Pages

Monday, 23 June 2008

Kajian penting Sebelum Mulakan Bisnes




Odyssey Prestige Coaches sedia khidmat bas ekspres dengan suasana, kemudahan mewah

ODYSSEY Prestige Coaches Sdn Bhd mungkin satu nama baru dalam dalam sektor pengangkutan awam di negara ini, tetapi pengasasnya, pasangan adik-beradik Wan Adlan Rahman dan Wan Hamzah Rahman berazam mahu menjadikannya antara yang utama.

Ditubuhkan tujuh bulan yang lalu, syarikat itu menyediakan perkhidmatan bas ekspres premium dengan layanan bertaraf lima bintang untuk laluan Kuala Lumpur-Singapura khusus bagi penumpang yang mahukan keselesaan perjalanan.
Syarikat yang melangkau tradisi perkhidmatan bas ekspres yang biasa itu menyediakan pelbagai layanan mewah kepada penumpangnya termasuk televisyen plasma, akses internet tanpa wayar (WiFi), video atas permintaan, ruang tempat duduk yang luas, makanan dan minuman serta layanan daripada pramugari setaraf perkhidmatan penerbangan penuh.

Perkhidmatan Odyssey direka khusus bagi penumpang yang mahu mengelak kesulitan menggunakan perkhidmatan penerbangan antara Kuala Lumpur-Singapura sejajar dengan tema perkhidmatannya - "Perkhidmatan Pertama Bas Kelas Bisnes Sebenar".

Mengenang semula detik bersejarah penubuhan syarikat itu, Wan Adlan, 36 yang bertindak sebagai pengarah urusan Odyssey berkata, syarikat itu mula beroperasi pada November 2007, setahun selepas beliau dan adiknya yang setahun lebih muda daripadanya mendapat idea dan membuat pelbagai persiapan serta kajian bagi menceburi perniagaan itu.


"Perjalanan sulung bas kami adalah pada 15 November 2007 iaitu dari Kuala Lumpur ke Singapura. Ia seumpama menyaksikan kelahiran anak sulung.

"Sebagai anak pertama juga, kita tentunya mempunyai pelbagai perancangan untuk melihat anak itu membesar dan berjaya dalam bidangnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idea untuk menceburi bidang pengangkutan bas ekspres itu tercetus sejak kedua adik-beradik itu berkhidmat sebagai perunding sektor pengangkutan dengan sebuah syarikat perunding.

"Semasa bekerja sebagai jururunding, kami terbabit dalam membuat kajian dan menyediakan khidmat nasihat kepada pelanggan tempatan tentang daya maju dan prospek pelbagai industri di negara ini.

"Salah satu bidang yang sering kami kaji ialah sektor pengangkutan dan kami sedari wujudnya peluang besar dalam segmen pasaran bas mewah yang masih belum diteroka sepenuhnya," katanya.

Bermula dari saat itu, Wan Adli itu menyimpan cita-cita untuk menubuhkan syarikat perkhidmatan bas mewah setaraf dengan perkhidmatan yang diberikan syarikat penerbangan.

Justeru, pada awal tahun lalu, beliau dan adiknya mula membuat kajian secara terperinci dalam segmen perniagaan itu bagi mengesahkan daya saing serta potensi pasarannya dalam usaha menyusun pelan perniagaan yang berdaya maju.

Wan Adlan berkata, beliau dan adiknya mengambil mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan pelan perniagaan Odyssey kerana perlu membuat kajian secara mendalam khususnya mengenai strategi pemasaran dan menyelidik kelebihan serta kelemahan pesaing utama dalam industri itu.

"Kami mengkaji daripada pelbagai sudut. Saya dan Wan Hamzah habiskan masa berbulan berada di stesen bas ekspres dan lapangan terbang bagi mendapatkan maklumat tentang gelagat dan jumlah pengguna serta mutu perkhidmatan pesaing.

"Untuk memulakan dan ketika menjalankan perniagaan, perkara utama yang perlu diketahui dari semasa ke semasa khususnya oleh pihak pengurusan adalah kekuatan, kelemahan, peluang dan kelebihan syarikat.

"Perkara itu juga dikaji secara mendalam semasa membuat pelan perniagaan. Walaupun sebagai perunding, kami sudah memilik banyak data dan statistik mengenai industri pengangkutan di Malaysia, tetapi kami perlu turun padang' membuat kajian secara realistik di lapangan industri bagi mengesahkan data dan statistik itu," katanya.

Katanya, setelah benar-benar yakin dengan model perniagaan yang yang mahu dilaksanakan barulah beliau dan adiknya memutuskan menubuhkan Odyssey.

Mengenai sumber pembiayaann, Wan Adli berkata, ia diperoleh daripada dana persendirian dan pinjaman bank.

"Kami memperoleh pembiayaan dana persendirian sebanyak RM5 juta, justeru kami perlu pastikan syarikat boleh menghasilkan pulangan yang lebih tinggi.

"Kami juga bertuah kerana mendapat bantuan kewangan serta sokongan daripada SME Bank dan Bank Muamalat menerusi Tabung Pengangkutan Perkhidmatan Awam," katanya.

Tegasnya, proses permohonan bantuan kewangan daripada bank untuk memula dan mengembangkan sesuatu perniagaan bukanlah sukar seperti yang sering didengari.

"Sebelum membuat permohonan bantuan, saya sering mendengar cakap-cakap kononnya proses permohonan pinjaman itu adalah kerja melecehkan dan kelulusan amat sukar diperoleh, selain banyak kerenah birokrasi dan sebagainya..

"Tapi kenyataannya tidak begitu, prosesnya mudah dan maklum balas daripada pegawai bank amat cepat. Permohonan kami diluluskan hanya dalam tempoh tiga bulan seperti termaktub dalam piagam bank itu," katanya.

Namun, Wan Adlan berkata, pemohon mesti menyediakan segala dokumen yang diperlukan seperti pelan perniagaan yang realistik bersama aliran tunai dan sebagainya dengan lengkap serta mempersiapkan diri untuk ditemuduga oleh pihak bank.

Katanya, selepas beroperasi, beliau membuat permohonan pembiayaan kedua untuk memesan bas baru dan pihak bank begitu agresif memberikan bantuan.

"Kami amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan pihak bank. Syarikat bas seperti kami ini memerlukan modal yang besar kerana harga sebuah bas Scania premium yang lengkap dari Sweden mampu mencecah RM700,000," katanya.

Selain daripada modal dan perancangan perniagaan, Wan Adli berkata, cara pengurusan khususnya berkaitan modal insan, keselamatan dan perhubungan pelanggan adalah amat penting untuk memastikan operasi syarikat berjalan dengan baik.

"Ketika ini kami memiliki 35 pekerja, termasuk tujuh orang pengurus dan 15 pemandu untuk lima buah bas dan bakinya adalah pramugara dan pramugari.

"Kami sentiasa mementingkan keselamatan kakitangan dan penumpang, justeru kami menghantar semua pemandu untuk menjalani latihan bagi tempoh 3 bulan dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan bas-bas sentiasa dihantar untuk di servis," katanya.

Beliau juga menggunakan kepakaran jururunding perkhidmatan pelanggan dari Singapura untuk melatih pemandu dan pramugari mengenai cara melayan penumpang supaya setaraf dengan perkhidmatan penerbangan.

"Kami banyak melabur dalam latihan bagi membolehkan kakitangan kami faham budaya perkhidmatan dan keselamatan. Ketika ini, semua pemandu kami sudah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk bantuan kecemasan," katanya.

Walaupun kerja keras Wan Adlan dan adiknya sudah mula menampakkan hasil kerana Odyssey kini sudah menjana aliran tunai, namun beliau menganggapnya masih dalam fasa pertama pertama perniagaan dan fasa selanjutnya adalah untuk mengembangkan operasi ke beberapa destinasi lain termasuk Kerteh, Terengganu; Iskandar Malaysia, Johor; Butterworth, Pulau Pinang dan Hatyai, Selatan Thailand.

Katanya, kunci kejayaannya setakat ini adalah persiapan dari segi kewangan serta kajian terperinci perlu dibuat khususnya tentang persekitaran industri sebelum menceburi perniagaan.

