Pages

Friday, 28 March 2008

Jualan langsung beri peluang hidup mewah


Pembabitan sebagai wakil pengedar produk Avon bolehkan wanita khususnya suri rumah raih pendapatan lumayan

BERSUSAH dulu, bersenang kemudian. Peribahasa itu menjadi pegangan Zainun Tahir yang dinobatkan sebagai Wakil Avon No 1 Negara 2008, baru-baru ini. Kejayaan yang dikecapi Zainun hari ini adalah berkat usaha gigihnya yang tidak mengenal jemu dalam bidang jualan langsung.

Menceritakan kembali jerih perih ketika mula-mula menyertai Avon Cosmetics lebih kurang 18 tahun lalu, ibu kepada dua anak ini sanggup berjalan kaki dari rumah ke rumah di segenap ceruk kampung demi mencari pelanggan.


“Ketika itu kami hanya mampu memiliki motosikal. Suami bekerja di kilang berhampiran dengan pendapatan lebih kurang RM1,000 sebulan. Niat di hati hendak bantu tambah pendapatan kami sekeluarga, menguatkan semangat saya untuk berniaga walaupun terpaksa berjalan kaki selama dua tahun dari rumah ke rumah,” katanya.

Zainun mula keluar dari rumahnya seawal jam 9 pagi dan pulang semula pada jam 1 tengah hari untuk mengambil anaknya dari sekolah. Selepas berehat dan memastikan makan minum anak-anak terurus, tepat jam 2 petang, Zainun keluar semula dan hanya pulang pada jam 7 malam.

“Pada masa itu, pendapatan saya mencecah RM500 sebulan. Bagi saya, barangan Avon mudah dijual dan harganya berpatutan. Apa yang penting, kita perlu bijak memenangi hati pelanggan. Mereka ini ibarat Raja yang perlu dilayan sebaiknya. Walaupun pelanggan banyak kerenah, hati kita perlu jujur melayan dan senyum selalu, menjadi rahsia kejayaan,” katanya.

Berkat kegigihannya, Zainun berada di kalangan 10 Wakil Terbaik Avon selama tujuh tahun berturut-turut. Lebih menggembirakan, beliau berjaya mengubah status kehidupan keluarganya ke tahap lebih baik. Hari ini, Zainun memiliki tiga rumah dan kereta.

“Avon berjaya mengubah kehidupan kami sekeluarga. Kini pendapatan saya mencecah ke RM7,000 sebulan di samping pelbagai insentif yang dinikmati seperti berpeluang melancong ke luar negara antaranya di Asia dan Eropah,” katanya.

Biarpun berpendapatan lumayan, Zainun tetap berjimat cermat dan berhati-hati berbelanja. Malah kebanyakan hadiah pelancongan yang diterimanya jarang diambil, tetapi digantikan dengan wang tunai bagi membolehkan Zainun memperluaskan perniagaannya.

“Kemenangan kali ini membawa kami sekeluarga ke Switzerland. Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak pergi dan menukarnya dengan wang tunai untuk dijadikan modal tambahan atau pusingan dalam perniagaan,” katanya.

Selain trofi Golden Circle Avon, Zainun turut menerima pelbagai hadiah lain seperti tiara, set barang kemas Habib Jewels, wang tunai RM 2,000, hamper Avon, plak pengiktirafan, selendang No 1 Negara dan sejambak bunga yang disampaikan Presiden Avon Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, Mansoor Wan Abdullah.

Sementara itu, dua lagi wakil Avon turut menerima anugerah Wakil Terbaik Avon 2008 iaitu Hasni Hussain, tempat kedua dan tempat ketiga, Zaliha Mahmood. Masing-masing menerima set barang kemas Habib Jewels, wang tunai, hamper Avon, plak pengiktirafan dan sejambak bunga. Turut diraikan, 42 pemenang Anugerah Wakil Terbaik Nombor 1 Daerah dari seluruh Malaysia.

Mansoor berkata, anugerah Wakil Terbaik Avon 2008 adalah sebagai pengiktirafan Avon kepada jati diri wanita yang mencari peluang pendapatan dan mengejar impian masing-masing.

“Mereka berhak disanjung atas usaha yang gigih. Sambil mengejar impian, mereka menggembirakan jutaan pelanggan dengan memenuhi kehendak, kemahuan dan aspirasi mereka. Di sinilah letaknya kekuatan perniagaan Avon,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan turut menyaksikan pelancaran Program Golden Circle 2008 iaitu insentif utama diberikan kepada wakil Avon dalam bentuk pakej pelancongan ke Itali yang menjadi cabaran bagi 2008.

“Program Golden Circle membabitkan 11 ribu ahli yang berstatus tinggi bermatlamat meningkatkan jualan serta memberikan khidmat lebih baik kepada pelanggan. Tahun ini, mereka dicabar untuk merebut peluang ke Itali dengan mencapai jualan lebih tinggi,” katanya.

Di samping itu, bermula 1 April ini, Avon turut memperkenalkan peluang pendapatan baru dengan melancarkan Sistem Pemasaran Berbilang Tingkat dikenali sebagai Avon Sales Leadership Framework (ASLF).

“ASLF mengandungi empat peringkat iaitu Sales Leader (SL), Advance Sales Leader (ASL), Executive Sales Leader (ESL) dan Senior Executive Sales Leader (SESL). Lebih tinggi status seseorang, lebih besar pendapatan diperoleh. Ia seperti pelbagai peringkat, tetapi lebih mirip kepada sistem mentor yang mana ahli kecil dibimbing oleh mereka yang lebih besar melalui sistem tajaan. Ini membolehkan mereka yang masih lemah memperoleh pendapatan lebih tinggi. Di bawa sistem ini, seorang SL dapat membantu orang lain membina asas kejayaan,” katanya.


Thursday, 27 March 2008

Seksaan Lalai Dalam Solat


Banyak seksaan yang diterima oleh si mati di alam barzakh, termasuk dibakar dengan api yang marak menyala serta disengat ular serta binatang buas.

Firman Allah di dalam surah Taha ayat 124 bermaksud: “Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkan mereka pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Sebuah kitab ada menceritakan azab seksaan kubur mengenai seorang soleh yang mengebumikan mayat abangnya.

Ketika menimbuskan mayat itu, entah bagaimana dompetnya terjatuh dan tertimbus.

Selepas pulang ke rumah, baru dia sedar mengenai kehilangan dompetnya.

Lalu dia kembali ke kubur dan menggalinya semula.

Selepas digali, dia terperanjat melihat api menyala di dalam kubur abangnya, lantas ditimbus semula kubur itu dan pulang ke rumah.

Dia menceritakan kejadian itu kepada ibunya, kemudian bertanya:

“Wahai ibu, apakah yang dibuat oleh abangku hingga kuburnya ada api?“

Kata ibunya: “Mengapa kamu bertanya begitu?“

Sebaik selesai dia menceritakan kejadian yang berlaku di kubur abangnya, ibunya menangis sambil berkata: “Abangmu selalu meringan-ringankan solat dan melambat-lambatkan waktunya.”

Kalau orang yang melambatkan solat akan mengalami hal seperti itu, bayangkan bagaimana orang yang tidak bersolat sama sekali!

