Pages

Friday, 29 February 2008

Rezeki tidak datang bergolek


LEBIH sedekad penubuhannya, telah menyaksikan perkembangan pesat De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd. sehingga diiktiraf serta dikenali sebagai sebuah syarikat percetakan milik penuh bumiputera yang memiliki reputasi baik di Lembah Klang.

Semua kejayaan ini tidak mungkin dikecapi tanpa kerja keras, keberanian dan kebijaksanaan Pengasas dan Pengarah Urusannya, Azizulrahman Mohamed Hussain Malim yang turut disokong kuat oleh dua adik beliau, Azizul Rahim dan Azizulmalik selaku Pengarah Operasi dan Pengarah Jualan dan Pemasaran dalam De’ Armani.

Wartawan utusan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, ROY AZIS ABD. AZIZ menemuramah Azizulrahman, 38, di ibu pejabat De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd., di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MEGA: Untuk dikenali dan sebaris dengan syarikat percetakan yang dimonopoli syarikat asing bukanlah mudah. Sebelum sampai ke tahap sekarang ini bagaimanakah saudara bermula?

AZIZULRAHMAN: Kalau dilihat kepada latar belakang pendidikan, sebenarnya saya langsung tidak mempunyai pengetahuan formal dalam bidang percetakan. Ini kerana saya merupakan pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Dungun, Terengganu.

Pun begitu, semuanya bermula sewaktu mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika masih menuntut di pusat pengajian tinggi lagi iaitu kira-kira 17 tahun lalu.

Pada masa itu, saya membuat pemasaran kemeja-T dari universiti ke universiti. Pada masa yang sama diberi peluang membekalkan barangan percetakan.

Daripada situlah, saya kira titik-tolak kepada pengenalan dan pendedahan erti sebenar bidang percetakan.

Pada 1991, sebelum benar-benar serius dengan bidang percetakan, kami bermula dengan menyediakan serta membekalkan cenderamata korporat, alat tulis, kemeja-T di bawah syarikat Armani Enterprise. Malah pada masa itu operasi kami dilakukan di rumah.

Sehinggalah pada 1997, kami membuka sebuah kedai percetakan dan fotokopi di Kompleks Pertama, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sebelum membuka satu lagi cawangan di Plaza Warisan, Kuala Lumpur. Pada masa ini, adik saya, Azizul Rahim telah turut sama mengendalikan syarikat.

Pada Februari 2000, alhamdulillah kami terpilih menjadi pengedar tunggal sebuah agensi kad undangan perkahwinan yang eksklusif di dunia iaitu TBZ International dari Syria untuk pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pada 2001, De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan. Setahun kemudian berpindah ibu pejabat operasi dari Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selangor ke No. 13, Lorong Brunei Selatan, Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Setahun ke setahun, De’ Armani terus berkembang dan kami telah mula memfokus kepada industri percetakan dengan melabur dalam pembelian mesin cetak terkini dan canggih antaranya mesin cetak digital.

Pada 2004, De’ Armani melangkah setapak lagi dengan pembukaan kedai jualan dan ruang pameran di Lot 4, Aras Bawah, Semua House, Jalan Bonus 6, Masjid India, Kuala Lumpur.

Outlet ini menawarkan pelbagai perkhidmatan percetakan terutamanya berkaitan kad jemputan perkahwinan sebagai bisnes utama.

Kalau dahulu tumpuan kami kepada membekalkan produk cenderamata tetapi sejak awal 2007, bisnes teras kami ialah kepada memenuhi permintaan tinggi terhadap penyelesaian percetakan segera.

Kami memberi tumpuan kepada percetakan kad bisnes, kepala surat (letterhead), risalah, surat berita (newsletter), buku, beg kertas, fail kertas (folder), banner, bunting, pelekat dan banyak lagi.

Kelebihan memiliki mesin cetak digital yang tercanggih, menambahkan keyakinan De’ Armani sebagai pusat sehenti percetakan yang mampu menawarkan perkhidmatan mencetak buku-buku cenderahati, profil korporat, buletin dan bahan-bahan seminar tanpa batasan kuantiti, kualiti dan masa.

Apa yang kita ketahui industri percetakan telah lama diterajui oleh bangsa asing tetapi sejak kebelakangan ini barulah ada penglibatan daripada usahawan bumiputera Muslim. Jadi sepanjang penglibatan saudara apakah cabarannya setelah lebih 10 tahun menceburi bidang ini?

AZIZULRAHMAN: Pemonopolian bangsa asing dalam industri percetakan dari dahulu hingga kini memang tidak dapat dinafikan.

Ini kerana, mereka mengambil peluang daripada sikap segelintir masyarakat Melayu yang sanggup berhabisan dengan apa sahaja yang berkaitan perkahwinan antaranya seperti kad undangan perkahwinan. Malah mereka sanggup melabur dan hasilnya kita dapati hari ini merekalah yang mendahului bisnes kad undangan orang Melayu.

Namun, saya percaya bahawa kejayaan bumiputera Muslim masa kini adalah hasil daripada sokongan kerajaan dengan penyediaan pelbagai bantuan yang diperlukan oleh setiap usahawan.

Di samping itu, keprihatinan pihak pengurusan De’ Armani untuk mengubah arah konsep percetakan lebih kepada digital dengan pelaburan sejumlah RM400,000 untuk memperoleh mesin cetak terkini menatijahkan sesuatu yang positif untuk terus bersaing dan bertahan kukuh.

Sepanjang tujuh tahun belajar selok-belok perniagaan kad kahwin dan kita terpaksa merancang serta mencuba setiap reka bentuk ke pasaran bagi memastikan produk yang dikeluarkan itu dapat diterima serta menepati cita rasa dan trend.

Ia bukan sahaja dapat memberi kesedaran kepada para pembeli atau pelanggan tetapi turut menarik minat rakan-rakan pesaing.

Lantaran itu, saya amat berharap akan sentiasa mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berlanggan dengan kita.

Saya percaya dengan adanya kekuatan dan kemahiran 26 tenaga pekerja yang terlatih, kami mampu memberi yang terbaik kepada semua pelanggan.

Pada masa sama, pembukaan outlet kami di Semua House yang khusus menjalankan perkhidmatan mencetak kad jemputan perkahwinan dan barangan yang berkaitan seperti cenderahati, kemeja-T dan sebagainya.

Kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara suatu ketika dahulu turut dirasai syarikat kami. Namun kami mengubah strategi pemasaran dan penjualan.

Kami dapati dengan strategi sebegini, kita mampu bertahan dan pada masa yang sama mendapat modal pusingan yang seimbang.

Apakah perancangan masa depan anda dalam memacu arah tuju De’ Armani?

AZIZULRAHMAN: Saya sedang dalam perancangan untuk mengimport bahan kertas dari luar negara. Ini telah diusahakan serta pada masa yang sama, merancang untuk membesarkan kilang yang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti pengurusan di masa hadapan.

Selain itu, kami juga sedang berusaha memperbanyakkan rangkaian kedai-kedai kad undangan perkahwinan supaya imej produk dapat dikekalkan. Selain itu dapat memberi kepuasan serta jaminan kepada pelanggan bahawa jenama yang mereka beli berkualiti serta harga yang paling patut dan terbaik.

Buat masa ini, lokasi yang dikenal pasti ialah di Jalan Raja Abdullah iaitu berhampiran dengan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang berminat berurusan dengan kami boleh menghubungi ibu pejabat di talian 03-2142 4245.

Saya dimaklumkan bahawa penceburan saudara dalam bidang perniagaan sudah bermula semenjak di alam persekolahan lagi. Apakah nasihat yang boleh dikongsikan kepada usahawan Muslim yang lain?

AZIZULRAHMAN: Bagi saya mengusahakan bisnes sendiri ia tidak terletak kepada modal semata-mata, waima ia satu perniagaan yang kecil tetapi kita kena ada sikap berjiwa besar, bercita-cita dan yakin dengan setiap langkah yang dibuat.

Bertitik-tolak dari situ kena ada usaha yang berlipat kali ganda untuk memperoleh pulangan yang setimpal.

Malah dalam perjalanan itu, kita akan bertemu dengan pelbagai peluang dan rintangan, maka kita kena berani untuk mengambil risiko. Ini kerana ramai yang berjaya hasil daripada keberanian mereka mendepani risiko.

Pun begitu, orang senang bercakap apabila sudah berada di tahap kejayaan. Namun, kita perlu ingat bahawa tidak kurang juga yang menempuhi kegagalan walaupun menerima pelbagai bantuan dan sokongan modal.

Oleh itu, apa yang paling penting sekarang, di samping amanah pada diri sendiri, kita juga kena berkongsi kebahagiaan secara sama rata. Seperkara lagi, selalu berdoa memohon keberkatan daripada Allah s.w.t.

Sebut tentang bisnes, kita selalu menjadikan saranan Baginda Rasulullah iaitu sembilan daripada 10 pendapatan adalah melalui perniagaan sebagai pemangkin semangat. Apakah pandangan saudara?

AZIZULRAHMAN: Saya berkeyakinan penuh dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas, namun seperkara yang kita kena terima iaitu, ia tidak datang bergolek.

Malah untuk membuktikan kebenarannya, ia perlu kepada usaha, kegigihan, keinginan dan ketahanan.

Andai kata ia perkataan yang ajaib (magic), tidak mustahil kita semua sibuk hendak berniaga

Friday, 22 February 2008

Guladama digelar ‘pakar’ permaidani


BILA sebut bisnes berkaitan karpet buatan tangan dari Parsi, Afghanistan dan Pakistan, pasti yang terbayang di minda kita ialah bisnes yang diusahakan oleh kaum lelaki yang berasal dari negara-negara tersebut.

Namun, Guladama Gul Rahman, 53 tahun, berjaya membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu berjaya sehingga bertahan lebih 30 tahun.

Wartawan utusan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, FATAH SULAIMAN berpeluang menemuramah wanita kelahiran Kuala Lumpur ini mencungkil rahsia kejayaannya.

