Pages

Friday, 25 January 2008

Usahawan Kemeja T Muslimah(Sumayya Design )


PEPATAH Melayu `diam-diam ubi berisi’ adalah paling sesuai bagi menggambarkan kejayaan bisnes Sumayya Design yang mereka bentuk dan membekalkan pelbagai kemeja-T Muslimah bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Mungkin masih ada yang tertanya-tanya mengenai produk mereka yang menggunakan jenama Sumayya di pasaran, namun yang pasti, idea bisnes yang diusahakan dua sahabat karib ini, Norashikin Zainal Abidin dan Salmi Shaari kini telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan luar negara, waima beroperasi dari rumah dan baru setahun jagung usia penubuhannya.

Ikuti temu ramah wartawanUTUSAN ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto HAYAT SUEET dengan dua wanita yang berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan dan berusia 40 tahun ini di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor .

MEGA: Bagaimanakah datangnya ilham atau idea untuk memulakan perniagaan berkaitan mereka bentuk kemeja-T Muslimah sehingga membawa kepada penubuhan Sumayya Design?

NORASHIKIN & SALMI: Pada asalnya kami tidak pernah pun merancang untuk membuka bisnes daripada idea kami itu. Ia bermula apabila kami menghadapi sedikit kesukaran dalam mencari pilihan terutamanya kemeja-T yang menepati tuntutan syariat berpakaian Islam. Kalau ada pun, pilihannya agak terhad.

Rentetan dari itulah, kami merancang untuk mereka bentuk kemeja-T khas buat kanak-kanak perempuan. Pada masa itupun, ia lebih tertumpu kepada keperluan untuk anak-anak sendiri apatah lagi, dengan menyedari kami langsung tidak mempunyai latar belakang berkaitan bidang perekaan pakaian. Jadi, ia bergerak atas dasar memenuhi kehendak peribadi tidak lebih dari itu.

Bila telah dapat ilham itu, maka kami pun mula membuat penyelidikan mudah seperti dari mana boleh kami dapatkan material, tukang jahit dan mencari idea-idea untuk mereka bentuk.

Kami bermula dengan tempahan sebanyak 10 hingga 20 helai. Itupun sudah dikira banyak. Oleh itu, kemeja-T selebihnya, kami cuba tunjuk kepada kawan-kawan, rupa-rupanya dari situlah titik tolak yang membawa kepada perubahan matlamat iaitu dari untuk keperluan sendiri bertukar kepada memasarkannya secara lebih meluas.

Lama-kelamaan, timbul pula cadangan yang meminta kami untuk mereka bentuk kemeja-T untuk golongan dewasa pula. Saat itulah kami dapati bahawa apa yang kami usahakan itu, tinggi keperluannya.

Sumayya Design adalah milik penuh Sumayya Marketing. Buat masa ini kami berdua yang terlibat sepenuh masa sama ada dari segi mereka bentuk, pemilihan fabrik, warna sehinggalah kepada pemasaran.

Semenjak bermula secara serius iaitu pada pertengahan 2006 sehinggalah sekarang, bagaimana anda melihat masa depan bisnes anda?

NORASHIKIN & SALMI: Alhamdulillah, sebaik sahaja kami tunjukkan beberapa helai kemeja-T baki daripada tempahan yang pertama, respons daripada teman-teman begitu memberangsangkan. Ini secara tidak langsung menunjukkan potensi masa depannya untuk terus berkembang.

Malah melihat kepada permintaan dan cadangan agar kami membuat kemeja-T untuk orang dewasa juga menjadi petanda bahawa ramai juga kaum wanita yang sebelum ini tidak ada pilihan sudah ada alternatif pilihan lain.

Malah semenjak kami memulakan perkhidmatan jualan menerusi laman web pada pertengahan 2007, sambutan yang diterima tidak disangka. Pelanggan Sumayya boleh dikatakan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak tetapi juga dari Singapura.

Kami juga ada menerima cadangan untuk mereka bentuk kemeja-T untuk lelaki, sama ada kanak-kanak atau dewasa. Namun, kami belum menuju ke arah itu, kerana menyedari kekurangan dari segi tenaga kerja.

Di samping itu, perubahan ketara yang juga mungkin boleh menjadi kayu pengukur bahawa bisnes ini mampu terus berkembang ialah melihat dari segi tempahan. Kalau peringkat awal dahulu, kami bermula dengan 10 hingga 20 helai tempahan kini telah mencecah sehingga 500 helai bagi setiap reka bentuk.

Bagi mereka yang berminat bolehlah melayari laman web di www.sumayyadesign.com atau mereka bolehlah berkunjung ke lokasi operasi iaitu di No. 12, Jalan BP 3/6 Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor atau di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

Kami juga boleh dihubungi melalui telefon bimbit 013-2063410 (Salmi Shaari). Produk-produk kami juga boleh diperoleh di Ummikusayang Books & Boutique dan The Little Khalifah Shop.

Apakah cabaran yang mungkin dihadapi anda berdua dalam bisnes ini?

NORASHIKIN & SALMI: Buat masa ini apa yang kami rasakan satu cabaran ialah dari segi mengekalkan dan memperbaiki kualiti produk Sumayya.

Kami mahu pelanggan kami berpuas hati dengan reka bentuk dan corak yang cuba kami ketengahkan.

Hakikatnya, produk kemeja-T Sumayya diakui selesa kerana ia menggunakan 100 peratus kain kapas yang berkualiti terbaik. Fabrik ini memang sesuai dengan cuaca di rantau kita serta kena dengan aktiviti luar seseorang. Malah koleksi Sumayya menawarkan dari saiz S hingga 4XL.

Apakah pula perancangan masa depan Sumayya Design?

NORASHIKIN & SALMI: Kami bersyukur ke hadrat Allah dengan apa yang dicapai setakat ini. Ini kerana pada asalnya pun kami bukanlah bermatlamat untuk membuat satu bisnes tetapi mungkin dengan cara ini menjadi platform awal untuk kami menceburi bidang perniagaan.

Selepas melihat perkembangan bisnes yang positif, kami ada perancangan dalam tempoh setahun dua ini untuk membuka bilik pameran bagi memudahkan para pelanggan datang melihat sendiri produk-produk Sumayya. Walaupun kami menyediakan kemudahan laman web kepada pelanggan untuk melihat gambar mahupun maklumat berkaitan tetapi ada juga yang mahu melihat secara langsung.

Kami juga sedang menimbangkan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan kami seperti khidmat pengubahsuaian dan memenuhi tempahan mereka bentuk eksklusif atau mengikut cita rasa pelanggan.

Alhamdulillah semenjak Salmi berhenti kerja demi menumpukan sepenuh perhatian dengan Sumayya Design, beliau lebih dapat menumpukan kepada aspek pemasaran, mengemaskini laman web, menerima tempahan dan banyak lagi.

Namun dalam mencari idea mereka bentuk kemeja-T yang baru, itu kami lakukan bersama-sama.

Alhamdulillah kecanggihan teknologi masa kini menjadikan urusan antara kami semakin mudah dan cepat. Kalaupun kami tidak berkesempatan bertemu, kami akan berkomunikasi menerusi e-mel.

Apakah kepuasan yang anda peroleh dalam mengendalikan perniagaan?

NORASHIKIN & SALMI: Kami bersyukur bila ada segelintir teman dan pelanggan memberitahu bahawa apa yang dilakukan ini merupakan salah satu fardu kifayah. Tambahan pula apa yang kami lakukan ini bukan sahaja membantu ekonomi keluarga sendiri tetapi kepada mereka yang berminat berniaga secara sambilan mahupun sepenuh masa.

Selain itu, apabila kita melihat orang berpakaian dengan cara yang mengikut syariat, itulah kepuasan yang paling bermakna buat kami.

Nasihat anda kepada mereka yang mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan?

NORASHIKIN & SALMI: Kami bersyukur kerana berjaya berada pada tahap sekarang. Ini tidak bermakna kami boleh duduk goyang kaki, malahan kami kena lebih kreatif untuk terus maju dan bertahan.

Nasihat kami ialah sesuatu itu jika nawaitunya sudah elok insya-Allah, Allah permudahkan.

Tuesday, 15 January 2008

Datin Shazlina Usahawan Saloon


Datin Shazlina Hussain, 44, mengakui walaupun pengalaman berbeza sebagai remisier, ia bukan alasan untuk berjaya.

Beliau mengakui suaminya banyak mencetus semangatnya bekerja keras dan usaha selama ini berbaloi sehingga berada di kedudukan sekarang.

“Suami banyak memberi resipi kejayaan kerana dia (suami) pernah menjadi penjaja, pekedai runcit, menjual piza dan pelbagai kerja lain untuk kemajuan diri.

“Pengalaman suami pembakar semangat untuk menghargai kesusahan hidup,” katanya.



Walaupun mampu goyang kaki, Shazlina selalu meletakkan dirinya sebagai pembantu dan pendengar setia kepada suami.

“Kami selalu berbincang bagaimana mahu melahirkan golongan Bumiputera yang mempunyai kesedaran merebut peluang untuk bersaing di pasaran.

“Bangsa kita perlu merebut apa saja peluang dengan menyiapkan diri dengan ilmu jika mahu berjaya dan enggan dimonopoli bangsa asing.

“Kerajaan menyediakan pelbagai peluang, terserah kepada kita untuk mengambil kesempatan itu bagi meraih pendapatan lumayan,” katanya.

Bagaimanapun, kebanyakan remaja hari ini mudah berpuas hati sebagai kerani atau mempunyai kerjaya di pejabat berbanding bersaing dalam perniagaan.

Dua tahun sebagai remisier, beliau membuka perniagaan berkaitan perawatan dan kepakaran dalam bidang rambut.

Beliau yakin Bumiputera mempunyai masa depan cerah dalam bidang itu walaupun persaingan dengan bangsa asing sengit.

“Saya yakin Wella (M) Sdn Bhd sudah ada nama besar selepas 20 tahun dalam penggayaan rambut dan kepakarannya sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

“Bukan mudah untuk mencipta nama dalam bidang itu tetapi ia bukan mustahil untuk dilakukan.

“Justeru, melalui Stylish Hope Sdn Bhd, kami melatih ramai remaja dengan mewujudkan Hair Academy di Shah Alam, Selangor.

“Hasilnya, ramai pelatih kami mencipta nama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Shazlina mengakui, suami, Datuk Yuhyi Azizan, 47, banyak memberi semangat kepadanya selain rakan yang sedia membantu.