Sunday, 22 June 2008

Allah Perangi Riba

yeikh Sya’rawi berkata: Ayat ini merupakan permasalahan alam yang dilupai serta lalai oleh kebanyakan manusia justeru datang peraturan untuk memelihara satu golongan daripada golongan yang lain. Peraturan ini tidak datang kecuali selepas adanya golongan ahli riba yang menzalimi golongan fakir miskin yang lemah. Justeru golongan miskin dan lemah ini sentiasa diambil kesempatan oleh golongan pemakan riba. Lantas Allah menurunkan ayat ini.

Firman Allah: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu.

An-Nasafi berkata: Allah izinkan peperangan dan tidak menyebut dengan peperangan Allah dan Rasul-Nya tetapi dengan peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya kerana ini lebih kuat maknanya. Ini kerana makna izin merupakan merupakan jenis daripada perang lebih besar di sisi Allah dan Rasul-Nya dengan sebab itulah kabilah thaqif berkata kami tiada apa untuk berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

Al-Maghaghi berkata: Ayat ini menunjukkan sebagai suatu isyarat kepada tiadanya kepatuhan terhadap perintah-perintah syarak keluar daripadanya dan menghina dengan hukum-hukumnya. Justeru layaklah Allah murka dan memeranginya dengan sebab memakan riba dan beliau menyatakan penyaksian yang jelas menunjukkan sebesar-besar dalil atas kebenaran ini maka banyaklah mereka yang memakan riba pada permulaan yang kaya berkesudahan dengan meminta-minta kepada manusia.

Sayyid Qutub berkata: “Alangkah dahsyatnya perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya, iaitu satu peperangan yang harus dihadapi jiwa manusia, satu peperangan yang ngeri memang diketahui akibatnya. Sedangkan manusia yang lemah itu dapat bertahan di hadapan kekuatan Ilahi yang Maha Gagah yang membawa kebinasaan dan kemusnahan itu”.

Rasulullah SAW itu memerintahkan gabenornya di Mekah selepas turunnya ayat-ayat ini di masa kebelakangan supaya memerangi keluarga al-Mughirah di sana jika mereka tidak berhenti menjalankan muamalah dengan riba.

Sebelum ini beliau memerintahkan di dalam pidatonya pada hari penaklukan Mekah supaya dihapuskan semua hutang riba di dalam jahiliah, terutamanya hutang riba bapa saudaranya al-Abbas, daripada tanggungan orang yang berhutang yang masih dipikul oleh mereka dalam satu tempoh yang lama selepas Islam.

Sehingga masyarakat Islam menjadi matang dan kukuh segala asasnya dan di waktu ini tibalah masanya bagi sistem ekonominya berubah seluruhnya dari asas riba itu. Rasulullah SAW telah bersabda dalam pidatonya ini: Seluruh (hutang) riba di dalam jahiliah adalah diletakkan di bawah dua tapak kakiku ini (dihapuskan) dan awal-awal (hutang) riba yang aku letakkan kakiku (hapuskan) ialah (hutang) riba al-Abbas.

Al-Imam atau pemerintah Islam - apabila dilantik adalah berkewajipan memerangi golongan yang masih berdegil mengamalkan sistem riba dan menyalahi perintah Allah walaupun mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai orang Islam sebagaimana Abu Bakar r.a memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadah serta mendirikan solat. Sebabnya, seseorang yang enggan mematuhi syariat Allah dan enggan melaksanakannya dalam realiti hidupnya bukanlah seorang muslim yang sebenar.

Namun, perisytiharan perang oleh Allah SWT dan Rasul itu membawa pengertian lebih luas daripada pengertian perang dengan mata pedang dan meriam dari pihak pemerintah. Malah peperangan ini - sebagaimana diumumkan oleh Allah SWT yang paling benar perkataan-Nya - adalah diisytiharkan ke atas setiap masyarakat yang menjadikan riba sebagai asas ekonomi dan sosialnya.

Peperangan ini dilancarkan dalam bentuknya yang syumul dan merangkumi segala-galanya, iaitu peperangan yang menyerang saraf dan hati manusia, peperangan yang menyerang keberkatan dan kemewahan, peperangan yang menyerang kebahagiaan dan ketenteraman.

Peperangan yang dilancarkan Allah SWT yang membuat penderhaka undang-undang dan peraturannya itu berperang satu sama lain, peperangan, pengusiran dan pergaduhan serta kezaliman dan akhir sekali peperangan bersenjata di antara bangsa-bangsa, di antara tentera-tentera dan negara iaitu peperangan yang membawa kemusnahan akibat daripada sistem riba yang terkutuk.

Bernyala membakar

Pemakan-pemakan riba dari kaum kapitalis dunia inilah yang menyalakan api peperangan itu sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

Itulah peperangan yang tidak kunjung padam yang diisytiharkan Allah ke atas golongan manusia yang bermuamalah dengan riba. Kini peperangan itu sedang bernyala membakar segala yang hijau dan segala yang hijau dan segala yang kering di dalam kehidupan manusia yang sesat, tetapi mereka tidak sedar, malah mereka fikir mereka sedang mengaut keuntungan dan maju ke depan setiap kali mereka melihat bukti-bukti barangan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang mereka.

Barangan yang dikeluarkan itu sepatutnya memberi manfaat dan kebahagiaan kepada manusia andainya ia dihasilkan daripada sumber yang bersih. Namun barangan tersebut terhasil daripada sumber riba yang kotor yang hanya melambangkan timbunan sampah saraf yang mencekik pernafasan manusia dan menghempapnya oleh para pemakan riba dunia yang tidak pernah merasa kesakitan manusia yang terhempap di bawah timbunan barangan riba yang terkutuk itu.

Firman Allah: Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.

Ibn Kathir berkata: Dengan meletakkan nilai modal yang asal menyebabkan tidak berlaku zalim menzalimi inilah penyelesaian Islam berhubung dengan taubat daripada riba. Sedangkan An-Nasafi berpendapat mereka yang berhutang tidak dikenakan bayaran lebih daripada hutangnya di samping tidak dikurangkan hak pembeli hutang.

Saturday, 21 June 2008

Pengusaha buah naga raih RM10,000 sebulan


KONSEP pertanian sebagai perniagaan yang diuar-uarkan kerajaan nyata berjaya mendorong lebih ramai individu membabitkan diri dalam bidang itu dan menjadikannya cabang kerjaya dalam membina masa depan gemilang.

Stigma pertanian sebagai ketinggalan dan tiada potensi masa depan kian terhakis kerana ramai yang mengusahakan sektor itu kini berjaya muncul sebagai usahawan tani, hasil usaha tidak mengenal putus asa serta sokongan kerajaan.

Ada yang sudah meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan melalui aktiviti dalam bidang pertanian yang dijalankan secara komersial dan bersaiz besar, termasuk pemuda berasal dari Kluang, Johor, Abdul Rahim Basri, 29, melalui projek tanaman buah naga di Kampung Pulau, Labu, dekat Seremban.

Melalui syarikatnya, Bumi Agriculture, Abdul Rahim membangunkan tanah terbiar seluas kira-kira 1.5 hektar pada 2006 untuk memperluaskan lagi aktiviti perniagaannya selepas melihat potensi buah itu yang mendapat sambutan amat menggalakkan di pasaran.

Lulusan bidang mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, berkata pertanian adalah aktiviti keusahawanan yang menguntungkan jika ia dilakukan secara komersial dan penuh komited.

Katanya, kawasan tapak projek itu disewa daripada penduduk setempat dengan kadar RM300 setahun bagi setiap 0.4 hektar dan memulakan projek dengan modal keseluruhan RM90,000, termasuk RM20,000 pinjaman dari Agrobank.

“Minat mula berputik untuk melaksanakan projek ini selepas menyedari ia amat berpotensi besar di pasaran dan mendapat permintaan tinggi. Malah, harganya juga memberangsangkan berbanding sesetengah buah-buahan tempatan lain.

“Walaupun memerlukan modal besar, kelebihan tanaman ini dan jangka hayatnya sehingga 50 tahun nyata menguntungkan untuk jangka masa panjang,” katanya, yang turut membabitkan diri dalam perniagaan teknologi maklumat (IT).