MEGA: Bila dan bagaimanakah penglibatan puan dalam dunia perniagaan bermula?

GULADAMA: Kalau hendak bercerita tentang penglibatan saya dalam bidang perniagaan memanglah cukup panjang dan penuh berliku. Sebenarnya, memang daripada nenek moyang keturunan kami sewaktu mula-mula datang berhijrah dari Empayar Moghul, India ke Malaysia telah terlibat dengan perniagaan. Saya merupakan generasi ketiga yang lahir di bumi Malaysia dan pada masa itu menetap di Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Seingat sayalah, saya mula berniaga semasa berusia belasan tahun lagi dengan membuat perniagaan jualan langsung barang-barang loyang tembaga (brassware). Kemudian, pada tahun 1978, oleh kerana terlalu berminat dengan permaidani, saya mula membawa beberapa sampel permaidani.

Lebih kurang dua tahun lamanya saya menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah. Pada masa itu, pelanggan akan membuat tempahan menerusi sampel yang dibawa sebelum saya ambil daripada pembekal.

Setahun kemudian, saya mula mengimport sendiri barang-barang loyang tembaga dari Murada Abad, India dan pada tahun berikutnya, saya mengimport pula permaidani dari Pakistan dan Tibet. Pada lewat 1980-an saya membeli marmar dari Taiwan. Selepas itu, sedikit demi sedikit mengambil troli-troli dari Itali.

Setelah sekian lama beroperasi dari rumah maka pada tahun 1981, saya telah membuka kedai di salah sebuah deretan kedai di jalan utama, Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum membuka sebuah lagi lot kedai di Semua House, Jalan Masjid India.

Sayangnya, ia tidak bertahan lama iaitu selama setahun lebih kerana ketiadaan orang untuk menguruskan urusan rumah tangga dan anak-anak yang semakin membesar serta memerlukan perhatian.

Lantaran itu, sekali lagi saya beroperasi dari rumah. Oleh kerana, minat yang mendalam dalam dunia perniagaan, saya tidak berputus asa dan cuba mengubah kaedah pemasaran dengan membuat secara jualan langsung serta adakan parti-parti jualan produk di kalangan pelanggan lama dan baru.

Apabila anak-anak sudah semakin membesar dan berdikari iaitu kini antara usia 25 hingga 13 tahun, saya mula menanam hasrat untuk membuka sebuah kedai pameran seperti yang pernah saya buka dahulu.

Alhamdulillah, apabila anak sulung, Zaien Kamal menamatkan pengajiannya di Kanada dan kembali ke tanah air, dialah yang banyak membantu saya dan hasilnya, kedai pameran Elegant Touches Fine Carpet direalisasikan di 37, Jalan PJU 5/12, Dataran Sunway, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Mei 2007.

Selain memfokuskan kepada bisnes permaidani sama ada karpet buatan tangan dan mesin, apa lagi yang disediakan di kedai Elegant Touches?

GULADAMA: Bermula dengan minat kepada permaidani sehingga membawa kepada pengalaman lebih 34 tahun dalam bisnes sebegini menyebabkan anak serta pelanggan menggelar saya ‘pakar’ permaidani. Jolokan dan gelaran ini pastinya merupakan satu pujian serta pemangkin semangat malah galakan untuk saya terus berjuang dalam dunia perniagaan, meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

Kami di sini amat mementingkan kualiti dan kehendak pelanggan. Sebab itulah, saya memastikan lokasi mana permaidani itu dihasilkan. Kami di sini, hanya mengambil permaidani-permaidani yang dibuat oleh pengusaha di industri kotej (cottage industry) sama ada dari sempadan Parsi, Afghanistan dan Pakistan. Ini kerana, permaidani yang dihasilkan mereka diakui bermutu, tampak lusuh kerana lamanya tempoh pembikinan serta ia menggunakan pencelup atau pewarna yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia lebih mesra alam.

Pun begitu, di Elegant Touches kami juga menawarkan karpet-karpet yang dibuat dengan mesin memandangkan harga yang agak murah berbanding buatan tangan.

Malah kami juga menyediakan perkhidmatan membaikpulih dan mencuci karpet sungguhpun, mereka tidak membeli daripada kami. Kami juga menyediakan perkhidmatan selepas waktu pejabat memandangkan kesibukan masyarakat di kota.

Selain itu, Elegant Touches turut menawarkan perabot-perabot rumah seperti meja makan, almari sisi, rak televisyen dan banyak lagi daripada kayu jati dan kayu merbau.

Para pelanggan yang berminat dengan aksesori perhiasan diri seperti rantai leher, rantai dan gelang tangan sama ada mutiara, batu jed dan kristal juga boleh memperolehnya di kedai ini.

Bagi mereka yang berminat bolehlah berkunjung ke kedai pameran kami ataupun menghubungi kedai di talian 03-6141 7455.

Bila sebut bisnes karpet buatan tangan terutamanya yang diimport dari luar negara, pasti yang terbayang ialah harganya yang mahal. Adakah perkara ini menjadi halangan serta bagaimana puan menjelaskan kepada pelanggan?

GULADAMA: Harganya yang agak tinggi sedikit memanglah tidak dapat saya nafikan tetapi bak kata pepatah, ‘alah membeli, menang memakai.’

Jika hendak dibandingkan permaidani buatan tangan dengan permaidani mesin, ia sangat jauh berbeza. Salah satunya, karpet buatan tangan ini ia tidak berhabuk dan kalau mereka yang alahan serta berpenyakit asma, ia tidak memburukkan lagi kesihatan. Berlainan dengan karpet yang dibuat menggunakan mesin, ia bukan sahaja memerangkap habuk tetapi bulunya mudah bebas di udara dan secara tidak langsung, memberi kesan yang tidak berapa baik kepada mereka yang menghadapi masalah alahan kulit dan asma.

Lantaran itulah, kami lebih menyarankan pelanggan untuk membeli karpet buatan tangan yang banyak ditawarkan di sini walaupun harganya mahal sedikit. Apa lagi, dalam pembuatannya ia menggunakan bahan-bahan pewarna dan pencelup yang berasaskan tumbuh-tumbuhan, jadi ia lebih selamat dan tahan lama.

Karpet buatan tangannya selain lembut, bulunya juga tahan lama dan tidak mudah botak berbanding yang diperbuat daripada mesin.

Apakah rahsia puan terus bertahan dalam bisnes karpet yang kita ketahui jarang diceburi usahawan tempatan, lebih-lebih lagi seorang wanita?

GULADAMA: Prinsip saya, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan.’ Bertitik-tolak dari situlah, walau apa juga cabaran yang mendatang, saya pasti berusaha menghadapinya. Malah menerusi perniagaan inilah, saya membesarkan anak-anak sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Namun, itu sampai ke tahap sebegini bukanlah mudah malah ia memerlukan kerja keras, kesabaran, ketahanan mental dan fizikal, modal pusingan serta paling penting sentiasa berserah kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kalau hendak dikongsikan pengalaman pahit dalam dunia perniagaan seperti ditipu, pernah kehilangan van yang sarat berisi karpet serta banyak lagi, memanglah tidak sanggup ditanggung tetapi disebabkan minat yang mendalam, saya berani laluinya dan alhamdulillah berjaya menghadapinya.

Kakak saya pernah menyuruh saya berfikir semasak-masaknya untuk terus bergelar usahawan bila dia melihat kesukaran yang dihadapi, tetapi itu semua saya anggap sebagai satu cabaran.

Apa yang saya lihat, dalam berniaga kita mesti bersikap mesra pelanggan, ramah, menjaga rahsia serta membina seberapa banyak kenalan. Malah moto pelanggan adalah benar, mestilah sentiasa dijaga kerana kesabaran kita, secara tidak langsung akan membina hubungan baik yang berterusan hingga ke anak cucu mereka.

Apakah perancangan akan datang puan?

GULADAMA: Alhamdulillah, semenjak dibantu oleh Zaien kerja-kerja pemasaran dan di kedai agak teratur juga. Untuk tempoh jangka masa pendek ini, kami sedang berusaha membina kepercayaan pelanggan terutamanya yang baru dan mereka yang pada masa itu berada di kawasan ini. Pada peringkat permulaan, bisnes memang agak sukar tetapi selepas disebarkan risalah-risalah, sudah ada nampak sambutan contohnya kehadiran pelanggan.

Apa lagi dengan kemudahan pembayaran ansuran secara kredit menerusi penggunaan kad kredit tanpa faedah, diharap dapat menarik pelanggan.

Bagi perancangan jangka masa panjang, Zaien sedang dalam proses untuk membuka sebuah cawangan kami di Kanada. Insya-Allah, paling lewat pun pada tahun depan.

Wednesday, 20 February 2008

Miskin atau kaya ujian Allah



Firman Allah s.w.t.: Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata:

“Tuhanku Telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. (Al-Fajr: 15-16).

Meneliti kandungan ayat di atas Allah s.w.t. telah memandu kita dalam memahami situasi kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Ini kerana sememangnya manusia sering menyalah tafsir apa yang terjadi di sekelilingnya. Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah soal kaya dan miskin, senang dan susah.

Dua ayat dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan tentang dua kumpulan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat. Golongan itu ialah:

Pertama: Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat yang hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba cukup untuk membeli apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Mereka mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang dimiliki adalah merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka.

Oleh itu biasanya golongan ini sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari aspek material sama ada kenderaan, pakaian, makanan dan tempat kediaman mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan mereka dan jauh dari golongan miskin.

Termasuk di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan kemenangan dalam merebut jawatan pemimpin sesebuah organisasi mahupun negara. Mereka mendakwa kedudukan tinggi ini adalah hasil kebenaran yang dibawa. Pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda kesalahan dan tiadanya perkenan dari Tuhan.

Daripada aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam yang melimpah ruah juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca kemajuan negara. Justeru para pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti kebaikan dan kebijaksanaan memerintah negara.