Beliau juga menjadi menjadi penasihat serta tenaga pengajar untuk melatih pelajar tajaan Mara (Bahagian Giat Mara).

“Kebanyakan pelajar dididik penuh disiplin selain diberi kebebasan melahirkan kreativiti tersendiri.

“Sebagai remaja, mereka bercita-cita tinggi dan sebagai mentor, kami menyelitkan sesi praktikal selain teori supaya mereka ada inovatif diri dalam kerjaya.

“Ini menyediakan tapak kukuh supaya pelajar diberi peluang meningkatkan ilmu hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengenai keluarga, Shazlina akur suaminya adalah sumber rujukan kepadanya dan anak-anak.

Katanya, semangat, kerja keras dan pengalaman dicurahkan suami menjadikan dia dan anak-anak mampu mencorak keluarga bahagia.

“Saya bertuah memiliki suami yang cukup memahami dalam urusan rumah tangga dan mendidik anak-anak.

“Mungkin disebabkan masing-masing sibuk dengan kerjaya, sikap bertolak ansur penting dalam menjana keluarga bahagia.

“Bahkan kami memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak memilih kerjaya masing-masing,” katanya.

Profil

NAMA: Datin Shazlina Hussain

JAWATAN: Pengarah Stylish Hope Sdn Bhd, Amat Sinar Sdn Bhd

PENDIDIKAN TERTINGGI: Diploma Kesetiausahaan daripada kolej swasta

STATUS: Kahwin

SUAMI: Datuk Yuhyi Azizan

ANAK-ANAK: Yusha, 21, Aiman, 17, Shahera, 15, Filza, 13

Monday, 14 January 2008

Mahu Kist seperti Oxford, Cambridge


Muhamad Zamly mahu didik anak bangsa menimba ilmu dalam bidang perubatan

KETIKA hendak menubuhkan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Kelantan kira-kira 13 tahun lalu, Presidennya, Muhamad Zamly Abdullah pernah dipandang 'sinis' oleh beberapa pihak.

Malah, beberapa institusi kewangan turut menolak permohonannya untuk mendapatkan pinjaman kewangan.

Muhamad Zamly berkata, ketika hendak menubuhkan KIST, beliau bertemu dengan semua pengendali kolej swasta di Kelantan dan menyatakan hasratnya menubuhkan sebuah kolej.

"Boleh dikatakan semuanya memandang sinis hasrat murni itu, malah tidak memberi bantuan sepenuhnya ke arah menjayakan wawasan melahirkan modal insan, khususnya Bumiputera," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Apa lebih mengecewakan ketika itu, kata Muhamad Zamly, bank juga langsung tidak berminat memberi kemudahan pinjaman kepada usahawan Bumiputera sepertinya.
Bagaimanapun, dengan tekad yang tinggi serta bantuan keluarga dan rakan, beliau mengambil alih sebuah kolej swasta di negeri ini dan menubuhkan Kist.

Ketika itu juga, ramai tidak percaya terhadap keupayaan Muhamad Zamly mengendalikan sebuah kolej perubatan kerana tidak mempunyai pendidikan dan pengalaman dalam bidang berkenaan.
TIMBA ILMU: Latihan praktikal dengan tunjuk ajar fasilitator terlatih.

"Sebenarnya, saya sudah membuat kajian mengenai program pendidikan perubatan itu dan mendapati prospek masa depannya begitu luas.

"Walaupun tidak mempunyai kelulusan dan pengalaman dalam bidang perubatan, saya mempunyai penasihat yang berpengalaman dalam bidang perubatan dan menyakinkan saya bahawa Kist akan berjaya.

"Lihat Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes. Beliau bukannya berpengalaman atau berkelulusan dalam penerbangan, tetapi berjaya membina sebuah empayar penerbangan terkemuka di rantau ini," katanya.

Dengan matlamat membantu anak bangsa khususnya dalam bidang perubatan, Kist kini boleh bangga kerana mempunyai kira-kira 2,000 pelajar berbanding tujuh orang ketika ditubuhkan.

Muhamad Zamly menambah, dengan kemasukan pelajar baru tahun ini, jumlahnya dijangka meningkat kepada 3,500 orang dan akan terus meningkat apabila lebih banyak program baru diperkenalkan nanti.

Kist mensasarkan akan memperkenalkan tujuh program lagi yang hanya menunggu kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi, menjadikan kesemua 14 program ditawarkan.

Dengan penambahan program itu nanti, Kist mensasarkan akan mempunyai lebih 10,000 pelajar merangkumi Bumiputera dan pelajar antarabangsa.

Kist kini menawarkan tujuh bidang pengajian peringkat diploma iaitu pembantu perubatan (MA), kejururawatan, radiography, kesihatan dan kecergasan psikologi, syariah dan sains komputer.

Ia juga adalah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan menjadi kolej swasta pertama di negara ini menawarkan kursus MA untuk lelaki dan wanita.

Kist juga IPTS pertama di Pantai Timur yang menawarkan program Diploma Kejururawatan dan program Diploma Diagnostik In Radiography.

Malah, Kist dikatakan IPTS pertama di negara ini yang mampu menyediakan kemudahan latihan x-ray dan radioterapi canggih bernilai kira-kira RM1.4 juta.

Muhamad Zamly berkata, penubuhan Kist lebih kepada membantu membangunkan modal insan terutama Bumiputera yang dilihatnya banyak ketinggalan, khususnya dalam sektor perubatan.

Katanya, Kist lebih mementingkan kepada mendidik anak bangsa dengan menyediakan kemudahan mereka untuk menimba ilmu tanpa menumpukan kepada keuntungan.

"Kebanyakan pelajar di Kist mendapat bantuan daripada kolej ini untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang perubatan dan kita bersedia memberi kemudahan kepada pelajar memasuki kolej ini," katanya.

Muhamad Zamly berkata, kini Kist mempunyai dua cawangan iaitu di Telong, Bachok yang menjadi kampus induk dan Kuala Berang, Terengganu, baru dibuka tahun ini.

Beliau berkata, kejayaan Kist selama ini adalah hasil kerja secara berkumpulan dan boleh dikatakan kolej itu diuruskan oleh ahli keluarganya dan sanak saudara.

"Jika Tony boleh berjaya dengan AirAsia, saya ingin menjadikan Kist seperti Universiti Cambridge dan Oxford, yang masih lagi gagah sehingga hari ini," katanya.

Misi capai MS ASO 9001:2000, buka cawangan di Asean

KOLEJ Islam Sains dan Teknologi (Kist) kini dalam proses akhir bagi mendapatkan pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001:2000 untuk pengurusan dan program yang ditawarkan.

Presidennya, Muhamad Zamly Abdullah, berkata pihaknya mensasarkan untuk mendapatkan ISO itu pada tahun ini.

"Berdasarkan kepada perkembangan semasa, matlamat itu tidak mustahil untuk dicapai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga kini dalam proses membina bangunan tiga tingkat di kampus induknya di Telong, Bachok membabitkan kos RM1.8 juta.

Katanya, bangunan baru berkenaan yang dijangka siap tahun ini, akan menempatkan dewan dan pejabat bagi kegunaan pensyarah, kakitangan dan pelajar.

"Bangunan baru itu akan menggantikan bangunan lama yang dilihat sudah tidak berupaya menampung operasi yang semakin berkembang sekarang," katanya.

Muhamad Zamly berkata, pembinaan bangunan baru itu akan memastikan warga kerja Kist dapat menjalankan tugas dengan lebih selesa, selain membolehkan pelajar menikmati suasana pembelajaran kondusif.

Katanya, keutamaan diberikan kepada suasana pekerjaan dan pembelajaran yang selesa supaya hasil yang diperoleh pada masa depan lebih membanggakan," katanya.

Beliau berkata, mulai tahun ini, Kist juga akan menyediakan elaun anak sekolah RM15 seorang setiap bulan kepada kakitangannya dalam usaha meringankan bebanan perbelanjaan sekolah mereka.

"Kemudahan berkenaan diberikan supaya kakitangan tidak akan berdepan masalah kewangan untuk mengurus persekolahan anak yang kini semakin meningkat," katanya.

Dalam usaha mengembangkan operasi kolej, Muhamad Zamly berkata, Kist merancang membuka cawangannya di negara Asean, mulai dimulakan tahun ini.

"Kami merancang membuka beberapa cawangan seperti di Selatan Thailand dan juga Vietnam. Kakitangan Kist akan ke Thailand untuk mempromosikan sektor pendidikan di negara rantau ini minggu ini, disusuli Vietnam selepas itu," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memajukan modal insan, Kist akan menghantar lebih 20 kakitangannya ke Universiti Terbuka Malaysia (OUM) bagi mengikuti kursus di sana.

Katanya, kemudahan berkenaan diberikan kepada "clinical instructor" untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah.

"Usaha ini untuk memastikan Kist mempunyai pelapis masa depan apabila golongan berkenaan menamatkan pengajian mereka nanti," katanya.

FAKTA: Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST)

# Beroperasi sejak 13 tahun lalu bermula di Tanjung Mas, Pengkalan Chepa.

# Ogos 2005 - pindah ke Kampus Ibnu Sina seluas 7 hektar di Telong, Bachok, mampu tampung 1,400 pelajar

# 2008 Kampus kedua dibuka di Kuala Berang, Terengganu seluas 40 hektar - tampung lebih 2,000 pelajar

# IPTS pertama dan Bumiputera di negara ini tawar kursus Pembantu Perubatan untuk lelaki dan perempuan.

# IPTS pertama di Pantai Timur tawar Diploma Kejururawatan dan Diploma Diagnostik in Radiography.

# IPTS pertama di Asia Tenggara tawarkan Diploma Kesihatan dan Kecergasan

# Kampus induknya ada 35 dewan kuliah, Wad Simulasi 50 katil, bilik x-ray RM1.4 juta dan makmal keterampilan.

Sunday, 13 January 2008

Syed Mokhtar Albukhary Usahawan Terbilang


Syed Mokhtar Albukhary dan isteri Sharifah Zarah Albukhary pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1429H di Putrajaya baru-baru ini. Turut kelihatan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Rosmah Mansor. Pada majlis itu Syed Mokhtar menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 1429H daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.







Mukadimah
Suasana di tingkat empat Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur agak sunyi dan tepat pukul 11 malam 4 Januari lalu tokoh yang ditunggu muncul dengan berbaju T dan sandal. Beliau kelihatan segar dan memberi senyuman dari jauh.