Abdul Rahim berkata, kaedah penggunaan bahan efektif mikro yang dihasilkan daripada kajian universiti tempatan selain baja asli organik bagi tujuan tumbesaran dan kawalan serangan serangga membolehkan hasil pengeluaran tanamannya mencapai kadar memuaskan.

“Kaedah kawalan secara biologi berbanding penggunaan bahan kimia memberi kesan baik kepada kawalan serangga perosak, sekali gus buah naga yang dihasilkan bermutu tinggi dan selamat untuk dimakan,” katanya, yang mampu meraih pendapatan sekitar RM10,000 sebulan hasil projek itu.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan asas dalam bidang pertanian kecuali pernah mengikuti kursus sehari di Institut Pertanian Malaysia di Ayer Hitam Johor, beliau tidak menjadikannya penghalang untuk mengusahakan projek terbabit sebaik mungkin.

Katanya, pengalaman yang diperoleh melalui perkongsian pintar dengan usahawan lain banyak membantunya menguruskan projek itu dengan berjaya.

“Buah naga melalui projek ini pernah mendapat pengiktirafan sebagai Buah Naga Terbaik pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Sembilan 2007. Kebanyakan hasil ladang ini dipasarkan di pasar borong Selayang dan beberapa pasar tani di Shah Alam dengan harga antara RM6 hingga RM8 sekilogram.

“Sambutan setakat ini amat memberangsangkan, malah kadang-kala tidak mencukupi untuk menampung permintaan. Saya bercadang untuk membuka satu lagi kawasan tanaman buah naga di Batu 10 Labu dengan keluasan kira-kira empat hektar,” katanya.

Katanya, projek ladang terbaru itu dijangka dapat dimulakan dalam tempoh terdekat kerana infrastrukturnya sudah disediakan, malah beliau juga sudah memohon pinjaman RM100,000 dengan Agrobank.

Bapa kepada seorang anak berusia dua setengah tahun yang kini dibantu tiga pekerja menguruskan ladangnya, berkata syarikatnya turut mengeluarkan jus dan jem buah naga. Namun setakat ini pengeluarannya terhad antara 200 hingga 300 botol sebulan.

Beliau yang turut mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Sembilan semakin yakin untuk memajukan lagi projek itu dan berhasrat memasarkan buah naga ke pasaran luar negara, terutama Singapura.

“Saya menyarankan generasi muda, termasuk lepasan universiti dan siswazah menganggur supaya mengikis tanggapan bahawa bidang pertanian tidak menjamin masa depan sedangkan ramai pengusaha sudah berjaya membuktikannya,” katanya.

Friday, 20 June 2008

Tanam Cili boleh Jadi Jutawan

Tanam Cili boleh jad JUTAWAN? kalau kene dengan modal dan volume yang tinggi menghasilkan cili memang tak mustahil dengan pelbagai kaedah kita boleh jadi jutawan cili ..ikuti kisah Nasir dann rakan-rakan dalam projek tanam cilinya .

“Daripada merempit di luar sana lebih baik anak muda menceburi bidang pertanian yang boleh memberi hasil yang lumayan.’’ Itulah nasihat daripada ketua projek teknologi penanaman cili secara fertigasi, Mohd. Nasir Ibrahim, 29, yang tidak mahu melihat anak-anak muda terus hanyut dan leka membuang masa tanpa melakukan perkara yang boleh mendatangkan manfaat.

Justeru , dia bersama dua saudara, Salehuddin Ibrahim, 26, Mohd. Ibrahim, 32, beserta tiga sahabatnya iaitu Shuhaimi Latef, 40, Fakharudin Mat Ali, 30, dan Nazri Abdul Majid, 39, mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang penanaman cili secara sambilan kerana mahu meningkatkan pendapatan melalui bidang pertanian.

Jika dahulu purata pendapatan mereka hanya di bawah RM1,000 setiap bulan, namun setelah menyertai projek perintis dalam kawasan pembangunan pertanian daerah Sik pendapatan setiap daripada mereka menjangkau RM3,000 sebulan dan purata setahun keuntungan yang diperoleh hasil penjualan cili boleh mencecah RM16,000.

Menurut Nasir yang juga menjalankan kerja-kerja pendawaian di sekitar Sik, sebelum menyertai projek teknologi penanaman cili secara fertigasi, dia hanya menanam cili dengan menggunakan kaedah penanaman tradisional dan hasilnya kurang memuaskan.

“Setelah mengikuti projek ini kami dapati hasil pengeluaran cili bertambah dari semasa ke semasa dan hasilnya semakin baik.

“Kini dalam sehari, kami boleh mengutip sehingga satu tan cili bagi setiap lot tanah dan cili itu dijual terus kepada pemborong,” katanya ketika ditemui di ladang mereka di Kampung Hujung Bandar, Sik, Kedah, baru-baru ini.

Menurut Nasir, projek ini adalah kerjasama daripada agensi-agensi yang berada di bawah Kementerian Perindustrian dan Asas Tani seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah MoA Inc.

Sebagai contohnya, MARDI memberikan khidmat nasihat dan input seperti baja, racun dan sebagainya dan membantu dari segi teknologi bagaimana mahu menghasilkan cili yang bermutu tingi.

Ujar Nasir, mereka memilih cili kerana menyedari ia merupakan sayuran jenis berbuah yang popular dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran walaupun harganya sentiasa turun dan naik kerana kemasukan cili daripada luar negara seperti daripada Thailand.

Katanya, sewaktu memulakan projek ini pada tahun 2004, harga cili mengalami kemerosotan yang teruk sehingga jatuh kepada RM1 sekilogram akibat lambakan cili daripada luar.

“Pada waktu itu, memang kami rasa sedih kerana pulangan yang diperoleh tidak berbaloi dengan kudrat kami kerana ia begitu sedikit sehingga kami terfikir untuk menarik diri.

“Namun kerana minat yang mendalam kami tetap teruskan dan semakin lama, harga cili semakin baik dan kini ia mencecah RM5.80 sekilogram dan ini boleh membuatkan kami tersenyum lebar kerana kesabaran kami tidak sia-sia,” katanya.

Projek yang memasuki fasa ketiga ini sedang dituai hasilnya setelah pokok cili variati 568 ditanam pada Di“sember tahun lalu.

“Setiap daripada kami diberi lot tanah masing-masing yang mana setiap seorang menjaga 3000 pokok iaitu 800 beg di bawah struktur pelindung hujan dan 2,200 beg secara terbuka tanpa pelindung hujan.

“Kaedah penanaman cili secara fertigasi memudahkan kerja kami di ladang dan memendekkan waktu kami di ladang kerana sistem pengairan dan pembajaan dilakukan melalui mikro tiub dan dijalankan secara automatik," ujarnya.

Katanya, mereka menggunakan medium tanaman yang terdiri daripada sekam wap yang diperoleh daripada kilang padi di sekitar Alor Star dan sekam bakar tersebut ternyata baik bagi pembesaran anak pokok cili.

Nasir memberitahu, pihak MARDI menggalakkan mereka untuk menanam cili jenis variati 568 kerana ia mempunyai bentuk buah seperti kulai dan mudah dipasarkan.

Selain itu, katanya, buah itu sangat pedas serta pokok mengeluarkan buah yang berterusan dan mula masak di peringkat empat pengeluaran buah iaitu 70-75 hari selepas dipindahkan ke ladang.

Tambahnya lagi, pokok cili varieti 568 juga mempunyai bentuk yang tegap dengan sistem pendahanan yang banyak, seimbang, kuat dan tidak mudah patah selain tidak memerlukan sokongan pada setiap dahan.

“Pokok yang sederhana tinggi dan mudah dipetik menjadikan varieti ini menjadi pilihan penanam dan jangkamasa pemetikan adalah panjang iaitu sehingga tiga bulan,” ujarnya.

Jelas Nasir, mereka menjalankan pemasaran cili sendiri di sekitar Kedah, Pulau Pinang hingga ke sekitar Lembah Klang.

Setakat ini katanya, hasil daripada penjualan cili tidak pernah menghampakan mereka dan tahun ini mereka menjangkakan akan beroleh keuntungan sekitar RM18,000 kerana harga cili meningkat di pasaran.