Namun demikian Allah s.w.t. telah membetulkan persepsi di atas dengan firman-Nya yang bermaksud: Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. (Al-Fajr:15).

Ayat ini menjelaskan tabiat majoriti manusia yang menilai kekayaan dan kesenangan yang dimiliki sama ada dari aspek material mahupun pangkat. Ia menjadi satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, sedangkan semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka.

Apakah kekayaan itu diurus berpandukan syariat Allah atau sebaliknya? Seperti yang dihuraikan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya Al-Munir. Allah s.w.t. menempelak mereka yang membuat dakwaan seperti di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi Allah bukanlah diukur dari sudut kekayaan tetapi diukur menurut ketakwaan dan keimanan seseorang seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya.

Jika kaya sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan menambahkan amal kebajikan dan ibadah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Ini kerana kekayaan dan kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada kekufuran.

Aniaya

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan melimpah ruah yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke lembah kekufuran kepada Allah.

Firman Allah s.w.t., Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga! Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Surah Al-Qasas :76

Juga apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil segala kesenangan, kekayaan dan kedudukan yang dimiliki menyebabkan ia kufur kepada Allah. Malah dengan angkuh mengaku diri sebagai Tuhan yang amat berkuasa.

Sebagai muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan kesenangan adalah ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia. Ini kerana biasanya golongan kayalah yang selalunya hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin keselamatan harta benda mereka.

Dalam sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w adalah datang dari kalangan bangsawan dan mereka yang berkedudukan di dalam masyarakat. Ini kerana kekayaan menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas tidak mahu menerima kebenaran.

Kedua: Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan ini mempunyai tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang menimpa mereka adalah merupakan satu bentuk penghinaan yang telah ditakdirkan ke atas mereka.

Selalunya mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan adanya kalangan golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah kerana mereka buruk sangka kepada-Nya.

Justeru Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Hampir-hampir kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.

Allah telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada manusia. Sama ada ia dapat bersabar atau sebaliknya di dalam berhadapan dengan ujian ini. Firman Allah s.w.t., Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. (Al-Fajr: 16).

Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar dihadapi oleh manusia kerana dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia yang lain dan hilang pergantungan dengan Yang Maha Pencipta.

Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang dilakukan adalah haram. Kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang menurut apa sahaja kehendak orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah bertentangan dengan syariat Allah.

Di dalam sejarah tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim menjadikan kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras ugut rakyat agar terus memberikan sokongan kepadanya.

Kesimpulannya, kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian kepada manusia di dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan mereka dalam arus kemurkaan Allah. Namun sebaliknya, jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia boleh menjadi pendorong kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Sebabnya, dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang seluas-luasnya untuk bersedekah dan mendermakan harta ke jalan meningkatkan syiar Islam. Kemiskinan pula boleh menjadikan seseorang terdorong melanggar larangan Allah semata-mata untuk memperolehi harta kekayaan.

Namun kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat kepada Allah dan bergantung dengan-Nya sepanjang masa. Malah Rasulullah s.a.w amat suka berdampingan dengan golongan miskin kerana ia boleh melembutkan hati dan menyuburkan sifat tawaduk dan rendah diri.

* ZURIDAN MOHD. DAUD ialah Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.

Pengemis Buta Dan Rasulullah SAW


Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta, yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, Wahai saudaraku, jangan dekat Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya.

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan
makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang
dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang
menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari
sampai beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abu bakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan
isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu,Anakku, adakah kebiasaan
kekasihku yang belum aku kerjakan?

Aisyah RA menjawab,Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada
satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja. Apakah Itu?, tanya Abu bakar RA. Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada disana, kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abu bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk
diberikan kepada pengemis itu. Abu bakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu bakar RA mulai menyuapinya, sipengemis marah sambil menghardik, Siapakah kamu? Abu bakar RA menjawab,Aku orang yang biasa (mendatangi engkau). Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, bantah si pengemis buta itu.

Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku, pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu bakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW.

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu bakar RA, dan kemudian berkata, Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya,
ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia....


Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu bakar RA saat itu juga
dan sejak hari itu menjadi muslim.

Nah, wahai saudaraku, bisakah kita meneladani kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW?
Atau adakah setidaknya niatan untuk meneladani beliau? Beliau adalah ahsanul akhlaq, semulia-mulia akhlaq.

Kalaupun tidak bisa kita meneladani beliau seratus persen, alangkah baiknya kita berusaha
meneladani sedikit demi sedikit, kita mulai dari apa yang kita sanggup melakukannya.

Sebarkanlah riwayat ini ke sebanyak orang apabila kamu mencintai Rasulullahmu...

Sadaqah Jariah salah satu dari nya mudah dilakukan, pahalanya? MasyaAllah....macam meter taxi...jalan terus.


Sadaqah Jariah - Kebajikan yang tak berakhir.

1. Berikan al-Quran pada seseorang, dan setiap dibaca, Anda mendapatkan
hasanah.

2. Sumbangkan kursi roda ke RS dan setiap orang sakit menggunakannya, Anda
dapat hasanah.

4. Bantu pendidikan seorang anak.

5. Ajarkan seseorang sebuah do'a. Pada setiap bacaan do'a itu, Anda dapat
hasanah.

6. Bagi CD Quran atau Do'a.

7. Terlibat dalam pembangunan sebuah mesjid.

8. Tempatkan pendingin air di tempat umum.

9. Tanam sebuah pohon. Setiap seseorang atau binatang berlindung
dibawahnya, Anda dapat hasanah.

10. Bagikan email ini dengan orang lain. Jika seseorang menjalankan salah
satu dari hal diatas,
Anda dapat hasanah sampai hari Qiamat.

Aminnnnnn...

Monday, 18 February 2008

Tekanan Kerja Jadikan Saya Lebih Maju


Tempoh 30 tahun di Maybank bukti kesetiaan

WALAUPUN Malayan Banking Bhd (Maybank) bukan satu-satunya bank yang disertainya, beliau menghabiskan sebahagian besar kariernya di bank terbesar Malaysia itu.

Tempoh 30 tahun cukup membuktikan kesetiaannya sehingga membolehkannya mencatat kemajuan kerjaya cukup besar bagi Datuk Mohammed Hussein yang juga bekas Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Maybank.

Ketika rencana ini ditulis, beliau tidak lagi menghabiskan masa di pejabat, sebaliknya mungkin sedang sibuk melayan kerenah cucu lelaki tunggalnya, selepas menghabiskan lebih separuh daripada usianya menabur bakti di Maybank.

Beliau bersara daripada bank itu pada 30 Januari lalu, selepas tempoh perkhidmatannya dilanjutkan selama dua tahun. Tarikh persaraan rasminya ialah pada 2006. Berkuat kuasa tarikh yang sama, Mohammed juga meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Maybank.

"Saya mahu bercuti sepenuhnya sekurang-kurangnya selama enam bulan. Saya merancang mengembara dengan beg sandang dan berpakaian biasa ke luar negara, serta tidak terikat dengan sebarang jadual dan tempahan bilik, jauh daripada kaedah mengembara yang saya lalui sebelum ini ketika bersama Maybank," kata anak jati Pasir Mas, Kelantan, ini ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau menyertai Aseambankers pada 1977, anak syarikat Maybank sebelum "dipinjamkan" selama 10 tahun untuk menyertai unit baru di Maybank dan dipindahkan semula ke Aseambankers sebagai Pengarah Urusan sebelum kembali ke Maybank sebagai Timbalan Presiden hingga tamat tempoh perkhidmatannya.

Banyak kenangan pahit-manis yang dialaminya di Maybank sepanjang kerjayanya, namun walau sesukar mana, beliau telah berjaya mengharunginya.

Malah, Mohammed menganggap 'stress' yang dialami ketika bekerja sebagai penawar yang menggerakkan seluruh minda dan urat nadinya untuk berfikir atau menyelesaikan masalah.

"Perkara yang saya akan rindu selepas meninggalkan Maybank adalah tekanan. Tekanan hingga satu tahap tertentu adalah baik untuk memastikan kita bergerak," katanya.

Sepanjang perkhidmatannya di Maybank, beliau bersama pasukan pengurusan lain di bank itu, banyak terbabit bersama memikirkan kaedah terbaik untuk membawa institusi kewangan itu menjadi bank peneraju di Malaysia.

Antara mereka termasuk nama besar dalam industri perbankan negara, termasuk bekas Pengarah Urusan Maybank, Tan Sri Ahmad Mohd Don yang juga pernah menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia, dan Datuk Amirsham A Aziz yang juga Presiden Maybank ketika ini.

"Ketika saya mula menyertai Maybank ia bukan bank nombor satu di Malaysia. Kami banyak membuat pembaharuan sehingga membolehkan bank ini berada pada kedudukannya sebagai bank terunggul di Malaysia," kata Mohammed.

Mengimbas kembali pembabitan dalam dunia perbankan, Mohamed, graduan lulusan Perakaunan dari Universiti of Newcastle di Australia, membantu perniagaan kecil-kecilan bapanya di Kota Baharu, Kelantan, sebaik menamatkan pengajian.

Namun, tarikan kerja makan gaji lebih hebat, apatah lagi beliau memegang segulung Ijazah dari luar negara, mendorong beliau memohon pekerjaan di ibu kota dan menyertai United Overseas Bank Bhd (UOB).

Dalam tempoh singkat iaitu hanya beberapa bulan beliau mendapat tawaran untuk bekerja di Aseambankers Malaysia Bhd, anak syarikat Maybank.

Tidak lama di bank pelaburan itu, beliau dipinjamkan untuk mengetuai unit perbankan korporat yang baru ditubuhkan di Maybank dan prestasi beliau menjadi ukuran untuk diberi tugas baru berkenaan.