“Minta maaflah lama tunggu, saya ni lagi malam mata saya lagi cerah,” ucapan pertama Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, tokoh korporat yang menggerakkan Yayasan Albukhary, tetapi selalu mengelak daripada menjadi tumpuan media.

Yayasan Albukhary dikenali kerana kerja kebajikan antaranya mengeluarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin untuk menyambung pengajian, mengindahkan Masjid Negara, mendirikan Muzium Kesenian Islam serta mendirikan masjid. Salah satu daripadanya ialah sebuah masjid indah di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.

Tidak ramai yang mengenali Syed Mokhtar dari dekat. Apa falsafah hidupnya? Apa falsafahnya dalam perniagaan? Beliau yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini menganggap institusi yang didukungnya iaitu Yayasan Albukhary lebih penting daripada dirinya.

Wawancara pertama Syed Mokhtar dengan Mingguan Malaysia diberikan pada 17 Oktober 2004 dan selepas itu beliau amat keberatan untuk bertemu dengan media apa lagi memberikan wawancara khas. Bagaimanapun setelah beberapa kali dipujuk akhirnya pada 4 Januari lalu beliau sekali lagi setuju diwawancara oleh Mingguan Malaysia.

Dalam wawancara ini Syed Mokhtar banyak menekankan bahawa kejayaan dan kekayaan bukanlah untuk diri sendiri tetapi untuk dikongsikan dengan golongan yang kurang berkemampuan untuk memberi peluang mereka mendapat ilmu sekali gus mengubah hidup pada masa depan.

Kerana itu beliau melahirkan rasa terkilan dengan sesetengah ahli korporat yang dilahirkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjual kepentingan dalam negara dan membawa dana ke luar negara semasa krisis ekonomi tahun 80-an dan 90-an dulu.

“Apa gunanya kerajaan melahirkan mereka dan bila sampai masa untuk membalas balik kepada masyarakat, mereka menjual kepentingan dan duduk di luar negara? Saya anggap mereka ini sebagai individualis Melayu yang pentingkan diri sendiri,” tegas Syed Mokhtar kepada wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN, AMRAN AHMAD dan Ketua Jurugambar SYED AGIL SYED JAAFFAR.

Syed Mokhtar juga keberatan untuk bergambar katanya, “Awat tak habaq nak ambik gambaq. Boleh kita pakai elok-elok sikit.” Dalam wawancara yang banyak menggunakan bahasa loghat Kedah ini Syed Mokhtar mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan.

“Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesan Syed Mokhtar.

Mingguan: Adakah orang Melayu begitu ketinggalan berbanding kaum lain jika diimbas kembali kemajuan yang dicapai oleh kaum bumiputera sejak 50 tahun lalu?

SYED MOKHTAR : Dalam hal ini, kerajaan banyak membantu. Kita bernasib baik dan bersyukur kerana mampu memiliki saham amanah dengan adanya agensi kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ia bukan sahaja membantu tetapi turut berjaya sebagai antara institusi saham amanah termaju. Itu dalam aspek pemilikan saham sahaja tetapi kita juga perlu mencari usahawan Melayu yang mahu mengkhusus dalam bidang peruncitan, pemborongan dan pengedaran. Saya sendiri berusaha keras sejak tahun 60-an, dari Alor Star, Kedah menerjah ke seluruh pelosok negara bagi mencari peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Generasi terdahulu pada awal kemerdekaan mungkin agak ketinggalan dalam hal ini tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak mahu ‘mengejar’ sebaliknya berusaha keras bagi menguasai bidang- bidang itu. Keadaan ini sememangnya mewujudkan jurang dalam ekonomi Melayu dibandingkan dengan bangsa lain terutama Cina dan ia diburukkan lagi dengan sikap beberapa usahawan Melayu pada tahun 80-an dan 90-an yang menjual kepentingan demi poket sendiri, melanggar Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kekayaan kepada mereka. Golongan usahawan ini saya gelarkan sebagai individualis Melayu. Golongan ini mempunyai keupayaan tetapi tidak membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Saya fikir kita kena bagi balik kepada masyarakat. Dan apa yang dibuat perlulah sederhana kerana ini selaras dengan tuntutan Islam.

Apakah yang dilakukan oleh golongan individualis Melayu ini sehingga melebarkan jurang ekonomi Melayu dengan kaum lain?

SYED MOKHTAR: Golongan yang mementingkan diri sendiri ini bertindak menjual kepentingan yang dimiliki. Ini banyak berlaku dalam era 80-an dan 90-an. Semua ini berlaku sebab mereka merasakan kepentingan dan kedudukan kewangan mereka tergugat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara.

Mereka mengambil tunai hasil penjualan saham syarikat yang dibangunkan di bawah DEB, cepat kecewa dengan perniagaan di tanah air sendiri dan memindahkan dana ke luar negara. Ini sekali gus mengurangkan bilangan usahawan Melayu yang ada di negara ini. Bukannya tidak boleh melabur di luar negara tetapi kenalah membawa balik ke negara ini.

Pandangan saya, jika golongan ini masih menjalankan perniagaan di sini dan mengalami masalah, tentunya ramai yang boleh membantu dan bukannya mengambil tindakan melabur di luar negara kerana mementingkan diri sendiri.

Syukur kepada Allah walaupun turut menerima kesan daripada krisis ekonomi pada kedua-dua era, usahawan Melayu seperti pengasas Kumpulan Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Pengerusi AMMB, Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi MKland Holdings Bhd., Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar serta beberapa yang lain termasuk saya sendiri masih kekal di negara ini, tidak mengikut jejak golongan individualis yang menjual kepentingan dan melabur di luar. Kami terus kekal di sini kerana kami ada pendirian.

Mungkinkah keadaan ini berlaku kerana makna kejayaan kepada golongan individualis ini berbeza dengan makna kejayaan kepada Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Bagi saya, makna kejayaan memang berbeza kerana mereka tidak mahu menginstitusikan perniagaan di negara ini. Mereka dilahirkan oleh DEB dan dapat peluang perniagaan tetapi kemudiannya menjual untuk kepentingan diri sendiri. Jadi apa guna kerajaan bangunkan, beri peluang dan jadikan mereka berjaya tetapi kemudian mereka hilang.

Ambil duit mereka dan tinggal di luar negara, cuba buat kajian dan anda akan tahu siapa mereka ini. Kalau orang Melayu tidak mementingkan diri dan kekal di Malaysia, alhamdulillah. Jadi kita tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Saya sudah merasa semua nikmat di dunia ini, cuma mati sahaja belum rasa.

Nikmat yang Allah berikan tiada yang lebih lagi, mahu lebih bagaimana lagi? Kita kena lebihkan di negeri sendiri, tanah tumpah darah kita dan bukan luar negara. Bawa balik dalam masyarakat dan kongsi segala kekayaan. adalah salah jika duit yang diperoleh daripada bantuan kerajaan dilaburkan diluar negara. Jangan tipu diri sendiri.

Ini tidak boleh. Kita kena balik kepada asas. Sewajarnya kita perlu sumbangkan kepada negara.

Saya akan terus usahakan selagi ada daya dan kesihatan. Biar seimbang kerana mencari rezeki adalah sebahagian daripada amalan. Ilmu juga sebahagian daripada amalan. Saya timba ilmu daripada pengalaman. Bila bercakap biarlah mengikut kedudukan. Jika ada RM1 jangan kata ada RM10. Ikhlaskan diri dan bila ada kemampuan, buat kerana Allah dan tidak perlu tonjolkan diri.

Tan Sri mengalami kerugian RM2 bilion semasa krisis ekonomi dahulu. Apa yang berlaku?

SYED MOKHTAR: Tahun 1997, kita labur dalam syarikat yang disenarai awam demi mengekalkan pegangan 30 peratus dalam syarikat-syarikat ini, naik setinggi mana pun kita tidak jual. Jadi, apabila krisis tiba dan harga saham merudum, kerana ingin kekalkan 30 peratus, rugi lebih kurang RM2 bilion. Macam-macam perasaan ada tetapi kita cari jalan untuk lupuskan kerugian dan cari peluang perniagaan baru.

Saya selalu tidak fikirkan diri sendiri, cuba jaga orang-orang yang terajui kumpulan. Sebab itu banyak yang kekal, biar sederhana tetapi tidak rosakkan diri dengan nikmat. Kadang-kadang benda yang kita dapat boleh rosakkan kita. Lebih baik kita amalkan “tidak lebih dan tidak kurang.” Kita kawal agar nikmat tidak rosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh rosakkan diri kita supaya dapat berkongsi dengan orang lain.

Jangan lupa asal diri walaupun kita dah pergi ke serata dunia. Insya-allah, orang Melayu hari ini pun dah ramai yang keluar universiti dan masih belum terlambat untuk berjaya, cuma ada jurang lagi. Kita kena terus bangun supaya bangsa lain tidak pandang hina pada kita. Maknanya biar dia cerdik dan kita pun tidak bodoh, dia kaya dan kita pun tak miskin. Kita kena cubalah, tiada miskin dalam nilai dan pembawaan, perlu ikhlas dan komited. Demi komitmen terhadap ummah, kita bawa masuk pelajar dari negara lain, ada yang miskin sangat, kasut dan baju pun tidak ada. Bila kita buat semua ini, ia secara automatik membawa kita kepada keinsafan.

Ada berpendapat bahawa Tan Sri melabur dalam terlalu banyak perniagaan. Bagaimana Tan Sri menguruskannya?

SYED MOKHTAR: Sistem pengurusan saya terbuka. Buat masa ini saya sedang berusaha menginstitusikan perniagaan dan yayasan saya supaya bila saya tiada nanti, kesemua ini masih boleh berjalan sebab telah ada satu sistem yang teratur dan mantap. Itu yang saya kesal bila ada orang Melayu yang jual kepentingan dan melabur di luar negara semasa berlakunya krisis ekonomi tahun 80-an dan 90-an.

Dahulu, semasa kerajaan suruh saya ambil alih Pernas, saya kata nak buat apa sebab saya tidak tahu pengurusan hotel. Tetapi kalau Pernas jatuh ke tangan orang lain, ia satu kemunduran DEB. Semasa saya ambil alih Pernas harga tawaran lebih sedikit daripada harga pasaran.

Bagi syarikat MMC (MMC Corporation Berhad), masa kita ambil alih daripada PNB dulu, harga sahamnya adalah lebih rendah berbanding sekarang. Bagi DRB-Hicom, kita berusaha bagi meningkatkan lagi prestasinya. Tetapi usaha itu bukanlah suatu yang dapat dilihat hasilnya dengan cepat. Kita kena berusaha walaupun lambat. Sekali lagi, ini semua untuk institusi, bukan untuk individu. Tetapi selagi hidup, kita akan pegang saham syarikat-syarikat itu kerana kita membangunkannya dari mula lagi.

