setiap bulan tetapi saya juga mendapat
    royalti daripada hasil penulisan buku saya serta saya juga mendapat
    hasil daripada sewaan rumah saya. Saya juga mendapat dividen
    daripada beberapa pelaburan saya yang lain.

    Saya juga tahu yang kebanyakan kenalan jutawan saya punyai MSI ini
    iaitu 'Multiple sources of Income'. Dan untuk mendapatkan multiple
    inilah di mana kita perlu buat 'after burner income' di mana kerja
    itu sekali dan mendapat pulangannya datang berkali-kali.

    Mentor Jutawan #3: Dato Dr Azman Ching (Jutawan Jualan Langsung)
    *Mengenai matlamat

    Hari ini kita hidup dalam dunia ni beberapa puluh tahun sahaja dan
    akhirnya kita akan meninggalkan dunia ini, tetapi manusia meninggal
    dengan meninggalkan nama. Tapi nama kita boleh ditinggalkan atau
    diingati oleh keluarga kita. Tetapi yang paling penting adalah
    apakah matlamat yang kita capai.

    Tak kisahlah matlamat kita apa pun samada nak mejadi seorang peguam
    ataupun doktor, tapi yang paling penting adalah matlamat kita
    tercapai. Kita boleh tengok yang baru-baru ini, matlamat seorang
    angkasawan yang telah tercapai untuk sampai ke angkasa. Kita nampak
    apabila matlamat kita tercapai, itu akan menjadikan kita sebagai
    manusia menjadi lebih positif dan akan meneruskan perjuangannya
    dalam kehidupannya.

    Bila kita punyai matlamat kecil maka kecillah hasilnya, dan
    sekiranya kita punyai matlamat yang besar maka besarlah hasilnya.

    Mentor Jutawan #4: Chef Li (Jutawan Senyap)
    *Mengenai perlunya idola/mentor

    Kita memerlukan idola dalam bidang yang kita nak kerjakan. Sebab,
    bisnes ini bukan suatu yang mudah buat terus menjadi, selalunya
    lari jauh daripada apa yang kita rancang. Jadi apabila kita jumpa
    dengan idola yang tepat, kita akan mendapat nasihat-nasihat yang
    positif. Jadi maknanya, dalam berkawan pun kena pilih juga dah jadi
    usahawan-usahawan ini. Tak sesuai lagi kita dah jadi usahawan ini
    kita berkawan dengan orang yang minat memancing, minat burung dan
    sebagainya.

    Bila kita meluahkan susah payah kita pada beliau, dia akan kata
    'dah kata dulu dah, bisnes memang macam tu, susah', tapi kalau kita
    jumpa satu rakan ataupun seorang idola, ataupun seorang mentor yang
    memang seorang usahawan yang tulen, bila kita mengadu padanya 'aku
    berniaga ni dah dua minggu, merosotlah, tak mencapai sasaran'. Dia
    akan tanya 'Berapa jualan engkau sekarang?'. 'Dulu-dulu selalu lima
    ratus, sekarang cuma empat ratus'. 'Empat ratus bagus lagi, aku
    dulu pernah lima puluh saja'.

    Mentor Jutawan #5: Billi Lim (Jutawan berani gagal)
    *Mengenai kegagalan

    Pada saya 'When you lose, don't lose the lesson'. Maksudnya bila
    anda gagal, jangan lupakan pelajarannya. Setiap yang kita buat
    adalah pelajaran. Mungkin bukan hasil apa yang kita nak, tapi apa
    sahaja yang terjadi, anda akan belajar dari kesilapan dan tugas
    anda adalah tidak mengulangi kesilapan yang sama.

    Sebagai contoh, dalam satu temuduga dengan Bill Gates 'What type of
    people you would like to employ?. Bill Gates jawab 'I would employ
    a person, who have failed before, the reason I want to employ is
    because I don't want him to fail in my company, so he must fail in
    other people's first!

    Boleh katakan sekiranya seseorang itu diberi peluang ke dua,
    kesetiaan dan tenaga akan bertambah. Memang betul, daripada
    pengalaman saya, sesiapa yang pernah gagal, akan menjadi lebih baik
    kemudian. Tiada sebarang inovasi akan terjadi sekiranya seseorang
    itu takut gagal!

    Mentor Jutawan #6: Abang Abu (motivator)
    *Mengenai strategi mencapai matlamat semudah A-B-C-D

    A itu adalah Aim. Ada orang yang tiada aim, ada juga yang banyak
    sangat aim. Kita kena tanya diri kita, apa matlamat kita buat
    sesuatu perkara. Matlamat kena satu, kerana ramai selalunya
    mempunyai banyak sangat matlamat.