"Perkataan 'dipinjamkan' mungkin tidak membawa apa-apa makna kerana saya berkhidmat hampir 10 tahun di Maybank, yang mana tujuh tahun menerajui unit Perbankan Korporat dan selepas itu diberi tanggungjawab menubuhkan bahagian Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana," katanya sambil menambah beliau juga terbabit ketika Maybank menceburi perniagaan baru perbankan insurans menerusi Mayban Life Assurance Bhd pada 1996 yang menjadi satu daripada sumber pendapatan baru kepada institusi berkenaan.

Bukan tidak pernah 'dilamar' institusi perbankan lain, malah dari luar negara, beliau gembira bekerja di Maybank yang dianggap antara pelajaran paling bermakna dalam kariernya dan pada masa sama, beliau dapat mengukur keupayaan sendiri dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

Mohammed menyifatkan setiap kejayaan yang diraih sebagai kejayaan bersama, antara pengurusan atasan yang membuat keputusan, manakala kakitangan menggerakkan setiap perubahan.

"Menerajui perubahan bukan satu tugas mudah. Antaranya, kita perlu berdepan kecaman pendapat yang enggan atau was-was dengan perubahan yang akan dibuat.

"Namun, menerusi komunikasi yang berkesan, perubahan dapat dilaksanakan dengan lancar dan walaupun saya lulusan perakaunan, peluang menjadi pengurus membolehkan saya menggunakan komunikasi untuk menggerakkan kakitangan," katanya yang lazimnya menghabiskan masa 14 jam di pejabat.

Beliau juga belajar daripada perkembangan industri perbankan di negara maju untuk diguna pakai dalam tugasnya dengan mengambil mana-mana yang boleh diaplikasikan dalam perbankan tempatan.

"Membuat sesuatu yang baru perlukan inisiatif seperti melatih kakitangan supaya mereka boleh menerima perubahan, selain mendorong mereka untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Perkara ini tidak boleh dicapai sekelip mata, sebaliknya perlu dibantu dengan latihan berterusan kepada kakitangan," katanya yang melihat perkembangan itu sebagai satu inisiatif penting untuk melahirkan ramai tenaga pakar perbankan.

"Fear factor" tidak dapat dinafikan sentiasa ada setiap kali mendapat tanggungjawab baru, tetapi beliau pastikan tanggungjawab dilakukan secara sistematik, dan memberikan komitmen sepenuhnya selain menentukan keutamaan supaya setiap tindakan boleh dilakukan dan boleh diukur.

Mohammed melahirkan rasa puas hati kerana Maybank banyak menyumbang dalam menjana modal insan dalam sektor perbankan negara, walaupun sebahagiannya tidak kekal berkhidmat di bank ini, malah ramai daripada mereka menerajui institusi kewangan lain di negara ini.

Sebagai ketua, beliau juga menyifatkan ganjaran kepada kakitangan sebagai satu inisiatif penting untuk mengekalkan kakitangan, dan ganjaran tidak terhad malah boleh diberi dalam pelbagai cara, termasuk menerusi majlis makan malam, hari keluarga, nota terima kasih atau pun latihan kemahiran.

Sepanjang 30 tahun berkhidmat, beliau turut melihat perkembangan dalam industri perbankan negara yang disifatkannya sebagai maju dan tidak ketinggalan berbanding di negara lain, lebih-lebih lagi dalam perbankan Islam yang mana Malaysia mempunyai kedudukan yang sangat ketara.

Bukan itu saja, Mohammed juga melalui trauma krisis kewangan 1997/98 yang disifatkan sebagai amat menakutkan apabila krisis itu melonjakkan kadar faedah ke paras tertinggi lebih daripada 15 peratus, pasaran saham jatuh merudum, aliran keluar wang yang tidak terkawal, dan pembiayaan kredit berkurangan dengan ketara.

Memandangkan terlalu lama menceburi sektor perbankan, beliau kini "tidak begitu yakin" dirinya mampu untuk menjadi peniaga berjaya.

"Seorang kakitangan bank tidak perlu berada terlalu lama di bank sebelum menceburi bidang perniagaan kerana masa yang terlalu diambil akan menjadikan diri anda terlalu berhati-hati untuk mengambil risiko," katanya.

PROFIL: Mohammed Hussein

# Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan), AMP (Harvard)

# Dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Maybank pada 1 November 2000.

# Pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Maybank.

# Menyertai Kumpulan Maybank pada 1977 dan telah berkhidmat

dalam pelbagai jawatan dalam Kumpulan termasuk Pengarah Urusan Aseambankers Malaysia Bhd.

# Jawatan Pernah pernah dipegang dalam Kumpulan Maybank iaitu Aseambankers Malaysia Bhd dan PT Bank Maybank Indocorp

Saturday, 16 February 2008

Raja Gula paling kaya


RAJA Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien kekal sebagai orang paling kaya di Malaysia jauh meninggalkan pesaing terdekatnya T Ananda Krishnan, demikian menurut senarai 40 orang terkaya Malaysia majalah Malaysian Business.

Majalah itu dalam keluaran 16 Februari meletakkan kekayaan Kuok RM58.11 bilion, yang menyumbang hampir 36 peratus daripada kekayaan 40 orang terkaya.

Taikun yang berpangkalan di Hong Kong itu menambah RM25.7 bilion ke dalam kekayaannya tahun lalu berikutan harga ekuiti tinggi bagi saham tersenarainya. Bagaimanapun, ia berkata kekayaan Ananda Krishnan mencatatkan penurunan kepada RM19.63 bilion.

Majalah Malaysian Business dalam satu kaji selidik yang dijalankan mendapati, Pengerusi Hotel Shang-ri La, Robert Kuok Hock Nien kekal sebagai individu terkaya di Malaysia pada tahun ini dengan jumlah kekayaan berjumlah RM58.11 bilion iaitu bernilai hampir 36 peratus daripada kekayaan keseluruhan 40 individu terbabit.

Menurut kenyataan itu, jumlah aset Robert Kuok pada tahun ini bertambah sebanyak RM25.7 bilion berikutan kestabilan pasaran dan peningkatan harga ekuiti.

Ini diikuti oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Usaha Tegas Sdn. Bhd., T. Ananda Krishnan yang merupakan individu kedua terkaya dengan nilai aset berjumlah RM19.63 bilion.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng menjadi orang ketiga terkaya di Malaysia dengan kekayaan terkumpul berjumlah RM14.94 bilion.

Kaji selidik yang dibuat oleh Malaysian Business itu dimulakan sejak 2002 dan menjadi rujukan untuk menilai individu-individu terkaya di negara ini.

Menurut kenyataan itu, dua nama yang melonjak naik pada tahun ini dan tersenarai dalam 10 individu terkaya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Industrial Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Pengerusi Amcorp Group, Tan Sri Azman Hashim.

Nama yang tidak disenaraikan pada tahun ini adalah mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang juga pengasas kepada Kumpulan Genting.


Sementara itu Tan Sri Lee Shin Cheng daripada IOI Corporation Bhd, buat pertama kalinya memahat namanya dalam tiga kedudukan teratas orang terkaya Malaysia dengan menggandakan kekayaannya kepada RM14.94 bilion.

Friday, 15 February 2008

Buka butik bermodalkan wang simpanan RM5,000

Anak Felda, Siti Rabiatul Adawiah lega perniagaan diceburi enam bulan lalu makin berkembang

PERGAULAN selama dua tahun dengan sekumpulan usahawan wanita di tempat kelahirannya di Felda Batu 27, Lenga, Muar, mendorong Siti Rabiatul Adawiah Abd Razak, 30, membabitkan diri dalam perniagaan sehingga berjaya membuka sebuah butik di pasar raya Giant, Tanjung Agas, Muar, sejak enam bulan lalu.

Sebaik saja menamatkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Lenga pada 1996, Rabiatul Adawiah mula menimba pengalaman berniaga dengan bergaul bersama beberapa usahawan wanita yang lebih dewasa di tanah rancangan berkenaan.


Hasil pemerhatian dan pembelajarannya, beliau memberanikan diri menyewa sebuah lot perniagaan di pasar raya Wetex Parade, Jalan Ali, pada 1999 dengan hanya bermodal wang simpanannya sebanyak RM5,000 untuk menjual pakaian lelaki serta beg galas yang menjadi kegemaran remaja masa kini.

Berkat kesabaran dan yakin bahawa bidang perniagaan boleh menghasilkan pulangan lumayan, perniagaannya terus berkembang sehingga membolehkannya membuka butik berkenaan di pasar raya Giant.

Rabiatul Adawiah berkata, dengan bantuan dan galakan suami, Faizal Mohd Yunus, 33, perniagaannya semakin berkembang berikutan sambutan pelanggan yang menggalakkan, terutama wanita dan remaja.


"Kini, kami membelanjakan kira-kira RM150,000 untuk melengkapkan aneka jenis pakaian lelaki dan wanita, termasuk kain bermutu yang diimport dari Korea, Jepun dan Eropah yang sesuai dijadikan kebaya serta baju kurung.

"Selaras dengan arahan kakitangan awam supaya berpakaian batik pada setiap Khamis, kami juga menyediakan batik bermutu hasil lukisan asli karyawan industri batik terkemuka dari Kelantan dan Terengganu," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menceritakan kejayaan perniagaannya, Rabiatul Adawiah berkata, tinjauan lokasi perniagaan di kawasan strategik dan sasaran pelanggan perlu diambil kira sebelum membuka atau menyewa premis.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan perniagaan yang dijalankan berjalan lancar dan sentiasa mendapat perhatian pelanggan.

Selain itu, katanya, kecekapan pengurusan, penampilan diri terutama jurujual serta tawaran harga berpatutan turut menyumbang kepada tarikan pelanggan untuk berkunjung seterusnya berbelanja mengikut cita rasa mereka.

"Layanan dan kemesraan juga penting di samping memberi keutamaan terhadap permintaan pelanggan serta menerima kritikan membina dengan hati terbuka," katanya.

Selain menjual kain bermutu tinggi dan pakaian kemeja lelaki serta kebaya, butiknya juga turut menyediakan tudung fesyen terkini dan aksesori wanita, termasuk kerongsang dan manik sulaman.