Sekarang orang Melayu ada dua fahaman – parti UMNO dan Pas. Kadang-kadang kita tolong satu pihak sahaja sedangkan kedua-duanya adalah orang Melayu. Bagaimana Tan Sri melihat hal ini?

SYED MOKHTAR: Kawan- kawan saya di kampung ada ahli UMNO dan ada ahli Pas. Itu hanya fahaman politik tetapi dalam aktiviti masyarakat dan perniagaan, tiada perbezaan dan masalah. Kita hormati pemikiran politik masing-

masing dan tentunya saya sebagai anak UMNO, kadangkala ada berdebat tetapi kita tetap berkawan dan tidak bergaduh sesama sendiri. Dalam masjid, kenduri kita sama-sama masak nasi kawah, kita makan sekali. Insya-allah, jika kita tunjukkan nilai-nilai positif dalam diri kita dan saling tolong-menolong dan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, satu hari mungkin mereka akan tergerak hati untuk ikut kita. Jadi kita kena berkawan dan tunjukkan cara yang betul.

Apa yang harus dimiliki oleh orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Bagi saya orang Melayu kita kena ada sifat kuat berusaha. Sama ada kita dapat kejayaan atau tidak, kita tak boleh putus asa. Kalau dapat kejayaan kena bersyukur, tidak dapat pun bersyukur juga. Saya tidak melihat cara jangka pendek untuk berjaya. Saya percaya kita mesti melalui proses tertentu untuk kita mendapat kejayaan.

Ini kerana sebelum kejayaan diperoleh, kita terpaksa mengalami bermacam-macam cabaran. Kita kena kenal diri kita sendiri. Dalam agama pun Allah suruh kita kenal diri sendiri sebelum mengenali Allah. Maknanya kita kena menilai dengan jujur dan tidak boleh tipu diri sendiri. Sebab itu apa yang kita buat mesti ikhlas.

Asas mesti ada iaitu asas ekonomi kerana seperti Cina, mereka dibawa masuk sebelum merdeka untuk berniaga, India bekerja di ladang-ladang dan orang Melayu dijadikan petani. Jadi, sememangnya wujud jurang ekonomi antara ketiga-tiga ini. Kalau kita kecewa maka jurang ini akan semakin jauh. Walaupun sesetengah orang Melayu mudah kecewa namun sekarang ini sudah nampak banyak perubahan.

Jurang itu masih ada tapi saya tak putus asa dan terus belajar selok-belok berniaga beras semasa mula berniaga dahulu, kalau tiada kekuatan sendiri dan tiada pengalaman selok-belok perniagaan, susah untuk maju ke hadapan. Untuk orang Melayu maju, mereka kena kembali kepada asas dan tiada sebab untuk seseorang untuk tidak maju.

Sekarang ramai yang tidak sabar dan menggunakan jalan singkat dan kata mereka kalau ada jalan singkat, kenapa pilih jalan jauh? Apa komen Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Kalau kita tak sabar, kita akan dapat hasil yang “tak sabar”. Tahun 60-an saya adalah salah seorang yang tak dapat peluang, yang orang patut tolong. Tapi alhamdulillah, saya tolong diri saya sendiri. Kita semua sama saja. Mak saya kata, “Hangpa tujuh orang keluar dari perut aku.”

Kerana itu dia tak bagi kami berkongsi bisnes. Tujuh orang kena ada kemahiran sendiri dan bila jumpa kasih sayang akan berpanjangan. Sekarang ini saya tolonglah sikit-sikit. Tapi yang penting mereka tolong diri sendiri. Setiap orang akan dapat peluang mengikut kemampuan dan tak boleh berputus asa. Saya anak DEB dan pendukung UMNO. Saya melalui proses, misalnya, mula-mula minta lesen nak berniaga kedai, minta lesen lori. DEB sediakan semuanya tapi ada yang hendak cepat kaya ambil lesen pajak kepada Cina. Beli lori tidak mahu mengusahakan sendiri.

Kerajaan yang didukung oleh UMNO memang ada polisi untuk menolong orang Melayu. Tapi DEB hanya bagi orang Melayu 30 peratus dan 70 peratus lagi kepada kaum lain. Sebab itu bila saya jumpa mereka saya kata, DEB bagi 70 peratus kepada mereka dan saya hanya tumpang 30 peratus, itu pun mereka hendak suruh kaji semula. DEB kayakan seluruh masyarakat Malaysia dan memberi peluang terbuka kepada semua kaum dan bukan kepada orang Melayu saja. Saya tahu perkara ini sebab saya menceburi perniagaan sejak dari awal lagi.

Sekarang ini ada semacam teori bahawa untuk berjaya mesti mendampingi orang politik. Apa kata Tan Sri ?

SYED MOKHTAR: Kita kena kenal orang politik, kena ada hubungan dengan UMNO. Bila ada hubungan dengan UMNO ada hubungan dengan pemimpin, bila ada hubungan dengan pemimpin kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita tak boleh menggunakan cara singkat untuk mendapat peluang, lepas itu orang lain yang ambil.

Macam saya, saya terpaksa pergi jumpa pemimpin atasan kalau ada masalah perniagaan yang melibatkan kepentingan negara. Kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita minta tolong pemimpin kita mengenai apa yang kita boleh buat dan setakat mana kemampuan kita. Bukannya mengambil lesen kemudian bagi kepada orang lain. Saya panggil orang jenis ini sebagai individualis Melayu. Orang jenis ini fikir untuk diri sendiri saja.

Bila umur 45 mesti ada apartmen di luar negara, duit RM50 juta. Jadi, ini bukan masalah UMNO atau DEB. Ini masalah orang Melayu yang tidak percaya kepada diri sendiri. Mereka percaya kepada duit dalam akaun. Tapi saya tidak bersimpati dengan mereka yang bersikap demikian. Sebab itu saya tubuhkan yayasan. Syed Mokhtar akan mati. Yayasan akan kekal sebagai institusi. Syarikat-syarikat perniagaan juga akan kekal diurus oleh profesional yang berkelayakan dan bukan ahli keluarga. Perniagaan perlu menyumbang kepada hasrat yayasan dalam hal-hal kebajikan. Untuk itu perniagaan perlu diuruskan secara profesional untuk memastikan ia terus berkekalan.

Jadi kegagalan Melayu bukanlah kerana DEB gagal?

SYED MOKHTAR: Kalau gagal, itu disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Saya dilahirkan oleh DEB, dapat lesen lori, duit bantuan Mara, UDA bagi kedai. Tetapi DEB bukan kayakan orang Melayu saja, DEB kayakan seluruh masyarakat. Ini yang saya suka tekankan supaya semua orang faham.

Mungkinkah orang Melayu tidak sedar mereka ketinggalan?

SYED MOKHTAR: Saya fikir orang Melayu sedar tapi mereka mungkin tidak mahu menjadikan itu sebagai satu isu. Bagi saya, kalau sedar macam mana sekalipun, isu tetap di situ juga jika tidak mencari jalan mengatasinya.

Seperti saya selalu kata, benda yang benar akan kekal. Bagi saya, orang Islam bernasib baik kerana kita ada akhirat. Dalam Islam, ajaran dan budaya sudah lengkap. Ini meliputi cara hidup dan cara kita cari rezeki. Kalau kita ikut nilai-nilai ini tak payah nak pakai serban. Orang Kedah kata macam lebai kodok, bukan cerdik sangat. Tapi yang penting kita ada kekuatan itu. Kita tak perlu ada sifat malu kerana kita tak mencuri. Setiap orang, Allah bagi kekuatan.

Ramai tertarik dengan Muzium Kesenian Islam yang diasaskan oleh Tan Sri. Kenapa Tan Sri menubuhkan muzium ini yang tidak ada pulangan komersial?

SYED MOKHTAR: Saya dapat peluang apabila kerajaan bercadang membuka Muzium Islam semasa ekonomi berada dalam keadaan baik. Saya lihat ini sebagai peluang untuk saya menyumbang balik kepada masyarakat walaupun saya tiada pengalaman.

Nasib baik adik saya mempunyai pengalaman dalam bidang muzium ini, kami berbincang dan bersetuju untuk membangunkannya kerana ia boleh menjadi tempat untuk mempamerkan artifak-artifak Islam tempatan dan luar negara. Ia juga menjadi peluang kepada rakyat negara ini dan asing untuk menyaksikan artifak dari Turki, Istanbul dan muzium luar negara tanpa perlu ke negara-negara berkenaan.

Saya sedang berusaha untuk membawa kaligrafi, ukiran dan juga bahan-bahan seramik dari pelbagai negara untuk dipamerkan di muzium ini. Secara tidak langsung ini menunjukkan Islam itu global. Artifak-artifak Islam ada di seluruh dunia tetapi tidak semua orang boleh menyaksikannya. Dan Muzium Kesenian Islam berusaha supaya semua orang boleh melihat warisan-warisan Islam daripada artifak-artifak ini.

Agama Islam ada di mana-mana negara dan artifak-artifak ini banyak dibawa masuk ke muzium menerusi pembelian, pertukaran artifak dan penganjuran pameran bersama Muzium Britain, Kaherah, Singapura. Bila kita buat pameran, kita terbitkan satu buku dan hantarkan ke seluruh dunia. Dari situ kita dapat belajar persilangan budaya yang berlaku kepada Islam di China, di India dan seluruh Asia, di mana-mana sahaja. Orang boleh nampak bahawa Islam agama yang terbuka.

Jiran saya di Alor Star ada India dan Cina, tiada masalah untuk hidup bersama. Islam tiada bagi masalah kepada yang bukan Islam. Muzium ini menunjukkan Islam itu global. Seramik dan besi cukup hebat. Artifak ini ada yang dibeli dari luar. Kerajaan bagi kita simpan dan kita buat muzium ini kita serah kepada kerajaan dan kerajaan pajak balik muzium ini untuk 99 tahun. Muzium ini dibiayai oleh Yayasan Albukhary sejajar dengan objektif untuk membangunkan budaya dengan belanja RM5 juta setahun. Saya juga mahu orang bukan Islam turut mengunjungi muzium ini untuk melihat tamadun dan kesenian Islam.

Masjid di Jalan Hang Tuah dibina bukan di kawasan majoriti Islam. Apa tujuan Tan Sri berbuat demikian?