Seksa kubur bukan saja berlaku kerana dosa besar, malah dosa kecil sekalipun turut dihukum.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada seksaan kubur dan menempatkan roh kita bersama golongan orang yang soleh apabila ajal menjemput kita nanti. Mari kita bersam berdoa
Ya Allah Jadikan Kami Bukan Dikalangan Orang yang Lalai Dalam Solat,Jadikan kami orang diterima amalan solatnya Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Tuesday, 25 March 2008

Pn Nora MIRSB Gigih Berusaha


NAMA: Wan Norai Wan Ismail
USIA: 42 tahun
LAHIR: 20 Mei 1966 di Dungun, Terengganu

JAWATAN: Timbalan Presiden Mobile Income Resources Sdn Bhd (MIRSB)
SUAMI: Abdul Aziz Yunus
ANAK: Mohd Rashdi (21); Raznataliya (19); Mohd Noor Hisham (17) dan Mohd Alex Petra (7)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum, Kuantan, Pahang; Maktab Rendah Sains Mara, Kuantan; Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Dalaman TAFE College, Brisbane, Australia; Ijazah Lanjutan (Master) Perhubungan Awam dan Komunikasi Massa dari University South Wales, Australia


KEHIDUPAN wanita bernama Wan Norai Wan Ismail, 42, ini penuh onak dan duri. Sejak kecil hingga berkahwin, cabaran dalam bentuk kepayahan dan kesusahan hadir silih berganti.

Ada tanah, terpaksa dijual; tiga kereta yang dimiliki hasil titik peluh sendiri ditarik pihak bank. Syarikat yang ditubuhkan pula terpaksa ditutup, sekali gus menjadikan kehidupannya sekeluarga terumbang-ambing.

Namun, Timbalan Presiden Mobile Income Resources Sdn Bhd (MIRSB) itu tidak pernah menyesal, jauh sekali mengeluh dengan apa yang dilalui.

Berkat kesabaran selain keikhlasan dan ketekunan bekerja, nasib ibu empat cahaya mata itu berubah dalam sekelip mata.

Dalam tempoh dua tahun selepas menceburi perniagaan berasaskan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) melalui MIRSB, Wan Norai atau lebih dikenali Nora, kini antara usahawan wanita Bumiputera berjaya.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu selayaknya digelar jutawan, malah dalam tempoh sesingkat itu beliau berjaya menebus ‘kehilangan’ tiga kereta sebelum ini kepada empat kereta mewah iaitu dua Mercedes Benz, BMW dan Nissan Fairlady hanya kurang dua tahun.

Meskipun berjaya, wanita ini yang lebih selesa membahasakan dirinya Kak Nora tidak meninggi diri, jauh sekali bermegah atau sombong dengan kejayaan dikecapi.

“Saya berpijak di bumi nyata dan tidak lupa asal-usul sendiri. Saya sentiasa ingat, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” katanya.

Mungkin ramai mengenalinya, apatah lagi wajahnya hampir saban hari terpampang di akhbar atau media elektronik melalui iklan yang disiarkan.

Melalui program yang diperkenalkan sejak 2006 itu, 10,000 orang atau peserta menyertainya dan kini mula menunjukkan hasil.

Begitupun, apa dialami Nora hari ini tidak datang bergolek, malah puas dia melalui pelbagai pahit getir yang pasti terpahat kukuh di ingatan.

“Saya anak orang susah, ayah kerja tukang gunting rambut, manakala emak tukang jahit. Meskipun anak tunggal, hidup saya tidak senang, malah saya tidak pernah bermain patung mainan sebenar. Jika teringin, saya ambil batang aiskrim dan ikat kain perca untuk dijadikan anak patung,” katanya.

Sejak kecil, Nora dididik dengan cara hidup susah dan berdikari. Ketika rakan lain sibuk bermain selepas waktu persekolahan, Nora pula sibuk mengemas rumah, membasuh pakaian dan memasak pada usia sembilan tahun.

Setiap malam ibunya, Minah Hassan mengajar mengaji sambil tangannya asyik menjahit dan lebih membanggakan, Nora khatam al-Quran enam kali.

Namun pada usia sembilan tahun, Nora melalui episod sedih apabila ibu bapanya berpisah dan sejak itu hidupnya berubah.

“Selepas berpisah, saya tinggal dengan emak. Untuk meneruskan kehidupan, emak berniaga menjual makanan. Habis sekolah, selepas siap mengemas rumah dan masak, saya tolong emak. Malam, emak mengajar mengaji sambil menjahit,” katanya.

Meskipun ibu bapanya berpisah, Nora menunjukkan prestasi cemerlang daripada segi akademik. Ketika di sekolah rendah, Nora memegang jawatan Ketua Pengawas dan aktif dalam permainan hoki.

Kecemerlangan dalam kedua-dua bidang itu diteruskan di sekolah menengah dengan memegang pelbagai jawatan sama ada persatuan, sukan dan akademik.

“Emak berkahwin lain ketika saya darjah empat dan beberapa tahun kemudian ayah pula. Selepas itu, saya berpindah-randah, sekejap duduk rumah ayah dan sekejap dengan emak.

“Ketika di tingkatan dua, saya tinggal di asrama dan aktif dalam sukan dan persatuan. Selepas tamat SRP (Sijil Rendah Pelajaran), saya diterima masuk ke MRSM tetapi nama tiada.

“Begitupun, ketika di tingkatan lima, saya dipanggil sekali lagi ke MRSM dan masuk ke sana, sekali gus memperoleh keputusan 9A dalam SPM,” katanya.

Menurutnya, meskipun mendapat keputusan cemerlang, dia tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke mana-mana. Selepas itu, Nora berkhidmat sebagai guru sementara di Gombak sebelum diterima bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan dan ditempatkan di Australia selama 12 tahun.

Dalam tempoh bekerja itu, Nora berjaya menggenggam dua Ijazah Lanjutan dalam Perhubungan Awam dan Komunikasi Massa dari University South Wales.

Pada 2002, Nora kembali ke Malaysia berbekalkan sedikit modal. Dengan wang yang ada, beliau pulang ke Terengganu, membeli tanah seluas 1.4 hektar serta tiga kereta untuk diri, keluarga dan ibunya.

Modal itu juga digunakan untuk menubuhkan syarikat menjual enjin bot. Perniagaannya mendapat sambutan, namun hanya bertahan dua tahun sebelum ditutup angkara hasad dengki manusia.

Tidak cukup dengan itu, Nora diuji lagi apabila tiga kereta yang dibeli ditarik bank kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Begitu juga tanah yang dibeli terpaksa diserahkan kepada pemiliknya.

“Lebih menyedihkan, kereta kena tarik pada malam raya ketika orang lain bergembira, tetapi saya mohon simpati kepada penarik kereta supaya memberi sedikit masa lagi. Saya masih ingat lagi, pada malam itu, saya hanya ada RM12.80, itupun duit untuk mengisi minyak,” katanya sambil menitiskan air mata.

Selepas melalui detik hitam itu, Nora memohon dan diterima bekerja di jabatan perhubungan awam di Petronas, Kertih. Sekali lagi hasad dengki manusia membuatkannya nekad berhenti kerja pada 2004.

Selepas itu, Nora menjual nasi lemak dan nasi dagang. Hasil perniagaan itu, beliau mengumpul RM4,000 untuk digunakan sebagai modal perniagaan minyak wangi.