“Kami hanya memperuntukkan masa selama dua hingga tiga jam di ladang kami untuk memantau pokok-pokok cili.

“Masa yang selebihnya boleh digunakan untuk melakukan pekerjaan lain kerana masa muda inilah kita perlu bekerja kuat untuk masa depan,” katanya.

Menurut Timbalan Pengarah Program Pembangunan Usahawan MARDI, Khadzir Darus, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan keusahawan kerana ia boleh mendatangkan hasil yang lumayan kepada pengusahanya.

“Lihat sahaja enam anak muda di Sik yang mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, mereka membuktikan anak kampung juga boleh berjaya dengan usaha sendiri.

“Malah mereka juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung yang mengambil upah memetik cili di ladang mereka," katanya ketika melawat ladang Nasir dan rakan-rakannya di Sik baru-baru ini.

Menurut Khadzir, pihak MARDI juga sedang berbincang dengan Nasir dan rakan-rakan untuk memberikan peluang kepada mereka supaya mengikuti kursus dalam pembuatan sos cili supaya kepakaran mereka dalam tanaman cili boleh diperluaskan lagi.

copypaste:utusan.com.my

Wednesday, 18 June 2008

Restoran Kelantan Delights


Bekas wartawan buka Restoran Kelantan Delights angkat martabat, popularkan masakan tempatan

PENUTUPAN Restoran Kelantan Delights di Suria KLCC menyebabkan pemiliknya terpaksa mencari lokasi lain untuk mengembalikan semula kemasyhuran restoran menjual makanan eksotik Melayu itu yang pernah membarisi senarai restoran ternama di Kuala Lumpur.

Berpegang kepada prinsip bahawa lokasi adalah kunci utama dalam perniagaan makanan, Juhaidi Yean Abdullah, 49, terpaksa membuat penelitian dan kajian mendalam dalam mencari lokasi baru untuk restorannya.
Beliau akhirnya memilih KL Sentral sebagai tempat 'pertaruhan' baru selepas mengucapkan selamat tinggal kepada KLCC.

Pemilihan restoran di lokasi sekarang, katanya, dibuat setelah beliau meneliti dan meninjau banyak lokasi serta tawaran yang diterimanya daripada pemilik premis beli-belah.

“Ada banyak pihak yang meminta saya membuka restoran di tempat mereka menunjukkan orang sudah kenal jenama Kelantan Delights. Namun, saya amat berhati-hati dalam membuat pemilihan dan akhirnya memilih KL Sentral sebagai tempat pertaruhan baru selepas mengucapkan selamat tinggal kepada KLCC,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya mengapa memilih KL Sentral, bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed itu menjelaskan, selain kadar sewa yang jauh lebih murah, lokasi KL Sentral yang strategik menjadi faktor utama dalam perniagaan makanan.

“Tempat ini akan terus dikembangkan sehingga tempoh 15 tahun akan datang. Ini adalah denyut nadi Kuala Lumpur. Saya yakin perniagaan saya mampu menjadi lebih berjaya di sini,” katanya yang meletakkan jawatan berkenaan baru-baru ini untuk menumpukan perhatian terhadap restorannya.

Juhaidi yang pernah bertugas sebagai wartawan meja jenayah di New Straits Times dari 1988 hingga 1995 berkata, mana-mana usahawan baru yang ingin membuka perniagaan perlu mencari lokasi yang mudah dikunjungi dan tempat itu menjadi tumpuan orang ramai.

“Perniagaan ini bergantung kepada 'volume' atau jumlah pelanggan yang datang,” katanya.

Sememangnya kita sentiasa belajar daripada kesilapan. Begitu juga Juhaidi.

Asal-usulnya beliau menyedari bahawa lokasi itu penting dalam perniagaan makanan adalah daripada pengalamannya sendiri.

Sebelum membuka restoran di Suria KLCC, beliau sebenarnya pernah membuka restoran makanan Thai di Plaza Warisan, terletak berhampiran Perhentian Bas Klang di sebelah stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.

“Sayangnya, ramai yang tidak tahu tempat ini. Saya pernah cuba menaiki teksi dan meminta di hantar ke Plaza Warisan, malangnya pemandu teksi pun tak tahu tempat ini.

“Fikir saya, kalaulah pemandu teksi yang tiap-tiap berputar di tengah-tengah Kuala Lumpur tak tahu tempat itu, ini petanda buruk,” katanya.

Telahannya benar belaka. Setelah dibuka selama dua tahun pada 1995, perniagaannya di situ ditutup kerana kekurangan pelanggan dan beliau mula mencari lokasi baru.

“Kebetulan pada masa itu iaitu pada 1997, saya tahu KLCC akan dibuka, saya pun cepat-cepat memohon untuk membuka perniagaan di medan seleranya di tingkat dua. Di situlah bermulanya cerita Kelantan Delights yang bermula di medan selera.

“Hanya setelah tiga tahun di medan selera dan pengunjung pula terpaksa beratur panjang kami membuka restoran di Suria KLCC, tetapi yang sedihnya ia terpaksa ditutup juga akhirnya,” katanya.

Di awal pembukaan Menara Berkembar KLCC sekitar 1997 dulu, antara tempat utama pilihan pengunjung untuk menjamu selera apabila mengunjungi bangunan tertinggi di dunia ketika itu adalah di medan selera Suria KLCC yang terletak di tingkat dua.

Antara gerai makanan di situ yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung adalah Kelantan Delights yang terkenal dengan masakan istimewa Kelantan seperti nasi dagang dan nasi kerabu.

Keenakan masakan di situ terutama nasi dagangnya dengan pantas menjadi bualan ramai. Namun kini, semuanya hanya tinggal sejarah apabila restoran berkenaan terpaksa ditutup atas pelbagai sebab, termasuk kadar sewa yang tinggi.

Menceritakan detik awal pembukaan Kelantan Delights di KLCC, Juhaidi berkata, pada waktu itu negara mengalami kegawatan ekonomi menyebabkan tidak ramai pihak berani membuat pelaburan berjumlah beratus-ratus ribu.

Yakin dengan potensi perniagaan di situ, beliau mula mencari sumber kewangan untuk perniagaan barunya.

Nasib menyebelahinya, hubungan baik dengan Tun Mohd Hanif Omar meyakinkan bekas Ketua Polis Negara itu membantunya menyediakan modal awal perniagaan.

“Dengan modal kira-kira RM300,000 akhirnya saya berjaya membuka perniagaan di situ di sebalik pandangan sinis setengah pihak yang kurang yakin nasi dagang Kelantan boleh berjaya di KLCC yang dianggap sebagai tempat bertaraf dunia,” katanya.

Juhaidi menambah, personaliti terkemuka lain yang menjadi pendorong kepadanya membuka perniagaan restoran makanan Melayu ialah bekas Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Zakiah Hanum.

“Datuk Zakiah Hanum pernah mencabar saya dan berkata, teruk sangatkah makanan Melayu ini sehingga tiada sesiapa pun yang nak membuka restoran lima bintang khusus bagi menjual makanan eksotik Melayu di Kuala Lumpur ini.

“Tercabar dengan cabaran budayawan itu, saya nekad untuk membuka Kelantan Delights sehingga jenama itu kini sebaris dengan restoran terkemuka lain di negara ini,” katanya.

INFO: Restoran Kelantan Delights

  • Beroperasi di KL Sentral

  • Jual masakan istimewa Kelantan seperti nasi dagang dan nasi kerabu

  • Sebelum ini beroperasi di Suria KLCC.
  • Monday, 16 June 2008

    Panduan Buat blog Wordpress Free

    Semalam blogger ramzwatch telah menerbit kan ebook cara2 atau panduan buat ebook menggunakan wordpress so saper nak belajar buat blog gunakan panduan nih download lah sekarang sebab kalo yang jual punya kurang2 rm50 harganya nih free jek downloadlah sekarang juga :) sebelum dier ubah fikiran nak jual .