SYED MOKHTAR: Asalnya masjid itu kecil sahaja. Ada jawatankuasa datang jumpa saya dan berbincang, saya kata jika mahu membangunkan semula biar betul-betul walaupun kawasan itu setinggan dan tidak ramai orang Islam.

Mungkin ada orang yang menaiki motosikal boleh singgah, budak-budak yang tinggal di pangsapuri berdekatan boleh datang mengaji, ada syarahan. Sasaran saya ialah masyarakat bandar yang berpendapatan rendah. Hari Jumaat boleh sembahyang di situ, saya fikir kita buat kerana Allah s.w.t. kita buat betul-betul. Ikhlaskan diri dan buat yang terbaik. Masjid di Jalan Hang Tuah ialah sebuah masjid bandar untuk warga kota. Ini membolehkan orang yang bekerja di sekitar kawasan itu singgah sembahyang di situ.

Bagaimana pula dengan bajet yayasan?

SYED MOKHTAR: Memandangkan yayasan baru hendak diinstitusikan, maka kita sedang meneliti banyak perkara terutama pendidikan yang melibatkan tuisyen yang disertai oleh pelajar-pelajar antarabangsa dari negara-negara yang penduduk Islamnya sedikit sahaja. Muzium pula lebih kepada persilangan budaya dan teras yayasan buat masa ini ialah pendidikan dan muzium sahaja. Sepuluh tahun yang lalu saya laburkan dalam pembinaan infrastruktur dan sekarang sedang membina kolej di Alor Star yang akan siap pada tahun 2009.

Sebanyak 3,000 pelajar disasarkan dengan 30 peratus pelajar tempatan manakala selebihnya antarabangsa. Ramai dari negara-negara Islam yang kecil di rantau Asia Tengah. Budak-budak ini cerdik tapi miskin dan mereka diberi pelajaran dalam Sains dan Matematik.

Ada juga kita hantar imam dan bilal yang kurang mampu ke Mekah untuk mengerjakan haji. saya lihat mereka ini kalau mati pun Allah beri mereka haji tetapi tidak dapat pergi ke Mekah kerana tidak mampu. Oleh itu, saya pilih 60 hingga 70 orang setahun dan kita bawa masuk Tabung Haji seperti yang ibu bapa kita buat. Selalu yang dapat ialah tok siak, imam dan bilal dan saya minta kuota daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Tan Sri pernah beritahu mahu memodenkan sistem sekolah pondok di negara ini. Adakah rancangan itu masih ada dan relevan untuk dilaksanakan pada masa ini?

SYED MOKHTAR: Sistem sekolah pondok yang ada pada hari ini memerlukan perubahan, sekolah yang lengkap dengan kemudahan asas. Ini penting kerana kebersihan itu adalah asas kesihatan pelajar dan juga sebahagian daripada iman.

Kolej Yayasan Albukhary di Alor Star ada sistem, lapan jam belajar, lapan jam waktu tidur dan lapan jam lagi untuk buat kerja-kerja sukarela. Pembelajaran hukum agama asas seperti sembahyang dan mengaji adalah tanggungjawab individu dan mesti ada. Kolej tidak banyak tumpukan kepada agama kerana itu tanggungjawab individu, tanggungjawab dengan Allah. Kolej itu tumpukan ilmu dunia.

Bila kita susah, orang tolong kita dan bila kita nampak orang susah kita kena tolong. Objektifnya bila keluar dari kolej ini mereka berisi dengan ilmu, nak jadi akauntan atau ahli ekonomi, kita berikan pelajaran dan lepas itu kita lepaskan, tiada terikat untuk pergi ke mana sahaja. Sistem sekolah pondok hanya pentingkan agama. Agama adalah tanggungjawab kita, memang ada dalam jiwa cuma perlu diperkuatkan tapi perlu juga ada ilmu dunia.

Boleh Tan Sri berkongsi zaman kanak- kanak, terutama cara Tan Sri dibesarkan dengan didikan keluarga yang bagaimana?

SYED MOKHTAR: Macam biasa juga, saya pergi ke sekolah rendah dan menengah. Cuma masa itu keluarga saya susah. Bila habis sekolah menengah, duit tidak ada dan saya ambil keputusan untuk tolong ayah saya dan berusaha dari kecil untuk berjaya. Duit kita guna untuk kehidupan peribadi dan untuk tolong orang lain juga.

Kaum lain ada organisasi seperti persatuan Hokkien atau Kantonis tetapi di mana orang Melayu? Di Kedah tiada satu pun dewan orang Melayu. Bila saya buat kolej, saya suruh buat lima atau enam reka bentuk sebab orang Kodiang, Arau, Padang Terap dan Pokok Sena bukan mampu untuk pergi sampai ke Samarkhan, Istanbul, Isfahan untuk melihat reka bentuk asing itu. Bila anda pergi ke kolej itu ada lima konsep seperti Morish, Turki, Tupaki, Afrika Utara dan sekali gus mencerminkan Islam yang global. Secara peribadi saya memang minat kepada seni bina Islam.

Buat masa ini, sementara menantikan kolej itu siap, kita tempatkan di UIA, ada 372 pelajar dari 47 negara dan insya-Allah, kita akan buka kolej di Kedah dan tumpukan kepada pelajaran asas seperti Pertanian, Perakaunan, Ekonomi dan ICT. Kita juga pernah adakan program ilmu untuk anak-anak Islam Pakistan dan ramai yang berjaya dan bekerja di luar negara. Perbelanjaan sepenuhnya kolej itu ialah RM600 juta apabila siap kelak. Seluas 75 ekar telah siap dan sekarang kita ada pusat dialisis, masjid dan rumah anak yatim dan orang tua, justeru pelajar itu akan buat kerja-kerja sukarela.

Tan Sri bukan sahaja mengembangkan perniagaan tetapi juga melaksanakan pengembangan yayasan.

SYED MOKHTAR: Itu niat saya. Sambil berniaga sambil juga membuat kerja-kerja kebajikan. Kita sementara masih hidup, melebihi 2.5 peratus zakat yang disyaratkan oleh Islam dan dapat tolong anak bangsa, dan juga bukan Islam, 70 anak-anak Islam dan 30 peratus lagi dikongsi oleh pelajar luar dan bukan Islam. Baru-baru ini kita menaja pelajar dari China untuk belajar di UIA tetapi kita tidak paksa mereka masuk Islam.

Bagaimana Tan Sri bekerja?

SYED MOKHTAR: Saya bertindak mengikut keperluan tapi kena terus berusaha agar setiap masalah selesai secepat mungkin. Harus menyelesaikan isu. Tidur selalu lewat, lagi malam lagi cerah mata kerana saya suka buat kerja malam-malam.

Yang penting semua kerja jadi, kena selesaikan isu walaupun berat. Kalau yakin perkara benar, tiada masalah. Perkara yang benar akan beri kita kekuatan untuk terus berusaha, jangan lari dari tanggungjawab.

Senaman kita buat secara sederhana, makan dan minum satu pertiga sahaja.

Saya suka berusaha dan cuba setakat yang terdaya kerana ini Tanah Melayu, jadi Malaysia. Bila saya jumpa pemimpin UMNO saya kata UMNO Melayu punya dan BN Melayu dan semua kaum punya. Dari awal, saya kata saya anak UMNO dan DEB. Kalau UMNO bagi teladan buruk, orang Melayu kecewa dan kita kena jaga. Bendang pun kita jaga dan jangan pajak kepada orang lain. Tapi bila orang cash-out, kita bina jurang yang luas lagi. Pergi luar negara untuk pengembangan tidak apa, tetapi asas kita di sini.

Adakah sejak dulu lagi Tan Sri sudah nampak masalah pendidikan orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Masalah pendidikan memang ada dari awal lagi. Dalam tahun 60-an saya hadapi masalah pendidikan sebab tak ada kemampuan. Saya tidak boleh bayar yuran semasa di tingkatan lima.

Masalah budak-budak Melayu yang tak mampu nak bayar yuran memang ada pada masa itu. Saya nampak masalah pendidikan tapi saya pun salah seorang daripada mereka yang memerlukan pertolongan. Tapi tidak ada siapa yang tolong membayar yuran sekolah. Mungkin masa itu tidak ada orang Melayu yang berkemampuan yang boleh tolong saya. Jadi, bila dapat sikit peluang dalam perniagaan, saya ada kemampuan untuk menolong orang lain. Orang kaya ada dalam semua kaum. Mereka kena membantu kaum sendiri supaya tidak tercicir. Yang miskin kita kena bantu.

Apa yang Tan Sri akan lakukan dengan wang tunai RM80,000 yang diterima bersama trofi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan itu?

SYED MOKHTAR: Saya akan memberikannya kepada ibu saya. Masa dulu bila saya dapat RM1,000, saya hanya memerlukan RM500 saja. Bila saya dapat RM1,500 dan bawa balik ke rumah, mak saya kata RM750 cukup untuk keluarga. Baki RM750 bagi kepada orang tua-tua. Dari situ saya nampak perlunya jiran dan masyarakat dalam kehidupan kita. Saya dah ada interaksi dengan masyarakat.

Friday, 11 January 2008

Jutawan Taska


TIDAK ada kejayaan tanpa sokongan padu dan saling mempercayai apatah lagi, jika apa yang diusahakan itu adalah gandingan bersama antara suami isteri.

Ini dibuktikan oleh pasangan muda, Mohd. Akhta Mustafa dan isteri, Robiyah Yusoh yang masing-masing berusia 33 tahun sepanjang bergandingan mengusahakan Darul Iqra Centre (DIC) yang beroperasi di Blok S, SD Apartment 2, PJU 9, Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur sejak tiga tahu lalu.

Ikuti temubual wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, DJOHAN SHAHRIN SHAH dengan mereka berdua berkongsi iltizam merealisasikan salah satu misi Islam Hadhari iaitu melahirkan modal insan menerusi platform pendidikan.

MEGA: Bagaimanakah DIC bermula dan terangkan serba ringkas tentang perkhidmatan yang ditawarkan?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Kini semakin ramai ahli perniagaan telah mengecapi kekayaan menerusi dunia masing-masing. Hal ini memang tidak dapat disangkal lagi dan faktor inilah yang menjadi titik-tolak kepada pembabitan awal saya dan suami dalam dunia perniagaan.

Biarpun belum sepenuhnya bergelar usahawan tetapi kami berkeyakinan dengan membuka sebuah tadika yang sebelum ini dikenali dengan nama Pusat Pendidikan Zarr, ia menjadi platform awal untuk lebih serius dalam bidang perniagaan.