“Hajat di hati hendak gunakan duit itu membeli minyak wangi dari luar negara, tetapi pada satu hari rumah saya dipecah masuk, habis semua barang berharga, termasuk duit berkenaan, hilang.

“Masa itu, nak beli susu anak pun tiada duit. Saya buntu dan memberitahu emak mengenai hasrat yang tidak kesampaian. Emak kemudian membuat pinjaman RM3,000 di Tekun (Yayasan Tekun Nasional) tetapi dia ambil RM1,500 untuk membeli mesin jahit. Wang RM500 saya buat modal beli minyak wangi,” katanya.

Nora kemudian berniaga minyak wangi di tapak ekspo Kuala Terengganu. Satu hari, beliau didatangi kakitangan jualan MIRSB yang mencadangkannya mengiklankan minyak wangi itu di Internet.

Malah, sepanjang berjumpa wakil jualan dikenali sebagai Siti Rohafiza itu, Nora berjaya menarik empat pelanggan menyertai iklan berkenaan.

“Rohafiza kemudian memberitahu pengasas MIRSB, Datuk Dr Zubir Yahya apa yang saya lakukan. Keesokannya, Dr Zubir menghubungi saya dan berminat melantik saya sebagai ejen.

“Ketika itu saya hanya ada RM500, tetapi Dr Zubir kata jika nak jadi ejen memerlukan RM32,000. Bagaimanapun, beliau faham dan benarkan saya jadi ejen dengan wang sebanyak itu,” katanya.

Sejak itu, Nora tidak menoleh ke belakang. Hasil usaha kerasnya dengan memperkenalkan iklan kepada orang ramai melalui Internet, beliau mencatatkan pendapatan di luar jangkaan.

Bulan pertama menjadi ejen pada September 2006, Nora memperoleh RM1,750 dan selepas empat bulan, ia mencecah RM58,000 sebulan. Melihatkan kejayaan di luar jangkaan, Dr Zubir menawarkan jawatan Pengurus Besar kepada Nora sebelum menjawat jawatan Timbalan Presiden MIRSB.

Friday, 21 March 2008

Ibu tiga anak pengusaha cendawan

Peluang Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh majikan tempatnya bekerja tidak dibiarkan begitu saja.

Melihat anak-anak yang semakin meningkat remaja dan memerlukan lebih perhatian menyebabkan Zainon Ariffin, 46, tidak berfikir dua kali.

Selain menghabiskan masa memantau anak-anak di rumah, bekas penolong pengurus perkhidmatan pelanggan ini mula mengintai peluang perniagaan yang ada dengan menceburi projek menanam cendawan.

Walaupun menjalankan kerja-kerja menanam cendawan, beliau masih boleh menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah.

Berasal dari keluarga peniaga, Zainon mula menjinak-jinakan diri dengan penanam cendawan sebaik menerima tawaran VSS empat tahun lalu.

Tidak seperti orang lain, Zainon telah mendapatkan kontrak membekalkan cendawan daripada CIMA Agro sebelum memulakan penanaman.

Memulakan penanaman cendawan tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan, Zainon menggunakan duit simpanan semasa bekerja.

“Selepas mendapat kontrak barulah saya mula mempelajari bagaimana menanam cendawan daripada ‘tok guru’ saya Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian.

“Selain itu saya juga mempelajari kaedah menanam cendawan daripada CIMA Agro, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program siswazah menganggur dan penanam cendawan lain,” katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Sekolah, Batang Kali, Selangor.

Menanam cendawan kata Zainon, tidak boleh dikatakan mudah kerana ia memerlukan kawasan yang bersih, sejuk dan jauh daripada pencemaran.

“Bagaimanapun tanaman ini diprogramkan supaya kita boleh mendapat hasil pada masa yang ditetapkan,” katanya yang sehingga kini masih tidak memohon sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kewangan.

Mempunyai dua orang pekerja sambilan dan dibantu oleh ahli keluarga, Zainon memulakan tugas seawal lapan pagi.

Tugas mengisi media (campuran habuk kayu, dedak dan sebagainya untuk cendawan membiak) ke dalam polibeg dilakukan oleh pekerja sambilan yang mahir dan dapat mengisi media dalam 1,000 beg sehari.

“Sebelum itu saya, suami dan anak sulung akan menyediakan bahan-bahan untuk campuran media berkenaan,” katanya.

Selepas polibeg diisi dengan media, ia akan dikukus selama lapan jam bagi membunuh semua organisma mikro yang boleh menyebabkan pencemaran.

Proses mengukus polibeg banyak dibantu oleh bapanya yang amat menggalakkan Zainon menanam cendawan sejak awal lagi.

Polibeg berkenaan kemudian disejukkan sebelum disuntik dengan benih cendawan yang dibeli daripada pembekal.

“Masalah timbul apabila saya tidak mendapat benih yang sesuai bagi menghasilkan cendawan dengan saiz yang diperlukan di pasaran.

“Biasanya tugas menyuntik benih cendawan saya serahkan kepada anak bongsu saya yang sekarang ini amat mahir melakukannya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Zainon berkata, setiap seorang anaknya walaupun masih bersekolah menengah telah diajar berjinak-jinak dengan industri cendawan.

“Ini salah satu cara kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama sambil mengeratkan hubungan keluarga kerana menanam cendawan bukanlah satu tugas yang berat,” katanya.

Pada masa yang sama Zainon yang juga banyak menerima khidmat nasihat dan bimbingan serta merupakan projek contoh Perintis Agrotech Centre yang sering memberikan kursus berkaitan pertanian.

Buat masa ini Zainon mempunyai tiga buah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 12,000 polibeg setiap satu.

Tidak mahu hanya bergantung kepada pembekal benih cendawan, Zainon bercadang menghasilkan benih sendiri.

Minatnya terhadap cendawan membawanya ke sehingga ke selatan Thailand untuk melihat sendiri ladang cendawan dan menimba ilmu di sana.

“Saya akan berusaha mendalami ilmu penanaman cendawan bagi memperbaiki kaedah yang ada sekarang,” katanya.

Beliau kini dalam usaha mendirikan makmalnya sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan selewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, Zainon juga sedang menyediakan tempat latihan bagi mereka yang berminat dengan penanaman cendawan.

“Penanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah dan mereka yang berminat perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.

Berfikiran jauh, Zainon telah memikirkan mengenai lambakan cendawan di pasaran, beliau telah mula mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.

Bekerjasama dengan beberapa orang anak muda yang juga saudaranya, Zainon telah memasarkan produk hiliran cendawan secara kecil-kecilan.

“Buat masa ini kami telah menghasilkan begedil, popia inti cendawan, serunding, pau berinti cendawan dan tempura yang mendapat pasaran yang menggalakkan di sekitar bandar Kelang, Selangor.

“Apabila industri hiliran mendapat sambutan yang menggalakkan saya bercadang menambah tiga lagi rumah cendawan tahun ini,” katanya yang mendapat geran Groombig dari SIRIM bagi pelabelan dan pembungkusan.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai industri cendawan boleh menghubungi Zainon di 013-341 8202.

Pengusaha cendawan perlu ilmu mencukupi

Industri cendawan kini bukan sahaja terdiri daripada petani semata-mata tetapi melibatkan pelbagai golongan profesional.