Rabiatul Adawiyah berkata, butiknya juga menjadi pembekal kain dan kebaya serta kemeja lelaki kepada peruncit dan peniaga pakaian di daerah ini, Batu Pahat dan Johor Bahru.

Beliau berkata, butiknya juga sedia menerima tempahan untuk mereka yang berminat mendapatkan fesyen pakaian terkini dan kain bermutu, termasuk batik asli.

Katanya, tempahan boleh dibuat sama ada menghubunginya melalui telefon bimbit 016-6155648 atau menemui pengurus butiknya, Adawiah Khir yang lebih dikenali sebagai Awin pada waktu perniagaan.

Tempa kejayaan hasil 'muka tebal'


Noor Hayati guna pengalaman jurujual kembangkan perniagaan

PENGALAMAN guru terbaik mematangkan hidup. Segala kesukaran diangkat menjadi sesuatu yang positif nyata membuahkan hasil apabila perniagaan diusahakan Noor Hayati Zainal Abidin, 39 bersama suaminya, Abdul Halim Wok, 39, iaitu Maqrifatun World Sdn Bhd (MWSB), mendapat sambutan menggalakkan hingga ke luar negara.

Maqrifatun, pengeluar produk makanan dan minuman berasaskan kesihatan memperkenalkan Kopi Naak yang dirumus daripada sumber perahan tumbuh-tumbuhan sebagai minuman kesihatan khusus untuk wanita. Kopi Naak itu dipercayai mampu membantu meningkatkan stamina seseorang individu, malah dapat melegakan kelesuan serta kepenatan fizikal.


Sebelum itu syarikat memperkenalkan Kopi Anggok, antara produk terbaik Maqrifatun yang kini bukan saja boleh didapati di banyak pusat jualan di seluruh Malaysia, tetapi juga dieksport ke beberapa luar negara menerusi ejen terpilihnya.

Soalnya, kenapakah produk sedemikian menjadi pilihan beliau? Noor Hayati berkata, kopi menjadi pilihan beliau kerana ia menjadi minuman kegemaran ramai. Justeru, daripada minum kopi biasa, sedikit campuran herba dapat memberikan manfaat kepada individu yang minumnya.

“Kopi terkini yang dilancarkan ini dipercayai mampu memperbaiki perjalanan darah, mengurangkan angin dalam badan selain menganjal dan menghaluskan struktur kulit. Malah, kopi ini turut mengandungi ramuan eksklusif antaranya kopi Arabica terpilih, manjakani, kacip fatimah, mas cotek, lobata puereira mirifica, aspatame dan krimer,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Noor Hayati yang merangkap Ketua Eksekutif Maibex International Showcase dan Pengarah Urusan Maqrifatun World Sdn Bhd berkata, berada dalam kedudukan kini bukan sesuatu yang mudah sebaliknya beliau bermula daripada bawah dan pernah berpanas terik menjadi jurujual yang bergerak secara individu.

“Sejak kecil saya memang tidak pernah bercita-cita makan gaji sebaliknya selalu berangan-angan memiliki perniagaan sendiri. Tidak seperti kawan yang lain menjadi ‘minah kilang’, saya sebaliknya lepas tamat pengajian, menimba ilmu perniagaan dengan menjaja produk daripada satu pelanggan ke satu pelanggan yang lain.

“Kata orang kerja sebegini memerlukan kita ‘tebal muka’, dan itu adalah hakikat. Ada ketika perniagaan laris, ada kalanya seorang pun tidak mahu beli. Kadangkala itu kita penat bercerita daripada A sampai Z, tetapi pelanggan tidak mahu beli juga. Mengenangkan cabaran itulah menjadikan saya selalunya berasa ‘simpati’ kepada jurujual dan selalunya akan beli juga walaupun kadang-kala barangan yang dijual itu sudah banyak di rumah saya. Bukan apa, itu sebagai satu sokongan daripada kita kerana saya tahu bagaimana rasanya bila barangan dijual tidak laku,” katanya yang mempunyai pendidikan dalam Diploma in Quantity Surveyor, Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara)

Sungguhpun begitu beliau pernah juga berkerja makan gaji kerana ingin mencuba keserasian. Nyata beliau tidak menyukainya kerana majikan yang mempergunakan sepenuh tenaga kerjanya daripada mencari fail hinggalah yang paling sukar, tetapi mengenakan bayaran yang tidak setimpal.

“Sekitar 1990-an, berapa sangat bayaran gaji, tetapi kerja terlalu teruk. Tekad saya, daripada orang lain yang kaya kesan kerja yang tidak mengenal penat lelah, lebih baik baginya untuk membuka perniagaan sendiri, menjadi kuli dan bos pada masa yang sama,” katanya.

Mungkin bagi sesetengah orang, melompat daripada satu perniagaan ke perniagaan lain menandakan satu kegagalan, tetapi bagi Noorhayati ia adalah percubaan yang memberinya pengalaman amat berharga.

“Pada usia 23 tahun, saya tidak segan membuat demo ubat lipas dan sabun dari rumah ke rumah. Walaupun bergelar bos, saya lebih senang melatih sendiri kakitangan membuat demo di depan pelanggan. Usaha keras itu membuatkan ramai pelanggan mengagumi kegigihan saya yang masih muda ketika itu. Reaksi pelanggan menjadikan saya terus bersemangat untuk menjalankan perniagaannya sehingga berjaya,” katanya ramah.

Beliau berkata, usia muda memulakan perniagaan sendiri, memberikan banyak kelebihan kepadanya. Sungguhpun begitu ia tidaklah berjalan sebegitu indah sentiasa. Malah dalam banyak kejadian yang tidak diingini, ada juga pekerjanya yang melarikan barangan yang sepatutnya dijual. Pekerja juga selalunya sering bertukar ganti kerana tidak ramai yang tahan dengan tugas sebegitu menjadikan perniagaan itu terpaksa dihentikan.

“Selepas itu saya bekerja pula dengan syarikat penerbitan selama dua tahun. Minat pula terarah ke situ dan akhirnya membawa saya menerbitkan majalah berunsur kepenggunaan untuk dipasarkan ke luar negara di bawah syarikat Madawangsa Consultant.

“Selain penerbitan, saya juga menerokai bidang perkhidmatan dengan menubuhkan Maibex International Showcase yang menjalankan perkhidmatan sebagai pengurus program dan penganjur pameran antarabangsa, dan antaranya Maibex berjaya menganjurkan Pameran Kecantikan di Dubai,” kata ibu kepada enam cahaya mata berusia antara 14 hingga tujuh tahun ini.

Menelusuri pengalaman itu, beliau akhirnya melabuhkan minat dalam sektor makanan kesihatan dan kecantikan. Selain kopi, antara dihasilkan syarikat termasuklah minuman kolagen MQ-Collagen untuk kulit menawan, dan Puteri-2 Slimming Supplement, malah banyak lagi produk lain yang dijangka dipasarkan.

“Setiap produk yang dihasilkan diuji terlebih dulu di makmal. Bagi meyakinkan pengguna, sebelum dipasarkan, beberapa sampel diberikan kepada pengguna untuk mencubanya. Kemudian satu borang maklumat akan diisi untuk mengetahui mengenai tindak balas mereka terhadap produk berkenaan. Hasil maklumat ini akan dijadikan bukti keberkesanan produk keluaran kami.

“Menceburi bidang membabitkan kesihatan dan kecantikan memerlukan saya rajin membaca dan membuat penyelidikan. Apa yang penting, ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan Pusat Racun Negara. Sebagai peniaga, kita perlu tahu apa yang kita jual bagi membolehkan kita menerangkan kepada pelanggan mengenai kesan sebelum dan selepas pengambilannya,” katanya.

Bagi Noor Hayati, perjalanan untuk bergelar usahawan berjaya masih jauh. Beliau mengimpikan satu hari nanti, produk keluaran Maqrifatun dapat menembusi pasaran luas luar negara. Bekerjasama dengan suami, sedikit sebanyak dapat memudahkan impian itu kerana sokongan mental dan fizikal menjadikan mereka sama-sama kuat menempuh cabaran mendatang.

Kemakmuran rezeki dari perniagaan restoran

RESTORAN Kak Eita hakikatnya berbeza dengan restoran-restoran yang sedia ada di Malaysia. Ini kerana keyakinan pemiliknya, Norita Md. Khalid memperkenalkan gabungan sajian makanan laut segar yang berkonsep stimbot dan sup ekor di dalam sajian, pastinya menepati cita rasa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Malah menurut Norita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Eita, premis tiga tingkat yang terletak di 33A, Jalan Metro Wangsa, Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur ini turut menyuntik elemen ala kampung. Sekali gus membawa pengunjung mengenang kembali akar budaya bangsa Melayu terutamanya kepada generasi muda dan bangsa asing.

Wartawan Utusan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, WAHIDAH ZAINAL berkesempatan mencuri masa sibuk anak sulung daripada tiga adik-beradik yang berasal dari Alor Gajah, Melaka ini bertanyakan idea dan perancangannya dalam menikmati rezeki yang diperoleh dari perniagaan restoran.

MEGA: Bagaimanakah idea membuka restoran sup ekor stimbot istimewa ini terhasil?

NORITA: Sebenarnya penglibatan saya dalam dunia penyediaan makanan sudah bermula sejak kecil. Peringkat awalnya, ia dikira pendedahan secara tidak formal di mana saya selalu melihat dan menolong sedikit-sedikit nenek dan emak mengusahakan perniagaan berasaskan penyediaan makanan.

Kira-kira lima tahun lalu, barulah saya melibatkan diri secara langsung dengan bisnes yang serupa. Pada masa itu, perniagaan saya dijalankan secara kecil-kecilan. Pada masa yang sama juga saya mengumpul modal hasil daripada keuntungan perniagaan tersebut.

Hakikatnya, cita-cita saya untuk membuka sebuah restoran berputik sejak kecil lagi sewaktu melihat cara nenek berniaga. Ketika itulah saya telah tanamkan azam untuk memiliki sebuah perniagaan makanan sendiri.