Pada awal Disember 2005, kami menggunakan nama baru iaitu yang dipakai sekarang dan memulakan operasi di lokasi sedai ada kini.

Kami juga amat berterima kasih kepada Datuk Said Mulok Bendahara yang merupakan penasihat kepada Tadika DIC atas sokongan padu serta berterusan bagi memastikan pembangunan dan perkembangan pusat ini. Lebih-lebih lagi, ke arah DIC Cemerlang 2008.

Perkhidmatan yang disediakan di sini seperti tadika, taska, transit, KAFA dan satu program khas iaitu Program Cepat Membaca (membantu para pelajar yang bermasalah dalam menguasai pembacaan serta pemahaman subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam waktu yang singkat). Kami amat mengalu-alukan pertanyaan dan kunjungan daripada ibu bapa dan penjaga dengan menghubungi talian 012-244 7608.

Apakah yang menyebabkan anda berdua memilih bidang pendidikan dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Perniagaan yang diusahakan ini bermula kerana minat yang mendalam dalam hal-hal berkaitan pendidikan awal kanak-kanak. Bersandarkan kelulusan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaya yang dimiliki isteri, kami merasakan ada peluang untuk merealisasikan impian membina sebuah perniagaan.

Pada awal penubuhannya, usaha kami ini tidak mendapat sambutan yang meluas tetapi berkat kesabaran yang ada, selepas tiga bulan dibuka, barulah nampak penerimaannya dan rancangan kami berkembang maju.

Biarpun dalam perniagaan ini, kami telah diamanahkan sebagai pengusaha dan pendidik, ia tidak sekali-kali bermaksud sekadar menentukan ia terus beroperasi. Matlamat perjuangan kami ialah memastikan DIC sentiasa berada pada satu tahap yang membanggakan dari segi kualiti pendidikan, penjagaan, pembelajaran dan pengurusan.

Sungguhpun usia DIC masih terlalu muda, apakah perancangan akan datang anda berdua?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Insya-Allah, usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan ialah dengan membuka beberapa buah lagi cawangan bermula di kawasan Bandar Sri Damansara dan seterusnya menjurus kepada kawasan Bangi dan luar Selangor.

Semua ini bukan bertujuan keuntungan semata-mata tetapi matlamat utama kami ialah untuk menyampaikan segala ilmu dalam menguasai dan mengalami sendiri sesi pengajaran guru-guru yang berpengalaman dan diberi latihan intensif dalam proses pembelajaran para pelajar DIC.

DIC juga amat mementingkan suasana persekitaran yang harmoni dan kondusif bagi memastikan para pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran dan ini adalah salah satu aspek yang amat dititikberatkan di dalam pengurusan DIC sebelum ia diperkembangkan ke tahap yang lebih tinggi.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Seperti yang diketahui kemunculan pusat-pusat pengajian seumpama kami teruatamnya di kalangan bangsa asing diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing bersaing dalam memberikan perkhidmatan yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek pendidikan malah menjurus kepada perkhidmatan penjagaan.

Justeru itu, hanya kualiti dan kemahiran yang tinggi yang ada pada guru-guru menjadi kekuatan DIC. Selain itu, DIC juga menyediakan perkhidmatan ‘5 dalam 1’ iaitu tadika, taska, transit dan satu program khas.

Kami berkeyakinan penyediaan bimbingan oleh pihak pengurusan DIC kepada tenaga pengajarnya, mampu untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran yang datang dari pusat-pusat pengajian lain amnya di Bandar Seri Damansara. Insya-Allah.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Kepuasan yang ingin dicapai ialah segalanya bermula dengan jiwa dan fitrah saya sebagai seorang wanita terutama dalam soal pendidikan awal kanak-kanak.

Melihat proses perkembangan minda kanak-kanak adalah sesuatu yang menarik sama ada untuk kajian mahupun sekadar pemerhatian.

Ditambah dengan ilmu yang diperoleh secara sistematik daripada institusi pengajian tinggi, sedikit sebanyak ia menimbulkan keyakinan diri dalam mengendalikan hal ehwal berkaitan kanak-kanak, apatah lagi dengan kejayaan pelajar-pelajar yang mampu menguasai pembelajaran dengan teknik pengajaran yang diterapkan oleh guru-guru yang berpengalaman. Semua ini bermatlamat untuk menyediakan kanak-kanak ini bagi sesi persekolahan ketika berada di Tahun Satu nanti.

Bagaimana pandangan saudara berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Sebagai seorang yang ingin bergelar korporat Muslim suatu hari kelak, pandangan kami berkaitan saranan di atas ialah Islam sangat menggalakkan umatnya berusaha dengan titik peluh sendiri sambil menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Allah s.w.t.

Menerusi perniagaan, kita dapat memotivasikan diri untuk berusaha gigih tanpa bergantung kepada orang lain sambil membentuk personaliti diri agar menjadi seorang insan yang tabah dan bertanggungjawab.

Biarpun belum sepenuhnya bergelar usahawan tetapi kami berkeyakinan dengan menjadi pengasas dan peneraju kepada DIC.

Alhamdulillah dengan kejayaan yang dicapai, bagaimana pula sumbangan saudara kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling?

ROBIYAH & MOHD. AKHTA: Bersyukur kepada Allah, semua rezeki adalah pemberian-Nya. Kini menjadi tugas kami pula memberikan sebahagian rezeki tersebut kepada orang terdekat yang sentiasa menyokong dan berada di sisi.

Sudah tentulah kami akan menyumbangkan bantuan wang atau tenaga kepada ibu bapa dengan meringankan beban yang mereka tanggung selama ini. Bagi orang lain, seperti biasa kami akan membayar cukai dan memberikan zakat serta beberapa sumbangan lain selagi kudrat masih ada.

Selain daripada sumbangan berbentuk wang ringgit, kami juga akan menyumbangkan bantuan melalui organisasi, kami membantu kanak-kanak yang tidak berkemampuan dan cuba membuat yang terbaik demi pembangunan pendidikan.

Thursday, 10 January 2008

Selamat Tahun Baru 2008 & Ma'al Hijrah 1429!


Selamat Tahun Baru 2008 & Ma'al Hijrah 1429!

Beberapa hari lepas saya menerima sms dari sahabat saya, seorang
usahawan yang berjaya.

SMS tersebut tertulis...

"Selamat Tahun Baru, Semuga Kau Buat Sejuta Ringgit Tahun Ini."

Saya menjawab,

"Terima kasih! Nampaknya saya perlu kerja lebih kuat!"

Selepas beberapa minit saya mendapat balasan daripada beliau:

"Tidak.Kau Silap. Kau hanya perlu kerja lebih bijak."

Saya terpaku untuk beberapa saat.

Saya terfikir sendiri-- Adakah saya bekerja cara bijak hari ini?

Anda tentunya tahu, ini bukanlah satu perkara baru. Kita telah
mendengar
seribu kali. Pada awalnya, ianya tidak mendatangkan apa-apa kesan
kepada
saya sehinggalah saya mula FAHAM maksud yang tersembunyi.

Mengetahui dan memahami adalah dua perkara yang berbeza, walaupun ada
yang fikir ianya sama sahaja. Dan ianya juga menjadi punca mengapa
ramai
yang gagal menjana wang diinternet selepas mengikuti kursus-- kerana
mereka TAHU maklumat tertentu, tetapi tidak faham apa maksud
sebenarnya.

Jika anda buat duit banyak dengan bekerja lebih kuat, saya minta maaf
kerana tiada apa yang boleh dibanggakan. Anda terpaksa meluangkan lebih
banyak masa dan tidak produktif.

Bekerja cara bijak meningkatkan masa yang ada. Ini bermakna,anda
meluangkan
masa yang sama tetapi anda dibayar lebih berlipat kali ganda.

Itu rahsianya!

Faham konsep ini dan hidup anda akan lebih bahagia. Saya jamin.

Ada banyak cara untuk anda bekerja lebih bijak.

Jika anda mahu mempelajari sesuatu, jangan buang masa buat sendiri.
TANYA.
Jika tiada yang menjawab, beli ilmu dan pengalaman orang lain. Ianya
lebih
cepat dan mudah.

Fokus kepada idea dan perancangan bisnes. Bukan hanya untuk buat duit
tetapi
bagaimana membina bisnes online yang boleh menjana pendapatan untuk
anda
untuk jangka masa yang lama.

Anda bekerja bijak dengan membuat sesuatu yang terbukti berkesan untuk
menjana
wang daripada mencipta sesuatu yang belum pasti. Inovatif, bukannya
kreatif!

Saya pasti anda tentu lebih banyak idea untuk bekerja cara bijak.
Mungkin
lebih baik dari yang saya dedahkan. Yang pastinya...

Saya tak mahu bekerja kuat. Bagaimana dengan anda?

Monday, 7 January 2008

Aznain peka usaha kurang nahas


SAHUT CABARAN: Kepekaannya terhadap isu kemalangan jalan raya mencetus penubuhan Smart Synergy Ventures Sdn Bhd.

Smart Synergy Venturtes alat beri kejutan, penggera jika pemandu dikesan mengantuk

PEMBABITAN kira-kira 15 tahun dalam industri takaful membuka mata anak muda ini mengenai potensi perniagaan yang boleh diteroka daripada isu berkaitan pengurusan risiko dan keselamatan jalan raya.

Anak kepada pesara tentera berasal dari Taiping, Perak ini tidak pernah mewarisi bakat perniagaan dari keluarga, tetapi mula menaruh minat menceburi bidang itu ketika melanjutkan pengajian dalam bidang pemasaran di Universiti Malaya.

Bagi merealisasikan minatnya, beliau nekad melepaskan jawatannya sebagai pengurus di dalam salah sebuah syarikat pengendali takaful terkemuka walaupun lalu menubuhkan Smart Synergy Ventures bersama rakan kongsinya.

Beliau menerajui syarikat yang bergiat dalam industri takaful, rundingan pengurusan risiko, penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk keselamatan jalan raya, projek sivil, landskap dan pelbagai produk am itu dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.

“Smart Synergy Ventures bukan hanya terbabit dalam industri takaful, tetapi bidang perniagaan yang dilaksanakan adalah lebih meluas kerana mempunyai unit R&D sebagai pelengkap kepada pelbagai isu berkaitan takaful, terutama pengurusan risiko.
BERGUNA: Aznain menunjukkan produk dipasarkan syarikatnya, yang dikenali sebagai Smart Alert.