Ini menunjukkan industri cendawan semakin mendapat tempat dalam masyarakat kerana konsep penanaman ringkas dan kemas serta memberikan pulangan lumayan.

Walaupun bilangan pengusaha cendawan semakin hari semakin ramai, namun tidak ramai pengusaha yang arif tentang teknik penjagaan cendawan dan pengurusan kewangan dan peka terhadap kesan pengabaiannya.

Dalam usaha merealisasikan pertanian sebagai perniagaan, pengusaha atau bakal pengusaha perlu mengetahui teknik penanaman serta konsep penjagaan cendawan yang betul.

Ini bagi membolehkan pengusaha cendawan mengurangkan kadar kerosakan cendawan selain mendapat keuntungan dan hasil maksimum.

Konsep penanaman yang dimaksudkan termasuklah teknik dan kemahiran penyediaan beg media (tempat membiak cendawan) tidak berpenyakit, pengukusan dan pemeraman sempurna, pengawalan penyakit dan kebersihan, pengudaraan rumah cendawan teknik penuaian serta pemasaran.

Namun bagi pengusaha yang ingin menjalankan perusahaan ini secara komersial, mereka perlu mendapat pendedahan tentang cara penggunaan mesin dan peralatan yang digunakan dalam industri ini seperti mesin penggaul, mesin pengisi beg media dan mesin pengukus.

Melalui latihan dan kursus bimbingan, pengusaha akan didedahkan tentang ramalan pendapatan yang bakal diperoleh oleh mereka.

Purata pendapat pengusaha cendawan kini boleh mencecah RM3,000 sebulan jika pengusaha memulakan penanaman cendawan sebanyak 12,000 beg media.

Ini menunjukkan pendapatan yang diperoleh oleh pengusaha setanding dengan perusahaan dan industri lain.

Bagi memberi pendedahan lengkap tentang teknik penanaman cendawan, beberapa kursus diadakan oleh pelbagai pihak di beberapa kawasan.

Antaranya kursus anjuran Perintis Agrotech Centre pada 30 Mac 2008 bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai Kursus Intensif Penanaman Cendawan ini boleh menghubungi talian 019-3311298 atau 019-6634527.

Satu lagi kursus asas pengeluaran cendawan tiram kelabu akan diadakan di Rumah Cendawan, Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti Putra Malaysia.

Kursus yang diadakan pada 5 hingga 6 April 2008 dianjurkan oleh Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi 03-8946 7286/87 atau 012-394 8719

Pusat Latihan dan Kajian Atiqah Trading Agrotech juga akan menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan pada 29 hingga 30 Mac 2008, di ladang Al-Fadtullah Mushroom Tanjong Malim, Perak.

Pada kursus tersebut, peserta akan didedahkan tentang cara penanaman cendawan dari segi teori dan juga praktikal oleh pemilik ladang Dr.Johari.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Dr. Johari dan atau di talian 05- 4541635 atau 019-3544888.

Zubaidah 'tukang kemas' profesional

Buktikan kerjaya housekeeping mampu berkembang, punya masa depan


PENGEMAS atau Housekeeper dalam industri perhotelan jarang dilihat ramai sebagai kerjaya yang menjanjikan masa depan cerah. Tanggapan salah mengaitkan kerja ini dengan ruang lingkup yang sempit secara tidak langsung menyebabkan ia dipandang sebagai kerjaya berkelas rendah.

Eksekutif Housekeeper, Sheraton Subang Hotel & Tower, Zubaidah Haniffa, berkata bidang housekeeping menjanjikan prospek lebih tinggi dan berdaya maju. Malah, mereka yang berminat dan bersungguh-sungguh menjalankan tanggung jawabnya boleh mencapai kedudukan atau pangkat lebih tinggi pada peringkat profesional seperti pengurusan, pengarah atau perunding housekeeping dengan pendapatan lumayan.


“Ia lebih daripada sekadar mengemas bilik atau mencuci tandas. Kerjaya ini memerlukan anda bertanggung jawab menguruskan kebersihan dan mengekalkan keindahan hampir setiap ceruk hotel. Peranan housekeeper cukup besar, bermula daripada lobi yang menerima tetamu, bilik, hiasan bunga, dobi sehinggalah kawasan awam, semuanya berada di bawah tanggung jawab housekeeper.

“Ia adalah kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan dan kenaikan pangkat lebih tinggi. Tanpa housekeeper, sesebuah hotel itu tidak akan mendapat keuntungan kerana produk utama yang dijual adalah bilik. Bilik yang sentiasa kemas bakal mengundang kembali tetamu yang secara langsung bermakna memberi ‘bisnes’ kepada hotel,” katanya.

Ibu kepada tiga anak berusia antara lapan hingga 18 tahun itu turut mengakui dirinya sendiri terpaksa bermula daripada bawah ketika menyertai bidang berkenaan sejak 20 tahun lalu, sebelum mencapai kedudukan selesa seperti hari ini. Anak kelahiran Pulau Pinang itu melanjutkan pelajaran di kolej swasta dalam bidang perhotelan, di peringkat diploma selama dua setengah tahun sebelum bergelar Pelatih Pengurusan di Pangkor Laut Resort selama enam bulan.

Wednesday, 19 March 2008

Minum Kopi Boleh Kurus??//


Hah sempena maulidurasul nih maka dengan rasminya bermulalah saya sebagai penjual kopi Slimmerz di kawasan pASIR Gudang . Banyak Khasiat yang boleh di dapati dari kopi nniih... Org ader kencing manis pun boleh minum.tapi kalo setakat nimum satu sachet aper barang nak dapat hasil cepat yeer tak... atau pun minum kopi nih tapi makan tak terkontrol main masuk jjeerr dalam perut... he he.

OK lah kalo nak boleh KLIK SINI

Monday, 17 March 2008

Dr Hassan lasak teroka khasiat gamat


Pengasas Healwell Pharmaceuticals pelajari bidang farmakologi hasil produk kesihatan

HASIL penyelidikan dan pembangunan (R&D) institusi pengajian tinggi sering menerima kritikan kerana jarang dikomersialkan.

Namun, hakikatnya bukan semua hasil R&D itu terbiar begitu saja. Antara yang berjaya ialah yang berkaitan produk gamat.


Usaha Prof Datuk Dr Hassan Yaacob, pengasas Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd mengkomersialkan hasil R&D daripada hidupan laut itu adalah antara contoh terbaik.

Bekas pensyarah Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang pernah gagal dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (kini Sijil Pelajaran Malaysia) ketika kali pertama mendudukinya, berjaya membuka lembaran baru pengeluaran produk gamat secara saintifik dan menjana jualan berjuta ringgit.

Healwell Pharmaceuticals mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pelbagai produk formula berasaskan gamat keluarannya.

Antaranya Jelly Gamat, Gamat Plus, Pati Gamat Plus (Neutral), Pati Gamat Plus-Balckcurrent, Jel Gamat, Krim Gamat, Linimen Gamat, Gamarub, Gamalin Emulsion, dan Gamalin Plus-Orange.

Sasaran Hassan, anak kelahiran Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan ini adalah untuk mengembangkan rangkaian pengedaran produk keluaran Healwell Pharmaceuticals menerusi francais dan tempoh dua tahun dijadikannya sandaran untuk melaksanakan hasrat berkenaan.