    B pula adalah believe, iaitu percaya akan matlamat kita. Ramai
    mempunyai impian besar tetapi tidak mencapainya, kerana kita mesti
    percaya akan impian tersebut. Contohnya Edison, ramai yang
    mengatakan beliau gila kerana cuba mencipta lampu beratus kali.
    Tetapi beliau percaya dalam matlamat beliau.

    C adalah courage. Berani untuk apa? Mungkin berani untuk gagal.
    Misalannya kita tidak perlu takut jika kita membuat sesuatu itu
    gagal atau tidak menjadi Keberanian menerima kegagalan sendiri dan
    berubah!

    D pula Do it, kalau nak duit kena do it. Kalau kita nak sesuatu,
    kita kena lakukan sesuatu untuk mencapainya. Jangan berhenti
    sehingga kita mencapai apa yang kita nak.

    Mentor Jutawan #7: Dato' Hussamuddin (Pengasas Kumupan Karangkraf!)
    *Mengenai mengendalikan kakitangan

    Di Karangkraf sekarang kita ada 1100 karyawan. Tetapi saya tak rasa
    susah handle mereka, kerana saya memberi ruang kepada setiap insan
    yang ada di Karangkraf untuk berkembang dengan pace mereka sendiri.

    Saya percaya, kalau kita beri seseorang kepercayaan, dia akan boleh
    berkembang. Jadi di Karangkraf, saya percaya kepada memberi
    peluang. Saya beri mereka tanggungjawab, dan biar mereka
    berkembang. Setiap team diberi autonomi untuk mengendalikan majalah
    mereka sendiri.

    Saya bagi peluang, saya bagi ruang, saya bagi guideline dan saya
    delegate kuasa dan authority kepada setiap orang untuk berkembang.
    Ia ibarat anak, kalau kita kongkong sangat, anak itu akan jadi
    memberontak. Tapi kalau kita bagi galakan, garis panduan, anak
    tersebut boleh berjaya. Itulah prinsip yang kami amalkan.

    Mentor Jutawan #8: IK- Saya sendiri!
    *Mengenai pengorbanan dalam menuntut ilmu

    Kerja yang saya lakukan sebagai tukang cuci memberikan pengalaman
    kepada saya, setiap pagi selama dua tahun, sebelum memasuki kelas
    ataupun kuliah di universiti, saya akan bekerja sebagai tukang cuci
    pasaraya dan tandas untuk mendapatkan wang tambahan. Saya lakukan
    ini selama 2 tahun.

    Dengan wang tambahan tersebut saya akan ke kedai buku pada hujung
    minggu untuk membeli buku-buku kejayaan untuk melengkapkan lagi
    diri saya tentang ilmu-ilmu kejayaan. Jadi di situ, saya dapat
    mempelajari bahawa kita perlu mempunyai satu disiplin yang kuat
    untuk berjaya dalam bidang apa sahaja yang kita masuki.

    Kemudian barulah saya memulakan perniagaan dan mempelajari tentang
    ilmu perniagaan ini iaitu perniagaan Internet. Di situ rezeki mula
    berpihak kepada saya.

    Sumber: http://www.irfankhairi.com

    Monday, 4 August 2008

    Pengalaman Bekerja Untuk Beranikan Diri Jadi Usahawan


    Amran cari pengalaman 15 tahun sebelum beranikan diri buka perniagaan hiasan dalaman

    UNTUK berjaya dalam perniagaan seseorang usahawan itu memerlukan satu pakej - produk serta perkhidmatan bermutu, strategi pemasaran berkesan, usaha gigih dan yang lebih penting lagi kepercayaan, baik di kalangan pelanggan mahupun pembekal.

    Inilah yang dipelajari Amran Abdullah, 43 pemilik firma hiasan dalaman, Impiana Dagang sejak menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.


    Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis & Seni Reka di Institut Teknologi Mara (kini Universiti teknologi Mara) pada 1987 beliau memulakan kerjaya sebagai pereka di Perbadanan Kraftangan Malaysia.

    Beliau kemudian beralih arah ke syarikat swasta dengan menyertai Taba Industries Sdn Bhd, sebelum berpindah ke Malpro Industry Sdn Bhd dengan jawatan terakhirnya di syarikat itu sebagai Pengurus Besar.

    Amran memutuskan untuk berniaga kerana selepas lebih 15 tahun mengutip pengalaman bekerja dengan orang lain, beliau berasakan sudah sampai masanya beliau memiliki perniagaan sendiri.



    Justeru pada 2005 beliau memberanikan diri mencuba nasib sebagai usahawan dengan menubuhkan Impiana Dagang berbekalkan modal awal RM100,000. Tenaga kerja firma itu ketika itu hanya dua orang, Amran sendiri dan isterinya, Zarina Noor Mohamed.

    Namun walaupun berpengalaman luas dalam bidang reka bentuk, perniagaan yang dipilihnya itu bukan mudah, kerana hiasan dalaman masih lagi dianggap umum hanya mampu dilanggani golongan mewah dan korporat.