Apabila modal telah cukup, saya berbincang dengan ahli keluarga yang lain dan daripada merekalah idea membuka restoran sup ekor stimbot terhasil.

Alhamdulillah, semuanya dilakukan secara terancang kerana saya tidak mahu bisnes yang dimulakan ini sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, maka saya telah mencari pakar runding untuk melakukan sesuatu kelainan dan keunikan sama ada dari segi sajian, hiasan dalaman, kebersihan serta penyediaan perkhidmatan jika dibandingkan dengan restoran-restoran yang sedia ada sekarang.

Kemudian dengan bantuan Chef Nazar Nain yang berpengalaman luas dalam menghasilkan resipi-resipi baru serta pengurus restoran, Samdin serta para pekerja yang tinggi komitmen kami memulakan operasi secara rasminya di premis sekarang pada awal November 2007.

Apakah keistimewaan yang terdapat di Kak Eita Restoran berbanding restoran-restoran lain?

NORITA: Untuk pengetahuan semua, Kak Eita rasa inilah restoran pertama di Malaysia yang menyediakan sup ekor stimbot. Kebiasaan yang kita temui, sesebuah restoran itu hanya menyediakan hidangan stimbot semata-mata.

Namun di Kak Eita Restoran, terdapat lebih 50 jenis makanan laut segar, ayam, daging dan sayur-sayuran yang pastinya menggoda selera para penggemar makanan ini.

Resipi di restoran Kak Eita telah dikenali sejak 30 tahun lalu di sekitar daerah Alor Gajah, Melaka.

Kami di sini juga berusaha mempelbagaikan perkhidmatan kami agar ia juga menjadi salah satu keutamaan.

Bagi mereka yang mahu meraikan orang istimewa atau hari istimewa, Kak Eita Restoran merupakan tempat paling sesuai kerana kami juga menyediakan kemudahan sistem karaoke, backdrop dan rostrum untuk aneka majlis seperti majlis makan malam, majlis pelancaran, sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan.

Selain itu, premis kami mampu menyediakan seramai 50 orang ke atas dalam satu-satu masa. Menariknya lagi, kesemua kemudahan di atas disediakan percuma termasuk kek hari jadi. Oleh itu, mereka yang ingin membuat tempahan atau bertanya lanjut bolehlah menghubungi talian Kak Eita Restoran 03-4149 7730.

Tidakkah Kak Eita merasakan penceburan diri dalam bidang rezeki berkaitan makanan ini tinggi risikonya?

NORITA: Sebut sahaja berniaga, risiko memang tidak dapat dielakkan. Pun begitu, saya yakin sajian stimbot masih belum ramai dibuat oleh orang Melayu, ini secara tidak langsung menyediakan kemudahan kepada pelanggan Muslim untuk menikmatinya tanpa was-was terutamanya dari aspek halal.

Di samping itu, saya tidak bergantung sepenuhnya kepada faktor kurangnya persaingan di atas malah pada masa yang sama, kami merancang strategi dari segi promosi dan pemasaran.

Ini sebenarnya penting daripada berharap kepada kunjungan pelanggan semata-mata. Pengedaran risalah, pemberian kupon promosi tertentu perlu bagi menarik pelanggan baru sekali gus membina imej dan nama restoran.

Malah aspek lokasi restoran juga memainkan peranan penting dalam bisnes. Contohnya di Kak Eita Restoran selain disediakan bilik solat, kedudukannya yang berhampiran masjid, mudah dicari serta kawasan pakir yang banyak, secara tidak langsung menjadi tarikan pelanggan.

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang memulakan perniagaan?

NORITA: Pada peringkat permulaan kita menghadapi sedikit kesukaran terutamanya dalam mencari pembekal-pembekal bagi makanan laut yang segar. Namun, ia sudah dapat diatasi.

Selain itu, kami juga bertuah memiliki para pekerja yang benar-benar berminat dengan kerja mereka, jadi tidak timbul pekerja keluar masuk atau bertukar ganti.

Pada asasnya, tidak ramai anak muda kita yang suka berkerja lebih-lebih lagi di bahagian dapur tetapi di sini, masalah sebegini tidak timbul malah pekerja bahagian dapur mahupun hadapan begitu komitmen dengan tanggungjawab masing-masing.

Bagaimana pula dengan perancangan Kak Eita untuk masa hadapan?

NORITA: Saya juga baru membuka sebuah kafe di pekan Rawang, Selangor awal Januari lalu. Kafe yang dikenali sebagai ‘Shrimp Talk’ atau Cakap-cakap Udang ini mempunyai konsep yang berlainan sedikit berbanding dengan di Wangsa Maju di mana ia berkonsep kekeluargaan.

Kafe Cakap-cakap Udang ini lebih mensasarkan golongan muda. Oleh itu konsepnya lebih kepada sports cafe dengan adanya kolam memancing udang. Akan datang, saya sedang dalam proses membuka sebuah lagi restoran di Kelana Jaya. Di sini pula konsepnya juga berbeza di mana sasaran pelanggannya lebih kepada peringkat atasan bersesuaian lokasinya yang terletak di kawasan penempatan golongan elit.

Thursday, 14 February 2008

Suami isteri sertai MLM Hai-O antara Bumiputera berjaya nikmati hidup mewah


Suami isteri sertai MLM Hai-O antara Bumiputera berjaya nikmati hidup mewah

SITI Rohana Yusoff dan Kartini Mat Yaakob pernah berkhidmat sebagai guru sekolah beberapa tahun lalu, tetapi kini, kedua-dua wanita Kelantan itu antara tonggak pengedar skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) Hai-O Marketing Sdn Bhd (Hai-O).

Mereka membuktikan wanita sama ada bekerja atau suri rumah mampu menjadi tenaga penggerak utama bagi meningkatkan taraf hidup keluarga. Kedua-duanya berani berhenti makan gaji untuk menghadapi cabaran perniagaan MLM bersama suami masing-masing sebelum berjaya sebagai Crown Diamond Manager (CDM) dalam skim pemasaran Hai-O.


Siti Rohana, 34, dan suaminya, Azlan Deraman, 35, serta Kartini, 35, bersama suaminya, Kamarudin Mamat, 35, antara bukti Bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya menerusi bidang MLM.

Bidang itu turut mengeratkan hubungan serta memanfaatkan pengalaman sesama usahawan. Apa yang menarik, Kamarudin dan Azlan sama-sama belajar di Sekolah Menengah Datuk Mahmood Paduka Raja, Tanah Merah dulu.

Menerusi bidang itu, mereka turut membantu mewujudkan peluang rezeki kepada masyarakat, terutama wanita dan graduan tanpa terlalu bergantung kepada makan gaji sama ada di sektor awam atau swasta.


Bernaung di bawah Hai-O Marketing Sdn Bhd, iaitu anak syarikat kepada Hai-O Enterprise Bhd, kumpulan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, Siti Rohana dan Kartini menganggap kesenangan dikecapi mereka hasil semangat kerjasama upline dan downline.

Ini sejajar semangat pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Hai-O, Tan Kai Hee, untuk memberi semula apa diterima daripada masyarakat, bagaikan simbolik burung camar yang menjadi lambang korporat kumpulan.

Malah, menerusi bidang MLM yang turut disertai pelbagai kaum, walaupun kebanyakannya Bumiputera, dapat mengeratkan hubungan antara kaum.

Siti Rohana atau lebih dikenali Kak Ana ketika ditemui dalam lawatan Hai-O ke Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini berkata, kemesraan hubungan kaum lebih menonjol apabila kerjasama itu memberi kebaikan dari segi ekonomi.

Menceritakan pengalaman menyertai MLM Hai-O, Siti Rohana berkata, kira-kira lima tahun lalu, beliau hanya guru sejarah di sebuah sekolah di Rawang selepas menerima Ijazah Sains Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala suaminya lulusan universiti sama dalam bidang Ekonomi (Statistik).

Katanya, produk pakaian dalam pembentukan kontur badan berteknologi infra merah Premium Beautiful keluaran Hai-O mengubah hidupnya bersama suami, bekas jurutera swasta.

Ketika itu, katanya, beliau kerap tidak sihat dan selepas mencubanya tahap kesihatannya meningkat serta menjadi pendapatan sampingan.

Bermula sebagai pengedar di sekitar daerah Hulu Selangor, beliau tabah mengharungi rintangan awal sebelum muncul CDM pada Januari 2005 dengan pendapatan enam angka bersama suaminya.

Sehingga kini, mereka melahirkan lebih 30 CDM dengan membimbing 7,000 pengedar, terutama di Hulu Selangor, Gombak dan Batu Caves.

“Saya tiada pengalaman niaga sebelum itu. Cubaan pertama dalam Hai-O berjaya kerana saya serasi dengan produk itu,” kata ibu empat anak itu.

Azlan pula aktif pada September 2003 selepas empat bulan penyertaan isterinya serta menjadi CDM pada Julai 2005 dengan memanfaatkan sistem pemasaran lebih strategik untuk mudah diaplikasi dan menaikkan downline.

“MLM mampu mengubah taraf hidup usahawan Bumiputera, terutama bernaung bawah Hai-O,” katanya yang menjadikan slogan syarikat, Hai-O My Choice For Life sebagai pembakar semangat.

Sementara itu, bagi pasangan Kartini dan Kamarudin, tujuh tahun lalu, ketika menjadi guru berijazah dengan gaji lebih RM2,000 seorang, mereka hanya mampu memandu Proton Iswara Aeroback serta tinggal menyewa.

Lebih empat tahun lalu, Hai-O mengubah hidup mereka serta memiliki kereta E200 Kompressor dan mampu membeli rumah lebih RM400,000 dengan pendapatan enam angka.

Kartini menjadi CDM pada 2003, manakala Kamaruddin setahun kemudian dengan lebih 1,000 downline ketika itu dan kini menjadi 6,000 orang.