Ketika ini, produk syarikat itu diedarkan menerusi pengedar bertauliah yang turut diberikan hak menggunakan jenama peruncitan utamanya, “House of Healin”.

Syarikat yang kini mempunyai 324 cawangan di seluruh negara dijangka meningkat kepada 400 menjelang akhir tahun ini.

Di luar negara, “House of Healin” boleh ditemui di beberapa negara di Asia Barat, seperti Dubai dan Arab Saudi serta di Brunei dan London.

Pembabitan Hassan yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Farmakologi dari Royal College of Surgeons of England, dalam pengeluaran ubatan dan makanan kesihatan berasaskan hidupan laut berjaya menukar tanggapan masyarakat terhadap industri perubatan tradisional.

Beliau mengambil masa lebih 10 tahun melakukan R&D terhadap gamat sebelum mengkomersialkan ekstrak hidupan laut itu secara besar-besaran.

R&D yang dilaksanakannya sejak 1990 adalah atas pembiayaan Skim Program Penyelidikan Mengikut Bidang Keutamaan (Irpa) dan ia diteruskan di Universiti of Kyushu dan Universiti of Toyamma Jepun antara 1995 hingga 1996.

“Pada awal pembabitan, kami hanya memiliki empat atau lima produk, tetapi kini bilangannya bertambah kepada lebih 40 yang dijual di dalam serta di luar negara,” kata Hassan.

Minatnya untuk meneroka keajaiban gamat dicetus secara kebetulan selepas neneknya sembuh dalam tempoh singkat selepas meminum air rebusan gamat selepas menjalani pembedahan.

Ia ditambah dengan nalurinya tinggi sejak kecil terhadap ubat-ubatan apabila beliau begitu kagum dengan keajaiban ubatan yang boleh menyembuhkan penyakit setiap kali dimakan.

“Walaupun agak lasak ketika kecil, tetapi saya boleh disifatkan sebagai ‘kambing hitam’ dalam keluarga kerana sering sakit, tidak kiralah selesema, demam atau apa saja penyakit dan saya juga mempunyai masalah kulit yang kronik.

“Apabila ditimpa penyakit, ibu akan beri ubat dan saya sering terfikir apakah yang menyebabkan saya sembuh setiap kali selepas mengambilnya,” kata Hassan, bekas pelajar Kolej Sultan Ismail yang cukup popular di Kelantan.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, bapanya yang bekerja sebagai ketua kerani pada zaman penjajahan British sentiasa memberikan penekanan terhadap pentingnya penguasaan bahasa Inggeris.

Ia menyebabkan beliau dan adik beradiknya berfikiran lebih terbuka dan menanam cita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Namun, pencapaian pendidikan peringkat menengah Hassan iaitu anak keenam daripada tujuh beradik yang tidak seberapa itu sebenarnya lebih disebabkan kenakalan dan sikapnya yang suka menghabiskan lebih banyak masa bermain daripada menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Pernah pada satu hari keluarganya terpaksa memanggil bomba untuk menurunkan beliau daripada pokok tinggi yang dipanjatnya semata-mata untuk melihat sarang burung.

Beliau juga pernah jatuh dari bumbung rumah serta lemas dua kali ketika mandi di sungai dan kejadian itu tidak pernah diceritakan kepada ibu takut dibelasah lebih teruk.

Namun, pengalaman lemas itu tidak membuatkan beliau fobia dengan air, sebaliknya beliau adalah penyelam bertauliah dan sering meluangkan masa untuk menyelam di dasar laut setiap kali bercuti.

Beliau gagal dalam MCE kerana tidak lulus Bahasa Malaysia dan mengulangi peperiksaan berkenaan sebelum menyambung pelajaran dalam bidang sains untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (ketika itu Higher School Certificate of Education).

Tamat tingkatan enam, beliau bekerja di syarikat American International Assurance Bhd selama tiga tahun sebagai Pelatih Pengurusan dan diberikan tanggungjawab sebagai penilai risiko perubatan dan tugas itu memberikannya pengalaman berguna berkaitan pengurusan dan pentadbiran.

Pekerjaan itu bagaimanapun tidak memberi kepuasan kepada beliau kerana hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di luar negara masih membuak-buak.

Dalam pada sibuk bekerja, beliau memohon pinjaman Mara untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang farmakologi.

Tamat belajar, beliau bertugas sebagai pembantu pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM).

Di universiti itu beliau dapat memakbulkan hasratnya untuk ke luar negara apabila mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran dalam bidang farmakologi dan terapeutik di Universiti of London pada 1983.

Beliau meneruskan pengajian hingga pada peringkat falsafah di Royal College of Surgeons of England.

Kembali ke tanah air pada 1989, beliau meneruskan karier sebagai tenaga pengajar di UM.

Pada 1995 beliau bekerjasama dengan ahli akademik Jepun untuk meneruskan kajian mengenai rahsia gamat.

Kerjasama dengan ahli akademik Jepun itu memberi anjakan paradigma dalam hasil kajiannya selama ini apabila mengesan kandungan asid amino dalam hidupan itu yang merangsang pembentukan sel baru dalam badan.

Penemuan itu turut menjawab persoalan bagaimana luka boleh sembuh, selain penemuan mengenai melambatkan proses penuaan sel dalam badan jika kandungan gamat diambil dalam dos tertentu.

Penemuan pada 1995 itu juga membuka langkahnya untuk menghasilkan produk komersial berasaskan gamat asli.

Pada 1999 beliau berhenti sebagai pensyarah dan penyelidik di UM.

Dengan modal RM50,000 beliau membuka makmal sendiri menerusi syarikat yang dikenali sebagai Hexagon Asia Sdn Bhd dengan lima produk dihasilkan untuk tujuan komersial.

Jenama “Healin” diperkenalkan pada 1996 yang kekal hingga ke hari ini.

Hassan berkata, Healwell Pharmaceuticals akan berpindah ke kilang barunya di Shah Alam tidak lama lagi membabitkan perbelanjaan RM13 juta.

FAKTA: Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd

  • Labur RM13 juta berpindah ke kilang di Shah Alam tidak lama lagi

  • Jenama Healin untuk produk makanan tambahan

  • Jenama AG200 untuk produk penjagaan kulit

  • 40 jenis produk di pasaran

  • Modal RM50,000 buka makmal hasilkan lima prod
  • Friday, 14 March 2008

    Cara Dating Yang Sebenar Mengikut Kaedah Islam


    Bersama:MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
    SOALAN:Bagaimanakah cara yang betul bagi pasangan muda-mudi masa kini mengaplikasikan konsep dating untuk mengenali hati budi masing-masing mengikut cara yang berlandaskan syariat dan peraturan Islam?

    JAWAPAN:

    Dating dalam erti kata berdua-duaan pasangan lelaki perempuan yang bukan mahram adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada mudarat. Iaitu mendedahkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan sesuatu yang ditegah dalam agama Islam.

    Mula-mula dating dalam telefon, kemudian ajak keluar makan. Mula-mula naik kenderaan berasingan. Lama kelamaan naik satu kenderaan bukan sekadar makan tetapi pegang tangan, tidur atas bahu kekasih. Sehingga kadang-kadang sampai melakukan perzinaan.