    Klik untuk Dapatkan Panduan Percuma Wordpress RajaBlog
    Klik untuk Dapatkan Panduan Percuma Wordpress RajaBlog

    Saturday, 14 June 2008

    Kek D’Gateaux takluk pasaran dunia

    PRODUKNYA telah jauh menjelajah sehingga ke Tahiti, beberapa negara Asia dan Eropah, di samping mengisi rak-rak di hampir semua pasar raya besar di negara ini.

    Begitupun, itu masih belum cukup untuk membanggakan kepada syarikat yang baru mencecah usia lima tahun ini, kerana masih banyak yang perlu dilakukan terutama daripada segi pemasaran dan promosi agar produk bakeri yang diberi nama D’Gateaux terus dikenali ke seluruh pelosok dunia.

    Impian pemiliknya hanya satu, iaitu menjelang akhir tahun syarikat perlu mendapat tempahan produk sebanyak tiga hingga empat kontena makanan sebulan.

    Ini akan menjadi titik tolak kepada pencapaian yang boleh dianggap besar tetapi masih ditahap permulaan kepada Deligateaux (M) Sdn. Bhd.

    Dua individu menjadi tunjang kepada kekuatan Deligateaux sudah tentu Pengarahnya, Datin Hamida Hassan dan suami, Datuk A. Sani Karim sebagai Pengerusi Eksekutif.

    Hamida yang ditemui di kilang D’Gateaux di Bandar Pinggiran Subang, Subang, Selangor, memberitahu, pembabitan mereka dalam perniagaan tersebut berlaku secara kebetulan.

    “Mulanya kami hanya ingin membantu rakan yang mempunyai masalah kewangan, sebaliknya telah ditawarkan untuk menguruskan syarikat.

    “Saya tak pernah bermimpi untuk melibatkan diri dalam bidang bakeri kerana kami berdua tidak ada asas, saya lebih kepada bidang pentadbiran manakala suami, kejuruteraan.

    “Malah, waktu itu kami sudah mempunyai syarikat kejuruteraan sendiri yang berdaya saing.

    “Bagaimanapun, kami sahut cabaran itu. Kami buat beberapa pembaharuan termasuk menukar nama produk kepada Deligateaux, yang dalam bahasa Perancis bermaksud kedai kek. Kemudian kami singkatkan kepada D’Gateaux yang lebih catchy dan komersial,’’ katanya.

    Sementara itu menurut suaminya, A. Sani, kini D’Gateaux mempunyai 36 produk yang merangkumi kek paun, kek buah, kek cawan, kek bulat dan brownie.

    “Ia terbahagi kepada sejuk beku dan bukan sejuk beku. Konsep produk kami cukup senang iaitu sedia untuk dimakan, panas dan hidang atau menyahsejuk beku dan hidang,’’ katanya.

    Bercerita lebih lanjut mengenai permulaan pemasarannya, Sani memberitahu, daripada hanya dipasarkan di sebuah pasar raya biasa, kini produk D’Gateaux telah berkembang ke hampir semua pasar raya besar di seluruh negara selain di kedai Mesra Petronas.

    “Begitu pun, ramai pelanggan yang mungkin tidak perasan dengan produk ini kerana semua yang digunakan menggunakan jenama pasar raya terbabit. Tetapi, jika diteliti di pembungkusannya terdapat cop dagang D’Gateaux,’’ katanya.

    Produk yang halal
    Kini jelasnya, permintaan terhadap produk bakeri d’Gateaux yang bukan sahaja halal tetapi berkualiti dan setaraf dengan produk luar negara, sedang menunggu peluang untuk dipasarkan ke Belanda, Korea, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.

    Walaupun telah melepasi sempadan ke Tahiti dan Macau serta berjaya menembusi pasar raya besar di London, selain disenaraikan sebagai 30 pengeluar kek keju dan quiche yang berdaya maju di dunia, tetapi ujar Sani, masih belum berjaya menembusi pasaran negara-negara Arab.

    “Kami mahu produk D’Gateaux mendapat tempat di hati orang Islam kerana inilah produk yang halal bahkan satu-satunya tiramisu yang tidak mempunyai alkohol,’’ jelasnya.

    Disampuk pula oleh Hamida, mengenai resipi, semuanya merupakan perahan minda chef-chef yang bekerja di syarikat tersebut.

    “Kami berbangga mempunyai chef berpengalaman dan kreatif yang mampu mengeluarkan idea membanggakan sehingga menjadikan produk D’Gateaux setanding dengan produk luar.

    “Produk terbaru iaitu mousse cake yang mengandungi pelbagai perisa dijangka mendapat sambutan hangat kerana bukan sahaja segera boleh dimakan malah diserta dengan sudu.

    “Begitu juga dengan Semolina Date, Quiche dan Chocolate Truffle. Semuanya merupakan produk yang menjadi kegemaran pelanggan,’’ ujar wanita yang berkelulusan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.

    Ibu kepada empat orang anak yang berusia 20 hingga 28 tahun ini menjelaskan, walaupun mempunyai saingan yang banyak, tetapi dibandingkan dengan kualiti dan kepelbagaian produk, D’Gateaux mempunyai kelainan yang mampu bersaing dengan syarikat lain.

    “Selain mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), D’Gateaux juga memperoleh sijil Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) dan sijil piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP).

    “Kami sentiasa mengadakan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang bakeri ini bagi menambahbaik dan mempelbagaikan produk sedia ada selain mencari peluang pemasaran yang masih belum ditembusi.

    “Justeru itu, banyak ekspo perdagangan sama ada di dalam dan luar negara disertai bagi memperkenalkan D’Gateaux,’’ jelasnya.

    sumber utusan.com

    Sunday, 8 June 2008

    Tokey Pati Halia Tak Pernah Buat Pinjaman Untuk Berniaga


    SIKAPNYA yang merendah diri, sedikitpun tidak me nampakkan beliau seorang Pengarah Urusan di sebuah syarikat Bumiputera berjaya.

    Malah, ketika dipelawa untuk menyertai ruangan ini, Rushdi Abdullah, 38, pantas menolak pada awalnya dengan alasan dirinya tidak layak.

    “Saya masih tak layak, tiada rumah atau kereta besar seperti mana orang lain (yang pernah disiarkan sebelum ini),” katanya.

    Namun, selepas dipujuk dan diyakinkan beberapa kali, anak muda yang berjawatan Pengarah Urusan Dunia Herbs Sales & Marketing, (pengeluar produk Losyen Mustajab Pati Halia), tidak mampu menolak.

    Penulis meyakinkannya, rumah atau kereta besar adalah bonus yang turut melambangkan kejayaan seseorang namun pada diri Rushdi, pengalamannya menubuhkan syarikat yang baru setahun jagung bermula daripada seorang kakitangan sehingga kini 35 orang selain produknya yang berjaya dijual 120,000 botol sebulan, cukup untuk melayakkannya mengisi ruangan kali ini.

    Di samping itu, beliau juga salah seorang usahawan yang agresif mengiklankan produknya di media terutama akhbar ini yang sinonim dengan warna kuning dan oren sama seperti warna produk Pati Halia.

    “Sebenarnya saya segan dan rasa tak sesuai untuk ruangan ini,” katanya membuka bicara dalam satu pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

    Begitupun, ketika topik perbincangan menyentuh pro duknya, Rushdi rancak berbual sambil diselang-seli deraian tawa dan senyuman. Malah, pada satu ketika, Rushdi sedih dan hampir menitiskan air mata apabila bercerita mengenai kesusahan yang dilaluinya satu masa dulu.

    Sepanjang bertemu dengannya, orangnya peramah, mudah didekati dan mempunyai banyak idea terutama untuk me majukan syarikat.

    Tidak menghairankan, kurang empat tahun Pati Halia diperkenalkan, produk itu kini boleh diibaratkan bagai pisang goreng panas yang menjadi rebutan.

    Dikatakan demikian, setiap hari purata 4,000 botol Pati Halia ditempah sama ada diambil sendiri pengedar atau stokis serta dihantar ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sa rawak.

    Melihatkan senario itu, Rushdi seharusnya boleh menarik nafas lega atau duduk diam namun katanya ini baru per mulaan, banyak lagi perlu dilakukan.
    “Kami baru ada satu produk dan akan tambah beberapa lagi pada masa depan selain buat pembungkusan baru. Selepas itu, saya berhasrat memasuki pasaran global,” katanya.