“Sewaktu bekerja dalam industri insurans dan takaful, saya terlalu banyak didedahkan mengenai isu dan masalah berkaitan kemalangan, skop perlindungan dan pampasan bila berlaku sesuatu musibah kepada pemegang polisi,” katanya.

Kepekaannya terhadap isu semasa terutama perasaan ‘ngeri’ yang dirasainya setiap kali kes kemalangan jalan raya terpampang di dada akhbar mencetuskan ilham menubuhkan syarikat berkaitan pengurusan risiko, terutama membabitkan aspek keselamatan jalan raya.

Ia juga berputik daripada penyertaannya dalam satu seminar yang diterajui Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi, tidak lama dulu.

“Dalam seminar itu, Miros ada menekankan punca utama kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini adalah kecuaian pemandu itu sendiri, dan peratusan tertinggi yang menyumbang kecuaian itu adalah kerana mengantuk,” katanya.

Aznain berkata, bertitik tolak daripada penyertaannya daripada seminar itu, beliau cuba mencari penyelesaian bagi mengurangkan perangkaan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian manusia.

Katanya, beliau menyedari sebenarnya ada beberapa peralatan keselamatan jalan raya di pasaran, tetapi penggunaannya adalah begitu minimum di negara ini kerana tidak ada ketegasan atau keperluan untuk memilikinya.

“Usaha yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mengurangkan perangkaan kemalangan jalan raya tidak akan menjadi kenyataan tanpa penyertaan serius badan korporat, syarikat insurans dan takaful,” katanya.

Beliau menjelaskan, rentetan daripada kesedaran itu, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk melaksanakan pelbagai R&D mengenai cara mengelakkan kemalangan jalan raya.

Akhirnya, beliau menyedari tidak ada satu pun agensi insurans dan takaful di negara ini yang menyediakan barangan premium berbentuk produk atau gajet keselamatan jalan raya kepada pemegang polisi walaupun ada dana khas yang disediakan Bank Negara Malaysia bagi tujuan itu.

“Bank Negara ada memperuntukkan dana khas kepada agensi insurans atau takaful di negara ini untuk memberi barangan premium yang bernilai di bawah RM20 kepada setiap pemegang polisi yang melanggan produk mereka,” katanya.

Malangnya, Aznain berkata, tidak ada satu pun agensi mengambil inisiatif untuk menyediakan barangan premium yang berbentuk alat keselamatan jalan raya, justeru Smart Synergy ventures mengambil inisiatif memikul tanggungjawab itu dengan memperkenal dan memasar produk keselamatan inovatif.

“Unit R&D Smart Synergy Ventures mengambil keputusan untuk memperkenalkan ‘Smart Alert’, iaitu alat pintar yang berfungsi melalui prinsip tindak balas serta merta dengan menghasilkan getaran atau bunyi jika berlaku pergerakan kepala pemakainya,” katanya.

Aznain menjelaskan, produk berkenaan sebenarnya bukan baru, tetapi penggunaannya adalah terhad, justeru Smart Synergy Ventures mengambil keputusan mengkomersilkan alat itu.

“Kami mempatenkan alat menggunakan jenama ‘Smart Alert’ dan ia bukan saja menepati piawaian global tetapi mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pengangkutan sebagai alat yang mampu mencegah berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, alat itu bukan saja disasarkan kepada pemandu kenderaan persendirian dan awam, tetapi sesuai digunakan pengendali mesin, jentera elektrik, pelajar, pasukan keselamatan dan operator pusat panggilan yang memerlukan tumpuan tinggi terhadap tugasan.

“Insya-Allah, bermula tahun depan, selain daripada perniagaan takaful, kami akan mula bergerak secara agresif memasarkan produk ini dengan kerjasama badan korporat, syarikat insurans dan takaful di seluruh negara,” katanya sambil berkata Smart Synergy Ventures mendapat sokongan penuh Kementerian Pengangkutan bagi memasarkan ‘Smart Alert’.

Aznain menjelaskan, syarikatnya sudah menghantar kertas cadangan kepada Persatuan Industri Takaful Malaysia untuk memperkenalkan alat itu sebagai barangan premium utama kepada semua agensi takaful di negara ini.

“Kami juga yakin mendapat kerjasama badan korporat yang menganjurkan kempen keselamatan jalan raya, syarikat insurans, JKJR, Miros dan Kementerian Pengangkutan sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, ‘Smart Alert’ hanyalah perintis kepada usaha anak muda ini untuk mengelakkan kemalangan jalan raya daripada berlaku, kerana katanya, Smart Synergy Ventures terus komited dalam melaksanakan R&D bagi memperkenal lebih banyak produk berkaitan isu ini pada masa depan.

“Malah, kami sudah merancang memperkenal dan memasarkan beberapa alat yang berguna bagi mengatasi pelbagai isu dan masalah berkaitan pengurusan risiko,” katanya memberi jaminan.

SSV sasar jual 200,000 unit Smart Alert

SMART Synergy Ventures Sdn Bhd (SSV) merancang bekerjasama dengan badan korporat, pengendali takaful dan insurans bagi memasarkan produk pencegahan kemalangan jalan raya, ‘Smart Alert’ awal tahun depan.

Pengarah Urusannya, Aznain Abdullah, berkata beberapa badan korporat, pengendali takaful dan insurans sudah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi melaksanakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya tahun depan.

“Sepanjang kempen itu, mereka sudah menyatakan minat bagi menjadikan ‘Smart Alert’ cenderamata yang akan diagihkan kepada pemandu kenderaan awam dan persendirian sepanjang kempen dilaksanakan,” katanya.

Smart Synergy Ventures yang beroperasi di Pandan Indah terbabit dalam industri takaful, rundingan pengurusan risiko serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk keselamatan jalan raya.

“Tidak dapat dinafikan, punca utama kemalangan jalan raya adalah kecuaian manusia, terutama mengantuk ketika memandu, justeru SSV yang terbabit dalam industri takaful mengambil inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun,” katanya.

Aznain berkata, kempen galakan penggunaan ‘Smart Alert’ secara meluas bermula tahun depan dijangka dapat membantu Kementerian Pengangkutan dan JKJR mencapai sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010 yang dibentangkan tahun lalu.

“Kami mensasarkan 50,000 unit alat itu dipasarkan pada fasa pertama Januari ini dan jika semua berjalan lancar, lebih 200,000 unit alat berkenaan akan digunakan pemandu kenderaan persendirian dan awam di Malaysia tahun depan,” katanya.

Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan pelan keselamatan jalan raya selama lima tahun itu dengan sasaran mengurangkan bilangan kematian pada kadar 58 peratus menjelang 2010.

Ketika ini, perangkaan menunjukkan 4.2 kematian disebabkan kemalangan jalan raya berlaku di negara ini bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan menerusi pelan berkenaan kerajaan mensasar mengurangkannya kepada 2 kematian menjelang 2010.

Aznain menjelaskan, salah satu daripada sembilan strategi yang dibentangkan dalam pelan itu adalah penggunaan alat atau teknologi yang dapat membantu mencegah kemalangan jalan raya.

“SSV mengambil inisiatif memperkenalkan ‘Smart Alert’, iaitu alat keselamatan yang dapat memberi tindak balas serta merta jika pemandu mengantuk,” katanya.

Beliau menegaskan, SSV akan terus melaksanakan pelbagai R&D pada masa depan bagi memperkenalkan lebih banyak produk berkaitan pengurusan risiko, yang dapat menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Friday, 4 January 2008

Harapan menggunung Rohayu pada Sabdariffa




SABDARIFFA Enterprise ditubuhkan atas keyakinan pemiliknya selaku pengarah syarikat, Rohayu Ayub dengan khasiat di sebalik tanaman yang dikenali sebagai roselle. Malah nama Sabdariffa yang dipilih juga bersempena dengan nama saintifiknya iaitu Hibiscus sabdariffa L.

Akui Rohayu, 36, kejayaannya hidup bebas daripada pelbagai penyakit yang sekian lama dihadapi seperti sembelit, resdung, ulser bibir dan sakit sendi di kaki sehingga mengehadkan pergerakan telah menimbulkan kekuatan dan semangat untuk beliau berkongsi keajaiban roselle dengan umum lain.

Ikuti temuramah wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ABBY BAIZURA HARUN dengan wanita kelahiran Parit Buntar, Perak ini di kilangnya yang terletak di Desa Melor, Serendah, Selangor, baru-baru ini.

MEGA: Bagaimanakah datang ilham mengkomersialkan produk berasaskan bunga roselle yang sebelum ini hanya ditanam dan diproses untuk kegunaan sendiri?

ROHAYU: Saya diperkenalkan tentang pokok roselle oleh seorang teman pada tahun 2004. Pada masa itu, tidak timbul lagi niat untuk mengkomersialkan apa-apa juga produk berasaskan bunga roselle.

Saya mula menanamnya di sekeliling rumah dan kemudian memprosesnya menjadi jus untuk kegunaan sendiri.

Alhamdulillah, tidak berapa lama selepas pengambilan jus roselle, penyakit sendi di kaki saya bertambah pulih. Akibat sakit sendi itu jugalah menyebabkan saya terpaksa berhenti menerima tempahan menjahit serta menjejaskan pergerakan.

Kini, sakit tersebut sudah tiada. Malah tambah menakjubkan saya apabila masalah sembelit, resdung, ulser bibir serta alahan pada kulit kesan daripada pengambilan produk berasaskan lembu juga hilang.

Malah keajaiban roselle ini turut dirasai suami yang mengidap tekanan darah tinggi dan kolesterol. Setelah hampir setahun mengamalkan pengambilan jus roselle dua kali sehari, keadaan kesihatannya semakin stabil.

Pada masa itu juga, saya tidak terus serius. Saya masih terus mengambilnya untuk kegunaan sendiri tetapi saya mula memberi kepada jiran-jiran yang menghadapi masalah seperti di atas untuk mencubanya.

Kemujaraban roselle ini lama kelamaan menimbulkan keyakinan kepada saya untuk berkongsi sesuatu yang baik itu dengan umum yang lain. Kemudian, saya banyak mencari maklumat berkaitan kelebihan dan khasiat roselle menerusi pembacaan serta kajian penyelidikan yang dijalankan oleh pelbagai pihak bertanggungjawab.

Pada tahun yang sama juga, saya mula ikuti kursus sangkut (selama tiga hari) pemprosesan kordial dan jus anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Serdang, Selangor. Kemudian saya menghubungi Jabatan Pertanian Kelumpang, Hulu Selangor untuk mengikuti kursus membuat halwa roselle.