    Menambat kepercayaan dan keyakinan pelanggan adalah satu lagi cabaran yang perlu ditanganinya dalam industri itu.

    Justeru, pada tahun pertama operasi, pasangan suami isteri ini berdepan tempoh yang sukar kerana berbulan-bulan tidak mendapat sebarang projek

    Keadaan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat mereka. Bagi menampung perbelanjaan Amran membuka kelas lukisan asas untuk pelajar sekolah rendah di rumahnya.

    Hasil usaha gigih Amran dan isterinya, selepas dua tahun Impiana Dagang mula bertapak dalam industri hiasan dalaman di negara ini. Daripada kejayaan mereka bentuk katil untuk cucu seorang kenamaan, sehinggalah projek hiasan dalaman untuk jiran dan rakan-rakan, nama firma itu mula tersebar dari mulut ke mulut.

    “Kami kerja memang tidak kenal penat lelah. Kata orang, asal ada saja projek pasti akan disiapkan dengan sebaik mungkin,” katanya bapa kepada tiga orang anak itu.

    Apabila semakin ramai pelanggan yang percaya dengan apa dihasilkan, maka Amran memberanikan diri mengupah pekerja.

    Impiana Dagang kini memiliki lima pereka yang mahir dalam lakaran tiga dimensi (3D) serta 15 pekerja sokongan pengeluaran.

    Zarina yang sudah berhenti daripada mengendalikan perniagaan butik di ibu kota pula kini menumpu kepada ehwal kewangan dan pentadbiran.

    Apabila Impiana Dagang mendapat sijil pengiktirafan daripada Kementerian Kewangan, maka operasinya menjadi lebih serius dan mula memasuki sebut harga dan tender daripada kementerian dan jabatan kerajaan bagi kerja hiasan dalaman dan pembekalan perabot.

    Amran kini boleh menarik nafas lega kerana bukan saja nama Impiana Dagang sudah dikenali dan mendapat banyak projek daripada sektor awam, malah sektor swasta juga mula menunjukkan minat.

    Antara kejayaan Impiana Dagang ialah diberi kepercayaan mereka bentuk bilik hotel di Madinah.

    “Bilik hotel yang dijadikan suite lima bintang pada musim haji itu boleh ditukar menjadi asrama pada hari-hari lain, sesuai dengan hiasan dalamannya” katanya.

    Sungguhpun sebahagian besar projek yang diperoleh adalah daripada jabatan dan agensi kerajaan, Impiana Dagang kini sudah mula didekati syarikat swasta.

    Terbaru ialah cadangan untuk bekerja sama dengan pemaju perumahan dalam menawarkan khidmat reka bentuk dalam projek perumahan di sekitar Lembah Klang.

    Selain perniagaan reka bentuk dalaman, Impiana Dagang turut menghasilkan produk cenderamata dan hadiah kepada agensi kerajaan atau swasta, selain kerja landskap. Produk kraftangan terkenalnya ialah ukiran kayu menggunakan laser.

    Dengan berlandaskan prinsip ‘mencapai kepuasan pelanggan secara menyeluruh’ Impiana Dagang memikul tanggung jawab dalam semua aspek untuk memastikan pelanggan mendapat yang terbaik dari segi kualiti, harga, dan perkhidmatan sebelum dan selepas jualan.

    Bercerita mengenai kerjaya dalam hiasan dalaman, Amran meletakkan keselesaan dan kesesuaian gaya hidup masa kini sebagai fokus utama dalam semua konsep rekaan dan hiasan dalamannya.

    Pastinya gaya dekorasi ruang yang diketengahkan itu menjadi inspirasi kepada pemilik dan sesiapa saja selain menikmati keselesaan berpanjangan melalui penataan kemas dan menawan.

    Mengenai arah aliran terkini dalam hiasan dalaman, Amran berkata ia kini tidak lagi hanya sinonim dengan golongan berpendapatan tinggi dan golongan korporat.

    Hari ini ramai pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang baru membeli rumah mendapatkan khidmat Impiana Dagang, dan ia bergantung kepada bajet masing-masing.

    PROFIL: Amran Abdullah

    Umur: 43

    Tempat Lahir: Kuala Kedah

    Pendidikan: Seni Lukis & Seni Reka, ITM (1983-87)

    Kerjaya: Pereka di Perbadanan Kraftangan Malaysia

    Taba Industries Sdn Bhd

    Pengurus Besar di Malpro Industry Sdn Bhd

    Pengurus Impiana Dagang

    Nama syarikat: Impiana Dagang, 68, Jalan Lee Woon, Taman Zoo View Ulu Kelang

    Pengkhususan : Lukisan 3D reka bentuk dalaman reka bentuk perabot kemasan dalaman kraf tangan, ukiran kayu laser landskap
    sumber:bharian.com.my