    Pati Halia yang dikeluarkan itu sesuai kegunaan seisi keluarga terutama ibu selepas bersalin untuk membantu menghilangkan kesan 'pecah' di perut, selulit, kembung perut, sengal otot dan sendi, sakit pinggang, kebas tangan dan kaki, melegakan angin dalam badan, perut atau gastrik.

    Kelebihannya kata Rushdi, ia menggunakan 100 peratus pati halia yang dapat mempercepatkan penyerapan, tidak ber minyak dan sesuai untuk tujuan urutan bagi memecahkan lemak serta menjadikan badan lebih langsing.

    Rushdi berkata, khasiat yang ditawarkan produk itu sama seperti yang ada pada halia tetapi ia dihasilkan dalam bentuk ekstrak dan losyen.

    Sebenarnya, idea mengkomersialkan halia timbul berikutan Rushdi sendiri mengalami masalah angin dalam badan selain dia suka minuman berkenaan.

    “Idea ini wujud pada 2005 ketika saya minum air halia. Saya terfikir cara lain untuk menghilangkan masalah angin selain minum. Selepas itu, saya jumpa pakar minta buat kajian di makmal mengenai halia.

    “Dalam tempoh beberapa bulan, formula dalam bentuk losyen ini dihasilkan namun cabaran menanti iaitu me masarkannya. Awalnya, saya hanya menjual kepada kenalan dan saudara. Mereka cuba dan mengakui ada kesan dan ia disampaikan mulut ke mulut,” katanya.

    Pada masa sama, tidak kira siang atau malam, Rushdi membawa produknya ke hulu ke hilir diiringi seorang kakitangan.

    Pengalaman manis katanya, dia bersama kakitangan ber kenaan, melakukan semua kerja daripada menampal label, pembungkusan, tempahan sehingga penghantaran.

    Berkat kesabaran, produknya semakin hari mendapat sam butan, daripada puluhan botol sehari, ia meningkat ratusan dan kini melebihi 100,000 botol sebulan. Begitu juga bermula daripada seorang kakitangan, kini memiliki 35 orang ter masuk di Restoran Sabak, Taman Melati selain anak syarikat, Beauty Herbs Marketing hanya tidak sampai empat tahun.

    Bagaimanapun, kejayaan yang dilalui Rushdi, tidak se mudah disangka. Sebelum penubuhan Dunia Herbs Sales & Marketing, anak kedua daripada enam beradik itu pernah berniaga menjual tudung dan kuih cha koi.

    Katanya, bermodalkan RM10,000 hasil perniagaan cha koi, dia menghasilkan Pati Halia dan membuka syarikat.

    Namun, pengalaman paling tidak dilupakannya apabila terpaksa menutup perniagaan menjual tudung yang di usahakan bapanya, Abdullah Che Wel.

    “Dari kecil, selepas habis sekolah, ayah bawa saya ke kedai membantunya berniaga. Ketika di sekolah menengah, ke luarga berpindah ke Kuala Lumpur kerana ayah dapat kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    “Selepas habis sekolah, saya bantu ayah dan pada usia 23 tahun, ayah amanahkan kedainya kepada saya. Namun, saya tidak dapat uruskan dengan baik sehingga ia ditutup lima tahun kemudian dan saya akui ia kesilapan sendiri,” katanya sebak.

    Pada masa itu, katanya, ibu dan bapanya sudah pulang ke Kelantan dan berasa bertanggungjawab di atas kegagalannya, Rushdi tekad tidak mahu pulang sebaliknya mahu menebus kembali dengan kejayaan satu hari nanti.

    “Selepas kedai ditutup, saya kecewa dan putus asa malah menyewa di sebuah bilik meskipun ada saudara di sini. Saya mencari kerja dan diterima di sebuah syarikat pemaju namun mampu bertahan lima bulan saja.

    “Saya fikir saya perlu berdikari dan selepas berhenti, saya menjual cha koi selama dua tahun. Perniagaan mendapat sambutan dan hasil daripada berniaga itu saya gunakan untuk mengusahakan produk Pati Halia ini,” katanya.

    Empat tahun berkembang sehingga mendapat sambutan menggalakkan, perniagaan Rushdi tidak terkecuali 'diusik' apabila wujudnya produk tiruan di pasaran yang dikesan tahun lalu.

    “Saya sedih dan kecewa apabila dapat tahu ada produk tiruan, saya minta mereka yang menjumpai atau hadapi masalah selepas menggunakannya, hubungi kami di talian 03-40232440 supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

    Profil
    NAMA: Rushdi Abdullah
    USIA: 38 tahun
    LAHIR: 14 Jun 1970 di Rantau Panjang, Kelantan
    JAWATAN: Pengarah Urusan Dunia Herbs Sales & Mar keting
    ANAK SYARIKAT:
    1) Beauty Herbs Marketing (Pengeluar produk kecantikan dan kesihatan wanita)
    2) Restoran Sabak (Taman Melati, Gombak)
    ISTERI: Suhaini Hanafi, 23 tahun
    PENDIDIKAN: 1) Sekolah Rendah Kebangsaan Rantau Panjang, Kelantan
    2) Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, Kuala Lumpur


    Tak Pernak Buat Pinjaman


    SEBELUM menubuhkan syarikat dan mengeluarkan produk sendiri dengan jenama Losyen Mustajab Pati Halia pada 2006, Rushdi Abdullah tiada sedikitpun pengalaman apatah lagi ilmu atau pendidikan dalam bidang berkenaan.

    Namun, anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu tidak menjadikan ia halangan sebaliknya minat, keyakinan dan kesungguhan sandaran utama untuk melangkah ke depan.

    Rushdi bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilalui hari ini bagaimanapun beliau yakin dan percaya dengan ketentuan serta rezeki kurniaan Allah SWT.

    “Saya terkejut, bayangkan daripada tiada apa-apa malah pernah jatuh satu ketika, kini perniagaan semakin mendapat sambutan. Begitupun, nak dikatakan berjaya, masih jauh lagi namun saya sangat bersyukur,” katanya.

    Menurutnya, ilmu yang diperoleh daripada pengalaman dan cabaran dihadapi di samping bantuan pakar serta mereka yang mahir banyak mencorakkan kejayaan hari ini.

    “Saya gabungkan semua ini untuk menghasilkan produk losyen dan mungkin sudah rezeki ia diterima masyarakat,” katanya yang bermula daripada bawah sehingga dikenali di seluruh negara.

    Untuk usahawan baru atau mereka yang hendak terbabit dalam sesuatu perniagaan, Rushdi ada petua sebagai pan duan.

    “Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, masalah orang kita (Melayu) ialah modal, strategi pemasaran dan pembungkusan. Bagi yang tiada modal, mulakan dengan apa yang ada namun jika ada modal banyak sekalipun, ia belum tentu berjaya jika tidak pandai uruskan.

    “Kita juga perlu ada ilmu dan bijaksana menggunakan modal yang ada selain strategi pemasaran, pembungkusan dan pengurusan diuruskan sebaiknya.

    “Selain itu, iklan antara medium terbaik dan penting untuk promosikan produk dan ia mesti kena pada masa dan golongan sasar,” katanya.

    Rushdi berkata, seseorang usahawan juga harus memiliki sikap jujur di samping bekerja kuat dan kreatif.

    “Pelanggan hari ini semakin bijak dan matang, jika kita tidak jujur, sukar untuk mereka percaya di samping semangat untuk bekerja kuat, 'work smart' bukannya 'work hard',” katanya yang mengakui syarikatnya perintis kepada produk berasaskan halia.

    Menarik mengenai Rushdi, dia tidak pernah membuat pinjaman dari awal perniagaan hingga ke hari ini kerana katanya ia boleh menimbulkan masalah kemudian hari.

    Mengenai perancangan syarikatnya, menurut Rushdi, pi haknya dalam proses mengeluarkan produk baru selain mensasarkan produk syarikat memasuki pasaran luar negara seperti Timur Tengah, Asia dan Eropah.