    Walaupun pada mulanya rasa bersalah terhadap perbuatan yang terkutuk itu, lama kelamaan menjadi alah bisa tegal biasa. Sebab itulah Islam menegah sama sekali pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

    Allah s.w.t berfirman, Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)

    Peringatan dalam ayat ini ialah tegahan keras Allah supaya jangan sekali-kali cuba menghampiri zina. Kaedah fikah menjelaskan ‘Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram’. Dan mencegah adalah lebih baik dari mengubat.

    Sekiranya usaha menghampirinya jelas ditegah apatah lagi sengaja terlibat. Islam mengajak penganutnya menjauhkan diri dari terdedah kepada maksiat. Menyesal dahulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

    Terjebak

    Allah s.w.t menegah umatnya mendedahkan diri terjebak dalam kebinasaan. Firman Allah s.w.t, …dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…. (al-Baqarah: 195). Dalam ayat ini Allah sebut mencampakkan, maksudnya sengaja melibatkan dan mendedahkan diri dalam sesuatu perbuatan yang boleh membawa kebinasaan.

    Allah s.w.t menyuruh setiap lelaki dan perempuan menundukkan pandangan. Ini kerana dengan menundukkan pandangan seseorang itu dapat memelihara kehormatannya. (al-Nur: 30-31). Ketika mentafsirkan ayat ini sebahagian ulama menyatakan bahawa; pandangan adalah panah beracun bagi hati, sebab itulah Allah s.w.t menghimpunkan dua perkara dalam ayat ini, iaitu merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan (kemaluan). Disebut juga bahawa mata adalah punca kepada zina. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, jld:18, hlm:214 ).

    Dating diharuskan bagi mereka yang sudah bertunang. Itupun dengan izin wali perempuan dan bersama mahram ahli keluarga perempuan. Bertunang adalah lesen awal untuk seorang lelaki mengenali tunangnya. Mungkin juga langkah awal untuk seorang lelaki dan seorang perempuan mengenal bakal pasangan hidupnya dengan lebih dekat lagi.

    Namun Islam tidak membenarkan seorang pasangan yang bergelar tunang untuk berdating. Kalau nak dating mesti dengan memelihara hak Allah. Ulama haruskan pertemuan lelaki dan perempuan selepas pertunangan semata-mata untuk melihat sifat zahirnya, seperti melihat kepada rupanya untuk mengenal pasti kesempurnaan fizikalnya.

    Namun percintaan dan dating yang halal ialah selepas diijab kabul, sementara itu pasangan kekasih hendaklah tunduk kepada perintah Allah. Adalah tidak wajar mencari kebahagiaan hidup dengan melanggar perintah Allah. Mungkin juga ada yang bertanya: kalau begini susahlah bagi pasangan kekasih mengenali antara satu sama lain.

    Tidak ada pengenalan yang sempurna bagi lelaki terhadap pasangan kekasihnya melainkan selepas perkahwinan.

    Buku Cerita Untuk Tidor


    BUDAYA membacakan bed time story atau amalan bercerita sebelum tidur merupakan satu yang baru buat masyarakat kita, sungguhpun ia satu kebiasaan ibu bapa dan penjaga di Barat.

    Oleh kerana asalnya adalah budaya luar maka secara tidak langsung, kita terpaksa bergantung dengan bahan- bahan bacaan daripada kisah-kisah dongengan dari negara luar, walaupun menyedari perbezaan antar mereka dan kita amat ketara sama ada dari segi kebudayaan, cara hidup dan latar suasana.

    Menyedari akan kekosongan dan keperluan mendesak itu, maka PTS One Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menerbitkan buku berjudul Bacakan Saya Satu Cerita bagi memberi alternatif kepada ibu bapa, sekali gus mendedahkan kanak-kanak dengan cerita tempatan yang lebih sesuai dengan budaya Malaysia.

    Baru-baru ini bertempat di Menara Cenderawasih, Keramat, Kuala Lumpur satu majlis ramah mesra di antara pihak penerbit, penulis buku dengan media dibuat dalam suasana yang cukup sederhana tetapi meriah.

    Majlis ini adalah atas idea salah seorang daripada 15 penulisnya iaitu Kusyi Hirdan.

    “Pada asalnya saya hanya menyuarakan cadangan untuk diadakan satu sesi fotografi para penulis memandangkan antara kami masih belum saling mengenali. Alhamdulillah, biarpun hanya lapan penulis yang hadir, ia sudah begitu memadai kerana ada di antara mereka ini sanggup datang dari luar Lembah Klang.

    “Biarpun buku ini sudah berada di pasaran sejak November tahun lalu, saya menaruh harapan tinggi agar mana-mana pihak terutamanya ibu bapa untuk mendapatkannya sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun dijadikan hadiah atau cenderahati,” katanya.

    Mengapa setiap rumah perlu mempunyai buku ini? Ini kerana buku yang mengandungi sebanyak 162 cerita ini sesuai untuk kanak-kanak antara usia lima hingga lapan tahun. Malah penggunaan gaya bahasa yang mudah difahami serta persembahan menarik menerusi lukisan berwarna menjadi faktor penarik pembaca.

    Namun apa yang lebih ditekankan penerbitnya ialah kepada pengisian bahan-bahan cerita.

    Buku ini adalah cerita dari orang kita untuk generasi kita. Cerita-ceritanya sesuai untuk semua golongan masyarakat tanpa sempadan agama dan bangsa. Pada setiap kisah yang diutarakan mempunyai pengajarannya yang tersendiri.

    Izzah Ahmad, seorang penulis bebas yang merupakan penyumbang paling tinggi dalam buku ini iaitu sebanyak 19 cerita berharap ibu bapa menggunakan medium buku sebagai satu cara membina hubungan erat serta mendidik anak-anak.

    “Sebenarnya, impak yang diperoleh menerusi kaedah pembacaan adalah jauh lebih berkesan dan mendalam. Apatah lagi, yang meluangkan masa singkat itu adalah ibu atau bapa.

    “Idea dan ilham menghasilkan sesebuah cerita itu diperoleh dalam rutin harian saya bersama anak-anak. Kadang-kadang sifat kanak-kanak yang suka bertanya serta mengaitkannya dengan benda sekeliling menjadi modal cerita saya,” katanya.

    Buku Bacakan Saya Satu Cerita dijual dengan harga RM49.90 senaskhah dan mereka yang berminat boleh menghubungi 03-4142 7413 atau layari laman web www.pts.com.my.

    Friday, 7 March 2008

    Ibu bapa berdosa izin anak berdating


    INI copy paste dari utusan.... ditanya tentang hukum ibu bapa mengenai anak nya...
    bukan mudah nak didik anak denagn trend yang ntahhapehape skrang niiih....apa-apapun segala hukum Allah itu hanya untuk kebaikan manusia jua.Jawapan ini di jawab oleh Ustaz Farid Ravi.

    bu bapa berdosa izin anak berdating

    SOALAN
    BERDUA-DUAAN antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Apakah pula hukumnya ibu bapa yang mengizinkan anak perempuan mereka keluar dengan teman lelaki sama ada berjalan-jalan atau menonton wayang?

    JAWAPAN
    Keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram adalah ditegah dan hukumnya haram. Apatah lagi menonton wayang bersama teman lelaki juga adalah haram.