Alhamdulillah pada 14 Jun 2005 saya menubuhkan Sabdariffa Enterprise dan mula beroperasi secara serius di tapak kilang yang terletak di 56, Jalan Melor 2, Desa Melor, Serendah, Selangor sehingga kini.

Saya bermula dengan modal RM10,000 yang diperoleh menerusi pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara).

Saya bersyukur apa yang saya usahakan ini telah mendapat bimbingan dari Jabatan Pertanian sejak tahun 2006.

Apakah kekuatan yang ada dalam produk keluaran Sabdariffa Enterprise serta yang menjanjikan produk berasaskan roselle boleh pergi jauh atau ada masa depannya yang tersendiri?

ROHAYU: Saya mula membaca berkaitan roselle apabila mula berminat dan merasai khasiatnya. Bagi saya roselle merupakan sekuntum bunga yang mempunyai berjuta kegunaan.

Kelebihan utama tanaman roselle ini yang juga dikenali tumbuhan ajaib ialah kepelbagaian kegunaannya daripada daun, buah hinggalah kepada batangnya.

Di mata dunia, roselle adalah permaisuri segala bunga. Bunga ini mengandungi khasiat yang banyak dan kegunaan yang pelbagai. Roselle kaya dengan vitamin A dan C, mineral (potasium dan kalsium) serta membantu peredaran darah dengan baik, mengurangkan tekanan darah tinggi, sumber awet muda dan sebagainya.

Sekuntum roselle boleh dijadikan pelbagai produk yang berjenama tinggi.

Bahagian kelopak boleh dibuat hiasan, bunganya boleh dijadikan produk makanan, hampasnya boleh dijadikan sabun, bahan solek dan minyaknya boleh digunakan sebagai bahan kelengkapan untuk pelembap. Pendek kata, tiada benda terbuang daripada roselle.

Khasiat perubatan roselle yang dikaji oleh dua penyelidik di Universiti Malaya mendapati roselle sebenarnya mempunyai khasiat perubatan yang cukup tinggi iaitu mampu menurunkan kandungan kolesterol dalam darah.

Kelebihan ini secara langsung dapat meningkatkan kesihatan jantung dan melindungi manusia daripada sebarang serangan penyakit kardiovaskular dan darah tinggi.

Malah unsur antioksida yang aktif, sekiranya diambil secara berterusan, ia dapat merangsang dan melancarkan air kencing dan menurunkan tekanan darah.

Roselle turut membantu proses metabolisme biasa dalam badan manusia serta proses pengoksidaan enzim dalam hati yang bertindak melindungi tisu-tisu hati dan jantung.

Malah ia juga mengandungi banyak asid organik iaitu asid yang sangat berguna kepada manusia sebagai sumber tenaga.

Apa yang penting produk roselle keluaran Sabdariffa Enterprise menggunakan bahan semula jadi yang tidak menggunakan bahan pewarna, perasa tambahan dan bahan pemekat. Ia juga bermutu tinggi, mempunyai ciri-ciri komersial, sedap serta boleh dipelbagaikan. Kalau ada bahan pengawet pun, ia diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

Lantaran itu, saya telah berkerjasama dengan pengusaha baulu dan kek dalam usaha mempelbagaikan penggunaannya. Kalau kita lihat konsep perniagaan dalam Islam, berniaga sebenarnya bukan untuk keuntungan sendiri tetapi dikongsi dengan orang lain. Sayangnya konsep ini tidak menjadi amalan usahawan Islam sebaliknya telah dipraktikkan peniaga bukan Islam.

Setelah memasuki tahun ketiga dalam pemprosesan dan pemasaran produk minuman berasaskan bunga roselle dalam bentuk kordial dan jus serta halwa manis, teh dan jem dengan jenama Planet Roselle, apakah cabaran yang dihadapi?

ROHAYU: Memandangkan saya melakukan kerja-kerja pemprosesan, jadi agak sukar untuk menjalankan pemasaran dan edaran. Oleh itu, saya amat-amat mengalu-alukan pihak yang berminat tidak kira orang persendirian ataupun syarikat trading untuk menjadi pengedar.

Saya juga boleh membincangkan sama ada mereka mahu memasarkan produk-produk atas jenama kami ataupun mengambil bahan mentah dan kemudian diletakkan jenama sendiri. Ini semua boleh dirundingkan kemudian.

Saya memerlukan pengedar kerana buat masa ini produk kami boleh cukup terhad pasarannya iaitu di beberapa pasar raya sekitar Lembah Kelang seperti Mydin USJ, Jusco Sunway dan Bukit Raja, Klang, Agrobazar FAMA di USJ dan Ulu Bernam, Selangor serta di Kuantan. Saya juga ada memasarkan ke sekolah-sekolah.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 03-60812832, 019-6494566 atau faks 03-60812340.

Di samping itu, saya juga masih memerlukan sokongan daripada pihak media massa sama ada cetak atau elektronik. Ini kerana, setakat manalah saya mampu terangkan kepada umum akan khasiat serta kelebihan roselle dari segi kesihatan. Jadi setelah beberapa kali muncul di media cetak, saya dapat rasakan pengaruh yang dimainkan oleh media berbanding secara mulut ke mulut.

Pun begitu, saya bersyukur dengan bantuan yang diterima dari Jabatan Pertanian, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Sirim.

Alhamdulillah, kalau ada persaingan pun ia merupakan satu persaingan yang sihat.

Seperkara lagi dari segi tenaga kerja, kadang kala ada yang mengatakan usahawan seperti kita tidak mahu mengambil pekerja tempatan tetapi hakikatnya, ramai daripada orang kita yang mempunyai sikap memilih kerja. Itulah salah satu delima yang dihadapi oleh usahawan IKS seperti kami.

Apakah perancangan puan untuk tahun-tahun berikutnya?

ROHAYU: Semua yang menjalankan perniagaan pastinya mahu mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Saya akui saya juga tidak terlepas daripada mengikat diri dengan azam tersebut apatah lagi dalam kita sedang meniti awal tahun 2008.

Saya berharap sangat sekiranya produk roselle dari Sabdariffa Enterprise berjaya dieksport ke pasaran luar negara. Alhamdulillah, kini saya sedang dalam usaha bekerjasama dengan sebuah syarikat trading yang akan memasarkan produk ini ke Netherland, Belanda.

Saya juga dalam perancangan untuk membesarkan kilang yang sedia ada dengan kelengkapan mesin yang lebih canggih. Buat masa ini, ada kerja-kerja penghasilan dilakukan secara manual jadi apabila semuanya menggunakan mesin ia secara tidak langsung akan menimbulkan keyakinan pelanggan.

Buat masa ini suami masih lagi makan gaji tetapi saya menyasarkan dalam tempoh empat tahun akan datang, saya dan suami dapat mengendalikan perniagaan ini bersama-sama.

Kalau sebelum ini puan terlibat dalam bidang jahitan pakaian, apabila melibatkan diri dengan penghasilan produk berasaskan roselle, kepuasan yang bagaimana dirasakan?

ROHAYU: Saya terlibat dengan menjahit sudah lama iaitu kira-kira 10 tahun. Kepuasan menjahit ini dirasakan apabila pelanggan yang menghantar pakaian kepada kita selesa dan berpuas hati.

Namun, semenjak terlibat dalam bisnes ini kepuasannya lebih sedikit kerana apa yang kita lakukan itu mendatangkan manfaat terutamanya dari segi kesihatan yang memang begitu penting dalam diri setiap manusia.

Malah saya menganggap apa yang dilakukan ini ialah melaksanakan satu fardu kifayah. Tidak ramai yang mengetahui tentang kelebihan dan khasiat roselle, jadi apabila orang yang menghadapi masalah kesihatan dan mereka sihat selepas mengikut saranan kita, itulah kepuasan yang tidak terhingga bagi saya.

Malah saya berkeyakinan, roselle tidak ada kesan sampingan seperti mana jika kita mengambil ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia di mana merosakkan organ dalam badan yang lain. Daripada 80 peratus respons yang diperoleh mengakui bahawa apa yang dikhabarkan tentang khasiat roselle adalah benar bukannya indah khabar dari rupa.

Siapakah yang banyak membantu sehingga berjaya berada di tahap sekarang?

ROHAYU: Saya berterima kasih kepada suami, Arshad Shahruddin serta anak-anak kerana tanpa sokongan mereka saya tentu tidak berada di sini sekarang.

Selain itu, kepada kedua ibu bapa. Walaupun ayah saya sekadar menjalankan perniagaan kedai runcit bergerak tetapi, banyak ilmu yang saya peroleh daripadanya.

Kepada Jabatan Pertanian yang memberikan bimbingan berterusan, FAMA, yang menyediakan bahan mentah, Mardi, yang menyediakan kursus-kursus berkaitan serta Sirim terutamanya Puan S. Anita yang mereka corak label kami yang terbaru ini.

Wednesday, 2 January 2008

Ebook Percuma Dari DiariAdsense



Tajuk : Ebook Percuma Dari DiariAdsense

Persoalan :

1. Apa nama ebook?
2. Apa kepentingannya dalam berblog?
3. Bagaimana mendapatkan ebook?

Isi Kandungan :

Kepentingan tag & ping :

* membantu dalam indeks enjin carian yang lebih cepat
* meningkatkan backlink
* memperbaiki ranking SERP dalam enjin carian
* meningkatkan traffik

Kupasan ebook :

a) terbahagi kepada 5 bahagian utama

1. BAHAGIAN PERTAMA: Mengenali Tag,Ping, Social Bookmarking Site Dan Proses
2. BAHAGIAN KEDUA : Optimasi Tag Di Technorati & Icerocket
3. BAHAGIAN KETIGA : Plugin,Software Dan Laman Web Social Bookmarking Site
4. BAHAGIAN KEEMPAT: Bagaimana Memastikan Tag Dikesan
5. BAHAGIAN KELIMA : Ilmu Hitam Dalam Social Bookmarking

b) kandungan setebal 30 mukasurat sahaja
c) diedarkan hanya kepada 50 orang terawal sahaja ( termasuk hakmilik untuk mengedar )

Imej Ebook : masukkan imej ebook

Screenshot ebook : masukkan screenshot ebook

Tindakan : sila kunjungi http://diariadsense.com/index.php/2008/01/02/mari-mengenal-tag-ping-ebook-percuma.html#more-114http://diariadsense.com/index.php/2008/01/05/mari-mengenal-tag-ping-ebook-percuma.html untuk mengetahui cara-cara mendapatkan ebook secara percuma & eksklusif