    Selain itu, syarikatnya juga berhasrat mengkomersialkan herba lain seperti serai dan kunyit melalui kerjasama dengan pelbagai agensi.

    sumber: hmetro.com.my

    Friday, 6 June 2008

    Jutawan Busana Muslimah


    KEPAYAHAN mencari dan memperoleh pakaian Muslimah untuk keempat-empat anak perempuannya, menyebabkan jurutera elektrik di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang selama tujuh tahun demi menghasilkan rekaan pakaiannya sendiri, sekali gus memberi pilihan dan kemudahan kepada kaum ibu sepertinya.

    Pun begitu, keputusan tersebut bukan mudah bagi graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Anizah Zainudin, 33 tahun, lebih-lebih lagi setelah memiliki pekerjaan selesa serta bergaji lumayan.

    Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, SHAIFUDIN MOHD. NOR menemubual ibu muda berasal dari Kuala Selangor ini berkongsi pengalaman beliau menubuhkan butik busana Muslim yang bercita rasa moden khas buat kanak-kanak dengan menggunakan jenama AL AMIN Kids di kedainya yang terletak di SACC Mall, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

    MEGA: Adakah anda pernah terfikir berkecimpung dalam dunia perniagaan sebelum ini dan apakah yang membuka jalan anda ke arah bergelar usahawan?

    ANIZAH: Langsung tidak pernah. Ini kerana, semenjak zaman persekolahan lagi saya selalu diingatkan supaya belajar bersungguh-sungguh dan kemudian mencari kerja yang baik.

    Keinginan bergelar usahawan didorong oleh kesukaran mencari pakaian kanak-kanak yang menepati tuntutan syariat berpakaian Muslim, terutamanya menjelang hari raya.

    Ia secara tidak langsung, mencetuskan satu idea untuk membuka bisnes berkaitan, selain memberi kemudahan dan mendidik cara pemakaian kanak-kanak Muslim pada peringkat awal lagi. Malah apa yang saya lakukan ini adalah satu fardu kifayah.

    Semangat saya semakin berkobar-kobar apabila melihat pendapatan suami, Nasaruddin Abu Bakar, 34, hasil daripada mengusahakan bisnes pengendalian takaful mengalahkan kita yang makan gaji.

    Dari situ saya dapat lihat kebenaran saranan Baginda Rasulullah SAW bahawa: Sembilan daripada 10 punca pendapatan adalah daripada sumber perniagaan. Apatah lagi, suami selalu memberi galakan dan sokongan terutamanya daripada segi pemasaran.

    Berdasarkan beberapa faktor di atas, mendorong saya untuk menubuhkan perniagaan pakaian AL AMIN Kids. Cetusan atau ilham penubuhannya datang pada Mei 2007 dan direalisasikan dua bulan kemudian.

    Alhamdulillah, kini AL AMIN Kids mempunyai pelbagai pilihan koleksi pakaian merangkumi pakaian untuk majlis hari lahir, perayaan, sukan, ibadah, kasual, santai dan majlis keraian serta aksesori daripada umur dua hingga 14 tahun terutamanya bagi kanak-kanak perempuan. Pun begitu, terdapat juga koleksi pakaian kanak-kanak lelaki tetapi tidaklah banyak sangat. Ini kerana pakaian kanak-kanak lelaki tidaklah menghadapi masalah berkaitan syariat berpakaian di dalam Islam.

    Bagi mereka yang berminat dengan koleksi pakaian AL AMIN Kids tetapi tinggal di luar Shah Alam, ada tidak dibuka cawangan-cawangan lain bagi memberi kemudahan kepada pelanggan anda?

    ANIZAH: Kami memang mengalu-alukan kunjungan pelanggan dan untuk memastikan koleksi AL AMIN Kids sampai kepada semua, kami mempunyai stokis dan pengedar. Bagi penduduk sekitar Lembah Klang, selain ke Shah Alam, mereka juga boleh berkunjung ke Giant Bandar Kinrara, Puchong atau ke Tesco Selayang.

    Kami juga mempunyai stokis negeri di Kemaman, Terengganu. Manakala beberapa pengedar di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Perak dan Petaling Jaya.

    Saya juga menggalakkan mereka yang berminat untuk menjadi stokis atau pengedar agar menghubungi pejabat di talian 03-5519 9488 atau layari laman web www.Alaminkids.com

    Dalam penghasilan pakaian-pakaian berjenama AL AMIN Kids, selain menitikberatkan faktor syariat, apa lagi aspek yang anda ambil kira?

    ANIZAH: Berbalik kepada tujuan asal saya membuka perniagaan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan pakaian terutamanya buat anak-anak perempuan saya.

    Kini, alhamdulillah usaha ini bukan sahaja memudahkan, saya tetapi sekurang-kurangnya telah memberi kemudahan kepada mereka yang lain serta mendidik generasi Muslim kita dalam aspek berpakaian menepati tuntutan syariat.

    Di samping itu, AL AMIN Kids turut memastikan setiap rekaan dan material yang dipilih akan memberi keselesaan kepada kanak-kanak. Penggunaan rona-rona warna yang lembut menjadi keutamaan saya.

    AL AMIN Kids juga menawarkan harga yang berpatutan selain menyediakan pelbagai keistimewaan dan promosi kepada setiap ahlinya. Ini bertepatan dengan konsep yang dibawa iaitu Selesa, Sesuai dan Mampu Milik (Cool, Proper and Affordable)

    Daripada jawatan yang disandang sebelum ini, tentunya anda menghadapi dilema untuk melepaskannya, apatah lagi diketahui bahawa dunia perniagaan berisiko tinggi. Oleh itu, apakah persediaan yang anda lakukan bagi menyakinkan diri mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan?

    ANIZAH: Saya akui seronok bekerja walaupun dengan pendapatan gaji bulanan. Ini terbukti apabila saya pernah menerima anugerah Pekerja Cemerlang 2005.

    Selain bertitik-tolak daripada kepayahan memperoleh pakaian bersesuaian untuk anak-anak, saya mula nampak masa depan luas sekiranya kita berniaga sendiri ialah daripada apa yang diusahakan suami.

    Suami, Nasaruddin Abu Bakar, 34 tahun, bukan sahaja membuktikan bahawa perniagaan takaful yang diusahakan membawa pulangan yang lumayan, beliau turut berjaya melahirkan penggerak-penggerak ejen takaful yang berjaya.

    Malah sebelum terjun dalam dunia perniagaan, saya terlebih dahulu belajar membuat pasaran dengan menjual takaful. Alhamdulillah dalam tempoh beberapa bulan di bawah seliaan dan tunjuk ajar suami, saya lebih berkeyakinan dan selepas mendapat lampu hijau daripadanya, saya tidak menoleh ke belakang dan terus rebut peluang ini.

    Yang pasti, suami selalu latih saya untuk berniaga dan motivasi itu datang daripadanya.

    Alhamdulillah, sungguhpun belum sampai setahun usia AL AMIN Kids, sambutannya sudah nampak ketara di mana ruang permintaannya adalah tinggi.

    Memanglah ada yang beranggapan langkah yang diambil ini bukanlah satu langkah bijak, tetapi desakan hati yang mahu menyumbang sesuatu yang lebih bermakna, mengatasi segalanya.

    Tambahan pula, keyakinan itu semakin menjadi-jadi selepas sekembalinya saya dan suami dari Mekah kerana menunaikan haji.

    Sebelum ini, saya terlintas membuka perniagaan aksesori kereta tetapi berkat doa di Tanah Suci, hati saya terdorong untuk membuat bisnes pakaian kanak-kanak.

    Pun begitu dengan bermodalkan RM80,000, tekad dibulatkan tetapi atas niat untuk membangunkan ummah dan bukan aspek material yang menjadi keutamaan semata-mata. Bersama suami kami bersama-sama menerajui syarikat Fokas Fikir Sdn. Bhd.

    Apakah perancangan anda seterusnya?

    ANIZAH: Mengakui bahawa anak-anak adalah amanah Allah. Lantaran itu, harapan kami semoga jenama AL AMIN Kids dapat memberi pelbagai pilihan fesyen kepada kanak-kanak Muslim dan mendapat sokongan daripada semua pihak.

    Ia bertepatan dengan pemilihan nama jenama AL AMIN Kids iaitu bersempena dengan gelaran Rasulullah SAW iaitu 'Al-Amin' yang bermaksud amanah.