Mereka yang dikurniakan dua cahaya mata kini selesa sentiasa berdua menjalankan perniagaan, memberi kursus pengukuhan kepada downline atau mencari pelanggan kerana waktu kerja lebih fleksibel.

Sejak menyertai Hai-O yang menawarkan insentif percutian tiga kali setahun jika melepasi sasaran jualan ditetapkan, kedua-duanya sudah 15 kali makan angin di luar negara, termasuk terbaru ke Seoul.

Disebabkan minat niaga sejak kecil, anak penjual daging dari Pasir Putih, Kelantan itu memanfaatkan skim Hai-O untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup sekeluarga dengan tiga adik beradiknya turut menyertai skim itu.

Sebelum ini, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan itu melakukan pelbagai skim MLM sejak menerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Biologi) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1997, tetapi kurang berhasil sehingga menyertai Hai-O.

Kartini dan Kamarudin juga lulusan UPM dalam Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Fizik) memberi tumpuan kepada produk penapis air berteknologi tinggi Bio-Aura yang dikatakan mampu mengurangkan gejala penyakit seperti gout.

“Bagi saya, walaupun sudah tujuh tahun menceburi perniagaan ini seolah-olah macam baru tujuh bulan, sebab seronok,” kata Kartini.

Kamarudin pula berkata: “Bidang MLM lebih menyeronokkan kerana masanya lebih fleksibel tanpa perlu menyewa pejabat atau menggaji pekerja.”


Pengusaha tembikai empat segi raih RM10 juta

ANDA mungkin pernah melihat atau makan tembikai empat segi yang berasal dari Jepun dan begitu popular di negara itu. Tetapi, tembikai jenis itu sudah berada di pasaran negara ini sejak beberapa tahun lalu.


M Kaliyannan adalah pengusaha pertama tembikai jenis itu sehingga namanya dicatat dalam buku Malaysian Books of Record kerana menjadi pengusaha pertama menanam tembikai berbentuk empat segi.

Kini, pengeluarannya antara 100 hingga 200 biji setiap sesi penanaman dan tembikai itu untuk pasaran eksport ke Kanada, Hong Kong dan Dubai, selain pasaran tempatan.


“Tembikai empat segi ini dijual dengan harga RM35 sebiji. Kita lihat tembikai bentuk itu begitu popular di Jepun, iaitu negara yang memulakan teknologi ini. Harga tembikai empat segi itu dijual RM315 sebiji di Jepun.

“Tembikai ini ditanam dengan menggunakan acuan berbentuk empat segi,” katanya dan menambah penanaman tembikai ini adalah satu cabang bidang pertanian yang bagus untuk diterokai kerana permintaan terhadap produk itu amat tinggi.

Bagaimanapun, penanaman tembikai ini mempunyai risiko tinggi terutama dari segi harga yang tetap dan hasil tanaman mungkin menjadi rosak sekiranya keadaan cuaca tidak menentu dan tidak membuat penjagaan teliti.


“Jika berlaku banjir hasil tanaman akan rosak dan jika taburan hujan yang banyak dan lebat boleh menjejaskan waktu tuaian. Saya juga pernah kerugian teruk kerana hasil tanaman itu rosak.

“Selain itu, pemilihan tanah juga penting untuk memberikan hasil tembikai yang berkualiti tinggi. Bagaimanapun, bagi saya kebanyakan tanah di negara ini sesuai untuk ditanam tembikai,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pasar Borong Selayang, baru-baru ini.

Sebenarnya, Kaliyannan adalah satu-satunya peniaga berbangsa India di negara ini menceburi bidang penanaman tembikai secara komersial dengan hanya menyewa tanah di beberapa kawasan di Sitiawan serta Sungkai di Perak dan di Johor.

Bermodalkan RM5,000, beliau boleh berbangga hasil jualan tembikai dan beberapa jenis buah lain yang dimulakan sekitar 1979, kini mencecah RM7.5 juta setahun dan hasil jualan buah lain termasuk tembikai susu, pisang, mangga, belimbing, betik, ciku dan jambu batu dengan keseluruhan jualan bernilai RM10 juta setahun.

Kaliyannan yang juga Pengarah Urusan Melon Master Sdn Bhd, berkata perniagaannya bermula sebagai pemborong buah-buahan yang kemudian dipasarkan kepada kedai, warung di sekitar Sungkai dan Rawang.

Katanya, minat mendalam untuk menceburi bidang perniagaan itu membuatkan beliau begitu bersemangat mengeluarkan sendiri buah-buahan berkenaan.

“Selepas dua tahun saya menjadi pemborong, akhirnya saya mula menanam sendiri tembikai di kawasan seluas dua hektar di Sungkai dengan menyewa tanah. Kemudian mengembangkan hasil tanaman di kawasan seluas 140 hektar, iaitu di Sungkai 40 hektar dan Sitiawan (100 hektar).

“Syarikat saya lebih mengkhusus kepada pengeluaran tembikai. Secara keseluruhan hasil tanaman tembikai ialah 1,000 tan sebulan, manakala 1,500 tan lagi pelbagai jenis buah-buahan daripada peladang lain.

“Saya menanam 11 jenis tembikai iaitu tembikai tanpa biji, jalur madu, tembikai matahari, kuning, kuning tanpa biji, emas kuning, hitam manis, rock melon, tembikai hami, tembikai susu,” katanya.

Anak kelahiran Sungkai ini berkata, sejak tiga tahun lalu, beliau memulakan pasaran eksport tembikai ke Hong Kong dan dua kontena setiap minggu ke Taiwan.

Dari segi penanaman, Kaliyannan menjalankan tiga sesi tanaman dalam tempoh setahun dengan setiap sesi selama 72 hari sebelum boleh dituai.

Beliau juga turut menyimpan impian untuk menanam tembikai yang dihasilkan daripada tanah sendiri selain mahu mengamalkan cara sewaan tanah untuk memastikan sasaran pengeluarannya mencapai 50,000 tan setahun, pada masa depan.

Pada masa sama, Kaliyannan juga memberi perkhidmatan melatih usahawan baru yang ingin menceburi selok belok industri ini.

“Saya sudah melatih seorang pengusaha Melayu menanam tembikai susu serta membantu dari segi pemasaran di Bagan Datoh, Perak. Seorang lagi, pengusaha menanam tembikai di kawasan seluas 50 ekar di Felda Gedangsa,” katanya.


Sunday, 10 February 2008

D’Flowers Cake

ENAM bulan lalu, kehadiran beberapa wanita berusia hampir saban hari ke bakeri D’Flowers Cake yang terletak di Taman Bersatu, Rawang, Selangor, semata-mata untuk membeli roti serat tidak pernah dianggap sesuatu yang istimewa oleh pemilik bakeri, Zanifah Md. Nor.

Apatah lagi, Zanifah, 39, beranggapan roti serat yang diilhamkannya itu sama sahaja seperti roti dan ban-ban biasa yang turut dijual di bakerinya. Namun, segalanya berubah apabila beliau mendapati roti serat yang dihasilkan secara kebetulan menjadi ‘buruan’ golongan tua dan remaja yang mementingkan diet sihat.

“Sebaik berada di rak jualan, roti ini mulai digemari golongan tua yang tidak pernah jemu untuk membelinya. Bukan sebungkus dua yang dibeli setiap keluarga malah ada kalanya pilihan mereka lebih daripada dua bungkus. Pada saya, ia adat biasa dalam dunia perniagaan, produk baru mestilah menjadi pilihan ramai,” ujar anak kelahiran Melaka ini.

Namun sangkaannya meleset. Semakin hari, jualan roti serat tidak pernah surut. Pernah pelanggan dari jauh datang membeli lagi walaupun baharu beberapa hari telah membelinya.

Kejadian seorang remaja India yang kehampaan untuk mendapatkan roti tersebut kerana kehabisan telah membuka hati Zanifah untuk menghasilkannya secara komersial dan bersungguh-sungguh.

Justeru, bagi memenuhi selera pelanggan dan bersesuaian dengan gaya hidup masa kini yang mementingkan diet sihat, Zanifah mulai memasarkan roti serat secara terbuka dan meluas.

Jika dulu roti serat dibuat secara berselang-seli dengan roti-roti jenis lain, kini hampir setiap hari pekerjanya dikehendaki membuat roti tersebut mengikut jumlah yang ditetapkan.

“Selain ramuan utama yang terdiri daripada pati tepung gandum berprotein tinggi, sedikit gula, garam, yis dan susu, roti ini juga diperkaya dengan serat gandum dan oat.

“Protein pada tepung dikatakan mampu membina dan memperbaiki tisu badan selain itu roti juga boleh dijadikan makanan alternatif jika jemu dengan makanan ruji,” jelas beliau yang turut menganjurkan pelbagai kelas pastri pada setiap bulan.

Tambah pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang pengajian pembangunan dari Universiti Sains Malaysia ini lagi, keistimewaan roti serat bukan sahaja boleh dijadikan bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah malah untuk para pekerja yang sibuk serta sajian alternatif di kafe mahupun restoran besar.

“Untuk kanak-kanak sekolah, ibu bapa cuma perlu menyapukan jem pada bahagian tengah roti yang dibelah dua atau dimasukkan cincangan daging ayam agar lebih enak.

“Bagi suri rumah atau pekerja yang sibuk pula, roti serat boleh dinikmati begitu sahaja, dimakan bersama minuman panas, digandingkan dengan sambal, gulai kawah, jem atau apa saja kuah yang pekat mahupun cair. Rasanya enak, tidak terlalu manis dan sedikit lemak memang tidak menjemukan,” jelas ibu kepada empat cahaya mata ini.

Disebabkan potensi yang tinggi, Zanifah mengalu-alukan penglibatan mereka yang berminat untuk menjadi pengedar roti serat. Bagi memudahkan jualan, setiap pek roti serat yang dijual pada harga RM3 mengandungi empat keping roti bulat mirip piring terbang yang setiap satu seberat 50 gram.