    Perbuatan ibu bapa yang mengizin anak perempuan mereka keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram juga haram. Dalam hal ini kesemua yang terlibat berdosa. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang merestui anak perempuannya melanggar perintah Allah s.w.t.

    Ibu bapa sepatutnya menjadi contoh dan bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka yang diamanahkan kepada mereka. Ibu bapa yang mengkhianati amanah ini pasti akan mendapat balasan seksa dua kali ganda kerana mereka merestui malahan menghalalkan apa yang telah jelas haram di sisi Islam.

    Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…. (al-Thagabun: 14).

    Dalam ayat lain, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32).

    Ibn Kathir berpendapat maksud zina di sini ialah: “Apa sahaja jalan yang membawa kepada maksiat”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, jld:3, hlm: 55).

    Dalam surah al-Thagabun Allah s.w.t. menjelaskan bahawa anak-anak itu dikurniakan kepada manusia kemudian diuji dengannya. Kadangkala anak-anak ini menjadi penawar hati kadang- kadang menjadi musuh kepada kedua- dua ibu bapanya.

    Anak-anak lahir ke atas bumi ini dalam keadaan suci dan bersih seperti mana hadis Rasulullah s.a.w. menjelaskan yang bermaksud: Setiap anak Adam itu lahir ke atas bumi ini dalam keadaan fitrah (suci jiwanya ), maka ibu bapa yang menjadikan dia Nasrani, Majusi atau Yahudi… (riwayat Bukhari no. 1385).

    Kesimpulannya, ibu bapa yang mencorakkan anak-anak itu menjadi seorang yang baik atau menjadi seorang derhaka kepada Pencipta dan kedua-dua ibu bapa.

    Masyarakat perlu faham kadang-kadang perbuatan mereka mengundang musibah yang lebih besar. Apabila seorang lelaki mendampingi seorang wanita yang bukan mahram makhluk yang ketiga yang bersama mereka ialah syaitan.

    Tugas syaitan yang dimaklumi ialah sentiasa membisikkan kejahatan dan kemungkaran dalam telinga anak Adam. Berdua-duaan antara lelaki dan perempuan adalah seperti kapas yang berhampiran dengan api, bila-bila masa boleh terbakar. Akhirnya, si anak perempuan terdedah kepada zina. Mungkin juga membawa pulang perut yang berisi anak luar nikah sebagai ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada kedua ibu bapanya yang merestui perbuatan anaknya. Ketika itu, ‘nasi sudah menjadi bubur, arang sudah disapu ke muka.’ Yang paling berharga bagi manusia juga sudah tercemar iaitu maruah keluarga.

    Justeru, Islam meletakkan kaedah ‘menghalang daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik adalah lebih baik daripada merawat’. Ingatlah sesungguhnya menjaga dan membesarkan anak perempuan adalah lebih besar tanggungjawabnya kerana menjaga mereka seperti menggenggam bara api.

    Nabi s.a.w. menjanjikan syurga bagi ibu bapa yang mempunyai dua orang nak perempuan atau lebih dengan balasan syurga. Balasan itu bersyarat. Syaratnya mesti mendidik mereka dengan agama, ajarkan mereka akhlak yang mulia, apabila mereka dewasa, kahwinkan mereka dengan lelaki yang soleh.

    Masyitah Tokey Kabinet Dapur


    MUKADIMAH
    YANG bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Begitulah pandangan Pengarah Urusan Sky Antique Design Sdn. Bhd., Masyitah Mohd. Yusof, tentang dunia perniagaan yang baru diceburinya tidak sampai dua tahun itu.

    Pun begitu, dengan adanya usaha, kegigihan tanpa mengenal erti putus asa serta sokongan pekerja dan pelanggan, apa yang mustahil dicapai berjaya ditempuhi. Malah katanya, kecetekan pengalaman dan kematangan usia bukan ukuran kepada kejayaan tetapi ia lebih kepada faktor di atas.

    WartawanUTUSAN, ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto, MOHD. ZULASHRAFE ABDUL GHANI berpeluang menemuramah wanita berusia 28 tahun ini bercerita pengalamannya bergelar usahawan.

    9/10 Punca Rezeki

    MEGA: Bagaimanakah anda mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dan mengapa bisnes berkaitan hiasan dalaman, kabinet dapur dan pengubahsuaian menjadi pilihan?

    MASYITAH: Sebenarnya, penglibatan saya dalam bidang keusahawanan bermula daripada idea suami, Rushdan Mustafa. Ini kerana dialah orang yang berperanan penting memberi pendedahan serta galakan kepada saya untuk turut serta bersama-sama dengan beliau mengusahakan perniagaan kami ini.

    Bila kita sebut hasrat untuk mulakan perniagaan, kebiasaannya ramai berpesan, kalau kita hendak memilih sesuatu perniagaan, pastikan kita tahu sedikit sebanyak bentuk atau jenis perniagaan yang dipilih.

    Saya mengakuinya tetapi oleh kerana minat yang begitu mendalam, dengan bermodalkan wang simpanan sebanyak RM200,000, kami memberanikan diri dan tidak memandang ke belakang.

    Lantaran itu, Penubuhan Sky Antique Design Sdn. Bhd. pada Ogos 2006 di 11-1, Jalan Melati Utama 4, Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur membuktikan kesungguhan dan keyakinan, sekali gus merupakan langkah sulung kami bergelar usahawan.

    Langkah seterusnya yang diambil ialah dengan membuka bilik pameran yang menarik dan di lokasi strategik. Ia bertujuan memberi peluang kepada mereka yang berminat boleh membuat perundingan atau sekurang-kurangnya mendapat idea demi rumah idaman mereka.

    Alhamdulillah, kami mampu bergerak rancak dengan adanya seorang pengurus dan pereka bentuk hiasan dalaman yang mempunyai ilmu dan latar belakang luas dalam perniagaan berkaitan hiasan dalaman, kabinet dapur dan pengubahsuaian.

    Malah dari situlah kami menyedari dan dapati potensi besar bisnes ini untuk terus berkembang apatah lagi, penerimaan masyarakat dengan konsep pembinaan kabinet dapur, pengubahsuaian dan perkhidmatan yang berkaitan semakin diterima dan dianggap sudah satu keperluan bukan lagi kemewahan.

    Perkhidmatan yang bagaimanakah disediakan Sky Antique Design kepada setiap pelanggan?

    MASYITAH: Alhamdulillah, semenjak bermula hinggalah sekarang, kami banyak menerima pelanggan yang pelbagai bangsa dan status.

    Sebenarnya, setiap individu pelanggan itu mempunyai cita rasa dan kehendak mereka yang tersendiri. Ada yang mahu ringkas, bergaya, moden dan sebagainya.

    Di Sky Antique Design kami pakar dalam menyiapkan kabinet dapur, almari pakaian, pembahagi ruang, tempahan khas katil, kerja-kerja pengubahsuaian dan kabinet televisyen serta yang berkaitan dengannya.

    Bagi mereka yang sudah mempunyai kelengkapan dan kemudahan ini di rumah, kami turut menyediakan aneka aksesori sama ada untuk kabinet dapur mahupun di bilik tidur.