    Insya-Allah, saya juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan rekaan dengan berusaha mencari idea-idea baru dan segar. Di samping itu, saya juga merancang untuk menyediakan pakaian untuk remaja.

    Bagi saya kepuasan pelanggan adalah kepuasan saya juga.

    sumber : www.utusan.com.my

    Monday, 2 June 2008

    Umur 28 dah JUTAWAN

    USIANYA genap 28 tahun 14 Mei lalu, namun pemilik nama Asmadi Awang ini memiliki segala-galanya — keluarga bahagia dengan isteri dan seorang anak perempuan comel, rumah teres dua tingkat, kereta mewah Volvo jenis S60 bernilai hampir RM200,000 serta syarikat sendiri.

    Dalam usia semuda itu, anak kelahiran Manir, Terengganu ini yang kini berjawatan Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn Bhd, memiliki 70 kakitangan untuk menguruskan syarikat miliknya.
    Kejayaan yang boleh disifatkan berlaku sekelip mata itu semuanya hasil `penangan’ lintah, cacing dan belut. Daripada satu syarikat induk, Art Soulist Holdings Sdn Bhd yang ditubuhkan 1999, ia kini ‘beranak’ kepada lima anak syarikat.

    Antaranya, Art Soulist Commercial Sdn Bhd; Art Soulist Marketing Sdn Bhd; Art Soulist Plantation Sdn Bhd dan Art Soulist Factory Sdn Bhd.

    Melalui syarikat berkenaan, tiga haiwan itu bukan saja diternak, tetapi turut diproses sehingga menjadi bahan separuh siap dan siap, antaranya Minyak Lintah Tapa Plus, Absolut, DD Slim, Tapa Cafe, Tapa Pam Vacum dan Tapa Teruna Jus.

    Produk dihasilkan itu merangkumi kesihatan lelaki, wanita, kosmetik, pertanian dan ekstrak. Pengedarannya tidak terhad di negara ini, malah sampai ke Dubai, Korea Selatan, China, Vietnam, Thailand, Singapura dan bakal ke Eropah.

    Art Agrotech Sdn Bhd turut mempunyai ribuan vendor atau usahawan dengan bilangan menternak lintah seramai 1,000 vendor; cacing (500) dan belut (300) di seluruh negara.

    “Saya terkejut dan tak percaya dengan apa yang diperoleh. Semua ini rezeki kurniaan Allah SWT. Begitupun, sebelum sampai ke tahap ini, pelbagai cabaran dan dugaan dilalui, malah ada yang kata saya gila buat kerja ini (ternak lintah),” katanya.

    Usia muda terbukti bukan halangan untuk Asmadi berjaya kerana baginya jika ada kemahuan, di situ ada laluan untuk melakar kejayaan.

    Sebenarnya, Asmadi tiada latar-belakang berniaga, jauh sekali dilahirkan dalam keluarga perniagaan, tetapi semuanya kerana minat, kesungguhan dan keyakinan.

    “Ayah mahu saya jadi ustaz, sebab itu saya dimasukkan ke sekolah menengah agama, namun selepas saya diterima ke UPM dalam bidang perikanan, dia beri sokongan,” katanya.

    Ketika kecil, anak keempat daripada sembilan beradik itu didedah kepada dunia perniagaan apabila menjual nasi lemak ibunya, Kelethum Abdul Rahman di sekolah.

    “Adik-beradik saya ramai dan kami hidup susah sehingga pernah berkongsi makanan. Justeru, saya tak malu jual nasi lemak di sekolah bermula dari darjah tiga hingga enam kerana mahu bantu emak,” katanya.

    Selepas berjaya menggenggam Diploma Perikanan daripada UPM, Asmadi mengikuti pengajian di Kustem (Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia) dalam bidang agro teknologi.

    Ketika rakan lain sibuk mengulang kaji pelajaran, Asmadi sibuk menguruskan kolam ikan peliharaannya seluas 0.16 hektar di Padang Midin, Kuala Terengganu pada 2000.

    “Kolam itu bisnes pertama saya dan ia wujud hasil cabaran pensyarah yang mahu saya praktikkan ilmu dipelajari. Sebelumnya, kolam itu diternak udang dan kami mengumpul modal hampir RM30,000 untuk mengambil alih dan mengusahakannya dengan ternakan ikan talapia, keli, baung dan patin.

    “Pada masa itu keyakinan saya hanya 50 peratus kerana tidak pernah terbabit dalam apa-apa perniagaan dan hanya berdasarkan ilmu dipelajari,” katanya yang menubuhkan syarikat Nabil Aqua Gold ketika itu.

    Begitupun, katanya, perniagaan itu hanya bertahan tiga tahun apabila satu pagi ketika dia bersemangat untuk mengutip hasil ternakan, semua ikan mati, dipercayai terkena racun.

    Asmadi menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit, termasuk menggaji tiga kakitangan selain menerima deposit daripada pemborong.

    Selepas kejadian itu Asmadi ‘menyembunyikan’ diri akibat kekecewaan dengan bekerja kilang. Mungkin tertulis rezekinya pada lintah, pada 2005, dia bertemu rakan sekampung yang ketika itu mengusahakan produk lintah dengan jenama Minyak Lintah Tapa sejak 1990-an.

    Hasil pertemuan itu, rakannya memerlukan lintah dalam kuantiti banyak dan mereka turut berbincang mempelbagaikan produk lintah. Yang menjadi masalah, kata Asmadi, lintah sukar dicari kerana tiada sesiapa mengusahakannya secara komersial.

    Berikutan itu, dia menjelajah ke seluruh negara untuk mencari lintah, termasuk meminta bantuan daripada Orang Asli dengan bayaran RM30 sekilogram.

    “Apabila masuk ke kampung dan memberitahu saya nak beli lintah, ada yang terkejut dan kata saya gila. Ada juga berkata kenapa cari lintah, sedangkan banyak benda lain boleh dibuat.

    “Setiap hari saya cari di merata tempat dan dalam sebulan saya hanya dapat 100 kilogram. Disebabkan tiada orang ternak lintah, saya bersama rakan melakukannya dengan permulaan 10 kolam di Kuala Berang,” katanya.

    Lebih mengharukan, kata Asmadi, pihak yang dulunya memperlekeh bidang berkenaan kini antara usahawan lintah berjaya.

    Sejak menternak lintah, dia bersama dua sahabat yang juga rakan kongsi, iaitu Zamri Ibrahim (Pengarah Urusan Art Soulist) dan Syed Osman Ismail (Pengerusi Art Soulist) berusaha gigih mempelbagaikan produk dan kajian.

    “Mereka berdua juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai dunia perniagaan. Tanpa mereka, saya tidak akan ada di tahap ini,” katanya.

    Asmadi yang ada ilmu agro teknologi mempraktikkannya melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D); mewujudkan teknologi sendiri dan menghasilkan produk hasil gabungan pengalaman dan idea bersama rakan kongsi.

    Kini, dengan kilang sendiri di Ajil, Terengganu, mereka mengeluarkan 35 produk, selain mempunyai seorang wakil di setiap negeri yang mengumpul bahan dari seluruh negara.

    Selepas lintah, belut dan cacing, Asmadi merancang menternak lipas yang diakui golongan berusia berkhasiat untuk rawatan resdung dan muka.

    “Idea untuk menternak ini timbul secara tidak sengaja selain melihat keadaan sekeliling, misalnya, ketika melawat seorang rakan, ada seorang warga emas menggunakan lipas yang ditumbuk dan diletakkan di muka, dakwanya untuk rawat resdung,” katanya.



    PROFIL

    NAMA: Asmadi Awang

    USIA: 28 tahun

    LAHIR: 14 Mei 1980 di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Terengganu

    JAWATAN: Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn Bhd

    ISTERI: Asmah Junoh

    ANAK: Asnida Nabila (4)

    PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tengah, Terengganu; Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Terengganu; Diploma Perikanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Terengganu; Ijazah Sarjana Muda Agro Teknologi Kustem (Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia) kini UMT (Universiti Malaysia Terengganu)
    Sumber:WWW.HMETRO.COM.MY