“Selain dijadikan sajian di rumah, roti serat juga boleh dijadikan menu sampingan terutama di kafe atau restoran. Secara tidak langsung, pelanggan boleh membuat banyak pilihan kerana roti serat bebas dimakan dengan apa saja kuah yang sedia ada. Saiznya yang kecil mudah dinikmati oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Dari segi penyimpanan, roti serat bebas daripada pengawet makanan namun ia tahan lebih dua bulan jika didinginbekukan. Di dalam peti sejuk biasa, ia tahan selama 10 hari manakala pada suhu bilik ia tahan selama empat ke lima hari,” tambah Zanifah yang turut mendapat sokongan padu daripada suami, Badrul Hisham Abdul Rahman.

Selain roti serat, D’ Flowers Cake yang bertemakan Muslim‘s Homemade Cake House turut menawarkan kek buah kukus istimewa sebagai salah satu produk utamanya. Keistimewaan kek buah ini terletak pada rasanya yang enak, lembap dan teksturnya yang padat.

“Kami menghasilkan kek ini berdasarkan keperluan dan cita rasa pelanggan. Mereka boleh membuat pilihan saiz dan tambahan aksesori yang diperlukan. Selalunya pilihan pelanggan lebih tertumpu sebagai kek cenderamata, kek buah beraising fondant atau kek di musim perayaan memandangkan ia tahan lama berbanding kek-kek jenis lain,” ujar Zanifah yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam menghasilkan kek buah kukus secara ‘home-made’.

Disebabkan rasa kek yang enak, tidak hairanlah Zanifah kini mempunyai ramai pelanggan tetap yang terdiri daripada golongan pertengahan dan atasan sejak 10 tahun lalu.

“Kami menjual kek ini secara eksklusif. Pelanggan boleh membuat tempahan untuk membelinya tanpa hiasan atau lengkap berhias gula aising fondant. Rahsia keenakan kek ini terletak pada resipi asli dan cara memasak yang memerlukan ia dikukus selama empat jam.

“Justeru kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar roti serat dan kek buah kukus, sila hubungi saya di talian 019-6647068/019-3772032 atau e-mel ‘dflower_cake@yahoo.com.my’,” katanya.

Kepada yang berminat, bolehlah mengunjungi mana-mana premis D’ Flowers Cake, sama ada di No. 30, Jalan Bersatu 8, Taman Bersatu, Rawang atau Tingkat Bawah, Tok Yem‘s Street Mall, Damansara Damai, Selangor.

Friday, 1 February 2008

Doa ibu, restu suami kunci kejayaan


BIARPUN perniagaannya cuma berskala kecil, itu bukannya kayu pengukur kepada kejayaan bagi wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Prinsipnya, selagi bernafas, apa yang dimulakan dengan tulang empat kerat tidak sekali-kali akan disia-siakan.

Malah rutin harian menjaga suami yang tidak sihat serta memastikan perniagaan yang kini menjadi periuk nasi mereka berdua tidak pernah melemahkan semangat Zaiton Alias, sekali gus menyimpan impian untuk membina jenama sendiri suatu hari kelak.

Melihat kecekalan dan ketabahan pemilik Zaiton Alias Collection (ID-Perempuan), wartawan utusan ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, MOHD. ZULASHRAFE ABDUL GHANI menemuramah wanita gagah ini berkongsi rahsia kejayaan beliau menguruskan butik bergerak busana Muslimnya.

MEGA: Bagaimanakah permulaan penglibatan puan dalam dunia perniagaan?

ZAITON: Menceburi bidang perniagaan busana Muslim dan aneka tudung sebenarnya bukanlah sesuatu yang dirancang. Kira-kira lapan tahun lalu, saya pernah mengendalikan perniagaan barang kemas, itupun secara kecil-kecilan.

Lima tahun kebelakangan ini itupun selepas memakai tudung, ramai kawan-kawan terutamanya yang sama-sama mengikuti kelas-kelas agama tertarik dan meminta saya membelikan tudung untuk mereka.

Bermula dari situlah saya membawa dua tiga helai tudung untuk ditunjukkan dan lama kelamaan, mula pula menjual busana Muslim yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Pada awalnya sekadar membantu mempermudahkan teman-teman tetapi apabila suami jatuh sakit, saya mula serius kerana ia menjadi punca pendapatan.

Alhamdulillah, kini saya sampai tidak menang tangan kerana memenuhi undangan bengkel teknik pemakaian tudung, pertunjukkan fesyen serta membawa koleksi busana Muslim ke kelas-kelas pengajian agama seperti di Damansara Height, Bangsar dan Subang Jaya.

Kita lihat penglibatan orang Melayu dalam bisnes busana Muslim bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Apakah rahsia Zaiton Alias Collection dapat terus bertahan?

ZAITON: Saya memang bersyukur walaupun dengan modal RM100 alhamdulillah apa yang diusahakan terus mendapat sambutan. Saya juga dikira bernasib baik dan bertuah kerana mempunyai pelanggan daripada golongan sederhana dan berada, jadi tidak menghadapi masalah dari segi bayaran.

Sebenarnya, dalam berniaga kita janganlah terlalu berorientasikan keuntungan sehingga tidak ada perasaan bertolak ansur. Bagi saya pelanggan adalah betul, sebab itulah saya sentiasa bersikap terbuka dengan mereka, waima barang yang dibeli hendak ditukar kepada pilihan lain.

Di samping itu, pendekatan yang bijak digunakan dengan pelanggan, komunikasi berkesan, sentiasa memberikan senyuman adalah perlu bagi seseorang peniaga itu. Kemahiran ini semua adalah penting dalam membina hubungan baik kita dengan pelanggan.

Sebagai seorang Muslim, seharusnya dalam berniaga kita perlu mengambil contoh keperibadian baginda Rasulullah s.a.w. dalam melakukan urus niaga. Walaupun begitu, kita boleh juga mengambil individu tertentu sebagai pemangkin semangat. Apa yang menjadikan saya berkeyakinan menjadikan perniagaan ini sebagai punca pendapatan utama atau serius menceburinya ialah melihat penglibatan adik lelaki, Zainalazlin dalam bidang perniagaan.

Beliau bermula dari bawah dan hasil daripada perniagaan itulah dia menyara keluarganya malah beliau semakin berjaya. Dari situ, saya mendapat kekuatan dan dorongan serta bukti nyata terhadap bidang perniagaan.

Malah saya selalu mengingatkan diri bahawa setiap hasil yang diperoleh mestilah dizakatkan sekiranya cukup haul, tidak lupa bersedekah kerana setiap anjuran Islam itu ada hikmah dan ganjaran daripada Allah yang tidak nampak oleh mata kasar manusia.

Bagaimana pula dari segi cabarannya. Adakah berniaga barangan keperluan asas itu kurang risiko yang terpaksa ditanggung?

ZAITON: Sebut sahaja berniaga mesti ada risikonya. Walaupun saya berniaga barangan yang dipakai setiap hari, ini tidak bermakna saya tidak menghadapi risiko. Ini kerana tanpa ilmu berniaga, apa yang diusahakan pasti menemui kegagalan, waima kita menjual makanan sekalipun.

Hakikatnya, cabaran itu perlu kerana dengannya kita akan berusaha lebih gigih, lebih kreatif dan sentiasa merapatkan diri dengan Allah.

Biar cabaran mendatang, saya berusaha mengatasi dan menghadapinya sebaik mungkin. Ini kerana saya berkeyakinan penuh bahawa pemakaian tudung dan perkembangan fesyen busana Muslim bukannya sesuatu yang statik, ia sentiasa berkembang dan semakin diterima ramai sama ada di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Senario ini bagi saya, secara tidak langsung menunjukkan tanda-tanda positif. Namun, kita perlu sentiasa berada di hadapan bukan sekadar mengikut perkembangannya, jika ingin terus bertahan dan mantap.

Saya juga merasakan kejayaan saya ini bukan semata-mata kerana kerja keras selama ini tetapi berkat doa ibu tersayang, Hasnah Nik Ismail dan restu suami tercinta, Mikail Iskandar Abdullah serta selalu bersolat malam itu jugalah yang telah membawa kejayaan kepada Zaiton Alias Collection.

Apakah perancangan seterusnya anda dalam bidang perniagaan ini?

ZAITON: Hajat di hati tu ingin juga membuka kedai sebagai bilik pameran suatu hari nanti. Ini secara tidak langsung dapat mencari pelanggan-pelanggan luar atau baru selain mengharapkan pelanggan tetap. Hasrat ini tidaklah terlalu mendesak, memandangkan saya sendiri yang menguruskan suami. Jadi, dengan beroperasi dari rumah, ia lebih memudahkan.

Kemudian itu, kalau dimurahkan rezeki teringin juga hendak memiliki jenama pakaian menggunakan nama sendiri. Buat masa ini, koleksi busana yang ada banyak saya ambil dan cari sendiri sama ada dari Dubai, India, Pakistan, China, Indonesia, Shanghai, Thailand dan banyak lagi.

Apakah saranan anda kepada kaum wanita khasnya, sekiranya mereka ingin menceburi bidang perniagaan?

ZAITON: Seseorang itu tidak boleh sentiasa dihantui perasaan takut atau bimbang berhadapan dengan pelbagai dugaan jika hendak berniaga. Kita perlu lihat pasaran, lihat kemampuan dan jangan berundur sebelum mencuba sedaya upaya.

Seseorang peniaga Islam juga mestilah sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia. Ini kerana kedua-dua itu banyak mempengaruhi kejayaan seseorang usahawan itu. Selain itu, keuntungan yang diperoleh juga mestilah sentiasa beringat dan jangan lupa diri kerana semua itu adalah ujian-Nya.

Dalam berniaga, kita juga kena melihat kecenderungan dan kelebihan kita pada bidang apa. Macam saya, minat kepada dunia fesyen telah wujud sebelum memulakan bisnes ini lagi, jadi dengan adanya minat, walau kesukaran melanda kita tahu mengatasinya dan sentiasa diberikan ilham untuk terus bertahan.