    Antara kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan ialah kami menyediakan perkhidmatan seperti mereka bentuk, melakar, menyediakan sebut harga secara percuma dan melakukan kerja-kerja pengukuran tanpa dikenakan bayaran tambahan.

    Sementara itu, dari segi kaedah pembayaran, kami turut menerima secara tunai dan kad kredit.

    Pastinya dalam tempoh tidak sampai dua tahun ini, sudah ada cabaran yang terpaksa anda hadapi, apa lagi menyedari ia satu bisnes yang dimonopoli bangsa asing?

    MASYITAH: Memanglah cabaran itu sentiasa ada tidak kiralah ia kecil mahupun besar. Namun, saya beranggapan setiap cabaran itu ada hikmah di sebaliknya kerana ia akan mematangkan kita dalam melihat sesuatu situasi itu.

    Seperkara yang selalu saya terapkan ialah berpandangan positif terhadap apa juga cabaran mendatang. Ini kerana secara tidak langsung, ia membuatkan fikiran kita sentiasa ke arah positif walau sehebat mana dugaan melanda.

    Mungkin peristiwa yang boleh diibaratkan ditikam dari belakang oleh orang yang dipercayai dalam syarikat boleh dikategorikan sebagai cabaran hebat kami. Apa tidaknya, kami terpaksa bangkit kembali semenjak peristiwa itu.

    Namun, itu semua saya anggap sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan. Apa yang berlaku ini menyedarkan saya, sekali gus menjadi peringatan bahawa kita tidak boleh bulat-bulat mempercayai seseorang itu dan lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan.

    Cabaran dari segi persaingan mungkin kita tidak dapat lari lebih-lebih lagi di kawasan perniagaan ini sudah terdapat beberapa buah syarikat seperti kami yang lebih kukuh namanya dan dimiliki bukan bumiputera.

    Dengan kehadiran tenaga muda, mengutamakan kualiti, menepati cita rasa dan kehendak pelanggan serta beberapa promosi perkhidmatan secara percuma, saya percaya Sky Antique Design dapat terus bertahan.

    Apakah perancangan masa depan anda dalam dunia perniagaan?

    MASYITAH: Untuk masa terdekat ini, kami sedang dalam usaha untuk meluaskan pemasaran. Oleh itu kami menggunakan medium seperti iklan-iklan di media massa, penyebaran risalah-risalah berkenaan perkhidmatan dan kepakaran yang disediakan di sekitar Lembah Klang. Pun begitu, kami juga ada menerima tempahan pelanggan dari Seremban, Negeri Sembilan.

    Sungguhpun pengetahuan orang ramai tentang keperluan kabinet dapur semakin meningkat namun pendidikan itu mestilah diteruskan, waima ia disampaikan secara tidak langsung.

    Hakikatnya, setiap rumah mempunyai dapur dan ruang ini selalunya dianggap jantung kepada rumah. Memandangkan ketinggian penilaian yang diberikan kepada dapur maka sudah pasti dapur yang kemas dan teratur menjadi idaman setiap masyarakat.

    Lantaran itu, kami berkeyakinan permintaan terhadap perkhidmatan ini akan berterusan dan tidak terhenti selagi mana pembinaan kawasan perumahan dan bangunan pejabat berkembang pesat.

    Wednesday, 5 March 2008

    Cara Irfan Khairi 'MAINTAIN' motivasi



    Saya salah seorang peminat irfan khairi yang melanggan ezine rahsia internet,nak jugak kongsikan coretan beliau:

    Salam sejahtera kall,
    Kita semua pernah dengar peri bahasa ini, dan ada kalanya, kita
    juga terjerat dalam keadaan "hangat-hangat tahi ayam".

    Pada mulanya, semangat berkobar-kobar nak lakukan "sesuatu".
    Motivasi pun tinggi! Semangat tinggi! Bersungguh-sungguh dan penuh
    keyakinan.

    Alih-alih, 2-3 hari atau 2-3 minggu atau 2-3 bulan kemudian, habis
    semua lentur. Motivasi, semangat dan keyakinan hilang...

    Bagaimana caranya untuk maintain dan meneruskan sesuatu motivasi?

    Cara saya adalah dengan melakukan "sesuatu" tersebut setiap hari.
    Jangan lakukan sedikit sahaja, atau cukup syarat sahaja, tetapi
    lakukan bersungguh-sungguh setiap hari. Ini akan menambahkan
    momentum anda.

    The trick is, jangan biarkan satu hari berlalu tanpa anda melakukan
    perkara tersebut kerana ini akan mengurangkan momentum anda.

    Katalah anda ingin memulakan perniagaan Internet. Setiap hari,
    lakukan sesuatu supaya anda lebih dekat dalam mencapai matlamat
    anda tersebut. Tak kira sama ada membaca mengenai perniagaan
    Internet, memperbaiki idea perniagaan internet anda, membeli web
    hosting dan domain name untuk perniagaan Internet dan sebagainya.
    Setiap hari MESTI ada sesuatu yang anda lakukan untuk perniagaan
    Internet.

    Aplikasi cara ini untuk apa sahaja yang anda ingin lakukan.
    Kebanyakan kita sering mengalami penyakit hangat-hangat tahi ayam
    ini. Dan ianya adalah amat merugikan apabila momentum kita hilang.


    IP JUTAWAN
    ===========

    Beberapa minggu lepas saya berkesempatan bertemu dengan salah
    seorang pakar motivasi yang saya hormati, Dr HM Tuah- first time
    berjumpa secara tidak sengaja oleh kerana beliau ditemuramah
    sebelum segmen saya di Wanita & Wang Astro Awani.

    Soalan first saya kepada Dr Tuah adalah, bagaimana beliau cari masa
    untuk menulis berpuluh-puluh buah buku (sehingga 5 buku setahun) di
    samping menulis lebih 20 artikel setiap bulan untuk majalah?

    Rahsianya adalah, beliau menggunakan kuasa mindanya. Beliau
    gambarkan seperti mindanya adalah folder-folder dalam PC. Ketika
    sedang melakukan satu kerja, secara sub-concious (bawah sedar),
    folder yang lain juga turut dibuka dan memproseskan kerja-kerja
    lain.

    Cara melatih minda untuk berfungsi sebegini memang rumit untuk jadi
    master. Sedikit sebanyak, saya juga sering menggunakan teknik ini.

    Sekiranya anda ingin cuba adalah, fikirkan 6-7 kerja yang anda
    ingin siapkan esok sejurus sebelum tidur. Ulangkan kerja-kerja
    tersebut dalam kepala anda, dan apabila bangun tidur esok hari,
    sambung apa yang dimainkan dalam kepala sebelum mulakan hari anda.

    Secara bawah sedar, kerja-kerja tersebut akan diproseskan dalam
    minda anda. Pada mulanya, ia agak sukar, tetapi, with practice,
    anda juga dapat melakukannya.

    ps: Ramai jutawan menguasai teknik sub-concious ini untuk
    menyiapkan lebih banyak kerja dalam waktu yang sangat singkat!


    ========================
    Sesuatu untuk difikirkan
    ========================

    Kini, adakah anda "bekerja" atau menjalankan "karier" anda?

    KERJA - bersifat sementara

    KARIER - apa yang anda ingin lakukan seumur hidup

    Ramai yang terperangkap dalam "KERJA" dan bukan "KARIER"..